Kawan2 yg saya Sayang

Sunday, April 20, 2014

Vampire Oh Vampire (Bab4)

Bab 4
Sulalatus Salatin yang aku baca sejak petang tadi masih di takuk lama. Sejak dari kelmarin membawa ke hari ini pembacaanku masih lagi pada bab pertama. Betapa tersiksanya membaca naskah buku sebegini. Buku ini adalah tentang sejarah melayu yang dikarang oleh Tun Sri Lanang atas arahan Sultan Abdullah Ma’ayah dan merupakan antara naskah terawal kesusasteraan melayu dalam bentuk bertulis menggunakan bahasa melayu klasik. Kisah-kisahnya menarik tetapi bahasanya terlalu indah sehingga sukar untuk difahami oleh generasi moden sepertiku. Bab satu sahaja aku perlu mengulang baca sebanyak lima kali untuk memahaminya. Aku harap aku mampu menamatkan buku setebal novel RM21.90 ini walaupun dalam keadaan tersiksa. Aku percaya ada sesuatu kemanisan yang tersembunyi dalam buku ini. Tapi bukan sekarang masanya untuk aku tamatkannya kerana Vampire Knight sedang menggamitku dari hujung katil.
Aku sempat mengerling jam digital berbentuk kiub di atas mejaku. Tepat jam 12.00 tengah malam. Aku capai baju sejuk di kepala kerusi sebelum bangun dari meja belajar. Jendela aku tutup rapat tanpa menguncinya sebelum menuju ke atas katil. Aku menekan butang power pada laptop yang sudah sedia terbuka di atas katil. Sementara menunggu sistem terpapar di skrin aku menyarung sarung kaki. Kesejukan sangat mencengkam pada malam ini disebabkan hujan lebat yang turun petang tadi.
Dua biji bantal aku letakkan di kepala katil sebagai tempat bersandar dengan laptop kuletak di atas peha. Baru sahaja hendak mula menonton tiba-tiba aku dikejutkan dengan cermin jendelaku yang ditendang dari luar bilik. Aku terkejut dan hampir sahaja hendak mencampak laptopku.
Satu makhluk hitam melompat sebelum bergolek di atas lantai bilikku. Disebabkan pendaratannya yang kurang sempurna kepalanya terhantuk pada kaki katil. Aku hampir menjerit kerana menyangkakan yang tenggiling sesat tadi.
“Ouch! Damn!” lelaki berpakaian serba hitam itu memegang kepalanya. Kesakitan.
Aku tergamam melihat lelaki tersebut. Sekali lagi pada waktu yang sama, tepat jam 12.00 tengah malam dia muncul lagi masuk ke bilikku.
“Kau lagi…” Aku segera turun dari katil lantas mendekati lelaki misteri tersebut. “Apa kau nak sebenarnya? Kenapa kau masuk ke bilik aku?”
“Hah?” Dia sedang mengelus-ngelus kepalanya yang sakit akibat terhantuk tadi. Renungannya ditala ke arahku. Kemudian dia menoleh ke kiri dan kanan. Seolah-olah keliru dengan persekitaran dalam bilikku. Dia segera bangkit berdiri. “S-O-R-R-Y… salah masuk bilik.” Dia segera angkat kaki dan menuju ke jendela.
“Tunggu!” Aku menahannya dari pergi. Dia tidak jadi hendak memanjat jendela. “Hoi, vampire! Baik kau mengaku apa sebenarnya niat kau?” Disebabkan rasa tidak puas hati aku terus menembaknya.
Lelaki itu tertoleh-toleh ke belakangnya. Ingin memastikan dengan siapa aku bercakap. Memang dialah yang aku panggil vampire.
“Hei, semalam kau ceroboh masuk bilik aku dan aku rawat luka kau. Kau menghilangkan diri sebelum aku terjaga. Kemudian pagi tadi kau muncul di kolej aku. Baik kau mengaku… siapa sebenarnya kau?” Aku tak beri peluang untuknya melepaskan diri. Dia nampak terkulat-kulat nak memberi jawapan selepas kena serang bertubi-tubi dengan aku.
Kadang aku rasa aku selalu bertindak tanpa menggunakan akal. Aku terlupa yang dia tu M-O-N-S-T-E-R. Macam mana yang aku boleh berani tak kena tempat pergi terjah dia pula.
“Hmm… okey. Nama aku…”
“Kau bukan manusia. Kau vampire!”
What?!” suaranya meninggi dan terkejut. Dia memandangku dengan pelik. “Seriously?” Dia menggeleng-geleng seakan tidak percaya dengan kenyataan tersebut.
“Kau keluar malam-malam buta sebab kau nak cari mangsa. Kau laparkan darah manusia. Kau masuk ke bilik aku dan cari peluang untuk hisap darah aku. Betul kan?”
Lelaki berpakaian serba hitam itu yang pada mulanya terpinga-pinga akhirnya tertawa mendengar kata-kataku. Menyirap juga aku mendengarkan tawanya yang seperti kambing mengembek itu. Sempat aku kerling dahinya yang bertampal plaster. Aku menjuihkan bibir. Pandai mamat vampire ni berlakon di hadapanku. Sengaja menampal plaster pada bekas lukanya. Walhal pagi tadi aku lihat lukanya telah sembuh sepenuhnya.
Seriously… aku dah tersalah masuk bilik. Aku pergi dahulu.” Jendela dikuak. Kaki sudah diangkat untuk memanjat jendela tersebut.
Aku tidak berpuas hati dan kerana terlupa akan perasaan takutku dengan selambanya aku cengkam pangkal lengan kirinya dan menahannya dari pergi. Dah kantoi ada hati nak buat-buat tak bersalah. Chis!
“Arghhh!!!” lelaki itu menepis kasar tanganku yang mencengkam lengannya. Dia mengerang kesakitan. Matanya merah, mencerlingku dengan tajam. “Kau tahu tangan aku cedera kan.”
“Ops! Aku sengaja.” Okey… aku gila sebab buat vampire naik angin. Tapi pandai dia berlakon kononnya cedera yang dia alami belum sembuh lagi. Amboi, muka dah merah macam udang bakar. Cantik sangatlah mata coklat tu tenung macam nak telan aku. Aku korek nanti baru kau tahu.
“Terima kasih sebab rawat aku semalam, cik adik,” ucapnya dalam nada yang dapat aku kesan betapa sarkastiknya dia terhadapku. “Mana kau tahu aku vampire?”
Soalannya membuatkan aku terkesima. “Jadi betullah kau ni vampire?”
“Kau rasa?” bibirnya meleretkan senyuman senget. Sangat mencurigakan. Terasa aura merbahaya di situ.
“Jadi betullah kau masuk ke bilik aku sebab nak makan darah aku.” Aku dah mula berasa cuak. Mamat vampire ni sedang menyeringai menampakkan gigi siongnya. Tiba-tiba aku terbayang yang gigi siong itu memanjang dan meruncing. Apa akan jadi sekiranya dia benar-benar mahu menghisap darahku malam ini?
Aku mula melangkah setapak ke belakang. Aku mesti cari jalan untuk menyelamatkan diri sebelum diapa-apakan oleh lelaki ini. Tapi kemana aku boleh melarikan diri? Sekuat mana pun aku melarikan diri, vampire mempunyai kelajuan seperti kilat untuk mengejarku. Lambat laun pun aku akan menjadi mangsanya. Cuma aku tidak pasti apa yang akan berlaku sekiranya darahku dihisap oleh vampire…
“Boleh aku tanya sesuatu… apa akan berlaku sekiranya kau hisap darahku? Kau takkan bunuh aku kan? Kau takkan ubah aku menjadi vampire seperti kau kan?” Serius aku takut dan buntu dengan situasi tegang dalam bilik ini. Hanya ada aku dan dia sahaja di sini. Kalau aku menjerit untuk mendapatkan bantuan pun belum tentu aku sempat diselamatkan.
“Bertenang… aku akan bunuh kau...” Gulp! Perlukah aku mengucap Syahadah siap-siap sekarang. Terasa nafasku tersangkut di rengkung. Aku sedang menghadapi saat-saat dimana bak kata pepatah ‘nyawa di hujung tanduk’. “…tapi bukan sekarang,” sambung lelaki itu disusuli tawa yang keras.
What?! Dia sedang mainkan aku ke? Sedap pula dia gelakkan aku. Melampau ni…
“Aku pergi dahulu.”
“Kau nak pergi mana?” hoi! Berani aku tanya lagi… adoi, tak boleh control mulut!
“Aku kan vampire. Mestilah nak pergi memburu,” jawabnya dengan selamba. Kedua belah kakinya sudah memanjat jendela.
“Hei…” dia kembali menoleh apabila aku memanggilnya lagi. “Sebelum kau ambil nyawa aku nanti, boleh aku tahu siapa nama kau?”
Dia merenungku. Senyumannya dileret sempurna. Serta merta jantungku berdegup laju. Senyuman itu membunuh persepsiku terhadap betapa vampire itu makhluk ganas yang menakutkan. Aku hilang akal ke apa buat rumusan sebegini. Sumpah… aku harap dapat lihat senyuman itu sekali lagi sebelum dia mencabut nyawaku kelak. Kebahagiaan terakhir sebelum kembali ke alam lain.
“Nama aku Adrian... Selamat malam. Jumpa lagi lain kali, Sofie.”
Aku terpaku di hadapan jendela tanpa menyedari yang lelaki misteri itu telah hilang. Tidak, dia bukan lagi lelaki misteri kerana malam ini aku telah mengetahui siapakah dia. Dia vampire yang bernama Adrian dan dia memanggilku… Sofie. Dia tahu nama aku.

“Ehhh!!!??? Dari mana dia tahu nama aku?”

4 comments:

Nur Fazlyn Ismail said...

Seronok laa semua novel akak !!! ♥♥♥[>\\\\\\<]

Nur Fazlyn Ismail said...

Seronok laa semua novel akak !!! ♥♥♥[>\\\\\\<]

Kaseh Esmiralda said...

terima kasih

Aida Adnan said...

Terasa macam baca komik tebal..arhh..saya suka saya suka..novel grafik..