Kawan2 yg saya Sayang

Wednesday, July 17, 2013

AITDS The Sequel :- THE WITCH THAT I LOVE (Prolog)

PROLOG
KAKI yang melangkah dihayun dengan pantas. Dia perlu lari sejauh mungkin. Sesuatu yang berniat jahat sedang memburunya di belakang. Nyawanya dalam bahaya dan dia tidak dapat menghubungi sesiapa untuk mendapatkan pertolongan. Dalam keadaan terdesak begini telefon selularnya pula kehabisan bateri. Dia panik dan terpaksa lari selaju mungkin untuk menjauhi ancaman yang sedang memburunya.
Sampai di satu simpang sebuah lorong kecil Dew menghentikan langkahnya. Dia kelelahan. Dia perlu berhenti sebentar sebelum meneruskan lagi lariannya. Dia tahu ini bukan masa yang selamat untuk dia berhenti berehat tapi dia benar-benar tidak larat lagi.
Nafasnya turun naik dengan deras. Ekor matanya meliar memandang sekeliling. Kemudian menoleh ke belakang mencari kelibat pemburu yang sedang mengejarnya tadi. Sayup-sayup kelihatan kelibat seorang lelaki sedang berjalan pantas sambil memegang sebatang belantan. Di pinggangnya tersisip sepucuk pistol yang sengaja dibiarkan kelihatan. Ia bertujuan untuk memberi amaran kepada mangsanya yang dia tidak akan teragak-agak untuk melepaskan tembakan pada bila-bila masa jika dia mahu.
Jarak lelaki itu semakin hampir. Dew kembali memacu lariannya. Kali ini dia melencongkan langkahnya masuk ke dalam kawasan hutan. Dia tidak akan selamat jika berlari di kawasan lapang seperti jalan raya. Hutan, walaupun bahaya tapi lebih selamat untuknya melarikan diri. Dia menemui sebuah pokok kayu yang besar. Kedudukannya agak tersorok. Dia mengambil keputusan untuk bersembunyi di situ untuk sementara waktu sementara dia mencari jalan untuk menyelamatkan diri.
“Tuan Muda, saya tahu Tuan Muda masih ada di kawasan ini. Saya dah beri amaran supaya Tuan Muda lari sejauh mungkin sebab saya takkan teragak-agak untuk membunuh jika saya menemui Tuan Muda.”
Gulp! Dew yang bersembunyi di sebalik pokok besar itu menelan air liur. Peluh sudah membasahi seluruh tubuhnya. Dia ketakutan tapi tidak mampu berbuat apa-apa selain berdiam diri di situ. Kedengaran tapak kaki yang memijak daun kering dan ranting kecil semakin menghampirinya. Dia mati akal dan tak tahu kemana lagi hendak lari menyelamatkan diri.
“Tuan Muda… saya minta maaf. Saya terpaksa ikut arahan Madam Juwiette.”
Dew kaku sambil tangannya berpaut pada akar kayu yang timbul di atas tanah. Matanya terbelalak memandang sesusuk tubuh yang sedang berdiri di hadapannya. Wajahnya sahaja sudah cukup untuk menakutkan sesiapa sahaja. Lelaki berjaket hitam itu berwajah garang namun air mukanya seakan kesihan terhadap Dew. Kumisnya tajam dan sedikit berjambang. Terdapat parut melintang di bawah mata kirinya. Renungannya bengis dan menakutkan namun Dew percaya masih ada sekelumit simpati yang tersemat dijiwa lelaki itu apabila dia mengucapkan kata maaf terhadapnya tadi.
“Apa salah aku?” Dew mengajukan soalan sebaik lelaki bengis itu mengangkat belantannya, berkira-kira mahu menghentak kepala Dew saat itu juga.
Lelaki itu menghentikan sementara niatnya mahu memukul Dew.
“Saya cuma mendapat arahan untuk membunuh Tuan Muda dan saya tiada pilihan. Perempuan itu mahu Tuan Muda mati!” …dan Dew menerima hentakan pertamanya. Dia tersungkur namun reaksi pantasnya segera bertindak untuk mengelak serangan kedua lelaki tersebut. Serangan demi serangan terpaksa dilaluinya pada saat itu. Dia terpaksa bertahan dan tidak sempat hendak menyerang balas. Pergerakan lelaki itu sangat pantas dan lebih kuat berbanding dirinya.
“Apa lagi yang dia mahu dari aku? Kenapa dia masih tak nak lepaskan aku?” Dew terbaring kelelahan di atas tanah. Dia sudah tidak berdaya untuk mengelak serangan lelaki tersebut. Malah semua serangannya juga gagal untuk mencederakan lelaki itu. Lelaki bertubuh tegap itu terlalu gagah untuk ditundukkan.
“Hei…” lelaki itu melututkan kakinya diantara tubuh Dew sambil mencengkam kolar baju Dew. Kepala Dew terkulai ke belakang. Dia sudah tidak bermaya lagi. Kepala dan wajahnya penuh dengan darah dan lebam di sana sini akibat dibelasah dengan teruk. “Kau dengar sini. Perempuan kejam tu takkan pernah kalah dan dia takkan biarkan orang lain menang. Jadi kau mesti mati supaya dia takkan kalah pada sesiapa.” DUSH! Tumbukan terakhir lelaki itu menyebabkan kepala Dew berpusing dan mencium tanah.
Bitch…” suaranya yang lemah sempat menyumpah orang yang dimaksudkan oleh lelaki tersebut. Dew pengsan selepas itu.
Lelaki itu kembali berdiri. Mengusap pakaiannya yang kotor selepas bergelut dengan Dew sebentar tadi. Susuk tubuh Dew yang sudah tidak bergerak itu direnungnya. Kemudian tangan kanannya memegang sepucuk pistol yang masih terselit kemas di pinggangnya. Dia menarik picu lalu ditujukan muncung pistol itu ke arah Dew yang sudah kaku terlentang tetapi masih bernyawa di atas tanah.
“Tuan Muda… terima kasih dan selamat tinggal.”

BANG!!!

1 comment:

Killer. said...

I want moreeeee! Heeee x)
*rindu novel ni sangat-sangat :D