Kawan2 yg saya Sayang

MENCARI DANG WANGI

MENCARI DANG WANGI
Sejarah bukan untuk diulang

Saturday, October 4, 2014

Mencari Dang Wangi (Bab 35)

BAB35
“CIKGU, sejak kebelakangan ni budak-budak kelas asyik bercakap pasal Cikgu Tuah saja,” kata Meon pada suatu hari ketika mereka sedang menghabiskan masa di cyber café pada suatu pagi sabtu bersama Cikgu Jebat.
“Terutama sekali budak perempuanlah.” Shakir yang duduk selang semeja dengan Cikgu Jebat menambah.
“Betul tu. Tiba-tiba pula Cikgu Tuah tu jadi fenomena dalam kelas kita.” Anam yang mengetuk papan kekunci, berperang dalam game DotA suka menyambung cakap-cakap sahabatnya.
Meon dan Shakir menjeling Anam yang tidak menapis kata-katanya di hadapan Cikgu Jebat. Cikgu Jebat hanya diam dan tertumpu pada skrin monitor tanpa memberi sebarang komen terhadap isu yang diangkat oleh mereka bertiga. Lelaki itu seolah-olah tidak berminat. Walhal dalam hati memang sentiasa tidak puas hati kerana dikalahkan dengan mudah oleh abangnya. Namun demi menjaga ke-macho-an di hadapan pelajarnya, dia perlu bersikap kool.
“Cikgu, lepas ni kita nak pergi mana?” Meon bersuara menukar topik perbualan. Tangan tetap khusyuk mengetuk papan kekunci. Mata tetap peka memburu musuh.
“Kita? Apa maksud kamu?” Cikgu Jebat hanya mengerling Meon sekilas. Topik kedua lebih menarik perhatiannya untuk memberikan reaksi berbanding topik tentang Cikgu Tuah a.k.a. Taufiq yang bagaikan sesuatu yang alergi dalam hidupnya kini.
“Cikgu jangan lupa yang cikgu belum bayar upah kami menyiasat Dang Wangi cikgu dulu.” Shakir meleretkan senyuman senget penuh sinis.
“Haish…” Cikgu Jebat mengeluh perlahan. Budak-budak zaman sekarang…
Kedengaran tawa nakal ketiga-tiga anak muridnya selepas itu.

**********

SEMENTARA menunggu kemunculan tiga bersahabat tiba, Jebat berlegar-legar di sekitar pusat membeli belah tersebut. Dia jarang menjejakkan kaki ke Time Square sebenarnya. Baginya Time Square adalah salah satu syurga membeli belah bagi kaum wanita. Memang tempat yang awal-awal akan dipangkahnya untuk keluar dengan mana-mana perempuan. Tapi kalau setakat hendak keluar belanja makan anak-anak murid macam Shakir, Meon dan Anam tu kira okeylah.
Sebuah patung memakai evening dress berwarna Peach membuatkan Jebat berhenti di sebuah kedai pakaian wanita. Di leher patung itu disematkan dengan sehelai selendang bercorak abstrak yang menggabungkan warna-warna merah jambu, biru kundang dan hijau. Dalam kepalanya terbayang suatu susuk tubuh yang menggantikan patung tersebut. Ratna Imani!
Tidak begitu janggal rasanya jika gadis itu memakai pakaian selain daripada baju kurung. Jebat senyum tanpa sedar setiap kali nama dan wajah gadis itu melingkari fikirannya. Namun senyumannya mati secara tiba-tiba beberapa saat kemudian apabila fikirannya lebih kuat dihantui pelukis di bawah pokok yang merupakan arwah Pakcik Arman, ayah Ratna.
Kaki Jebat kembali melangkah, meninggalkan kedai tersebut. Keluhannya tenggelam di hujung rengkung sambil mengharapkan fikirannya segera berhenti memikirkan perkara yang mustahil diantaranya dengan Ratna. Dia perlu menetapkan jarak di antara mereka berdua demi kebaikan Ratna sendiri.
Langkah kaki Jebat tidak pergi jauh dari kawasan kedai pakaian itu apabila terlihat susuk yang sangat dikenalinya di dalam sebuah kedai aksesori wanita. Gadis berambut pendek paras bahu dan memakai topi cap hitam itu nampaknya bersendirian. Tubuhnya hanya bersarung baby T-shirt dan jeans.
Jebat hanya memerhatikan tindak tanduk Mint yang sedang memegang-megang barang-barang di dalam kedai tersebut. Sesekali ekor mata gadis itu mengerling sekeliling seolah-olah mengawasi sesuatu. Jebat berasa curiga lantas masuk ke dalam kedai tersebut sebelum Mint bertindak lebih jauh.
Jebat pantas bertindak mencengkam tangan Mint yang sudah menggenggam seutas rantai perak yang hampir dimasukkan ke dalam poket seluarnya diam-diam. Mint terkejut apabila perbuatannya telah ditangkap. Lebih terkejut lagi apabila yang menangkapnya mencuri ialah gurunya sendiri.
“Cikgu…” tiba-tiba rasa berpeluh-peluh pula sebab kantoi. Sebelum tindakannya disedari orang lain, Mint segera menarik tangannya dari cengkaman Jebat yang bagai sedang menggarinya kini.
“Kamu buat apa ni, Mint?” Suara Jebat separa berbisik tetapi keras. Dia membuka genggaman tangan Mint dan mengambil semula barang yang cuba dicurinya dari kedai aksesori tersebut. Rantai perak itu dipulangkan segera ke tempat asalnya. Dia melakukannya dengan pantas sebelum perbuatan tersebut disedari oleh pekerja yang menjaga kedai tersebut. Kebetulan pelanggan dalam kedai tersebut agak ramai jadi situasi Jebat dan Mint kurang disedari oleh pekedai.
Selepas memulangkan semula rantai yang cuba dicuri Mint tadi Jebat segera menarik gadis tersebut keluar dari kedai tersebut. Berjalan agak menjauhi kedai tersebut sebelum memulakan sesi soal jawab dengan gadis tersebut.
“Sakitlah! Lepaskanlah saya.”
Jebat melepaskan Mint di satu lorong yang agak sepi iaitu di laluan menuju ke tandas. Masih ada orang lalu lalang di situ cuma tidak sesibuk di laluan luar.
“Apa masalah kamu?” Satu soalan yang ringkas tetapi mendalam maknanya ditujukan kepada Mint.
Mint diam. Memalingkan pandangan dari Jebat yang sedang tegas menyoalnya. Soalan pendek gurunya itu ternyata sukar untuk dijawab dengan jujur oleh Mint.
“Nur Amina, cikgu tanya apa masalah kamu sampai nak mencuri di tempat terbuka macam tu?” soal Jebat dengan tegas.
“Yang cikgu nak peduli dengan masalah saya kenapa?” Mint bercakap tanpa rasa bersalah atau takut dengan perbuatan salahnya.
Jebat senyum dalam gelengan. Dia kecewa dengan sikap yang dipamerkan oleh Mint.
“Kamu mencuri di depan mata saya. Lebih baik saya letak jawatan dari jadi cikgu kalau tak halang tindakan salah kamu tu.”
Wajah Mint berkerut. Matanya menjeling Jebat dengan perasaan tidak puas hati. Jebat pula menyilang kedua belah tangannya ke hadapan. Ekor matanya mengawasi kalau ada sesiapa yang lalu berhampiran mereka. Susah pula nak ‘membasuh’ Mint kalau ada orang yang terlihat situasi mereka sekarang. Kebetulan tiada sesiapa pada waktu ini.
“Dengar sini… cikgu takkan pecahkan rahsia kamu cuba mencuri tadi tapi dengan syarat…” Jebat memandang sahaja Mint yang menjelingnya dengan tajam sejak tadi. “…cakap dengan cikgu apa masalah kamu.”
“Erghh… suka sangat nak jaga tepi kain orang. Kalau tak puas hati sangat bawa saja saya pergi ke balai polis. Memang saya dah mencuri pun. Nampak ni…” Mint menyeluk poket dan mengeluarkan seutas rantai tangan yang masih berlabel, bukti yang dia telah mencuri sebelum ditangkap oleh Jebat tadi.
Kalau ada satu perkara yang menjadi punca mengapa Mint melakukan tindakan yang salah begitu pastilah kerana cuba mencuri perhatian ibu atau kakaknya. Gadis itu bukan anak orang miskin yang hidup susah dan melarat sehingga terpaksa mencuri untuk mendapatkan sesuap makanan. Nampaknya dia sengaja membiarkan dirinya berada dalam situasi bahaya supaya dia didapati bersalah dan ditangkap. Itu adalah cara yang paling mudah untuk menarik perhatian ibunya yang sibuk dengan urusan perniagaan sehingga mengabaikan kewujudan dirinya.
Apa agaknya tindakan pelukis di bawah pokok bila melihat anak kesayangannya ini mencuri? Mint bukan budak kecil yang boleh diajar dengan rotan lagi. Dia sudah cukup besar untuk berfikir mana yang baik dan buruk. Cuma fikirannya belum cukup matang dalam melakukan setiap tindakan. Dia perlukan orang yang rapat untuk memahami masalah dalaman yang sedang dilaluinya.
Dengan rasa tanggungjawab Jebat membawa semula Mint ke kedai aksesori tadi untuk meminta maaf seterusnya membayar semua barang yang ada dalam tangan Mint kepada pekedai tersebut. Berlaku sedikit ketegangan diantara mereka pada mulanya setelah mengetahui perbuatan Mint tetapi Jebat berjaya mengawal keadaan dengan berbincang secara baik. Pekedai tersebut akhirnya berlembut hati dan memaafkan Mint disebabkan sikap jujurnya yang mengakui kesalahannya.
“Cikgu, kenapa cikgu selalu back up saya?”
“Saya kan cikgu. Kenalah defend anak murid saya.”
“Tapi…” Mint berasa serba salah. Sudah banyak kali dia melakukan kesalahan tetapi lelaki bergelar gurunya itu masih tetap mempertahankannya.
“Mama awak sihat?”
Apa punya soalan random yang cikgu tanya ni? Soalan tentang mama hanya buat hati Mint bengkak… atau sebenarnya memang begitu cara Cikgu Jebat hendak mengorek masalah yang sedang dihadapinya? Sama seperti ketika dia bergaduh dengan kakaknya dulu dan Cikgu Jebat jugalah yang muncul untuk memujuknya…
“Dah banyak kali cikgu cuba buat temujanji dengan mama awak, tapi mama awak selalu sibuk. Tak apa… nanti cikgu cari peluang lagi untuk jumpa mama awak tu.”
“Dengan anak sendiri pun jarang bercakap, inikan pula dengan orang luar...” mulutnya menggumam kata-kata seakan-akan mengeluh. Jebat yang dapat menangkap kata-kata tersebut hanya senyum; dapat memahami sikap Mint yang dahagakan perhatian daripada keluarga terutama sekali daripada ibunya.
“Buat apa nak jumpa mama saya? Bukannya boleh selesaikan masalah pun.”
“Abah awak tentu tak gembira melihat keadaan keluarga awak sekarang.”
“Keluarga kami takkan berpecah belah kalau bukan disebabkan abah.”
Langkah kaki Jebat tiba-tiba terhenti sebaik mendengar apa yang terluah dari mulut Mint. Gadis itu nampaknya sedang menyalahkan ayahnya sendiri biarpun lelaki itu sudah lama meninggal dunia. Dia kenal pelukis di bawah pokok yang sangat menyayangi anak-anaknya. Tiada sehari dalam hidup pelukis di bawah pokok tidak menyebut tentang anak-anak yang dikasihinya setiap kali bertemu Jebat dahulu. Adakah patut hanya disebabkan sebuah tragedi seorang anak berhak menghakimi tindakan ayahnya sedangkan manusia tidak layak menentang takdir yang ditetapkan oleh ALLAH?
Tapi… apa bezanya aku dengan Mint? Aku juga tidak menerima ayah. Lebih teruk lagi aku tidak mengakui kewujudannya sehingga dia telah tiada sekarang.
“Mint…”
Langkah Mint yang sudah mendahului Jebat tadi terhenti. Dia berpusing semula dan mendapatkan Jebat yang tiba-tiba sahaja berhenti melangkah.
“Awak salahkan abah awak?”
Kedengaran keluhan dari rongga hidung yang dibebaskannya. “Orang dewasa selalu rasa betul dengan setiap tindakan mereka dan anggap budak macam saya tak layak untuk bersuara. Jadi layakkah saya nak salahkan sesiapa kalau semua orang simpan rahsia masing-masing sebab anggap saya masih budak-budak untuk faham masalah orang dewasa?”
Jebat tidak membalas kata-kata Mint yang sudah kembali berjalan di hadapannya.
Jadi… layakkah aku menghukum seseorang yang tanpanya tiadalah kelahiranku di dunia ini? Taufiq… mungkin dia muncul untuk mewujudkan semula peluang kedua di antara kami. Mungkin nenek betul, Taufiq tak berniat nak rampas apa-apa dari aku. Dia cuma nak jernihkan semula hubungan kami sekeluarga dan nak betulkan pandangan aku terhadap ayah. Patutnya aku bersyukur sebab ada abang seperti Taufiq yang…
Langkah kaki Jebat terhenti apabila Mint berhenti mengejut di tengah-tengah laluan. Terbenam terus lamunannya memikirkan hubungannya dengan Taufiq sebentar tadi. Jebat tidak sempat bertanya akan tindakan Mint apabila gadis itu beranjak ke tebing dinding sebelum menegur tiga susuk tubuh yang sedang terhendap-hendap melihat ke satu arah. Shakir, Meon dan Anam nampaknya sedang khusyuk menjadi pengintip.
“Hoi, apa korang bertiga buat ni?” sergah Mint sambil menepuk belakang ketiga-tiga rakan sekelasnya itu.
“Mint?!” Masing-masing terkejut dengan sergahan Mint. “Apa kau buat di sini?”
“Tunduk cepat…” Meon menarik Mint agar merendahkan tubuhnya kerana mereka sedang mengintip seseorang yang sedang berada di luar sebuah café di satu sudut di sekitar pusat membeli belah tersebut.
“Korang buat apa ni?” Mint terpinga-pinga sambil matanya memerhati keadaan sekitar.
Cikgu Jebat diam-diam memerhati dari belakang mereka berempat.
“Cikgu Tuah tu… nampak tak?” Mulut Shakir tajam memuncung ke satu arah. Meon menolak muka Mint menghadap ke arah Cikgu Tuah yang sedang mereka perhatikan sejak tadi.
Cikgu Jebat memicing pandangannya ke sebuah meja di sudut tepi luar café yang terkenal dengan hidangan kopi luar negaranya yang dipercayai hebat. Keadaan café yang tidak terlalu ramai pengunjung itu memudahkannya mengesan Taufiq yang sedang duduk berbual mesra dengan seorang wanita. Di atas meja terdapat dua gelas jernih yang masih penuh dengan minuman berkafein yang sejuk.
Wanita muda bertahi lalat di tebing bibirnya yang merah bak delima itu berpenampilan menarik dengan menggayakan blaus tanpa lengan yang depadankan dengan mini skirt yang menyerlahkan kulit gebunya. Kakinya yang panjang persis model cat walk itu duduk dengan sopan sambil menyilangkan kedua belah kakinya. Rambut hitamnya yang panjang dibiarkan bebas beralun melepasi paras dada. Dia bukan gadis yang selalu menghantar Taufiq ke sekolah setiap pagi. Jebat pasti dengan apa yang dilihatnya.
Handsomenya Cikgu Tuah…”
Nipis sangat telinga Jebat untuk mengesan pujian tersebut dari mulut Mint. Bibirnya diketap geram sambil matanya memicing ke arah Mint sebelum kembali ke arah Taufiq semula. Pemuda tersebut tidak nampak terlalu formal walaupun menggayakan kemeja merah jambu tua yang dipadankan dengan vest warna kelabu di tubuhnya. Di lehernya disematkan reben hitam agar nampak lebih kemas penampilannya. Rambut ikalnya terlindung disebalik topi di atas kepala. Satu perkara yang sinonim dalam setiap penampilan Taufiq adalah warna merah. Pasti ada warna merah walaupun sedikit; mencerminkan minat taufiq terhadap warna tersebut.
“Tapi mana satu girlfriend Cikgu Tuah sebenarnya? Semuanya hot-hot. Yang hari tu meletup ala-ala Fazura. Yang hari ini lagi hot, cantik macam Nina Dobrev.” Mata Shakir lebih tajam tertumpu kepada gadis cantik di samping Taufiq itu.
Aku tarik balik kata-kata aku terhadap Taufiq tadi. Dia memang abang yang tak boleh dipercayai… kaki perempuan rupanya!
“Cikgu Jebat!” Anam meleretkan sengihannya sebaik menyedari Jebat sedang berdiri di belakang mereka. Serentak selepas itu Shakir dan Meon berdiri tegak menghadap Jebat. Berhenti mengintip Cikgu Tuah. Masing-masing senyum menyeringai penuh makna di hadapan Cikgu Jebat. Mint tertanya-tanya dalam hati melihat tingkah mereka bertiga yang bagai menyimpan agenda tersembunyi terhadap Cikgu Jebat.
“Dah puas mengintip?”
Masing-masing garu kepala yang tidak gatal sambil berbalas pandangan antara satu sama lain.
Jebat sudah mengatur langkah. Dia tidak memerlukan jawapan yang wajar untuk soalannya tadi. Sekadar mahu memerli tingkah mereka berempat.

“Cikgu… cikgu… cikgu…” masing-masing segera menyaingi guru mereka termasuklah Mint juga yang lama kelamaan mula serasi dengan sikap Jebat yang sering mengambil berat akan para pelajarnya.

Mencari Dang Wangi (Bab 34)

BAB34
“YA, nek… okey, nek… Taklah, Bat okey… Betul. Mana berani tipu nenek…” Kakinya dihayun dengan santai menuju ke kantin sambil terus melayan perbualan nenek dalam telefon.
“Tengah kerja ni, nek…” dia mula mencari alasan untuk menamatkan panggilan. Bukannya jemu hendak bercakap dengan nenek. Cuma sejak kebelakangan ini dia selalu diasak dengan soalan yang kurang digemarinya iaitu tentang pindah ke rumah Taufiq. Topik tersebut memang sudah dipangkah sejak dari awal lagi oleh Jebat.
“Bukan mengelak...” garu kepala yang tidak gatal. Tertekan juga lama-lama dengan desakan nenek. “Hujung minggu nanti, kita bincang lagi ye nek. Bye, nek.” Dia menamatkan panggilan selepas mengucapkan salam pada nenek.
Langkah kakinya sudah sampai di hadapan kaunter Kak Shila. Perempuan bersuara itik itu menguntumkan senyuman menyambut pelanggannya. Gincu bibirnya yang berwarna merah terang itu seolah-olah cuba memikat setiap pelanggan yang datang ke kantin (walhal kebanyakan pelanggan tersebut adalah dari kalangan pelajar dan guru sahaja).
Cikgu Jebat tak menoleh langsung ke meja yang menyediakan lauk pauk untuk nasi campur sebaliknya pandangannya lebih gian hendak melihat ke tabir yang memisahkan ruang dapur tempat Ratna bekerja.
“Cikgu nak makan apa hari ini?” tanya Kak Shila.
Cikgu Jebat masih lagi tidak bersuara. Hanya matanya sahaja yang meneroka ke belakang Kak Shila, seolah-olah melihat bayang yang dirinduinya di situ.
“Cikgu Bat… Ohh~~ Hang Jebat!” tapak tangan Kak Shila melambai-lambai di hadapan mata Cikgu Jebat yang termenung di hadapannya.
“Akak Comel, Milo Ais satu!” Satu suara yang muncul dari belakang Cikgu Jebat mengalihkan perhatian Kak Shila dan Cikgu Jebat. Masing-masing menoleh ke belakang.
“Awak ni…?” Anak mata Kak Shila yang berwarna coklat kerana memakai contact lense itu terkedip-kedip memandang susuk asing yang tidak pernah dikenalinya itu.
“Kalau yang ini Hang Jebat, sayalah Hang Tuah nya.” Dia cuma menguntum senyuman kepada Cikgu Jebat yang sedang terkesima memandang kepadanya.
“Cikgu Taufiq a.k.a. Tuah tu kan?”
Senyum sahaja jejaka tersebut kepada Kak Shila.
“Ohh… I likeee. Saya Shila. Panggil saja Kak Shila ye. Shamim, cepat siapkan Milo Ais istimewa untuk Cikgu Tuah.” Panjang senyuman Kak Shila. Sempat juga dia mengenyitkan mata kepada jejaka tersebut. “Makan, cikgu?” Cikgu Jebat yang masih terpacak di situ sudah tidak dihiraukan lagi. Tumpuannya hanya kepada guru baru tersebut.
“Makan…” belum sempat dia hendak bercakap, Jebat telah menariknya menjauhi kaunter Kak Shila.
“Apa kau buat di sini?” soal Jebat dengan curiga.
“Tak dengar ke akak jaga kantin tu panggil apa?” Taufiq tersengih sahaja melihat kerlingan tidak puas hati Jebat terhadapnya. “Cikgu Tuah.” Kakinya diatur untuk kembali mengambil pesanan makanan.
“Eh, kejap!” Jebat menghalang langkahnya. “Apa motif kau datang ke sini jadi cikgu?”
Taufiq tidak memberikan jawapan melainkan seulas senyuman yang menyakitkan hati Jebat.
“Kalau kau nak pujuk aku untuk tinggal dengan kau di rumah mewah kau tu, baik lupakan sahaja. Sampai mati pun hubungan kita sebagai adik beradik takkan berhasil.” Suara Jebat keras dan tegas tetapi masih dikawal perlahan nadanya agar tidak disedari oleh orang sekeliling yang berada di kantin tersebut.
“Hmm… really?” Taufiq masih dengan senyuman yang tadi. Langsung tak terkesan dengan sikap degil Jebat. “Kau rasa abang ni terdesak sangat ke nak cari kau sampai ke sini?”
Jebat diam. Dahi berkerut dan mata masih tajam mencerling Taufiq.
“Jangan risau. Ada yang lebih penting aku nak buat selain pujuk kau, Jebat.” Dia menepuk bahu Jebat seraya mengatur langkah kembali ke kaunter Kak Shila apabila terlihat Ratna berada di samping Kak Shila. Di tangannya sedang menatang dulang berisi pinggan makanan yang dipesan oleh salah seorang guru.
“Hai, Ratna.” Tegur Taufiq sambil melambai tangannya kepada gadis tersebut.
Ratna tersenyum menampakkan kegirangannya apabila ditegur oleh pemuda tersebut. Dia mengangkat ibu jarinya kepada Taufiq sambil mengangguk. Seolah-olah ada sesuatu rahsia diantara mereka berdua.
“Haa… kenal dengan Ratna rupanya. Hati-hati… ada yang memerhati. Jangan sampai kena gossip.” Kak Shila mengusik nakal.
“Amboi, Kak Shila nak take over kerja Kiah Propa dekat Galaxy tu ka?” Taufiq hanya ketawa. Ratna sekadar tersenyum dan menggeleng sebelum melangkah keluar dari situ untuk menghantar pesanan makanan.
Jebat yang sedang memerhati mula terasa ada sesuatu yang bakal menjadi pencabarnya. Tiba-tiba terasa panas sangat dalam kantin ni. Sempat dia menjeling Ratna yang sedang bekerja tanpa mempedulikannya sejak tadi… wah wah wah, dengan Taufiq bukan main lagi dia mesra. Dengan aku tegur pun tak.
Dan bermula dari hari tersebut setiap perkara yang dilakukan oleh Jebat sentiasa tidak lancar. Walaupun Taufiq cuma menjadi guru sementara yang menggantikan Cikgu Sarimah yang cuti bersalin tetapi dalam tempoh yang singkat itu dia mampu menarik perhatian pelajar untuk suka kepadanya.
Kejadian pertama yang dikesan Jebat apabila terlihat cara Taufiq mengajar subjek Sejarah dalam kelasnya. Waktu itu Jebat mengajar di kelas bersebelahan dan secara tidak sengaja dapat melihat Taufiq yang bukan seorang guru sebenar mengajar subjek yang diluar pengetahuannya.
Pemuda itu dilihat Jebat memegang buku teks, membacanya secara kuat sambil berjalan diantara meja pelajar. Semua pelajar tekun menghadap buku teks masing-masing. Baik sungguh para pelajarnya bila guru baru mengajar kelas mereka.
“…Mesopotamia berasal daripada perkataan bahasa Yunani yang bermaksud di antara dua batang sungai. Mesopotamia terletak di kawasan lembah antara dua batang sungai iaitu Sungai Tigris dan Sungai Euphrates. Sungai ini mengalir dari kawasan pergunungan di Turki ke tanah lembah pamah di Iraq sampai ke Teluk Parsi. Tamadun Mesopotamia berkembang bla… bla… bla… dan blaaa…” Taufiq yang sudah kembali berdiri di hadapan kelas sudah mula bosan membaca fakta sejarah yang berjela-jela panjang karangannya itu.
Buku yang dipegang lantas ditutup tanpa ditanda muka surat yang dibacanya. Dia memandang kelas. Semua pelajar hanya diam dan tertumpu kepadanya dengan buku masing-masing yang terbuka di atas meja.
“Baiklah… sampai di sini sahaja untuk hari ini. Ada apa-apa soalan?” soalnya pada seluruh pelajar dalam kelas. Matanya memerhati setiap seorang pelajar di situ. Ada yang berbisik-bisik sesama sendiri. Ada yang tekun memandang buku teks sejarah untuk memikirkan apa-apa soalan yang hendak diajukan. Ada yang tak peduli pun dengan Taufiq yang sedang mengajar dan selamba sahaja tidur di atas meja.
“Cikgu, apakah kerajaan-kerajaan yang terdapat semasa tamadun Mesopotamia?” Seorang pelajar berseragam pengawas perpustakaan mengangkat tangan dan terus menanyakan soalannya sebelum sempat mendapat izin dari Taufiq.
“Kecuali soalan sejarah, kamu semua boleh tanya apa-apa soalan kepada saya.” Senyum tanpa rasa bersalah.
Semua pelajar terkejut dan terpinga-pinga.
Taufiq menarik kerusi di meja guru ke tengah bahagian hadapan kelas. Sebaik mendengar kata-kata Taufiq serta merta beberapa orang pelajar mengangkat tangan dan berebut-rebut hendak bertanyakan soalan kepada guru sementara yang menggantikan guru sejarah mereka itu. Pastilah soalan-soalan peribadi tentang Taufiq yang lebih menarik perhatian mereka semua. Terutama sekali Mint yang sememangnya teruja sebaik mengetahui guru baru itu merupakan jiran barunya yang pernah diceritakan kepada George sebelum ini. Sudahnya kebanyakan mereka berkumpul di sekeliling Taufiq dan mereka hanya berbual sepanjang masa kelas tanpa menyentuh tentang subjek sejarah. Nampaknya subjek sejarah bukan sahaja tidak diminati oleh Taufiq, malah kebanyakan pelajar di dalam kelas tersebut.
Jebat yang mengintai secara senyap sejak tadi hanya menggeleng dan mengeluh sebelum kembali masuk ke kelasnya semula.
Kejadian kedua ketika Jebat hendak masuk mengajar ke dalam kelasnya. Secara kebetulan (atau takdir agaknya) dia terdengar pelajar-pelajar perempuan sedang bergosip ketika melalui pintu belakang kelas. Adakalanya dia memang sengaja masuk ikut pintu belakang kelas untuk bikin surprise kepada pelajar-pelajarnya.
Seriously, cikgu baru yang ganti Cikgu Sarimah tu jiran baru kau?” Abby mencengkam bahu Mint bertanya dengan nada teruja. Kaca mata berbingkai hitam yang tersangkut di mukanya hampir melurut tetapi sengaja dibiarkan.
“Kerat leher aku lah kalau aku bohong.” Mint muka penuh yakin dengan kening terangkat sebelah bercerita.
“Eh, Cikgu Tuah tu single lagi kan? Dia tinggal dengan siapa? Dengan family dia ke?” Shika pula bertanya sebelum mengambil tempat di tempat duduk George, di sebelah Mint.
“Entah. Tak tau. Tapi kali pertama aku jumpa dia, Cikgu Tuah dengan seorang perempuan bawa kereta besar. Cantik. Seksi pula tu.” Mint menukar gaya duduknya agar lebih fokus dalam perbincangan mereka. Nak bergosiplah katakan. Dua orang teman sekelas datang menyelit dalam kumpulan tersebut untuk sama-sama mendengar topik hangat yang mereka gosipkan.
“Hah. Dia dah ada girlfriend lah maksudnya.” Shika muka hampir kecewa.
“Perempuan tu specky kan. Selalu sanggulkan rambut perang dia. Pakai suit macam orang kerja pejabat. Muka ala-ala Fazura. Betul tak, Mint?” Abby lancar menyatakan fakta.
“Betul. Mana kau tau, Abby?” Mint terkejut sampai melongo. Begitu juga dengan yang lain-lain.
Semua mata tertumpu pada Abby. Kali ini Lisa dan Husna muncul untuk masuk campur mendengar mereka bergosip memandangkan guru subjek Matematik belum masuk lagi.
Rupanya tiada yang sedar Cikgu Jebat sedang terpacak di sebelah pintu belakang kelas, fokus memasang telinga mendengar gossip mereka.
“Sebab pagi tadi aku nampak perempuan tu hantar Cikgu Tuah pergi sekolah!” Mata Abby membulat. Macam tengah geram, macam tengah teruja pun iya juga.
Semua yang berada dalam kelompok tersebut terkejut. Kedudukan mereka semakin rapat antara satu sama lain.
“Nampaknya dia dah tak single lagi lah tu.” Melepaslah.
“Tapi dia baik kan. Sporting kot dalam kelas. Aku suka dia masuk kelas kita. Faham-faham saja yang kita bosan dengan subjek Sejarah tu.”
Mint dan yang lain-lain ketawa mendengar komen Lisa tentang guru baru mereka.
“Tapi aku suka Sejarah.”
Krik… Krik… Krik…
Pendapat Shika yang secara tiba-tiba telah mematikan tawa semua orang. Shika yang sikapnya lurus itu hanya membuatkan mereka kehilangan kata-kata.
“Korang rasa Cikgu Tuah tu ada kaitan ke dengan Cikgu Jebat tak?” Abby membuka persoalan baru.
Telinga Cikgu Jebat semakin tajam apabila mendengar namanya disebut.
“Apasal pula?” soal Mint.
“Seorang Tuah, seorang Jebat. Manalah tau kot-kot adik beradik ke.” Dia membuat tekaan rawak yang sebenarnya benar tetapi hakikatnya tidak diketahui sesiapa dalam sekolah tersebut.
Mereka semua ketawa. Seolah-olah menganggap yang kenyataan tersebut amatlah mustahil. Apa tidaknya bila melihat langsung tiada persamaan diantara Cikgu Tuah dan Cikgu Jebat.
“Memang taklah. Cikgu Tuah handsome macam CR7 kot. Cikgu Jebat tu… gemuk!” Mint menyuarakan pandangannya dengan tawa yang masih bersisa.
Panas je hati tuan badan yang sedang mencuri dengar di balik pintu.
“Hoi, selamba je kutuk guru kelas sendiri. Cikgu Jebat bukan gemuklah. Dia sasa tau. yang penting muka memang melayu tulin. Kalau duduk sebelah Beto Kusyairy confirm Beto tergugat dengan Cikgu Jebat tau. Tak macam Cikgu Tuah tu. Jambang je bajet macho.” Ada pula yang bersuara menyebelahi Cikgu Jebat. Siapa lagi kalau bukan Husna si pengawas sekolah itu. Sekurang-kurangnya Husna buat hati Cikgu Jebat kembang.
“Yelah tu. Muka jawa adalah.” Kutuk Mint lagi. Biasalah Mint memang anti sikit dengan Cikgu Jebat selama ini.
“Jawa handsome apa.”
“Eh eh, dahlah. Apa ni, pasal cikgu pun nak bertekak.” Lisa bertindak menghentikan perbalahan di antara mereka semua.
“Korang, CR7 tu siapa?”
Krik… Krik… Krik…
Sekali lagi Shika bikin spoiled, bertanya soalan yang boleh mematikan mood orang nak bergosip.
“Christiano Ronaldo lah, Shika.” Abby geleng kepala.
“E’ehem…” sengaja Cikgu Jebat melangkah masuk ketika perbualan tersebut belum tamat.
Kelam kabut mereka bergegas kembali ke tempat duduk masing-masing selepas itu. Riak muka Mint tiba-tiba cuak. Dalam kepalanya terfikir persoalan, berapa lama agaknya Cikgu Jebat memerhatikan mereka tadi. Sempat dia mengerling George yang sudah kembali ke tempat duduknya selepas menghilang entah kemana tadi. Air muka George serius. Langsung tidak memaniskan roman wajahnya ketika membalas pandangan Mint. Entah kenapa moody pula tiba-tiba.

