Kawan2 yg saya Sayang

Thursday, July 18, 2013

AITDS the sequel :- THE WITCH THAT I LOVE (bab2)


Bab2
GADIS bercelama biru kundang yang dipadankan dengan blaus warna biru lembut itu sedang mengintip dari luar kedai. Rambut lurus yang melepasi bahunya itu dibiarkan bebas. Hanya penyepit rambut berbentuk rama-rama menghiasi kepalanya. Kaca mata gelap yang tersangkut di wajah dijatuhkan sedikit untuk memudahkannya menjejaki jejaka yang dikenali dengan jolokan The Devil suatu ketika dahulu.
Sasaran dikenal pasti. Camie tersenyum sebaik kelibat Jay berjaya dijejaki. Pemuda itu kelihatan baru sahaja keluar dari pintu stor sambil menolak troli yang mengandungi berbagai jenis minuman ringan yang hendak disusun di dalam peti sejuk.
Camie bergerak lebih dekat dengan pintu masuk kedai yang berdinding kaca itu. Dia mahu memerhatikan pemuda itu dengan lebih dekat. Dia mahu memastikan yang dia tidak tersalah orang semalam. Dia yang merupakan pelajar tahun kedua dari sebuah kolej, sanggup ponteng kelas semata-mata mahu datang ke kedai serbaneka tersebut untuk mengintip pemuda itu.
Jay kelihatan sudah kembali ke pintu belakang setelah selesai mengisi peti sejuk tadi dengan minuman ringan. Seorang lelaki lembut yang sedang memegang clipboard file kelihatan sedang mengarahkan sesuatu kepada Jay sebelum pemuda itu berlalu ke belakang. Jay mengangguk dan senyum sahaja menerima arahan ketuanya. Dia langsung tidak marah walaupun diarah-arah begitu. Senyuman yang sentiasa mewarnai raut wajahnya juga menggambarkan yang dia ikhlas dan menghargai setiap pelanggan yang berkunjung masuk ke kedai itu.
Timbul rasa pelik di hati Camie… ini bukan macam Dew yang aku kenal. Lelaki itu sepatutnya bersikap dingin dan amat sukar untuk melihatnya tersenyum. Sejak bila pula dia sangat akur dengan arahan sesiapa? Sepatutnya dialah yang paling suka mengarah orang. Maklumlah… tuan muda. “Tapi muka dia sangat seiras Dew. Betulkah dia bukan Dew?” Camie tetap was-was.
Akhirnya entah bila dia tidak sedar yang dirinya sudah masuk ke dalam kedai tersebut. Akibat perasaan tidak puas hatinya, dia terus berusaha untuk mencari bukti yang lelaki itu ialah Dew The Devil yang pernah dikenalinya dahulu.
Camie berdiri di hadapan rak majalah sambil membelek secara rawak salah satu majalah yang dicapainya. Kelibat Jay masih lagi dalam perhatiannya. Pemuda itu kini sedang berdiri di dalam kawasan kaunter, menggantikan teman sekerjanya yang pergi berehat barangkali. Camie tidak sedar bila masa teman sekerja lelaki klon Dew itu keluar dari kawasan kaunter bayaran tersebut kerana matanya hanya tertumpu pada The Devil seorang sahaja.
Pelanggan tidak begitu ramai dan Camie dapat melihat dengan jelas gerak geri Jay di kaunter bayaran. Pemuda itu mengenakan baju T berwarna putih yang berkolar hitam, sama dengan warna cap yang melindungi rambutnya yang berwarna perang keemasan. Wajahnya yang selalu tersenyum kepada pelanggan itu mengenakan kaca mata berbingkai hitam yang nipis. Sekali pandang dia ala-ala budak baik yang selalu menjadi mangsa buli di sekolah. Sepatutnya Dew bukan berperwatakan begitu. Apron yang dilipat dua itu nampak kemas diikat di pinggangnya. Penampilan itu begitu sederhana buat seorang tuan muda yang merupakan anak orang ternama yang punya kedudukan yang tinggi di kalangan masyarakat. Namun gelaran tuan muda itu sudah pasti tidak lagi diguna pakai oleh pemuda itu setelah dia kembali kepangkuan keluarga kandungnya. Kalau benarlah memang dia bukan Dew, tuan muda yang kaya raya dan suka menjadikan semua orang umpama hambanya… maka Camie patut percaya kerana pemuda di hadapannya itu memang tidak seperti Dew, apatah lagi mendiang Jeremy, kembarnya.
“Hai, cik adik. Nak beli majalah ke?” Pemuda berkulit cerah dan berhidung mancung itu bernama Sam. Dia merupakan teman sekerja merangkap rakan seangkatan Jay. Melihat sikap Camie yang terhendap-hendap dari tadi telah mencurigakannya lantas sengaja pergi menegur gadis tersebut. Dia perasan itu adalah gadis yang membuat kecoh di kedai serbaneka ini semalam.
“Sibuk nampak. Sampai abang tegur pun tak sedar.” Tegurnya sambil ekor matanya meluru ke arah pandangan yang menjadi sasaran gadis itu sejak tadi.
Jantung Camie hampir tersentap apabila menyedari Sam begitu hampir di sebelahnya.
“Sibuk? Sibuk lah juga.” Camie pura-pura menyelak majalah di tangannya. Ekor matanya masih lagi terjeling-jeling pada pemuda di kaunter itu. Kaca mata gelapnya sempat dibetulkan supaya rapat pada wajahnya.
“Oh, sibuk…” bibir Sam meleretkan senyuman sambil terangguk-angguk. Riak wajahnya begitu sarkastik sambil ekor matanya melirik ke arah sesuatu yang sedang menjadi perhatian Camie sejak tadi. tidak lain dan tidak bukan… Jay. “Sibuk stalking abang handsome ke?”
“Haah…” …kalaulah betul dia Dew, dia memang dah banyak berubah. Dia nampak lebih kacak dengan gaya yang sederhana seperti itu. Malah nampak lebih budiman bila berkaca mata. Mata Camie bagai sudah tergam dan tidak mampu mengalihkan perhatiannya daripada pemuda yang serupa Dew itu.
“Kalau ikutkan taklah handsome sangat dia tu. Handsome lagi abang ni. Tapi senyuman dia tu memang mampu buat orang cair kan. Awak ni dah lama ke buat kerja stalk-stalk orang ni?” leretan senyuman Sam semakin nakal melihat reaksi spontan Camie yang sebenarnya tidak fokus terhadap soalannya. Mana nak fokus kalau fikiran dan hatinya hanya tertumpu pada si penjaga kaunter itu sahaja.
“Tak lah lama sangat…” …betullah. Dia mesti bukan Dew The Devil. Jauh sekali Jeremy yang dah lama meninggal dunia. Mungkin betullah lelaki ni cuma pelanduk dua serupa… atau mungkinkah dia ada pertalian darah dengan Dew dan Jeremy?
“Ooo… best ke mengendap atau jadi stalker ni?” Sam menekan perut menahan tawa yang sudah berkira-kira hendak terburai waktu ini.
Best lah juga…” …aku rasa aku patut bersemuka sekali lagi dengan dia dan tanya semula siapa sebenarnya dia. Mana boleh aku stalking dia macam ni… eh, sekejap!
“Hah?” akhirnya Camie tersedar dengan jawapan merapu yang dikatakannya tadi. “Maafkan saya. Awak tanya apa tadi?” Camie kalut sebaik melihat Sam yang sedang mengetap bibir seolah-olah sedang menahan sesuatu yang hendak tersembur keluar dari mulutnya. Air muka dan lirikan matanya begitu nakal sekali memandang ke arahnya.
“Oh… saya tanya awak nak beli ke majalah The Guy yang awak pegang tu?” Sam menuding ke arah majalah yang dipegang Camie. Majalah tersebut mempamerkan gambar seorang model lelaki yang hanya ber-boxer dan menunjukkan tubuhnya yang berotot mantap!
Lirikan nakal Sam membuatkan Camie berasa sangat malu lantas cepat-cepat meletakkan semula majalah yang dipegangnya. Oleh kerana tumpuannya hanya pada penjaga kaunter yang menyerupai Dew itu, dia tidak sedar dengan majalah apa yang dicapainya tadi.
“Err… saya pergi dulu. Bye…” kelam kabut dia mengatur langkah untuk keluar dari kedai tersebut.
Akibat langkahnya yang kelam kabut dia hampir melanggar pelanggan di dalam kedai tersebut. Sam menahan tawa melihat gelagat gadis tersebut yang tertunduk-tunduk memohon maaf pada orang yang hampir dilanggarnya. Tidak cukup dengan itu, ketika dia hendak keluar sekali lagi malang buat gadis tersebut apabila terlanggar pintu kaca yang lutsinar di kedai tersebut. Kuat juga perlanggaran tersebut sehingga Sam yang berdiri di bahagian rak majalah itu boleh terdengar bunyi hentakan kepala gadis itu dengan pintu tersebut.
Camie cuba berlagak biasa walaupun sangat jelas perlanggaran tersebut nampak menyakitkan. Sempat dia menoleh ke arah Sam sambil meleretkan senyuman sebagai tanda menunjukkan yang dia tidak apa-apa. Dia segera cabut lari apabila beberapa pelanggan dalam kedai serbaneka itu melirik dan tersenyum melihat gelagat kalutnya itu.
“Huarghahaha!!!” terburai tawa Sam sebaik gadis tersebut meninggalkan kedai mereka. Sejak tadi dia menahan tawa kerana mahu menjaga air muka gadis tersebut. Akhirnya dia tidak sanggup lagi menahan perutnya yang tergeletek dengan sikap lucu gadis stalker itu.
“Jay…” dia menepuk bahu Jay, menegur sahabatnya yang masih sibuk di kaunter bayaran. Bukan sibuk sangat pun sebenarnya. Lelaki itu memang suka berpura-pura menyibukkan diri apabila mahu mengelak dari sesuatu. Bukannya dia tidak nampak yang Jay cuba menahan tawa melihat gelagat gadis tadi ketika terlanggar pintu kedai.
“Hebat kau sekarang. Dah ada secret admire. Budak perempuan semalam tu datang semata-mata nak mengintip kau. Kau perasan tak tadi?” Sam sengaja memancing perhatian Jay.
“Entah. Tak perasan pun. Kau nampak kan yang aku sangat sibuk bekerja sekarang.” Sebaliknya Jay pula yang bersikap tidak mahu ambil peduli.
“Jangan tipulah. Kau perasan dia tapi sengaja buat-buat tak nampak kan.” Sam terus menembak.
“Habis tu, kau nak aku buat apa? Pergi pada dia dan hulurkan salam perkenalan? Atau beritahu dia yang sebenarnya pintu kedai kita ni kaca lutsinar so jangan berhalusinasi atau berkhayal semasa berjalan… begitu?”
“Hah?” Sam nak jatuh rahang mendengarkan ayat sinis Jay. “Kau tak ada ayat yang lebih manis ke untuk memikat perempuan?”
Jay tersenyum sinis. “Kau rasa aku akan pergi pikat perempuan tu ke?”
“Sekurang-kurangnya berkawan sahaja pun tak apa, kan.”
Jay malas hendak melayan kerenah Sam. Matanya lebih tertumpu pada pelanggan yang keluar masuk dan membayar di kaunternya. Setiap kali pelanggan kedai tersebut datang kepadanya pasti dia akan meleretkan senyuman manis agar pelanggan tersebut berasa senang hati membeli belah di kedai tersebut dan setiap kali itu juga kelihatan Sam mencebik, meluat dengan aksi mesra Jay terhadap para pelanggan.
“Jay, kau tak rasa ke yang awek stalker tu cute.” Sam cuba menarik perhatian jay lagi.
“Sam, kau tak penat ke? Jangan kacau aku boleh tak?” Jay cuba menghalau Sam yang dirasakan terlalu bising di dalam kaunter tersebut.
Sam buat muka tak puas hati. Dia cari idea hendak menarik perhatian Jay.
“Eh, kalau kau tak berminat… boleh tak kalau aku pergi try dia.”
“Kau kalau nak test market pun agak-agaklah. Tengok muka pun tahu yang budak perempuan tu sekolah lagi.” Jay pantas memintas untuk menghalang niat Sam.
“Eh, budak sekolah ke bini orang ke bukannya ada kaitan dengan sesiapa pun. Buat apa kau nak ambil peduli pula. Haa… jangan-jangan kau ni sebenarnya ada hati pada budak tu tapi saja nak jual mahal kan. Betul tak?” Sam menerjah setelah berjaya memerangkap Jay.
“Gila lah kau ni. Kau ingat budak sekolah macam tu taste aku ke.” Jay menafikan.
“Oh, yelah. Aku lupa. Taste kau kan perempuan macam Leah. Yang bukan setakat cantik dan seksi malah garang macam singa betina. Ngeoww~~” Sam sempat melawak dengan membunyikan suara singa betina yang ada krisis identiti.
“Woi, tu singa betina ke kucing gatal!” Jay cuba menahan tawanya disebabkan lawak bodoh Sam. Kepala Sam sempat dilukunya sebagai ganjaran untuk lawak bodoh yang dihidangkan oleh lelaki itu.
“Apa-apa sajalah… Eh, kau betul ke tak berminat dengan Awek Stalker tu? Aku bukan apa… kalau boleh kan...” Sam kembali pada topik asalnya berkenaan gadis stalker tadi. Dia menguis-nguis pangkal lengan Jay. Masih dengan niat hendak mengusik pemuda itu, sambil mencari peluang nak masuk line mengorat awek.
“Aku sibuk ni…” Jay menepis sentuhan ‘mesra’ Sam. Geli diperlakukan sebegitu, apatah lagi oleh kaum sejenis dengannya. “Aku tahu ini waktu rehat kau tapi kau pergi lepak tempat lain boleh tak. Jangan kacau aku, please!” Jay semakin rimas dengan sikap kecoh Sam sejak tadi.

“Elleh… berlagak.” Sam mencebik. Dia kembali mengatur langkah untuk beredar. 

Bersambung.... 

4 comments:

Hamima Abdul Ghani said...

Lagi. .lagiiiii. ...nak lagiiiii...!!!!!

Aida Adnan said...

nak lagi...nak lagi...
haha...
ops...nanti la...
minggu depan saya ada trial pmr...
hehe

Anis Sy said...

The Witch that I Love xnak publish ke? Sronok la cite die..

Anis Sy said...

cite "The Witch that I love" best sgt.. xnk publish ke?