Kawan2 yg saya Sayang

Thursday, June 10, 2010

Angel In The Devil Suit 1 ::Bab21::

BAB 21
PETANG yang redup. Cuaca agak sejuk. Angin menghembus nakal memukul apa saja di laman rumah persendirian yang kini didiami oleh Camie bersama dengan makciknya Paula Martinez. Pokok bunga dalam pasu meliuk lentok tatkala dipukul angin dari arah timur. Mujur tumbuhnya di dalam pasu itu agak terlindung di sebelah garaj kereta.
“Camie~!” jerit Paula memanggil anak saudaranya yang sedang menonton tv di ruang tamu. Dia yang sedang melayari internet dari komputer ribanya sekadar menjeling ke dalam rumah dari ruang rehat dekat beranda di hadapan rumah.
“Ya, ada apa, Makcik Paula?” Camie muncul mendekati makciknya.
“Tolong pergi kedai beli barang dapur sekejap,” pinta Paula. Matanya terus tertancap pada skrin laptop tanpa mengerling pada anak saudaranya di sebelah.
“Nantilah, kejap lagi Camie pergi.”
“Nanti apa pula. Pergilah sekarang.” Sekilas Paula mengerling kepada Camie yang hendak beredar semula ke ruang menonton di dalam rumah.
Ala~ lecehlah mak cik ni… Camie mula merungut di dalam hati.
“Ini senarai barang dan duitnya. Nah, ambil kunci ni sekali.”
Kunci? Tiba-tiba senyuman terkoyak di bibir yang memuncung tidak puas hati tadi. Camie segera mendapatkan semula makciknya.
“Makcik kasi Camie bawa Fiona Cruzz?” Wajah nampak sungguh teruja untuk memandu Mini Cooper kesayangan makciknya itu.
Paula tersenyum sinis. Menggeleng kepala melihat telatah Camie yang teruja.
“Bukan Fiona Cruzz tapi yang tersadai kat sebelah Fiona Cruzz tu.” Mulut Paula memuncung ke arah basikal yang terparkir elok di sebelah keretanya.
“He? Naik basikal?” Senyuman Camie jadi tawar apabila mendapati kenderaan yang dimaksudkan makciknya itu.
“Yelah… tak kan nak kasi kau bawa kereta makcik pula. Lesen pun tak ada, ada hati nak pandu kereta. Ceh!” Paula senyum mengejek. Namun dalam hatinya agak terhibur melihat rajuk anak saudaranya itu. “Dah… pergi sekarang. Cuaca tak berapa elok ni. Nanti hujan pula kalau lambat,” suruhnya apabila melihat redup cuaca yang agak mencurigakan petang itu.
Sebaik mengambil senarai barang, wang serta kunci basikal Camie segera bergegas untuk pergi ke kedai. Sebelum dia mengayuh sempat Paula bersuara lagi.
“Camie, bawa payung.” Paula bangun dari duduknya, pergi mengambil payung untuk anak saudaranya yang baru hendak berangkat pergi itu.
“Terima kasih.” Camie mengucapkan terima kasih kepada makciknya sebaik mengambil payung dari tangan Paula.


 *******
SELEPAS membeli barang Camie segera mengayuh basikal untuk pulang. Cuaca semakin gelap dan mendung. Sekejap lagi pasti hujan akan turun jika dia berlengah-lengah.
Di pertengahan jalan hujan mula menitik di kulitnya. Camie berhenti mengayuh. Mendongak ke langit. Titis hujan sedikit demi sedikit menjadi laju. Camie segera menongkat basikalnya. Dia mencapai payung yang tergantung di tangan basikal. Kelam kabut dia membuka payung apabila hujan mulai lebat.
“Ish, apasal payung ni ketat sangat. Susahnya… iyah~!” Camie mengibas-ngibas batang payung tersebut, cuba merungkaikan lipatannya yang terlalu kemas. Sedang dia sibuk berusaha meleraikan gulungan payung tiba-tiba batang payung yang dikibas itu terlanggar bahu basikalnya. Basikal yang sarat dengan barang-barang yang baru dibeli itu tumbang.
“Oh, my…” Plup! tidak sempat Camie hendak mengeluh tiba-tiba payung yang cuba dibuka sejak tadi terkembang. Dia tersenyum dalam kebasahan.
Payung yang sudah terbuka di letak di tanah sementara dia mengutip barang-barang yang bertaburan keluar dari beg plastik. Kelam kabut dia mengutip semua barang tersebut memandangkan guruh sudah berdentam-dentum memberi amaran akan hujan lebat yang bakal turun. Sebaik selesai mengutip barang barulah giliran basikalnya pula didirikan.
Oh ya… payung. Camie melepaskan basikal dan pergi mengutip payungnya. Terlupa hendak menongkat basikal. Basikal yang dilepaskan begitu saja tumbang semula. Ahh~~ sebaik mengambil payung Camie mengeluh melihat basikalnya yang tumbang lagi. Kini walaupun ada payung tubuh Camie tetap basah kuyup disebabkan kecuaiannya.
Dalam hujan yang semakin lebat itu Camie garu kepala sambil mengutip semula barang-barang yang kembali bertaburan di tanah. Setelah selesai mengutip barang, dan menegakkan semula basikalnya dia segera menunggang kenderaan tersebut untuk pulang. Tapi sekali lagi malang nasibnya apabila mendapati rantai basikalnya sudah terlucut.
“Ergh… betul-betul menguji kesabaran aku,” bisiknya geram.
Akhirnya dalam hujan lebat itu Camie berlari sahaja mencari tempat yang lebih selamat untuk berteduh sementara. Dalam pada berlari-lari anak dia ternampak seseorang yang sedang bertinggung dalam hujan lebat. Camie tidak kenal siapa. Lagipun si dia menutup kepalanya dengan hoop baju luarnya. Rasa tidak sampai hati pula membiarkan lelaki itu basah kuyup dalam hujan lebat begini. Dia juga basah tapi sekurang-kurangnya berpayung. Lantas akibat rasa simpati yang mudah tersemai dalam hatinya Camie segera mendekati lelaki tersebut dan memayungkannya. Lelaki tersebut mendongak memandang Camie sebaik sahaja payung melindunginya dari terkena rintik hujan yang menyakitkan.
“Si Hodoh…” gumam si dia perlahan.
“Dew!” sungguh Camie tidak menyangka orang yang dipayungkannya itu ialah The Devil. “Apa kau buat di tengah hujan lebat ni?” soal Camie sebaik dia bertinggung di sebelah Dew.
Dew tidak menjawab melainkan membuka pelukannya untuk menunjukkan Camie sesuatu. Camie agak takjub apabila melihat seekor anak kucing dalam baju Dew. Rupa-rupanya lelaki itu sedang melindungi seekor mahkluk comel daripada hujan. Memandangkan tiada tempat teduh di sekitar mereka lantas lelaki itu melindungi anak kucing tersebut dalam tubuhnya.
“Comelnya…” bisik Camie memuji kecomelan anak kucing dalam pelukan Dew itu. “Jom cari tempat berteduh,” ajak Camie sejurus kemudian.
Seperti biasa lelaki itu merenungnya tanpa dapat difahami makna riak wajahnya. Dew bangun berdiri. Diikuti Camie kemudiannya.
“Jom,” kata Dew sepatah sambil memandang lembut kepada Camie.
Camie kaku melihat perilaku Dew yang agak sopan kali ini. Dew memeluk erat anak kucing berbulu putih itu. Camie disebelahnya pula memegang payung. Mereka berdua berlari-lari anak, beriringan mencari tempat teduh.
Wajah The Devil dikerling sekali-sekala. Camie tersenyum panjang. Tiba-tiba perasaan gembira menyelubungi dirinya dalam hujan nan lebat itu. Terasa bagaikan sedang bersama dengan Jeremy The Angel.

*************

ADA sebuah pondok telefon bersebelahan pohon kayu di taman berhampiran. Camie dan Dew meredah hujan lebat menuju ke pondok telefon awam berwarna merah itu.
Sebaik masuk ke dalam pondok telefon tersebut payung yang dipegang di campak saja keluar oleh Camie. Tiada masa lagi hendak ditutup dengan betul. Pintu pondok telefon di tutup oleh Dew dengan segera bagi mengelakkan terkena tempias air hujan.
Maka berteduhlah mereka di satu bumbung yang sama selepas itu.
Anak kucing dalam pelukannya dilepaskan dan diletakkan di atas telefon awam. Dew menanggalkan baju luarnya yang basah dan digantungkan di peletak gagang telefon. Sementara Camie melepaskan sanggul rambutnya. Rambut yang basah itu kemudiannya dikirai-kiraikan agar lekas kering.
Sekilas pandangan Dew menala kepada Camie yang sedang menyisir rambut panjangnya dengan jari-jemari. Matanya diam tidak berkalih apabila sekali lagi melihat Camie melepaskan sanggul rambutnya. Tanpa disedari oleh gadis itu Dew terus merenungnya… Dia tak hodoh. Dia sempurna dan cantik sebenarnya. Bisik lelaki itu dalam hatinya.
Camie lebih tertumpu pada anak kucing tadi. Tidak sedar langsung akan perbuatan Dew yang sedang merenungnya kini. Anak kucing tersebut hendak melompat turun namun segera ditangkap oleh Camie. Diletakkan semula di atas telefon awam. Tubuhnya dibelai-belai manja.
“Kucing awak ke?” Camie bertanya tanpa menoleh kepada Dew.
“Tak… jumpa di tepi jalan tadi,” jawab Dew sebelum membuang pandangannya ke luar.
Hujan masih mencurah-curah. Sangat lebat. Dia memeluk tubuh sambil bersandar di dinding pondok telefon tersebut.
“Kau ada apa-apa makanan?” Dew bertanya kepada Camie.
Camie yang sibuk membelai-belai tubuh anak kucing itu berpaling kepada Dew.
“Kucing tu lapar,” jelas Dew ringkas.
Camie mengangguk sekali dan terus mencapai karung plastik yang berisi barang-barang makanan yang baru dibelinya tadi. Selain buah-buahan cuma ada sebuku roti saja sebagai makanan. Lantas Camie mengambil sekeping daripada roti sandwich tersebut dan disuakan pada anak kucing tersebut.
Tanpa sedar air matanya mula bertakung di tebing mata. Entah kenapa tiba-tiba dia rasa sayu tatkala Dew menyuruhnya memberikan makanan pada kucing tersebut. Secara tidak sengaja Dew telah membangkitkan memorinya terhadap Jeremy.
Dew mengambil kepingan roti dari tangan Camie lalu dicubitnya sedikit untuk disuakan pada anak kucing tersebut. Seronok sungguh si comel itu mengunyah roti kosong. Dew tersenyum melihat gelagat gelojoh anak kucing tersebut menelan makanan. Matanya mengerling kepada Camie, mahu melihat reaksi gadis tersebut.
Senyuman Dew mati tatkala melihat air mata Camie yang mengalir di pipi. Dia berasa pelik lantas bersuara.
“Kenapa menangis?” Bahu Camie ditepuk lembut oleh Dew.
Camie tersentak lalu segera menyeka air mata dengan lengan bajunya. Dia menggeleng kepala sebelum menjawab. “Tak ada apa-apa.”
Dew merenungnya dengan rasa curiga.
“Eh, awak nak bela kucing ni ke?” soal Camie, sengaja menukar tajuk agar Dew tidak bertanyakan apa-apa soalan terhadapnya.
Melihat tindakan Dew tadi secara automatik mengingatkan Camie kepada Jeremy. Dew  menyayangi binatang sama seperti Jeremy. Cuma bezanya Jeremy alergi dengan haiwan berbulu seperti kucing dan anjing. Penyakit yang dialami oleh Jeremy menyebabkan lelaki itu tidak menyentuh apatah lagi bermain dengan haiwan tersebut. Biasanya Jeremy hanya memerhatikannya bermain dengan haiwan tersebut dari satu jarak.
“Tak. Kalau kau nak kau saja yang bela,” jawab Dew. Kecurigaannya terhadap Camie masih ada namun dipendamkan saja di dalam hati. Tidak mahu melanjutkan pertanyaan Camie.
“Kenapa tak nak bela? Nak biarkan ia jadi kucing jalanan terus? Makan minum tak terjaga. Kesian tau.”
“Kan aku dah cakap, kalau kau nak kau saja yang bela kucing ni,” ulang Dew dengan keras dan tegas.
Camie terdiam terus. Tidak mahu manaikkan marah Dew. Mungkin Dew ada sebabnya yang tersendiri.
“Aku tak boleh jaga ia. Rumah aku tak boleh bela binatang.” Dew memberikan alasannya agar Camie berpuas hati. “Kau jaga dia bagi pihak aku, boleh?”
Camie mengangkat wajah memandang lelaki tersebut. Tergamam seketika.
“Ha? Kau nak aku jagakan?”
Dew mengangguk. Wajah yang biasanya tiada riak itu tersenyum. Seolah-olah mengharapkan Camie memenuhi permintaannya.
Sejuk hati Camie melihat senyuman tersebut. Lantas tanpa berfikir panjang dia mengangguk, bersetuju dengan permintaan Dew. Lega hati Dew apabila Camie bersetuju untuk memelihara binatang tersebut.
Tiba-tiba satu bunyi asing memecah suasana. Dew menyeluk poket seluarnya mengeluarkan telefon selularnya yang berbunyi tanda ada panggilan masuk.
“Hello…” Dew menjawab panggilan. Untuk seketika dia membelakangkan tubuhnya daripada Camie.
Camie membiarkannya dan terus melayan anak kucing tadi. Sebentar kemudian setelah panggilan diputuskan Dew kembali memusingkan tubuhnya kepada Camie dan anak kucing.
“Hujan dah hampir reda. Sekejap lagi bolehlah kita pulang,” kata Dew.
Camie memandangnya dengan pelik… kita? What is that mean by ‘kita’??

No comments: