Kawan2 yg saya Sayang

Thursday, June 10, 2010

Angel In The Devil Suit 1 ::Bab18::

Bab 18
SEBAIK tiba di banglo mewah tiga tingkat itu Dew terus masuk ke dalam melalui pintu tengah. Tujuannya tidak mahu terserempak dengan ibunya. Wanita itu sepertinya masih berada di dalam rumah memandangkan dia ternampak Peter, pembantu merangkap pengawal peribadi ibunya di ruang tamu tadi.
“Jeremy…” Panggilan wanita itu mematikan langkah Dew yang sudah di anak tangga pertama. Dew sekadar memusing kepala menghadap ibunya yang sedang berdiri di meja makan.
“Awal Jeremy balik. Macam mana dengan kelas?” soal si ibu yang disulami kecurigaan.
“Biasa saja,” jawab Dew acuh tidak acuh. Kakinya kembali dilangkah mendaki tangga. Tidak tergerak langsung hatinya mahu menyapa wanita tersebut dengan lebih mesra.
“Jeremy, tunggu!”
Malang bagi si ibu apabila anaknya tidak ingin menghiraukan panggilannya itu. Madam Juwiette mengeluh hampa. Setiap hari hubungan dengan anak tunggalnya itu semakin jauh. Tiada langsung tanda-tanda yang mereka akan berdamai.
Dew mengurung diri di dalam biliknya. Selagi wanita itu tidak keluar selagi itu dia akan terus berkurung di dalam bilik. Dia tidak mahu bertentang mata apatah lagi bercakap dengan ibunya. Baginya hubungan mereka berdua sudah lama terputus. Dan selagi ibunya masih dengan sikap mementingkan dirinya, Dew berjanji tidak akan menegurnya.
Namun setelah lebih dua tahun, nampaknya wanita itu masih tidak sedar maksud sikapnya sedemikian selama ini. Dew sangat hampa. Dia bukan setakat kehilangan ayah yang ada dalam tiada. Wujud tapi seperti tiada. Dia juga sudah kehilangan ibu tercinta selama bertahun-tahun. Dia tidak tahu kenapa dia perlu hidup dalam keluarga seperti ini. Adakala persoalan tersebut singgah di jiwanya. Rasa sedih mencengkam jiwa. Apakah penamat dalam drama kehidupannya ini? Adakah kematian seperti mendiang Leo dulu boleh menamatkan segala-galanya? Adakah itu baru bisa membuatkan ibubapanya sedar akan kepentingan seorang anak sepertinya?
Buku-buku yang bertingkat di atas meja diperhatikannya. Teringat semula keputusan yang dilihatnya di papan kenyataan pagi tadi. Ia sesuatu yang sangat mengecewakannya. Mungkin ada sesuatu yang silap dan perlu dia betulkan.
Sekilas Dew terpandang pada buku-buku nota yang disediakan oleh Camie untuknya di atas meja belajar. Dia bangkit dari katil dan pergi mendapatkan buku-buku nota tersebut. Diselak satu-persatu… tapi Dew tidak pasti dengan apa yang diselaknya lantas dia mengambil satu keputusan. Dalam pakaian seragam yang masih melekat di tubuh, Dew bergegas keluar sambil mengelek semua nota-notanya.
“Jeremy, mummy nak ke kota hari ini. Mungkin beberapa hari juga mummy di sana nanti. Jeremy tinggal dengan Miss Lyn, ya. Kalau ada apa-apa masalah, Jeremy boleh call mummy,” kata Madam Juwiette dari ruang hadapan.
Apa-apa sajalah, mummy… Jeremy buat-buat tak dengar. Dia peduli apa kalau ibunya itu tiada. Baginya samada ibunya ada ataupun tiada, hidupnya tetap sama. Tiada perbezaan. Rumah besar ini tetap terasa kosong biarpun penghuninya ada.
“Lagi satu… ambil ni.”
Dew mengerling kepada Madam Juwiette. Not-not kertas dihulurkan kepadanya. Dew memandangnya tanpa perasaan.
“Ambil. Ini untuk Jeremy.” Madam Juwiette menarik tapak tangan Dew untuk menerima pemberiannya itu.
Dew merenung dingin wajah sang ibu yang belum dimamah usia biarpun sudah melepasi angka 40 itu. Not-not kertas bernilai itu berada dalam genggamannya kini. Dengan tanpa perasaan dia mengoyak wang-wang kertas tersebut di hadapan ibunya sebelum mencampakkannya ke lantai. Baginya wang tersebut sudah tiada makna pada dirinya. Dia sudah muak menggunakannya.
Tindakan anak muda itu benar-benar telah mengguris hati ibunya. Madam Juwiette memendam perasaan kecewanya terhadap anak nan seorang itu. Dia sedar bukan mudah untuk Dew menerimanya kembali seperti dulu.
“Jeremy masih boleh hidup tanpa duit mummy tu.” Dew melangkah meninggalkan rumah tanpa menunggu bicara ibunya lagi.
Madam Juwiette hanya menahan sabar dengan sikap anak tunggalnya waktu ini kerana dia percaya suatu hari nanti dia bisa menundukkan semula sikap degil Dew itu…

No comments: