Kawan2 yg saya Sayang

Thursday, June 10, 2010

Angel In The Devil Suit 1 ::Bab15::

Bab 15
DEW melangkah dan terus melangkah menyusuri kaki lima sekitar bangunan kedai. Sesekali kepala yang hendak menoleh ke belakang untuk melihat Si Hodoh cuba ditahannya. Semakin dia menjauhi gadis tersebut semakin perasaannya tidak tenteram. Runsing apabila memikirkan sesuatu yang mungkin Camie hadapi ketika bersendirian dalam waktu yang sudah malam.
Si pengecut tu berani ke balik seorang diri? Macam mana kalau dia diganggu oleh samseng jalanan atau tiba-tiba dia terserempak dengan orang jahat. Lepas tu kena ragut… kena rompak… atau lebih teruk lagi dia akan kena rogol… si lembik tu mana tahu nak mempertahankan diri. Silap hari bulan aku pula yang akan dipaksa untuk bertanggungjawab ke atas dirinya kelak.
Eh, chop… rasanya aku terlalu risau ni. Tak kan ada apa-apa yang berlaku ke atas si Hodohlah. Bukankah hari masih awal. Lagipun pekan ni bukannya sunyi sangat. Kalau dia diganggu oleh orang jahat sekalipun, dia boleh menjerit kuat-kuat. Penjahat mana yang bodoh sangat nak cari pasal di tempat yang ramai orang macam ni.
Dew cuba menenangkan perasaan sendiri dengan andaian-andaian yang melintas di fikirannya. Dia tidak mahu masalah Camie mengganggu ruang fikirannya tapi entah kenapa dia sentiasa diusik rasa risau terhadap gadis yang selalu dijadikan hambanya itu. Padahal setiap kali dia bersama Camie, gadis itu sentiasa dikejaminya dengan pelbagai cara.
Sesampainya di hadapan pintu utama menuju ke kelas malamnya, Dew berhenti melangkah. Pintu mati itu direnungnya lama. Tombol yang hendak dipulas kembali dilepaskan. Hatinya diburu rasa risau terus-terusan. Sejak mengenali Si Hodoh, dia tahu betapa lemahnya gadis itu menghadapi musuh. Rasa bersalah menjerut jiwa apabila dengan sengaja dia meninggalkan gadis itu sendirian dalam malam yang penuh dengan bahaya yang tidak terduga itu. Tanpa berfikir panjang Dew memusing tubuh dan kambali berlari pergi mendapatkan Camie.
“Argh~~!! Tak guna kau Si Hodoh! Betul-betul buat orang risau!” Walaupun hatinya menjerit marah kepada Camie namun sebenarnya dia tidak mahu apa-apa yang buruk berlaku ke atas Camie. Walaupun Camie bukan siapa-siapa dalam hatinya namun gadis itu tetap sudah di anggap menjadi sebahagian daripada kehidupan hariannya. Dimana tempat Camie di hatinya… itu masih belum pasti. Cuma yang paling jelas dia rasa bertanggungjawab di atas keselamatan Camie.

*****************

CAMIE tersenyum ceria apabila kelibat makcik Paula dikesannya di dalam Fiona Cruzz, mini Cooper kesayangan makciknya itu. Tanpa berlengah lagi Camie masuk ke dalam perut kereta.
Di dalam kereta, Paula menyambutnya dengan renungan tajam menikam. Jelas yang perawan lanjut usia itu sedang marah. Camie tidak berani membalas pandangan mata Paula. Terasa sangat bersalah terhadap makciknya nan seorang itu.
Kalau aku tak pergi intip Dew tentu makcik Paula tak risau dan mencari aku sampai ke sini malam ini. Tapi mujur juga makcik Paula mencari aku, untung-untung aku tak perlu menunggu teksi atau menaiki bas. Mujur juga waktu aku menghubungi dia tadi dia berada di sekitar pekan ini. Oh, Camie… kali ini memang kau yang bersalah. Kau perlu menerima apa saja leteran, bebelan… malah hukuman yang bakal makcik Paula kenakan ke atas kau selepas ini akibat tindakan bodoh kau hari ini.
“Kau ni betul-betul menyusahkan aku. Mujur papa dan mama kau tak hubungi makcik hari ni. Kalau tak, apa makcik nak jawab pada mereka. Kau kemana dengan pakaian sekolah macam ni? Berjalan sampai tak ingat nak balik. Kau bersama siapa tadi?”
“Err… sebenarnya…” Camie tak berani hendak berterus terang. Entah jawapannya itu akan diterima oleh makciknya atau tidak. Silap percaturan Paula tambah mengamuk pula apabila mengetahui yang dia bersama dengan temannya yang merupakan seorang lelaki. Lagi kes parah kalau Makcik Paula tahu aku lari keluar kolej hari ini kerana hendak pergi mengintip Dew. Lebih baik diam dan tadah telinga saja mendengar leteran mak nenek ni…
“Kau dengan budak lelaki mana hah? Bla…bla…bla… kau ponteng kelas ya…bla… bla… jangan sampai aku report hal kau pada mama dan papa, Camie… bla…bla dan bla lagi…”
Sambil memandu, mulut Paula turut sama bergerak mengikut rentak deruman enjin kereta. Bosan sungguh Camie mendengarkannya. Lantas sesekali dia menoleh keluar tingkap. Melihat apa saja yang ada di luar.
Tiba-tiba dia ternampak kelibat seorang pemuda yang sedang berlari menuju ke hentian bas, tempat dia menunggu makciknya tadi. Mata Camie terbeliak. Mulut ternganga. Wajahnya dilekapkan ke cermin tingkap. Samada percaya atau tidak dengan apa yang sedang dilihatnya sekarang. Lelaki itu melilau-lilau melihat sekeliling kawasan berhampiran. Mencari kelibat seseorang yang ditinggalkannya tadi.
Setelah kelibat Dew hilang dari pandangan Camie kembali duduk bersandar di kepala kerusi. Melihat situasi yang baru dilihatnya itu tanpa sedar senyumannya bergayut di bibir. Tidak sangka Dew berpatah balik untuk mendapatkannya semula.
Akhirnya dia dapat melihat, disebalik sifat Dew yang umpama The Devil masih tersembunyi sifat kemanusiaannya. Dew umpama si baik yang menyarungkan diri sebagai si jahat di mata semua orang. Camie masih mahu percaya yang Dew adalah jelmaan semula Jeremy yang sudah mati.
“Kalau aku masih di hentian bas agaknya apa situasi yang bakal berlaku, ya…?” bibir terus mengukir senyuman biarpun bebelan Paula masih terus menerjah gegendang telinganya.

No comments: