Kawan2 yg saya Sayang

Sunday, April 20, 2014

Vampire Oh Vampire (Bab1)

(Nota kepala : ini novel pendek yang kurang nilainya. Seronok2 untuk release tension mengadap assignment yang tak pernah surut. Yang tunggu updated The Witch That I Love, saya minta maaf sebab cite tu saya kuarantin atas sebab2 tertentu. Yang menunggu Mencari Cinta Dang Wangi pula, saya minta maaf juga, saya sedang mengumpul bahan untuk siapkan enovel tu... untuk sementara waktu, sudi2 baca novel pendek tentang kisah Sofie yang bertemu dengan seorang lelaki misteri yang dipercayainya sebagai VAMPIRE...enjoy!)



Bab 1
Vampire… kononnya adalah manusia yang telah mati dibangkitkan semula. Mereka adalah raksasa pemakan darah manusia yang mempunyai abiliti luar biasa yang menakutkan. Secara umumnya mereka kuat, laju dan mempunyai hayat abadi dan tidak akan mati selagi tidak dibunuh.
Kisah vampire cuma dongeng dan mempunyai banyak versi yang berbeza. Cuma dongeng. Itulah yang  aku percaya. Kisahku bermula di sini…
Jam digital berbentuk kiub berwarna hijau epal di sisi meja belajarku sudah menunjukkan kurang lima minit tepat jam 12.00 tengah malam tetapi mataku masih segar. Ini adalah gara-gara Nescafe yang ku teguk selepas makan malam tadi. Kononnya mahu berjaga malam kerana mahu menyiapkan cerpen tugasan yang diberikan oleh pensyarah siang tadi tapi akhirnya aku tewas dengan godaan Vampire Knight. Dvd yang dipinjamkan oleh El, sahabatku siang tadi itu akhirnya lebih menarik minatku berbanding cerpen bertemakan budaya yang dipaksa buat oleh Pn. Rose.
Secara faktanya Elmira yang lebih senang aku panggil sebagai El itu sangat fanatik dengan perkataan ‘vampire’. Sebut sahaja semua kisah tentang vampire, dari timur sampai ke barat dia boleh senaraikan. Vampire Knight, Vampire Acedemy, Twilight Saga, The Vampire Diaries, Vampire Stories Brothers, True Blood dan macam-macam lagi sampai aku sendiri tak reti nak sebut. Motif El sangat jelas iaitu kerana hero-hero yang membintangi cerita-cerita tersebut sangat mencairkan jiwa raga gadisnya. Biasalah… naluri kewanitaan, hehehe…
Sebaik menonton episod pertama Vampire Knight, sebuah anime dari Jepun aku hanya tersenyum sinis sambil terbayangkan El. Secara teorinya pengkarya memang mencipta watak vampire sebagai hero yang mesti mencairkan jiwa wanita. Aku fikir jika Kuran Kaname(watak vampire dalam Vampire Knight) itu benar-benar wujud, El adalah orang pertama yang akan menyerah diri kepadanya untuk dihisap darahnya.
Angin malam yang lembut menyapa ke pipiku. Memang sengaja aku biarkan jendela bilikku terbuka tadi. Malam ini cuaca terasa hangat. Barangkali petanda akan hujan esok. Biarlah… andai hujan mahu bertamu esok aku sangat mengalu-alukannya kerana aku rindukan hujan yang sudah lama tidak membasahi bumi yang kering sejak beberapa minggu ini… chewah! Nampak disitu bunga-bunga sastera seorang penulis.
Tontonanku tiba-tiba diganggu oleh bunyi yang jatuh di belakangku. Terkejut sampai terangkat bahuku dibuatnya. Secara automatik kukilas kepala ke belakang, ke arah jendela yang terletak berhampiran katil. Belum sempat aku bertindak mulutku tiba-tiba dicengkam oleh satu tangan yang sejuk bagaikan ais. Tersirap darahku dengan perbuatan makhluk misteri itu. Jantungku berdegup kencang bagai hendak melompat sampai ke tekak. Makhluk misteri yang belum dikenal pasti itu merapatkan kepalanya ke telingaku sambil mencengkam mulutku dengan kuat. Aku percaya dia seorang lelaki melalui saiz rangka tangannya yang besar.
“Senyap. Buruk padahnya kalau kau cuba meronta.” Lelaki itu berbisik di telingaku. Wajahnya yang terlalu hampir menyebabkan bulu tengkukku meremang keseraman. Badanku sudah menggigil ketakutan dan tidak berani hendak menoleh wajah lelaki itu. Air mata yang bergenang hampir melimpah. Aku hanya mampu berdoa dalam hati agar aku dilindungi Tuhan daripada sebarang ancaman kejahatan.
Perlahan-lahan tangan sejuk yang mencengkam mulutku itu terlerai. Pemuda itu memusingkan kerusi belajarku yang beroda itu menghadapnya. Mata kami saling bertentang. Aku merenung sepasang mata coklat pemuda itu dengan perasaan takut yang masih belum surut. Aku fikir dia tahu perasaanku ketika ini kerana tanganku sedang menggigil kuat. Renungan lelaki itu nampak dingin membeku dan penuh amarah. Aku tidak berani hendak mengambil sebarang risiko untuk melarikan diri waktu ini. Aku tak mahu mati dengan sia-sia setelah melihat sesuatu dalam jaket hitamnya yang aku percaya merupakan senjatanya.
Wajah lelaki itu putih pucat bagai orang yang hilang darah. Rambutnya hitam dan panjang separas bahu. Sebahagian rambutnya berjuntaian di hadapan wajah. Persis Kuran Kaname yang sedang aku tonton. Dahinya cedera dan darah pekat yang hampir kering berpalitan di sekitar wajahnya. Pangkal lengan kirinya terkoyak menampakkan kecederaan lengannya akibat kelaran benda tajam. Mungkin pisau atau parang. Aku ada perasaan tidak enak tentang lelaki misteri ini. Dia pasti seorang yang merbahaya.
“Siapa kau?” terpacul soalan tersebut dari mulutku.
Tanpa sebarang jawapan lelaki berpakaian serba hitam itu bergerak menuju ke sebelah katil dan duduk di lantai yang berpermaidani. Antara berani dan takut aku cuba mendekati lelaki misteri itu.
Lelaki yang berpakaian serba hitam itu duduk bersandar pada dinding sambil tangan kanannya mencengkam pangkal lengan kirinya yang tercedera. Aku nampak darah yang terpalit pada tangan kanan yang sedang cuba menahan kesakitan akibat luka tersebut. Dia mengangkat kepalanya dan menoleh kepadaku. Mulutnya cuba hendak mengatakan sesuatu tapi nampak berat. Dia nampak dalam kesusahan.
Aku berasa simpati melihat kecederaan yang dialaminya. Dia perlukan rawatan. Dalam waktu begini aku tidak boleh memikirkan samada dia orang baik atau jahat. Aku perlu menolongnya. Sukar bagiku untuk tidak membantu orang yang sedang kesusahan walaupun orang tersebut merupakan seorang musuh.
Lelaki itu nampak sangat letih dan sudah terlena bersandar di dinding ketika aku kembali dari mengambil peti kecemasan. Aku cuba membukakan jaket yang dipakainya untuk merawat luka di pangkal bahu kirinya. Sebatang seruling jatuh dari poket bahagian dalam jaket lelaki itu. Ia agak menarik. Maksud aku bukan bentuk seruling tersebut tetapi lelaki misteri dengan sebatang seruling. Ini menambahkan lagi persoalanku kerana aku menyangka yang seruling itu sebuah senjata pada mulanya tadi.
Luka pada pangkal lengan lelaki itu terlebih dahulu aku cuci dengan antiseptic sebelum disapu ubat dan dibalut. Kemudian perlahan-lahan aku cuba menyelak rambut yang menutupi wajah pemuda tersebut untuk merawat luka di dahinya pula. Secara tidak langsung aku menyentuh kulit dahinya dan mendapati suhunya yang sangat panas. Kepanasannya menyebabkan aku terkejut. Tangannya sejuk bagaikan ais tetapi dahinya panas membara. Dia demam tapi demam jenis apa sampai begitu dasyat perubahan suhunya? Jangan-jangan…
Aku menoleh ke meja belajarku. Tersenyum… “Vampire?”
Aku menggeleng kepala. Secara rasionalnya itu tak mungkin, Sofie…
Aku terus merawat luka lelaki misteri itu sehingga selesai. Selepas selesai merawatnya aku mengambil tempat di hadapan lelaki itu. Aku sandarkan tubuhku pada kaki katil sambil mengawasinya yang sudah hanyut ke dunia lain. Tidur nyenyak nampaknya lelaki ini. Aku selimutkan tubuhnya dengan selimutku. Kesihan pula aku lihat keadaannya yang menggigil kesejukan.


Dalam kepalaku masih lagi terfikir-fikir. Apa sebenarnya yang telah dilalui oleh lelaki ini. Mengapa dia muncul dalam keadaan yang tak terjangka begini? Aku belum mendapat jawapannya. Aku perlu tunggu sehingga pagi esok untuk bertanya kepadanya…

Bab 2
Bab 3
Bab 4
Bab 5
Bab 6

No comments: