Bab8
MARIYA sudah nekad. Walau dengan
apa cara sekali pun dia mesti mendekati Ameer. Jika Hakimi masih berkeras mahu
menghalang pun dia tidak peduli. Hati Mariya sudah hancur. Dia benar-benar
terluka dengan sikap Hakimi. Walaupun Hakimi tidak berterus terang tapi dia
dapat mengagak kenapa Hakimi memutuskan hubungan mereka. Tentang siapa Ameer
dalam hidup Hakimi, dia yakin Ameer bukan sekadar sahabat Hakimi. Hakimi tidak
akan sungguh-sungguh mempertahankan Ameer jika dia hanya sekadar sahabat.
Hakikat ini sangat pedih untuk
diterima Mariya. Tiada siapa sanggup menerima lelaki yang dicintai telah
berlaku curang di belakangnya. Apatah lagi curangnya dengan seorang lelaki
lain. Mariya berasa sungguh terhina bila mengetahui kekasihnya menjalinkan
hubungan songsang. Lebih hina lagi apabila Hakimi sanggup mengenepikan dirinya semata-mata
kerana Ameer!
Kelibat Ameer yang sedang berbual
dengan seorang wanita di luar perkarangan bangunan Galaxie TV dikesan Mariya
sebaik kembali ke situ. Wanita anggun yang nampak mesra dilayan Ameer itu
akhirnya meninggalkan Ameer apabila sebuah kereta datang menjemputnya.
Mariya segera bertindak. Langkahnya
panjang pergi ke arah Ameer yang masih berdiri terpacak memerhatikan kelibat
kereta yang membawa wanita tadi pergi. Mariya segera mengambil peluang itu. Dia
berlari-lari anak sementara Ameer masih berada di situ. Namun tiba-tiba langkah
kaki Mariya mati akibat satu panggilan yang telah mengganggunya. Melihat nombor
yang tertera di skrin telefon selularnya Mariya berasa curiga. Wajahnya serta
merta berubah tegang. Mahu atau tidak dia terpaksa menjawab panggilan yang
datangnya dari hotel tempatnya menginap.
“Hello…” Mariya menyapa acuh tidak
acuh. Tatkala mendengar suara di sebelah sana menyampaikan hajat menelefonnya,
Mariya jadi gusar. Berkali-kali dia cuba menjelaskan keadaan sehingga akhirnya
dia tiada pilihan lain selain kembali ke hotel untuk menyelesaikan segala salah
faham. Niatnya terhadap Ameer terpaksa dilupuskan seketika akibat gangguan
tersebut.
*************
SEBAIK kelibat kereta mewah yang
membawa Datin Wan Zarina lenyap dari pandangan matanya barulah Ameer
memusingkan tubuh untuk beredar dari perkarangan bangunan Galaxie TV. Wajahnya
tersenyum ceria petang itu. Dia sangat gembira dengan tawaran yang baru
diterimanya hari ini. Menjadi pengacara sebuah rancangan realiti. Itu adalah
satu peluang besar baginya untuk melebarkan sayap agar kerjayanya terus
berkembang.
Ada sesuatu yang menarik
perhatiannya ketika dia berpusing untuk kembali masuk ke ruang lobi. Matanya
tertangkap kelibat seorang gadis berambut panjang yang sedang berjalan menuju
ke arah jalan raya. Ameer cam dengan susuk tubuh itu biarpun hanya beberapa
kali memandangnya. Gadis itu dilihat berjalan pantas bagai ada sesuatu yang
sedang dikejarnya. Ameer pantas mengatur langkah pergi mendapatkannya.
“Mariya!” jeritnya apabila nampak
kelibat gadis tersebut sedang menahan sebuah teksi.
Mariya tidak mendengar panggilan
Ameer. Setelah teksi yang ditahannya berhenti dia segera masuk ke dalam perut
teksi tersebut. Ameer kelam kabut menuju ke parkir kereta dan mendapatkan
keretanya. Dia perlu pantas sebelum kelibat teksi yang membawa Mariya lesap.
Keadaan jalan raya agak sesak pada
jam 5.00 petang itu. Ameer bertungkus lumus mengekori kenderaan berwarna merah
putih itu. Takut juga dia jika tersilap pandang kerana bukan sebiji dua
kenderaan awan tersebut yang ada di jalan raya dalam waktu begini. Mujur Ameer
cekap memandu maka dia berjaya mengekori Mariya sehingga teksi tersebut
berhenti ke destinasinya. Ameer nampak Mariya tergesa-gesa menuju ke sebuah
hotel. Dia dapat mengagak yang mariya menginap di hotel berkenaan. Ameer segera
memakirkan keretanya sebelum kembali menjejaki Mariya di hotel tersebut.
Ketika dia masuk ke perkarangan
lobi hotel tersebut Ameer nampak Mariya yang sedang bertekak dengan seorang
pengurus hotel. Ameer tidak faham dengan perbualan tersebut kerana Mariya
bertutur dalam bahasa mandarin dengan pengurus hotel yang berbangsa cina itu.
Oleh sebab itu dia tidak terus menyampuk sebaliknya hanya diam di satu penjuru
sambil cuba memahami permasalahan yang timbul diantara kedua-dua pihak.
“Awak semua ni sangat melampau!”
Mariya menengking dalam bahasa melayu setelah rayuannya tidak berhasil.
“Mariya…” Suara Ameer yang muncul
secara tiba-tiba menarik perhatian mereka semua. Tiga pasang mata serentak
memerhati langkah Ameer yang sedang menghampiri mereka.
“Ameer?” Mariya nampak
terpinga-pinga kerana tidak menyangka lelaki yang diburunya itu muncul di
hadapannya. Siapa yang menjejaki siapa sebenarnya kini?
Ameer sekadar melemparkan
senyumannya kepada Mariya sebelum bertentang mata dengan pengurus hotel bersama
salah seorang petugas di kaunter pertanyaan itu. Raut wajah kedua-dua pekerja
hotel tersebut berkerut kebingungan apabila melihat Ameer. Barangkali merasakan
yang mereka mengenali lelaki tersebut tetapi masih tidak berapa pasti.
“Apa yang berlaku?” tanya Ameer kepada
Mariya.
“Ini masalah saya. Saya boleh
selesaikan sendiri.” Mariya sengaja tidak mahu Ameer masuk campur. Dia sangat
marah dengan tindakan pengurus hotel tersebut yang mahu menghalaunya kerana
tidak menjelaskan bayaran penginapan selama beberapa hari di hotel tersebut.
Dia tidak akan semudah itu mahu membayar setelah menerima layanan buruk selaku
pelanggan di situ.
“Mungkin saya tidak faham apa yang
awak tuturkan dengan mereka tadi tapi saya dapat baca masalah yang sedang
menimpa awak, Mariya.” Ameer masih lagi mahu meneruskan niat baiknya kerana dia
tahu sejak dari awal lagi Mariya seperti dalam kesusahan.
“Ameer…” Mariya tahu Ameer berniat
baik. Mariya juga tahu yang dia pasti akan meminta bantuan Ameer juga akhirnya
nanti kerana dia memang sedang mengalami masalah kewangan sehingga
menyebabkannya mencipta berbagai alasan untuk tidak mahu membayar penginapan di
hotel ini.
“Ikut
saya sekejap.” Sejurus kemudian Mariya menarik Ameer ke satu sudut menjauhi
petugas hotel bertaraf tiga bintang tersebut. “Saya nak barang saya balik.”
Mariya menghulurkan tangannya. Dia tahu Ameer pasti tahu apa yang dimahukannya.
Ameer memandang raut wajah bujur
Mariya yang kelihatan serius itu. Mata Mariya langsung tidak berganjak dari
memerhatikan poket pakaian Ameer. Nampaknya gadis itu benar-benar mahukan
semula barangnya yang tercicir di rumah Ameer.
“Saya minta maaf. Semalam saya
halau awak tanpa usul periksa.” Ameer menanggalkan sesuatu dari lehernya.
Rupanya rantai tersebut bukan disimpan dimana-mana poket seperti sangkaan awal
Mariya tadi.
“Awak pakai rantai saya?” Mariya
membulatkan matanya memandang Ameer. Dia nampak marah dengan tindakan Ameer.
“Sebab saya takut tercicir. Lagipun
saya tak tahu nak cari awak dimana untuk pulangkan rantai ni. Kalau ia sentiasa
melekat di tubuh saya senanglah nak pulangkan bila terjumpa awak secara tak
sengaja. Macam sekarang ni.” Ameer senyum menampakkan barisan gigi putihnya.
Dia tahu Mariya marah tetapi dia ada alasan yang kukuh.
Mariya memeriksa rantai emas
berloket anak kunci itu. Ia masih lagi dalam keadaan baik. Tiada sebarang
perubahan. Dia menggenggam rantai tersebut lantas didakapnya ke dada sebelum
mengucupnya. Dia sangat gembira apabila rantai tersebut kembali ke tangannya
semula.
“Terima kasih, Ameer.” Mariya
bergegas menuju ke arah petugas hotel tadi semula.
Ameer sekadar memerhatikannya.
Setiap gerak geri Mariya terus menjadi santapan matanya namun dia tidak
sesekali masuk campur urusan Mariya dengan pengurus hotel tersebut. Apa yang
dapat dilihatnya Mariya menjelaskan sesuatu pada pengurus hotel itu dalam
bahasa yang tidak difahami oleh Ameer.
Kemudian dia nampak Mariya menyerahkan rantai emas yang dipulangkannya
tadi kepada pengurus hotel. Pengurus hotel tersebut cuba menolak tetapi Mariya
sungguh-sungguh mahu memberikannya kepada pihak hotel. Akhirnya pengurus hotel
itu menerimanya. Mariya dilepaskan pergi.
Wajah Ameer berkerut-kerut cuba memahami
situasi tersebut. Mariya dilihatnya sudah beredar menuju ke lif. Ameer
mengambil kesempatan itu untuk menghampiri pengurus hotel terbabit dan
bertanyakan situasi yang sebenarnya yang telah berlaku.
“Itu amoi tak boleh bayar hotel
tapi mahu tinggal di sini. Kami terpaksa mahu halau dia maa. Dia sudah
rayu-rayu… tapi saya tak boleh buat apa-apa. Saya pun cuma makan gaji maa.”
Pengurus lelaki berbangsa cina itu menceritakan semula situasi Mariya dalam
pelat cinanya.
“Jadi rantai tadi…” Ameer dapat
mengagak sesuatu.
“Saya banyak kasihan sama dia. Dia
sangat terdesak jadi saya terima rantai emasnya sebagai bayaran penginapan.”
Ameer menganguk-ngangguk. Akhirnya
dia faham situasi yang dihadapi Mariya. Sejenak dia berfikir dan akhirnya dia
mengeluarkan dompetnya dari poket seluar.
“Pulangkan rantai emas tu pada saya
dan saya akan bayar yuran penginapan perempuan tu.”
“Encik… betul ke ni?” gadis
penyambut tetamu itu pula bersuara sambil berbalas pandangan dengan pengurus
hotel.
“Betul.”
Akhirnya mereka bersetuju dengan
permintaan Ameer. Rantai emas berloket anak kunci itu bertukar tangan sebaik
Ameer melunaskan hutang Mariya dengan pihak hotel berkenaan. Selepas urusan
pembayaran selesai Ameer beredar keluar dari hotel tersebut. Dia harap dengan
sedikit bantuan tersebut dapat menyelesaikan sebahagian masalah Mariya. Sebagai
manusia biasa dia sekadar melunaskan tanggungjawab kecil sesama insan.
Dari satu sudut di sebalik pintu
lif ada sepasang mata sedang memerhatikan Ameer berlalu meninggalkan
perkarangan hotel. Mariya tersenyum sinis. Dia nampak segala tindakan yang
dilakukan oleh Ameer tadi. Sebahagian kecil muslihatnya sudah berjaya. Kini
tiba masa untuknya pergi lebih dekat ke pangkuan lelaki itu. “Orang baik memang
bagus kerana tidak pernah berasa curiga terhadap musuhnya. Terima kasih, Ameer
kerana sekarang aku masih ada sebab untuk terus mendekati kau.” Mariya
memuntahkan tawa bisunya sebelum masuk ke dalam lif yang baru sahaja terbuka
pintunya. Dia sangat gembira dan tidak sabar untuk merencanakan rancangan yang
seterusnya.
****************
AMEER memandang ke arah skrin
telefon pintarnya apabila alat komunikasi tersebut memuntahkan suaranya tanda
ada panggilan masuk. Ameer tersenyum sebaik melihat nama dan wajah yang
terpampang di muka skrin. ‘My Lovely Pet.’
Ameer masuk ke dalam kereta sebelum menjawab panggilan.
“Assalamualaikum,” Ameer memberi salam sebaik menjawab pangilan.
Senyumannya meleret lebar memenuhi wajah kerana begitu gembira dengan panggilan
dari ‘binatang kesayangannya’.
Si pemanggil tidak menjawab ucapan
salam Ameer.
“Tak jawab salam berdosa tau… tapi
abang tahu Nuha mesti dah jawab dalam hati.”
Si pemanggil tetap membisu
sedangkan Ameer sudah mula berceloteh.
“Pet kesayangan abang ni sihat tak? Jarang Nuha nak call abang. Ni
mesti sebab tengah rindukan abang kan.”
Si pemanggil tetap tidak memberikan
sebarang reaksi. Jika orang lain pasti sudah mematikan talian tetapi Ameer
tetap sabar menanti gadis itu bersuara.
“Abang tahu Nuha takkan bercakap.
Jadi cuba ketuk corong telefon tu supaya abang tahu Nuha yang buat panggilan
ni.” Ameer begitu memahami sikap si pemanggil yang sukar dijinakkan.
Tap!
Ameer tersenyum mendengar tindak
balas yang diberikan Nuha.
“Kalau Nuha rindukan abang cuba ketuk
dua kali.”
Tap! Tap!
Senyuman Ameer bertambah mekar.
Hati rasa berbunga-bunga apabila dirindui seseorang. Apatah lagi yang
merinduinya itu ialah Nuha Sameera, adik bongsunya yang selalu dianggap seperti
binatang kesayangannya itu.
Menganggap adik sendiri sebagai
binatang kesayangan berbunyi agak keterlaluan tetapi Ameer ada imaginasinya
tersendiri terhadap sifat adiknya yang unik. Sikap Nuha yang sukar dijinakkan
umpama seekor kucing hitam yang penuh misteri tetapi ada daya tarikan yang kuat
sehingga menyebabkan tuannya berusaha bermati-matian untuk memikat hatinya.
Setelah berjaya dijinakkan, dia adalah kucing hitam yang paling setia dan jinak
terhadap tuannya. Nuha ialah kucing hitam itu dan Ameerlah tuannya.
“Ketuk sekali kalau Nuha nak abang
pulang jumpa Nuha.”
Tap!
“Abang bukan tak mahu pulang tapi
abang sangat sibuk. Maafkan abang ya, dik.”
Senyap tanpa sebarang tindak balas.
Ameer dapat merasakan binatang kesayangannya sedang merajuk.
“Ketuk sekali jika Nuha marah
abang. Ketuk dua kali jika tidak.”
Tap! Tap!
Ameer kembali tersenyum.
“Abang janji bila abang dapat cuti
nanti abang pulang jumpa Nuha, okey.”
“Nuha akan tuntut janji yang Abang
Ameer buat.” Sebaik memuntahkan suara emasnya gadis tersebut terus memutuskan
talian.
Ameer tidak sempat membalas
kata-kata adiknya. Dia hanya mampu tersenyum dan menggeleng kepala mengenangkan
perangai pelik adik bongsunya itu. Nuha Sameera bukannya bisu tetapi memang
sikapnya tidak suka bercakap. Dia lebih banyak menggunakan bahasa tubuh dan
memek wajah untuk berkomunikasi dengan orang. Sejujurnya Ameer belum seratus peratus
berjaya menjinakkan sifat adiknya itu.
Bersambung....
1 comment:
adik ameer
org macam tu pun ada
macam2
Post a Comment