Kawan2 yg saya Sayang

Thursday, June 10, 2010

Angel In The Devil Suit 1 ::Bab17::

BAB17
WAKTU rehat tengahari itu Camie pergi menemui Phim yang sedang menjamu bekalan makanannya di kelas seperti biasa. Phim duduk di meja hadapan Dew jadi jika hendak menyiasat tentang Dew maka gadis itulah sasaran utamanya. Tentu Phim tahu banyak tentang Dew.
“Hai, Phim,” tegur Camie mesra.
Mendengarkan namanya yang dipanggil Phim mendongak. Seulas senyuman di bibir Camie tidak dibalasnya. Phim menutup bekal makanan dan gesa-gesa beredar pergi. Ditegur oleh Camie seolah-olah menghampiri lubang celaka. Dia tidak mahu bergaul dengan hamba The Taiko. Tentu dia akan mendapat bala kalau melayan gadis tersebut.
“Eh, Phim. Tunggu dulu.” Dengan pantas Camie mendapatkan semula Phim yang cuba untuk beredar. “Kau nak pergi mana?”
“Woo~” Phim menepis sentuhan Camie yang cuba hendak berbaik-baik dengannya. “Jangan mendekati aku. Aku tak nak ada apa-apa hubungan dengan hamba Dew.”
“He?” Camie terpinga-pinga tidak mengerti maksud Phim. “Apa maksud kau?”
“Tak payahlah tanya. Selagi kau kenal Dew sebagai The Taiko, itulah syaratnya. Hamba Dew tidak boleh dibuat kawan… kalau nak selamat daripada terkena tempias badi menjadi hambanya,” jelas Phim ringkas sambil mencuit sedikit makanan dalam bekas makanannya.
“Tapi aku dan Dew tidak pernah bermusuh.” Sememangnya selama ini Camie tidak menganggap Dew sebagai musuhnya. Cuma kadangkala saja dia berasa geram dan tidak berpuas hati dengan sikap Dew yang agak keterlaluan.
Phim mencebikkan bibir… memanglah kau bukan musuh Dew tapi kau tu hamba The Taiko! Hergh~ tak faham-faham lagi ke… kau tu hamba The Taiko, pelajar paling berpengaruh di kolej Riveria Hook ni.
“Eh, Phim… sebenarnya aku nak tanya sesuatu ni,” kata Camie terus kepada tujuan asalnya tadi. “Marilah dekat sikit. Yang kau takut sangat ni kenapa?” panggil Camie apabila mendapati Phim seakan takut hendak mendekati dirinya.
“Kau nak tanya apa? Tanya sajalah. Aku masih boleh mendengar dari jarak ini,” jawab Phim yang sudah duduk di meja belakang kelas sambil mencubit sedikit demi sedikit  makanannya masuk ke dalam mulut.
“Aku nak tanya pasal Dew.”
Dia nak tahu tentang Dew? Apa yang dia nak siasat agaknya… Phim melirik kepada Camie yang masih berdiri di sebelah mejanya dengan curiga.
“Dia sangat berbeza dengan apa yang aku bayangkan selama ini. Aku sangka dia tu budak yang gagal dan memilih untuk menjadi jahat demi kepuasan diri. Tapi sebaliknya dia tidaklah terlalu jahat. Malah seorang yang bijak. Err… aku yakin kau tentu lebih mengenali dia. Boleh kau beritahu serba sedikit tentang Dew?”
“Apa yang kau nak tahu?”
“Kau ceritalah tentang latar belakang dia… kawan-kawan ataupun keluarga ke…”
Nampaknya budak yang dipanggil Si Hodoh oleh Dew ni betul-betul berminat dengan The Taiko. Tapi aku tak boleh cerita tentang Dew begitu saja kepada dia. Mati aku kalau Dew tahu aku dedahkan hal berkenaan dirinya kepada budak perempuan ni. Nanti tak pasal-pasal aku kena jadi hamba dia semula. Susah hidup aku nanti.
Tapi Camie nampak ikhlas. Mungkin kalau aku cerita tentang Dew, dia boleh ubah Dew kembali menjadi budak yang ceria seperti waktu dulu. Tapi mungkinkah perkara tersebut boleh berlaku? Melainkan diri Dew sendiri, tiada sesiapa boleh mengubah sikap dia.
“Aku akan cerita pada kau tapi dengan syarat…” kata Phim perlahan sambil tertoleh-toleh melihat sekitarnya memastikan line clear. Camie menyuakan kepalanya ke hadapan mendekat sedikit kepada Phim. “Kau mesti simpan rahsia ni daripada sesiapa. Jangan ungkit di hadapan sesiapa, lebih-lebih lagi di hadapan Dew. Faham.”
Camie menoleh ke kiri dan kanan sebelum kembali kepada Phim. Dengan sungguh-sungguh dia mengangguk menyetujui syarat Phim.
“Jom ikut aku.” Phim menutup bekal makanannya sebelum beredar keluar dari kelas.
Camie mengekorinya dari belakang. Tidak tahu kemana Phim hendak pergi. Asalkan dia boleh tahu sesuatu tentang Dew, dia ikut saja kemana Phim membawanya pergi.
Phim duduk di bawah sepohon pokok besar yang rendang di tepi padang bola sepak. Camie ikut duduk di akar besar yang timbul di tanah di sebelah Phim. Sambil melihat beberapa orang pelajar yang berjalan-jalan di sekitar kawasan kafeteria yang bertentangan dengan padang Phim menarik nafas panjang sebelum memulakan cerita.
“Dulu dia tak macam tu. Dulu dia seorang yang friendly, baik hati, ceria… walaupun kadangkala suka berlagak macam tuan besar.” Phim tarik muka ketat. Terbayang di matanya sikap Dew yang dikenalinya dulu. Pemuda itu seorang yang disenangi oleh kebanyakan orang. Cuma satu sifatnya yang buat Phim bengang iaitu Dew suka mengarah orang dengan sesuka hati dan dek kerana sikap mesranya dengan semua orang maka tiada siapa yang membantah arahan tuan muda keluarga Orbido yang berpengaruh di pekan Riveria Hook itu. “…tapi sikapnya berubah mendadak sejak kematian sahabat karibnya. Dia jadi dingin bagaikan ais. Dia tak pedulikan sesiapa dan mula hilang kepercayaan terhadap orang dewasa terutama guru-guru dan ibu bapanya sendiri,” kata Phim memulakan kisahnya.
“Kawan baik dia mati? Kenapa?” tidak sabar nampaknya Camie ingin mengetahui cerita Phim.
“Nahas jalan raya… dan Dew percaya yang kemalangan tersebut dirancang oleh seseorang tetapi tiada sesiapa yang percaya dengan kata-katanya. Kes tersebut ditutup begitu saja oleh pihak berkuasa. Dew tidak puas hati tapi dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Dia tiada kuasa dan tiada siapa yang hendak percaya kata-kata seorang budak pada waktu tu. Dia rasa telah kehilangan hak untuk bersuara disebabkan usianya pada waktu tersebut.”
“Tapi kenapa ibu bapanya dan guru ikut telibat?”
“Sebenarnya puncanya daripada ibubapa Dew. Ayah Dew seorang usahawan yang mempunyai empayar perniagaan yang besar. Seorang yang sibuk dan tidak pernah mempedulikannya. Manakala ibunya pula seorang ahli politik yang sangat berpengaruh. Maka kehidupan Dew sentiasa dalam kawalan ibunya.
“Nak dijadikan cerita, ibu Dew tak suka Dew berkawan dengan Leo. Dia rasa Leo tu bukan contah yang baik untuk anaknya. Leo memang agak liar. Belajar pun bukannya bijak sangat. Sedangkan waktu itu Dew adalah salah seorang pelajar cemerlang dalam sekolah. Bukan setakat ibu bapanya malah guru-guru waktu tu pun takut kalau Jeremy terpengaruh dengan kegiatan luar Leo yang mencurigakan...
“Tapi satu sikap Leo yang semua orang suka, iaitu dia seorang yang mementingkan persahabatan. Walau dalam apa situasi pun dia mesti akan dahulukan Dew. Siapapun yang datang minta bantuan daripada Leo, pasti tidak akan kecewa,” cerita Phim dengan panjang lebar.
“Tentu Dew rasa kehilangan yang besar selepas Leo mati kan.” Camie seolah dapat merasai perasaan Dew kerana dia juga pernah kehilangan orang yang disayanginya.
“Ya, tapi tiada siapa yang peduli dengan situasi Dew waktu tu. Ada yang berpendapat kemalangan Leo dirancang sendiri oleh Madam Juwiette, ibu Dew. Sebab itulah tiada sesiapa yang berani hendak menegakkan keadilan untuk Leo. Cikgu sendiri pun tidak berani sebab jatuh bangunnya kolej ini adalah atas kuasa Madam Juwiette.”
“Oh~ sebab itu ke semua cikgu tak berani nak menegur sikap Dew, Phim?” Camie meneka berdasarkan pemerhatiannya terhadap lelaki itu selama ini.
Phim mengangguk perlahan. Baguslah kalau Camie sudah faham sekarang. Bukan setakat guru-guru, malah pengetua sendiri pun tidak berani hendak membuang Dew dari kolej walaupun telah banyak kesalahan yang Dew lakukan sepanjang dua tahun ini. Semuanya sebab kuasa Madam Juwiette ditambah keputusan akedemik Dew yang cemerlang setiap tahun.
“Sejak hari tersebut Dew memberontak. Sikap dia berubah kasar dan mengejami sesiapa saja. Dia bersikap dingin dan akan membelasah orang hanya disebabkan masalah kecil. Kalau kau nak tahu, semua budak dalam kelas kita dah pernah jadi hamba Dew. Dew seolah-olah melepaskan dendamnya pada semua orang sebab dia gagal mencari pesalah sebenar dalam kes kematian Leo.”
“Uhh… teruknya. Dia tak patut buat macam tu. Selain mengejami orang lain sebenarnya dia telah mengejami diri sendiri. Dia macam nak merosakkan diri sendiri.”
“Entahlah… dia juga menjauhi semua orang. Tak nak berkawan dengan sesiapa lagi sejak Leo tiada.”
“Habis tu Jiro…”
“Jiro tu tak ubah macam balaci dia saja. Budak tu ‘Kipas Anggun’ lah, Camie. Pengampu. Dia rapat dengan Dew supaya dapat rasa tempias kuasa taiko. Dew sengaja bagi muka pada dia sebab kadang kala Jiro tu berguna kepadanya.”
“Huh~” Camie mengeluh pendek. “Macam mana pula dengan Leah?” soal Camie semula tatkala teringatkan keakraban Dew dengan gadis tersebut.
“Yang itu aku no coment… bila The Taiko bergaul dengan Queen of Pirate, mereka adalah satu gabungan yang sempurna. Lebih-lebih lagi dalam aktiviti membuli dan mendajali orang.”
Camie tersenyum pendek tatkala melihat memek muka Phim yang agak meluat menyebut nama gelaran Leah.
“Macam mana Dew boleh skor dalam exam walaupun dia tak belajar waktu di kelas?” Ada saja soalan yang terlintas di benak Camie tentang Dew dan kesempatan itu menyebabkan dia terus bertanya lagi kepada Phim.
“Dia tak belajar di dalam kelas tapi kau tahu ke kalau dia tekun belajar di luar kelas?”
“Apa maksud kau?”
“Disebabkan kes Leo, Dew membenci guru-guru di kolej. Dia tidak mahu menerima pengajaran di kolej. Dia nak buktikan tanpa guru-guru pun dia tetap boleh jadi pelajar cemerlang. Jadi setiap hari dia menghadiri kelas malam di luar kolej. Selain itu kalau kau tengok dia selalu ponteng kelas, sebenarnya dia ke suatu tempat untuk study,” bongkar Phim. Perkara itu bukan diketahui oleh semua orang. Phim tahu kerana pernah terserempak dengan Jeremy beberapa kali di luar kolej.
“Tapi hari tu… betul ke dia pergi study?” Camie was-was kerana setahunya waktu dia mengekori Dew tempohari lelaki itu bukan ke suatu tempat untuk belajar. Namun dia tidak memanjangkan prasangkanya itu kepada Phim. Takut dia dituduh membawa cerita pula.
“Camie, walaupun aku tidak rapat dengan Dew tapi kami berjiran jadi aku tahu serba sedikit tentangnya. Lagipun dia belajar di pusat tuisyen yang sama dengan aku.”
“Jadi setiap malam kau pergi ke kelas bersamanya?”
“Gila! Tak nak aku jalan bersamanya. Dah cukuplah aku pernah jadi hamba dia suatu masa dulu... Sebenarnya kelas aku cuma dua kali seminggu. Jadi bukanlah sepanjang masa aku bersama dengannya,” jelasnya kepada Camie.
“Phim, satu lagi persoalan… kalau Dew dah tak suka dengan kolej ni tapi kenapa dia masih terus belajar di sini? Kenapa tak pindah saja?”
“Hurm… sebab dia perlu dapatkan sijil pengikhtirafan untuk melanjutkan pengajian ke universiti kelak. Lagipun aku rasa Dew tak sanggup nak tinggalkan kolej yang dah banyak mewarnai kehidupannya dulu. Walaupun Leo dah tak ada tapi memori mereka sentiasa hidup di dalam hatinya,” jawab Phim sekaligus menamatkan ceritanya sampai di situ. Gadis itu bangkit dari duduknya lalu meninggalkan Camie.
“Eh, Phim… nak pergi mana?” tanya Camie.
“Balik kelaslah. Cukup sampai di sini sahaja cerita tentang Dew. Ingat… jangan buka cerita ni pada sesiapa. Habis sampai di sini saja tau,” kata Phim sebelum meneruskan langkahnya meninggalkan kawasan padang.
Camie sekadar menghantar pemergian Phim dengan pandangan mata.

1 comment:

Anonymous said...

neechan, best la... :D