Mencari Dang Wangi (Bab 33)

BAB33
RATNA menunggu Taufiq di lobi hotel tempat kediaman sementara pemuda itu. Dia baru memberitahu Taufiq tentang kehadirannya melalui sms dan jawapan yang diberikan oleh Taufiq memintanya agar menunggu beberapa minit lagi kerana dia masih dalam perjalanan pulang ke hotel. Sementara menunggu kemunculan Taufiq, Ratna duduk sebentar di sofa yang terdapat di ruang legar lobi tersebut. Sesekali ekor matanya memerhatikan pengunjung yang masuk dan keluar. Ada yang berambut perang dan bermata biru. Ada juga yang berjambang dan hidung mancung. Tidak kurang juga yang kecil-kecil tubuhnya dan bermata sepet. Ramainya dari kalangan pelancong. Yang bernama melayu juga ada tetapi tidak ramai, bukan pelancong. Ada juga yang singgah di ruangan penyambut tetamu dan penyambut tetamu berwajah pan asia itu sentiasa tersenyum dan fasih bertutur dalam bahasa Inggeris. Janggalnya apabila mendengar bahasa melayunya pula yang tak begitu teratur tuturannya.
“Ratna.”
Sedang Ratna leka memerhatikan ragam manusia, tanpa sedar Taufiq sudah berdiri di belakangnya. Ratna mengilas kepalanya dan sebaik melihat Taufiq dia segera bangkit dari duduknya. Dia tersenyum kepada Taufiq yang nampak berbeza dari segi penampilannya kali ini. Kalau sebelum ini lagak penampilan Taufiq terlalu santai ala-ala pelancong asing di Kuala Lumpur tapi kali ini lelaki itu lebih formal dengan kemeja merah pucat dan seluar slack yang dipadankan dengan tali leher berwarna putih mutiara. Kot hitamnya tidak dipakai. Cuma di sangkut di lengan kiri.
“Dah lama tunggu saya? Maaf, terlambat.” Taufiq menghampiri Ratna.
Ratna masih dengan senyuman tadi sambil menggeleng tanda tidak kisah menunggu Taufiq di situ.
“Saya rasa saya laparlah. Jom temankan saya makan.”
Ratna terkulat-kulat mendengar ajakan Taufiq. Lelaki itu mendepangkan sebelah tangannya menjemput Ratna berjalan menuju ke sebuah restoran di dalam hotel bertaraf lima bintang itu. Ratna melangkah teragak-agak.
Tanpa disedari Ratna, ekor mata Taufiq menjeling ke satu arah dimana Jameelah masih lagi berdiri terpacak dengan mulut terlopong melihat aksinya bersama seorang lagi gadis yang dipercayai Jameelah sebagai skandal terbaru majikannya itu. Taufiq melambaikan tangan kepada Jameelah yang menghantarnya pulang dari pejabat tadi. Sarah Jameelah yang berkemeja hitam mengikut potongan badan dengan skirt paras lutut berwarna putih itu menjulingkan bola matanya kepada Taufiq sebelum beredar dari ruang lobi hotel. Taufiq pula sekadar mengulum senyuman di dalam mulut.

SEBAIK melabuhkan punggung di dalam restoran, tanpa dipanggil, seorang pelayan datang untuk mengambil pesanan Taufiq dan Ratna. Ratna hanya menjeling sebelah mata sahaja buku menu di atas meja sedangkan Taufiq begitu tekun memilih makanan yang hendak di pesan. Tidak sampai seminit membaca menu tersebut, mulut Taufiq dengan lancarnya memesan berbagai-bagai makanan kepada pelayan yang sedang memegang gajet berbentuk tablet untuk mengambil pesanan pelanggan secara atas talian.
“Awak nak makan apa, Cik Ratna?” soal Taufiq.
Kelopak mata Ratna terkedip-kedip memandang Taufiq. Bukan kerana dia kekok hendak memesan makanan dalam restoran ‘orang kaya’ ini tetapi dia berasa takjub melihat Taufiq memesan terlalu banyak makanan sedangkan mereka cuma berdua yang hendak makan di meja tersebut.
“Awak tak tahu nak order ya? Biar saya tolong…”
Ratna cepat-cepat mengangkat tapak tangannya ke hadapan Taufiq sebelum sempat Taufiq membuat pesanan kepada pelayan lagi. Ratna menyentuh pelayan tersebut supaya pemuda tersebut tertumpu kepadanya. Tangan Ratna menuding pen di dalam poket baju pelayan tersebut dan pelayan tersebut yang pantas memahami kehendak Ratna segera memberikan pennya kepada gadis bisu itu. Ratna mengambil sehelai tisu di atas meja dan menulis sesuatu kepada pelayan tersebut. Taufiq menjeling tulisan Ratna dari hadapan.
‘Cancel kan semua yang dia order.’
Pelayan lelaki yang nampaknya masih sangat muda itu mengerutkan dahi. Terpinga-pinga dengan arahan pelanggannya. Ratna membuka semula buku menu dan menuding satu set makanan yang paling murah tetapi mengenyangkan perut. Dia mengangkat dua jarinya kepada pelayan tersebut tanda dia mahukan dua set makanan tersebut. Minuman berkafein yang dipesan oleh Taufiq tadi pula digantikan dengan Jus Barli. Pelayan muda itu terangguk-angguk mengikut arahan Ratna selepas melihat reaksi Taufiq yang nampak tidak puas hati tetapi tidak pula hendak membantah gadis tersebut.
Selepas pelayan lelaki itu berlalu, Ratna berhadapan semula dengan Taufiq yang berwajah ketat tanda tidak puas hati dengan tindakannya tadi.
“Ratna, abang betul-betul lapar tau. Kenapa awak buat macam tu tadi?”
‘Tak elok membazir. Saya cuma nak tolong Abang Taufiq berjimat.’ Ratna menolak nota yang dicontengnya di atas kertas tisu kepada Taufiq. Senyuman di wajahnya cuba menghalang bunga-bunga kemarahan Taufiq daripada mekar.
“Saya ada duit… even nak tempah satu restoran ni pun boleh tau.”
Amboi, berlagak pula… Ratna menggerak-gerakkan jari telunjuknya, serentak dengan gelengan kepalanya yang tidak bersetuju dengan kata-kata Taufiq.
‘Berjimat bukan sebab tak ada duit. Kaya bukan tiket untuk kita berbelanja dengan sewenang-wenangnya. Saya ajar satu cara untuk nikmati kehidupan dengan gembira tanpa perlu mengeluarkan duit yang banyak.’
Masih jelas kerutan di dahi Taufiq yang tidak puas hati namun tetap tertarik dengan sikap Ratna yang cuba mengajarnya bab berbelanja. Sejujurnya dia tidak pernah memikirkan apa yang dibelanjakannya selama ini. Wang bukan isu utama yang menjadi permasalahan dalam hidupnya sejak kecil. Setakat makan di restoran-restoran lima bintang pun, dia jarang memikirkan berapa nilai yang dibelanjakannya. Apatah lagi dia jarang menggunakan wang tunai.
‘Setiap perkara yang kita buat perlu bermula dari sini.’ Dia menyentuh dadanya, menunjuk ke arah hatinya. Taufiq dapat memahami bahasa isyarat Ratna. Biasanya jika dia tidak faham dia akan segera bertanya sebelum tangan Ratna laju menari setempat bagaikan konduktor muzik apabila membuat bahasa isyaratnya.
“Awak nak saya rasa dari hati?”
Ratna senyum. Senang hati bila Taufiq mudah menangkap apa yang hendak disampaikannya.
Makanan yang dipesan sampai.
“Macam mana?”
‘Apa yang Abang Taufiq suka makan?’ soal Ratna sebelum menolak pinggan makan di hadapannya ke tengah meja. Dua set makanan yang dipesannya itu adalah untuk Taufiq kerana lelaki itu mengatakan yang dia terlalu lapar tadi.
“Hmm… sekarang saya rasa nak makan steak.”
‘Pejam mata dan bayangkan apa yang abang kunyah sekarang ialah steak.’
“Boleh ke?” Taufiq mengerutkan dahi. Merasakan usul Ratna agak tidak logik.
‘Cetusan rasa hati akan meransang minda untuk mempercayai setiap tindakan kita. Abang akan bergembira dengan apa yang abang makan walaupun hanya sekeping roti. Percayalah.’ Ratna menulis pada tisu lagi sebelum diserahkan kepada Taufiq. Ini adalah tisu yang ke tiga diambilnya untuk menulis.
Taufiq diam dan memandang nota pada tisu. Bukan sahaja kata-kata Ratna, malah tulisan Ratna yang kemas walaupun bersambung-sambung itu membuatkan Taufiq berasa gembira. Dia cuba mengikut saranan yang dicadangkan oleh Ratna. Dan hasilnya…
“Sedap nasi goreng ni… macam makan steak.” Dia tertawa, masih berusaha membayangkan makanan yang sedang dikunyahnya.
Ratna senyum-senyum kecil sambil mengangkat ibu jari tanda bagus.
“Oh ya, kenapa air Barli?” soal Taufiq lagi selepas itu.
‘Barli membantu memulihkan tenaga. Abang kan baru balik kerja. Tentu abang penat.’
Taufiq tersenyum lagi sambil mengangguk-ngangguk. Semakin hari sikap Ratna semakin menarik perhatiannya.
“Terima kasih, Ratna.”
Ratna mengangguk sambil menunjukkan isyarat ‘sama-sama’ kepada Taufiq.
Mereka berdua kembali menyudahkan makanan masing-masing. Ratna cuma memesan minuman kerana belum sampai waktu makan untuknya. Lagipun dia tidak begitu lapar.
‘Boleh saya tanya sesuatu?’ fikiran Ratna terlintas untuk bertanya soalan yang sudah sekian lama bersarang di fikirannya sejak sebelum dia sampai menemui Taufiq tadi. Memang tujuannya bertemu Taufiq petang ini adalah kerana perkara tersebut.
‘Apa yang berlaku di antara Abang Taufiq dengan Cikgu Jebat?’
Taufiq berhenti menyuap makanan. Sebaik menghabiskan makanan yang telah dikunyah di dalam mulut, dia menyedut Barli Ais dalam gelas panjang berwarna jernih itu. Ratna nampak sabar menunggu Taufiq membuka mulut.
“Awak tak tanya Jebat?”
Pandangan mata Ratna jatuh ke meja. Taufiq tentu tidak tahu selama dua minggu ini Jebat seolah-olah mengelak dari bertembung dengannya. Kalau bukan kerana sikap Jebat itu pasti Ratna tidak mengambil keputusan untuk bertemu dengan Taufiq hari ini.
“Sebenarnya hubungan ibubapa kami bermasalah sehingga menyebabkan saya dan Jebat berkonflik setelah kami dewasa. Kami tak pernah berjumpa sebelum ini. Jadi sangat sukar bagi Jebat nak terima saya sebagai abang.”
‘Ibubapa awak masih ada?’
Taufiq menggeleng dengan seulas senyuman tawar.
“Selama ini Jebat tak kenal siapa keluarga dia selain daripada nenek. Ibubapa kami bercerai sewaktu Jebat belum lahir lagi. Saya ikut ayah berhijrah ke Australia selepas itu. Ibu pula meninggal dunia selepas beberapa bulan Jebat dilahirkan. Pendek kata… Jebat yatim sebelum waktunya.” Kedengaran keluhan yang memberat di tangkai pernafasan Taufiq sebaik menokhtahkan bicara. “Saya muncul bukan kerana hendak membetulkan kesilapan ibubapa kami. Saya abang dia. Saya cuma nak dia tahu, selain daripada nenek, dia masih ada abang sebagai salah seorang keluarga yang ambil berat tentang dirinya.”
Kesihan dia. Lelaki yang selama ini aku anggap sentiasa ceria dan ramah rupanya mempunyai sejarah hidup yang memeritkan. Tentu banyak yang dipendam dalam jiwanya selama ini. Sukar untuk membaca kesedihan dalam lubuk jiwa Cikgu Jebat kerana lelaki itu selalu sahaja ceria pada luarannya. Kalau dia susah hati pun hanya kerana memikirkan masalah-masalah pelajarnya. Sejujurnya aku tidak pernah bertanya tentang latar belakangnya dengan lebih mendalam. Apa agaknya yang dapat aku bantu agar hubungan mereka dua beradik jernih seperti yang sepatutnya?
“Nenek kata perangai Jebat berubah sejak kebelakangan ni. Bila nenek tanya apa-apa soalan, dia tak pernah berikan jawapan lebih daripada tiga patah perkataan. Yang peliknya bila saya buka mulut bercakap dengannya, dia akan balas dengan seratus patah perkataan untuk setiap soalan saya… tapi dalam bentuk herdikan dan kata-kata yang kasarlah.” Kedengaran tawa di hujung kata-kata Taufiq. Tidak pernah terkesan dengan sikap dingin Jebat terhadapnya.
Ratna mengulas senyuman tipis.
Makanan yang bersisa ditolak ke tengah meja. Taufiq bermain-main dengan straw minuman dalam gelas. “Saya tak cukup kenal siapa adik saya lagi tapi menurut kata nenek, Jebat tu bukan orang yang pandai nak luahkan perasaan. Jadi sikap dia sekarang hanya membuatkan nenek risau.”
Taufiq mengambil set makanan yang kedua. Wajah Ratna sempat dikerling sebelum dia menyuap makanan. Air muka Ratna yang memberikan tumpuan seratus peratus terhadap cerita tentang Jebat menarik perhatian Taufiq.
“Saya tahu perubahan sikap dia adalah kerana kemunculan saya. Dia tak sukakan saya. Saya tak patut muncul bila dia dah anggap saya dan ayah tak wujud dalam hidup dia.”
‘Tapi awak abang kandung dia.’
“Pada dasarnya… ya. Hakikatnya saya tak pernah jalankan tanggungjawab saya sebagai seorang abang pada dia.”
‘Jadi apa matlamat Abang Taufiq cari Cikgu Jebat?’
“Saya nak mulakan semula hubungan kami sebagai adik beradik. Saya rancang nak ajak dia dan nenek tinggal sebumbung dengan saya dan mulakan kehidupan baru sebagai sebuah keluarga… kami berdua berpisah sejak kecil jadi kami tak pernah berpeluang untuk hidup sebagai sebuah keluarga yang sempurna.”
‘Saya tolong awak?’
“Apa awak kata? Nak tolong saya?”
Ratna mengangguk. Mata bundarnya bulat dan bersungguh-sungguh menyatakan hasratnya.
“Awak nak tolong apa, Ratna?”
‘Tolong satukan keluarga awak.’
Kelopak mata Taufiq mengecil dan memicing Ratna dengan nakal.
‘Maksud saya, Abang Taufiq dan Cikgu Jebat kan adik beradik. Untuk kebaikan Cikgu Jebat, saya tolong Abang Taufiq berbaik semula dengan dia.’ …adakah aku sedang membalas budi seseorang? Hmm, tak kisahlah kalau ianya untuk kebaikan mereka berdua.
Senyuman yang meleret di wajah Ratna memberitahu Taufiq tentang sesuatu yang sedang difikirkan oleh gadis itu saat ini.
“Awak ada idea?” giliran Taufiq meleretkan senyuman penuh makna. Memang tidak silap dia memilih Ratna sebagai sasarannya untuk mencapai matlamatnya.

Mencari Dang Wangi (Bab 32)

BAB32
PADA setiap hari jumaat setiap minggu diadakan perhimpunan utama dalam jadual persekolahan. Rutinnya masih sama dengan perhimpunan biasa yang diadakan pada setiap pagi cuma bezanya masanya yang lebih panjang membolehkan beberapa orang guru akan bercakap panjang lebar tentang apa sahaja isu berbangkit di dalam sekolah terutamanya yang berkaitan dengan para pelajar.
Semua pelajar sedang menumpukan perhatian kepada Cikgu Mokhtar yang sedang berhujah di atas podium mengenai isu sampah dan sikap pelajar yang tidak peka dengan kebersihan kawasan sekolah. Para guru duduk di bahagian belakang podium dan bertentangan dengan para pelajar yang berbaris di dataran. Sebuah kerusi di antara guru kelihatan kosong. Cikgu Jebat sedang berlegar-legar di antara barisan pelajar untuk memastikan tiada pelajar yang tidur atau leka membuat hal sendiri ketika Cikgu Mokhtar sedang bercakap di hadapan. Guru lelaki itu tidak mengangkut pembaris kayu panjangnya seperti biasa hari ini. Beberapa orang pelajar yang perasan berbisik-bisik sesama sendiri apabila melihat Cikgu Jebat hanya berlenggang kangkung tanpa pembaris kayu yang wajib ada di tangannya selama ini namun sok sek sok sek mereka terhenti apabila dijeling tajam oleh guru lelaki itu. Baru mereka sedar, tanpa pembaris kayu sakti Cikgu Jebat itupun lelaki itu tetap boleh melepaskan aura garangnya terhadap pelajar.
Cikgu Jebat berdiri di barisan belakang di bahagian penjuru kelompok barisan pelajar. Ekor matanya menjeling ke arah kantin sekolah yang terletak bersebelahan dengan dataran perhimpunan itu. Renungannya lekat pada sesusuk tubuh yang baru muncul dengan sebuah bakul biru berjaring. Gadis bertudung bawal warna coklat tua itu sedang bercakap-cakap dengan Shamim, budak pembancuh air di kantin tersebut. Renungannya sukar untuk berkalih dari terus memerhatikan Ratna dari jarak kurang dari 50 meter. Beberapa saat kemudian Ratna menolehkan kepalanya. Barangkali kuasa panahan mata Jebat telah dikesannya. Jebat lekas-lekas membuang pandangan ke hadapan apabila sedar yang Ratna mengesan renungannya terhadap gadis itu tadi.

RATNA baru bercadang hendak senyum kepada Jebat tetapi melihat sikap Jebat yang mengelak menyebabkannya hampa. Sejak dua minggu lalu Ratna merasakan lelaki itu semakin berubah sikap terhadapnya. Jebat sering mengelak dari bertemu dengannya. Lelaki itu suka mencuri pandang kepada Ratna tetapi dalam masa yang sama cuba mengelak daripadanya. Sejak kebelakangan ini Jebat jarang turun makan di kantin. Seperti cuba mengelak daripada bertembung dengan Ratna. Ratna berasa pelik dengan perubahan sikap Jebat namun dia masih berharap mereka boleh terus berkawan seperti biasa tanpa ada sebarang isu berbangkit seperti tempohari lagi.

PERHIMPUNAN telah tamat pada jam 8.30 pagi. Sebaik doa yang diaminkan selesai, para guru mula bersurai. Para pelajar masih dalam barisan. Semua pengawas bertugas menjalankan spot check ke atas pelajar. Kali ini Cikgu Jebat turut sama dalam spot check tersebut. Tangan kanannya menyeluk poket seluar dan mengeluarkan sesuatu yang merisaukan beberapa pelajar lelaki. GUNTING! Baru mereka tahu mengapa guru lelaki itu tidak membawa pembaris kayunya seperti selalu pagi ini.
Kadangkala nasihat bukan jalan terbaik untuk menyekolahkan budak-budak. Biarpun berbakul-bakul syarahan yang cikgu berikan demi kebaikan, pelajar bukannya makan saman. Hukuman serta merta mungkin lebih efektif untuk mengubah sikap pelajar.
Beberapa orang pelajar lelaki yang menyimpan rambut panjang menjadi mangsa gunting rambut Cikgu Jebat. Ada yang merayu dan membodek tetapi semuanya tidak dihiraukan oleh Cikgu Jebat yang telah mendapat lampu hijau daripada Cikgu Mokhtar selaku guru disiplin.
Sampai giliran George. Cikgu Jebat mengerling dengan senyuman sinis kepada pelajar dari kelasnya itu. Cikgu Jebat menarik hujung rambut George untuk melihat panjang rambutnya.
“Cikgu, saya percaya cikgu takkan lakukannya.” Senyuman tenang George cuba menarik perhatian Cikgu Jebat.
“Awak rasa saya tak berani?” Sempat Cikgu Jebat mengerling seorang pelajar lelaki tingkatan lima yang sudah tobek sebelah kepalanya akibat digunting rambutnya oleh Cikgu Jebat dengan sewenang-wenangnya.
“Cikgu boleh buat pada orang lain tapi bukan saya.” Anak mata George yang jernih berkaca itu seolah-olah senyum mengejek kepada Cikgu Jebat.
Anak mata Jebat mengecil, memicing ke raut wajah George yang menyimpan sesuatu agenda. Hujung tangan Cikgu Jebat masih lagi memeriksa kepanjangan rambut George yang hampir mencecah bahu sebaik dia membuka klip rambut yang digunakan oleh George untuk menyembunyikan rambut panjangnya.
“Peraturan tetap peraturan, Farihin.” Cikgu Jebat mengangkat gunting dan hujung rambut George dipegang.
“Tunggu, cikgu!” Tangan Cikgu Jebat yang memegang gunting itu ditepis. Lengan kanan George memaut bahu Cikgu Jebat dan berpusing setempat membelakangi para pelajar lain. George menyeluk poket seluar dan mengeluarkan buku nota kecil yang selalu dibawanya kemana-mana. Dia membuka salah satu lembaran buku nota tersebut dan menunjukkannya kepada Cikgu Jebat.
“Cikgu rasa akan teruskan niat cikgu lagi ke sekarang?”
Dahi Cikgu Jebat berkerut memandang gambar yang ditunjukkan oleh George. Dia hilang kata-kata dan tak terfikir bagaimana George boleh menyimpan gambarnya bersama-sama Ratna yang seolah-olah sedang berdua-duaan di dalam LRT.
“Kalau cikgu tak nak gambar ni tersebar, lebih baik cikgu lepaskan saya.”
Cikgu Jebat pantas merampas gambar tersebut sebelum dikesan oleh sesiapa di sekitar mereka. “Mana awak dapat gambar ni?”
“Ahahaha… ini George Farihin lah, cikgu. Gambar tu kalau cikgu nak, cikgu boleh simpan buat kenang-kenangan. Saya ada banyak lagi copy kat rumah.”
Grr… Cikgu Jebat menggerutu di dalam hati. George sedang berjalan senang hati meninggalkan dataran perhimpunan dan Cikgu Jebat tidak mampu menghalangnya. “Tak apa. Suatu hari nanti kau takkan terlepas Farihin.”
Gambarnya dan Ratna yang diambil secara kandid direnung kembali. Perlahan-lahan senyumannya terukir. “Sekurang-kurangnya ada juga gambar yang menjadi memori di antara kami berdua.”

***********

SUASANA kelas yang belum dimasuki guru yang mengajar agak riuh bertenaga. Maklumlah, awal pagi. Semuanya masih bertenaga dan cergas. Ada yang bercakap-cakap sesama sendiri. Ada juga yang menyakat dan mengusik kawan-kawan. George berjalan masuk ke dalam kelas dengan hati yang senang. Langkahnya terus menuju ke mejanya yang terletak di sebelah Mint di barisan belakang tengah kelas. Tepat di bawah kipas gantung.
George tidak terus menegur Mint yang kelihatan termenungkan seseorang. Leretan bibir Mint yang seolah-olah mengulum senyuman itu mencurigakan hati George.
“HAH!” George sengaja menyergah Mint yang tidak sedar akan kehadirannya.
Tubuh Mint terangkat sedikit. Senyumannya mati. Tangannya mengurut dada kerana terkejut. Sekilas dia menjeling George yang mengganggu angan-angan kosongnya tadi.
“Berangan pula anak dara ni.” George tersengih sambil tergeleng-geleng melihat ulah Mint yang berangan sampai tidak sedar kehadiran sahabat sendiri.
“Eh, mana ada.” Mint menafikan tuduhan George. “Yang kau ni… panjang senyum. Mesti berjaya lepaskan diri dari Cikgu Jebat kan.” Teka Mint dengan lirikan mata yang yakin terhadap kebolehan George.
“Ini George Farihin lah. Lebih baik kau panggil aku Mr. Bean saja kalau rambut aku berjaya dicaras Cikgu Jebat tu.” George tertawa bangga. Secara tidak langsung sedang mengejek Cikgu Jebat yang gagal mendendanya pagi ini.
“Yang kau ni… berangankan putera mana pula sampai aku masuk pun tak sedar?” Bibir atas George senget ke kanan seolah-olah mengejek Mint. Ekor matanya memicing kerana tercium sesuatu yang belum diceritakan oleh sahabat baiknya itu.
“Kau tahu, rumah kosong sebelah rumah aku yang dah lama tak berpenghuni tu, sekarang dah ada orang nak duduk. Aku nampak ada orang tengah repair rumah tu. Lepas tu semalam aku terserempaklah dengan owner baru rumah tu…” dia tidak meneruskan cerita sebaliknya tersengih-sengih nakal.
So?” kerut di dahi George menggambarkan dia mungkin akan menyampah dengan kenyataan seterusnya dari mulut Mint.
Handsome gile bak ang… ha ha ha~”
Damn! Dasar budak pompuan!
Handsome macam siapa? Ada macam Kim Jae Joong ke?”
“Chehhh… apa barang artis kpop.” Mint mengejek. “Handsome macam Cristiano Ronaldo hokey. Tapi yang paling penting jambang dia memang market. Ronaldo pun kalah,” jelas Mint. Memanglah Ronaldo kalah sebab Ronaldo mana simpan jambang.
“Berjambang? Please lah. Serabut kot.” nada suara George seolah-olah mengejek.
“Hoi! Jangan kutuk hokey. Handsome apa lelaki ada jambang. Macam pak arab tapi hidung dia tak mancung. Yang pasti, senyuman dia memang membunuh! Hahaha~~” Mint galak bercerita sedangkan George hanya senyum kecil melayan kerenah Mint. Dalam hatinya sedang mengawal perasaan cemburu dengan baik.

Jadi taste kau lelaki ala-ala pak arab dan berjambang ye, Mint. Memang kau tak pandanglah walau sebelah mata kalau jumpa lelaki jambu ala-ala kpop. Ironik sangat kita jadi best friend kan.