2
Setibanya di lapangan terbang Lisberg Ryo terus menuju ke kaunter pertanyaan. Dia menyemak semua penerbangan ke Houston Milan. Dia berasa lega kerana masih sempat mengejar penerbangan terakhir. Ryo berlari di sekitar kawasan lapangan terbang. Mencari dan terus mencari kelibat Gina. Namun dia gagal. Terlalu sukar menjejaki gadis tersebut. Gina seakan cuba bersembunyi.
Ryo rasa tertekan tetapi dia masih belum berputus asa. Dia cuba menghubungi telefon bimbit Gina… Gagal. Gina sengaja tidak menjawab panggilan Ryo. Ryo kecewa. Dia yang keletihan berkejar ke sana ke sini akhirnya mengambil tempat untuk duduk sebentar.
Seorang gadis yang duduk di sebelah memandangnya tidak berkelip. Ryo yang terasa diperhatikan segera menoleh. Pandangan gadis tersebut membuatkannya tidak selesa.
“Awak ni… Nishikido Ryo?”
“Err…” Ryo serba salah hendak mengaku tapi akhirnya dia mengangguk. “Ya, saya...”
Wajah Gadis itu tersenyum berseri-seri. Dia mencuit temannya yang berada di sebelahnya dan memberitahu bahawa lelaki tersebut benar-benar ialah Ryo, penyanyi yang terkenal itu.
“Boleh minta autograph?” Pinta gadis tersebut yang nampak sangat teruja bertemu dengan Ryo. Temannya yang seorang lagi sedang menyelongkar begnya untuk mencari pen dan kertas.
Ryo tersenyum dan mengangguk. Sebentar kemudian gadis tadi menyerahkan sekeping kertas kepada Ryo. Temannya tadi masih mencari-cari pen di dalam beg galasnya. Ryo terus menunggu dengan sabar.
“Ala, pen aku hilang. Kau ada pen tak?”
“Ha? Manalah aku pernah bawa pen. Err, macam mana ni?”
Ryo hanya diam dan membiarkan dua orang gadis tadi mencari ikhtiar untuk mendapatkan autographnya.
“Err… Kami tak ada pen. Macam mana ni?” Akhirnya salah seorang gadis tadi bertanya pula kepada Ryo.
“Hmm… Lipstick? Awak berdua tentu ada lipstick kan?” Ryo memberi cadangan. Selalunya orang perepuan mesti ada lipstick dalam beg tangan.
Dua orang gadis tadi tersenyum dan segera mendapatkan lipstick mereka untuk Ryo. Sebentar kemudian Ryo mencoret sesuatu pada kertas tadi dengan gincu.
“Nah, satu untuk awak dan satu lagi untuk awak.” Ryo menghulur kertas yang sudah ditandatanganinya kepada dua orang peminatnya itu. Dia senyum kepada dua orang peminatnya itu.
Dua orang gadis remaja tersebut sudah jatuh cinta dengan senyuman Ryo sehingga tidak sedar yang Ryo sudah memberikan kertas tadi.
“Err… boleh tak kita tangkap gambar?”
Ambil gambar pula? Hai… apa-apa sajalah. Ryo tidak mahu mengecewakan mereka semua lantas mengangguk. Beberapa keping gambar mereka ambil. Dan masa yang Ryo luangkan itu sudah cukup lama sehingga menyebabkan dirinya mula dikesan orang ramai di sekitar lapangan terbang itu. Daripada dua orang sahaja kini Ryo terpaksa melayan lagi tiga orang. Kemudian bertambah menjadi lima dan sepuluh dan akhirnya Ryo terpaksa melarikan diri kerana mula diserbu.
Berlari ke utara dikejar oleh sekumpulan manusia. Kemudian berlari pula ke timur, Ryo tersepit di jalan buntu. Mati! apa aku nak buat sekarang? Mana lagi aku nak lari ni? Ryo nampak satu lorong. Dia segera berlari ke arah lorong tersebut.
Ada sebuah kedai coklat di bahagian selekoh lorong tersebut. Tanpa berfikir panjang Ryo terus masuk ke dalam kedai tersebut. Sambil menundukkan kepala dia berjalan pantas di sekitar rak-rak coklat. Ada satu sudut yang agak selamat dan tersorok dari pandangan orang ramai. Ryo duduk bertinggung di situ sebentar untuk menghilangkan lelahnya.
Seorang gadis yang merupakan pekerja di Sweet Chocoretto, kedai coklat tersebut menghampiri Ryo. Sambil turut sama bertinggung dia menegur Ryo.
“Apa kau buat di sini?” tanyanya sambil meneroka wajah lelaki yang masih tercungap-cungap itu.
“Hah!” akibat terkejut Ryo menutup sebahagian wajahnya. Mengelak dari dicam oleh sesiapa lagi. Dia sudah tidak larat hendak berlari menyelamatkan diri lagi. “Tak… aku bukan Nishikido Ryo!” katanya dalam keadaan kalut.
Akibat suaranya yang meninggi tiba-tiba itu telah menyebabkan beberapa orang di kedai tersebut perasan akan kehadirannya. Yna yang perasan akan keadaan tersebut segera menolak Ryo ke belakang rak. Sambil tersenyum manis dia menundukkan kepala kepada para pelanggan di kedai tersebut.
Seketika kemudian pelanggan Sweet Chocoreto tidak mengendahkan lagi suara yang mencurigakan tadi. Peluang itu sebaiknya digunakan oleh Yna untuk bercakap dengan Ryo.
“Ryo, ini akulah. Kau tak kenal dengan aku ke?”
“Ha?” Ryo merenung gadis yang sedang mengawal suaranya itu. “Y-Yna…?”
“Ya, Aku Yna lah.” Sempat Yna melepaskan rambutnya agar Ryo lebih mengecamnya.
Ryo ternganga sambil terus merenung Yna. Tak sangka bertemu dengan gadis tersebut dalam keadaan yang kelam kabut begini.
“Apa yang sedang kau buat ni? Ada orang kejar kau ke?” Soal Yna.
“Err… lebih kuranglah. Aku kena kejar dengan sekumpulan peminat.” Mata Ryo masih mengawasi keadaan sekeliling. “Aku tak tahu mana nak larikan diri lagi ni.”
Yna turut sama memerhati keadaan sekeliling terutama di luar kedai. Tidak jelas mana satu peminat Ryo tapi nampak gayanya banyak mata yang sedang melilau-lilau seperti sedang menjejaki sesuatu.
Ryo tidak boleh terus berada di sini. Alamatnya kedai ini pula yang akan roboh diserbu oleh mereka semua kalau Ryo dapat dikesan nanti. Aku patut bawa Ryo keluar dari tempat ini.
“Jom ikut aku.” Yna menarik lengan Ryo dan membawanya secara senyap ke lorong belakang kedai. Dia tahu selok belok kawasan lapangan terbang tersebut. Ada lorong tersorok yang jarang digunakan orang ramai.
“Kau nak bawa aku kemana ni?” Soal Ryo.
“Jangan risau. Aku dah biasa dengan tempat ni. Kita tak akan tersesat.” Dia tahu Ryo tidak yakin dengannya. Satu perkara yang Ryo tidak tahu ialah dia bekerja di sini dan tahu setiap laluan di situ.
Sampai di pintu lif mereka berhenti.
“Yna, macam mana kau tahu selok belok kawasan di sini?”
Yna tersenyum.
“Aku kerja di sini.”
“Hah… yeke? Kerja apa? Pramugari?”
“Hotak kau! Macam perli aku saja.” Hampir saja buku lima Yna singgah di wajah Ryo.
Ryo tertawa.
“Aku kerja di Sweet Chocoretho.”
“Kedai coklat tadi?” Ryo tertarik. “Kau dengan coklat memang tak dapat dipisahkanlah, Yna.” Ryo menggeleng kepala sambil tersenyum lagi. Satu perkara yang dia ingat tentang Yna dulu ialah gadis itu sanggup belasah sesiapa yang termakan coklat kesayangannya.
“Well, you know me, right.” Yna bangga dengan pekerjaannya sekarang.
Pintu lif sudah terbuka dan Yna melangkah untuk masuk ke dalam perut lif.
“Kita nak kemana ni?” Tanya Ryo sebelum masuk ke dalam lif.
“Keluar dari sinilah.” Jawab Yna.
“Ikut lif ni?”
Yna mengangguk yakin. Ryo menganggap Yna lebih arif dengan kawasan lapangan terbang ini jadi dia mengikut saja aturan Yna. Dia masuk ke dalam lif bersama Yna.
“Lama betul kita tak berjumpa kan.”
“Ya… sejak tamat kolej. Dah dua tahun agaknya.”
“Dua tahun… tapi rasa macam dah dua belas tahun. Kau dah banyak berubah.”
Yna sekadar tersenyum mendengar pendapat Ryo tentang dirinya kini.
Ryo merenung diri Yna.
Tidak banyak perubahan pada diri Yna sebenarnya melainkan rambut gadis itu yang sudah panjang melepasi pinggang. Tapi dengan sedikit perubahan itu saja, Ryo rasa sedang melihat Yna yang baru hari ini.
“Apa cerita kau sekarang?” Soal Yna sekadar memenuhi masa terluang di dalam lif tersebut.
“Seperti yang kau nampak dan kau dengar di dada akhbar dan kaca tv. Apa lagi yang aku nak cerita…” jawab Ryo sambil tersenyum panjang.
Ya… dia sangat popular sekarang. Semua orang asyik sebut tentang Nishikido Ryo. Untuk kali pertama selepas dua tahun perpisahan kami… adakah patut jika aku masih berasa cemburu dengan dirinya?
“Kau pula macam mana? Masih bersama Vic?”
Wajah Yna berubah sedikit. Kenapa soalan itu pula yang keluar dulu dari mulut Ryo? Tak kan dia tidak tahu cerita diantara aku dan Vic selama ini. Jangan kata yang mereka berdua dah lama tak berhubung… itu pelik.
“Ryo…” Kata-kata Yna terbantut apabila tiba-tiba lif berhenti mengejut.
“Alamak… lif rosak.”
“Oh, no…” Ada keluhan di hujung kata-katanya.
Ryo meraba-raba dinding. Dia menekan butang kecemasan. Sementara Yna pula sedang cuba mencungkil pintu lif. Namun usahanya itu gagal.
“Yna… kau tak akan berjaya buka pintu lif ni.” Ujar Ryo yang sudah menapak di lantai lif.
“Argh… kenapa time macam ni pula lif ni nak buat hal!” Yna nampak geram.
Ryo mengeluarkan telefon selularnya. Moga-moga dia dapat menghubungi seseorang untuk mendapatkan bantuan. Memandang skrin alat komunikasi tanpa wayar itu tiba-tiba menimbulkan rasa geramnya. Patutlah telefonnya senyap sejak tadi, tiada panggilan daripada Aya yang sepatutnya sedang mencarinya pada waktu ini. Rupanya telefon bimbit itu sudah kehabisan bateri.
Yna yang masih sibuk mencungkil pintu lif dikerling. Yna yang perasan dirinya direnung menoleh kepada Ryo. Memahami apa maksud pandangan Ryo itu segera dia meraba poket bajunya… dia menggeleng kepala. Tidak membawa telefon bimbitnya kerana tergesa-gesa keluar dari Sweet Chocoretho ketika melarikan Ryo tadi.
Huhh~~ masing-masing mengeluh sebelum duduk bertinggung di lantai lif. Mahu tidak mahu mereka terpaksa bersabar menunggu pasukan penyelamat yang tidak pasti bila akan tiba.
“Relax lah. Perkara macam ni biasa saja, okey.” Ryo cuba menenteramkan Yna yang nampak gelisah.
“Ryo, kau tak fahamlah… sekarang dah jauh malam. Kemungkinan pasukan penyelamat tak akan datang. Kau nak kita duduk di sini sampai esok pagi ke?”
“Hah…! Kau gila! Tak kan lapangan terbang besar macam ni tak ada pasukan penyelamat yang bertugas 24 jam?”
“Ya, memang ada tapi lif yang kita gunakan ni jarang digunakan orang ramai. Kemungkinan besar mereka tidak sedar dengan masalah yang sedang kita hadapi sekarang.”
“Jadi… kita akan terperangkap sampai bila?” Barulah wajah Ryo nampak sedikit cemas.
“Kita kena cari jalan untuk keluar dari sini.”
Yna kembali berdiri dekat dengan pintu lif. Dia mencuba lagi untuk membuka pintu lif yang tertutup rapat itu.
Usaha kau sia-sia, Yna. Kau tak akan berjaya dengan cara begitu. Ryo bersuara di dalam hati sahaja. Dia kembali bangkit. Memandang sekeliling. Apabila dia mendongak ke atas wajahnya tersenyum. Mungkin mereka boleh keluar melalui satu jalan.
“Yna…” Ryo mencuit bahu Yna.
Yna menoleh kepadanya. Yna mendongak ke atas apabila tangan Ryo menuding ke bahagian atas lif. Yna kembali menoleh Ryo semula dengan senyuman di bibir, sama seperti Ryo.
“Kau panjat aku dan cuba kopak bumbung tu, okey.”
“Okey… kadang-kadang boleh pakai juga otak kau ni, ya.”
“Heh, ini Nishikido Ryo lah.” Ryo mendabik dada.
Yna yang mula bersedia untuk memanjat tubuh Ryo itu mencebik. Menyesal pula aku puji dia tadi…
Tubuh lelaki itu dipanjat dengan berhati-hati. Berkerut-kerut wajah Ryo menahan Yna yang sedang cuba berdiri di atasnya.
“Ryo, pegang aku kuat-kuatlah. Nak jatuh ni.” Arah Yna yang sedang cuba mengopak bumbung lif.
“Aku jaga lah ni. Kau tu bukannya ringan tau. Janganlah banyak bergoyang.” Balas Ryo.
Baru saja Ryo habis bersuara, tubuhnya hilang keseimbangan menampung Yna di atas bahunya.
“Argh…!” mereka berdua menjerit sebelum kedua-duanya jatuh menyembah bumi.
Untuk seketika mereka menanggung kesakitan akibat kemalangan kecil tersebut. Ryo memegang kepala yang sakit akibat terhantuk di dinding. Tubuhnya rasa sengal-sengal. Yna pula memegang lutut dan buku lalinya yang cedera.
“Kau okey? Tak apa-apa?” Tanya Ryo mengambil berat akan sang teman.
“Kepala hotak kau tak apa-apa! Sakit tahu tak!” Marah Yna yang masih lagi menahan kesakitan.
Melihat Yna yang memegang kejap lututnya, Ryo cuba menghampirinya.
“Kau cedera?” Soal Ryo prihatin.
“Semua ni kau punya pasallah! Kenapa lepaskan aku macam tu?” Nada suara gadis itu jelas masih marah dengan insiden tersebut.
“Sorry, Yna. Aku tak sengaja. Dah tak larat. Bukannya ringan tau nak junjung kau.”
“Apa maksud kau? Kau nak kata aku ni dah gemuk, ya?”
Ryo diam tapi kemudian dia tersengih mengerling Yna yang masih marah.
“Baguslah kalau kau sedar. He,he,he…” Ryo tertawa.
Yna mengetap bibir geram. Tangannya pantas hinggap ke tubuh Ryo. Satu cubitan kuat dihadiahkan kepada pemuda tersebut.
“Sakit~!” Ryo menjerit seraya menepis tangan Yna yang mengetam tubuhnya. Dia menjauhi Yna pada jarak yang lebih selamat.
“Padan muka kau.” Riak wajah wanita itu masih geram. Melihat Ryo menggeliat kesakitan dia tertawa kemudiannya.
Melihat Yna tertawa. Ryo ikut ketawa walaupun belakangnya sakit dicubit oleh Yna.
Yna mendongak ke atas memandang bumbung lif tadi. Dia bangun berdiri. Berkira-kira mahu mencuba sekali lagi memanjat bumbung tersebut.
“Kau terfikir nak kopak bumbung tu lagi ke?”
Yna menoleh memandang Ryo.
“Tak payahlah Yna. Kau berdiri pun dah senget sebelah, inikan pula nak panjat belakang aku semula untuk buka bumbung tu.” Ryo memberi pandangan apabila melihat keadaan Yna yang sudah tidak stabil berdirinya akibat kecederaan buku lali dan lututnya.
“Hei, aku okeylah. Siapa kata aku sakit.” Yna menafikan dakwaan Ryo.
Ryo senyum sinis. Dia tahu Yna sedang menahan kesakitannya. Gadis itu masih tidak berubah. Sentiasa mahu tunjuk yang dirinya kuat. Yna, Yna… apa salahnya tunjukkan perasaan sebenar kau. Aku tahu kau sakit tapi kau sengaja nak tunjuk kuat dihadapan seorang lelaki, kan.
Ryo menarik tangan Yna untuk kembali duduk seperti tadi.
“Lebih baik kita tunggu saja pasukan penyelamat.”
“Ryo…” Yna mahu membantah keputusan Ryo namun tatkala melihat senyuman lelaki itu yang nampak tenang… mungkin ada benarnya juga kata Ryo. Memandangkan keadaan dirinya menghalang niatnya untuk bergerak bebas lagi, dia akur dan menurut saja cadangan Ryo.
Yna mengambil tempat untuk duduk semula. Duduk bertentangan dengan Ryo. Agak jauh dan rapat ke dinding. Tidak mahu terlalu dekat dengan musuh lamanya itu.
Keadaan senyap untuk beberapa ketika. Yna membelek-belek luka di kakinya. Ryo cuma diam memandang diri gadis berambut panjang di hadapannya yang sudah lama tidak dipandangnya itu.
Dia masih seperti dulu. Degil, bengis, angkuh… dan cantik… lebih cantik daripada dulu dengan rambut panjangnya kini. Tapi adakah dia masih membenci lelaki? Hmm, mungkin tidak lagi. Bukankah Vic telah berjaya mengubahnya dulu. Adakah kami akan bermusuh lagi seperti dulu? Hehehe… teringatkan semula kenangan silam membuatkan Ryo tersenyum sendiri.
Yna nampak senyuman tersebut dan dia berasa pelik.
“Apa yang kau senyum-senyum sendirian tu? Gilakah?” Tegur gadis tersebut.
Ryo menggelengkan kepalanya. Masih lagi dalam senyuman.
“Aku teringatkan kenangan lama kita. Masa kita study di Orlando Phill Island dulu.”
“Hmph… apa yang kau ingat?”
“Masa tu ada kau, aku, Vic, Gina, Sutra… and sometime Mint. Kenangan waktu di zaman kolej buat aku tertawa sendiri. Kenangan yang menyeronokkan.”
“Ya, memang tidak dinafikan.” Yna mengiakan pengakuan Ryo. “Susah nak dapatkan kembali kenangan tersebut kembali. Kehidupan kita berubah selepas tamat kolej. Kita semua dah berpisah ikut hala tuju masing-masing.”
“Kau masih berhubung dengan teman-teman lama?” Tanya Ryo.
Yna diam. Hanya menggeleng perlahan. “Kau?” dia memulangkan semula soalan tersebut kepada Ryo.
Sama seperti Yna, Ryo mengeleng juga.
Masing-masing diam semula. Bermain dengan perasaan sendiri.
“Macam mana hubungan kau dengan Vic?” Soal Ryo tiba-tiba.
Tersentak Yna apabila sekali lagi Ryo menguatarakan soalan tersebut. Dia tidak terus menjawab. Sedang mencari alasan untuk mengelak daripada menjawab soalan sensetif tersebut.
“Kau kan kawan baik Vic. Tak kan kau tak tahu apa-apa cerita tentang aku?” Jawapan yang berbentuk soalan daripada Yna untuk Ryo.
“Aku… aku dah lama tak jumpa dengan Vic.” Jelas Ryo. Sejujurnya dia sudah lama tidak berhubung dengan Vic.
Sah… dia pasti tak tahu apa-apa hal yang berlaku diantara aku dan Vic.
“Hei, kau buat apa di sini sebenarnya?” Soal Yna pantas menukar tajuk perbualan.
“Aku…” Ryo teringatkan semula tujuan sebenar dia ke lapangan terbang tersebut. Bukan untuk bertemu dengan Yna tetapi Gina. Namun jodoh mempertemukannya dengan Yna pula petang tersebut.
“Aku sebenarnya nak jumpa dengan Gina.” Jawab Ryo jujur.
“Gina ada di Lisberg?” Soal Yna. Tiba-tiba rasa teruja.
“Tak… dia dah pulang ke Houston Milan.” Nampak riak wajah Ryo yang berubah ketika itu.
Yna tertanya-tanya tentang apa yang sebenarnya telah berlaku. Tentu ada cerita yang tidak diketahuinya diantara kedua pasangan tersebut.
“Ha? So?”
“Jadi aku tak dapat jumpa dia hari ini.”
Dahi Yna berkerut. Sengaja mahu memancing Ryo untuk bercerita dengan lebih lanjut.
“Aku dengan Gina baru saja break up, Yna.”
Ayat pertama itu membawa perasaan Yna ingin lebih tahu dengan lebih lanjut cerita diantara Ryo dan Gina.
“Bila fikir-fikir balik memang patut pun dia minta putus dengan aku. Aku memang tak ada masa untuk dia lagi. Dia tertekan dengan setiap apa yang aku buat sekarang.”
Memang patut pun kalau Gina minta putus. Bukan mudah untuk bercinta dengan artis seperti Ryo. Tapi Ryo nampak tenang melepaskan Gina. Adakah dia benar-benar merelakannya?
“Kau tak menyesal? Bukankah kau cintakan dia.”
“Entahlah… mula-mula tadi aku rasa menyesal sebab tak sempat halang dia daripada pergi. Tapi sekarang…” Ryo terdiam. Fikirannya kosong tanpa sebarang jawapan.
Yna tenang menunggu butir bicara Ryo.
“Sekarang aku rasa macam tak kisah lagi.”
“Ha…? Kau ni memang teruk, Ryo.” Yna seakan kesal dengan sikap Ryo terhadap Gina.
“Kau mungkin tak faham tapi sebelum ni Gina ada katakan sesuatu kepada aku… dia kata aku tak pernah menyintainya.”
“So, adakah kau menyintainya?”
Diam…
“Ryo.” Yna mendesak jawapan daripada Ryo.
“Tak tahu.” Jawab Ryo pendek.
“Mana boleh tak tahu. Ini soal hati kau sendiri. Kau patut lebih memahami perasaan sendiri.” Ternyata Yna kecewa dengan jawapan yang diberikan oleh Ryo.
Ryo senyap… Aku bukan tidak memahami diri sendiri. Cuma dunia aku dan Gina yang berbeza menyebabkan kami gagal mengekalkan hubungan ini.
“Kerja… kadangkala buatkan kita sedar sedalam mana sebenarnya cinta kita terhadap seseorang. Berjauhan membuatkan aku melupakan Gina… atau lebih tepat lagi sebenarnya ia menyedarkan yang aku tidak menyintai Gina.”
“Hmph, memang lumrah lelaki… akan meninggalkan wanita jika dia sudah berasa bosan,” sindir Yna. Marahnya sedang mekar berbunga.
“Kau anggap aku tinggalkan Gina? Itu tidak benar.” Ryo menyangkal dakwaan Yna.
“Kenapa? Kau nak tegaskan Gina yang tinggalkan kau ke? Kau fikir itu penafian yang wajar?” Yna menyerang.
“Bukan begitu… tapi kami berpisah secara baik.”
“Sudahlah, Ryo. Aku dah bosan dengan kata-kata lelaki. Semuanya dusta.”
Ryo berasa sesuatu dengan kata-kata Yna itu.
“Apa maksud kau? Adakah kau…”
Yna mengerling sekejap kepada Ryo yang sedang menatapnya sebelum membetulkan duduknya supaya tidak bertentangan dengan Ryo lagi.
“Kau masih bersama Vic?” Soal Ryo selanjutnya, cuba mencari kebenaran tersembunyi yang belum diceritakan Yna.
“Buat apa kau nak ambil tahu?” Balas Yna sombong.
“Sebab kita kawan. Tak salah bukan kalau aku nak tahu?”
Kawan? Sejak bila? Kau dah silap Ryo. Aku tak pernah anggap kau kawan aku pun selama ini.
“Yna…”
“Heh… apa kata kalau aku tak pernah anggap kau sebagai kawan aku. What do you think, Mr. Nishikido?”
“Ia tetap tak berubah. Jawapan aku tetap sama macam dulu… aku tetap panggil kau sebagai kawan aku.”
Yna ketawa sinis mendengar kata-kata Ryo.
“Satu lagi tabiat lelaki. Suka memutar belitkan kata-kata.”
“Tidak. Aku katakan sesuatu yang jelas, Yna.” Ryo serius.
Yna diam. Tidak membalas lagi kata-kata Ryo. Ryo mengangkat punggung untuk mengambil tempat disebelah Yna pula kali ini. Dia merenung Yna yang memegang buku lalinya yang cedera tadi. Gadis itu tidak memandangnya walau sedikitpun. Seolah kebenciannya terhadap lelaki telah menghalangnya daripada menerima kata-kata Ryo tadi.
“Kau dan Vic dah putus? Apa yang berlaku? Boleh kau ceri…”
“Jangan sebut tentang Vic lagi.” Pintas Yna. Tidak mahu Ryo melanjutkan soalan tentang Ryo lagi. Hatinya sangat sakit.
“Jadi itulah sebabnya kau kembali membenci lelaki? Kau hilang kepercayaan terhadap lelaki semula. Apa Vic dah buat pada kau? Kenapa berpisah?”
“Ryo, berapa kali aku nak ulang, jangan sebut tentang Vic lagi!” tempik Yna. Geram dengan kedegilan Ryo yang tetap mahu tahu tentang hubungannya dengan Vic.
“Sorry… tapi aku tetap nak tahu sebab Vic juga kawan baik aku.”
“Itu dulu. Bukankah kau sendiri yang cakap kau tak pernah berhubung dengan dia lagi sekarang. Jadi itu bermaksud yang kau dan dia bukan lagi kawan baik.”
“Fine, kau menang…” Ryo mengalah. Yna berjaya mematikan bidasannya. “Yna, terpulang pada kau nak cerita atau tidak tapi aku nak kau tahu yang aku rasa sakit hati sekarang. Lelaki tu pernah cakap dengan aku yang dia sangat menyintai kau. Dia sanggup mati demi kau. Jadi aku tak boleh terima hubungan korang yang tiba-tiba putus.” Ryo meluahkan rasa hatinya lantaran berita perpisahan tersebut.
Yna menjeling Ryo. Dia nampak kerut di wajah Ryo. Seolah-olah tertekan mahukan penjelasan daripadanya. Hmph… tindakan lelaki memang sukar diduga.
“Ryo…” Yna menarik nafas panjang. Dia rasa patut bersikap terbuka dengan Ryo. Mungkin dia patut meluahkan sesuatu kepada seorang teman dan Ryo adalah orang pertama yang muncul mengaku sebagai temannya selepas dia berpisah dengan Vic setahun yang lalu.
“Tiada perkara buruk yang berlaku diantara kami. Kami berpisah sebab kami tak sefahaman. Itu saja.”
“Itu saja?” Ryo nampak tidak puas hati dengan jawapan ringkas Yna.
Yna sekadar mengangguk. Tiada kesedihan yang Ryo nampak di wajah yang tidak beriak itu. Dia tidak pasti apa perasaan gadis itu apabila kisah lamanya diungkit kembali hari ini.
Selama ini kisah Yna hanya samar-samar singgah ke telinganya. Sehingga sekarang dia masih tidak tahu rahsia hidup yang disembunyikan oleh wanita tersebut. Berat sangatkah beban tersebut? Kenapa Yna tidak mahu berkongsi kesengsaraannya itu dengan sesiapa? Dia menutup semua itu dengan sifat cerianya di hadapan teman-teman. Dan kebenciannya terhadap lelaki yang begitu mendalam bukti yang dia ada sejarah hitam yang sukar dipadam dari kotak memorinya. Walau jika dia kehilangan ingatan sekalipun belum tentu mampu memadam kebencian tersebut.
Kruuu…!
Yna menoleh kepada Ryo apabila mendengar suara asing tersebut. Ryo sedang memegang perutnya. Dia tersenyum menyembunyikan perasaan malu.
“Kau lapar?” Tanya Yna.
Ryo mengangguk perlahan sebelum menundukkan kepalanya. Malu apabila ditegur oleh seorang wanita.
“Kau tak makan lagi, ya?”
“Tak sempat… tak ada masa.” Jawab Ryo.
Yna menggeleng-gelengkan kepala. Ryo tidak pasti adakah Yna sedang kesal dengan sikapnya yang mengabaikan soal kesihatan ataupun… erm, faham sajalah sikap Yna yang bijak mencari kelemahan orang itu.
Yna menyeluk poket bajunya dan mengeluarkan sesuatu. Satu bar coklat dihulurkan kepada Ryo. Ryo hanya memandangnya. Rasa sangat takjub. Betulkah Yna yang menghulurkan makanan kepadanya?
“Untuk aku ke?” Soal Ryo tidak percaya.
Yna dah berubah. Macam bukan perempuan kejam yang pernah aku kenal dulu.
“Kau nak atau tidak?” Soal Yna apabila melihat perlakuan Ryo yang terpinga-pinga apabila dia menghulurkan coklat tersebut.
“Tak nak, sudah.” Yna hendak menyimpan semula coklat tersebut ke dalam poket baju luarnya memandangkan Ryo tidak bercadang hendak mengambilnya.
“Eh, aku naklah.” Pantas Ryo menarik tangan Yna yang hendak menyimpan semula bekalan coklatnya itu. Coklat tadi segera dirampas Ryo.
Yna hanya memerhatikan tingkah pemuda tersebut. Tersenyum sinis. Dah lapar tapi masih berlagak tak nak terima makanan yang aku beri. Ceh!
“Betul ke kau kasi aku makan coklat ni?”
“Apasal kau tanya macam tu?”
“Yelah… bukankah sebelum ni kau sangat berkira kalau bab coklat. Setahu aku kau lebih sayangkan coklat berbanding…” Ryo tidak meneruskan tutur katanya. Sengaja dia menjeling Yna untuk menduga reaksi gadis tersebut.
“Berbanding apa?” Kasar nada Yna. Seakan mengesyaki Ryo.
“Berbanding… aku.” Jawab Ryo. Kemudian dia ketawa apabila Yna membalas jawapannya dengan cebikan panjang.
Perasan nak mampos! Memanglah aku sayangkan coklat daripada dia. Nak sayangkan dia buat apa? Bukannya dia tu kekasih atau abang aku pun.
Ryo mengoyak plastik pembungkus coklat. Coklat bar itu dipatahkannya. Ngap! Dia menggigit kepingan coklat tersebut. Yna tidak lebih sekadar merenungnya… Err, lebih tepat lagi sebenarnya sedang memandang coklat di tangan Ryo.
Gulp… rasa macam menyesal pula aku beri Ryo kepingan coklat terakhir aku tu. Rasa macam nak ambil semula tapi buruk siku namanya tu.
Lelaki itu sedar yang Yna sedang memerhatikannya lantas dia menoleh kepada Yna. Tersenyum dengan penuh makna. Cepat-cepat Yna mengalih pandangan ke arah lain.
“Yna…”
Yna buat tidak tahu. Tidak langsung menoleh semula kepada Ryo. Ryo cuma senyum sambil mengunyah coklat yang manis berkrim itu. Kalau ikut menu dietnya setiap hari dia jarang sekali menyentuh coklat. Hari ini terkecuali kerana darurat.
Wajah gadis di sebelahnya direnung lagi. Rambut panjangnya hitam berkilat. Mata bundarnya yang galak itu tidak merenung ke arahnya. Tahi lalat di bawah mata kanannya itu sama dengan yang ada di wajahnya. Apabila bertentangan mereka seperti nampak pantulan wajah sendiri. Ramai yang mengatakan wajah mereka berdua seperti adik beradik dulu. Ryo terus tersenyum. Percaya atau tidak dia pernah menaruh hati pada gadis tersebut suatu ketika dulu.
**********
“Ryo, bagi baliklah!”
“Tak nak… aku tahu ini bukan duit kau.”
Yna cuba menangkap tangan Ryo yang sedang menggenggam duitnya. Geram sungguh dia apabila lelaki itu sungguh pantas melari-larikan tangannya.
“Kau nak cari nahas dengan aku ya? Cepat pulangkan duit aku!”
Ryo mencebik mulutnya. Cerlungan mata Yna sedikitpun tidak menakutkannya kali ini. Duit tadi segera disimpan di dalam poket belakang seluarnya. Dia bercekak pinggang dan berdiri jauh sedikit menghadap Yna.
“Ini bukan duit kau, bukan?” Soalnya marah.
“Woi, kau nak kena belasah dengan aku ya? Bak balik duit tu, Ryo.”
Yna cuba menghampiri Ryo tapi setiap kali dia melangkah, Ryo turut sama melangkah ke belakang menjauhinya.
“Apa yang kau buat dengan Jericho dalam hotel tadi?”
Yna gigit bawah bibirnya. Wajah Ryo direnungnya geram. Macam mana pula dia tahu aku bersama dengan Jericho tadi? Kenal pula tu dengan Si Jericho bodoh tu. Hmm… mungkin sebab mereka berdua satu kolej tapi Jericho tu famous sangat ke sampai Ryo pun kenal? Heh, tapi tak mustahil juga kalau Ryo dan Jericho tu sama spesies. Spesies kasanova.
“Apa yang aku buat dengan dia, itu hal aku. Langsung tiada kena-mengena dengan kau.”
“Memanglah tak ada kena-mengena dengan aku. Cuma aku tak suka dengan sikap kau. Lagipun apa orang lain akan fikir kalau nampak pelajar kolej macam kau masuk ke hotel dengan seorang lelaki? Satu gejala yang tidak sihat tu…” Ryo seakan cuba menasihati Yna.
Yna mencebir. Heh… macam bagus pula nak berceramah dekat aku.
“Dan kalaulah Vic nampak apa yang kau buat tu…”
“Hei, biarlah kalau dia nampak! Aku lagi suka kalau kawan kau tu nampak apa yang aku buat tadi. Biar dia sedar diri dan tak payah nak terhegeh-hegeh kejar aku lagi.”
Kata-kata Yna benar-benar menaikkan darah Ryo. Hampir saja dia hilang sabar dan mahu melempang gadis tersebut. Mujur kedudukan mereka berdua jauh. (Er… kalau dekat pun belum tentu juga Ryo berani melempang Yna.)
“Kau ni kan… argh…! Aku tak faham kenapa Vic boleh jatuh cinta dengan kau. Kau langsung tak layak untuk lelaki macam Vic… eh, salah. Kau tak layak untuk mana-mana lelaki dalam dunia ni. Kau ni perempuan jalang!” Ujar Ryo yang dalam kemarahan yang memuncak.
Ahh…! Kau boleh anggap aku apapun sebab aku juga membenci kau dan Vic dan semua lelaki dalam dunia ni. Pendek kata bukan aku yang tak layak untuk lelaki tapi semua lelaki yang tidak berhak memiliki aku. Aku adalah aku. Hanya aku yang berhak ke atas diri sendiri. Lelaki cuma sampah. Sampah tak guna yang bernafsukan iblis!
“Aku tak peduli dengan kata-kata kau. Bagi balik duit aku.”
Yna mengejar Ryo. Biarpun Ryo cuba mengelak tapi Yna berjaya menangkap tangannya. Langkah kaki Ryo tersekat. Dia cuba melepaskan diri daripada Yna.
“Ryo!”
“Tak nak! Tak boleh!”
Sakit sungguh hati Yna. Dia hilang sabar lantas menumbuk muka Ryo. Ryo hampir hilang kawalan. Mujur tembok pemisah laut telah menjadi penyelamatnya. Ryo memegang mulutnya yang sakit. Urgh… kuatnya raksasa cantik ni. Dia menjeling Yna yang masih cuba meraba tubuhnya untuk mendapatkan semula duit tadi.
Tiba-tiba telefon bimbit berbunyi. Ada panggilan masuk. Ryo menolak tangan Yna yang sibuk mahu mendapatkan semula duitnya. Ryo tidak sempat mengambil telefon selularnya. Tangan Yna lebih pantas menyeluk telefonnya.
“Yna, bagi telefon aku!”
Telefon masih bernyanyi-nyanyi di tangan Yna. Gadis itu tersenyum nakal kepada Ryo.
“Bagi duit tadi kalau kau nak telefon kau.” Yna memberi syarat.
Kurang asam boi. Tak guna betul perempuan gila ni… Ryo cuba merampas telefonnya. Yna segera melarikan diri. Dia ketawa gembira melihat wajah Ryo yang kebengangan.
Yna melihat skrin telefon. Mulutnya memuncung ke hadapan. Kemudian dia menjeling Ryo.
“Kawan baik kau yang call. Nak aku jawabkan?”
Vic? Ahh, tidak…! Jangan jawab, Yna. Tolong jangan jawab panggilan yang penting tu…! Malangnya tanpa mendapat persetujuan Ryo, Yna terus menjawab panggilan daripada Vic.
“Hello…” Yna sengaja menyaringkan suaranya.
“Err… siapa ni?”
“Ala, tak kan tak kenal pula? Ke pura-pura tak kenal?” Yna sempat melihat reaksi Ryo. Dia sengih. Pemuda itu jelas sedang sakit hati dengannya.
“Yna, bak telefon aku tu!”
Yna menghalang Ryo yang menerpanya dengan kudrat tangan kirinya. Sementara tangan kanannya memegang telefon yang masih berada di telinganya.
“Hello… hello…” Wajah Vic berkerut. Dia dapat mendengar kekecohan yang sedang berlaku di hujung corong telefon. Dia cuba mengecam suara yang menjawab panggilannya tadi. Suara siapa tu? Leny? Rasanya bukan. Ini macam suara… dia ke? Vic tertanya-tanya sendiri memandangkan belum dapat bercakap dengan Ryo lagi.
Sementara itu Ryo sudah berjaya merebut telefon bimbitnya dari tangan Yna. Dia segera menjawab panggilannya.
“Vic!”
“Ha, Ryo…”
“Aku dah nak sampai. Kau tunggu sekejap ya.”
“Okey… err, siapa tu?”
Ryo tidak sempat menjawab pertanyaan itu kerana diganggu Yna lagi. Gadis itu cuba merampas telefonnya semula.
“Janganlah kacau! Aku gigit kau karang!”
“Gigitlah kalau berani!” Balas Yna. Serentak dengan itu dia menyiku perut Ryo.
Uhh… pedih! Tajamnya siku perempuan ni…
“Cepatlah bagi balik. Dah tak ada masa ni.” Gesa Yna sambil mencubit lengan dan tubuh Ryo bertalu-talu.
“Argh…! Sakitlah!” Jerit Ryo dengan gigi yang terkatup rapat. Matanya bulat mencerlung Yna.
Yna tidak peduli. Telefon di tangan Ryo cuba dirampas lagi. Akhirnya dia berjaya.
“Woi, Yna!”
Yna senyum puas setelah harta Ryo berada dalam genggamannya. Ryo tidak membuang masa. Segera dia mengejar Yna.
“Hoi, Vic! Kawan kau dalam kesusahan. Datanglah selamatkan dia. hahaha…!” Yna ketawa kuat. Dia sangat seronok melihat wajah Ryo yang masam mencuka. Geram.
“Er… Yna?” Vic meneka namun Yna tidak menghiraukannya. Gadis itu terus ketawa.
Ryo berjaya menghampiri Yna yang sibuk mengetawakannya.
“Kenapa kau degil sangat?”
Ryo menarik pergelangan tangan Yna. Yna terdorong ke belakang. Dia menolak tubuh Ryo sebelum Ryo sempat mendapatkan semula telefon selularnya. Tatkala kakinya melangkah lagi ke hadapan, malang tidak berbau, Yna terpijak tin kosong sehingga menyebabkannya tergelincir. Ryo yang masih memegangnya turut ikut jatuh.
Tanpa berfikir panjang Ryo segera merangkul tubuh Yna sebelum tubuh gadis itu terbanting ke tanah. Yna baring terlentang dan Ryo berada betul di atasnya. Yna menindih tangan Ryo yang masih berada di belakangnya kerana cuba menyelamatkannya tadi.
Masing-masing diam tidak bersuara. Hanya dengusan nafas saja yang menguasai alam mereka ketika ini. Ryo telan liur dan merenung anak mata gadis di hadapannya. Begitu juga dengan Yna. Mereka diam dan merenung antara satu sama lain. Jantung berdegup kencang. Samada masih terkejut dengan situasi yang tidak terduga itu atau kerana… err, kerana ada sesuatu yang pelik sedang mereka rasakan. Apa ya?
Mata terus bertaut pada jarak yang sangat dekat. Kenapa perasaan ini muncul? Kenapa dengan dia? Tak tahu… tak tahu apa yang berlaku pada diri ini. Ini suatu perasaan yang pelik. Aku tak pernah rasa perasaan ini. Istilah apa yang sesuai dengan perasaan aku sekarang?
“Ryo… Ryo… kau dengar tak ni? Woi…!” Suara dari telefon bimbit yang masih di tangan Yna begitu mengganggu lantas Ryo segera mematikan taliannya. Dia sepatutnya sedar dengan perkara ini tapi entah kenapa hatinya tidak ingin menolak kewujudan Yna di hadapannya. Dia tidak tahu kenapa tapi perasaan ini hanya muncul pada waktu-waktu tertentu.
***********
“Hello… kau dah gila ke asyik tersenyum-senyum sendiri sejak tadi?”
Suara Yna mengejutkannya daripada lamunan. Ryo kembali ke dunia asalnya. Jelingan tajam Yna menjadi santapan pencuci mulut setelah coklat di tangannya hamper lembik kerana digenggam sejak tadi. Ryo tiada selera untuk menghabiskannya. Dibungkus semula coklat tersebut sebelum diletak di atas lantai. Di hadapan Yna.
“Apasal tak habiskan?” Tanya Yna sambil mengerling bungkusan coklat tersebut.
“Dah kenyang… err, sebenarnya tak sedap.” Jawab Ryo selamba. Sengaja mahu membuatkan Yna marah. Seolah-olah merindui wajah marah gadis tersebut seperti waktu dulu.
Yna sekadar mengerutkan wajah. Amarahnya ditahan. Seolah-olah tahu Ryo sedang mengujinya.
Pemuda tersebut sedikit kecewa apabila Yna sekadar membuat muka apabila dia sengaja menyakiti gadis tersebut. Macam tahu-tahu saja aku nak uji dia. Ceh!
“Kau dah menang, Ryo.”
“Hah?” Ryo mendongak. Tidak faham dengan kata-kata Yna.
“Kau dah berjaya dan terkenal sekarang. Kiranya kau dah kalahkan akulah.”
“Hish… apa yang kau cakap ni. Aku tak kalahkan sesiapa pun…”
“Kau tak ingat ke yang dulu kita selalu berlawan untuk jadi paling terkenal.”
“Mana ada. Kau tu saja yang tak puas hati dengan aku. Aku tak pernah pun nak jadi seperti yang kau bayangkan tu.” Jawab Ryo Ikhlas tapi sedikit menyakitkan hati Yna.
“Macam mana kau boleh jadi artis? Aku tahulah kau pernah bekerja di kelab Hungry Heart sebagai penyanyi dulu tapi…”
Yna tidak meluahkan terus apa di dalam kotak fikirannya.
“Aku pun tak sangka juga. Mungkin ini rezeki aku kot.”
Ya, memang rezeki aku di jalan ini tapi ia tetap bermula disebabkan Gina. Tanpa Gina mungkin aku tidak pernah terfikir mahu menceburi bidang ini dengan lebih serius. Tapi hari ini aku telah mengecewakan dia. Kenapa aku sanggup melukakan hatinya? Kejamkah aku atau ini adalah jalan terbaik demi kebahagian yang dicarinya selama ini.
*********
Sekeping kertas putih diletak di atas meja di hadapan Ryo. Ryo merenungnya pelik. Sebentar kemudian dia mendongak memandang gadis comel yang sedang meleretkan senyuman gembiranya.
“Apa ni?” Soal Ryo yang masih tidak faham akan tujuan gadis tersebut menyerahkan kertas tersebut.
“Awak tak tahu baca ke?”
“Ya… saya tahu ini borang penyertaan Perfect Starz tapi apa makna semuanya ni?” Soal Ryo kepada kekasihnya yang masih tersenyum-senyum penuh makna.
“Awak tak payah cakap banyak. Just do it. Saya dah tolong awak dan awak cuma perlu bersedia untuk ujibakat saja nanti, okey?” jawab Gina sambil mengangkat ibu jarinya kepada Ryo.
“Gina, awak tak boleh buat macam ni. Kenapa tak tanya pendapat saya dulu? Sejak bila awak pandai buat keputusan sendiri ni? Dan yang lebih penting lagi ini berkenaan dengan diri saya. Awak tak boleh buat macam ni!” Ryo merengus geram. Dia merasakan perbuatan Gina sudah melampau. Dia tidak dapat menerimanya.
“Awak… saya buat semua ni untuk kebaikan awak juga. Saya nak tolong awak. Itu saja.”
“Tolong apa? Ini macam nak tambah masalah saya saja tau. Lepas ni kalau ayah saya dapat tahu, apa saya nak jawab dengan dia. Penat-penat dia habiskan duit untuk saya lanjutkan pelajaran, tapi akhirnya saya pilih untuk jadi… eh, saya tak nak jadi artislah. Awak tak faham ke? Kan dari dulu lagi saya dah beritahu awak...” Bebel Ryo panjang lebar. Gina hanya menadah telinga sehingga lelaki itu berhenti bercakap.
“Siapa yang suruh awak jadi artis. Saya suruh awak masuk rancangan realiti ni untuk dapatkan sejuta ringgit tu saja. Lepas tu nanti bolehlah awak settle kan hutang ayah awak tu. Itu saja.”
Ryo terdiam. Terfikirkan semula masalah hutang ayahnya dia jadi runsing. Sudah banyak kali Gina menawarkan diri mahu mambayarkan hutang tersebut tetapi dia menolak. Dia tidak mahu Gina terlibat dengan masalah keluarganya walaupun Gina kekasihnya. Malah sudah kenal benar dengan ahli keluarganya.
Jika dia mahu memang dia boleh minta bantuan Gina. Kekasihnya itu anak orang berada. Ayahnya memiliki syarikat yang besar dan kukuh. Malah tersenarai dalam bursa saham. Tinggal di rumah agam… tak mainlah rumah banglo ataupun kondo. Kalau setakat satu dua juta ringgit tu, dia merengek sikit dengan ayahnya pun boleh dapatlah. Kalau bernasib baik mungkin ayahnya akan beri lebih dari itu.
Tapi apabila memikirkan air mukanya sebagai lelaki dia menolak tawaran Gina. Bukan setakat mahu mempertahankan ego seorang lelaki tapi juga demi tidak mahu dikatakan cuba mempergunakan nilai seorang kekasih.
“Macam mana? Awak ada ikhtiar lain untuk dapatkan duit tu ke?” Soal Gina cuba menduga hati sang kekasih.
Dahi Ryo berkerut. Sekejap merenung Gina dan sekejap lagi memandang borang Perfect Starz di atas meja. Dia masih mempertimbangkan keputusannya.
Betul ke boleh guna cara ini untuk dapatkan sejuta ringgit tu? Nilai itu dah lebih dari cukup untuk langsaikan hutang tersebut. Mungkin seronok juga menyertai pertandingan macam ni. Boleh jadi terkenal dan glamour. Dipuja dan diminati ramai peminat macam masa aku kerja di Hungry Heart dulu. Wow, that’s great!
Oh, tidak… aku tak boleh fikir begitu. Sebenarnya ia bukannya seronok sangat. Sampai satu tahap kemungkinan kita akan rasa tertekan. Macam Leslie Gray yang mati bunuh diri sebab tak tahan dengan sikap seorang peminat fanatiknya.
Hish… apa yang aku fikirkan ni? Apa kata kalau kita bersikap positif dan pandang ke hadapan. Tak semestinya aku boleh menang dalam pertandingan tu. Lagipun aku tak pergi lagi uji bakat tu. Entah boleh dapat atau tak. Di luar sana tu ramai lagi yang hebat-hebat berbanding aku ni. Jadi kalau aku nak tahu aku ni hebat atau pun tidak aku patut cuba nasib.
“Diam tandanya setuju. Senyum tandanya suka.” Gina bersuara setelah lama membiarkan Ryo berfikir.
Ryo tersenyum tanpa sedar. Mendengar teguran Gina dia segera mengunci senyumannya dan memandang kepada Gina semula.
“Awak dah ada keputusan?”
“Erm… nantilah, saya pertimbangkan lagi.” Ryo memberi alasan. Dia tidak mahu terburu-buru membuat keputusan. Ada sesuatu yang membimbangkan hatinya. Ayah… orang tuanya itu melarang keras dia menjadi penyanyi. Walaupun hanya sekadar suka-suka. Hubungannya dengan lelaki itu pernah renggang hanya disebabkan dia bekerja di Hungry Heart sebagai penyanyi sambilan ketika dia menuntut di Orlando Phill Island dulu.
“Awak dah tiada masa untuk memikirkannya lagi, sayang. Esok adalah tarikh uji bakat tu.”
“Hah?!” Ryo mengangkat kertas tadi dan meneliti semula tarikh yang tertulis di perenggan terakhir borang tersebut.
“Tapi…”
“Ala, buat apa nak fikir panjang-panjang. Pergi saja, okey. Nanti saya temankan awak.”
“Gina, saya tak boleh. Ini terlalu drastik. Saya tak bersedia.”
“Ryo, awak bukannya tak bersedia tapi awak tu tak yakin. Betul tak?”
“Err…”
“Sayang, trust me… You can do it. Saya kenal awak. Saya nampak bakat yang awak ada. Awak boleh pergi jauh.”
“Tapi apa yang saya nak buat esok?”
Gina senyum merenung wajah Ryo. Lelaki itu selalunya tenang tapi hari ini nampak sedikit gusar.
“Saya percayakan awak. Awak penghibur yang berbakat. Saya akan jadi penyokong dan peminat nombor satu awak. Sekarang kita sama-sama fikirkan lagu apa yang patut awak persembahkan untuk uji bakat esok.”
“Hmph… bercakap memanglah senang. Guna modal air liur saja. Saya ni yang nak kena fikir jalan untuk esok tau. Dan alasan apa saya nak bagi pada ayah kalau dia dapat tahu saya masuk rancangan realiti tu nanti.”
Ceh, macam confirm je aku terpilih dalam rancangan Perfect Starz tu. Apa-apapun aku mesti yakinkan mereka semua yang aku layak untuk dapat satu juta ringgit tu nanti. Mungkin ayah tak akan marah kalau aku berjaya dan menjadi juara.
“Tak payah fikir sekarang. Nanti lepas awak terpilih baru kita fikirkan alasan apa kita nak beri pada ayah awak tu karang.” Balas Gina.
Tatkala melihat leretan senyuman di bibir Ryo, Gina tahu yang Ryo telah setuju untuk menyertai uji bakat tersebut. Ini menggembirakan hatinya. Dia yakin dengan bakat yang dimiliki oleh kekasihnya itu.
Sejak kali pertama dia mendengar suara nyanyian Ryo dia sudah jatuh hati. Waktu itu mungkin dia sekadar meminati suara Ryo kerana perangai Ryo bukanlah seindah suaranya yang merdu itu. Ryo suka membuli dan mengenakannya setiap kali mereka bersua. Sakit hatinya waktu itu. Tapi akhirnya dia sedar itu cuma cara lelaki itu mahu menarik perhatiannya. Dan dia jatuh cinta tanpa sedar dengan Ryo.
***********
Houston Milan…
Gina yang duduk berteluku di kerusi rotan di beranda biliknya. Bingkai foto Ryo berdiri tegak di atas meja sambil merenung ke arahnya. Dia turut membalas renungan itu sejak tadi. Selama ini gambar tanpa jasad itulah yang menemani dirinya. Sedang lelaki itu asyik diulit kegemilangan dan populariti dia sebaliknya menanggung rindu yang tidak bertepian. Mendamba kasih kepada insan yang semakin melupakannya.
Mengapa cinta itu kejam? Dilafaz dengan sesungguh hati namun kemudiannya dibiar tanpa erti. Perasaan yang terjerut akibat cinta itu menyebabkan Gina semakin tertekan menjadi kekasih Ryo.
Sengaja dia menipu lelaki itu dengan mengatakan penerbangannya pada sebelah petang. Padahal dia sudah berangkat ke Houston Milan pada sebelah pagi. Dia tidak mahu menyulitkan lagi keadaan. Dia kenal Ryo sebagai seorang lelaki yang tidak sanggup melukakan hati seorang. Pasti lelaki itu datang ke lapangan terbang untuk menghalangnya daripada kembali untuk pulang.
Dia tahu Ryo tidak menyintainya tetapi lelaki itu terus memaksa diri dengan menganggapnya sebagai kekasih. Tanpa Ryo sedari sebenarnya dalam diam perasaan Gina telah terluka selama ini. Memutuskan hubungan adalah jalan yang Gina ambil demi untuk kebaikan mereka bersama. Demi kehidupan masa hadapan Gina dan demi karear Ryo yang sedang berkembang sekarang.
Tak mengapa Ryo… aku pasrah. Melepaskan kau yang ku cinta adalah keputusan yang sukar tetapi aku yakin ini adalah keputusan yang tepat. Kita ada kenangan manis yang akan aku simpan di dalam kotak memoriku sebagai kenangan terindah. Dan sekurang-kurangnya kenangan indah itu lebih banyak berbanding kenangan pahit. Terima kasih kerana pernah mewarnai hidupku dengan cinta manis mu…
Wajah dalam bingkai gambar yang sentiasa mempamer senyuman menawan itu diambil oleh Gina. Gadis itu bangkit dan masuk ke kamarnya. Bingkai gambar itu diterbalikkan dan dimasukkan ke dalam laci meja solek.
Segaris senyuman tercorak di bibir Gina. Mulai hari ini gambar tersebut tidak akan berdiri di sudut mejanya lagi. Gambar itu akan menjadi sejarah dan akan bersemadi jauh di hujung lacinya.
***********
“Argh~! Sakit!”
Akibat rasa sakit di picit Ryo, Yna dengan serta-merta mencengkam pergelangan tangan Ryo dengan kuat. Diusir tangan lelaki itu dari terus cuba menyembuhkan sakit kakinya.
“Hei, lagi sakit kalau kau biarkan kaki tu tau.” Kata Ryo seraya cuba memegang semula kaki gadis tersebut.
“Tak nak lah. Kau urut lagi sakit tau.” Yna menolak tubuh Ryo menjauhinya.
“Yna, kaki kau terseliuh tu.”
“Biarkan.”
Ryo menggeleng kepala. Tidak mampu untuk memujuk si kepala batu itu. Ryo kembali mengambil tempat di sebelah Yna yang sedang bersandar di dinding. Baju luarnya ditanggalkan kemudian diletakkan di riba Yna.
Yna mengerling kepada Ryo minta kepastian dengan perbuatannya itu.
“Tak rasa sejuk ke?” Soal Ryo.
Yna membisu dan terus merenung Ryo.
“Kalau kau sejuk, gunalah baju aku. Itu saja.”
Melihat tingkah Ryo yang seperti mahu menjaganya menyebabkan Yna terfikirkan kebaikan seorang lagi insan yang pernah menyayanginya suatu masa dulu. Kebaikan seorang lelaki hanyalah topeng plastic untuk menduga hati seorang perempuan yang bagaikan kerak nasi. Yna tidak akan mempercayai mereka lagi!
***************
Dalam kepekatan malam yang semakin larut itu akhirnya kedua-dua mereka terlena akibat kepenatan. Gadis yang pernah mendapat gelaran ‘Anti Lelaki’ itu tertidur dengan berselimutkan baju seorang lelaki yang pernah menjadi salah seorang daripada musuhnya dulu. Dan lelaki popular yang telah menjadi buruan para peminatnya itu tanpa sedar sudah terlentok di bahu Yna.
Malam telah membawa mereka jauh ke destinasi lalu. Mengimbau kenangan lalu yang telah menjadi sejarah. Kadang sejarah itu amat manis untuk ditinggalkan. Adakala juga sejarah itu terlalu pahit untuk kita imbas semula. Namun ada satu sejarah yang masih menjadi tanda tanya dalam hati masing-masing… soal hati… Untuk merungkai soal hati tersebut mereka tidak pasti samada perlu bermusuh semula atau memulakan suatu perhubungan yang lebih harmoni…
1 comment:
salam kak kaseh. nape jd mcm ni???? waaa!!!! ryo xleh jmpa ngan gina! huhu
Post a Comment