Kawan2 yg saya Sayang

Monday, March 4, 2013

Aku Bukan Malaikat (Bab13)


Bab13
SUATU masa dahulu…
Dari jauh Mariya berjaya menjejaki kelibat kekasihnya di taman permainan berhampiran kediamannya. Hatinya sungguh girang dan teruja untuk bertemu lelaki yang dirinduinya itu. Dia segera bergegas mendapatkan Hakimi yang sedang duduk di kerusi batu sambil memerhatikan gelagat beberapa kanak-kanak bermain di situ.

“Hai, sayang.” Suara Mariya separuh berbisik di telinga Hakimi.

Serta merta Hakimi menoleh ke belakang. Dia tersenyum tatkala melihat senyuman manis kekasih yang dinanti. Lebih menarik perhatiannya apabila melihat Dhia Mariya yang berbaju kurung warna hijau. Secara tidak sengaja sedondon dengan baju kemeja yang dipakainya hari ini. Terserlah kemelayuan gadis berdarah kacukan itu.

“Dhia…” hanya sepatah nama yang terungkap dari bibir Hakimi menyambut kedatangan kekasihnya itu.

Mariya mengambil tempat di sebelah Hakimi sejenak kemudian. Melihat tingkah Hakimi yang seakan-akan terpukau segera Mariya memetik jari di hadapan muka Hakimi.

“Saya bukan bidadari dari syurga sampai awak nak terpukau begitu sekali.”

Hakimi yang tersedar dari lamunan hanya tersenyum. Dia menggeleng kepala seperti ada sesuatu yang tidak dipercayainya. Sekejap-sekejap Mariya diperhatikannya.

“Hakimi, pelik sangat ke tengok saya berpakaian hari ini?” bunga-bunga rajuk sang kekasih mula memekar.

“Tidak… cuma awak cantik sangat hari ini. Ini kali pertama saya lihat awak berbaju kurung. Terima kasih sebab pakai baju ni.” Sebagai kekasih, Hakimi rasa dihargai apabila Mariya memakai baju yang dihadiahinya itu.

“Awak yang belikan. Mestilah saya kena pakai. Lagipun kan hari ini hari raya.”

Menyebut tentang hari raya Hakimi teringat tentang hajat sebenar dia mahu bertemu Mariya hari ini. Lantas dia mencapai sebuah bungkusan yang dibawanya tadi untuk Mariya.

“Ini untuk awak.”

“Apa ni?” Mariya menerima pemberian Hakimi. Bungkusan di dalam mangkuk tingkat itu dibelek-belek dari luar.

“Rendang dengan ketupat. Saya baru balik dari rumah keluarga Ameer. Ibunya yang bekalkan.”

Mariya membuka sedikit penutup mangkuk tingkat tersebut untuk mencium aroma makanan. Dia tersenyum. Perut terasa lapar sebaik tercium bau rendang ibu Ameer. “Sedapnya bau. Laparlah.”

“Jom kita makan.” Hakimi membuka sedikit ruang. Mangkuk tingkat berisi rendang dan ketupat itu dibuka. “Kalau awak nak tahu rendang ni antara makanan kegemaran kami. Maksud saya Ameer pun suka sangat dengan rendang ni. Ini secret resipi ibu Ameer tau. Sebab itulah awak kena rasa juga.”

“Kalau macam tu saya nak belajarlah buat rendang ni nanti. Manalah tahu suatu hari nanti saya boleh jadi tukang masak berlesen awak.” Mariya menyudu beberapa potong ketupat ke dalam piring kertas diikuti rendang daging.

Dahi Hakimi berkerut sedikit. Cuba memahami maksud kata-kata Mariya.

“Awak tak mahu ke kalau saya masakkan untuk awak suatu hari nanti?”

“Mestilah nak.” Hakimi tersenyum lebar. Akhirnya dia dapat menangkap maksud Mariya. Itulah saat paling bahagia jika dapat mendirikan rumah tangga bersama insan yang dicintainya iaitu Mariya.

Mariya tersenyum bahagia mendengar jawapan Hakimi. Dia tahu apa yang Hakimi rasa adalah sama sepertinya saat ini. Mereka bahagia melalui fasa percintaan ini dan berharap perhubungan ini kekal sehingga melalui fasa seterusnya iaitu perkahwinan.

Namun manusia hanya mampu merancang dan tuhan yang menentukan takdir kehidupan. Siapalah kita hendak melawan takdir yang maha Esa. Kita hanyalah hambaNya yang lemah. Setiap kejadian itu ada sebab dan hikmahnya. Hakimi redha dengan apa yang telah berlaku. Baginya Mariya layak untuk mencari bahagianya tetapi bukan bersamanya. Walaupun dia tidak berterus terang akan sebab tindakannya namun dia yakin suatu hari nanti Mariya akan faham niat sebenar perbuatannya.

“Ibu nak Hakimi tolong?” Kenangan tentang Mariya yang muncul secara tiba-tiba akibat tercium aroma masakan ibu segera dipadam dari kotak memori untuk seketika.

“Eh, Hakimi… ibu dah nak siap dah. Hakimi duduklah di hadapan. Sekejap lagi abah balik kita makan bersama.” Ibu sibuk mengacau rendang di dapur. Hakimi yang baru muncul hanya dikerling sesekali dengan ekor matanya.

“Rendang ibu ni ada power lah. Perut kenyang pun boleh jadi lapar balik. Bila abah nak pulang ni, bu?” Hakimi mengelus perut sambil menjenguk ke luar rumah mengesan kelibat abah yang belum pulang dari ladang kelapa sawitnya. Tidak sabar pula rasanya hendak menunggu makan tengah hari.

“Sekejap lagilah tu,” balas ibu. “Mari sekejap. Tolong rasa rendang ibu ni.”

Pantas Hakimi mendapatkan ibu. “Jangan kata rasa, suruh makan pun saya sudi, bu.”

Ibu geleng kepala sambil tersenyum melihat gelagat Hakimi. Serta merta dia terkenang pada anak lelakinya di Kuala Lumpur. Ameer… ibu masak rendang kesukaan Ameer tapi sayangnya Ameer tak dapat rasa. Apalah yang anak ibu makan di sana…

**********

AROMA daging yang sudah sebati dengan rempah-rempah berlegar di seluruh rumah. Baunya cukup menambat dan membuatkan sesiapa yang terhidu berasa lapar. Mariya tersenyum puas. Rendang Daging istimewa untuk menambat hati Ameer sudah sedia untuk dihidang. Tidak sia-sia usahanya untuk mempelajari masakan tersebut. Walaupun niat awalnya belajar masakan melayu dahulu adalah kerana Hakimi namun skill tersebut berguna untuk orang lain sekarang.

Mungkin Ameer patut rasa bertuah kerana menjadi orang pertama yang makan masakannya… “atau mungkin juga Ameer seorang yang malang kerana rendang ini bakal menjadi makanan terakhirnya.” Mariya tidak tahu kenapa dia semakin berasa mahu menghapuskan Ameer. Walaupun belum cukup bukti tetapi dia tetap menganggap Ameerlah punca Hakimi mahu berpisah dengannya.

Jam sudah menunjukkan tepat pukul 7.00 malam. Rendang daging sudah empuk. Sayur sudah masak. Pencuci mulut juga sudah sedia. Semuanya sudah siap. Cuma tinggal hendak dihidang di meja makan sahaja. Mariya menanggalkan apron. Dia meninggalkan dapur dan bergegas naik ke tingkat atas untuk bersiap sebelum menanti kepulangan Ameer.

Ketika dia mencapai tuala yang disidai di penyangkut baju tiba-tiba dia terganggu dengan bunyi nyaring telefon selular pemberian Ameer. Mariya segera menjawab panggilan tersebut.

“Hello…” Mariya menyapa lembut. Masih lagi berpura-pura baik.

“Mariya, saya tak pulang malam ini…” suara di sana segera memberitahu.

“Apa? Tapi kenapa?” Air muka Mariya tiba-tiba berubah keruh. Ayat yang baru disampaikan oleh Ameer serta merta mencalar roman wajahnya.

“Saya terpaksa ke Johor Bahru atas urusan kerja.” Ameer memberikan alasannya.

“Kenapa mendadak sangat? Bukankah…”

“Awak jangan risau. Saya pergi tak lama.” Ameer segera memintas. Dia tahu Mariya terkejut dengan pemberitahuan itu.

“En. Ameer… tapi saya dah ma…” sekali lagi ayat Mariya tergantung akibat dicantas Ameer.

“Paling lewat pun mungkin dua atau tiga hari sahaja. Awak janganlah risau. Saya akan pulang secepat mungkin.”

“En. Ameer, saya baru siapkan…”

“Okeylah, Mariya. Saya nak cepat ni. Awak jaga diri baik-baik ya. Dan jaga rumah saya sekali. Erm, lagi satu… jangan lupa setiap peraturan yang saya beri pada awak tu.” Ameer langsung tidak memberikan peluang pada Mariya untuk bersuara malah dia seperti mahu lekas-lekas menamatkan perbualan tersebut.

“En. Ameer… En. Ameer… Ameer… Ameer!!!” Talian sudah diputuskan oleh lelaki itu. “Argh!!! Aku dah masaklah. Siapa yang nak makan kalau kau tak balik?!!” Mariya bengang. Rasanya bagai gunung berapi sudah memuntahkan laharnya.  Kemarahannya tidak terkawal lagi sehinggakan telefon selular pemberian Ameer itu dicampak ke lantai. Lain yang dirancang lain pula yang berlaku. Ameer sekali lagi membuatkan Mariya hilang sabar.

Penat dia melakukan segala tugas. Bertungkus lumus dia menyediakan makan malam istimewa untuk Ameer. Hasilnya sia-sia. Ameer seolah-olah dapat menghidu niat tidak baiknya di rumah itu. Nampaknya Ameer bukan bodoh malah lebih bijak dari sangkaannya.


Bersambung...

No comments: