Kawan2 yg saya Sayang

Monday, July 22, 2013

AITDS the sequel :- THE WITCH THAT I LOVE (bab6)

Bab6
“MEOW~~~”
Ketika sedang berjalan menuju ke apartment kediaman Shin, telinga Camie disapa oleh suara seekor kucing. Dia tercari-cari dari mana datangnya suara kucing tersebut. Tidak kelihatan.
“Meow~~” suara itu semakin hampir namun kelibat makhluknya gagal dikesan.
Camie hanya menyedari kedudukan sebenar kucing tersebut apabila dia mendongakkan kepalanya. Kelihatan seekor kucing berbulu hitam sedang bertenggek di sebuah dahan pokok. Camie mengagak kucing tersebut bertuan kerana memakai kalung loceng pada lehernya. Kucing hitam itu terus mengeow setelah melihat Camie sudah berjaya mengesannya. Nampaknya kucing malang tersebut tersangkut di atas dahan tersebut dan tidak tahu bagaimana hendak turun. Camie perlu lakukan sesuatu untuk menyelamatkan kucing tersebut.
Dia cuba memanjat dahan pokok kayu tersebut. Mujur dia berseluar dan tidak berskirt hari ini. Jadi mudahlah baginya untuk memanjat pokok tersebut. Camie berjaya menghampiri kucing tersebut. Dengan berhati-hati dia merangkul kucing hitam berbulu lebat itu.
“Kau dah selamat.”
Kedengaran kucing itu bersuara seolah-olah kelemasan dalam rangkulan Camie yang ketat.
“Jangan risau. Aku bawa kau turun sekarang.” Camie bercakap sambil mengamati wajah comel kucing tersebut.
Ekor matanya menjeling ke bawah pokok. Gulp! Tiba-tiba dia gementar. Ketika memanjat pokok tadi dia langsung tidak menoleh ke bawah dan kali ini baru dia sedar yang dia sudah memanjat terlalu tinggi. Ini bukan masalah gayat tetapi dia tidak tahu bagaimana hendak turun dari pokok tersebut.
“Meow~” kucing hitam berwajah comel itu merenung Camie seolah-olah bertanya sesuatu. Mungkin tentang bagaimana mereka hendak turun dari situ atau boleh jadi juga kucing tersebut berasa menyesal kerana mengharapkan pertolongan Camie tadi.
“Crow!” tiba-tiba satu suara asing memecah suasana. Seorang lelaki berambut perang dengan pandangan mata yang dingin melalui kaca matanya sedang merenung ke arah Camie. Dia hanya ber-T hitam dan jeans lusuh. Tangan kanannya diseluk ke dalam poket seluar. Sementara tangan kirinya sedang menjinjing beg plastik dari pasaraya berhampiran. “Dew…” Camie terkesima merenung pemuda tersebut.
“Meow~~ Meow~~” kucing hitam dalam pelukan Camie tiba-tiba meronta mahu melepaskan diri sebaik melihat pemuda tersebut. Sahlah itu tuannya. Camie masih memeluk dengan ketat demi keselamatan kucing tersebut tetapi binatang tersebut mula menggunakan kukunya yang tajam untuk melepaskan diri dari pelukan Camie.
“Crow, turun!” arah pemuda itu kepada kucingnya.
Crow berjaya melepaskan diri dari Camie. Langkahnya tangkas melompat dari dahan ke dahan sebelum menapak ke tanah untuk mendapatkan tuannya.
Camie terpinga-pinga melihat kelicikan kucing tersebut bergerak. Dia hanya mampu melihat Crow sedang menggesel-geselkan kepalanya pada betis Jay. Dia kelihatan manja apabila Jay mengelus-elus kepalanya. Sempat binatang comel itu menjeling ke arahnya yang masih kaku di atas dahan pokok. Camie terasa yang maruahnya sedang diperkotak-katikkan oleh seekor kucing! Dia menyangkakan yang kucing itu tersangkut di atas dahan pokok dan perlukan bantuannya untuk turun tadi. Malangnya kucing tersebut sebenarnya seekor binatang yang lincah dan licik!... dan kucing hitam yang dipanggil Crow itu tiba-tiba mengingatkan Camie pada kucing Dew yang bernama Bunny suatu masa dahulu. Licik, lincah, manja, nakal… dan ada nama yang unik. Ironinya dahulu Dew menamakan kucingnya sebagai Bunny kerana berbulu putih dan kini Jay menamakan binatang peliharaannya dengan nama Crow kerana berbulu hitam. Adakah kemungkinan mereka akan menamakan Kitty pada binatang peliharaan jika mereka bukan membela seekor kucing?
Jay berdiri dan membiarkan Crow berjalan sendiri. Dia mengatur langkah namun sempat kepalanya mendongak semula ke arah Camie yang masih tersangkut di atas dahan pokok. Bibirnya melemparkan senyuman senget kepada Camie. Seolah-olah mengejeknya. Camie merenungnya dengan kerutan di dahi. Lebih menyakitkan hati apabila lelaki itu sedang melangkah pergi dari situ tanpa niat mahu menyelamatkannya dari tempat tinggi itu.
“Dew!” jeritnya sebelum pemuda itu melangkah lebih jauh. “Saya tak boleh turun.”
Lelaki itu kembali menapak. Seketika kemudian dia kembali menoleh ke arah Camie. “Kau bukan panggil aku kan tadi?” tanyanya dengan raut wajah yang musykil terhadap Camie.
“Err…” Camie sedar yang dia telah memanggil pemuda itu dengan nama yang salah. Dia masih mengharapkan lelaki itu ialah Dew dan dia masih percaya pada nalurinya yang mengatakan Jay ialah Dew. “Awak… tolong saya turun dari pokok ni.”
That’s not my problem.” Dia kembali mengatur langkah tanpa ada rasa simpati terhadap Camie.
“Tapi kucing awak tu yang menyebabkan saya terperangkap di atas pokok ni.”
“Itu bukan alasan untuk aku perlu selamatkan kau.”
Damn it! Seriously… dia ni langsung tak ada sifat peri kemanusiaan. “The Devil!
What?” anak matanya bulat mencerling ke arah Camie.
“99% tekaan aku takkan silap. Kau memang Dew The Devil sebab kau tak pernah gagal menunjukkan sifat antagonis kau terhadap aku,” tempelak Camie.
Hello, stalker…” roman wajahnya menahan marah sambil pandangannya tepat memandang ke arah gadis di atas pokok itu. Gadis yang sering dilihat sering mengintipnya sejak beberapa hari ini. Dia berkira-kira mahu membalas kata-kata Camie tapi teragak-agak. “Actually you’re not my taste. So, tak payah nak buang masa untuk curi perhatian aku. Aku tak berminat.” Dia tidak bercadang mahu membantu Camie turun dari pokok tersebut.
“Hah!?” Ayat Dew buat Camie melongo bagai nak terjatuh rahang mendengarkannya. “Baiklah… apakata kalau aku terjun saja dari atas pokok ni. Kemudian jika kaki aku patah pun kau takkan menyesal juga kan.” Kalau diikutkan hatinya memang dia geram dengan sikap Jay tetapi ini mungkin perkembangan yang positif dan dia perlu terus memprovok agar lelaki itu mendedahkan identitinya yang sebenar.
“Terpulang… sekurang-kurangnya kau ada inisiatif sendiri untuk turun dari pokok tu.” Dia buat muka selamba tanpa perasaan terhadap Camie.
Seriously? Kau betul-betul tak nak tolong aku turun dari pokok ni?”
“Ada banyak cara untuk kau turun dari pokok ni selain dari minta pertolongan aku. Kau boleh menjerit sekuat hati untuk minta pertolongan orang awam. Atau kau boleh call 911. Atau berdoa pada Tuhan agar turunkan malaikat untuk selamatkan kau. Atau mungkin lebih baik kau lompat sahaja ke bawah. Itu jalan paling mudah dan cepat. Jangan risau. Kau takkan mati. Paling teruk pun mungkin tulang kaki kau akan patah sahaja.” Dia ketawa nakal sambil kembali mengatur langkah kakinya.

“Dew… Hey… Okey, Jay… Please… Arghh!!!” Sikap tiada perasaan Jay membuatkan Camie sangat geram. Bertambah berang gadis itu apabila suara tawa nakal Jay terus terngiang-ngiang di cuping telinganya sebelum kelibat pemuda itu menghilang.

Bersambung...