Kawan2 yg saya Sayang

Thursday, January 24, 2013

Aku Bukan Malaikat (Bab 2)


Bab2
PAGI itu ketika Mariya terjaga dari tidur Ameer sudah tidak kelihatan lagi. Akibat terlalu penat dan kesan ubat yang ditelannya Mariya tidur dengan sangat nyenyak di bilik tamu rumah Ameer. Bila Ameer keluar rumah pun tidak disedarinya. Dia hanya tahu ketiadaan Ameer melalui nota yang ditinggalkan lelaki itu di meja makan. Dalam nota tersebut Ameer menyatakan dia terpaksa keluar awal pagi kerana tugas dan Ameer mahu dia meninggalkan rumah selepas bersarapan. Selain nota, di atas meja itu Ameer sediakan sarapan pagi dan kunci rumah. Mariya diminta menyimpan kunci rumah di dalam peti surat sebaik dia meninggalkan rumah nanti.

Selepas membaca nota tersebut Mariya duduk dan menjamah sarapan pagi yang disediakan oleh Ameer. Ada segelas susu dan semangkuk sup cendawan di dalam mangkuk kaca yang bertutup. Juga terdapat roti sandwich. Susu ditolak. Dia tidak berminat. Sup cendawan sudah hampir sejuk namun ia nampak lebih menyelerakan berbanding segelas susu. Mariya menghirup sup berkrim itu dengan gembira. Dalam hati sempat memuji masakan Ameer. Boleh tahan masakan lelaki bujang ini.

Mariya mencapai sekeping roti sebelum bangkit menuju ke peti sejuk di sebelah kabinet dapur. Dia membuka peti sejuk dan menemui sekotak Peel Fresh. Senyumannya lebar sebelum mencapai kotak jus tersebut. Sambil mengunyah roti gelas bersih di atas para dicapai dan jus oren tadi dituang. Mariya kembali ke meja makan dan menyudahkan sarapan paginya. Semua dilakukan bagai di rumah sendiri.

Sesudah perutnya kenyang dia duduk berehat di ruang tamu. Alat kawalan televisyen dicapai. Punatnya ditekan dan sebentar kemudian Sony Bravia S400 LCD TV memancarkan siaran televisyen. Satu persatu siaran ditukar. Dari siaran RTM, TV3 sehingga Astro, namun tiada satupun yang berjaya menarik perhatiannya. Akhirnya Mariya meninggalkan televisyen.

Dia berjalan-jalan di seluruh ruang rumah yang bertemakan warna putih jingga itu. Rumah teres dua tingkat itu sederhana sahaja besarnya. Namun sentuhan dekorasinya yang moden nampak sempurna biarpun ringkas. Melihat keadaan rumah yang teratur dan kemas itu menggambarkan penghuninya yang mementingkan keselesaan biarpun Ameer lelaki bujang yang hidup bersendirian.

Mariya naik ke tingkat atas untuk ke biliknya semula. Di satu sudut berhampiran bilik tamu yang didiaminya malam tadi terdapat sebuah lagi bilik. Bilik tersebut tidak tertutup rapat dan ia bagai menggamit Mariya untuk ke sana. Perlahan-lahan Mariya menolak pintu bilik tersebut. Ada sebuah almari besar berdinding kaca di sebelah kanan yang menempatkan pakaian dalam bilik tersebut. Selain itu terdapat meja kerja di sudut bertentangan dengan almari tersebut. Ada sebuah komputer peribadi yang hanya dibiarkan dalam mode sleep di atas meja itu. Mariya melangkah menghampiri meja tersebut kerana tertarik dengan foto di dalam bingkai gambar di atas meja. Gambar pertama ialah gambar Ameer bersama ahli keluarganya yang terdiri daripada ayah dan ibu. Selain itu ada dua orang gadis yang mungkin sekali adik-beradik Ameer. Dari gambar tersebut Mariya dapat meneka yang Ameer merupakan anak lelaki tunggal dalam keluarganya. Di sebelah gambar keluarga ada gambar Ameer bersama seorang lelaki. Ameer tersenyum ceria sambil menyilang tangan diantara bahu dengan lelaki tersebut. Kedua-duanya nampak gembira menikmati percutian di sebuah kawasan peranginan. Mereka berdua nampak sangat akrab malah memakai baju yang sama.

Air wajah Mariya yang tadi ceria tiba-tiba berubah. Perlahan-lahan jemarinya menyentuh wajah dalam gambar tersebut. Hatinya terasa nyilu. Bibirnya diketap menahan perasaan berkecamuk yang menghenyak jiwanya kini. Semakin gambar tersebut ditatap semakin hatinya sakit. Dia segera mengatur langkah. Bilik kerja Ameer segera ditinggalkan.

**************

DALAM kesibukannya memenuhi jadual kerja Ameer sempat mencuri masa untuk menemui sahabat karibnya. Sejak Hakimi menumpukan perhatian pada cawangan baru syarikatnya di Ipoh, mereka berdua sudah jarang bertemu. Hanya sempat bertemu beberapa kali dalam tempoh setahun ini. Itupun mengikut kelapangan masing-masing. Hakimi sibuk menguruskan perniagaan keluarganya yang semakin berkembang maju. Manakala Ameer pula, sejak namanya mula menjadi perhatian masyarakat kehidupannya juga semakin sibuk dengan jadual kerjanya.

“Kau nampak ceria sekarang. Sedang berbahagia ke?” Hakimi yang sedang menyedut sirap bandungnya mengerling nakal pada Ameer yang sedang mengacau Milo Aisnya menggunakan straw. Tengahari itu mereka makan bersama di sebuah restoran kecil berdekatan pejabat Hakimi. Mungkin kelihatan janggal apabila seorang selebriti terkenal bersama seorang CEO sebuah syarikat besar makan tengahari di restoran biasa yang boleh dianggap sebagai warung kaki lima. Namun bagi Ameer dan Hakimi itu semua perkara biasa yang mereka lakukan sejak dahulu lagi. Malah pemilik restoran itu mengenali mereka terutamanya Hakimi yang merupakan pelanggan tetapnya di situ.

“Berbahagia apa? Setiap hari aku bercinta dengan kerja sahaja, Mi,” Ameer sekadar tersenyum dan menggeleng melihat gelagat sahabatnya yang cuba hendak menyakatnya. Mereka masih menunggu makanan tengahari yang mereka pesan sampai.

“Kau yang memilih untuk hidup dengan cara begitu, Mir. Kalau kau kerja dengan aku kan senang. Lagipun aku boleh jaga kau.”

“Aku bukan budak kecil yang perlu dijaga.” Ekor mata Ameer melirik pada bibir Hakimi yang sedang menyedut straw minumannya. Sisa air yang melekat di pinggir bibir menyebabkan Hakimi bertindak menjelirkan lidah untuk membersihkan mulutnya. Gulp! Ameer telan liur melihat situasi tersebut. Sejenak perhatiannya dikalihkan memandang ke tempat lain.

“Kau ni kenapa?” Hakimi melirikkan pandangannya kepada Ameer apabila mengesan lelaki itu memusingkan tubuhnya dan tidak memandang ke arahnya lagi. Milo ais yang sibuk dikacau menggunakan straw tadi sudah ditolak ke tengah meja. Langsung tidak dijamah sedikit pun walaupun cuaca panas hari ini.

“Ameer…” Hakimi berusaha menjejaki wajah Ameer yang tidak mahu memandang ke arahnya. Ameer sekadar menjeling Sirap Bandung di tangan Hakimi tanpa memberi perhatian pada pemuda itu.

Makanan yang dipesan akhirnya tiba dihantar oleh seorang pelayan wanita. Nasi Goreng Tomyam untuk Ameer dan Nasi Ayam kegemaran Hakimi. Mereka mengambil sudu dan garfu lalu bersedia hendak menjamah makanan.

Ameer masih belum menyuap makanan sebaliknya masih merenung Hakimi dengan pandangan yang penuh makna. Hakimi perasan dengan renungan tersebut tetapi sengaja dibiarkan sahaja. Ketulan Ayam Goreng Madu yang telah dipotong kecil di dalam piring itu dijamah sedikit oleh Hakimi. Selanjutnya dia menyudu nasi masuk ke dalam mulutnya. Ekor matanya sempat menjeling Ameer yang masih merenungnya dengan harapan yang menggunung. Hakimi tersenyum nakal lantas meneruskan beberapa kali lagi suapan makanannya. Nampaknya dia sangat memahami maksud renungan Ameer itu namun sengaja membiarkan Ameer resah gelisah di hadapan menantinya bertindak.

“Hmm, Hakimi… boleh tak aku…” Ameer mengetap bibir sambil merenung tepat ke arah Hakimi. Kedua jari telunjuknya bersatu sambil bergerak-gerak di atas meja. Ada sesuatu yang dia mahukan dari Hakimi tetapi masih teragak-agak mahu memintanya di khalayak ramai ketika itu. Dia mengharapkan Hakimi dapat memahaminya.

“Kau nak air yang aku minum, kan.” Hakimi menolak gelas Sirap Bandungnya yang sudah tinggal separuh itu ke hadapan Ameer. Dia memang sudah dapat membaca tabiat sahabatnya itu tetapi sengaja membiarkan Ameer berada dalam keadaan terdesak. Ameer memang sukakan sisa makanan atau minumannya. Ia adalah satu tabiat pelik yang sukar dikikis sejak dahulu lagi.

“Terima kasih.” Milo Aisnya sudah tidak dihiraukan lagi setelah Sirap Bandung Hakimi menjadi miliknya.

“Aku tak faham dengan tabiat kau ni. Tapi tolong jangan buat begini pada orang lain. Mereka akan anggap kau yang bukan-bukan nanti.” Nasihat Hakimi. Hakimi tersenyum melihat gelagat Ameer yang sedang menyedut Sirap Bandungnya. Wajah Ameer nampak bahagia seolah-olah mendapat minuman dari syurga.

“Wah! Sedap!” Ameer buat muka ada-aku-kisah!

Gelas Sirap Bandung itu hanya tinggal ais sahaja. Sudah habis licin ditelan oleh Ameer. Ameer mula menjamah Nasi Goreng Tomyamnya selepas itu.

“Hmph… Nasi kau tu tak nak tukar dengan aku juga?” ada nada perli di situ ditujukan khas kepada Ameer.
“Boleh ke?” Ameer tersengih sambil menjeling Nasi Ayam Hakimi yang nampak menyelerakan. Dia bukan peduli dengan sindiran Hakimi.

Hakimi menggeleng perlahan sambil meneruskan lagi suapannya. Sempat hujung tangannya menjentik dahi Ameer sebagai satu hukuman kecil. Hakimi sudah biasa menghadapi tabiat pelik Ameer itu. Setiap kali dia makan atau minum pasti makanan dan minumannya itu akan menjadi perhatian Ameer. Sukar untuk menegah keinginan Ameer memandangkan pemuda itu sering memberi alasan makanan yang telah dijamah Hakimi selamat dan tidak berisiko untuknya mendapat penyakit. Tapi itu cuma alasan. Padahal mereka makan di restoran yang sama.

Setelah beberapa suapan Nasi Ayam masuk ke dalam mulutnya, Hakimi berhenti makan. Dia meneguk Milo Ais Ameer. Sesudah itu dia menolak pinggan makannya ke tengah meja. Dia seperti tiada selera walaupun Nasi Ayam itu merupakan salah satu makanan kegemarannya di restoran tersebut.

“Kau tak ada selera ke? Sedikit sangat kau makan.” Ameer menegur. Jarang dia melihat Hakimi tidak menghabiskan makanan.

“Aku kenyang. Kalau kau nak, habiskanlah Nasi aku,” jawab Hakimi sambil mempelawa Ameer memandangkan biasanya Ameer tidak menolak untuk menghabiskan sisa makanannya.

Ameer merenung seluruh wajah Hakimi, cuba membaca apa yang tersirat di fikiran sahabatnya itu. Tidak pernah selama ini Hakimi tidak menghabiskan makanan. Selalunya Hakimi yang membebel jika dia tidak menghabiskan makanan tapi kali ini sebaliknya pula. Ameer perasan akan perubahan sikap Hakimi.

“Kau dah berubah. Aku tengok kau dah makin kurus. Kau ada masalah ya? Stress sangat dengan kerja ke?” Ameer nampak mengambil berat.

“Tak adalah. Kalau nak dibandingkan dengan kau, kerja aku tak seberat pengacara yang kena siapkan assignment dan adakalanya turun padang selaku wartawan macam kau. Mungkin pandangan kau sahaja yang nampak aku semakin kurus sebab kau tu yang nampak makin berisi.”

Kata-kata Hakimi menyebabkan Ameer segera menelek tubuh badannya yang dikatakan berisi. Wajahnya nampak risau. Hakimi tertawa melihat gelagat Ameer. Dia tahu kelemahan Ameer sejak dulu. Takut gemuk!

“Woi, aku pergi gym tau!” Ameer naik radang bila dikatakan sudah berisi. Namun sebaik mendengar tawa Hakimi, dia sedar yang sahabatnya itu sengaja mahu mengusiknya dengan soalan tersebut. “Irfan Hakimi, kau kenakan aku ni.” Gigi Ameer berlaga kegeraman. Terbantut terus dia mahu menyudahkan makanannya.

Hakimi menggeleng. Mulutnya dikancing rapat agar tawanya yang rancak dapat dikawal. Bila Ameer memanggilnya dengan dua patah namanya bermakna Ameer tidak suka dengan gurauan yang cuba dibuatnya. “Sensetif macam perempuan,” gumam Hakimi.

“Oh ya, berapa lama kau di Kuala Lumpur?” topik perbualan sudah bertukar.

“Bergantung pada keadaan. Kenapa?” Hakimi memulangkan pertanyaan.

“Hmm… di rumah aku tu ada dua bilik kosong.”

“Maksud kau nak aku bermalam di rumah kau?” Hakimi dapat membaca niat Ameer. Ameer yang sentiasa berniat baik tetapi tidak pernah berterus terang dengan tindakannya. Hanya dia sebagai sahabat yang faham segala niat tersirat dalam setiap percakapan Ameer selama ini.

“Sekurang-kurangnya kau tak perlu tinggal bersendirian di hotel kan.”

“Aku tak mahu menyusahkan kau lah. Lagipun bukan aku yang bayar hotel tapi syarikat aku yang uruskan semuanya.”

“Syarikat kau tu bukan pakai duit kau juga ke?” Ameer mencebik. “Katakan sahaja yang kau tidak sudi bermalam di rumah aku.”

Hakimi tertawa melihat rajuk si sahabat. Serba salah dibuatnya dengan tawaran ikhlas Ameer itu. Apa salahnya jika sesekali bertemu dia menghabiskan masa bersama Ameer. Tentu banyak topik perbualan mereka memandangkan sudah lama benar tidak ketemu.

“Kalau kau mahu aku bermalam di rumah kau, sekurang-kurangnya mesti benarkan aku tidur di master bedroom.”

“Aku ada katil yang cukup besar untuk kita berdua tidur.” Ameer tersengih lebar membalas kata-kata Hakimi. Sebaik menghabiskan kunyahan terakhir makanannya dia segera mencuci tangan.

“Baiklah… tapi satu malam sahaja tau. Aku perlu hadiri mesyuarat yang penting esok. Kerja tetap kerja. Syarikat hantar aku ke sini untuk menjalankan tugas. Bukan untuk bercuti.”

“Bercakap macam orang makan gaji. Padahal kerja dengan syarikat sendiri,” ejek Ameer.

“Pembetulan… itu syarikat family aku. Aku cuma bertanggungjawab menjalankan amanah sahaja.” Hakimi tidak mahu mengalah. Tetap menegakkan pendiriannya.

“Okey, boss…” Ameer mengangkat tapak tangan dan dilintangkan di sisi dahi. Tabik spring kepada Hakimi. Sengaja mahu memerli sahabatnya. Hakimi pula sekadar senyum dan menggeleng kepala.

Sebaik selesai menjamu makan tengahari mereka berdua keluar dari restoran tersebut dan menuju ke haluan masing-masing untuk menyelesaikan urusan tugas masing-masing sebelum kembali bertemu kembali petang itu.


Bersambung....

No comments: