Kawan2 yg saya Sayang

Monday, July 29, 2013

AITDS the sequel :- THE WITCH THAT I LOVE (bab13)

Bab13
WAJAH Leah ceria sambil menjinjing sebuah kotak berisi Kek Coklat kegemaran Jay. Dia masuk ke rumah Jay dengan menggunakan kunci pendua. Sebaik kakinya melangkah masuk ke dalam kediaman Jay senyumannya jadi tawar. Keadaan dalam rumah Jay begitu menyakitkan hatinya. Baru sahaja beberapa hari lepas dia mengemaskan rumah tersebut dan hari ini ia kembali berselerak. Malah lebih teruk keadaannya berbanding kali terakhir dia singgah ke rumah itu pada dua hari lepas.
“Jay!” dia memanggil pemuda tersebut dengan nada yang sedang marah.
Panggilan tidak bersahut. Leah memanjangkan langkah kakinya menuju ke ruang tamu sempit itu. Kotak berwarna pink yang berisi Kek Coklat itu diletakkan di atas meja makan. Ekor matanya menjeling geram melihat ruang tamu rumah yang bagai baru dilanggar badai itu. Kusyen sofa bergelimpangan di atas lantai. Buku-buku dan majalah yang sudah disusun di atas rak dan di dalam laci bertaburan di sana sini. Pintu kabinet dan laci di ruang menonton terbuka. Semuanya lintang pukang kecuali Fanderina yang masih berdiri tegak di guitar stand di sudut sebelah kabinet televisyen.
Kedengaran bunyi-bunyian dari arah bilik lantas Leah menuju ke sana. Sebaik bilik dikuak kelihatan Jay sedang sibuk menyelongkar sesuatu dari setiap sudut bilik. Keadaan bilik tersebut lebih kurang sama seperti di ruang tamu. Berselerak bagai dilanggar garuda.
“Apa yang sedang kau buat?”
Jay tidak menghiraukan pertanyaan Leah. Dia sekadar melemparkan pandangan tak beriak sebelum kembali menggeledah almari pakaiannya.
“Jay, kalau kau cari sesuatu, beritahu aku. Aku tolong kau carikan.”
Jay tetap tidak memberikan reaksi terhadap kata-kata Leah. Leah nampak air muka Jay yang kelihatan runsing dan risaukan sesuatu. Jay seolah-olah tidak wujud di hadapan Leah melainkan jasadnya sahaja di situ. Leah tidak sedap hati lantas menarik Jay dari terus-terusan menggeledah biliknya mencari sesuatu yang hilang.
“Kenapa dengan kau ni? Apa yang kau cari sebenarnya?”
“Diari… diari aku hilang, Leah.”
Leah terkesima. Rupa-rupanya diari Jeremy yang menyebabkan Jay jadi tidak tentu hala begitu.
“Leah, tolong aku. Aku perlukan diari tu. Aku tak boleh hidup kalau diari tu hilang.” Jay nampak gelisah. Mungkin juga dalam keadaan takutkan sesuatu. Sejak dia hilang ingatan, diari Jeremy satu-satunya benda paling berharga dalam hidupnya. Bagi Jay diari itu bagaikan kompas kehidupannya. Dia akan hilang arah tanpa diari Jeremy.
Kadangkala Leah rasa serba salah melihat keadaan Jay yang lebih percayakan diari tersebut berbanding dari cuba berusaha untuk mencari memorinya semula. Memang kalau hendak diikutkan hatinya, Leah tidak mahu ingatan Jay pulih jika itu boleh menyebabkan Jay akan meninggalkannya kelak. Namun dia lebih tidak rela melihat Jay terus dibelenggu perasaan takut untuk menghadapi realiti sebenar kehidupannya.
“Jay, diari tu bukan nyawa. Kau boleh hidup walaupun tanpa diari tu.”
“Tak. Aku tak boleh.” Jay berjalan ke hulu ke hilir. Sekejap menggosok-gosok rambutnya. Kemudian dia mula menggigit hujung kukunya menandakan yang dia sedang resah gelisah. Tabiat yang tidak pernah berubah walaupun dia sudah hilang ingatan.
“Kau yang kemaskan rumah aku. Kau patut tahu dimana diari tu. Kau simpan dimana, Leah?”
Leah melepaskan keluhan berat. Dia kembali menghampiri Jay. Tubuh Jay dipaut dan ditarik untuk didudukkan di birai katil.
“Dengar cakap aku… mulai sekarang kau perlu cari sendiri siapa diri kau sebenarnya. Kau tak boleh bergantung semata-mata pada diari tu.” Dia merenung ke dalam anak mata Jay agar Jay tahu yang dia sedang cuba membantunya.
“Kau sorokkan diari aku, Leah?” Jay membuat andaian melalui gaya pertuturan Leah.
Leah tidak membalas soalan Jay. Hanya air mukanya sahaja yang memberitahu Jay bahawa memang dia yang mengambil diari tersebut.
“Pulangkan semula barang aku.” Suara dinginnya cuba mendesak Leah.
Leah hanya diam di birai katil sambil memusingkan kedudukannya dari menghadap Jay.
“Pulangkan barang aku, Leah!” Nada suaranya semakin tinggi. Bunga-bunga kemarahan sedang memekar.
“Kau lebih percayakan diari tu berbanding aku. Kenapa, Jay? Bukankah kau pernah cakap yang kau percayakan aku melebihi sesiapa walaupun kau tak ingat siapa aku dalam hidup kau sebelum kau hilang ingatan? Jadi kenapa kau tak boleh hidup tanpa diari Jeremy?” Leah membalas dengan nada yang lebih tinggi. Dia cuba menyedarkan Jay tentang hakikat yang selama ini Jay terlalu bergantung pada diari Jeremy yang disangka adalah miliknya itu.
“Aku… aku tak tahu. Aku cuma rasa yang sebahagian diri aku ada dalam diari tu. Pulangkanlah Leah. Aku nak diari aku balik.” Dari nada yang meninggi suara Jay berubah kendur dan seakan merengek untuk memujuk Leah.
“Tak boleh.”
“Kenapa?”
“Sebab aku dah buang buku tak guna tu.”
Jay tergamam merenung roman wajah Leah yang beriak selamba. Sedikit sebanyak sakit juga hatinya bila Leah mengatakannya dengan tanpa rasa bersalah. “Kau tipu kan.” Dia masih berharap jika Leah sekadar bergurau untuk menakutkannya.
“Kau rasa?” Leah melemparkan senyuman sinisnya kepada Jay.
Melalui senyuman itu Jay dapat mengagak yang Leah memang serius tidak mahu dia melihat diari tersebut lagi. “Argh! Apa yang kau cuba buat ni?” berangnya bukan kepalang. Dia hampir gila hari ini hanya kerana mencari diari tersebut dan kini tanpa rasa bersalah Leah mengatakan yang dia telah membuang diari tersebut. Sakit sungguh hatinya.
“Aku buat apa? Aku cuba tolong kau untuk mencari diri kau semula tanpa diari itu.”
“Kau faham tak yang aku tak boleh hidup tanpa diari tu. Aku tak boleh ingat apa-apa. Aku tak ingat siapa kau… Siapa Camie? Siapa Dew yang Camie selalu sebut? Siapa Jeremy? Siapa keluarga aku? dan yang paling penting… siapa aku? Siapa aku, Leah? Siapa??” Jay mencengkam bahu Leah dan menggoncangnya. Leah membiarkan perbuatan Jay. Dia tahu Jay tertekan dengan situasi yang sedang dilaluinya.
“Arghhhh!!!” Jay menjerit sekuat hati. Tangannya mencengkam kepala yang tiba-tiba terasa berdenyut-denyut. Kesakitan yang muncul mendadak tanpa sebarang isyarat. Jay terduduk melutut sambil menahan kesakitannya.
“Jay…” Leah segera merangkulnya sebelum dia jatuh rebah ke lantai.
“Leah…tolong…”
Sebaik membaringkan Jay di atas katil Leah segera ke dapur untuk mengambil ubat yang selalu diambil oleh Jay. Sejak kejadian tersebut sehingga sekarang Jay perlu mengambil ubat dan dia tidak boleh berada dalam keadaan yang tertekan walaupun sedikit. Itu adalah antara sebabnya Leah tidak berani memaksa Jay cuba mengingati memorinya kembali. Sejujurnya dia rindukan Jay sebagai Dew. Namun kewujudan diari Jeremy menyebabkan perwatakan Jay adakalanya persis Jeremy yang sememangnya bertentangan dengan sikap Dew yang asal.
Selepas memberikan ubat untuk ditelan Leah menemani Jay yang sedang berehat di atas katil. Dia tidak berganjak kemana-mana memandangkan Jay tidak mahu melepaskannya pergi. Jay terlelap akibat kesan ubat tidak lama kemudian. Namun Leah tidak terus meninggalkan lelaki itu. Dia masih duduk di sisi katil. Merenung wajah Jay yang telah dibaluti ketenangan sebaik dia memejamkan matanya. Kacamata yang masih melekap di wajahnya ditanggalkan Leah dengan berhati-hati agar tidak mengejutkan lena pemuda itu. Kemudian kacamata tersebut diletakkan di meja kecil di sisi katil. Selimut dibetulkan untuk menutupi tubuh Jay sehingga ke paras dada. Leah mengelus-ngelus ubun-ubun Jay sambil menatap wajah itu dengan perasaan yang berbelah bahagi. Antara kasih seorang sahabat atau cinta pertama yang masih dalam status ‘complicated’.
Leah mencapai beg sandangnya yang diletak di hujung katil Jay lantas mengeluarkan sesuatu. Buku diari milik Jeremy yang sebenarnya belum dibuangnya. Memang niat asalnya mahu menghapuskan diari tersebut namun apabila melihat keadaan Jay tadi niatnya terbantut. Mungkin masanya masih belum sesuai untuk memisahkan Jay dari diari tersebut.
Diari tersebut diletakkan di atas meja sisi katil bersama-sama dengan kaca mata Jay. Ekor mata Leah masih tidak mampu melepaskan pandangannya terhadap Jay. Perasaannya sebal bila terlampau memikirkan tentang Jay. Mengapa dia yang terjerumus ke dalam masalah Jay sedangkan orang yang sepatutnya menerima beban ini ialah Camie. Namun dia memang tidak boleh mengelak dari mengambil berat tentang lelaki itu. Sejak dari hari pertama dia mengenali Jay sebagai Dew Jeremy Orbido perasaannya sentiasa mahu bersama dengan lelaki itu. Baik sebagai sahabat, musuh, rakan sekutu atau mungkin sebagai pasangan kekasih.
Leah mengeluarkan sejumlah not dari dompetnya. Kemudian dia menuju ke seluar Jay yang tergantung di belakang pintu. Dia menyeluk poket seluar tersebut dan mengambil dompet lelaki itu. Ekor matanya menjeling Jay untuk memastikan lelaki itu masih dalam keadaan lena. Dengan berhati-hati dia menyumbat duit tadi ke dalam dompet Jay. Selepas itu dia menyimpan semula dompet tersebut ke dalam poket seluar.
Itu adalah perkara rutin yang selalu dia lakukan walaupun pada mulanya dahulu Jay berkeras untuk tidak mahu menerima pemberian Leah. Namun Leah terpaksa mendesak Jay untuk menerimanya kerana dia yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga Jay selama ini. Jay tidak perlu tahu dari mana datangnya sumber pendapatan Leah kerana selama ini bukan Leah seorang sahaja yang mengambil berat tentang Jay. Ada seseorang yang sentiasa menjaga Jay dari jauh. Suatu hari nanti segala-galanya akan terbongkar di hadapan mata Jay tapi bukan sekarang.
Leah meninggalkan bilik Jay selepas itu.



*************

BUNYI penggera yang telah ditetapkan setiap pagi dari Salamander membingitkan telinga Jay. Jay terpisat-pisat sambil tangannya meraba-raba ke sekeliling mencari bunyi tersebut. Salamander berjaya dicapai di hujung katil dekat dengan kakinya. Sebentar kemudian bunyi membingit yang cuba mengejutkannya tadi senyap. Jay kembali menarik selimut dan menutup mukanya dengan bantal.
Tidur-tidur ayam.
Kelopak matanya yang masih memberat itu menoleh ke kiri katil, ke meja kecil di sebelah katilnya. Matanya yang kabur melihat ada sebuah buku yang seakan dikenali. Dia mencapai kacamata di atas buku tersebut. Disematkan ke wajah. Pandangannya kembali jelas dan matanya menjadi segar apabila mendapati buku tersebut ialah diarinya yang hilang semalam. Dia bingkas duduk dan mendapatkan buku tersebut dengan senyuman lebar seceria bunga matahari di waktu pagi.
“Leah tak buang diari ni.” Jay memeluk buku tersebut dengan erat sebelum menelentangkan kembali tubuhnya ke dada katil. Barangkali jika Leah ada di hadapan matanya begitulah jua yang dia mahu lakukan terhadap gadis tersebut. Dia gembira kerana dia tidak perlu memikirkan untuk bersengketa dengan Leah setelah mengetahui yang Leah telah membuang diari tersebut semalam.
Sejenak dia memerhati sekeliling biliknya yang telah kembali teratur. Pastinya angkara Leah yang mengemaskan semula rumahnya semalam. Jay bangkit semula. Diari tersebut ditinggalkan seketika di atas katil. Dia keluar dari bilik untuk memeriksa keadaan rumahnya. Dan seperti dalam jangkaannya keadaan di ruang tamu dan seluruh rumah juga kembali kemas tersusun. Leah telah mengemaskannya semula setelah dia terlena tidak sedarkan diri akibat ubat yang diambilnya malam tadi.
Tekak terasa haus lantas dia menuju ke peti sejuk untuk mencari minuman. Senyumannya terus melebar apabila mendapati kotak sederhana besar berwarna pink yang sinonim dengan bungkusan kek. Dia mengeluarkan kotak tersebut setelah meneguk air mineralnya. Kotak kek tersebut dibawa ke meja makan lantas dibuka. Sebiji kek coklat yang pastinya buatan tangan Leah tersua sebaik dia menyelak bungkusan tersebut. Dia kenal dengan bentuk kek yang dibuat oleh Leah. Kek berbentuk bulat itu bertopping coklat masakan dengan taburan hiasan yang kurang kemas. Sebiji strawberry di tengah-tengah.
Kedengaran lagu Koshi Tantan nyanyian Scandal memecah sunyi dari dalam bilik. Jay bergegas pergi mendapatkan Salamander. Dia dapat mengagak siapa yang menelefonnya seawal pagi begitu.
Morning, Sunshine.” Dia menyapa dengan ceria.
Suara di hujung talian serta merta memuntahkan tawa. Leah gembira kerana dapat mendengar suara Jay yang ceria pagi itu.
“Kau dah sihat nampaknya. Aku gembira.”
“Ya. Terima kasih, Leah.”
Small matter. Just treat me some breakfast or lunch.”
Jay tertawa. Leah turut menyambung tawa tersebut. Masing-masing dalam keadaan yang ceria setelah melupakan peristiwa semalam.
“Hmm… tentang semalam…”
“Lupakan sahaja.”
“Tak. Aku rasa aku patut minta maaf pada kau.”
“Leah, walau apapun yang terjadi… walau diari tu betul-betul dah tak ada pun… aku harap dapat percayakan kau sampai bila-bila. Aku sayangkan kau dan tak ada apa yang boleh mengubah perasaan ini… biarpun setelah ingatan aku pulih suatu hari nanti.”

Kata-kata Jay menyesak ke kalbunya. Dew tidak pernah melayannya sebegitu dahulu. Adakah jika memori Jay telah kembali dia akan kekal menyayanginya seperti ini? Kadangkala Leah cuba untuk tidak mengharapkan apa-apa daripada Jay namun sikap Jay membuatkannya teringat bagaimana kecewanya dia apabila mengetahui lelaki itu memilih Camie berbanding dirinya sebelum ini. Mungkin dia perlu bersedia untuk menghadapi situasi yang sama suatu hari nanti setelah memori jay telah kembali.

Bersambung...

No comments: