Kawan2 yg saya Sayang

Saturday, August 1, 2009

Bunga Cinta Dang Wangi ~bab18,19~

Bab18

Suci Liasari duduk menanti seseorang di kerusi rehat dekat foyer di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal. Sesekali gadis berselendang warna hati dan berbaju kurung bercorak jalur-jalur merah itu menelek jam tangannya.

“Suci…”

Suci menoleh tatkala seseorang menepuk belakangnya. Dia tersenyum apabila mendapati Laila sudah sampai.

“Sorry lewat.”

“Dapat cari Ali?” Tanya Suci kepada sahabatnya.

Laila mengangguk.

“Tapi dia tak boleh join kita. Dia ada study group dengan teman sekuliahnya so nampaknya kita pergi berdua sahajalah. Tak mengapa kan?”

Wajah Suci sedikit kecewa tetapi akhirnya dia senyum dan mengangguk.

“Tak apa. Lagipun bukan dia sengaja tak nak pergi. Jangan sedih, okey.” Pujuk Laila sambil memeluk bahu sahabatnya.

“Suci tak apa-apa lah. Laila ni janganlah fikir yang bukan-bukan.”

“Betul ni?” Laila merenung Suci dalam riak menduga.

“Betul.”

“Tapi saya tahu awak minat kat Ali.”

“Laila… mana ada Suci minat dia. Janganlah nak buat cerita pula.”

Ala, yelah tu. Macam saya tak tahu. Sekilas ikan di sungai saya dah tahu jantan atau betina tau.”

“Sudahlah. Tak nak cakap dengan awak lagi. Suci dah lapar. Nak pergi cari port melantak.”

Suci cuba mengelak. Tak mahu dikaitkan dengan pemuda itu. Dia sukakan Ali tapi hanya sebagai kawan. Itulah rasanya. Dia tidak jelas jika perasaan itu lebih dari sekadar teman.

“Suci~!” Laila mengejar Suci yang sudah berjalan dahulu di hadapan. Sebentar kemudian mereka berjalan beriringan menuju ke kafeteria.



Bab19

Seorang kanak-kanak lelaki berdiri di hadapan pintu pagar rumah yang masih berkunci. Rumah itu kosong. Panas terik matahari memedihkan kulit. Terang cahaya sang suria menyilaukan mata. Si kanak-kanak montel itu terus setia menunggu di situ. Tiada tempat lain yang boleh ditujuinya selain dari rumah tersebut. penat berdiri dia duduk di tembok sebelah pagar. Beg yang digalas di belakang tubuh terasa berat lantas dilepaskan jatuh di atas tanah. Dia mengusap-ngusap perut yang terasa lapar. Botol air yang tersemat elok di leher dibuka dan isinya diteguk sehingga ke titisan terakhir. Aahh~ lega.

Dari kejauhan sayup-sayup kedengaran suara nyaring seorang perempuan sedang marah. selepas satu suara, satu suara lagi bertingkah membalas suara itu sehinggalah kedua-dua mereka hampir dekat dengan rumah mereka.

“Memanglah aku bengang. Disebabkan kau lah aku terpaksa bergaduh dengan budak lelaki tu. Muka dah lah macam king kong. Rasa macam nak tembak je lubang hidung dia yang macam serombong kapal tu. Argh… bengangnya aku!” Qaseh terus meluahkan kebengangannya.

Ala, kau bengang sebab kau kalah bertekak dengan dia tadi. Kalau kau menang taklah kau bising. Betul tak?” Sutra memerli kakaknya.

“Woi, kau nak makan buku lima aku ke? dah tak sayang mulut? Cakap baik-baik sikit. Kalau aku tak ada tadi apa yang boleh kau buat? Entah-entah dah menangis melolong dalam bas tu.”

Sutra diam. Dia mengaku jika bukan kerana Qaseh tentu dia sudah menangis dibuli oleh pelajar lelaki tersebut. tiba-tiba mata tertancap pada sesuatu yang menarik dekat pintu pagar rumah mereka. Sutra menahan Qaseh untuk melihat sesuatu.

“Qaseh, tengok siapa tu?”

Qaseh melihat ke arah rumah mereka. Dia menoleh semula kepada Sutra dengan wajah yang tersenyum. Begitu juga dengan Sutra. Kedua-dua mereka segera mendapatkan budak lelaki yang setia duduk di pintu pagar rumah walaupun kepanasan.

“Guppy!” Serentak Qaseh dan Sutra menyeru nama budak tersebut.

kanak-kanak montel itu mencari suara yang menjerit itu. hanya ada empat orang gadis saja yang memanggilnya dengan nama itu iaitu kakak-kakaknya. Dia tersenyum apabila orang yang dinantinya sejak tadi sudah muncul. Tidak sempat dia bersuara Qaseh dan Sutra terlebih dahulu merangkul dan mengucupnya bertalu-talu. Berebut-rebut dua orang gadis itu mahu memeluk adik kesayangan mereka. Sangat rindu. Sudah lama mereka tidak bertemu. Nadim Zafran yang dipanggil Guppy itu sudah pening lalat diperlakukan seperti teddy bear oleh kakak-kakaknya. Ini baru dua orang. Belum termasuk yang lagi dua orang tu.

“Kak Qaseh… Kak Sutra… Nadim lapar.”

Qaseh dan Sutra saling berbalas pandangan kemudian tersenyum memandang adik bongsu mereka yang sedang menggosok-gosok perut. Si ikan Guppy ini sudah kelaparan rupanya. Kesian…

“Jom masuk. Kakak masak untuk Guppy.” Ujar Qaseh sambil menyeluk kunci rumah dari saku baju sekolahnya.

“Qaseh nak masak? Wah, ini sesuatu yang ajaib. Guppy, berhati-hati makan masakan kak Qaseh. Takut keracunan makanan.”

Sutra ketawa mengejek kakaknya. Muka Qaseh sudah berapi. Buk! Nah, rasakan. Sebiji tumbukan singgah di perut Sutra.

“Aduh…” Sutra menahan perut yang senak akibat penangan Qaseh. Padan muka aku. siapa suruh berani buat Qaseh marah.

Si adik kecil garu kepala. Berfikir sesuatu.

“Guppy fikir apa?” tegur Sutra.

“Kak Sutra, keracunan makanan tu apa?”

“Hmm… maksudnya…” tatkala melihat air muka Qaseh, Sutra tidak berani mahu menjelaskan lebih lanjut tentang perkara yang ditanya oleh adiknya. Mati aku kalau semakin banyak soalan budak ni. Qaseh tengah bengang. Nanti tak semena-mena aku makan penumbuk dia lagi.

“Jom masuk. Panaslah di luar ni.” Sutra menukar topik dan membawa adiknya masuk ke dalam rumah.


*********


Selepas menukar pakaian Qaseh dan Sutra masuk ke dalam dapur untuk memasak. Inilah kali pertama mereka bersama-sama turun ke dapur untuk memasak. Demi Guppy.

“Qaseh, Guppy datang sendiri. Tak apakah?”

“Apa yang kau cakap? Apa yang salah? Dia kan adik kita.” Qaseh membuka peti sejuk dan mula berfikir apa yang boleh dimasak.

“Tak rasa pelikkah? Kalau dia dapat kebenaran pun takkanlah keluarga angkatnya lepaskan dia pergi sendiri. Dia tu budak kecil. Baru enam tahun tau.” Sutra menyuarakan pendapatnya.

Hmm, betul juga. Qaseh mula memikirkan kebenaran kata-kata Sutra. Dia menutup semula peti sejuk lalu menuju ke ruang tamu untuk mendapatkan Guppy. Sutra mengekori Qaseh. Qaseh berhenti terpaku. Dia melihat adiknya sudah tertidur di atas sofa di ruang tamu.

“Dia dah tidur. Petang nanti sajalah kita tanya dia.”

“Apa kata kita call rumah keluarga angkatnya dan tanya mereka.”

“Jangan.” Qaseh melarang niat Sutra.

“Kenapa?”

“Kita tunggu Kak Wangi. Ingat tak malam tadi Kak Wangi ada cakap yang dia rindukan Guppy. Biarlah dia jumpa si Guppy ni dulu.” Ada segaris senyuman di wajah Qaseh.

Sutra akur. Dia juga rindukan Guppy. Mungkin bagus juga cadangan Qaseh. Tidak… sebenarnya dia takut jika Guppy datang ke sini tanpa mendapat keizinan keluarga angkatnya terlebih dahulu. Jika dia mengkhabarkan kemunculan Guppy yang tiba-tiba kepada keluarga angkatnya kemungkinan masa mereka bersama akan terhad. Tak nak… biarlah tunggu Kak Wangi. Dia yang akan memutuskan segalanya nanti. Dia kan kakak sulung.

Qaseh masuk ke biliknya. Sementara Sutra menghampiri adik comelnya yang sedang nyenyak lena. Dia tersenyum. Comelnya…dah lama tak jumpa. Kau dah bertambah comel sekarang. Mata bulat macam Kak Wangi. Bulu mata panjang melentik macam Kak suci. Hidung mancung macam Qaseh dan pipi tembam macam aku. kau adalah gabungan kami berempat. Adik yang paling comel. Geramnya... Gigi sutra berlaga-laga. Tangannya gatal mahu merangkul adiknya lagi tapi ditahan niatnya itu kerana tidak mahu mengganggu tidur adiknya. Dia beredar menuju ke dapur semula untuk memasak. Nak harapkan Qaseh, mimpilah…


**********


Ada sepasang kasut comel yang mencurigakan Dang Wangi. Siapa punya kasut? Ada tetamukah? Dia masuk ke dalam rumah setelah salamnya disambut oleh adik-adiknya. Belum sempat Dang Wangi bertanya tentang kasut yang dilihatnya tadi tiba-tiba dia diserbu oleh Nadim.

“Kak Nongi~!” Nadim melompat merangkul kakak sulungnya.

Dang Wangi hampir tumbang kerana serangan tiba-tiba daripada Guppy.

“Guppy~!” Dang Wangi separuh menjerit. Dia membalas rangkulan adiknya. Dikucupnya bertalu-talu wajah adik montelnya itu. dipeluk dan dirangkul berulang kali.

Guppy lemas. Perkara yang sama berulang lagi pada petang itu.

“Kenapa datang tiba-tiba? Buat kakak terkejutlah Guppy ni.”

Guppy cuma tersengeh. Qaseh dan Sutra berdiri di samping mereka berdua dan turut tersenyum melihat kegembiraan Dang Wangi.

“Patutlah malam tadi kak Wangi asyik tersebut-sebut adik akak yang seorang ni. Rupanya dia nak balik rumah.”

“Mulut orang tua memang masin.” Ujar Qaseh.

Dang Wangi melirik kepada Qaseh.

“Siapa orang tua?” tanyanya keras.

“Tentulah Qaseh.” Pantas Sutra membalas dan Qaseh sedang geram dengan kata-kata Sutra.

“Tapi kenapa kak Qaseh tak ada uban? Bukankah orang tua ada uban… macam embah(nenek).” Guppy bersuara.

Qaseh tersenyum. Terasa diri di bela oleh Guppy.

“Jadi kakak bukan orang tua macam yang Kak Sutra cakap. Kakak masih muda dan cantik. betul tak?”

Sutra meluat apabila Guppy mengangguk mengiakan kata-kata Qaseh. Ceh, dengan budak bolehlah kau manipulasikan dia.

Mereka beralih tempat dan berkumpul di ruang tamu. Dang Wangi mengangkat Guppy duduk di ribaannya. Qaseh dan Sutra duduk di samping Dang Wangi.

“Tadi datang dengan siapa? Naik apa?” Tanya Dang Wangi kepada adik kesayangannya itu.

“Papa hantar.” Jawab Guppy ringkas.

Sutra dan Qaseh berbalas pandangan. Wajah mereka berdua lega. Soalan itu memang masih belum ditanya oleh mereka berdua sejak tadi.

“Berapa hari nak tinggal di sini? Ada bawa pakaian?” Tanya Dang Wangi lagi.

Guppy mengangguk sahaja sambil mengukir senyuman.

“Nanti pergi sekolah kak Nongi hantar, okey.”

Dang Wangi senyum dan mengangguk. Adik kecil itu masih tidak pandai menyebut namanya lagi… atau barangkali sudah terbiasa memanggilnya begitu. Sampai besarlah jawabnya melekat dengan panggilan ‘Kak Nongi’. Dang Wangi merangkul lagi adiknya dengan ketat.

“Okey, kakak akan ambil dan jemput Guppy setiap hari.”

Wajah mereka sekeluarga sangat ceria petang itu. Masing-masing sangat gembira dengan kehadiran Nadim si ikan Guppy. Itulah gelaran yang mereka berikan kepada adik yang paling kecil itu kerana kecomelannya. “Comel macam ikan guppy” kata Dang Wangi suatu ketika dulu.

“Oh, ya… kita macam tak cukup kuorum, right?” ujar Sutra tiba-tiba.

“Kak Suci tiada.”

Dang Wangi merenung satu persatu adik-adiknya. Ada riak mengharap pada wajah mereka semua terutamanya Guppy. Dang Wangi faham dan dia perlu melakukan sesuatu agar adik-adiknya gembira. dia bangkit lantas mengambil telefon selularnya di dalam beg sandangnya. Dia mendail nombor Suci.


*************


“Guppy~!”

Setelah memberi salam dan masuk ke dalam rumah Suci segera mendapatkan Nadim.

“Kak Suci~!”

Guppy berlari keluar dari ruang dapur dan mendapatkan seorang lagi kakaknya. Seperti jejak kasih, mereka berdua saling berdakapan. Berpeluk dan bercium setelah lama berpisah. Air mata Suci mengalir kegembiraan. Dang Wangi yang baru menyusul keluar dari dapur memerhatikan Suci. Tersenyum. Diantara mereka berempat, Sucilah yang paling mudah menangis. Adakalanya menangis kerana perkara yang tidak munasabah seperti pakaian yang tidak sesuai dengan tudung atau kasut. Memang adik yang pelik tapi juga yang paling cerdik.

“Amboi, macam rancangan Jejak Kasih pula.” Dang Wangi sengaja mengusik.

Suci melepaskan Guppy lantas menghampiri kakaknya.

“Sebab kakaklah yang buat kejutan macam ni. Kenapa tak cakap awal-awal yang Guppy nak balik rumah hari ni?” Suci sedikit kecewa apabila dia menjadi orang yang terakhir mengetahui tentang kepulangan adik bongsunya itu.

Ala, kami semua pun terkejut juga. Dia ni yang datang tiba-tiba.” Sutra bersuara sambil memeluk Guppy dari belakang.

“Betul tu. Nasib baik hari ni kami berdua balik awal. Kalau tak sampai ke senjalah Guppy tunggu kita di luar rumah ni.” Sambung Qaseh pula.

“Guppy, lain kali janganlah buat macam ni. Kalau nak balik cakap dulu dengan kami. Ni datang tadi siapa yang hantar?” Tanya Suci kepada adik kecilnya itu.

“Papa yang hantar.” Jawab Guppy dengan senyuman yang melekat di bibirnya memandang Suci.

“Jadi papa temankan Guppy sampai kak Qaseh dan kak Sutra pulang?” Soal Suci lagi mahu kepastian.

Qaseh dan Sutra tiba-tiba cuak mendengar soalan yang diajukan oleh Suci itu. Mati mereka jika Suci dan Dang Wangi tahu sebenarnya Guppy seorang diri menunggu mereka pulang dari sekolah petang tadi. Guppy pula diam tidak mengiakan mahupun menidakkan pertanyaan Suci. Matanya berkalih memandang Qaseh dan Sutra seakan minta bantuan untuk menjawab persoalan Suci.

“Err… ya, En. Imran tunggu sampai kami pulang baru dia balik.” Qaseh segera menjawab bagi pihak Guppy.

“Ha’ah, betul tu.” Dia turut mendapat sokongan Sutra.

Suci tersenyum lega. Pipi tembam Guppy dicubit manja sebelum dia mengalih perhatian kepada Dang Wangi yang sedang memegang senduk.

“Kak Wangi tengah masak ke?”

“Tak lah. Baru nak pergi memasak ni.” Jawab Dang Wangi.

“Nak masak apa malam ni? Biar Suci tolong kakak.”

“Bagus juga tu. Aku dah sediakan semua bahan. Kau tolong aku masak ya. Lagipun kau punya masakan lagi sedap daripada aku. Tolong ya. Aku nak pergi mandi dulu.” Dang Wangi segera menyerahkan senduk di tangannya kepada Suci. Dia gesa-gesa meninggalkan situ dan menyerahkan tanggungjawab menyediakan makan malam bulat-bulat kepada Suci.

“Eh, kak Wangi! Suci cuma nak tolong saja bukan nak selesaian tugas kakak ni.”

Dang Wangi memekakkan telinga masuk ke dalam biliknya. Geram juga Suci dibuatnya.

Menyesal aku masuk ke dapur. Patutnya aku perlu tahu apa yang akan berlaku. Dah nasib aku jadi tukang masak sepenuh masa untuk keluarga aku…

Dang Wangi sudah hilang dari pandangan mata Suci. Suci yang keberatan dan berharap dapat merasa masakan kakaknya akhirnya mengalah untuk menyediakan makan malam.

Malam ini keluarga Dang Wangi sempurna semula. Ini adalah makan malam paling istimewa. Walaupun hidangannya tidak seberapa tapi ia tetap terasa sedap kerana dipenuhi dengan perasa kasih sayang yang melimpah ruah. Ini adalah keluarga paling bahagia dan Dang Wangi bersyukur kerana hidup dalam keluarga ini. walaupun banyak dugaan yang menimpa semenjak kematian kedua ibu bapanya lima tahun lalu namun dia bersyukur kerana masih punya adik-adik. Biarpun keluarganya sudah tidak sempurna lagi namun inilah harta yang akan dipertahankannya sehingga ke akhir hayat. Abah… mama… Wangi akan jaga keluarga kita. Wangi akan lindungi adik-adik. Itulah janji Dang Wangi.



Tulus dari hati…

2 comments:

Yeun Yie said...

best nye..cam nk nangis bce citer kli ni...best sngt tau..akak..nk lgi..

x sabo sngt nih..syg sngt kat n3 kli ni..i wish you good luck..

Nemo^0^eriMo said...

makcik~~~~
cepat hupdate.....

hm.....
hang nadim dh kluar.....

lps nieh saper plak?