Kawan2 yg saya Sayang

Thursday, April 4, 2013

Aku Bukan Malaikat (Bab16-17)


Malam ini saya sangatlah happy...rasa macam nak terbang2 kat angkasa raya je...ingin saya kongsikan berita gembira ini kepada semua pembaca yang singgah ke blog ini untuk mengikuti perkembangan enovel saya... berita baiknya ialah AKU BUKAN MALAIKAT insyaallah akan diterbitkan sebagai novel. Doakan semuanya berjalan dengan lancar sehingga anak kedua saya bersama KN ni terbit di pasaran kelak ye... =)



Bab16
“OUCH!” Sebelah tangan Nuha menampar wajah Mariya. Serta merta Mariya terjaga dari tidur. Ini sudah kali ketiga Mariya terjaga kerana kelasakan Nuha semasa tidur. Disebabkan tidurnya asyik terganggu akhirnya Mariya terus bangkit dari katil. Mulutnya merungut sendirian kerana marahkan Nuha yang terlalu lasak. Ditambah pula dengan cuaca malam ini yang hangat membuatkan hatinya bertambah panas.

“Macam manalah seorang selebriti yang petah bercakap ada seorang adik yang berat mulut dan sombong. Sudahlah tidur lasak. Menyakitkan hati betul adik Ameer ni. Ergh…” Mariya membebel sendirian sambil mengatur langkah untuk keluar dari bilik tidurnya.

“Ngeee…” Kedua belah tangan Mariya kelam kabut memegang kain batiknya yang tiba-tiba melurut jatuh. “Ish, nasib baik tak terlondeh depan Ameer. Teruk betul.” Dia membetulkan semula ikatan kain batiknya. Dia tidak pernah belajar memakai kain batik. Jadi ikatannya pun main bedal sahaja. Tadi dia memakai tali pinggang tetapi telah ditanggalkan ketika hendak tidur.

Sebaik kain batik yang disarung dikemaskan semula Mariya mengatur langkah ke pintu. Dia mahu turun ke dapur. Dia sudah tidak dapat melelapkan mata lagi. Lagipun tekaknya terasa haus jadi dia berhajat mahu minum.

“Mariya…” kedengaran suara halus yang lemah memanggil namanya ketika Mariya membuka pintu peti sejuk.

Mariya tidak mahu mengendah. Dia tidak mahu menyangka yang bukan-bukan di rumah Ameer. Botol air mineral segera dicapai dari rak tepi dalam peti sejuk.

“Mariya…” Sekali lagi Mariya terdengar namanya dipanggil. Mariya jadi tidak sedap hati. Dalam suasana kelam di dapur tersebut Mariya menjeling jam dinding yang terdapat di atas penjuru peti sejuk. Jarum jam sudah mencecah ke angka 2. Mariya telan liur. Cuak juga bila memikirkan siapa yang memanggil-manggil namanya di kala dini pagi begini.

“Mariya… tolong saya.”

Mariya tidak jadi hendak minum. Botol air mineral diletakkan kembali ke tempat asalnya. Dia menutup pintu peti sejuk.

“Wargh!!!” Mariya hampir melompat akibat terkejut kerana ternampak lembaga yang tiba-tiba berdiri di balik peti sejuk sejurus dia menutup pintu peti sejuk itu. Mariya mengelus dada lega apabila mendapati lembaga tersebut ialah Ameer. “En. Ameer, awak hampir buat saya pengsan. Apa awak buat di sini?”

Ameer tidak membuka mulut. Dia berjalan lemah mencari kerusi di meja makan sebelum mengambil tempat duduk. Wajah Mariya dikerling sekali sebelum tangan kanannya mencengkam perut.

Mariya menuju ke dinding mencari suis lampu untuk dihidupkan. Sebaik lampu dapur dipetik Mariya kembali mendapatkan Ameer yang kelihatan lemah sambil mengurut-ngurut perutnya.

“Awak tak sihat?” tanya Mariya.

“Saya sakit perut.” Ameer memandang Mariya dengan mata yang layu. Dahinya sesekali berkerut kerana menahan sakit. Dia nampak terseksa menahan kesakitan.

“Awak sakit perut macam mana? Gastrik? Cirit birit?”

Ameer menggeleng. “Perut saya pedih. Saya tak boleh tidur sejak tadi. Tolong saya Mariya. Dari tadi saya cari ubat tapi tak jumpa. Mana awak simpan peti ubat saya?”

Mariya mengetap bibir. Dia yang memindahkan peti ubat Ameer ketika mengemas rumah. “Tunggu sekejap ya. Saya ambilkan ubat untuk awak.” Mariya pantas melangkah menuju ke salah satu laci kabinet dapur untuk mengambil ubat dari peti kecemasan. Hanya ubat penahan sakit yang berjaya ditemuinya. Sebaik ubat diambil dia mencapai gelas dan mengisinya dengan air kosong. Kemudian dengan pantas dia kembali mendapatkan Ameer semula.

“En. Ameer, ubat untuk awak.”

“Terima kasih.” Ameer menelan dua biji kapsul berwarna hijau kuning itu sebelum meneguk air.

“Awak nak minyak urut?” Melihat keadaan Ameer membuatkan Mariya berasa simpati. Serta merta dia terlupa bahawa Ameer itu adalah musuh yang mahu dihapuskannya.

Ameer menggeleng. “Tak apa. Saya nak baring sekejap di sofa.” Ameer menggagahkan diri untuk bangun dari kerusi dan menuju ke ruang tamu.

“Biar saya pimpin awak…” Mariya mahu mengatakan ayat tersebut namun lidahnya terasa kaku. Akhirnya dia hanya mampu mengulum ayat tersebut di dalam mulut. Matanya membiarkan susuk lemah tubuh Ameer berjalan perlahan-lahan menuju ke ruang tamu sebelum merebahkan diri di sofa.

“Ameer tu nampak saja macam macho bila makan sambal. Tunggu beberapa jam kemudian pasti dia akan rebah. Perut dia sensetif. Tak boleh makan makanan yang terlalu pedas.” Tiba-tiba suara Hakimi yang selalu bercerita tentang Ameer dahulu terngiang-ngiang di telinga Mariya.

“Patutlah.” Mariya tersenyum sendiri. Dia sudah tahu punca Ameer jatuh sakit. Dia langsung tidak ingat sebelum ini tentang perut Ameer yang sensetif dengan makanan pedas. Lagipun bila melihat Ameer begitu berselera melantak Sambal Udang yang dimasaknya malam tadi langsung dia terlupa akan fakta yang pernah diberitahu Hakimi kepadanya dahulu.

Mariya berjalan menuju ke ruang tamu dan mendapatkan Ameer yang sedang berbaring di sofa sambil memeluk perutnya yang sakit.

“En. Ameer, awak okey?” Mariya duduk bersimpuh di sisi Ameer sambil pangkal lengan Ameer dielus lembut mempamerkan simpatinya terhadap pemuda itu.

Ameer mengangguk lemah. Mariya yang duduk di lantai di sebelahnya hanya dikerling melalui ekor matanya sahaja.

“Saya minta maaf kalau saya yang menyebabkan awak sakit. Mungkin sambal yang saya buat malam tadi terlalu pedas untuk awak.”

Mata Ameer terbuka luas. Tangan Mariya yang menyentuh pangkal lengannya dipaut dan dialihkan secara sopan ke tepi. Seluruh wajah Mariya ditatap kemudiannya. Wajah gadis itu hanya tertunduk mempamerkan rasa bersalahnya.

“Eh, bukan. Awak tak salahlah. Saya memang selalu macam ni. Awak janganlah risau. Kejap lagi sakit perut saya akan baik.” Ameer serba salah bila melihat Mariya begitu.

“Tapi…”

“Betul. Saya tak apa-apa. Lagipun kan awak baru beri saya makan ubat. Saya akan sembuh sebelum subuh.” Sedaya upaya Ameer menegah Mariya dari rasa bersalah terhadapnya.

“Janji?”

Ameer tersenyum. Ada pula kena main janji-janji. Tak apa. Layankan saja. “Saya janji.”

Mariya tersenyum akhirnya. “Awak tunggu sekejap ya. Saya nak ke dapur.” Mariya bangkit lantas mengatur langkahnya meninggalkan Ameer untuk seketika.

Ameer hanya memerhatikan susuk tubuh Mariya dari tempat pembaringannya. Dia nampak Mariya sibuk-sibuk mahu menyediakan sesuatu di dapur. Ameer diam sahaja tidak menegah. Kelopak matanya dipejam. Dia cuba melelapkan mata agar kesakitan yang dialaminya dapat dilupakan seketika sehingga ubat yang baru diambilnya tadi mendatangkan kesan.

Beberapa ketika kemudian Ameer mula terlelap. Namun tidurnya tidak selena mana. Matanya kembali terbuka luas tatkala namanya dipanggil oleh Mariya.

“En. Ameer, saya buatkan air penawar untuk awak. Minum dulu. Sekejap lagi sambung tidur semula ya.” Suara Mariya lembut menyapa telinganya. Ameer membuka kelopak mata. Wajah Mariya yang sentiasa tersenyum menyapa pandangannya. Umpama bidadari yang membuatkan semangat lelakinya berkobar-kobar untuk bangkit dari mimpi.

“Air apa ni Mariya?” soal Ameer apabila melihat air yang disuakan oleh Mariya sebaik dia mengambil tempat duduk.

“Teh kosong,” jawab Mariya. Teh yang dibancuh pekat tanpa gula adalah salah satu petua merawat sakit perut.

“Tanpa gula? Pahitlah…” Ameer menjuihkan bibir. Mug di tangan Mariya ditolak menjauh.

“Tak pahit. Kelat sikit saja. Lagipun mana ada ubat yang sedap. Minum.” Mariya kembali menyuakan teh pekat tanpa gula itu kepada Ameer.

Ameer tiada pilihan lagi apabila Mariya seolah-olah memaksanya. Sambil memicit hidung Ameer meneguk air tersebut.  Sebaik teh kosong itu habis diteguk Ameer segera menyerahkan mug kosong kepada Mariya. Raut wajahnya berkerut menahan rasa kelat yang memenuhi deria rasanya. Mariya hanya tersenyum kecil melihat gelagat Ameer. Mug kosong di letak di atas meja kopi. Kemudian dia mengambil sebotol madu yang dibawa bersamanya tadi. Sesudu madu dituang lalu disuakan kepada Ameer. “Aaa…” Mariya mahu Ameer mengangakan mulutnya sebelum madu lebah disuap ke mulut pemuda itu.

“Apa pula ni?”

“Madu. Boleh hilangkan rasa kelat teh tu.” Selain dari itu madu juga dikatakan sebagai penawar pelbagai penyakit. Untuk mereka yang takut makan ubat yang pahit, madu adalah satu-satunya penawar yang manis rasanya. Pengecualian untuk ‘bermadu’. Yang itu pahit rasanya terutama bagi wanita.

Tanpa banyak soal terus Ameer menganga dan menelan madu yang disuapkan Mariya. Mariya tertawa lagi melihat tingkah Ameer yang gelojoh mahu menelan madu yang disudukannya.

“Awak ni macam budak-budak. Suruh makan ubat pun banyak soal.” Mariya meletakkan sudu ke dalam mug teh yang sudah kosong tadi. “Macam mana? Sakit perut awak dah berkurang?”

Ameer mengangguk. “Terima kasih. Susahkan awak sahaja jaga saya.”

“Tak apa. Perkara kecil sahaja. Kalau bukan sebab saya pun awak tak kena sakit perut macam ni kan.” Mariya bernasib baik juga kerana peti sejuk Ameer yang bagaikan peti serba guna. Dia terjumpa madu lebah pun di dalam peti sejuk tersebut tadi. Pelik juga Mariya bila melihat peti sejuk Ameer umpama seorang yang rajin memasak di dapur. Apa yang dia mahukan untuk memasak semuanya ada sedangkan apa yang dia nampak Ameer seorang lelaki berkerjaya yang sibuk dan tiada masa untuk memasak. Bila masa pula Ameer memenuhkan peti sejuknya dengan segala jenis bahan masakan.

“Ish, kan saya dah kata. Bukan salah awak. Perut saya memang sensetif. Makan pedas sikit pun tak tahan.”

“Tapi degil tetap nak makan kan.” Ameer tertawa mendengar kata-kata Mariya. “Lepas ini saya janji takkan masak masakan yang pedas untuk awak lagi.” Mariya mengangkat tapak tangan kanannya separas telinga tanda janji yang bakal dikota.

“Eh, janganlah macam tu. Sambal Udang awak tu sedap. Rugilah kalau saya tak dapat rasa lagi lepas ini.”
“Pulak…” Mariya geleng kepala. Betul kata Hakimi… perut Ameer memang tak tahan makan pedas tapi selera tekaknya memang tak boleh tak makan pedas. “Awak ni macam-macamlah. Kalau dah berbini nanti, penatlah isteri awak nak jaga awak sakit.”

“Hmm… kalau awak dah sayang pada seseorang, awak sanggup ke biarkan dia tanggung sakit?” ada senyum penuh makna tersungging di bibir Ameer ketika ini.

Hmm… kalau Hakimi sakit adakah aku sanggup biarkan dia tanggung sendiri sakitnya? Mariya diam sejenak. Bayangan Hakimi kembali menghantui jiwanya. Sejak terbit kasihnya terhadap lelaki itu, amat sukar untuknya membuang nama Hakimi dari minda. Walau seteruk mana perbuatan Hakimi terhadapnya yang pasti cintanya masih pada lelaki tersebut.

“Mestilah tidak. Tentulah saya akan jaga orang yang saya sayang sampai dia sembuh. Sakit yang dia tanggung umpama derita yang saya pikul. Mestilah saya akan jaga dia.”

“Untungnya lelaki tu. Kalau macam tu awak kahwin dengan saya sahajalah. Kan senang.”

Mariya terkedu. Lawak yang Ameer buat bagai satu renjatan elektrik yang menyerang jantungnya secara tiba-tiba. Matanya terbelalak merenung tepat ke wajah Ameer. Rahangnya bagai nak jatuh bila melihat Ameer tersenyum senang bagai tidak menyedari lawak tahap serius yang baru diucapkannya tadi.

“Tak payahlah pandang macam nak telan saya. Baru cakap macam tu dah cuak. Saya bergurau sahajalah.” Tanpa rasa bersalah Ameer menegur tenungan Mariya yang garang terhadapnya.

“Encik Ameer Asytar… tak kelakar, okey!” Nada suara Mariya begitu serius.

Okey, fine. Sorry.” Melihat Mariya yang sangat serius membuatkan Ameer jengkel. Dia bukan berniat hendak serius. Sekadar gurauan untuk mewujudkan suasana sahaja tetapi Mariya pula yang sensetif. “Saya nak naik berehat dahulu. Lagipun esok saya kena bangun awal.” Tanpa menunggu lama Ameer mengangkat punggung dan berlalu meninggalkan Mariya.

“Ameer…” sampai di anak tangga pertama Ameer menghentikan langkahnya dan kembali menoleh kepada Mariya. “Awak ada kekasih?” soal Mariya.

Ameer tidak terus menjawab tetapi senyumannya meleret nakal merenung Mariya. “Kalau saya jawab ‘ada’ mesti awak kecewa kan. Awak mesti dah jatuh hati pada saya. Betul tak?” Mariya mengeluh. Malang baginya apabila Ameer menyalah ertikan lagi niatnya bertanya soalan begitu. “Saya tak ada teman wanita buat masa sekarang.”

Jawapan Ameer menggusarkan hati Mariya. Tentu sekali Ameer tidak mempunyai teman wanita jika dirinya menyukai lelaki. Pandai juga lelaki itu memutar belitkan jawapannya. “Adakah awak menyukai seseorang sekarang?” soalnya lagi.

Ameer diam lagi. Berfikir sejenak. Kemudian dia menjungkit bahu. “Tak pasti. Mungkin. Walaupun ia nampak mustahil tapi mungkin saya sedang menyukai seseorang.” Kaki Ameer kembali diatur untuk mendaki tangga. Rasanya setakat sampai di situ sahaja soalan Mariya yang mahu dilayannya.

Mariya terdiam di ruang tamu sambil memerhatikan kelibat Ameer yang menghilang dari pandangan matanya. Mariya duduk bersandar di kaki sofa sambil memeluk lutut. Fikirannya ligat bekerja. “Siapa dia, Ameer? Siapa yang kau suka? Adakah Hakimi? Jadi benarlah Hakimi tinggalkan aku kerana kau.”

Tangan kanan mencengkam dadanya yang tiba-tiba terasa sakit. Dadanya terasa ditekan-tekan. Entah kenapa tiba-tiba dia rasa sebak lalu air mata yang sentiasa ditahan dari keluar akhirnya mengalir di kelopak mata. Tiada suara tangisan yang bergema. Mariya mencengkam mulutnya menahan dari mengeluarkan suara tangisannya. Dia tidak mahu sesiapa tahu perasaan tertekan yang ditanggungnya kini. Terutamanya Ameer.
“Kenapa aku perlu lalui semua ini? Kebencian itu sangat menyakitkan. Dendam itu membuatkan aku semakin tersiksa. Lelaki memang tak guna!”


 BAB17
BERBEKALKAN lampu di meja sudut kamar tidurnya Ameer merenung rantai emas di tapak tangannya. Loket anak kunci pada rantai tersebut dipegang dan dibelek penuh minat. Tubuhnya dilentangkan di tengah katil. Rantai emas milik Mariya masih dalam genggaman tapi matanya kini merenung siling bilik. Ameer termenung lama. Fikirannya kosong. Semakin dia memikirkan Mariya samakin dia tidak mengerti apa yang patut dia fikirkan. Akhirnya senyuman terukir di bibir tanpa sebab.

“Siapa sebenarnya Mariya? Apa permainan yang dia cuba hendak main dengan aku sebenarnya?” persoalan tersebut masih belum terjawab sejak hari pertama dia mengenali Mariya tempohari.

Walaupun hati Ameer penuh dengan tanda tanya namun dalam diam dia senang melihat kewujudan Mariya di rumahnya. Biarpun dia tidak pasti akan niat dan motif Mariya, dia akan terus memantau setiap tindakan gadis itu.

Suis lampu ditutup. Ameer berhenti memikirkan tentang Mariya. Dia mesti tidur sekarang. Esok akan bersambung lagi episod dalam kehidupannya sebagai seorang selebriti.


Bersambung.....


No comments: