Kawan2 yg saya Sayang

Tuesday, March 19, 2013

Aku Bukan Malaikat (Bab14)


Bab14
MARIYA meneguk air sejuk yang baru dikeluarkan dari peti sejuk. Habis segelas air diminum akibat terlalu dahaga. Dia berehat sebentar setelah menyelesaikan tugasnya. Sangkanya dengan ketiadaan Ameer bolehlah dia bersenang-senang di rumah tersebut malangnya telefon bimbit tidak henti berdering memberikan amaran dan arahan kepadanya. Ameer memang teruk kerana memperlakukannya benar-benar seperti hamba abdi.

“Kalau bukan kerana Hakimi, aku memang takkan bersabar dengan kau, Ameer.”

Tadi dia baru sahaja selesai menggosok semua pakaian Ameer. Sebahagian pakaian yang digosok telah digantung di almari dan sebahagian lagi dilipat dan disusun di dalam laci. Bukannya sedikit. Boleh dikatakan stok sebulan pakaian Ameer yang perlu digosok. Dari kemeja, baju-T, kain pelikat sehingga seluar Mariya gosok. Tidak cukup dengan itu stoking dan sapu tangan pun Mariya diarahkan oleh Ameer untuk digosok. Mujur pakaian dalam tidak termasuk dalam senarai.

Selepas ini dia perlu membersihkan stor. Dia baru sahaja mendapat panggilan keramat sebaik selesai menggosok pakaian tadi. Ameer mahu dia membersihkan stor di belakang rumah hari ini. Katanya lagi kemungkinan sekali dia akan pulang ke rumah hari ini jadi dia akan memeriksa tugas-tugas Mariya. Ini membuatkan Mariya tiada lagi pilihan. Sikap Ameer adakalanya membuatkannya mahu memberontak tetapi dia tidak boleh bertindak mengikut perasaan. Belum masanya untuk menunjukkan dirinya yang sebenar pada Ameer. Rela atau tidak dia perlu bersikap menurut kehendak Ameer.

Mariya sempat menjenguk keadaan stor di belakang rumah tadi. Keadaannya agak semak dan berhabuk. Sebelum memulakan tugas dia perlu bersedia menangani keadaan tersebut. Rambutnya yang panjangnya melepasi paras pinggang siap disanggul kemas di atas kepala. Separuh wajahnya ditutup dengan kain bandana bagi menghalang habuk. Tangan dilindungi dengan sarung tangan dan penyapu sebagai senjata utama untuk menyelesaikan tugas kali ini.

**************

NUHA SAMEERA sudah sampai di hadapan perkarangan kediaman abangnya. Dia lihat pintu pagar hanya berselak dan tidak bermangga lantas tanpa was-was dia masuk ke dalam kawasan rumah teres dua tingkat itu. Dia menjenguk-jenguk keadaan sekeliling. Black Cherry Cowboy atau ringkasnya BCC, kereta kesayangan abangnya tiada di halaman rumah. Kereta buatan Malaysia itu mendapat namanya kerana ciri-ciri yang ada pada dirinya yang berwarna hitam dan pesonanya yang sesuai dengan jiwa kelalakian. BCC ialah huruf pangkal yang terdapat di plat kereta tersebut.

Nuha menelek jam tangannya. Jam sudah melewati waktu zohor tetapi belum masuk waktu asar. Tentulah Ameer tiada kerana ini bukan masa Ameer berada di rumah. Tetapi pintu pagar yang tidak bermangga membuatkan Nuha tertanya-tanya. “Abang terlupa kunci pintu pagar ke?”

Gadis itu menuju ke almari kasut yang terletak berhampiran dengan pintu. Dia mencari kunci rumah yang tersimpan di dalam salah satu kasut Ameer. Dia tersenyum tatkala kunci berjaya ditemui. Sememangnya dia tahu dimana Ameer biasa menyimpan  kunci rumahnya selama ini.

Ketika Nuha hendak membuka kunci pintu tiba-tiba ekor matanya mengesan seseorang yang sedang mengintipnya. Dia menoleh ke sebelah rumah. Seorang makcik sedang mengangkat kain jemuran sambil terjenguk-jenguk memerhatikannya. Nuha tidak kenal jiran Amer itu tetapi dia dapat merasakan wanita itu jenis jiran tetangga yang suka menjaga tepi kain orang. Cara pandangannya yang seolah-olah mencurigai Nuha membuatkan gadis itu rasa geram. Namun dia tidak mahu menegur wanita tersebut. Cukup sekadar melontarkan sebuah jelingan yang tajam untuk memberikan amaran kepada wanita tersebut agar tidak menyibuk.

Wanita itu nampaknya agak cuak apabila direnung tajam oleh Nuha lantas segera angkat kaki masuk ke dalam rumahnya. Nuha tersenyum sinis sebelum melangkahkan kakinya masuk ke dalam rumah Ameer.

Sebaik Nuha masuk ke dalam rumah dia terus meluru ke ruang tamu. Beg pakaian dan sandangnya diletakkan elok-elok di sebelah sofa. Tekak terasa dahaga lantas dia menuju ke dapur untuk mencari air untuk diminum. Dia tidak langsung terasa kekok di rumah tersebut memandangkan itu adalah rumah abangnya sendiri. Lagipun sudah beberapa kali dia berkunjung ke sini.

Ketika sedang enak Nuha menikmati minuman sejuk yang membasahi tekaknya tiba-tiba dia dikejutkan dengan seseorang yang muncul dari pintu belakang.

“Siapa kau?” Mariya yang baru keluar dari bilik stor di belakang rumah terkejut melihat ada seorang gadis sedang selamba meneguk air di dapur.

Nuha hampir tersedak apabila disapa seorang wanita asing di rumah abangnya. Serta merta gelas di tangannya diletak di atas meja. Dia menoleh ke arah gadis yang tidak nampak wajahnya kerana sebahagian wajahnya ditutup dengan kain bandana. Gadis bersarung tangan itu sedang memegang kayu pemukul bola lisut. Nuha cuak dan menyangka gadis itu ialah penceroboh yang mahu merompak. Lantas dengan sepantas kilat Nuha mencapai pisau yang terletak berdekatan dengan sinki lalu menghunusnya ke arah Mariya. Akibat tindakan drastik itu menyebabkan Mariya juga menyuakan kayu bola lisut yang dikutipnya dari stor tadi ke arah Nuha.

“Siapa kau ni? Apa kau buat dalam rumah aku?”

“Rumah kau?” Nuha mengerutkan dahi. Mustahil dia tersalah masuk rumah orang sedangkan tadi dia masuk menggunakan kunci abangnya. Penipu! Perempuan yang mencurigakan ini tentu ada niat jahat. Dia mesti perompak!

Nuha membaling pisau itu tepat ke arah Mariya. Mariya yang sedang memegang kayu bola lisut itu dengan reaksi pantas menepis pisau yang menghala ke arahnya.

“Kau gila! Nak bunuh aku ke…” Buk! Satu tendangan kencang menghentam bahagian kiri Mariya sehingga gadis itu tersungkur di sebelah peti sejuk. Dia benar-benar tidak menduga serangan yang dilakukan oleh gadis kecil molek itu.

“Arghh…” Mariya mengaduh. Matanya sempat mencerling Nuha. Nuha sedang bercekak pinggang sambil memandang Mariya dengan riak sombongnya. Ini membuatkan Mariya rasa tercabar.

Nuha menyeluk telefon selularnya dan menghubungi seseorang. Dia mahu mendapatkan bantuan untuk memberkas penceroboh rumah abangnya. Mariya tersenyum sinis. Peluang terbuka untuknya membalas serangan. Dia bangkit lantas menyerang Nuha dengan menghadiahkan satu sepakan pada bahagian keting. Nuha terduduk melutut. Telefon di tangan terlepas sebaik talian bersambung.

Mariya belum puas. Sebelum sempat Nuha bangkit dia pantas menarik tangan kanan gadis itu lantas mengilasnya ke belakang tubuh. “Arghh…!” Nuha mengaduh dan cuba untuk melepaskan diri.

“Kau jangan main-main dengan aku, budak. Siapa kau ni? Kau masuk rumah ni macam rumah ni kau punya. Lepas tu kau serang aku tanpa sebab. Siapa kau ni?!” bentak Mariya.

Nuha tidak mempedulikan jeritan Mariya di telinganya. Dia berlagak tuli sambil terus berusaha untuk melepaskan diri dari pegangan kejap Mariya.

“Perompak!!! Tolonggg!!!” Jerit Nuha apabila sudah tiada lagi jalan untuk melepaskan diri dari Mariya. Kebetulan panggilan telefon tadi telah bersambung. Dengan cara ini dia cuba mendapatkan pertolongan daripada Ameer.

“Woi, kau ni gila ke. Kau atau aku yang perompak? Kau tu yang menceroboh rumah orang.” Mariya menarik Nuha bangun dari lantai. Kakinya sempat menyepak telefon selular Nuha jauh ke sudut dinding.

Nuha melemparkan jelingan mautnya. Oleh kerana bengang dengan sikap Mariya, dia memijak kaki gadis itu. Pegangan Mariya sedikit longgar akibat tindakan Nuha. Nuha mengambil kesempatan itu dengan menyiku perut Mariya. Ikatan tangan serta merta longgar. Nuha memaut pergelangan tangan Mariya dan menterbalikkan posisinya dengan Mariya. Kini tangan Mariya pula yang dikunci dalam tangan Nuha.

Namun Mariya bukan bodoh. Dia berjaya melepaskan diri dengan menggunakan teknik yang pernah dipelajarinya. Apa gunanya dia belajar seni bela diri jika tidak mampu mengatasi masalah sekecil itu. Dari gerak serangan Nuha, dia dapat mengagak yang gadis kecil molek itu juga mempelajari seni mempertahankan diri. Dia tidak boleh memperkecilkan kebolehan musuhnya.

Masing-masing kini berada pada satu jarak bertentangan. Dalam keadaan bersedia mereka mula memasang kekuda. Jika benar hendak bertumbuk, biarlah dengan cara yang adil. Bukan main serang belakang ketika musuh tidak bersedia.

Nuha merenung tajam Mariya yang sudah membuka tutup mukanya. Satu tafsiran bermain di benaknya kini. Wanita itu ada muslihat. Dia bukan berniat baik di rumah Ameer. Nuha mesti menghalang niat jahat wanita tersebut.

Sama seperti Nuha, Mariya juga sedang merenung tajam kepada Nuha. Satu perkara yang bermain di fikirannya sebaik melihat dengan jelas wajah Nuha. Dahinya berkerut. Kepalanya cuba mengerah secebis memori tentang gadis asing itu. Dia seperti pernah melihat wajah dingin gadis di hadapannya itu namun ia masih samar-samar. Entah dimana dia pernah melihatnya tetapi bagai baru sebentar tadi dia melihat kelibat wajah gadis yang menyerangnya secara mendadak itu.

“Hiarghhh!!!” Nuha memulakan serangannya dengan satu tumbukan padu ke bahagian perut. Mariya mengelak dengan sekali langkah. Nuha cuba lagi dengan menendang Mariya dari belakang. Kali ini serangannya berhasil dan Mariya tersungkur di sebelah sofa. Mariya bangun dan memulakan serangan balas. Serangan antara mereka berdua semakin rancak. Serangan dan tepisan saling bertingkah. Rumah Ameer sudah hampir menjadi tongkang pecah akibat tindakan mereka berdua. Tidak padan dengan tittle  sebagai gadis ayu tetapi hampir ranap kediaman lelaki itu dikerjakan oleh mereka berdua.

“Berhenti!!!” Satu suara asing akhirnya menghentikan pertelingkahan mereka berdua. Mariya dan Nuha menoleh ke arah pintu rumah. Susuk tegap berwajah tampan itu sedang ternganga melihat keadaan rumahnya yang lima puluh peratus musnah angkara dua orang gadis. Ameer tepuk dahi berulang kali. “Apa korang berdua dah buat dengan rumah aku?”

“Ameer…”

“Abang…”

Serentak Mariya dan Nuha memanggil pemuda tersebut. Dan seperti berjanji mereka berbalas pandangan selepas itu. Di wajah masing-masing tertera satu kemusykilan kerana tidak menyangka musuh yang diserang masing-masing mengenali Ameer.

“Siapa kau sebenarnya?” soal Mariya kepada Nuha.

“Mariya, ini adik perempuan saya… Nuha.” Ameer memperkenalkan adiknya sekaligus menutup salah faham Mariya.

“Adik rupanya.” Mariya mengangguk tanda mengerti. Patutlah dia seperti baru terlihat wajah Nuha. Rupanya tadi ketika dia menggosok pakaian Ameer dia ternampak foto keluarga di meja kerja Ameer.

“Nuha, ini Kak Mariya. Dia bukan perompak tetapi orang gaji abang untuk sementara waktu di rumah ni.”

Nuha tidak memberikan reaksi positif dengan penjelasan Ameer. Baginya Mariya masih lagi orang asing yang tidak disukainya. Mengapa abang harus mengambil orang gaji yang muda dan cantik seperti perempuan ini? Abang Ameer sengaja nak cari masalah nampaknya.

“Salam…” Ameer mengarahkan adiknya berjabat tangan dengan Mariya.

Nuha menggeleng. Mariya mula jengkel dengan sikap Nuha yang degil.

“Nuha… salam Kak Mariya.” Ameer bersuara tegas.

“Tst…” Nuha mendecit. Tanpa rela dia menghulurkan tangan kanannya untuk berjabat dengan Mariya. Mariya mencebik dalam diam di belakang Ameer.

“Hai, Nuha.” Secara spontan Mariya memaniskan wajahnya di hadapan Ameer lantas menyambut jabatan tangan Nuha. “Maafkan kakak sebab berkasar tadi ya. Kakak tak tahu Nuha ni adik En. Ameer.”

Nuha lekas-lekas menepis tangan Mariya. Wajahnya yang serius melontarkan jelingan tajam sebelum berdiri di belakang Ameer. Mariya seakan menerima tamparan yang hebat dengan tingkah yang ditunjukkan adik perempuan Ameer itu. Giginya berlaga-laga menahan geram. Namun wajahnya tetap dimaniskan di pandangan Ameer. “Siap kau bila Ameer tiada nanti.” Mariya sudah memasang niat terhadap Nuha.

“En. Ameer, maafkan saya. Saya akan kemaskan semula rumah En. Ameer.”

Nuha mencebik. Meluat dia melihat gelagat Mariya yang begitu lembut bercakap dengan abangnya. “En. Ameer dah makan? Saya sediakan minum petang untuk En. Ameer, ya”

“Tak mengapa, Mariya. Awak tolong kemaskan dahulu rumah ni.”

Nuha mengetap bibir. Geram juga melihat sikap abangnya yang begitu baik melayan orang gaji. Abang ni bela orang gaji atau perempuan simpanan? Nuha merungut dalam hati.

“Nanti bawa Nuha masuk ke bilik awak ya.”

“Baik, En. Ameer.” Senyuman tetap manis di wajah namun di hati sedang mengamuk. Kenapa mesti berkongsi bilik dengan budak hingusan yang berlagak ni?

Nuha mencuit abangnya.

“Ya, Nuha?”

Nuha menggeleng sungguh-sungguh. Nampaknya bukan Mariya seorang, Nuha juga tidak sukakan cadangan Ameer.

“Kenapa pula Nuha tak nak? Itu sahaja bilik kosong yang ada. Tak ada pilihan lain lagi.”

Nuha menarik muka. Muncungnya memanjang. Dia mencerling abangnya sebelum menghentak kaki meninggalkan abangnya untuk duduk di sofa. Merajuk.

Ameer menggeleng kepala melihat sikap adiknya. Namun tatkala terlihat senyuman Mariya serta merta hatinya jadi senang. Harap-harap Mariya boleh menangani kerenah Nuha yang semacam peliknya itu. 


Bersambung....


No comments: