Kawan2 yg saya Sayang

Monday, May 28, 2012

AITDS_SE : Mr. Pooh, Cik Pari-pari & Kek Cawan


::Sebelum korang baca,biarlah Cik Kaseh cerita sikit pasal cerpen special edition ni ye...sebenarnya dulu memang cik kaseh pernah buat AITDS2...tapi atas sebab2 tertentu cik kaseh terpaksa tarik balik penerbitannya dari blog ini. So, cerpen di bawah ni sebenarnya sebahagian kecil dari AITDS2... TAPI cik kaseh dah adjust kasi sesuai dgn situasi AITDS versi buku. hope, u all enjoy baca cerpen ni. cik kaseh tak mampu nak perah otak untuk meleret dan memanjangkan AITDS ke season dua maka saya keluarkan cerpen je...insyaallah kalau idea berkembang akan ada lagi kemunculan Dew dan Camie dalam cerpen2 akan datang. SELAMAT MEMBACA ^__^ ::



‘9 SEPTEMBER… dua hari lagi hari lahir Milly. Sengaja aku tanyakan padanya apa yang dia mahukan pada hari lahirnya kali ini kerana ini kali pertama aku mahu menyambutnya selama kami menjadi pasangan kekasih.
Apabila Milly cuma mahukan sebiji kek cawan aku telah mentertawakannya sehingga menyebabkannya merajuk pagi tadi. Rasa bersalah pula…
Semasa di kelas Bahasa Inggeris dia telah melayangkan satu nota kepadaku…
::Saya tak mahukan apa-apa pada hari lahir saya. Saya cuma harap tuhan dengar doa saya dan sembuhkan awak dari segala penyakit.::
Aku rasa terharu tapi dalam masa yang sama rasa bersalah terhadapnya.
Kelas berikutnya iaitu Sains. Ketika di lab, Milly layangkan sekeping lagi nota kepadaku…
::Jeremy adalah kekuatan Camily untuk memburu impian. Jiwa Camily akan mati tanpa orang yang bernama Jeremy.::
Aku rasa ia agak keterlaluan… tidak, mungkin perasaan bersalah ini yang lebih menekan jiwaku. Aku sayangkan dia tapi jika ditakdirkan hubungan kami tidak panjang aku berharap akan ada seorang lelaki yang lebih baik muncul dalam hidupnya kelak.
Mungkinkah orang yang bernama JEREMY juga?’

“Jeremy, kalau kau masih hidup mungkin kaulah ‘Jeremy’ untuk Camily… tapi sekarang, akulah yang akan mengejar Si Hodoh tu.” Dew tersengih memandang tulisan tangan Jeremy dalam diarinya.
Diari Jeremy ditutup dan disimpan di tempat yang tersorok di bawah katilnya. Dew Jeremy Orbido bersiap-siap untuk ke kolej.
************
“APA jenis perangai buat orang macam ni? Herghh~~” gigi-gigi Camie berlaga-laga kegeraman. Tangannya disuakan ke muka Dew seolah-olah mahu mencekik lelaki itu.
Dew tersengih melihat gelagat Camie yang marahkannya. Dia mengambil tempat di kerusi batu di taman bonzai milik Pengetua Pendekar Penyu.
“Kau ni kenapa macam bagus sangat, huh… apasal buat kolej ni macam kolej mak bapak kau saja. Dah waktu rehat baru nak masuk kelas. Kau ni betul-betul melampaulah Dew… bla bla..blaaa…” Camie membebeli Dew. “Sekarang ni, apa masalah kau cari aku sampai nak tarik-tarik orang ke taman. Waktu rehat dah nak habis ni. Cepatlah cakap…bla bla blaaaa~~~” Orang perempuan kalau sudah mula membebel memang penat orang lelaki menadah telinga.
Dew membawa tapak tangannya ke mulut Camie. Ditekupnya mulut Camie yang asyik membebel sejak tadi. Meronta-ronta gadis itu minta dilepaskan dari cengkaman kejap Dew.
“Kau senyap sekejap boleh tak. Bagi aku ruang nak bercakap pula!”
“Hmp…hhm…ump…” Hampir lemas Camie dalam cengkaman Dew.
“Kalau kau janji tak membebel baru aku lepaskan kau.”
Camie mengangguk bagai burung belatuk. Anak matanya merenung Dew mohon simpati dari The Devil. Akhirnya Dew melepaskan Camie.
“Kejam!” dengus Camie perlahan sambil mengusap-ngusap mulutnya yang ditekup kuat oleh Dew tadi.
Sorry… sakit ke?” Dew rasa bersalah. Spontan dia mengusap wajah Camie.
“Sakitlah… sini sakit,” menuding ke pipinya. “Sini pun sakit,” menyentuh mulutnya pula. “Yang kat sini pun agak sakit jugak,” akhir sekali dia menuding ke dadanya.
Dew menarik jemarinya ke belakang telinga. Garu kepala.
“Siapa nak tolong ubatkan sakit yang di sini ni?” Camie memegang kawasan hati sambil merenung tepat ke muka Dew.
Dew bersiul-siul buat tidak faham dengan maksud Camie. Dia menyembunyikan perasaannya yang sememangnya rasa bersalah kerana sekali lagi buat hal dan memungkiri janji terhadap Camie apabila lewat masuk ke kelas.
“Si Hodoh… aku cuma lewat masuk kelas. Tak kan itupun kau nak marah.”
Baka!” Camie tarik muncung sedepa. Bengang dengan Dew. Sudahlah tidak memujuk, memanggilnya dengan panggilan sebegitu pula.
“Si Hodoh Yang Comel… semakin marah semakin comel. Janganlah kecil hati dengan aku.”
Camie menjeling Dew. Tawanya hampir termuntah melihat kelopak mata Dew yang terkedip-kedip cuba mendapatkan perhatiannya. Senyuman yang lebar selebar lebarnya sehingga menampakkan barisan giginya yang putih. The Devil yang bajet nak comel tapi tak jadi. Camie menekup mulut menahan tawa melihat riak wajah Dew waktu ini.
“Nak gelak, gelak sajalah. Aku tahulah aku ni com…” comel ke? Erk~ “Maco. Aku tahulah aku ni maco sampai buat kau terpikat.” Dew mendabik bangga.
“Wekkk…” Camie pura-pura muntah mendengarkan kata-kata Dew yang sedang memuji diri sendiri. “Perasan. Shin Vierra, budak kelas Kejuruteraan tu sepuluh kali lagi kacak berbanding kaulah.”
Dew tarik muka geram. Camie sengaja mahu membakarnya dengan nama putera sanjungan gadis-gadis di Riveria High School Collage itu. Selain Dew yang terkenal dengan gelaran The Devil dan The Taiko, Shin Vierra merupakan antara pelajar yang menjadi perhatian di kolej tersebut kerana kekacakan serta kebijaksanaannya. Shin juga seorang yang aktif dalam sukan. Itu adalah tiket paling berharga untuk meraih populariti baik dari pelajar-pelajar perempuan mahupun para guru.
Berbeza dengan Dew yang sering digeruni dan ditakuti, Shin sangat disanjung dan disukai oleh semua orang. Dew dan Shin jarang bersua memandangkan mereka dari kelas yang berbeza namun mereka sering bersaing dari segi akedemik. Prestasi mereka berdua agak setara dan sering bersaing dalam ranking lima pelajar terbaik setiap tahun.
“Sekurang-kurangnya semua orang takut pada aku.” Dew mencebik di belakang Camie. Meluat mendengar pujian Camie terhadap pesaingnya.
Camie tersenyum memerhatikan gelagat Dew yang sedang tarik muka. Cemburu. Seronok juga sekali sekala tengok The Devil merajuk.
“Tadi kata nak cakap sesuatu. Lekaslah, Dew.”
Dew tersedar dengan tujuan utama dia menarik Camie ke taman bonsai itu tadi.
“Camie… hurm~~” macam mana nak tanya ni… Dew mengelus-ngelus keningnya.
“Apa?” Camie menanti dengan sabar.
“Apa yang paling kau harapkan sempena hari lahir kau tak lama lagi?” Dew mengerling Camie sekilas sebelum menguis-nguis dan membelek kuku tangannya.
“Ha?” Camie melopong mendengar soalan Dew. Dia hampir tidak percaya dengan soalan yang keluar dari mulut The Devil. “Kau tanya aku soalan ni?”
Dew mengangguk sekali.
“Maksud kau… aku nak hadiah apa?”
Dew mengangguk lagi. “Lebih kurang macam tu la.”
“Dengan erti kata lain kau nak tunaikan apa-apa yang aku hajati?” Riak wajah Camie bersinar ceria.
Dew diam merenung kosong gadis di hadapannya itu. “Ya…” perlahan-lahan dia menganggukkan kepalanya. Terasa janggal untuk dia melakukan sesuatu yang bukan kebiasaannya selama ini. Camie adalah gadis pertama yang bakal menerima sesuatu yang istimewa daripada The Devil.
“Kalau macam tu aku nak…”
“Kau jangan minta kek cawan dengan aku.”
“Hah?... macam mana kau tahu?”
‘Serius!!! Perempuan ni memang cuma nak kek cawan daripada aku. Sama dengan apa yang dia minta pada Jeremy dahulu.’
“Bukankah selalunya perempuan mahukan sesuatu yang istimewa sebagai hadiah hari lahirnya.” Dew menongkat dagu dengan belakang tapak tangannya sambil merenung Camie.
“Nanti kalau aku minta yang bukan-bukan, takut menyusahkan kau saja.”
“Katakan saja. Aku akan cuba tunaikan untuk kau.”
Camie diam. Hanya merenung Dew tanpa berganjak. “Dew… kau buat aku terharu sampai nak menangis.” Kelopak mata Camie yang mudah menangis itu mula ditakungi air jernih.
“Camie, kau belum dapat pun hadiah yang kau hajatkan. Yang kau nak menangis ni kenapa. Baik simpan saja air mata tu jika aku tak dapat tunaikan permintaan kau nanti.”
Air mata Camie terasa membeku sebaik mendengar kata-kata Dew yang langsung tidak menyenangkan telinga yang mendengar. “Aku akan pastikan kau dapat tunaikan perkara yang aku hajati.”
Dew tersengih melirik kepada si gadis bersanggul dua di kiri dan kanan itu. “Cepatlah buat keputusan nak apa.”
Hujung jari telunjuk Camie bergerak-gerak memanggil Dew rapat kepadanya. Ada sesuatu yang hendak dibisikkan ke telinga lelaki itu. Dew akur dan menghampiri kepala Camie. Camie tersengih-sengih nakal. Ada agenda yang menarik sedang bermain di benaknya kini. Dia mula membisikkan hajatnya itu ke telinga Dew dan sebentar kemudian…
What?!!! Kau ni dah hilang akal ke nak aku tunaikan hajat macam tu?” Serta merta Dew menjarakkan duduk dari Camie. Air mukanya nampak tidak rela setelah mendengar hajat Camie yang baru dibisikkan ke telinganya sebentar tadi. “Aku tak sanggup, Camie. Tolonglah… aku tak mahu buat benda tu.”
“Tapi aku nak. Bolehlah Dew. Tadi kau juga yang janji nak tunaikan apa saja hajat aku.” Wajah Camie dipenuhi dengan segunung harapan terhadap Dew.
“Aku kata tak nak, tak naklah. Aku sanggup belikan sedozen kek cawan yang paling mewah untuk kau… tapi jangan paksa aku buat perkara yang kau suruh tu. Aku tak nak. Full stop!” Muktamad dari Dew.
Serta merta muncung Camie memanjang. Dew sungguh-sungguh tidak mahu menunaikan satu-satunya permintaannya sedangkan dia berharap akan mempunyai kenangan manis pada hari lahirnya. Camie perlu lakukan sesuatu supaya Dew setuju dengan permintaannya. Dia mesti mencari idea paling bernas untuk memaksa Dew menunaikan permintaannya.
Tiba-tiba dia ternampak kelibat Shin bersama dengan tiga orang sahabatnya di ruang koridor bangunan tidak jauh dari taman bonsai tempatnya duduk bersama Dew kini. Camie tersenyum penuh makna. Dia kembali pada Dew semula.
“Dew, kalau aku tukar hajat aku, betulkah kau janji akan tunaikannya?”
Dew mengangguk.
“Apa-apa pun boleh?”
“Apa saja kecuali perkara mengarut seperti yang kau minta tadi.”
“Kalau begitu aku nak keluar bertemu janji dengan Shin pada hari lahir aku nanti. Boleh?”
“Hah!!!” mendadak Dew terperanjat. Spontan dia berdiri. “Kau jangan nak cari pasal dengan aku, Si Hodoh. Kau tahu tak Shin tu siapa.”
“Tahu. Prince charming dalam kolej kita.” Anak mata Camie melilau menjejaki semula kelibat Shin. Pemuda itu masih berada di bahu koridor, nampaknya seperti sedang berbual sesuatu dengan teman-temannya. Shin yang berketurunan bangsawan itu sememangnya kacak. Melihat senyumannya sahaja membuatkan ramai gadis cair. Camie terpukau dek senyuman Shin yang sentiasa melekat dibibirnya.
“Selain dari itu?” Soal Dew keras. Tangannya menarik wajah Camie yang sentiasa memandang ke arah Shin.
“Hurm… dia pesaing terdekat kau.” Camie sangat sedar dengan perkara tersebut. Oleh sebab itulah dia menjadikan jejaka pujaan ramai itu sebagai umpan.
“Kalau dah tahu kenapa nak minta benda macam tu daripada aku,” marah Dew. Dia berdiri betul dan menghadap ke arah Shin di koridor tingkat kedua bangunan yang berhampiran dengan taman bonsai itu. “Kalau kau keluar bertemujanji dengan Shin, aku akan pastikan kau tak hidup aman di kolej ini… aku akan buli kau lebih teruk dari apa yang kau pernah rasa sewaktu menjadi hamba aku dulu,” ugut Dew. Dia bercekak pinggang sambil mencerling Shin.
Kebetulan Shin tertoleh dan terpandang jelingan membunuh The Devil. Kecut juga dia memandang renungan tajam Dew namun tatkala terpandang tingkah gadis dibelakang Dew, Shin tertawa. Dia tertarik melihat gaya Camie yang sedang berpura-pura mahu mencekik dan menumbuk pelajar paling ditakuti di kolej mereka itu.
“Kau ketawa apa, putera tak guna! Kau fikir aku sukakan kau. Jangan nak mimpi. Hubungan kita tidak lebih sekadar pesaing,” Guman Dew. Dia tidak tahu apa sebenarnya yang telah menarik minat Shin ketika itu.
‘Eeiii… rasa nak cekik-cekik dan belasah saja The Devil ni. Macam dia tu bagus sangat.’ Gigi Camie berlaga-laga sambil kedua belah tangannya disuakan ke arah Dew yang sedang membelakanginya. Kelibat Shin menyapanya kembali di sebalik tubuh Dew. Camie tersengeh apabila perasan yang Shin sedang tersenyum melihat gelagatnya itu. Pantas Camie menurunkan tangannya yang mahu mencekik Dew tadi. Tangan kanannya menunjukkan tanda ‘peace’ kepada Shin sambil jari telunjuk kirinya diletak di hadapan mulut, memberitahu kepada Shin agar merahsiakan perbuatannya terhadap Dew.
Dew berasa curiga apabila Shin terus senyum dan mengangguk kepala sebelum berpusing meninggalkan kawasan koridor. Dia menoleh semula kepada Camie. Gadis itu sedang duduk di kerusi batu dan bagai tidak melakukan apa-apa yang mendatangkan curiganya.
Dew kembali menoleh mencari kelibat Shin namun pemuda itu sudah lenyap dari pandangan. Walaupun dia tahu Camie tidak pernah berbual dengan Shin tapi disebabkan Shin adalah saingannya selama ini dia mula rasa tergugat. Biarlah dia bersaing dengan Shin dari segi pelajaran dan populariti namun bukan bersaing untuk merebut cinta.
“Arghh… okey! Aku akan tunaikan permintaan kau. Aku sanggup buat perkara tu asalkan kau tak pandang Shin macam budak perempuan lain pandang dia.” The devil akhirnya tewas dengan helah Si Hodoh. Dew beredar serta merta selepas itu.
Camie tersenyum lebar apabila kemenangan kali ini berpihak padanya. Tidak sabar rasanya mahu menantikan hari tersebut. Paling tidak sabar untuk dia melihat Dew menunaikan janjinya. “Yes!”


"cuba imagine sekejap mamat ganas taiko kolej pakai suit ni"


‘Camily seorang gadis yang biasa untuk dilihat sebagai seorang yang luar biasa.’
Dew senyum tawar membaca ayat yang terkandung dalam diary Jeremy. Buku berkulit keras itu ditutup lalu disimpan ke dalam begnya semula. Di hadapan cermin besar di bilik persalinan itu Dew memandang pantulan imejnya. Wajahnya nampak sugul dan tidak bersemangat melihat dirinya sendiri dalam keadaan yang berbeza dari biasa.
“Kenapa aku perlu lalui semua ini, Jeremy?” Dew mengeluh sendirian.
“Sebab kau sedang bersama dengan Camily Miyazaki Martinez.” Tiba-tiba imej dalam cermin besar itu berkata-kata.
Dew sedikit terkejut. “Perempuan gila tu… kenapa nak suruh aku buat perkara yang mengarut?”
“Setakat kena pakai kostum Pooh untuk keluar bertemu janji. Teruk sangat ke tu?” imej di dalam cermin itu berkata selamba seolah-olah permintaan Camie itu tidak begitu membebankan.
“Tak teruk kau kata… nak aku pakai kostum mengarut berwarna kuning ni bersiar-siar di tempat awam kau kata tak teruk?!” Dew hampir menengking imej di dihadapannya. “Jatuh imej aku sebagai The Devil selama ini tau.” Dew bertinggung sambil meramas-ramas kasar kepalanya dengan kedua-dua belah tangan. Nampaknya dia sungguh tertekan.
“Hahahaha~~~” imej Dew versi The Angel di dalam cermin tersebut tertawa gelihati melihat siatuasi Dew yang tidak rela menuruti permintaan Camie yang mahukannya memakai kostum Pooh untuk keluar menyambut hari lahirnya malam ini.
“Janganlah gelakkan aku.” Dew kembali menghadap cermin. “Adakah ini antara sebab mengapa Jeremy sukakannya?” Soalan itu keluar dari mulut Dew. Entah ditujukan kepada imejnya sendiri di dalam cermin itu atau sebenarnya mahu ditanyakan kepada mendiang kembarnya, Jeremy.
“Camie bukan pelik. Dia seorang teman yang jarang membuat sebarang permintaan. Jadi bila sesekali diberi peluang untuk membuat permintaan tentulah dia tidak lepaskan peluang untuk dapatkan sesuatu yang bermakna.” Dew versi The Angel mengutarakan pendapat yang positif.
“Pakai kostum bodoh ni apa yang bermakna buat dia?” Dew menyangkal pendapat tersebut.
“Memori indah.”
“Memori indah?” Dahi Dew berkerut.
Imej di dalam cermin mengangguk dan tersenyum. Dew garu kepala. Kakinya dipusingkan dan langkahnya diatur menuju ke sofa berbentuk tangan di sudut bilik tersebut. Kepala Pooh yang diletakkan di sofa berwarna hijau itu diambil sebelum dia melabuhkan punggungnya.




“TOK!” Camie menyergah Lelaki Tuan Kedai yang sedang kusyuk menggubah kek cawannya di dapur di rumahnya yang terletak di bahagian belakang Dream Banana@BukuMan, kedainya.
“Camie… mujur tak cacat hasil seni Tok ni tau.” Lelaki Tuan Kedai menggeleng-geleng namun senyumannya yang menyambut kehadiran Camie membuatkan gadis tersebut gembira.
“Tok buat apa?” Camie menarik kerusi dan duduk dihadapan Lelaki Tuan Kedai yang kembali menghias kek cawannya tadi. “Kek cawan… Untuk Camie ke?” Ceria wajah gadis itu melihat beberapa kek cawan yang sudah siap dihias oleh Lelaki Tuan Kedai.
“Mestilah untuk kamu. Dew yang nak Tok sediakan untuk Camie.”
Camie yang sedang membelek-belek setiap kek cawan tersebut tiba-tiba tarik muka di hadapan Lelaki Tuan Kedai. “Kenapa dia tak buat sendiri. Teruk betul The Devil tu. Dengan Tok pun dia nak buli juga.”
Lelaki Tuan Kedai tersenyum mendengar bebelan tidak puas hati Camie terhadap Dew.
“Bukan dia tak mahu buat tapi… cuba tengok cup cake yang dekat atas kabinet di sebelah sinki tu.” Camie menolehkan kepalanya ke arah yang diberitahu Lelaki Tuan Kedai. Beberapa kek cawan di atas dulang tersebut nampaknya sudah tidak layak digelar sebagai kek cawan lagi. Hodoh benar rupanya. Camie menggeleng sambil tersenyum panjang.
“Jadi itulah hasil yang The Devil berjaya buat ya Tok.”
Lelaki Tuan Kedai mengangguk. Di bibirnya turut tersungging senyuman. Dia teringat semula apabila anak tunggal Madam Juwiette itu bising dan mengamuk tidak tentu pasal ketika menyediakan kek cawan sempena ulang tahun kelahiran gadis itu tadi. Dia tahu selama ini pun Dew memang tidak pernah membuat kerja dapur apatah lagi menggubah kek. Walaupun Dew seorang yang sangat cerewet dalam bab pemakanan namun dia hanya pandai mengarah dan memberi kritikan sahaja. Justeru Lelaki Tuan Kedai yang sangat masak dengan perangai anak muda itulah yang akhirnya terpaksa menyudahkan kerja Dew.
“Cantik Camie hari ini. Macam pari-pari,” puji Lelaki Tuan Kedai.
“Terima kasih.” Camie tersenyum panjang. “Mama Camie yang buatkan baju pari-pari ni. Kalau dia dengar Tok puji pakaian hasil tangan dia mesti mama gembira.” Camie memegang-megang pakaian ala-ala pari-parinya yang berwarna biru cair itu. Dia nampak gembira apabila pakaiannya dipuji oleh Lelaki Tuan Kedai.
“Tok cakap Camie yang cantik bagaikan pari-pari. Bukan baju Camie.”
“Hah?”
Lelaki Tuan Kedai tertawa melihat air muka Camie yang kosong tidak memahami maksud kata-katanya tadi. Baginya Camie memang lebih cantik dari biasa hari ini.
“Apalah Tok ni. Si Hodoh macam Camie ni mana boleh jadi cantik.” Camie merendah diri. Selama ini dia tidak pernah merasa yang dirinya seorang gadis yang cantik dan menjadi perhatian ramai orang. Dia menerima seadanya apa yang dimilikinya.
“Si Hodoh tu Dew yang panggil. Camie percaya ke Dew panggil macam tu sebab Camie betul-betul hodoh?”
Camie merenung Lelaki Tuan Kedai lama. Dia jongkit bahu. “Mana Dew?” segera soalan tentang Dew diajukan selepas itu.
“Dia di tingkat atas. Asyik menjerit dan meraung sahaja Tok dengar sejak dari tadi. Lebih baik Camie pergi jengok dia. Tok dah tak kuasa hendak melayan perangai Tuan Muda yang seorang tu.”
Camie tertawa mendengar kata-kata Lelaki Tuan Kedai. Rupanya Tuan Muda kesayangan Lelaki Tuan Kedai itu sangat leceh untuk dilayan. Namun Camie tahu mengapa Dew bersikap sebegitu hari ini. Tentu gara-gara kostum yang diberikannya kepada lelaki itu tempoh hari. Sangat pasti!
************
“DEW.” Camie mengintai Dew dari lawang pintu sebelum masuk mendapatkan The Devil versi Pooh yang sedang duduk di atas sofa. Kepala Pooh di tangan erat dipeluknya sambil merenung nasib sendiri.
“Oh, kau dah sampai rupanya.” Dew menyambut Camie dengan kerlingan mata yang tiada semangat.
Camie senyum panjang melihat Dew yang sudah menyarung suit Pooh pemberiannya.
“Comelnya The Devil dengan suit Pooh.” Camie duduk bertinggung menghadap Dew yang sedang bermuram durja. “Kenapa monyok ni?” tegur Camie tatkala melihat wajah kelat Dew.
“Tak ada apa-apa.” …apalah Si Hodoh ni. Mestilah aku sedih sebab daripada ganas terpaksa berubah jadi comel malam ni. Herghh~~… Dew menjeruk perasaan sendiri.
“Janganlah tunjuk muka yang sedih pada hari lahir saya malam ini,” pujuk Camie.
Melihat monyok di wajah Dew masih tidak hilang menyebabkan Camie rasa sedih. “Teruk sangat ke kena pakai kostum Pooh tu?” tanya Camie. Sekelumit rasa bersalah mula menyelinap dalam dirinya kerana memaksa Dew melakukan perkara tersebut tanpa rela.
“Tak. Bukan macam tu.” Dew tunduk menekur lantai. Kepala digaru berulang kali. “Camie…” Dia mendongak semula untuk berhadapan dengan gadis tersebut. Tiba-tiba matanya terbeliak tatkala menyaksikan gadis tersebut. Ada sesuatu yang telah menarik perhatiannya.
“Apa yang kau pakai ni?” Dia menarik kedua belah tangan Camie untuk bangkit berdiri. Camie menurut sahaja. Si Pooh yang tadi monyok dan tidak bermaya tiba-tiba tersenyum kagum. Dia berjalan mengelilingi Camie.
“Apasal dengan kau ni, Dew?” Camie rimas melihat tingkah Dew yang memandangnya dari atas ke bawah, dari depan ke belakang.
“Wow, si anak itik hodoh dah berubah menjadi angsa yang cantik.” Dew bertepuk tangan. Air wajahnya menampakkan sinar kekaguman terhadap perubahan Camie malam ini. Gadis yang biasanya bersanggul tinggi di kiri dan kanan itu melepaskan rambut panjangnya hari ini. Hanya reben putih dengan sekuntum bunga kecil yang menghiasi kepalanya. Si Hodoh yang suka berfesyen tanpa memikirkan kesuaian itu telah berubah penampilannya bak bidadari pada malam ini. Gaun warna biru cair itu nampak sederhana tapi menyerlah dengan sulaman labuci di bahagian kaki dan bahunya.
“Patutkah aku panggil kau Si Jelita malam ini?”
Camie tertawa. Merah padam wajahnya menahan malu dipuji oleh Dew. “Pari-pari lah Dew. Penat tau Makcik Paula tolong make-up tadi.” Mulut Camie memuncung tapi senyumnya masih tidak lekang. “Cantik tak mata kita?” Camie mengedip-ngedipkan kelopak matanya yang menyerlah disebabkan glitter.
Dew menggeleng. “Rambut panjang mengurai awak ni yang menyerlahkan kecantikan sebenar awak, Camie.” Lembut suara Dew memuji. Hanya pada waktu-waktu tertentu seperti ini sahaja bahasanya berubah lembut dan tidak ber-aku-engkau dengan Camie.
“Tapi sebenarnya… rimaslah lepas rambut macam ni. Rasa macam nak buat sanggul tinggi-tinggi macam selalu balik.” Camie memegang rambutnya yang mengurai di hadapan bahu.
Serta merta Dew tarik muka marah. “Jangan nak mengada-ngada. Biarlah rambut tu lepas bebas sekali sekala.” Dew menepis tangan Camie yang berniat hendak mengikat semula rambutnya.
Camie senyum. Merenung Dew tanpa sebarang bicara. Lama.
“Dew…”
“Apa?” Dew tidak sedap hati melihat sinar mata Camie yang nakal.
Camie mencapai kepala Pooh. Kemudian berdiri semula di hadapan Dew.
“Camie, tak nak lah. Please~” Dew separuh merayu apabila Camie cuba memakaikan kepala Pooh ke kepalanya.
“Ala, pakailah. Baru nampak macoo~~melll….” Maco + comel…hahaha… Camie tidak peduli dan tetap mahu memakaikan kepala Pooh itu.
“Maco tu memang betul lah… tapi bab comel tu aku paling pantang tau. Tak nak lah, Camie.” Dew menepis-nepis tangan Camie yang mahu menyarungkan kepala Pooh itu.
Topeng kepala Pooh itu hanya menutup sebahagian kepala Dew. Ada tali yang boleh diubah suai mengikut kesesuaian kepala di bahagian bawah dagunya. Akhirnya Camie berjaya memakaikan kepala Pooh yang comel itu pada Dew.
“Dah siap. Horrey~~.” Camie melompat gembira.
“Kenapa… kenapa aku dan Pooh…hwaa~~” Dew hampir nak meraung lagi tatkala memandang semula pantulan imejnya di cermin besar di bilik tersebut. Sesekali imej Camie si pari-pari yang sedang melompat-lompat kegembiraan turut muncul di dalam cermin besar itu.
Hari yang bahagia buat Camie tetapi malam yang haru buat Dew The Devil. J




Untuk gadis biasa seperti Camie ia adalah hadiah paling bermakna yang diperolehinya daripada orang-orang kesayangannya. Dew The Pooh yang membuatkannya ceria sepanjang hari… suit pari-pari hadiah pemberian daripada ibunya dan kek cawan yang sepatutnya pemberian daripada Dew namun akhirnya disediakan oleh Lelaki Tuan Kedai.
“Betul ke kau tak nak minta apa-apa hadiah dari aku?”
Camie menggeleng. Segaris senyuman di bibir gadis itu tidak pernah lekang sejak dari tadi.
Dew menggaru-garu belakang telinganya seakan tidak percaya. “Cukup ke?”
“Lebih dari cukup. Sesuatu yang simple adalah lebih bermakna buat aku,” jawab Camie penuh yakin. Dia menyusun beberapa kek cawan yang telah dihias cantik oleh Lelaki Tuan Kedai di atas kotak. Kek cawan tersebut dihias dengan gabungan warna merah, biru dan putih. Tampak indah dengan hiasan bunga berwarna merah jambu di setiap kek cawan yang berbagai corak itu.
“Kau ni memang seorang yang mudah berpuas hati. Patutlah lambat maju dalam apa-apa yang kau belajar. Asyik duduk di tangga yang tercorot.” Sarkastik tahap maut The Devil menyindir. Sebenarnya dia geram kerana Camie tidak membuat sebarang permintaan terhadapnya seperti gadis lain terhadap teman lelakinya pada hari lahirnya.
“Tak kisahlah kau nak cakap apapun. Yang pasti, orang yang lembab dan lambat maju ni juga yang kau suka kan…” Camie berkata sambil menyucuk sebatang lilin pada salah satu kek cawan. “Betul tak?” ekor matanya mengerling The Devil yang sedang melarikan mukanya ke gelanggang bola keranjang di sebelah mereka. Kelihatan beberapa orang remaja lelaki sedang bermain bola di gelanggang tersebut.
‘Berani kau kenakan aku balik… nasib baik hari ini kau sangat cantik. Jadi aku maafkan kau, Si Hodoh… err, Si Jelita…’ Dew mengulum senyumannya. Wajahnya yang dilindungi kepala Pooh itu ditegangkan agar nampak serius.
“Ahahahaha~~~” tiba-tiba kedengaran suara tawa Camie yang meletus tanpa ditahan.
“Kenapa?” Dew yang berwajah dingin lagi serius itu berasa pelik.
“Kau tak boleh jadi The Devil malam ini sebab walau sedingin mana pun riak wajah yang kau pamerkan, kau tetap comel lah Dew. Hahahaha~” Sungguh-sungguh Camie mentertawakan Dew. Hampir mengalir air matanya kerana terlebih gelak.
“Tst…” mulut Dew berdecit. Geram! Dia rasa bengang dengan sikap Camie lantas kepala Pooh ditanggalkan dari kepalanya. Camie terus ketawa tatkala melihat air muka Dew makin tegang dan keruh. The Devil perlu berbuat sesuatu agar mulut Si Hodoh senyap dan tidak terus-terusan mengetawainya.
“Kek ni nampak sedap kan.” Dew menikmati keindahan hiasan kek cawan hasil kerja tangan Lelaki Tuan Kedai sambil turut diperhatikan oleh Camie juga. “Dalam banyak-banyak cup cake ni, mana yang paling kau suka?” soalnya.
“Hurm… yang ini.” Camie menuding ke salah satu kek cawan di atas kotak tersebut.
“Kau tahu tak apa perbezaan diantara aku dan Jeremy?” Dew mencapai kek cawan tersebut.
“Hurm…” Camie diam sejenak untuk berfikir.
Pap!
“Huargh!” Belum sempat Camie memberikan jawapannya tiba-tiba Dew menempek kek cawan yang paling disukai Camie. “The Devil jahat!!!” selamat sudah wajah Camie disolek dengan kek cawan yang berkrim.
“Huarghhahahaha~~~” Dew sudah bangun dan mengilai dengan kuat. “Kau betul. Itulah perbezaan diantara aku dan Jeremy...” Dew segera mengatur langkah tatkala melihat Camie sudah bersiap sedia hendak membalas serangannya. Si Pooh lintang pukang melarikan diri apabila Camie yang sedang menggoncang tin minuman berkarbonat. Si pari-pari sudah siap sedia mahu menyembur Si Pooh.
“Dew, jangan lari!” Camie mengejar Dew yang berlari masuk ke dalam gelanggang bola keranjang.
Kelihatan beberapa orang remaja yang sedang bermain bola tadi berhenti bermain dan turut terlibat dalam adegan kejar-mengejar diantara Si Pooh dan Si pari-pari. Siapa yang berani dekat apabila si gadis ayu dengan solekan krim di muka itu muncul menghampiri mereka dengan setin minuman berkarbonat yang bakal meletup pada bila-bila masa saja. Mereka semua lari menyelamatkan diri walaupun sasaran Camie hanya pada Dew seorang. Disebabkan Dew menjadikan kumpulan tersebut sebagai perisainya mereka semua jadi kalut mahu menjauhi Camie yang makin galak mahu memburu Dew… dan tanpa isyarat minuman berkarbonat berperisa strawberi itu terpancut keluar dari tin dan menyembur mereka. Sudahnya bukan Dew seorang yang menjadi mangsa Camie.
**********
“MEREKA berdua tu pasangan kekasihlah.” Salah seorang daripada tiga orang remaja yang bermain bola di gelanggang bola keranjang tadi sedang melahap kek cawan hari lahir Camie. Dia yang hanya berseluar sukan tidak memakai baju kerana bajunya sudah kotor akibat minuman berkarbonat Camie tadi.
“Susah nak percayalah. Tengok macam mana Si Pooh tu layan Si Pari-pari tu. Kasar.” Seorang lagi pemuda yang sedang melantun-lantunkan bolanya di lantai gelanggang memandang ke arah pasangan Dew dan Camie di hujung taman. Kelihatan Dew sedang menengking dan cuba memukul kepala Camie. Namun gadis itu pantas mengelak. Tawa Camie kedengaran selepas itu seolah-olah mengejek Si Pooh.
“Hurm… apa pandangan kau pula?” Remaja yang tidak berbaju dan sedang menikmati kek cawan itu bertanya kepada temannya yang lagi seorang.
“Bagi aku pula… antara Si Pooh dan Si Pari-pari tu, aku pilih cup cake ni. Sedap!” tersengih panjang sambil kembali menikmati kek cawannya.
“Cheh… pantang dapat makan free,” kutuk temannya yang sedang bermain bola tadi. Pemuda itu terus mengambil tempat untuk turut serta menikmati kek cawan tersebut.
Disebabkan rasa bersalah kerana menjadikan tiga remaja tersebut sebagai mangsa gurau senda mereka tadi, Camie dan Dew telah mempelawa mereka makan kek cawan tersebut.
************
“DEW… terima kasih untuk cup cake yang comot di muka aku.” Camie menyindir sambil membersihkan mukanya yang comot disebabkan krim kek dengan sapu tangannya.
Dew yang duduk bertentangan dengannya ketawa gelihati. “Terima kasih kepada kau juga untuk mandian air strawberi yang manis ni.” Dia turut mengusap-ngusap tubuhnya yang melekit akibat air manis. Kedua-dua pasangan itu tertawa bersama.
“Mari, aku tolong bersihkan. Muka kau kotor sangat tu.” Camie cuba membantu mengelap kotoran di sekitar wajah Dew dengan menggunakan sapu tangannya.
Wajah Dew dilap sambil tersenyum penuh makna. Camie ada agenda tersirat.
“Woi, kau guna apa buat lap muka aku!” Sebaik disedari oleh Dew, Camie ketawa kuat. Wajah Dew telah dicemari dengan krim yang melekat di sapu tangan itu tadi. “Argh~~!!!” Dew bengang. Automatik tangannya melayang mahu memukul Camie. Namun Camie sempat mengelak dan ketawa dengan lebih galak lagi. Dew bengang tapi akhirnya tergelak sendiri. Melihat wajah Camie yang ceria sepanjang hari membuatkannya turut bergembira.
“Dew…” Dew yang sudah bangun dan berjalan ke tebing kolam buatan di taman itu berpaling apabila namanya dipanggil Camie. “Sorry…”
Dew tersenyum menyambut kata-kata Camie. “It’s okey… kalau ianya membuatkan kau gembira malam ini.” Dew mencapai beberapa ketul batu di kaki lalu membalingnya ke tengah kolam.
“WHOOFF!!!” tiba-tiba kedengaran suara salakan dari celah semak tidak jauh dari tempat Dew melontar batu.
“Bunyi apa tu?” Camie bergegas bangun mendekati Dew kerana takut.
“Err… macam anjing.”
“Kau baling batu kat anjing buat apa!” Camie memukul lengan Dew.
“Gulp… aku tak sengaja.” Wajah Dew cuak.
Suara salakan tersebut makin kuat. Mereka berdua mula menggelabah.
“Lari… cepat lari Camie!” Dew segera menarik Camie untuk berlari apabila kelibat anjing gila tersebut muncul.
“Warghhhh~~~ Dew, kau memang tak guna. Kenapa kau kacau anjing tu!!!” Sambil berlari Camie memarahi tindakan Dew tadi.
“Bukannya aku sengajalah.” Dew mempertahankan dirinya yang dituduh. “Jangan banyak bunyi. Cepat lari selamatkan diri!”
***********
“WOI, kenapa mereka berdua berlari laju ke arah kita tu?” salah seorang daripada remaja yang bertiga tadi menegur apabila ternampak kelibat Dew dan Camie berlari bagai tidak cukup tanah.
“Pasangan kekasih. Tengah main kejar-kejarlah tu.” Remaja yang tidak pernah lekang dengan bola keranjangnya itu memberikan pendapatnya. Optimis atau sarkastik?
“Tak lah… aku nampak sesuatu sedang mengejar mereka.” Remaja yang tidak berbaju tadi sedang menyoroti binatang yang menyalak-nyalak beberapa meter di belakang kedua pasangan tersebut. “Anjing gila. Lari cepat!” serta merta mereka bertiga bertindak. Dew dan Camie yang sedang dikejar oleh anjing itu semakin dekat menghampiri mereka. Tanpa sempat mencapai apa-apa mereka terus memulakan langkah seribu mendahului pasangan tersebut.
“Whooff… whooff!!!” Wajah bengis anjing tersebut sahaja sudah mampu menakutkan sesiapa sahaja apatah lagi jika dikejar tanpa sebab begitu. Yang tidak bersalah pun turut menjadi mangsa.
“Kejap, kejap…” Camie sempat berhenti di gelanggang bola keranjang.
“Apa lagi ni. Tengah saat kritikal macam ni pun kau masih sempat nak berhenti pula.” Dew yang sudah terlajak mendahului Camie pantas berpatah balik mendapatkan kekasihnya.
Cup Cake kita.” Camie sempat mencapai sebiji kek cawannya. Memang tinggal sebiji pun kerana yang selebihnya sudah habis dimakan oleh tiga remaja tadi.
“Cepatlah Camie.” Dew memegang kejap pergelangan tangan Camie dan segera menarik Camie berlari laju menyelamatkan diri dari anjing tersebut.
Semput dibuatnya mencari jalan untuk menyelamatkan diri dari dikesan oleh anjing gila itu. Langkah seribu belum cukup kalau tidak berbekalkan kepintaran memperdaya semula binatang tersebut. Akhirnya mereka berdua berjaya memperbodohkan anjing tersebut dan selamat dari menjadi mangsa amukan anjing tersebut. Tentang tiga orang remaja tadi, Dew dan Camie tidak tahu kemana mereka sudah lesap menyelamatkan diri. Yang penting mereka berdua selamat.
“Akhirnya terlepas dari anjing gila tu. Fuhh~” Camie menarik nafas lega sebelum terduduk di atas rumput di lorong belakang kawasan kedai di sekitar Pekan Riveria.
“Mujur dapat selamatkan satu.” Camie tersenyum memandang kek cawannya. Sebatang lilin yang dicacakkannya di awal pertemuan tadi masih gagah berdiri di atas kek cawan tersebut.
“Kau anggap kek tu macam nyawa sendiri pula.” Dew yang masih tercungap-cungap di sebelahnya menegur reaksi Camie yang masih boleh tersenyum ceria selepas dikejar anjing gila.
“Dew, lagi 1 minit.”
Dew tertarik lantas menarik lengannya untuk menelek jam di pergelangan tangannya. Lagi seminit untuk jarum jam, minit dan saat bersatu di angka 12. Dew tersenyum dalam mengah yang belum surut.
“3… 2… 1… Selamat hari jadi… selamat hari jadi… selamat hari jadi, Si Hodoh yang jelita…” Camie memukul peha Dew yang sempat mengusiknya dalam nyanyian tersebut. “Selamat hari jadi… sa… sa-sayangku.” Betapa payahnya dia hendak menyebut perkataan ‘sayang’ namun akhirnya Dew berjaya melakukannya.
Camie rasa terharu. Air matanya yang bergenang tunggu masa sahaja mahu menitis jatuh. “Terima kasih, Dew.” Akhirnya manitis juga air jernih itu dari kelopak matanya.
“Tiup lilin cepat.” Dew tersenyum melihat air mata terharu gadis tersebut.
“Bukannya ada api pun nak tiup.” Sememangnya lilin tersebut tidak dipasang kerana tidak sempat mencapai mancis ketika terburu-buru melarikan diri dari anjing gila tadi.
So, make a wish.” Dew tertawa sendiri sambil memegang kek cawan di tangan Camie. “Janganlah menangis. Nanti jadi hodoh balik.” Sempat dia mengusik Camie. Tangannya yang masih bersarung tangan Pooh tadi singgah mengusap air mata di wajah Camie. Camie membiarkan sahaja.
“Dew, ini adalah hadiah hari lahir yang paling bermakna. Seronok sangat hari ini.”
Free free dapat dikejar anjing pun gembira sampai nak ucapkan terima kasih juga ke?” Dew senyum memandang pipi Camie yang kembung dan bergerak-gerak kerana mengunyah kek. Mata gadis itu merah akibat menahan tangisan namun glitter di kelopak matanya menyebabkan keayuannya masih terserlah. Wajahnya sudah comot. Sisa krim kek masih ada lagi sedikit di sekitar wajahnya. Reben dan bunga putih di kepalanya sudah senget namun rambut panjangnya masih lurus dan rapi.
Even dikejar gorilla pun andai bersama Pooh yang cute macam awak, saya rela!” Camie tersengih nakal. Wajah Dew kembali mencuka. Namun kali ini dalam versi comel dimata Camie. The Devil versi Pooh akan menjadi memori indah buat Camie sepanjang hayatnya selepas ini.


P/s : saya teringin nak belajar buat kek cawan...comelnya~~~

P/ss : Jangan lupa ikuti e-novel terbaru Cik Kaseh Ai Bukan Cinta... rajin-rajinlah klik Ai Bukan Cinta

3 comments:

Eiya Farihah said...

comelnye taiko pakai suit pooh, hehehe :)

Waniezz Liv said...

Woahhhhh tersenyum membacanya !! Tak sangka banyak sambungan lagi selepas Angek in The Devil's Suit !! The best like seriously !!

Aida Adnan said...

Nak lagi..sambung la lgi..hehe
Teringin nk tau mcm mna jeremy tau pasal dew then g jumpa tok.