Kawan2 yg saya Sayang

Sunday, April 20, 2014

Vampire Oh Vampire (Bab3)

Bab 3
Ada hari-hari tertentu yang orang sekeliling akan menganggap aku bukan aku. Menunggu kata-kata keramat pensyarah yang malas hendak menghabiskan kelas yang selalunya memakan masa paling minimum selama dua jam menjadi satu jam sahaja. Bila mereka nampak aku macam budak sekolah rendah yang tidak sabar hendak berlari ke kantin pada waktu rehat, itu bukan normal kerana kebiasaannya aku selalu menjadi makhluk terakhir yang akan beredar dari kelas.
“El, cepatlah. Kita tak ada banyak masa ni.” Aku tidak sabar dengan rentak El lemah gemalai. El yang sedang menyimpan buku nota ke dalam beg masih terhegeh-hegeh hendak mengejarku.
“Sofie... sabarlah. Takkan lari library yang kau kejar tu,” katanya dengan tenang.
Beberapa teman sekelas memandang sesama sendiri. Mungkin ada yang menyangka aku hendak berlari ke cafeteria tadi. Samada mereka sedang menganggap aku sebagai ‘budak dekan’ yang terlebih rajin nak study demi mengejar matlamat mendapat anugerah dekan atau Sofie cuma poyo nak tunjuk rajin pergi library. Pftt~~ I don’t care…
********
“Bukan semua kisah vampire tu dongeng. Ada sejarah yang aku baca mengatakan vampire dipercayai wujud seawal tahun 1800. Sebenarnya aku tak pernah mengkaji pasal vampire ni. Yang aku pelik sekarang, apa motif kau tiba-tiba nak soal aku pasal vampire?” El yang asyik dengan Candy Crush nya sejak tadi menyoalku yang sedang mencari bukti tentang kewujudan vampire melalui carian Google. Memandangkan aku tidak membawa laptop ku hari ini maka terpaksalah aku menggunakan komputer di perpustakaan.
“Sofie… adakah ini semua gara-gara Vampire Knight?”
“Nope…” tanpa berfikir aku terus menafikan persoalan El. “Actually Kuran Kaname lebih tepat.” Sengaja aku nak bakar El.
“What the F…” secara tiba-tiba El menghentak Samsung S3 nya ke atas meja. Mujur telefon pintar itu dilindungi bekasnya. Kalau tidak masakan gadis itu berani bertindak begitu terhadap harta kesayangannya.
“Apa cerita tiba-tiba nama Kuran Kaname naik pula ni?” Sebagai peminat setia Kuran Kaname wajiblah El mengambil perhatian terhadap perkara sebegini. El bercekak pinggang sambil mencerling aku macam mak tiri Cinderella. Aku dah tak tertahan gelak dengan sikap El yang pantang dengar nama Kuran Kaname ni. Kalau Kamenashi Kazuya yang dress-up ala-ala vampire pun dia boleh angau dan anggap artis Jepun tu sebagai Kuran Kaname, tak mustahil kalau dia boleh pengsan bila terpandang lelaki misteri yang aku jumpa malam tadi. Aku tak fikir hendak bercerita pada El tentang lelaki misteri yang aku temui itu buat masa sekarang.
“El, aku laparlah. Apakata kalau kita lepak makan dekat cafeteria dulu,” ajakku dengan niat hendak bikin panas hati El yang tertunggu-tunggu ceritaku. Kadang-kadang aku memang suka bersikap kejam terhadap El. Aku mula mengemaskan buku-bukuku ke dalam beg.
“Oi, kau tak start cerita kau lagi.”
Aku bolayan sambil mengatur langkah untuk beredar keluar dari perpustakaan. Melalui ekor mata aku mengesan air muka El tengah merah padan sebab bengang terhadap aku.
***********
Tengah hari itu aku makan nasi berlauk Ayam Masak Kicap dengan sedikit ulam-ulaman. El pula mengambil lauk Kari Kepala Ikan, Bergedil Daging, Terung Goreng Bercili dan Teh O Ais Limau. Oh ya, tidak dilupakan kuih Pau BBQ kegemarannya. Jangan terkejut. Perempuan bernama Elmira ini badannya sahaja kecil tapi nafsu makannya dasyat.
“Woi, El… kau bela saka ye?”
El akan gelak terbahak-bahak bila aku ajukan soalan pedas begitu kepadanya. Kadang kala cemburu juga tengok dia. Makannya banyak tapi badan cekeding je. Aku ni pantang makan terlebih, cepat je jarum penimbang tu bergerak naik. I seram you dengan perkataan GEMUK!
Makan tengah hari kami di cafeteria kali ini banyak disulami gelak ketawa. El kalau disuruh bercerita tentang Vampire Knight memang dia hafal jalan ceritanya dari A sampai Z. Bercakap tentang Kiryuu Zero bagai tak berpijak di tanah. Jangan ditanya jika dia mula bercakap tentang Kuran Kaname, mahu sampai syurga rasanya kalau dia mampu. Haish~
Tiba-tiba mataku tertumpu pada salah seorang diantara berpuluh pelajar yang memenuhi cafeteria. Suara nyaring El yang masih teruja bercerita tentang hero vampirenya perlahan-lahan tenggelam dari deria pendengaranku. Semua mahasiswa, samada yang sedang berlegar di dalam cafeteria, yang membayar makanan di kaunter mahupun yang sedang menikmati makan tengah hari di meja masing-masing lenyap bagaikan kabus di mataku. Senyap sunyi. Pandanganku dikuasai oleh seorang makhluk misteri. Seorang lelaki yang menghantui fikiranku sejak malam tadi. Dia tidak berpakaian serba hitam seperti malam tadi sebaliknya berkemeja T warna putih dan jeans biru. Rambutnya yang panjang juga telah dipotong pendek dan tersisir rapi. Nampak berbeza tetapi aku rasa dia tetap lelaki yang sama. Lelaki itu sedang tersenyum dan senyuman itu seolah-olah mengeluarkan cahaya sehingga membuatkan aku terpaku. Nafasku terhenti. Dadaku berdebar. Jantungku bergendang tidak teratur. Aku gemuruh dalam ketakutan yang tidak pasti.
Tunggu… mana parut di kening dan luka di dahinya? Wajah cerah itu tidak lagi pucat sebaliknya putih kemerah-merahan. Nampak segar. Tetapi mana hilangnya luka yang aku rawat semalam?
Aku cuba memejamkan mata barang sejenak. Menggeleng beberapa kali sambil menepuk-nepuk pipi sendiri. Kemudian mata kucelikkan semula. Semua mahasiswa yang hilang bagaikan kabus tadi telah wujud semula. Suara nyaring El kembali membingit. Lelaki misteri itu aku lihat sedang duduk di satu meja dengan seorang temannya. Aku terfikir ada sesuatu yang pelik di sini.
“Sofie, Sofie… wake up dear!” El sedang memetik-metik jarinya di hadapanku. Serta merta aku tersedar dari lamunanku.
“El… sorry…”
“Kau ni kalau bosan dengar cerita aku pun janganlah biarkan aku macam tunggul. Sampai hati.” El tarik muka ketat sambil menyudahkan suapan terakhir nasinya. Merajuk. Aku rasa bersalah pula pada sahabatku ini.
“El, aku nak tanya kau satu perkara… apa ciri-ciri vampire?” Aku cuba menarik semula perhatian El disamping mahu memastikan fakta yang aku faham tentang vampire.
“Handsome nak mati!” El sengih sampai ke telinga sambil menyedut Teh O Ais Limaunya. Aku rasa macam nak baling tulang ayam di pinggan makan aku ke mukanya mendengar jawapan tersebut. Tahulah kipas-susah-mati. Grr…
“Okey… okey… aku serius ni…” tahu pun takut… “Selain dari laju, kuat dan tak kan mati, darah mereka power. Maknanya darah mereka boleh menyembuhkan kecederaan dan pendarahan. Disebabkan itulah apabila vampire tercedera mereka boleh sembuh dengan pantas.”
Mataku sedang tertumpu kepada lelaki misteri yang kini duduk makan bersendirian setelah rakannya tadi beredar. Kupandang dengan teliti bahagian dahinya yang licin bersih tanpa sebarang parut atau luka itu. Aku lihat warna kulitnya lebih segar hari ini berbanding semalam yang pucat bagai tak berdarah.
“El, apa akan jadi kalau vampire tak makan darah?”
“Kau ni nama saja orang gelar Budak Dekan tapi bagi soalan taraf budak pra sekolah. Aku tanya kau balik, apa jadi kalau kau tak makan dalam sehari?”
Aku terdiam. Terkesima. Tertelan liur. Faham sangat dengan jawapan berbentuk soalan dari El itu. “Darah adalah punca kekuatan vampire. Bermakna tanpa darah mereka akan lemah dan kepucatan?”
El mengangguk. Aku pula kini semakin cemas. Melihat perubahan warna kulit lelaki misteri itu aku yakin yang lelaki itu sudah meneguk darah hari ini. Tapi bagaimana dia boleh berjalan pada waktu siang. Bukankah kelemahan vampire ialah cahaya matahari?
“Kau dah habis makan ke belum? Jom O.H. Hari dah mendung ni. Kejap lagi mesti hujan, susah kita nak meredah ke kelas nanti.” O.H. yang dimaksudkan oleh El ialah Orchestra Hall. Bila kutoleh ke luar cafeteria baru aku sedar yang cuaca hari ini mendung dan berangin sejak pagi. Mana ada matahari.
Lelaki misteri yang aku perhatikan sejak tadi telah hilang sebaik aku menoleh semula ke arahnya. Aku tertoleh-toleh menjejakinya tetapi tidak ketemuan. Lajunya dia makan. Baru bercakap sekejap dengan El, terus lesap.

Aku angkat punggung menuruti El. Kami bersiap untuk beredar. Ada satu lagi kelas untuk sesi hari ini. Itu bukan masalah. Yang menjadi masalahnya sekarang kemungkinan besar vampire sedang berlegar-legar mencari mangsa di sekitarku kini. 

No comments: