Kawan2 yg saya Sayang

Tuesday, January 29, 2013

Aku Bukan Malaikat (Bab 4)


Bab4
SETELAH Mariya mengesannya mengintai dari dalam rumah tadi Hakimi terus kembali duduk di ruang tamu. Dia tidak tahu apa sebenarnya yang sedang dibualkan oleh sahabatnya dengan gadis itu. Dia cuma membaca bahasa tubuh Ameer yang seperti sedang memarahi gadis tersebut. Manakala gadis itu pula hanya tertunduk ketika dimarahi Ameer.

Hakimi pura-pura membaca majalah sebaik Ameer masuk semula ke dalam rumah. Ekor matanya memerhati Ameer yang sedang berjalan menuju ke arahnya. Hakimi berhenti membelek majalah setelah Ameer duduk di sebelahnya.

“Ameer…”

“Kau jangan fikir yang bukan-bukan. Aku tak ada apa-apa hubungan dengan perempuan tu. Sebenarnya aku tak kenal pun siapa dia.” Sebelum Hakimi mengajukan soalan Ameer terlebih dahulu memberi penjelasan. Dia benar-benar tidak mahu Hakimi bersalah sangka terhadapnya.

Hakimi jadi serba salah. Sebenarnya dia tidak pernah bersangka buruk tentang gadis tersebut. Dia kenal Ameer lebih dari sepuluh tahun. Dia percayakan Ameer. Dia tahu tentu ada penjelasan yang kukuh antara Ameer dan gadis itu.

“Aku faham, Mir.” Hakimi menepuk lembut bahu sahabatnya. “Aku percayakan kau.”

Senyuman yang terbit di wajah Hakimi serta merta menyenangkan hati Ameer. Dia berasa lega kerana punya sahabat yang cukup memahaminya. “Terima kasih, Mi.”

“Sama-sama. Oh ya, aku nak keluar sebentar. Nak ke 7 Eleven. Kau nak kirim apa-apa?”

“Tak ada. Kau pergilah. Kalau nak guna kereta, kuncinya ada aku gantungkan di sebelah pintu tu.”

“Terima kasih.”

“Aku nak pergi mandi dulu. Nanti keluar rumah jangan lupa kunci pintu.” Ameer berpesan sambil kakinya melangkah meninggalkan ruang tamu untuk naik ke tingkat atas.

“Okey.” Hakimi juga siap-siap untuk keluar semula. Kakinya pantas diatur menuju ke pintu rumah. Sempat tangannya mencapai segugus kunci yang tergantung di tempat penyangkut kunci di dinding sebelah pintu rumah itu.

********

SEBELUM meneruskan hajat untuk membersihkan tubuh, Ameer singgah dahulu ke bilik tamu. Niatnya mahu mengemaskan bilik tersebut setelah dihuni oleh Mariya semalam.

Sebaik kakinya melangkah masuk ke bilik tersebut Ameer tersenyum senang. Wajah bilik itu sudah kembali seperti sediakala. Nampaknya Mariya sudah mengemas bilik itu sebelum keluar meninggalkan rumahnya pagi tadi. Cuma ada tuala yang masih bersangkut di penyangkut baju tergantung di tombol almari. Tuala itu yang dipinjamkannya kepada Mariya malam semalam.

Ameer mencapai tuala yang sudah kering di penyangkut baju. Sebaik dia menyentuh tuala putih itu tiba-tiba bayangan wajah Mariya muncul di ruang matanya. Wajah mulus itu sentiasa memandangnya dengan sayu. Entah apa perkara yang dideritai oleh gadis itu. Ameer tidak sempat bertanya lanjut semalam apabila melihat keadaan Mariya yang tidak sihat ketika itu. Pagi tadi sebelum Mariya sedar dia pula sudah perlu bergegas ke tempat kerja. Petang ini sebelum sempat Mariya membuka mulut dia telah menghalau gadis itu. Ameer rasa sedikit kesal namun sengaja membiarkan perasaan tersebut terjeruk di lubuk hati. Dia tidak mengenali siapa Mariya jadi wajarlah dia bertindak begitu. Barangkali Mariya ada niat buruk terhadapnya. Siapa tahu.

Tuala itu diambil untuk dicuci. Sementara penyangkut baju tadi disimpan semula ke dalam almari. Sekali lagi Ameer memandang seluruh bilik tersebut untuk memastikan keadaannya sempurna. Tiba-tiba matanya tertancap pada suatu benda di atas meja sudut yang terletak di hujung katil. Seutas rantai emas berloket anak kunci.

Ameer segera mendapatkan rantai tersebut. Serta merta nama Mariya terlintas di fikirannya semula. Itu tentu rantai milik Mariya dan gadis itu kembali ke rumahnya tentu sekali disebabkan rantai tersebut. Dia sudah salah sangka dan kini dia menyesal kerana menghalau gadis itu tadi tanpa memberi peluang untuk Mariya menjelaskan apa-apa.

Kakinya pantas diatur meninggalkan bilik tersebut. Ameer berlari keluar dari rumah. Dia cuba menjejaki kelibat Mariya dari jalan. Sudah setengah jam yang lalu Mariya pergi. Kalau gadis itu berjalan kaki mungkin masih sempat dikejarnya. Itupun jika dia menaiki kereta tetapi keretanya tiada. Dia telah meminjamkannya kepada Hakimi tadi.

Ameer garu dahi kemudian mengetuk kepalanya sendiri. “Bodoh betul kau ni, Ameer.” Ameer mengeluh sambil berjalan longlai kembali masuk ke dalam rumah. Rantai milik Mariya masih dalam genggamannya.

Bersambung...


No comments: