Kawan2 yg saya Sayang

Tuesday, December 8, 2009

Ai Without Love ::Prolog::

Untuk pengenalan dan sinopsis sila klik Sinopsis

PROLOG

Di suatu kawasan di tengah-tengah kota Lisberg…

Bilik persalinan itu ditutup rapat dari dalam. Seorang pemuda awal 20-an mengambil tempat di hadapan meja solek. Dia mencapai botol mineral di atas meja sebelum meneguk isinya. Setelah membasahkan tekak yang kering akibat banyak mengeluarkan suara tadi dia memandang pantulan imejnya di dalam cermin di hadapannya. Rambutnya yang panjang yang jatuh di dahinya di tolak ke belakang. Peluh yang membasahi sekitar dahi dan leher merimaskannya lantas dia mengambil tisu lalu mengelap peluh di sekitar mukanya.

Pintu di ketuk dari luar. Belum sempat dia menjemput tetamunya masuk tiba-tiba pintu itu sudah dibuka dahulu. Dua orang wanita muncul. Seorang daripadanya mengenakan kaca mata dan memegang sesuatu di tangannya. Wanita tersebut terus mengambil tempat berdiri di hadapannya. Sementara itu seorang lagi wanita yang bertindak sebagai juru solek segera menjalankan tugasnya merias pemuda yang akan meneruskan persembahannya sebentar lagi itu.

“Ryo, standby. Lepas ni adalah persembahan klimaks. Semua orang harapkan yang terbaik dalam persembahan terakhir kau malam ini.” Ujar wanita tadi sambil memerhatikan kerja juru solek. “Ingat… mesti fokus.” Pesannya.

Ryo senyum dan mengangguk sahaja. Dia malas hendak bersuara. Lebih baik dia menyimpan tenaga untuk persembahan yang selanjutnya.

“Yin, boleh tak buat kerja dengan pantas. Kita bukannya ada banyak masa untuk bersenang lenanglah!” Sempat wanita itu mengkritik kerja jurusolek tersebut.

Jurusolek yang bernama Yin itu hanya buat muka di belakang pengurus Ryo. Hei, kerja aku, tahulah apa aku nak buat…

Ryo nampak tetapi dia hanya mendiamkannya. Sebentar kemudian Ryo menukar bajunya dengan kemeja yang sudah siap tergantung di penyangkut baju. Pengurusnya keluar setelah dipanggil oleh seseorang. Tinggal dia bersama jurusoleknya yang membantunya bersiap untuk persembahannya sebentar lagi. Setelah tiada apa lagi yang memerlukan bantuan jurusolek berkenaan Ryo menyuruhnya keluar dahulu kerana dia ingin bersendirian sebelum memulakan persembahannya.

Ryo kembali memandang dirinya di hadapan cermin besar. Sempurna. Tiada cacat ataupun kekurangan pada dirinya. Ryo tersenyum memandang dirinya yang sekarang. Dia benar-benar berbeza dalam tempoh dua tahun ini. Segala-galanya berubah. Dia tidak pernah bermimpi untuk berdiri di tempat yang tinggi seperti ini. Selama ini dia menyangka yang dia akan menjadi seorang jurutera… mungkin terlalu besar cita-cita tersebut tetapi memandangkan itulah jurusan yang diambilnya ketika di kolej dahulu.

Dia memang seorang penyanyi sebelum bergelar artis terkenal lagi. Dulu dia menyanyi dengan satu sebab iaitu untuk membantu meringankan beban keluarga. Dia bukan berasal dari keluarga yang senang. Adik beradiknya seramai lapan orang dan dia adalah anak sulung. Dia pernah menyanyi di jalanan tanpa pengetahuan ayahnya. Dia juga pernah menyanyi di kelab sewaktu masih bergelar penuntut biarpun telah dilarang oleh ibunya. Alasannya cuma satu iaitu demi adik-adiknya yang masih bersekolah semuanya. Dia tahu yang perbuatannya itu melanggar prinsip ayahnya yang tidak suka dia bekerja selagi belum tamat belajar. Namun atas rasa tanggungjawab sebagai anak sulung dia nekad memilih jalannya sendiri.

Hari ini dia juga telah memilih jalannya sendiri setelah memasuki sebuah rancangan realiti tidak lama dahulu. Bukan niatnya untuk masuk ke dunia yang penuh glamour ini sebagai bintang. Dia cuma mahu mengubah kehidupan keluarganya yang tidak pernah lari dari belenggu kemiskinan. Nasibnya baik apabila dia berjaya menjadi juara dalam rancangan pencarian bakat baru tersebut. Sekelip mata sahaja dia menjadi terkenal dan diminati ramai. Dalam masa dua tahun sahaja dia sudah berada di puncak kejayaan.

“Ryo…!”

Lamunan Ryo terhenti. Dia menoleh ke belakang. Pengurusnya sedang berdiri di luar pintu. Hanya kepalanya sahaja yang masuk ke dalam bilik.

“Apa lagi yang kau buat? Cepatlah. Giliran kau dah nak sampai.”

“Okey…” Ryo segera meninggalkan bilik tersebut dan menuju ke belakang pentas. Penyanyi jemputan yang sedang membuat persembahan tadi akan menamatkan persembahannya sekejap lagi dan Ryo perlu bersiap sedia untuk kembali menghiburkan penonton yang telah sanggup membayar tiket yang mahal semata-mata untuk menyaksikan persembahannya di dalam konsert malam ini.

Cahaya spotlight fokus kepadanya sebaik dia berdiri betul di tengah ruang pentas tersebut. Sebentar kemudian jeritan dan sorakan orang ramai di dalam dewan besar itu bergema.

Sebaik pengarah muzik mengangkat tangan memberi isyarat kepada anak-anak buahnya untuk memulakan muzik suara yang riuh rendah tadi beransur-ansur senyap dan apabila Ryo mula mengeluarkan suara emasnya dewan bergema lagi dengan tepukan gemuruh para hadirin. Masing-masing yang membawa sepanduk dan kain rentang mengangkatnya tinggi-tinggi tanda sokongan mereka terhadap artis kesayangan mereka itu.

Seketika kemudian tepukan diam bagai diserkup dengan sebuah tudung. Masing-masing menumpukan perhatian pada lagu berentak sentimental dendangan Ryo. Tiada yang lebih dikesali selain terlepas pandang setiap persembahan pemuda yang bukan hanya mempunyai suara emas malah juga seorang yang tanpan itu. Masing-masing begitu teruja. Inilah malam yang paling indah dan tidak akan dilupakan seumur hidup mereka.



Di waktu yang sama di suatu lorong di kota Lisberg…

Gadis bersanggul dan berpakaian kemas itu berjalan pantas mendekati sekumpulan remaja yang sedang membuli seorang budak lelaki di sebatang lorong di belakang bangunan. Dengan wajah yang berapi kerana marah dia mencapai sebatang kayu di tepi dinding. Marahnya meluap-luap apabila melihat lima orang remaja itu nampak sangat gembira dengan aktiviti tidak bermoral berkenaan. Tanpa sebarang isyarat dia terus menghentak salah seorang remaja tadi dengan kepala kayu yang keras itu.

Remaja yang masih berseragam pelajar sekolah menengah tadi memegang kepala yang terasa sakit akibat pukulan kayu. Dia berundur sedikit ke belakang. Begitu jaga dengan rakan-rakannya yang lain. Semua memandang kepada gadis yang sedang menyinseng lengan kemejanya sehingga ke paras siku. Kayu ditangannya tadi dicampak ke belakang. Matanya menikam satu-persatu remaja yang membuli budak lelaki yang masih terduduk di tanah itu.

“Siapa kau ni?” Tanya salah seorang daripada mereka.

“Jangan peduli siapa aku. Lebih baik kamu semua selamatkan diri sebelum aku mengamuk.”

Remaja-remaja tadi ketawa mengejek mendengar kata-kata gadis yang baru muncul itu.

“Dia fikir kita takut dengan perempuan macam dia? Kelakarnya…”

“Dia langsung tak fikir yang kita lebih ramai dari dia. Bodoh betul.”

Gadis bertahi lalat di bawah mata kanan itu hanya melihat gelagat remaja-remaja tersebut dengan senyuman. Dia biarkan dulu pembuli-pembuli itu ketawa dengan puas.

“Dah cukup ke belum…? Aku tiada masa nak tunggu kamu semua habis ketawa.”

Ringan sungguh kaki itu melayang dan menerajang mereka berlima. Tiada siapa yang terkecuali. Belum sempat membalas serangan gadis itu terlebih dahulu melukakan mereka semua. Pantas dan tangkas. Kuat dan kejam. Tiada pengecualian. Tiada tolak ansur. Akhirnya mereka semua mengaku kalah dan melarikan diri dari terus diserang gadis ganas itu.

Gadis itu melepaskan kepalan tangannya setelah remaja-remaja tadi melarikan diri. Dia melihat mereka semua bertempiaran menyelamatkan diri. Seketika kemudian dia pergi mendapatkan budak lelaki yang duduk menyorok di belakang kotak yang telah dilipat di tepi dinding. Dia menghulurkan tangan kepada budak tersebut. budak yang berkaca mata itu memandangnya sahaja. Masih was-was dengan keikhlasan hatinya. Dia tersenyum dan duduk mencangkung di hadapan budak tersebut.

“Jangan takut. Saya datang untuk selamatkan awak.”

Senyuman gadis tersebut membuatkan budak itu yakin. Dia membalas senyuman itu sebelum menyambut huluran tangan yang telah menyelamatkannya sebentar tadi.

“Terima kasih, kakak.”

“Tak perlu. Aku cuma tak suka tengok orang kena buli. Mereka tu sama sekolah dengan kau?”

“Ya.”

“Kau kena jadi kuat lepas ni kalau tak nak kena buli. Hari ini cuma satu kebetulan aku muncul selamatkan kau.”

Gadis itu bangun dan beredar. Budak tadi turut bangun.

“Tunggu…!”

Gadis itu menoleh semula kepada budak yang diselamatkannya tadi.

“Siapa nama kakak?”

“Tak perlulah tahu. Lagipun bukannya kita akan bertemu semula selepas ini.” jawab gadis tersebut.

“Saya pernah nampak kakak di Sweet Chocoretho. Kakak pekerja di sana kan?” budak lelaki itu membetulkan kaca matanya sebelum berdiri dekat dengan gadis tadi.

“Hmm… jadi panggil saja aku ‘Yna’.” Balasnya sebelum melangkah pergi.

“Terima kasih sekali lagi, kakak Yna.” Ujar budak tersebut.

“Jangan panggil ’kakak’. Panggil ‘Yna’ saja.” Yna tidak berpaling kepada budak itu dan terus melangkah meninggalkannya.



7 comments:

Kiara said...

best,,
continue ye =)

Gadis blogger said...

ryo nan yna?
mcm name wtk dlm cite sblom ny.
smbungan kee??

Anonymous said...

yeay!!!!!..cita bru.. cepat smbung ya..hehe

~Miss Kira~~

Kaseh Esmiralda said...

Tieca : bukan sambungan tp kesinambungan je. sila baca sinopsis ya kawan2 bloger semua...

Hany Nafisya said...

macam pernah baca kat manga aje adegan selamatkan seorang budak pakai cermin mata tu... tapi cerita awak menarik =)

Kaseh Esmiralda said...

Thanks HaniNafisha...

Anonymous said...

mengapa tidak:)