![]() |
Nota : saya tak tahu kenapa saya nak letak gambar Ryo yang cute masa tidur...imaginasi penulis yang nakal! ~abaikan =) |
Bab11
SUASANA sepi menyelimuti dini pagi. Mariya yang masih belum
tidur melangkahkan kakinya dengan perlahan untuk keluar dari biliknya. Sebaik
berada di luar bilik dia menoleh ke kiri dan kanan untuk memastikan keadaan
persekitaran. Kosong dan sunyi. Kemudian matanya menyorot ke satu arah tidak
jauh dari biliknya iaitu kamar utama yang didiami oleh Ameer.
Mariya mula mengatur langkah menuju ke bilik tersebut. Dia
memaut tombol pintu dan cuba memulasnya perlahan-lahan. Senyuman terukir
apabila mendapati bilik tersebut tidak berkunci. Kesejukan penghawa dingin
serta merta menyapanya sebaik pintu bilik ditolak. Mariya terjingkit-jingkit
masuk ke dalam bilik tersebut. Dia memastikan pergerakannya senyap agar tidak
disedari oleh Ameer.
Bilik tersebut suram dan hanya diterangi sedikit cahaya dari
lampu neon di luar rumah yang menembusi jendela bilik Ameer. Ini agak
menyulitkan sedikit pergerakan Mariya. Dia perlu bergerak dengan berhati-hati
sehingga menghampiri katil dimana Ameer sedang nyenyak tidur.
“Cahaya biasanya tidak akan mengganggu Ameer jika dia sudah
tidur lena,” kata-kata yang pernah diberitahu Hakimi menjadi pedoman Mariya
dalam menangani Ameer. Lampu sisi di sebelah katil Ameer dihidupkan. Sejurus
kemudian sekujur tubuh Ameer dapat dilihat dengan jelas. Lelaki itu tidur dalam
keadaan mengiring ke sebelah kanan dengan kedua tangannya bersilang diantara
kedua belah pehanya. Tubuhnya yang tidak berbaju itu sedikit membengkok.
Mungkin sejuk akibat suhu rendah dalam bilik tersebut. Mariya segera menarik
comforter dan menyelimutkan tubuh Ameer yang terdedah kesejukan itu.
Kemudian Mariya duduk melutut sambil kedua belah tangannya
menapak di katil Ameer. Seketika dia menelek wajah lelaki yang sedang nyenyak
itu. Mariya tersenyum kecil melihat gelagat Ameer yang tidur mati, langsung
tidak terganggu dengan cahaya lampu yang dihidupkannya sebentar tadi. Apatah
lagi setelah tubuhnya diselimutkan.
Wajah lelaki itu mengoyakkan senyuman nipis secara
tiba-tiba, seolah-olah sedang mimpi bertemu bidadari. Kulit pipinya sedikit
berkedut akibat leretan senyumannya sehingga membentuk satu lekuk lesung pipit
yang indah. Tahi lalat yang terletak di sebelah kiri bawah mulut sedikit
terlindung di sebalik bantal. Mariya tersenyum senang tatkala melihat air muka
Ameer kala itu. Senyuman Ameer walaupun dalam tidur terasa begitu mendamaikan
pandangan matanya. Perlahan-lahan dia menyelak rambut hadapan Ameer yang
sedikit panjang berjuntai di dahi. Wajah pemuda itu kembali direnungnya penuh
minat.
Mariya hampir terlupa akan agenda utamanya menceroboh masuk
ke bilik Ameer. Dia mahu mendapatkan semula rantainya. Dia tahu dimana Ameer
menyimpan rantai tersebut iaitu dipakai di lehernya. Serta merta dia berhenti
menikmati wajah pemuda itu. Perlahan-lahan dan berhati-hati Mariya mula meraba
leher Ameer. Agak sukar baginya bertindak memandangkan tubuh Ameer yang
membengkok bagaikan udang bakar.
Senyuman terukir apabila dia berjaya mencapai rantainya.
Dengan penuh sabar Mariya cuba menarik rantai tersebut perlahan-lahan untuk
membuka kuncinya. Namun sesuatu yang tidak dijangka telah berlaku. Tiba-tiba tubuhnya
ditarik oleh tangan Ameer seterusnya tanpa disangka-sangka dia rebah di atas
katil dan dalam dakapan lelaki itu.
“Ahh!”
Mariya terperanjat dengan tindakan drastik Ameer sehingga
tanpa sengaja melepaskan jeritannya. Namun mujur dia cepat sedar lantas segera
mengatup mulutnya dengan tapak tangan. Dadanya berombak kencang dan matanya
terbeliak kerana tangan sasa Ameer kejap memaut tubuhnya di atas katil empuk
itu.
“Anee… Roti Telur sama Teh Tarik kurang manis satu…” Suara
Ameer yang tiba-tiba bergema di sebelah cuping telinganya sekali lagi
memeranjatkan Mariya. Namun kata-kata yang dilontarkan oleh Ameer menyebabkan
Mariya tergelak kecil. Ekor matanya cuba mengerling wajah Ameer yang terlindung
di sebelahnya tapi gagal. Mulutnya berdecit geram apabila semakin erat pautan
tangan Ameer pada pinggangnya.
“Tak guna kau, Ameer.” Tubuh Ameer yang menindihnya ditolak
dengan sekuat tenaga. Tangan Ameer yang memegang kejap tubuhnya dileraikan
dengan kasar lalu digantikan dengan bantal. Mariya turun dari katil Ameer.
“Berani kau ambil kesempatan terhadap aku dalam keadaan tidak sedarkan diri.”
Mariya memarahi Ameer biarpun lelaki itu masih dalam lenanya yang cukup
nyenyak.
Selajur Mariya terus membatalkan niatnya mahu merampas
semula rantainya. Dia mengatur langkah untuk keluar dari bilik tersebut. Namun
sebelum dia keluar sempat dia menuju ke penjuru katil untuk mematikan suis
lampu. Sekilas matanya mencerling Ameer yang telah memeluk bantal pula kini.
“Kenapa orang seperti kau ada tabiat yang pelik macam ni?
Tak guna betul.” Tangan Mariya bergerak-gerak di hadapan wajah Ameer
seolah-olah mahu mencekik lelaki itu akibat rasa geramnya. Lampu dipadam dan
Mariya segera keluar dari bilik tersebut.
************
SEAWAL jam 6.30 pagi Mariya sudah bangkit dari tidur. Kira-kira
jam 7.00, sesudah bersiap ala kadar dia segera turun ke dapur untuk memulakan
tugas pertamanya. Menyediakan sarapan pagi. Ketika dia sampai di tingkat bawah
kelihatan lampu ruang tamu dan dapur sudah terang benderang.
“Ameer lebih awal berbanding aku ke?”
Mariya meninjau sekitar ruang tamu hingga ke dapur. Kelibat
Ameer tidak kelihatan di segenap ruang. Mariya jadi hairan. Dia memanjangkan
kaki menuju ke peti sejuk untuk melihat apa-apa yang sesuai untuk dimasak
sebagai sarapan pagi hari ini. Sebaik berdiri di peti serbaguna itu matanya
tertancap pada sekeping nota yang berlipat-lipat dan ditindih dengan besi
berani di pintu peti sejuk.
Rupanya itu ialah nota yang ditinggalkan oleh Ameer untuknya.
Dalam nota tersebut Ameer menyenaraikan segala tugas-tugas yang telah diaturkan
untuk Mariya beserta peraturan-peraturan yang ditetapkan untuk Mariya sepanjang
gadis itu bekerja di rumahnya dalam tempoh sebulan ini.
“Tak guna!” Lain yang dirancang lain pula yang perlu
dihadapi Mariya. Ameer nampaknya lebih bijak dan bertindak setapak lebih ke
hadapan berbanding Mariya.
Tiba-tiba Mariya dikejutkan dengan bunyi nada dering telefon
bimbit di atas meja makan. Mariya berjalan ke arah meja makan. Telefon bimbit
yang menjerit-jerit itu terselindung disebalik tudung saji di atas meja. Mariya
mengalihkan tudung saji bersaiz sederhana itu dan cuba mendapatkan telefon
tersebut. Dahi Mariya berkerut dan serba salah mahu menjawab panggilan
tersebut. Lagipun telefon bimbit tersebut bukan miliknya. Oleh kerana telefon
bimbit tersebut tidak henti-henti berdering akhirnya Mariya memberanikan diri
untuk menjawab panggilan tersebut.
“Hello…” sapanya dengan sopan.
“Lain kali bila orang call
tu jawab sahajalah. Buat apa nak takut.” Suara dalam talian selamba menembak
Mariya tanpa sapaan hormat sebagai pembuka bicara. “Amoi, lu bangun pukul
berapa? Jangan lupa awak tu bukan tetamu saya lagi tapi orang gaji saya mulai
hari ini tau.”
Mariya mengetap bibir sambil merenung muka telefon bimbit
berjenama Nokia itu. Geram juga mendengar suara Ameer yang ketawa sarkastik di hujung
talian. Sindiran-sindiran lelaki itu membuatkannya berasa panas hati. Dimana
Ameer yang budiman? Dari semalam sampai ke hari ini telinganya sering menadah
ayat-ayat sarkastik dari Ameer sahaja.
“Mariya, dengar sini…” Suara Ameer kembali serius.
“Ya.” Mariya memberi tindak balas.
“Ya, En. Ameer… awak kena jawab begini mulai sekarang.”
Mariya mengepal penumbuk. Giginya berlaga-laga menahan sabar
sebelum membalas Ameer. “Ya, En. Ameer.” Mariya pura-pura memaniskan wajah
biarpun Ameer bukan dihadapan matanya.
“Saya nak awak baca seluruh isi kandungan nota yang saya
tinggalkan di peti sejuk tu. Bertindak mengikut arahan dan jangan menyusahkan
saya. Telefon ini saya bagi awak pinjam supaya saya boleh hubungi awak pada
bila-bila masa. Saya agak sibuk kebelakangan ini jadi jarang berada di rumah.
Segala arahan tambahan saya akan lakukan melalui panggilan telefon. Faham?”
“Ya, En. Ameer. Saya faham.” Hati Mariya yang mula
membengkak itu terpaksa menurut sahaja arahan Ameer.
“Bagus. Saya ada kerja sekarang tapi saya akan hubungi awak
lagi tengah hari ini. Pastikan semua tugas beres. Saya akan buat spotcheck bila saya pulang nanti.”
Mariya mengetap bibir menahan amarah yang sudah hampir
tersembur keluar. Akhirnya Ameer menamatkan talian. Mariya hampir mencampak
telefon selular yang tidak bernyawa itu ke atas lantai kerana sangat geram
namun akhirnya telefon tersebut diletak di atas meja dengan kasar.
“Tak guna betul! Macam mana boleh jadi begini pula? Ergh…”
marah Mariya belum reda. Dia kembali mendapatkan semula nota yang panjang
berjela yang disediakan oleh Ameer untuknya di pintu peti sejuk tadi. Nota
tersebut dibaca semula.
Ada berpuluh perkara yang diaturkan Ameer. Semuanya mengikut
turutan dan mesti Mariya patuhi. Diantaranya adalah tugas-tugas asas surirumah
seperti memasak, mambasuh dan mengemas rumah. Tetapi yang menjadi rumitnya
ialah setiap tugas-tugas tersebut ditambah dengan syarat-syarat kecil yang
ditetapkan oleh Ameer. Ia begitu merimaskan Mariya kerana perlu memberi
perhatian pada perkara-perkara kecil yang ditekankan oleh pemuda tersebut.
Mariya mengerling jam dinding. Jam sudah menunjukkan pukul
7.30 pagi. Dia sudah mensia-siakan masa hanya untuk menelaah nota Ameer yang
panjang lebar itu. Tanpa membuang banyak masa Mariya memulakan tugas pertamanya
iaitu mencuci pakaian yang berlonggok di bilik mencuci di belakang dapur.
“Asingkan pakaian putih dan berwarna. Begitu juga dengan seluar
jeans. Sabun dan pelembut perlu mengikut sukatan yang ditetapkan seperti yang
tercatat pada nota di mesin basuh.” Mariya menggulung notanya dan disimpan di
poket hadapan apron yang dipakainya. Kemudian dia mula mencuci pakaian Ameer
mengikut seperti dalam arahan tersebut.
Sementara mesin basuh selesai mencuci pakaian Mariya
meneruskan tugas yang seterusnya iaitu mengemas rumah. Arahan untuk
membersihkan rumah lebih rumit dan panjang yang Ameer tulis. Mariya tidak kuasa
hendak menurut perintah Ameer. Lagipun dia lihat rumah Ameer bukan semak
sangat. Kemas tersusun. Cuma ada sedikit habuk-habuk yang melekat di
celah-celah perabot. Tiada siapa yang perasan dengan habuk yang halus itu.
Mariya tidak bercadang mahu menurut segala arahan yang disediakan Ameer. Lagipun
bukannya Ameer ada di rumah.
Mariya membawa pakaian yang baru selesai dicuci keluar rumah
untuk disidai. Ketika kakinya baru melangkah melepasi pintu rumah tiba-tiba
Mariya diganggu dengan panggilan dari Ameer lagi. Bakul diletak dan panggilan
dijawab dahulu.
“Ya, En. Ameer…” kelat di wajah Mariya tidak dapat
disembunyikan lagi tatkala menjawab panggilan tersebut.
“Awak tengah buat apa sekarang?” soal Ameer lagak bagai
sedang memantau tugas Mariya.
“Saya nak pergi jemur pakaian di luar rumah.” Mariya berusaha
melunakkan suaranya walaupun dia geram dengan panggilan tersebut. Terasa
dirinya sedang dalam kawalan Ameer kini. Dia memang tidak berpuas hati.
“Guna ampaian di belakang rumah. Jangan sekali-kali buka
pintu hadapan sewaktu ketiadaan saya!” amaran keras dari Ameer.
“Tapi En. Ameer…”
“Awak akan dapat masalah kalau tak ikut nasihat saya. Jangan
keluar dari rumah.” Ameer faham niat baik Mariya tetapi dia juga ada sebab dan
dia tidak mahu sebarang masalah timbul.
“Saya cuma nak jemur pakaian.” Mariya sedikit keras dan cuba
melawan. Dalam hatinya mengutuk Ameer. Nasihat atau arahan? Aku takkan tunduk
pada kau, Ameer…
“Awak ada baca peraturan ke-19? Kalau awak lupa lebih baik
awak baca semula. Saya takkan larang kalau awak tak mahu dengar nasihat saya.”
Ameer menekankan suaranya untuk memberitahu Mariya akan ketegasannya.
Dahi Mariya berkerut. Tangan kirinya menyeluk nota peraturan
Ameer yang disimpan di poket apron yang dipakainya. Seketika dia membiarkan
Ameer dalam talian tanpa sebarang bicara. Matanya memerhati peraturan ke-19.
“Ada seorang makcik yang sangat prihatin dan suka mengambil berat hal jiran
tetangga. AMARAN : mulutnya lebih berbisa dari ular. Jauhi dia untuk
keselamatan awak. Sekiranya dia berjaya menegur, cuba elakkan diri dari
menjawab lebih dari tiga soalannya.” Mariya membaca di dalam hati dan dia
mengerti niat Ameer kini. Ameer tidak mahu sebarang masalah timbul akibat
kesilapannya. Lagi pula Ameer ialah selebriti yang dikenali ramai. Sudah tentu
lelaki itu tidak mahu kewujadannya di rumah ini akan mencalarkan imej
bersihnya.
“Baiklah…” Mariya akur dengan arahan Ameer. “En. Ameer
pulang tengah hari ini? Nak saya sediakan makan tengah hari?” Mariya mengajukan
pertanyaannya selepas itu.
Soalan Mariya lembut menyapa telinga Ameer. Terasa damai di
pendengaran lelaki itu. Ameer tidak terus menjawab soalan Mariya. Dia hanyut
sebentar dalam khayalannya. Tiba-tiba dia terbayangkan sesuatu. Andai suara
yang didengarnya kini ialah suara sang isteri yang melayannya sebagai sang
suami. Alangkah bahagianya…
“En. Ameer suka makan apa? Saya boleh masakkan.”
Senyuman Ameer meleret sampai ke telinga. Suara lunak Mariya
begitu memikat telinga yang mendengar. Namun tidak sampai lima saat Ameer
kembali ke dunia realiti. Dia berdehem beberapa kali sebelum kembali mengatur
ayat yang sesuai untuk menjawab pertanyaan Mariya.
“Hmm… saya sibuk. Tengoklah malam nanti macam mana,”
jawabnya dingin. Sengaja tidak mahu terlalu baik dengan gadis itu. Kalau boleh
dia mahu mencari alasan untuk tidak pulang. Dia memang tidak selesa berdua
dengan Mariya di dalam rumah tersebut.
Sebaik selepas itu Ameer menamatkan panggilan. Mariya akur
dengan segala arahan Ameer untuk tidak keluar dari rumah tersebut. Dia menutup
semula pintu hadapan dan membawa bakul pakaian yang mahu dijemur ke belakang
rumah.
Mariya melakukan segala arahan Ameer kerana terpaksa. Baginya
ini baru permulaan. Kalau Ameer terus dengan sikap yang cuba mengawal tingkah
lakunya, tahulah nanti apa yang akan dia lakukan. Kepala geliganya sudah
merancang sesuatu yang istimewa untuk lelaki itu.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment