Bab9
RUMAH ORANG TUA SERI KENANGAN…
Dari sebuah bilik tetamu Hakimi
merenung ke luar tingkap dan menjenguk seseorang dari situ. Kelihatan seorang
lelaki tua bertongkat sedang berjalan perlahan-lahan di ruang koridor bersama
seorang lagi penghuni tempat tersebut. Mereka kelihatan sedang berbual-bual
sambil menuju ke dewan makan yang tidak jauh dari situ. Ada seorang petugas
yang baik hati sedang memimpin tangan lelaki tua yang bertongkat itu. Dia
seorang gadis yang baik dan sentiasa tersenyum kepada semua orang. Hakimi terus
memandang kelibat mereka sehingga mereka masuk ke dalam dewan makan.
“Encik Hakimi…” tiba-tiba Hakimi
ditegur seseorang.
Hakimi menoleh kepada seorang
lelaki berkaca mata berusia dalam lingkungan 40-an di belakangnya. Lelaki itu
bernama Fairuz. Dia adalah pengurus pusat penjagaan orang-orang tua tersebut.
Setiap kali berkunjung ke tempat ini, Fairuzlah yang setia melayannya. Fairuz
juga bagaikan perantaranya untuk mengetahui khabar datuknya, iaitu lelaki tua
bertongkat yang dipimpin oleh petugas wanita tadi.
“Tak guna selalu datang tapi tak
pergi berjumpa datuk awak tu.” Kata-kata En. Fairuz berbau sindiran tapi sebenarnya
dia simpati dengan Hakimi yang bagaikan menagih kasih Tok Aki selama ini. Namun
En. Fairuz bangga dengan sikap Hakimi yang tetap bertanggungjawab terhadap
datuknya biarpun layanan lelaki tua itu sentiasa dingin terhadapnya.
“Cukuplah dapat mengetahui
keadaannya yang terurus dibawah jagaan awak. Dia lebih bahagia jika tidak
melihat saya, En. Fairuz.” Hakimi sekadar tersenyum tawar sebelum kembali
mengintai ke luar tingkap.
“Sejak kebelakangan ini saya lihat
En. Hakimi kerap ke sini.” En. Fairuz masih di belakang Hakimi. Melihat sahaja
gelagat Hakimi yang khusyuk merenung ke luar.
“Walaupun dia tak pernah menerima
saya sebagai darah dagingnya, saya tetap sayangkan dia. Selagi ada waktu
tentulah saya mahu meluangkan masa untuk datuk saya.”
“Bagaimana kalau sebenarnya dia
mengharapkan awak menemuinya?” En. Fairuz cuba mewujudkan suatu kemungkinan.
Hakimi mengilas pandangan ke arah
En. Fairuz semula. “Itu tak mungkin, En. Fairuz. Selagi fikirannya waras sampai
mati dia akan membenci saya,” jawab Hakimi dengan yakin. Sudah bertahun-tahun
dia cuba berbaik dengan Tok Aki malangnya datuknya itu langsung tidak memandang
keikhlasan hatinya.
En. Fairuz tersenyum tawar
mendengarkan jawapan Hakimi. Perlahan-lahan dia berpaling ke luar tingkap.
Memerhatikan penghuni pusat penjagaan orang tua di bawah kendaliannya itu.
Matanya tertumpu mencari kelibat Tok Aki yang merupakan datuk Hakimi itu.
Kelihatan lelaki tua itu sedang menikmati makan tengah hari yang disuapkan oleh
petugas wanita yang memimpinnya ke dewan makan tadi.
Kedengaran keluhan yang memberat
dari dengusan nafas En. Fairuz sebaik memerhatikan lelaki tua yang malang itu.
Sekilas dia kembali menoleh kepada Hakimi yang masih mengawasi datuknya.
Seolah-olah ada riak pengharapan di wajah pemuda itu.
Sejak menerima Tok Aki sebagai
penghuni di pusat jagaan itu dia mula mengenali siapa Hakimi. Hakimilah yang
mengatur supaya Tok Aki ditempatkan di pusat jagaan tersebut apabila lelaki tua
itu semakin uzur dan tiada siapa yang boleh menjaganya. Tok Aki yang keras
kepala itu hidup bersendirian setelah kematian isterinya. Dia ada seorang anak perempuan
iaitu Ibu Hakimi. Namun suatu peristiwa telah menyebabkannya memutuskan
hubungannya dengan anak perempuannya. Ia berpunca apabila anak perempuannya itu
berkahwin dengan seorang lelaki yang bukan pilihannya malah anak kepada
musuhnya sendiri.
Ibu bapa Hakimi tetap berkahwin
atas dasar cinta biarpun terpaksa mengenepikan keluarga. Namun keluarga di
sebelah pihak Bapa Hakimi bersikap lebih terbuka dan kembali menerima anak
mereka setelah kelahiran Hakimi namun sebaliknya Tok Aki tetap tidak memaafkan
anaknya sehingga sekarang. Baginya perbuatan Ibu Hakimi telah menconteng arang
ke mukanya kerana berkahwin dengan anak musuhnya. Musuh itu sebenarnya pernah
menjadi sahabatnya dalam perniagaan suatu ketika dahulu. Namun sifat tamak
dalam memperolehi kekayaan menyebabkan mereka saling mengkhianat. Dari hubungan
akrab sebagai sahabat ianya telah berubah menjadi permusuhan sepanjang hayat.
Yang menjadi mangsa akhirnya ialah Hakimi.
Pemuda itu ada kehidupan yang
sempurna. Malah harta peninggalan keluarganya jauh lebih mencukupi untuk
dirinya sendiri. Hakimi tidak pernah berkongsi kerana dia ialah anak tunggal.
Namun dia berasa sunyi kerana hidup sebagai anak tunggal. Dia tiada sesiapa
selepas kedua ibu bapanya meninggal dunia akibat sebuah tragedi kemalangan dahulu.
Hidupnya hanya ditemani kesunyian sejak peristiwa itu. Ternyata harta yang
banyak bukan menjamin kebahagiaan yang hakiki.
Dia mencari Tok Aki untuk menumpang
kasih malangnya dirinya tidak diterima sebagai darah daging oleh Tok Aki yang
keras hati dan degil untuk memaafkan orang. Bermacam cara Hakimi lakukan untuk
melembutkan hati Tok Aki namun hati orang tua itu terlalu keras, lebih keras
dari batu berlian. Sehingga suatu hari Tok Aki jatuh sakit dan tiada sesiapa
lagi di sisi untuk menjaganya. Hakimi mengambil langkah dengan menjaga Tok Aki
sehingga sembuh. Dia berharap dengan tindakannya itu akan melembutkan hati Tok
Aki seterusnya menerimanya sebagai cucu.
Namun kedegilan Tok Aki rupanya
diluar jangkaan Hakimi. Pintu hati lelaki itu tetap tidak menerima Hakimi
sebagai cucunya. Hakimi agak terkilan namun dia tetap bersabar. Hanya Tok Aki
seorang keluarga yang dia ada maka rasa tanggungjawab tertumpah sepenuhnya
kepada lelaki itu biarpun tahu dirinya tidak pernah disayangi oleh Tok Aki.
Melihat keadaan Tok Aki yang
semakin tak terurus disebabkan kudratnya yang semakin uzur, Hakimi telah
mengaturkannya untuk ditempatkan di pusat penjagaan ini. Sehingga sekarang
Hakimi sentiasa mengambil tahu perkembangan datuknya melalui En. Fairuz.
Sesekali dia melawat Tok Aki tetapi hanya dari jauh tanpa bertemu dengan lelaki
itu. Hakimi tidak mahu Tok Aki marah apabila melihat dirinya. Biarlah Tok Aki
gembira dengan kehidupannya sekarang bersama sahabat-sahabat barunya di pusat
jagaan orang-orang tua itu.
“En. Hakimi, sebenarnya ingatan Tok
Aki sudah semakin merosot sejak kebelakangan ini. Saya ada bawa dia berjumpa
dengan doktor. Walaupun doktor belum mengesahkannya sebagai pengidap Alzheimer tetapi mungkin dia sudah
nyanyuk.”
“Maksudnya dia sudah mula lupa?”
“Ya… dan mungkin ini satu peluang
untuk awak kembali mendekatinya.” Kata-kata En. Fairuz berbentuk cadangan.
Hakimi diam. Air wajahnya jelas
terkesan dengan kenyataan En. Fairuz sebentar tadi.
“Saya minta maaf. Saya tak berniat
nak menyinggung hati awak tapi saya fikir awak boleh ambil kesempatan dengan
penyakitnya sekarang. Cubalah dekatinya perlahan-lahan. Insya-Allah… dia akan terima awak.” En. Fairuz hanya berniat baik
demi hubungan Tok Aki dan Hakimi.
“Walaupun bukan sebagai cucu?”
kerlingan Hakimi penuh makna menatap En. Fairuz. “Saya redha kalau hanya dengan
cara itu sahaja mampu membuatkannya menerima saya.”
En. Fairuz tersenyum lega apabila
Hakimi menerima cadangannya dengan hati terbuka.
“Terima kasih kerana jagakan dia
bagi pihak saya selama ini, En. Fairuz.” Hakimi mengatur langkah untuk berlalu
dari situ. “Saya nak minta diri dahulu.” Hakimi mengatur langkah untuk beredar
dari situ.
“En. Hakimi nak pulang terus ke
Ipoh?” tanya En. Fairuz.
“Tak juga…” Hakimi berhenti dan
kembali menoleh kepada En. Fairuz. “Saya nak singgah ke suatu tempat sebelum
pulang ke Ipoh.”
“Oh, begitu.” En. Fairuz
mengangguk.
“Jadi saya minta diri dahulu. Assalamualaikum.” Hakimi kembali
meneruskan langkah untuk keluar dari tempat tersebut.
“Waalaikumussalam…” En. Fairuz merenung kelibatnya sehingga hilang.
Ada rasa simpati di tangkai hatinya terhadap Hakimi. Dalam diam dia berdoa agar
Hakimi berjaya bersatu semula dengan datuknya.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment