Kawan2 yg saya Sayang

Sunday, August 18, 2013

AITDS the sequel : THE WITCH THAT I LOVE (bab20)

Bab20
Semenjak kejadian di Kelab Golf Silverwolf tempohari Dew tidak lagi mempedulikan Leah. Malah kelibat Leah pun sedaya upaya hendak dijauhinya. Dia benar-benar tidak dapat menerima perbuatan Leah yang menipunya selama ini.
Boleh dikatakan dia banyak menghabiskan masanya bersama Camie sejak kebelakangan ini. Bergaul dengan Camie membuatkannya mula mengenali dirinya sendiri. Dia tidak lagi rasa keliru biarpun ingatannya belum pulih sepenuhnya. Dia selesa dengan sikap Camie yang ceria walaupun kadangkala agak kelam kabut dan blur. Sikap semulajadi Camie yang begitulah yang membuatkannya gembira setiap hari.
Petang itu dia ke Fakulti Sains & Matematik untuk mencari Camie. Untuk ke sana mungkin dia berhadapan dengan risiko akan terserempak dengan Leah tapi dia peduli apa. Lambat laun pun dia tetap tidak boleh lari dari berhadapan dengan Leah juga. Jadi dia memilih untuk ke sana sahaja selepas kelasnya untuk hari itu tamat.
 Ketika dia mencari Camie di foyer fakulti matanya terserempak dengan seorang pemuda bersusuk tubuh tinggi, berkemeja-T warna merah jambu dan memakai earphone di telinganya. Pemuda itu berjalan santai sambil mengelek buku dan fail hitam di tangan kirinya. Ada beberapa orang siswi yang cuba menegurnya namun pemuda itu langsung tidak mengambil peduli. Dia kelihatan sombong atau terleka dengan muzik yang didengarinya sehingga tidak sedar akan orang sekeliling yang sedang menegurnya. Barangkali. Namun apa yang lebih penting Dew masih ada persepsi yang negatif terhadap pemuda tersebut.
Parasit. Perampas. Pemusnah… dan Dew yakin pemuda itu adalah pencabar yang hebat. Pemuda itulah yang menyebabkan dia mula mengenali sifat sebenar Leah terhadapnya selama ini. Leah, si penggoda yang licik dan seorang yang bijak memanipulasikan setiap mangsanya…
…Tapi benarkah dakwaannya terhadap Leah sebenarnya? Apabila memikirkan yang selama ini Leah satu-satunya teman yang sentiasa ada disampingnya membuatkan Dew tertanya-tanya apakah motif sebenar Leah terhadap terhadapnya? Logikkah kalau Leah bertindak begitu kerana cemburu melihat keakraban Dew bersama Camie…?
Dew kembali memerhatikan Shin… Dari segi penampilan dan rupa paras atlit yang tidak diketahui namanya itu, Dew percaya pemuda itu seorang yang mudah diminati oleh sesiapa sahaja. Dia kelihatan seperti seorang lelaki yang ringkas dan berimej sopan. Caranya berjalan, berdiri mahupun duduk seolah-olah sudah terdidik dengan protokol sejak dari kecil. Namun sikapnya seperti tidak peduli dengan perhatian orang ramai terhadapnya. Dia bagaikan dalam dunianya sendiri dan lelaki seperti ini biasanya bukan calang-calang gadis dapat memikat hatinya. Setiap tindakannya pasti bermotif dan tanpa disedari sesiapa sebenarnya lelaki itu sedang memilih setiap pemujanya untuk dijadikan mangsa. Tentang Leah… Dew percaya Leah boleh lakukan apa sahaja jika gadis itu juga meminati Shin seperti kebanyakan gadis lain.
Dalam tempoh pemerhatiannya terhadap pemuda tersebut tiba-tiba kelibat Camie muncul di situ. Dew tersenyum gembira lantas mahu mengatur langkah untuk pergi mendapatkan Camie yang comel mengenakan gaun bertali halus berwarna putih dengan corak bunga ros merah di kaki gaun yang separas lutut itu. Rambutnya yang lurus melepasi bahu itu sengaja dibiarkan bebas begitu sahaja hari ini.
Langkah kaki Dew terhenti sebaik melihat Camie melencongkan langkahnya pergi mendapatkan Shin yang sedang bersandar di tembok berhampiran tangga. Wajah gadis itu tersenyum ceria sambil menepuk bahu Shin untuk menegurnya. Dew mula rasa tidak sedap hati melihat telatah Camie yang juga mesra terhadap Shin. Fikiran jahatnya mula memikirkan seandainya Camie juga meminati pemuda tersebut. Adakah mungkin yang Camie dan Leah bertelagah kerana masing-masing menyukai lelaki yang sama???
“Nampaknya dia bukan calang-calang pencabar. Aku akan tunggu peluang terbaik untuk bersemuka dengan kau… Mr. Gummy Smile!” bisiknya perlahan sendirian sambil sorotan matanya tajam memandang ke arah Camie yang sedang berbual dengan Shin.
“Jay…”
Suara seorang gadis menghentikan perhatian Dew terhadap Shin dan Camie. Dia menoleh ke belakang dan air mukanya ketat sebaik melihat susuk tubuh Leah yang sedang berdiri tegak di situ.

*******************

“Hei, Shin!” Camie menepuk bahu Shin setelah beberapa kali panggilannya tidak dihiraukan oleh Shin tadi.
Shin menoleh memandang Camie seraya menegakkan tubuhnya dan menanggalkan earphone di telinganya. Dia tersenyum memandang roman wajah Camie yang seakan-akan geram terhadapnya. Pastinya angkara earphone yang telah memisahkannya dengan dunia sekeliling akibat asyik dengan muzik yang sedang dilayannya.
“Camie, sorry. Dah lama sampai?”
Camie menggelengkan kepala berulang kali. Dia mencapai sebelah earphone yang tergantung di leher Shin lantas disematkan ke telinganya. “Apa yang kau layan sampai tak sedar orang sekeliling ni?”
Muzik keras dari band underground yang entah dari mana diperolehi oleh Shin menghentam telinga Camie. Tak sampai sepuluh saat Camie mencabut kembali earphone tersebut dan menyerahkan semula kepada Shin. “Lagu jenis apa yang kau dengar ni? Sakit telinga aku.”
Shin tersenyum sehingga menampakkan barisan gigi atasnya sampai ke gusi. “Land Of Roses lah. Ingat tak, aku pernah cerita pada kau tentang lagu Black Sakura In The Desert?”
Camie diam sejenak untuk meraih kembali memorinya tentang lagu tersebut. Shin pula mengambil tindakan menyematkan semula earphone nya ke telinga kanan Camie. Kemudian dia memutarkan semula lagu tersebut. Perlahan-lahan Camie tersenyum. Dia sudah mula mengingati lagu tersebut. Itulah lagu yang pernah Dew mainkan dengan gitarnya dahulu. Waktu itu dia bersama-sama dengan Shin menonton persembahan Dew dari balkoni rumah Shin.
“Macam mana… dah ingat?” Shin tersenyum lebar.
Camie mengangguk. “Aku nak lagu ni.” Bola mata Camie bagai bercahaya merenung Shin. Teruja dengan lagu tersebut biarpun baru dua kali mendengarnya.
“Tak boleh. Kau bukannya suka muzik yang bising dan keras macam ni. Buat apa kau nak simpan.” Shin sengaja mengusik. Dia tahu Camie mahukan lagu tersebut kerana ianya ada kaitan dengan Dew.
“Shin~~” Camie mula merengek dan tarik muka.
Kiss dulu. Nanti aku bluetooth kat kau.” Jari telunjuk Shin menyentuh pipinya sambil tersenyum nakal terhadap Camie. Dia sengaja mahu mengusik Camie kerana tahu yang Camie takkan menciumnya.
“Jadi aku tak nak pinjamkan kau vcd Master Piano ni kalau kau tak nak bagi lagu tu pada aku.” Camie juga ada modal untuk mengugut Shin. Ditangannya kini ada vcd Master Piano yang menghimpunkan klip-klip persembahan terbaik dari pemuzik terkenal seluruh dunia. Dia tahu vcd itu memang dicari-cari oleh Shin dan kebetulan Camie telah menemuinya di sebuah kedai menyewa vcd. Dia sengaja meminjamkannya untuk Shin.
“Wow… dari mana kau dapat? Bagi aku tengok…” Shin cuba mengambil vcd tersebut dari tangan Camie namun Camie mengelak dan menyorokkannya di belakang tubuh. “Camie, come on. Kau tahu kan dah lama aku cari vcd tu.”
“Yeah… aku tahu. Dan aku juga tahu yang kau sangat meminati muzik walaupun kau belajar dalam bidang Sains selama ini.” Camie tersengih melihat gelagat Shin yang begitu mahukan vcd di tangannya. “Bluetooth lagu tu untuk aku dahulu. Nanti aku beri kau pinjam vcd ni.”
Akhirnya Shin mengalah kerana begitu mahukan vcd Master Piano tersebut. Camie tersenyum girang melihat Shin mula menyentuh-nyentuh skrin telefon pintarnya untuk menghantar lagu tersebut kepadanya melalui Hunnypink. Ekor mata Camie sempat memandang sekeliling sementara menunggu lagu tersebut berjaya dihantar kepadanya. Ada beberapa mata sedang menjeling tajam kepadanya. Dia tidak pasti mengapa. Lagipun dia kurang mengenali gadis-gadis tersebut biarpun pernah melihat mereka.
“Siap. So, can I borrow the vcd?”
Camie tersenyum gembira. Vcd Master Piano diserahkan kepada Shin.
Thank’s.” Shin menyimpan vcd tersebut ke dalam beg sandangnya. “Aku pergi dahulu.” Shin segera mengatur langkah untuk beredar. Dia kelihatan mahu segera bergegas.
“Eh, nak kemana kelam kabut ni?”
“Ada kerja sikit. Jumpa lagi, okey.”
“Okey…” Camie hanya melihat langkah Shin yang bergegas meninggalkan foyer fakulti. Dalam kepalanya tertanya-tanya kemana Shin mahu pergi. Sejak kebelakangan ini agak sukar mahu menemui Shin pada waktu petang. Takkanlah setiap hari dia ada latihan olahraga… atau barangkali dia sudah ada jadual baru sekarang. Entahlah.
Camie kembali mengatur langkahnya meninggalkan foyer. Belum pun melebihi sepuluh tapak kakinya melangkah tiba-tiba dia disergah oleh sekumpulan gadis. Tiga orang gadis yang berdiri secara mengejut di hadapannya itu sedang memegang gelas kertas berisi minuman Cold Blog. Tanpa sebarang ucapan, dengan renungan dingin dan tidak puas hati terhadap Camie mereka bertiga melontarkan isi Cold Blog berperisa strawberi itu kepada Camie. Camie terkejut dan hanya mampu tergamam di situ.
“Hadiah untuk kau yang berani menghampiri putera kami.”
What the… fish!” Camie meraup wajahnya yang sejuk dan manis sambil menahan geram terhadap perbuatan peminat-peminat Shin.
Kedengaran tawa mengejek dari mereka semua sebelum berlalu meninggalkan Camie dalam keadaan manis berperisa strawberi.

***************

“JAY!”
Panggilan Leah menghentikan langkah kaki Dew yang sudah mahu beredar.
“Nak apa lagi? Aku sibuk ni.” Dew malas hendak bercakap dengan Leah.
“Kau sibuk apa? Kau takkan berada di sini kalau bukan kerana kelas kau dah habis.” Leah melangkah pantas dan memintas langkah Jay. “Let me guess… kau tengah tunggu Camie kan?” senyuman sinisnya tersungging di bibir.
“Kalau betul pun, kenapa? Jealous?”
Jealous? No way. Siapa Si Hodoh tu yang boleh buat aku jealous hanya kerana dia keluar bersama kau.”
See… memang kau jealous pada dia. Mengaku sahajalah, Leah.” Dew memusingkan kakinya untuk mengelak dari tubuh Leah yang menghalang laluannya.
Wajah Leah merona merah akibat menahan marah. Dalam tidak disedari tebakan Dew memang tepat mengena batang hidungnya. Dia sakit hati melihat Dew semakin akrab dengan Camie. Dia sakit hati apabila Dew semakin menjauhinya sejak kebelakangan ini. Dan dia sakit hati kerana hari ini dia menegur Dew semata-mata kerana dia sangat merindui lelaki itu. Namun lumrah gadis yang bernama Leah Dianza Mikeilson untuk mengekalkan keegoannya dan menafikan perasaannya terhadap Dew.
“Oh, ya…” langkah kaki Dew terhenti. Dia kembali memusingkan kakinya menghadap Leah. Dia menyeluk saku beg sandangnya dan mengeluarkan sejumlah not kertas lalu berjalan kembali mendapatkan Leah.
Leah merenungnya dengan tanda tanya. Dew menarik tapak tangan Leah untuk menerima pemberiannya.
“Apa ni, Jay?” Leah memandang not kertas dalam tapak tangannya.
“Pulangkan semula duit ini pada Tuan Ramelo.”
“Tapi kenapa?”
“Leah, semua kesenangan yang kau hadiahkan kepada aku selama ini datang dari lelaki itu, kan. Jadi aku tak nak.”
“Jay, kalau kau masih fikir yang lelaki tu sugar daddy aku…”
“Aku tak pedulilah siapa dia dengan kau. Aku cuma tak nak hidup dalam dunia kepura-puraan lagi. Dia tak perlu berbuat baik pada aku kalau tak berani nak bersemuka dengan aku.”
“Dia cuma nak jalankan tanggungjawab dia sebagai ayah.” Leah mempertahankan tindakan Tuan Ramelo.
“Ya, aku tahu. Camie dah beritahu pada aku tentang siapa dia tapi itu tak bermaksud yang aku akan terima dia sebagai ayah. Kau lupa? Aku tak ingat apa-apa memori tentang siapa ayah aku dan setahu aku, ayah aku bernama Rafael. Bukan Ramelo.”

Leah mati bicara. Bukan dia tiada fakta untuk membidas Dew tetapi apapun fakta yang dia tahu tentang Dew, lelaki itu tetap takkan menerimanya selagi memorinya masih hilang. Leah tidak mampu menarik kepercayaan Dew seperti dahulu lagi. Akhirnya Leah hanya membiarkan Dew berlalu pergi meninggalkannya terkulat-kulat di situ sendirian bertemankan sejumlah wang yang dikembalikan oleh Dew di tangannya.

Bersambung...

No comments: