Kawan2 yg saya Sayang

Monday, April 1, 2013

Aku Bukan Malaikat (Bab15)


Bab15
“NUHA SAMEERA…” Mariya menutup pintu bilik dengan rapat sebelum melangkah menghampiri Nuha di atas katil. Dia duduk di birai katil sambil menghadap Nuha yang sedang membelek sebuah buku. “Cantik nama adik.”

Nuha yang melihat kemunculan Mariya hanya buat tidak endah. Dia lebih tertarik dengan novel di tangannya. Punggungnya diangkat menjauhi Mariya yang cuba duduk rapat dengannya. Sejak petang tadi dia memerap diri di dalam bilik. Ada sekali abangnya memanggilnya keluar tetapi Nuha dengan sikap degilnya tidak mahu mengendah. Nuha masih tidak dapat menerima kuwujudan Mariya. Dia tidak puas hati dengan tindakan abangnya yang mengambil Mariya bekerja sebagai orang gaji dirumahnya.

“Tapi kalau perangai tu tak sombong mesti lagi cantik.” Mariya menarik novel bertajuk 9 Nyawa karya Ramlee Awang Murshid dari tangan Nuha. Dia mahu Nuha memberi perhatian terhadapnya.

Nuha menjeling tajam kepada Mariya. Novelnya dirampas semula dari tangan Mariya.

“Kak Mariya nak minta maaf pasal petang tadi. Cara kita berkenalan agak kasar kan. Kalau Abang Ameer lambat pulang tentu lebih teruk keadaan kita.” Mariya tersenyum kecil apabila teringat semula pergaduhannya dengan Nuha tadi. Tidak sangka dia boleh bersungguh-sungguh mahu mengalahkan budak mentah seperti Nuha. Nuha pun boleh tahan juga garangnya. Mahu tidak tercabar Mariya dibuatnya.

Nuha mengerling Mariya. Renungannya bertaut dengan Mariya selama beberapa saat. Kemudian dia mengangguk. Tanpa bicara mulut dia menyampaikan kepada Mariya yang dia menerima maaf Mariya.

“Berapa umur Nuha? Sekolah tingkatan berapa?” Reaksi positif daripada Nuha membuatkan Mariya tertarik untuk meneruskan perbualan.

Nuha kembali tertumpu pada novelnya. Soalan Mariya langsung tidak diendahkan. Dia malas hendak menghiraukan Mariya. Mariya pula tetap memaniskan wajah dan bersabar melayan kerenah Nuha. Namun disebalik senyuman itu hatinya mengerutu. Geram dengan sikap sombong adik Ameer.

“Nuha belajar silat kat sekolah ya? Tengok gerak serangan Nuha tadi hebat betul. Jarang perempuan nak belajar seni bela diri ni. Baguslah Nuha tahu bersilat. Sekurang-kurangnya boleh mempertahankan diri bila diserang musuh.” Mariya terus cuba untuk menarik perhatian Nuha.

Nuha menjeling Mariya. Keningnya terangkat sebelah sambil melemparkan senyuman sinis. Tubuhnya dipusing membelakangi Mariya. Dia kembali memberi tumpuan pada buku yang dibaca.

Mariya mengetap bibir. Melihat sikap Nuha terhadapnya membuatkan Mariya rasa tercabar. Nuha seakan-akan memperkecilkan dirinya. Seolah-olah kewujudannya sangat menjengkelkan pada pandangan mata gadis itu.

“Kak Mariya dah masak. Jom kita turun makan malam.” Walaupun tahap kesabarannya semakin nipis Mariya masih cuba mengambil hati Nuha. Malangnya Nuha seolah-olah tidak mendengar. Gadis itu cuba menafikan kewujudan Mariya di sebelahnya. Ini menyebabkan Mariya berasa geram.

“Suka hati kaulah. Nanti lapar cari sendiri makanan di dapur. Itupun kalau aku baik hati nak tinggalkan makanan untuk kau.” Siapa yang tidak bengang jika dibiarkan bagai orang bodoh yang bercakap dengan dinding. Sepatah haram pun Nuha tidak mahu bercakap. Sakit hati Mariya dibuatnya.

Mariya bangkit dari katil lantas meninggalkan gadis itu. Ketika di pintu bilik sempat dia menoleh kembali kepada Nuha. Sangkanya ada reaksi positif daripada gadis tersebut. Malangnya fokus Nuha tetap terhadap novel yang dibacanya. Baca novel boleh kenyang agaknya. Grrr… Mariya mengangkat kedua belah tangannya ke hadapan seolah-olah mahu mencekik Nuha sebelum keluar dari bilik.

Ketika dia turun ke tingkat bawah dia nampak Ameer sudah duduk di meja makan. Ameer sedang berbual melalui panggilan telefon. Diam-diam Mariya mencuri dengar dari anak tangga.

“Ibu jangan risau. Nuha ada di rumah Ameer. Nanti cuti sekolah tamat Ameer akan pastikan dia pulang… sudahlah tu, ibu janganlah menangis lagi. Ameer janji akan jaga adik Ameer.” Ameer memujuk ibunya yang menangis sayu bagaikan anak kesayangannya benar-benar sudah hilang. Pening juga dia mahu meyakinkan ibu. Maklumlah selama ini Nuha memang tidak pernah berjauhan dari keluarga.

“Ibu, percayalah… Nuha selamat di sini. Biarlah dia dengan Ameer untuk sementara waktu ni. Minggu hadapan Ameer hantar adik pulang ya, bu. Ya… Ameer janji. Ameer pulang nanti. Kirim salam pada abah dan Rianda. Hmm… Hakimi masih ada di kampung ke?”

Mendengar perkataan ‘Hakimi’ yang terpacul dari mulut Ameer menyentap jantung Mariya secara mendadak. Baru dia tahu yang Hakimi bukan sekadar rapat dengan Ameer malah dengan keluarga Ameer juga.

“Oh, ye ke. Okeylah, bu. Nanti Ameer telefon ibu lagi ya. Assalamualaikum…” Ameer tersenyum memandang telefon yang sudah memutuskan perbualan dengan ibu. Separuh hatinya geram dengan Nuha yang keluar rumah tanpa meminta izin dengan ibu dan abah sehinggakan orang tuanya sangat risau dan menyangka yang bukan-bukan telah berlaku terhadap adiknya. Namun bila memikirkan satu lagi masalah yang membelenggu hidupnya dia rasa patut berterima kasih pada Nuha. Kehadiran Nuha secara tidak langsung boleh menghalang fitnah yang boleh berlaku disebabkan kewujudan Mariya di rumahnya. Selain itu boleh juga Nuha dijadikan spy tidak rasminya untuk memerhatikan gerak geri Mariya nanti.

“En. Ameer…” Mariya menghampiri Ameer di meja makan.

“Mariya, mana Nuha?” Mata Ameer tepat merenung susuk tubuh Mariya yang berbaju-T labuh dan bersarung kain batik. Rambutnya yang panjang mengurai itu hanya diikat separuh. Nampak berbeza penampilan Mariya malam ini. Sungguh sopan dan ayu di mata Ameer sehingga tidak berkelip mata Ameer merenungnya.

“Saya dah ajak dia makan tapi dia tak mahu turun.” Mariya terus melangkah ke meja kabinet dapur dan mengambil jag air sebelum kembali ke meja makan. Apabila terlihat Ameer sedang asyik merenungnya membuatkannya rasa semacam tidak selesa. “Saya minta maaf. Saya cuma bawa dua pasang baju. Semua dah kotor. Jadi saya pinjam baju En. Ameer. Hmm… kain batik ni saya jumpa dalam almari pakaian.” Kepalanya hanya menunduk dan tidak berani menentang pandangan mata Ameer terhadapnya.

“Tak apa. Tak jadi masalah pun.” Mata Ameer masih lagi tertancap pada figura di hadapannya. Garis senyuman terbentuk di bibirnya. Dia tahu kain batik itu tentu milik adik atau ibunya yang pernah tertinggal di rumahnya dahulu.

“Terima kasih.” Mariya tersenyum lega. Sebenarnya dia sendiri rasa janggal menyarung kain batik namun dia tiada pilihan lain. Terpaksa. “En. Ameer makanlah dahulu. Nanti saya pujuk Nuha.”

Ameer tidak berkata apa. Dia masak benar dengan sikap Nuha yang sukar hendak bergaul dengan orang luar. “Tak mengapa, Mariya. Biar saya yang pujuk dia sendiri nanti. Adik saya tu memang pelik sikit. Harap awak boleh bersabar dengan sikapnya.”

“Saya tak kisah, En. Ameer. Kalau dia tak nak turun, nanti biar saya hantarkan makanan untuknya.” …jangan harap aku nak layan budak tu macam tuan puteri. Hati Mariya berbisik sebaliknya dengan apa yang terluah di bibir.

Mariya mengangkat tudung saji. Hidangan sudah tersedia di atas meja. Dia menyenduk nasi ke dalam pinggan lalu meletakkannya di hadapan Ameer.

“Terima kasih.” Ameer tersenyum. Belum sempat dia berkata apa-apa Mariya sudah melayannya.
Tangan Ameer panjang mahu mencapai sambal udang di tengah meja. Belum sempat tangannya mencapai mangkuk lauk, tangan Mariya terlebih dahulu menyudukan lauk tersebut untuk Ameer.

“Cukup?”

Ameer hanya tergamam. Tanpa sedar dia mengangguk. Mariya tersenyum melihat reaksi Ameer.

“Nak sayur? Saya ambilkan.” Tanpa menunggu lama Mariya menyudu pula sayur Kailan Masak Sos Tiram yang dimasak dengan kaedah stim. Kebanyakan masakannya dipengaruhi gaya masakan cina. Namun begitu Mariya juga belajar masakan melayu kerana selera tekaknya yang kena dengan masakan melayu.

“Terima… kasih…” Ameer memandang pinggan nasi yang sudah lengkap dengan lauk. Pertama kali Ameer terasa dilayan bagaikan raja. Semua Mariya buatkan. Sendukkan nasi. Ambilkan lauk. Tuangkan air. Mujur tidak disuapkan makan sahaja.

“En. Ameer dah cuci tangan?”

Ameer tersenyum dan menggeleng. Lantas dia segera bangkit dan menuju ke sinki untuk mencuci tangan. Ketika mencuci tangan dia teringat sesuatu. Biasanya sebelum makan nasi dia akan menjamah buah-buahan terlebih dahulu. Sunnah rasulullah yang juga baik untuk kesihatan. Dia lihat Mariya tidak menyediakan pencuci mulut di atas meja lantas dia singgah ke peti sejuk untuk mengambil buah-buahan. Sebaik membuka pintu peti sejuk rupanya buah-buahan sudah sedia dipotong dan tersusun elok dalam sebuah pinggan. Cuma Mariya tidak keluarkan. Tentu sekali Mariya mahu mengeluarkannya sebaik dia selesai makan.

Ketika Ameer mengeluarkan buah tersebut matanya tertancap pada sesuatu di para bawah peti sejuk tersebut. Senyumannya meleret. “Mariya, awak masak rendang? Kenapa tak cakap dengan saya?”

“Hmm?” Mariya yang berdiri di meja makan menjenguk Ameer di balik pintu peti sejuk.

Ameer menutup pintu peti sejuk. Kedua belah tangannya menatang makanan menuju ke meja makan. Tangan kanan memegang pinggan buah dan tangan kiri pula menatang mangkuk yang berisi rendang daging.

“Awak tahu tak, ini adalah salah satu makanan favourite saya...” Mariya senyum penuh makna. Ameer tidak tahu yang Mariya sudah tahu fakta tersebut sebenarnya. “…dan rendang daging akan membuatkan saya rindakan ibu saya di kampung.” Ameer kembali mengambil tempat duduk dan mula menyudu rendang daging tersebut ke pinggan makannya.

“Err… tapi En. Ameer itu rendang semalam.” Mariya tidak sempat hendak melarang. Rendang tersebut sudah selamat masuk ke mulut Ameer.

“Hmm… sedap awak masak rendang ni. Hampir menyerupai rendang ibu saya.”

Mariya tersenyum. Gembira apabila masakannya dipuji. “Biar saya panaskan dulu rendang tu. Tak sedap makan sejuk-sejuk.”

“Tak payahlah. Makan macam ni pun dah sedap. Kalau awak panaskan nanti terlebih sedap, saya pula yang tak boleh bangun sebab kekenyangan.” Akibat teruja dengan rendang tersebut Ameer terlupa pada buah yang sepatutnya hendak dijamah dahulu tadi.

Mariya tersenyum panjang. Dia sangat gembira apabila masakannya kena dengan selera tekak Ameer. Secara tidak langsung dia telah berjaya menambat hati Ameer.

“Eh, duduklah. Ambil pinggan tu. Makan sekali dengan saya.” Melihat Mariya yang hanya berdiri melihatnya menikmati makan malam membuatkan Ameer serba salah.

“Tak mengapa, En. Ameer. Saya makan sekejap lagi,” dengan berkhemah Mariya menolak pelawaan Ameer.

“Apa salahnya makan sekali dengan saya. Tak seronoklah makan sendiri,” ajak Ameer.

“Baiklah…” Akhirnya Mariya mengambil pinggan nasi lalu menyenduk nasi sebelum mengambil tempat bertentangan dengan Ameer.

“Mariya, awak bukan melayu tapi macam mana awak pandai masak masakan melayu?”

Mariya tersenyum. Ada sesuatu yang belum diketahui Ameer tentang latar belakangnya. “En. Ameer, walaupun saya bukan melayu tulin tapi saya bukan tinggal di negara China atau Taiwan.”

“Okey, saya tahu negara kita ni rakyatnya berbilang kaum tapi dari mana awak belajar memasak masakan melayu?” Sudah beberapa suapan masuk ke dalam mulut Ameer. Begitu berselera dia manikmati makan malamnya hari ini.

“Dulu nenek saya pernah ajar. Selain itu, saya juga banyak belajar dari kawan-kawan. Saya ramai kawan melayu,” cerita Mariya sambil menyudu sambal udang. Matanya menjeling Ameer sebaik suapan pertama masuk ke dalam mulutnya. Boleh tahan pedas sambal yang dibuatnya tetapi melihat Ameer yang cukup berselera makan membuatkan hatinya berasa puas.

“Nenek awak orang melayu?” rendang daging disenduk lagi untuk kali kedua ke pinggannya.

Mariya mengangguk. “Nenek sebelah ayah.” Raut wajah Mariya sedikit berubah sebaik menjelaskan kedudukan yang sebenar. Air mukanya sedikit mendung namun cuba ditutup dengan senyumannya. Menyebut perkataan ‘ayah’ sememangnya membuatkan hatinya berasa terlalu sakit. Kerana ayah, ibunya mati. Kerana ayah hidupnya merana. Dan kerana ayahlah dia hidup dengan dendam.

“Maksudnya ayah awak melayu dan ibu awak cina?” teka Ameer.

Mariya tidak lebih sekadar mengangguk mengakui.

“Nenek awak masih ada?”

Senyuman Mariya tawar sambil menggelengkan kepala. “Dah meninggal dunia beberapa tahun yang lepas.”

Sorry… Hmm, Mariya…”

Mariya mengangkat wajah. Merenung tepat kepada Ameer. Mata mereka saling bertaut. Dari raut wajah Ameer jelas menggambarkan masih ada soalan yang berbuku di hatinya.

“Saya masih tertanya-tanya. Siapa sebenarnya awak? Kenapa awak muncul mencari saya secara tiba-tiba? Rasanya saya perlukan penjelasan yang kukuh dari mulut awak sendiri.”

Mariya berhenti dari menyuap makanan. Matanya jatuh memandang butiran nasi yang masih tinggal separuh di pinggannya. “En. Ameer… awak sukakan perempuan?”

“Ha? Apa maksud soalan awak ni?” Ameer keliru bila tiba-tiba ditanya dengan soalan begitu. Adakah Mariya menghampirinya kerana menyukainya dalam diam?

“Hmm… maksud saya…” Mariya buntu. Terasa berat mulutnya hendak bertanya secara jelas kerana ia membabitkan penerimaannya terhadap jawapan Ameer kelak. Dia tidak tahu bagaimana hendak menghadapi situasi jika Ameer mengatakan yang dia lebih menyukai kaum sejenisnya berbanding wanita. Pasti ia suatu tamparan yang hebat buat dirinya.

“Mariya…?”

Lidah Mariya kelu. Suaranya bagai tersekat di rengkung.

“Awak tanya begitu sebab awak sukakan saya ke?” Ameer sekadar meneka dan soalannya itu membuatkan Mariya terkesima lantas menggeleng bertalu-talu.

“Ameer, saya di sini kerana mahukan rantai saya kembali. Saya akan pergi jauh dari hidup awak sebaik awak kembalikan rantai saya.” Mariya menidakkan sangkaan Ameer itu.

“Betul?” Anak mata Ameer menikam tepat ke dasar mata Mariya. Seolah-olah cuba mencari kejujuran disebalik kata-kata gadis tersebut. “Awak rasa saya akan lepaskan awak? Bagaimana kalau tiba-tiba saya tak nak pulangkan rantai awak?”

“Awak jangan main-main dengan saya.”

Ameer tertawa melihat riak gusar Mariya. Nampaknya Mariya risau dengan kata-katanya tadi.

“Saya bergurau saja.” Ameer sudah selesai melayan kehendak perutnya. Dia bangkit dari kerusi, menuju ke sinki untuk mencuci tangan. “Terima kasih masakkan untuk saya. Masakan awak sangat sedap, Mariya. Saya hampir terpikat.”

Mariya terkesima. Matanya merenung susuk tubuh Ameer yang membelakanginya.

“Beruntung sesiapa yang dapat memperisterikan awak. Cantik dah jadi syarat nombor sepuluh bila calon isteri pandai memasak tau.” Ekor mata Ameer sempat mencuri pandang reaksi Mariya.

“Maksud awak?” Mariya mengulum senyuman mendengar kata-kata berunsur pujian Ameer itu.
Ameer kembali kepada Mariya semula setelah selesai mencuci tangan.

“Lelaki idamkan isteri yang pandai memikat tekaknya. Yang pandai menguruskan rumah tangga. Yang sentiasa menjadi bidadari dalam hidupnya.”

Mariya tertunduk. Senyuman yang cuba disimpan akhirnya terpamer di wajah. Dia berasa kata-kata Ameer sedang ditujukan kepadanya. Namun alangkah bahagianya jika kata-kata itu keluar dari mulut Hakimi saat ini. Dimana Hakimi? Kenapa mesti Ameer yang mengucapkan kata-kata pujian tersebut. Entah kenapa hatinya tiba-tiba dipaut rasa sayu. Hakimi telah menyebabkan Mariya merindu dalam dendam yang mendalam.

“Saya dah periksa tugas-tugas yang saya beri pada awak. Awak dah lakukan dengan sempurna. Mungkin awak tak perlu bekerja sampai sebulan dengan saya kot.”

“Betul ke?” Mariya menjeling Ameer seolah-olah tidak mempercayai lelaki itu.

“Ya… kalau bernasib baik mungkin awak akan bekerja seumur hidup dengan saya,” ujar Ameer perlahan.

“Ha? Apa awak cakap?” Mariya hampir melatah dengan kata-kata Ameer yang begitu mendalam ertinya itu.

Ameer senyum penuh makna sambil merenung Mariya. Panahan matanya kali ini berbeza dari sebelumnya. Tenungannya menyejukkan. Sinaran matanya mendamaikan jiwa. Lama mata mereka berdua bertaut sehinggakan jantung Mariya terasa bagai hendak luruh. Degupannya begitu kencang sekali. Dia tidak pernah tewas dengan panahan mata lelaki yang bersifat menggoda. Namun aura yang dilepaskan Ameer begitu berbeza sekali. Bukan sekadar renungan memikat sebaliknya renungan yang bagai cuba menawan hatinya dengan halus sekali.

“Saya naik ke atas dahulu. Nak pujuk Nuha makan nasi.” Ameer mengalihkan pandangannya dari terus menikmati wajah kacukan Mariya. Dia mula mengatur langkah mahu meninggalkan Mariya. Dia tahu sikapnya terlalu menonjol sehingga membuatkan Mariya rasa tidak selesa. Dia lekas-lekas beredar.
 Mariya memandang kelibat Ameer yang meluru mendaki tangga. Sebaik kelibat Ameer lesap Mariya melepaskan nafas leganya. Tangan kirinya memaut dada yang terasa bagai hendak luruh tadi. “Kenapa dengan aku? Aku tak pernah rasa perasaan sebegini melainkan bersama Hakimi… Mariya, Ameer ialah musuh kau. Orang yang mahu kau hapuskan. Dia yang memusnahkan hubungan kau bersama Hakimi. Tujuan utama kau di sini adalah untuk menghapuskan lelaki itu. Tolong ingat perkara ini sampai mati!” Mariya membisikkan kata-kata itu pada dirinya sendiri. Dia harus menyedarkan dirinya sebelum sesuatu yang tak terduga berlaku. Dia tidak akan menjerumuskan dirinya sekali lagi ke lembah cinta.


Bersambung...


No comments: