Kawan2 yg saya Sayang

Monday, February 4, 2013

Aku Bukan Malaikat (Bab7)


Yang tersurat belum tentu sahih selagi yang tersirat belum disingkap... hati sangat baik malam ini mahu upload dua bab. selamat membaca dan mencari kebenaran di sebalik hubungan Ameer / Hakimi & Mariya ^__^


Bab7
“AMEER… Abang Ameer… Abang Ameer!!!” kedengaran jerit pekik sekumpulan peminat memanggil-manggil nama Ameer sebaik tamat rakaman pengambaran sebuah rancangan.

Beberapa orang pengawal siap sedia mengawal keadaan di perkarangan studio rakaman tersebut. Namun peminat-peminat Ameer tidak peduli dan cuba merempuh para pengawal tersebut. Ameer yang baru hendak beredar dari situ memandang dari jauh sambil melambai dan melontarkan senyuman kepada mereka.

“Abang Ameer, we love you! You’re the best!” peminat-peminat yang terdiri dari kalangan gadis remaja itu kelihatan begitu teruja apabila Ameer memberikan reaksi. Walaupun hanya sekadar senyuman dan lambaian sahaja.

Mereka bertambah teruja apabila langkah kaki Ameer diatur menuju ke arah mereka yang berada di kawasan tempat duduk penonton. Pengawal yang mengawal keadaan cuba melarang tindakan Ameer namun Ameer dengan tenang memberikan jaminan yang peminatnya tidak akan bertindak diluar kawalan. Akhirnya mereka dilepaskan menerpa mendapatkan Ameer.

“Abang Ameer ni best lah. Sporting betul. Tak macam artis lain, kan,” kata salah seorang daripada mereka memuji sikap Ameer yang sentiasa melayan peminat dengan baik.

“Betul tu. Abang Ameer tak sombong sebab itulah kami sayang kat Abang Ameer.” Semua mengangguk bersetuju dengan pendapat sahabat mereka.

Ameer hanya tersenyum mendengar pandangan tersebut. Peminatnya itu terdiri dari gadis remaja yang masih belasan tahun. Jadi dia tidak perlu terlalu serius memikirkan setiap ucapan mereka. Jiwa remaja selalunya memang akan obsess pada sesuatu yang diminatinya namun selagi bijak dikawal mereka tidak akan fanatik keterlaluan.

“Abang Ameer bukan artis lah.  Cuma suka jadi pak pacak kat sebelah artis-artis popular sahaja.” Ameer merendah diri dalam waktu yang sama sempat berjenaka.

Semua tertawa dengan jenaka Ameer.

“Terima kasih semua kerana sudi memenuhkan studio untuk rakaman kali ini.”

“Biasalah, Abang Ameer. Kitorang selalu datang. Abang Ameer tak perasan ke yang kitorang ni selalu terpacak dalam studio ni setiap kali rakaman Abang Ameer.”

“Korang memang peminat yang paling sporting. Thank’s guys.”

“Sebab Abang Ameer kesayangan kami ni pun sporting habis dengan peminat. Eh, jom kita ambil gambar.”
Ameer menurut sahaja kemahuan mereka memandangkan tugas rakamannya sudah tamat petang itu. Jadi biarlah masa yang terluang ini dihabiskan dengan melayan peminatnya. Ameer bersyukur, walaupun namanya tidak segah dan sehebat nama Aznil Hj Nawawi namun dia masih terus berdiri di persada kerjayanya sebagai pengacara. Untuk mencapai kejayaan seperti pengacara idolanya itu dia perlu bersabar dan giat berusaha. Impian untuk berdiri kukuh dalam bidang kerjayanya itu bukanlah mengambil masa yang singkat. Untuk mencapai impian tersebut dia perlu membayarnya dengan perit jerih dan segala macam kesusahan dahulu. Dia yakin dengan semangat yang kental dan keyakinan yang tinggi beserta doa kehadrat Ilahi kejayaan itu pasti akan berada dalam genggamannya suatu hari nanti.

“Ameer, ada orang cari kau.” Seorang staff di stesyen tv tersebut memanggil Ameer.

Ameer meminta diri untuk beredar dari kelompok peminatnya. Sejurus selepas itu dia bergegas keluar dari studio tersebut untuk menemui seseorang yang dikatakan mahu berjumpa dengannya.

“Siapa, Bob?” tanyanya kepada staff yang memanggilnya tadi.

Bob hanya menjungkitkan bahu tanda tidak mengenali orang tersebut.

“Lelaki ke perempuan?”

Sekali lagi Bob tidak menjawab. Lelaki gemuk itu hanya melemparkan senyuman nakal kepada Ameer.
“Cakaplah siapa? Aku tak nak jumpa kalau kau tak berterus terang.”

“Awek cun. Pakaian dia serba putih macam bidadari. Cantik sangat. Untunglah jadi popular macam kau. Ada ramai peminat,” kata Bob sebelum meninggalkan Ameer untuk kembali meneruskan kerjanya.

Ameer terpinga-pinga sambil meneruskan langkahnya menuju ke lif. Hatinya tertanya-tanya siapakah gadis yang ingin menemuinya kali ini. Tak kan peminat lagi. Kalau sampai menunggunya di pejabat bermakna dia bukan peminat biasa. “Pakaian serba putih? Takkanlah dia…”

***************

HAKIMI muncul di perkarangan Bangunan Galaxie TV untuk menemui Ameer petang itu. Dia berasa tidak sedap hati apabila Mariya sengaja tidak menjawab panggilannya sejak pagi tadi. Dia mengesyaki Mariya sedang merancang sesuatu dan cuba untuk mendapatkan Ameer semula setelah percubaannya semalam menemui kegagalan disebabkannya ada bersama Ameer waktu itu. Maka sejurus urusan kerjanya selesai dia segera menjejaki Ameer di situ.

Ketika berada di ruang lobi bangunan matanya berjaya menjejaki kelibat Mariya. Hakimi menukar rancangan awalnya untuk memastikan situasi Ameer apabila terlihat Mariya di situ. Dia tidak boleh terus membiarkan Mariya bertindak lebih jauh lantas segera menarik gadis itu keluar dari bangunan Galaxie TV.

“Hakimi, lepaslah!”

Hakimi tidak mempedulikan teriakan Mariya. Dia menarik Mariya menjauhi perkarangan lobi. Sehingga di parkir kereta barulah dia melepaskan Mariya.

“Awak buat apa di sini, Dhia?” Hakimi masih lagi memanggilnya ‘Dhia’ kerana telah terbiasa selama ini.
“Mariya… panggil saya Mariya! Tak faham-faham lagi ke?!” Mariya membentak. Dia sangat benci mendengar Hakimi memanggilnya dengan nama tersebut. Terasa pedih menusuk ke kalbu setiap kali mendengar nama itu dipanggil dengan lunak oleh lelaki itu.

“Baiklah, Mariya. Apa yang awak nak dari Ameer sebenarnya?”

“Itu urusan saya. Awak jangan masuk campur.”

“Saya takkan masuk campur urusan awak lagi kecuali ia melibatkan Ameer.” tegas Hakimi.

Pedih hati Mariya apabila mendengar kata-kata tersebut. Sungguh jelas yang hati Hakimi bukan lagi miliknya. Tapi kenapa mesti Ameer? Kenapa lelaki seperti Ameer begitu penting di hati Hakimi? Mariya sungguh terkilan apabila dirinya disingkirkan Hakimi.

“Siapa Ameer di hati awak sebenarnya, Hakimi? Kenapa dia lebih penting berbanding saya?” Anak mata Mariya sudah berkaca-kaca. Dia terus bertahan daripada menangis. Wahai hati, tolonglah bertahan agar tidak mengalirkan air mata demi lelaki tidak berguna ini.

“Awak tak faham Mariya tapi suatu hari nanti awak akan faham jua.”

“Kenapa awak buat saya begini? Setelah sekian lama saya hidup dalam kegelapan, awak muncul memberikan sinar. Awak beri saya harapan. Setelah saya benar-benar menyayangi awak tapi ini balasan yang saya dapat. Kenapa awak nak campak saya kembali ke dalam dunia tu? Daripada awak buat saya begini, lebih baik awak bunuh saya, Hakimi.” Sungguh dia terseksa dengan sikap Hakimi. Jika dahulu dia didera dari segi fizikal oleh ayahnya tapi kali ini dia didera secara mental. Sakitnya lebih parah berbanding penderaan fizikal.

“Jangan begini Mariya. Semua ini takdir. Saya tiada pilihan. Maafkan saya.” Tiada lagi perkataan lain yang mampu hakimi luahkan kecuali perkataan ‘maaf’ yang berulang-ulang.

“Tapi kenapa mesti Ameer? Kenapa penghinaan begini yang awak lemparkan kepada saya, Hakimi? jawablah!”

“Jawapan bagaimana yang boleh memuaskan hati awak sebenarnya, Mariya?”

Mariya tidak puas hati apabila Hakimi memulangkan soalan kepadanya tanpa menjawab soalannya.

“Awak masih nak berpura-pura, Hakimi. Baiklah… saya akan anggap Ameer sebagai musuh saya dan saya akan hancurkan hidup musuh saya sebagaimana awak hancurkan harapan saya. Awak akan menyesal suatu hari nanti, Hakimi.” Mariya mengatur langkah. Tanpa sebarang ucapan selamat tinggal dia bergegas meninggalkan Hakimi.

Hakimi tidak mampu menahan Mariya lagi. Dia membiarkan Mariya berlalu pergi. Batang tubuh gadis itu hanya dihantar dengan sorotan matanya. “Mariya, kau memang degil. Kau pasti akan menyesal kalau teruskan niat jahat kau.”

***********

SEBAIK masuk ke dalam bilik yang dikhaskan untuk pelawat di pejabat tersebut wajah Ameer tersenyum ceria. Seorang wanita anggun sedang menantinya dan sebaik dia muncul di bilik tersebut kedatangannya segera disambut wanita tersebut. Ameer sedikit teruja namun masih tertanya-tanya siapakah wanita tersebut.
Pada awalnya dia menyangka Mariya, gadis misteri yang ditemuinya kelmarin yang mahu menemuinya. Apa tidaknya, bila melihat senyuman nakal Bob tadi bagai mengundang curiga. Serta merta dia terus teringat pada rantai leher Mariya yang masih berada dalam simpanannya. Hanya Mariya yang boleh mencarinya untuk mendapatkan rantai tersebut sedangkan dia tidak tahu dimana Mariya berada.

“Ameer Asytar, awak kenal siapa saya?”

Ameer hanya tersenyum. Sejenak kemudian dia menggeleng perlahan. Mahu menggeleng terus takut akan mengecilkan hati si empunya diri. Sebenarnya memang dia tidak mengenali wanita rupawan di hadapannya itu. Dia menanti dengan sabar setiap bicara wanita tersebut. Dia yakin tentu wanita anggun itu muncul membawa hajat. Mustahil wanita tersebut hanya peminat semata-mata.

“Nama saya Datin Wan Zarina. Saya seorang penerbit filem.” Wanita anggun itu meperkenalkan dirinya.

“Maafkan saya, Datin. Saya pernah dengar nama Datin tapi tidak pernah mengenali Datin,” tutur Ameer dengan sopan. Dia tahu wanita muda bergelar Datin itu orang yang agak berpengaruh dalam industri filem.

“Tak mengapa. Saya faham.”

“Jadi apa hajat Datin datang mencari saya?” tanya Ameer sebaik melabuhkan punggung di sofa.
“Saya peminat awak,” Datin Wan Zarina menjawab selamba.

“Ha?” Ameer melongo. Biar betul mak datin secantik peragawati ini peminat aku…

Datin Wan Zarina tersenyum melihat gelagat Ameer yang melongo terkejut dengan pengakuannya.

“Saya meminati bakat yang awak ada. Jadi hari ini saya ada satu tawaran hebat untuk awak.”

“Ohhhh… begitu rupanya.” Ameer tersengih sendiri kerana menyangka yang bukan-bukan pada awalnya tadi. “Tawaran apa yang Datin maksudkan? Tawaran berlakon ke? Hmm… kalau tawaran berlakon, terus terang saya minta maaf sebab memang saya akan tolak tanpa fikir panjang. Saya tidak berniat untuk terjun ke dunia lakonan.”

Datin Wan Zarina tersenyum melihat Ameer yang berfikir setapak ke hadapan. Namun bukan tawaran itu yang mahu diberikannya kepada Ameer.

“Saya dah agak. Awak sangat komited dengan tugas awak. Awak hanya fokus pada impian awak. Maka itulah sebabnya saya pilih awak untuk mengendalikan satu program realiti terbaru yang akan saya terbitkan kelak.”

“Err… telinga saya masih berfungsi dengan baik kan. Betul ke Datin tawarkan saya jadi host untuk satu program realiti?”

Datin Wan Zarina mengangguk. Senyumannya terukir gembira melihat reaksi Ameer.

“Wow! Macam tak percaya.” Keterujaan Ameer hampir tak terkawal. Dia cuba berlagak biasa namun dalam diam Datin Wan Zarina dapat menangkap kegirangan Ameer kerana berita tersebut.

“Beginilah, Ameer. Semuanya masih lagi dalam proses perbincangan. Datang ke pejabat saya bila senang dan kita akan berbincang dengan lebih serius lagi. Saya yakin awak pasti akan lebih teruja bila mendengar program apa yang bakal awak kendalikan kali ini.”

“Terima kasih, Datin.”

“Saya kejar masa sebenarnya ni. Saya terpaksa minta diri sekarang. Lain kali kita jumpa lagi. Okey, Ameer. Good luck.”

Ameer sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada wanita tersebut. Dia menghantar Datin Wan Zarina sehingga ke ruang lobi. Petang itu segalanya berakhir dengan kegembiraan. Hal ini membuatkannya tambah bersemangat untuk melalui hari-hari mendatang. 

Bersambung.....


1 comment:

Sem Sem said...

rasanya mariya ni dah salah faham hubungan dorang berdua...hahaha...
hubungan hakimi dengan ameer mcm kembar ,adik dan abang