Kawan2 yg saya Sayang

Wednesday, April 30, 2014

[PUISI] Senyum Dalam Bayangmu

Kelibatmu bagaikan bebayang
Ada tak ada tak pernah kupeduli
Kau senyum tanpa berbicara
aku berbicara tanpa senyum
pelik bukan hubungan itu?

berapa nilai nasi secupak
kalau lauknya cuma senyummu?
Berapa manis air jarang itu
Kalau gulanya ada di bibirmu?
Tawarnya lebih terasa di hati
Kerna manis wajahmu tak pernah kujamah.
hanya not kertas menjadi perantara kita
setiap jam 12.00 tegaknya mentari.
Itulah waktu temujanji kita

Tahun yang kukejar tiada sisipan wajahmu
Dan senyuman manismu tak pernah aku kenang
Rupanya aku alpa
Pada sifatnya bayang-bayang
Sentiasa wujud kerna sang cahaya

Kau muncul di muka yang dikata berbuku
Kali ini bukan sekadar senyuman
Tetapi dengan salam perkenalan
Aku fikir kau tak mahu lagi menjadi bayang-bayang
Kerna menjadi cahaya itu lebih bermakna

Nah… sekarang telah kulihat kuasa senyummu
Yang penuh dengan harapan bercahya
Dalam senyum dan bicara antara kita

P/S : dedikasi buat sang teman

Sunday, April 20, 2014

Vampire Oh Vampire (Bab 6)

Bab6
Selepas tamat kelas Makyung petang itu aku dan Elmira menjejaki Azril. Mengikut informer Elmira, setiap hari khamis petang Azril akan berada di bangunan baru Fakulti Muzik. Kami bergegas ke sana untuk mengendap pergerakan Azril yang aku syaki sebagai Vampire.
“Cepatlah, El.” Aku merungut kerana Elmira yang sudah pancit di pertengahan jalan. Baru daki bukit sikit dah tak larat. Ini baru bukit dalam kawasan kolej, belum lagi panjat Gunung Kinabalu.
“Letihlah nak panjat bukit. Penat menari kat kelas tadi tak habis lagi, kau dah siksa aku memanjat bukit.” Elmira membalas rungutan. Alahai kawan aku ni. Baru bergelek tarian Mengadap Rebab je pun. Ada sahaja alasannya. Budak kurus tapi kuat makan dan malas bersenam memang macam tu. Cepat sangat letih diajak berjalan kaki jauh sedikit. Ni yang aku rasa nak rekrut Elmira pergi berjoging setiap petang mulai sekarang.
“Kita masuk kolej ni sebab nak jadi penulis yang hebat, bukan penari yang hebat. Kenapa nak siksa kita dengan kelas Makyung tu. Bencilah!” Hari merungut sedunia. Elmira selalu tak puas hati setiap kali tamat kelas Makyung. Subjek Makyung adalah subjek teras yang perlu kami ambil di kolej ini selain subjek Wayang kulit dan Bangsawan. Sebenarnya bagi aku taklah teruk sangat kelas-kelas teras ni. Walaupun lari jauh dari bidang kami tapi sekurang-kurangnya kami saja yang dapat pengalaman untuk mengetahui seni-seni kebudayaan warisan negara yang dah semakin tenggelam ditelan zaman. Pelajar di universiti lain belum tentu dapat belajar seperti kami. Tak pernah terlintas di fikiran aku selama ini akan belajar tentang Makyung. Apatah lagi bermain alat muzik dan menari. Jadi aku bersyukur kerana diberikan peluang ini. Satu ilmu bantu yang sangat berharga.
“Sofie, Sofie…”
Aku toleh semula ke arah El.
“Aku ada satu cadangan yang lebih bernas…”
“Apa lagi?” Aku berpatah balik mendapatkan Elmira.
“Apa kata kita pergi kat carpark. Kita cari kereta Azril. Kita awasi dia dari sana. Lagipun kalau kita nak cari dia di Fakulti Muzik bukannya senang. Entah kat manalah dia merayau tu. Silap haribulan kita terlepas pandang, dia dah balik.”
Bila dipertimbangkan idea El tu, aku rasa rasional juga. Lebih baik aku tunggu Azril di luar kolej. Tak mungkin dia lakukan aktiviti-aktiviti vampire dia kat dalam kolej. Jadi aku ikut cadangan El untuk awasi Azril dari parkir kenderaan.
Hampir sejam kami menunggu Azril tapi masih tak muncul muncul juga. Aku dengan El terus usha kereta Myvi warna biru kundang berplat WVP 1359.
“El, macam mana kau tahu itu kereta Azril?” sebenarnya separuh hati aku dah mula curiga. Entah betul entah tidak Si Elmira ni. Kot dia main tembak sahaja itu kereta Azril.
“Aku tahulah. Dia seorang saja yang bawa kereta Myvi kaler purple tu. Lagipun setiap hari aku nampak dia parkir kereta dia kat tempat yang sama. Sebelah padang, depan pintu pagar hostel. Setiap hari dalam pukul 8.30 pagi dia mesti dah sampai. Kecuali hari Rabu, kelas dia start pukul 2.00 petang.”
Aku cuma mampu melongo. Macam nak jatuh juga rahang aku dengar penjelasan Elmira yang terperinci tu.
“El… kau stalker ke apa. Semua pasal Azril kau tahu.”
“Err… mana ada. Ak… aku…” air muka Elmira kemerah-merahan menahan malu sebab dah kantoi dengan aku. Tak sangka pula aku. Diam-diam rupanya selama ni El admire pada Azril… vampire? No no no… it can’t be happen!
“Eh, dia datang, dia datang… tunduk, Sofie.” El segera menolak kepalaku ke bawah tempat duduk dalam keretaku. Sempat ekor mataku menangkap kelibat Azril yang baru muncul menghampiri keretanya. Azril menuju ke belakang kereta dan membuka bonet. Aku lihat kemeja T warna putih yang dipakainya tadi dikotori dengan sesuatu berwarna merah di sekitar kolar baju sampai ke dada.
Aku dan El saling berpandangan sebaik melihat kotoran yang berwarna seperti darah itu. Aku hanya mampu menelan liur. Cuak. Elmira juga tidak mampu berkata-kata. Kami berdua terus melihat gelagat Azril yang sedang menanggalkan bajunya. El gigit jari melihat separuh tubuh sasa Azril yang telanjang. Warna kulitnya yang cerah membuatkannya kelihatan seksi. Aku tertelan air liur sebelum menekup mata dan beristighfar beberapa kali. El di sebelah kuperhatikan merenung Azril tak berkelip.
Azril mengelap sekitar wajahnya yang turut dilumuri kekotoran berwarna merah itu dengan kemeja T nya. Kemudian bajunya itu dicampak ke dalam bonet. Azril membuka sebuah beg yang disimpan di dalam bonet tersebut dan mengambil sehelai baju T berwarna hitam. Dia menyarungkan baju ke tubuhnya sambil menuju ke bahagian pemandu. Sebaik dia menutup pintu kereta, aku segera menghidupkan enjin keretaku. Elmira tergesa-gesa memakai tali pinggang keselamatan. Kami menunggu kereta Azril bergerak sebelum kami mengekorinya dari belakang.
“El, kau percaya tak apa yang aku cakap sebelum ni? Maksud aku tentang Adrian… eh, Azril.” Aku menyoal Elmira sambil mata tetap tajam mengekori Myvi purple Azril.
“Maksud kau tentang vampire.” El menyambut dengan tenang. Aku tahu kepala otaknya masih ligat mencari jawapan logik tentang dakwaan aku tentang vampire yang wujud di sekitar kami sekarang. “Aku percaya vampire tu pernah wujud… tapi kalau kau nak cakap yang Azril tu vampire, susah aku nak terima.” El begitu yakin dengan kata-katanya.
“Sebenarnya aku nak buat pengakuan. Selama ni memang aku skodeng Azril sebab aku minat kat dia. Dan selama ini aku tak pernah pula nampak bukti-bukti yang menunjukkan Azril tu bukan manusia.” El mengerling wajahku yang sedang meleretkan senyuman nakal. “Eh, aku cakap aku minat kat dia saja. Itupun sebab muka dia ada aura hero aku, Kuran Kaname. Kalau cinta tu… susah nak kata. Belum sampai tahap tu kot.”
Aku kerling semula sisi wajah sahabat baikku itu. Roman wajahnya seolah-olah mencari alasan yang lebih konkrit di atas tindakannya terhadap Azril selama ini. Aku hanya diam dengan fikiran yang terus ligat memikirkan siapa sebenarnya Azril yang telah menceroboh ke dalam bilikku sebanyak dua kali sebelum ini.
Kami terus mengekori kereta Azril yang akhirnya berhenti di sebuah bangunan. Di luar bangunan itu aku lihat papan tanda yang menyatakan ada sebuah pusat gymnasium di tingkat atas bangunan tersebut.
“Patutlah body dia mengancam. Pergi gym rupanya.” Elmira tersengih-sengih mengerling papan tanda pusat gymnasium tersebut.
“Ke sebab minum darah setiap hari.” Tiba-tiba mulut aku terlepas cakap.
Sengih Elmira mati serta merta sebaik menoleh kepadaku. Air mukanya bukan marah dengan tuduhanku tetapi lebih kepada perasaan yang sudah mula mempercayai ceritaku setelah kami sama-sama melihat Azril yang menukar pakaiannya yang dikotori oleh kesan darah tadi.
Azril muncul semula selepas lebih sejam berada di pusat gymnasium. Kami kembali mengekorinya. Senja yang remang begitu cepat berakhir. Malam sudah muncul menjalankan tugas rutinnya. Jejak Azril terus kami ikuti. Ini adalah waktu kemuncak yang kami kira waktu aktif sang pemburu seperti vampire.
Ada debar yang sering mencuit tangkai hatiku namun keberanian itu lebih besar untuk menutup semangat ketakutan itu. Kewujudan Elmira sedikit sebanyak membantu untuk mengurangkan rasa tegang yang aku alami setiap kali memikirkan kata-kata Adrian bahawa dia akan kembali untuk memakan darahku seterusnya membunuhku.
“Sofie, kemana Si Azril ni nak pergi? Kenapa dia tak balik-balik rumah lagi ni. Aku dah penatlah. Lapar pula ni.” El merungut.
Kalau dah nama Elmira tu, sikit sikit lapar, sikit sikit lapar. Hai, letihlah layan lapar perempuan ni.
“Sekejap lagi kita makan. Nampak tu… aku rasa Azril dengarlah kau cakap lapar. Dia singgah McD tu.”
Elmira sengih sampai ke telinga. Anak matanya seolah-olah melihat GCB atau Big Mc set. Coke Light kegemarannya pasti sedang bergentayangan di ruang fikirannya saat ini. Aku membelokkan kereta ke lorong drive tru. Kereta Azril selang dua kereta di hadapan kami.
“Alamak… macam mana kalau dia lesap lepas beli makanan. Kita selang jauh dari dia ni, Sofie.”
“Semua salah kaulah kalau kita terlepas ekori dia.”
“Eh, apasal pula salah aku.”
“Yelah… sebab perut kau tu asyik lapar saja.”
Sudahnya memang seperti dalam jangkaan kami. Azril hilang selepas membeli makanan. Dan kami tak sempat mengejarnya kerana masih berada dalam barisan membeli makanan di lorong drive tru McDonald.
“So, apa yang kita dapat hari ini?” Elmira yang sedang menyedut Coke Light nya mengerlingku yang sedang memandu.
“Dapat apa lagi… makan.”
Elmira tersengih tanpa rasa bersalah sambil membuka balutan Big Mc nya. “Takpe, Sofie. Kita masih ada peluang untuk ekori dia lagi.” Aku nampak leretan senyuman Elmira yang penuh sesuatu. Aku tahu dalam kepala otaknya ada rencana yang telah bersusun. Apatah lagi memang selama ini dia kaki stalker Azril Afandi.
Disebabkan kami sudah terlepas menjejak Azril maka akhirnya kami pun pulang. Aku meminta El menemaniku malam ini. Terasa cuak pula nak tidur sendirian selepas dua kali vampire tu sesat masuk ke bilik aku. Seriklah untuk kali ketiga. Silap hari bulan selepas ini dia menuntut sesuatu yang dia katakan pula. Kena hisap darah tu okay lagi, yang aku ngeri tu kalau dia hisap darah aku sampai kering. Matilah aku!
“Sofie, Sofie… kau nampak tak apa yang aku nampak?”
Aku yang menghentikan kereta di luar pagar rumah menoleh kepada Elmira yang sedang memerhatikan sesuatu. Aku lemparkan pandanganku ke arah yang Elmira lihat.
“Kenapa?” aku tak nampak pula apa-apa yang pelik.
Aku tinggalkan Elmira sebentar untuk pergi membuka pintu pagar. Elmira keluar mengekoriku dengan tergesa-gesa sehingga membuatkanku tidak jadi hendak membuka pintu pagar yang bermangga.
“Kau tengoklah betul-betul kat sebelah rumah kau tu.”
Ah, sudah… El ni buat aku cuak pula malam-malam begini. Dah nak pukul 12.00 tengah malam kot ni.
“Weh, kau kenal tak siapa jiran sebelah rumah kau selama ni?”
Jiran? Jangan main gila. Jiran sebelah rumah aku tu dah lama tak ada. Diorang dah berhijrah ke Australia lima tahun lalu. Rumah ni kalau mengikut kata Makcik aku, dijaga oleh adik sepupu tuan rumah. Tapi diorang taklah menetap kat sini. Cuma datang sekali sekala sahaja.
Soalan Elmira masih tak ku jawab. Aku kerling ke sebelah pagar rumah aku. Aku nampak salah satu lampu bilik di tingkat atas rumah itu menyala. Aku dah cuak. Bila masa pula ada makhluk yang tinggal kat sebelah rumah aku ni? Selalunya penjaga rumah ni cuma datang setiap hujung minggu sahaja. Alahai… janganlah buat pasal. Malam jumaat pula ni.
“Wei, Sofie. Kau ni dah kenapa? Tiba-tiba pucat pula. Soalan aku tak jawab lagi.” Elmira memukul pangkal lenganku dengan kasar. Aku belum menjelaskan lagi tentang siapa jiranku itu. Aku risau jika dia takut dan tak jadi hendak menemaniku malam ini. “Aku tanya kau, kau kenal tak siapa jiran sebelah rumah kau selama ini?” Elmira mengulang lagi soalannya.
Aku menggeleng. Tanganku pantas membuka pintu pagar yang bermangga. Kemudian aku tinggalkan Elmira yang terkulat-kulat melihat gelagatku yang kelam kabut hendak masuk ke rumah selepas memakir keretaku.
“Sofie, cuba bawa bertenang. Yang kau kelam kabut macam nampak hantu ni kenapa?”
Puaka betul mulut minah ni. Berani dia sebut perkataan H.A.N.T.U. tu kuat-kuat. Malam jumaat ni. Gila betul minah ni. Langsung tak reti takut.
“Aku suruh kau tengok sahaja rumah jiran sebelah tu. Kau kenal tak kereta Myvi purple tu. Yang kau cuak macam vampire datang nak terkam kau ni kenapa?”
What??!! Myvi purple??
Perlahan-lahan aku tolehkan kembali kepalaku ke arah rumah sebelah. Myvi purple yang kami ekori sejak petang tadi tersergam di hadapan rumah jiran sebelah rumahku. Aku terpinga-pinga. Menggaru kepala yang tidak gatal kerana keliru.
“Jangan cakap yang kau tak kenal siapa jiran kau selama ni.”
“Aku…” sesungguhnya aku telah kehilangan kata-kata sekarang. Sejak bila bila pula mamat vampire tu jadi jiran aku? Selama ini tak pernah pula aku sedar yang rumah sebelah aku ni berpenghuni. Atau adakah dia baru berpindah ke rumah ini. Alamak… teruklah aku kena bahan dengan Elmira lepas ni.
“Sofilea… Azril Afandi, antara budak muzik paling gempak kat kolej kita tinggal kat sebelah rumah kau dan kau tak tahu. Bukan setakat tak tahu tapi boleh kau tak kenal siapa dia. Arghhhh!!! Kau buat aku stress!” Mata Elmira bulat bagai hendak menelanku, dengan kedua-dua belah tangan yang diangkat setentang dengan telinganya mempamerkan reaksinya terhadapku. Elmira sudah naik angin. Ini semua gara-gara aku yang terlalu hidup dalam dunia aku sendiri sehingga tidak kenal dengan orang sekeliling.
Tiba-tiba kami dengar bunyi pintu rumah jiran sebelah dibuka dari dalam. Serta merta mata kami berdua tertumpu ke arah rumah tersebut. Susuk tubuh Azril muncul keluar dari rumahnya dengan hanya bersinglet dan seluar trak separas betis. Ditangannya menjinjing plastik sampah yang hendak dibuangnya di luar rumah. Dia baru lepas makan. Aku nampak bungkusan Mcdonald yang dibelinya semasa kami mengekorinya tadi. Pemuda itu masih tidak menyedari kami yang terpacak di rumah sebelah sambil memerhatikannya. Selepas membuang sampah dia kembali menuju ke pintu rumah. Ketika itu baru dia tertoleh memandang ke arah kami. Dia berhenti dan menegur.
“Eh, korang berdua… buat apa kat luar malam-malam begini?” Dia menegur dengan ramah, seolah-olah sudah biasa berbual dengan kami. Aku lihat leretan senyumannya yang mesra sedang mencairkan Elmira di sebelahku. Aku fikir, aku sendiri pun hampir cair sekarang. Susuk tubuh dan roman wajah Azril Afandi kekurangan ciri-ciri kemelayuannya. Tubuhnya kurus tinggi tapi tegap berotot. Kulitnya cerah dan kemerah-merahan. Anak matanya berwarna coklat cair dan hidungnya mancung terletak. Mujur rambutnya berwarna hitam, tulin tidak berwarna. Aku dapat bayangkan jika warna rambut Azril berwarna perang memang dia persis mat saleh yang petah berbahasa melayu.
“Hai, Azril. Kitorang… hmm… nak cuci kereta.” Sengal betul Elmira. Bagi alasan entah apa-apa.
“El… tak tinggal kat sini kan? Datang temankan Sofie ya?”
Ya Tuhan… dia memang kenal nama aku dan tahu aku jirannya selama ini. Maknanya selama ni aku seorang sahaja yang tak kenal siapa dia. Bodohnya! Malu gila kalau dia tahu aku tak kenal siapa dia. Arghhh!!!
“Haah. Saya temankan Sofie. Dia ni takut sangat dengan vampire.” Aku rasa nak tampar-tampar saja mulut Elmira saat ini. Berani dia cakap pasal vampire depan Azril.
“Vampire?” air muka Azril berkerut sambil tertoleh-toleh kiri kanan seperti mahu memastikan sesuatu. “Biar betul korang ni. Wujud ke vampire tu?”
“Ah, kau… pura-pura innocent pula.” Suaraku lebih pada menggerutu sendiri. Mujur tak ada kayu di tangan aku sekarang. Kalau tak memang aku dah tikam kau sampai mati… eh, sanggup ke aku tikam nak mamat handsome ni? Ahh, tak pedulilah dia handsome ke tak, yang penting dia makhluk pemakan darah yang merbahaya. Wajib dihapuskan!
“Apa dia, Sofie?” sepasang mata coklatnya tertumpu kepada aku.
“Kau ceroboh masuk ke bilik aku sebanyak dua kali dan mengaku sebagai vampire. Sekarang kau nak pura-pura tak tahu apa-apa pula.”
Azril terdiam. Air mukanya berkedut sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Dia nampak keliru dengan apa yang aku katakan.
“Saya rasa awak dah salah faham. Saya tak pernah pun jejakkan kaki ke dalam rumah awak tu macam mana pula awak boleh tuduh saya ceroboh bilik awak.”
“Apa yang kau buat hari ini? Berapa ramai mangsa yang kau dah bunuh?” tanpa sedar kakiku dan Elmira sudah mula berundur ke belakang setapak demi setapak. Kami berpaut antara satu sama lain demi untuk berjaga-jaga. Sebarang kemungkinan boleh berlaku sekarang. Azril boleh menyerang kami pada bila-bila masa selepas rahsianya sebagai vampire telah terbongkar.
“Eh, jangan buat saya kelirulah. Bunuh apa pula ni?”
“Azril… kami nampak pakaian awak yang penuh darah siang tadi.” Elmira sudah mula berkata-kata.
“Siang tadi?” Azril kelihatan cuba mengingati kejadian siang tadi ketika kami lihat dia menukar pakaiannya yang kotor dengan darah. “Ohh… petang tadi saya lepak dengan Safwan dan Adi. Adi terlanggar Myra yang sedang bawa bahan pewarna untuk props pementasan. Cecair tu tertumpah ke baju saya waktu tu. Memang pewarna tu merah macam darah.”
“Oh… really?” Elmira serba salah. Sempat dia mengetam pinggangku kerana telah membuatkannya terjerumus dalam pertuduhan vampire terhadap Azril yang diminatinya secara diam-diam selama ini. “Jadi awak tak membunuh sesiapalah hari ini.”
Azril yang masih kepelikan itu menggeleng sahaja.
“Jadi apa penjelasan awak ceroboh masuk ke bilik saya sebelum ini?” Aku masih tidak puas hati kerana masih ada perkara yang dilakukan oleh Azril yang masih belum mendapat pencerahan.
“Saya? Ceroboh bilik awak? Bila?” sekali lagi Azril terpinga-pinga. Geramnya aku. Pandai betul mamat ni berpura-pura… dan kenapa dia seolah-olah sudah terlupa dengan seruling yang dia tercicir di bilik aku?
KCANG!
Tiba-tiba kami dikejutkan dengan suatu bunyi dari dalam rumahku.
“El, kau tunggu sini. Aku pergi check dalam rumah.” Aku segera berlari membuka pintu rumah.
“Kau jangan main gila, Sofie. Biar aku masuk temankan kau.”
Aku tak cakap banyak. Aku biarkan Elmira mengikutiku. Aku lihat Azril turut tergesa-gesa keluar dari rumahnya dan menyertai kami. Sebagai lelaki, aku fikir dia mahu melindungi kami jika sesuatu yang buruk berlaku.
Aku terus meluru ke bilikku di tingkat atas. Aku percaya bunyi itu datang dari tingkat atas. Perlahan-lahan aku melangkah. Dengan berhati-hati aku memegang tombol pintu. Tapi masih tidak berani hendak memulasnya. Cuak!
Azril mencapai pergelangan tanganku dan menyuruh kami berdua berundur. Biar dia yang bertindak selaku seorang lelaki macho. Eh, yang ni aku agak saja. Yelah… lelaki selalunya memang perlu tunjuk macho di hadapan perempuan. Kami kan insan yang lemah… dari segi fizikal sahaja, okey.
Tombol pintu dipulas dan Azril menolaknya. Aku dan Elmira menjenguk perlahan-lahan. Azril meraba suis lampu dan berjaya memetiknya. Bilik menjadi terang. Mulut Elmira ternganga sebaik melihat sesuatu. Aku juga bagai nak jatuh rahang melihat satu susuk makhluk sedang menyelongkar ruang dalam bilikku.
“Vampire!!!” pekikku disusuli dengan jeritan Elmira. “Arghhh!!!” jeritan kami bergabung dengan nyaring.
“Ian…” tiba-tiba suara Azril memecah ruang bising diantara aku dan Elmira yang menjerit. Kami berdua berhenti menjerit dengan serta merta. Merenung ke arah lelaki yang bagaikan klon Azril itu. Memang wajah mereka berdua seiras sehingga menyebabkan aku menuduh Azril sebelum ini.
“O.M.G… Kuran Kaname? Real ke ni?” Mata Elmira terbuntang sebaik melihat dengan jelas wajah makhluk yang menceroboh bilikku itu. aku menoleh ke arah jendela bilikku. Sudah rosak barangkali selaknya… atau memang lelaki ini sangat licik menceroboh masuk ke dalam bilikku.
Makhluk yang kami percaya sebagai vampire itu berpakaian serba hitam hanya duduk selamba di lantai sambil memandang ke arah kami bertiga.
“Jadi kaulah vampire yang mengganggu Sofie selama ni.” Elmira yang pura-pura berani itu sekadar bersuara di belakang Azril. Matanya masih mencuri pandang meneroka roman wajah lelaki yang seiras dengan Azril tetapi berambut panjang hampir mencecah bahu itu.
“Itu abang saya. Adrian Afandi. Dia bukan vampire.” Azril memberi penjelasan.
“Hah???” Giliran aku pula yang terkejut.
Elmira sekadar melopong. Matanya tak berkelip memandang kedua-dua adik beradik itu. Bukan kembar tetapi paras rupa memang satu acuan. Bezanya cuma pada style rambut dan imej berpakaian.
“Apa yang kau buat dalam bilik Sofie, Ian?” Azril melangkah menghampiri Adrian.
“Aku cari barang aku.” Adrian menjawab dalam nada yang dingin. Ekor matanya masih lagi tercari-cari sesuatu di sekitar bilikku. Aku tahu apa yang dicarinya. Seruling yang dia tercicir tempoh hari.
“Tapi kenapa menceroboh? Kan boleh masuk ikut pintu rumah dengan cara yang sopan.” Azril menegur sikap abangnya yang dirasakan salah.
“Betul tu. Kenapa suka ceroboh masuk bilik orang. Apa niat kau sebenarnya?” Elmira sudah mula berani ke hadapan untuk bersuara. Aku masih diam mengumpul kesabaran sebelum memulakan aksi.
“Kalau aku cakap nanti bukannya korang percaya.”
Kau tak cakap lagi mana aku nak tahu sebabnya, sengal!
“Aku tertinggal kunci rumah jadi aku cuba masuk ikut tingkap… tapi aku tersalah target. Sepatutnya aku nak masuk bilik sendiri tapi termasuk bilik… Sofie.”
“Tak logik! Takkan kau tak tahu mana satu rumah sendiri. Mana ada orang tersalah masuk sampai dua tiga kali,” tembakku.
“Aku baru seminggu di sini. Apa yang tak logiknya kalau aku tak ingat mana satu rumah aku,” dia menjawab pertuduhanku.
Aku kerling ke arah Azril dan Elmira. Azril senyum serba salah.
“Maafkan kebodohan abang saya ni, Sofie. Dia dah lima tahun dekat Australia jadi dia dah lupa dengan selok belok rumah kami. Dan dia memang ada penyakit selalu sesat. Rumah sendiri pun boleh tak cam.”
“Diamlah Azril!” nampaknya Adrian sakit hati apabila adiknya sendiri mengutuknya. Apatah lagi di hadapan dua orang gadis. Mestilah dia malu. Nampak jelas air mukanya yang cerah itu kemerah-merahan menahan malu.
Azril dan Elmira sedang menahan tawa. Aku tahu Azril sedang mentertawakan kesengalan abangnya yang tersesat sampai ke rumah aku dan Elmira pula aku percaya dia sedang mentertawakan aku yang percaya dengan penipuan Adrian yang mengaku dirinya sebagai vampire.
“Ini semua kau punya pasal, perempuan!” aik, aku pula yang ditengkingnya. Nak cari pasal nampaknya mamat ni.
“Apa! Berani kau salahkan aku. Kau ni dahlah tak reti nak mengenang budi. Jangan kata nak minta maaf, berterima kasih sebab aku tolong rawat kecederaan kau pun tidak. Sekarang kau nak salahkan aku pula.”
“Eh, mengungkit pula. Tak ikhlaslah tu.” Erghh… dia ni memang sangat menyakitkan hati aku!
“Bukan tak ikhlas tapi kau tu… berani kau takut-takutkan aku. Konon kau tu vampire nak hisap darah aku lah.” Memang tidak dapat aku lupakan senyuman jahatnya yang telah memanipulasikan fikiranku untuk mempercayainya sebagai vampire semalam.
“Kau yang mula-mula tuduh aku vampire. Aku tak introduce pun diri aku sebagai vampire. Kau tu yang mudah terpengaruh dengan fiksyen novel… apa yang kau tengok tu? Vampire Knight, right? Hahaha…” Dia tertawa mengejekku. Makin berdarah hatiku melihat perangainya.
Sempat aku menangkap senyuman penuh makna Elmira. Ah, sahlah dia nak tuduh aku lebih teruk berbanding dia sekarang. Azril pula sedang mengetap bibir menahan tawa yang dikulumnya dengan cermat demi menjaga air mukaku.
“Kau ni kan…” err… aku hilang kata-kata. Secara automatik ruang mindaku menayangkan semula peristiwa yang berlaku diantara aku dan Adrian. Cara dia muncul dengan lagak penuh misteri. Sentuhannya yang dingin bagaikan salju. Keadaan dirinya yang lemah akibat kecederaan dan demam panas yang dialaminya. Aku merawatnya tetapi dia telah menghilangkan diri sebelum aku terjaga dari tidur. Pada hari kedua dia muncul di bilikku, dia mengaku sebagai vampire. Hari ini adalah hari ke tiga dan aku telah mengetahui sebenarnya Azril dan Adrian adalah adik beradik berwajah seiras tetapi tetap ada style yang berbeza.
“Kenapa awak cedera tempohari?”
Adrian membuang pandangan ke arah lain. Aku tak faham dengan sikapnya itu. Apa yang disembunyikannya.
“Dia dikejar anjing liar…” Azril berbisik ke telingaku. Tingkahnya yang berhati-hati kerana tidak mahu abangnya naik angin padanya yang menceritakan kejadian yang memalukan baginya itu.
“Waktu tu dia cuba nak panjat pagar sebab tak bawa kunci rumah. Malangnya belum sempat dia nak panjat pagar tiga ekor anjing liar telah mengejarnya. Mungkin Ian disangka sebagai perompak kot. Maklumlah anjing-anjing kat kawasan rumah kita ni. Awak tahu kan, Sofie. Adrian berjaya larikan diri ikut lorong belakang dan memanjat belakang rumah untuk masuk ke biliknya. Mungkin waktu itulah yang dia tersalah masuk bilik awak,” cerita Azril.
“Azril, suara kau cukup kuat untuk aku tangkap semua yang kau ceritakan pada Sofie.” Adrian mengangkat kepala sambil mencerling tajam ke arah adiknya.
“Err… sorry. Aku cuma tak nak kamu berdua terus bergaduh dan salah faham.”
“Korang berdua ni comellah…” tiba-tiba Elmira bersuara. Aku sekadar meleretkan senyuman senget. Aku tahu, pasti selepas ini semakin menjadi-jadi gila Elmira terhadap klon Kuran Kaname ni… dan mungkin El akan pening kepala nak pilih mana satu diantara abang dan adik.
“Hah? Comel? Awak ni mengarutlah, El.” Azril menggeleng. Mana ada lelaki macho yang suka dianggap comel kan. “Ian, jom balik. Tak baik ceroboh bilik perempuan lah.” Azril pergi menarik tangan abangnya yang masih duduk di lantai bilikku.
“Tunggu… Sofie, aku nak barang aku semula.”
Kalau ikutkan hati tak nak aku pulangkan seruling dia tu. Mahu aku patah patahkan sahaja seruling tu di depan dia. Kalau dah nama lelaki tu, ego melangit. Susah sangat ke nak minta maaf atau berterima kasih tu?
Aku menuju ke almari pakaianku dan mengeluarkan seruling yang aku simpan dalam laci dalam almari. Kemudian aku serahkan semula seruling tersebut kepada Adrian. Walaupun hatiku tadi sudah berniat jahat untuk tidak memulangkan seruling tersebut tetapi separuh hatiku sudah menegah. Aku harus memulangkan barang yang bukan hakku.
Adrian menampaninya tapi aku tidak terus melepaskan seruling berkenaan kepadanya. Kerlingan dingin aku lemparkan kepadanya.
“Apa lagi? Masih tak puas hati? Nak aku hisap darah kau betul-betul ke?” sinis suara Adrian memerliku. Chis, ia masih tak faham juga apa kemahuanku. Hanya kata maaf dan terima kasih sahaja wahai, Adrian…
“Nak tuntut ganti rugi.” Aku tak suka berterus terang jadi aku katakan sahaja begitu.
Aku dengar dengusan nafas Adrian yang mengeluh mendengar kata-kataku.
“Aku nak kau mainkan satu lagu untuk aku.”
“Ish, kau ni. Dah tengah malamlah.” Alasan!
Aku tarik muncung. Tak puas hati dengan cara dia mengelat.
“Esok boleh?”
Aku senyum semula. Mengangguk.
“Macam tulah.” Adrian menyimpan serulingnya ke dalam jaket kulitnya. “Esok aku datang cari kau lagi…” aku mengerutkan wajah. Dia nak masuk bilik aku dengan cara menceroboh lagi ke?
“Jangan risau… aku ketuk pintu, bagi salam.”
Aku senyum kembali. Elmira pun senyum juga. Memang senyuman minah tu tak pernah lekang sejak dari tadi. agaknya feeling-feeling dalam syurga dikelilingi bidadara kot. Ah, Elmira. Biasalah tu.
“Jumpa lagi esok.” Adrian mengangkat tapak tangannya seraya mengusap kepalaku sebelum mengatur langkah untuk keluar dari bilikku… ikut pintu.
Aku cuma tergamam dan kaku. Tak sempat menepis tindakannya tadi. Berani betul dia!
“Kami balik dulu, Sofie… El,” ucap Azril dengan senyuman manisnya yang lebih panjang dilemparkan kepada Elmira. Amboi, seronoklah member aku ni. Silap haribulan tak boleh tidur malam ni gara-gara panahan senyuman yang menikam kalbu dari Azril itu.
Kedua-dua beradik itu sudah pulang dan tinggal aku dengan Elmira sahaja di dalam bilik ini. Kami tidak bercakap apa-apa melainkan senyuman panjang sambil masing-masing merenung siling. Kami sama-sama berbaring di katil single ku sambil berangan entah kemana.
“Aku ni teruk kan, El. Jiran sendiri pun aku tak kenal. Boleh pula aku sangkakan Adrian tu betul-betul vampire.”
“Kau tu memang. Kau kena ubah gaya hidup kau sebagai penulis tu, Sofie.”
“Maksud kau?”
“Pertama… jangan terlalu memerap dalam bilik semata-mata nak siapkan segala manuskrip kau. Kedua… belajar melihat manusia di sekeliling kau. Kalau mamat se-handsome Azril dan Adrian tu pun kau boleh tak sedar kewujudan mereka, macam mana kau nak kesan siapa soul mate kau nanti?” Aku memang tidak sama dengan El yang kenal dengan kebanyakan pelajar-pelajar di kolej. Elmira peramah dan berkawan dengan semua orang. Sedangkan aku akan berbual dengan sesiapa yang datang dahulu kepadaku. Dan tentang soul mate…
“Ermm… soul mate? Maksud kau lelaki yang ditakdirkan sebagai jodoh kita?”
“Yelah, sayang… mana tahu jodoh kau selama ni cuma kat sebelah rumah saja, rugilah kalau kau terlepas peluang.” Dia menggambarkan Azril dan Adrian yang ala-ala Kuran Kaname itu.
“Apa maksud kau, giler?!” Aku hempuk El dengan bantal di atas kepalaku. Saja je minah ni nak mengusik.
“Aku bagi contohlah. Kalau bukan salah satu antara mereka pun, aku fikir kau tak sedar ada yang memerhatikan kau selama ini di kolej kita tu.” Kening Elmira terangkat sambil tersenyum penuh makna.
Aku terdiam. Cuba memikirkan sebarang kemungkinan. Dan calon-calonnya…?
“Siapa? Ada ke? Aku tak perasan pun.”
“Sebab kau tutup pintu hati kau selama ni. Mana nak nampak sesiapa yang cuba singgah di hati kau.” Amboi, macam professor serba tahu pula dia.
“Kau tahu siapa ke, El?”
“Kalau aku tahu pun aku tak nak cakap. Buat apa aku cakap kalau kau tak belajar sendiri mengenal mereka.” El menarik selimut di kaki. Bantal yang aku campak tadi dipeluk sambil mengiringkan tubuhnya membelakangiku. “Good night, Sofie. Aku dah ngantuk. Assalamualaikum, renung-renungkan… dan selamat beramal.”
Aku… speechless. Nak bertanya lebih, aku lihat Elmira nampak penat sangat. Kesian dia. Seharian menemaniku mengekori Azril… dan Adrian. Mungkin ini permulaan diantara kami. Mungkin mereka berdua akan terus muncul dalam hidupku selepas ini tanpa ada perkaitan dengan isu vampire. Walaupun aku tidak tahu apakah rencana Tuhan terhadap takdirku dengan mereka berdua tapi aku harap malam ini adalah permulaan persahabatan kami… aku, Elmira, Azril dan Adrian…

Jam 1.30 pagi. Yang dikatakan malam itu sudah berlalu.  Aku tutup suis lampu. Baring di sebelah El di atas katil single ini. Berkongsi selimut yang sama sebelum memejamkan kelopak mataku. Selamat malam, dunia…

Vampire Oh Vampire (Bab5)

Bab5
Aku rasa kalau diukur bentuk air muka aku sekarang sesiapapun akan menjauhkan diri kerana takut jika kena sembur dengan makian percuma daripada aku. Yang peliknya sekarang Elmira yang duduk semeja denganku di gerai di hadapan Dewan Orkestra ini sedang gelak terbahak-bahak sambil menahan air mata yang sudah bergenang di matanya. Melampau juga perempuan ni mentertawakan aku. Kalau hilang kesabaranku, mahu terbang ketulan-ketulan ais dari gelas plastik aku ini ke mukanya.
“Aku tak sangka kau lebih dasyat berbanding aku, Sofie. Kau betul-betul percaya yang vampire tu wujud? Kau memang gila! Kahkahkah!” Elmira siap membenamkan mukanya ke beg laptopnya kerana cuba mengawal tawanya di ruang terbuka itu. Masih berhasrat mahu menjaga keayuan imejnya sebagai seorang gadis.
Aku memusingkan tubuh. Sakit hati pula lama-lama menyaksikan telatah kawan baik sendiri begitu. Di sekitar kami ramai pelajar lain yang duduk bersantai di sekitar Dewan Orkestra ini. Ada yang sedang makan burger yang dibeli di gerai berhampiran kami. Ada juga yang saja duduk-duduk santai sambil bertegur sapa dengan teman-teman sekolej yang lalu lalang. Di satu sudut kiri berhadapan dengan pintu masuk dewan dibina sebuah pentas terbuka yang biasanya digunakan oleh pihak kolej untuk acara terbuka. Di situ juga merupakan ruang tumpuan pelajar. Ada yang sibuk berlatih meniup saksofon dan klarinet. Ada juga yang membetulkan tali gitar. Ada juga yang sedang membelek nota muzik. Memang mudah mengesan pelajar dari Fakulti Muzik berbanding pelajar dari fakulti lain kerana masing-masing membawa alat muzik sendiri. Mereka semua berbual dan ketawa dengan gembira. Bermacam-macam bunyi bergabung sehingga menyebabkan ruang lapang di luar Dewan Orkestra ini menjadi sumbang dengan campur aduk pelbagai bunyi-bunyian.
Sebenarnya ruang lapang yang kami panggil sebagai Dewan Orkestra atau  O.H.(Orchestra Hall) ini bukanlah tempat kegemaranku. Aku rimas dengan bunyi bising dan ramai orang. Tapi disebabkan cafeteria yang sibuk setiap kali jam 1.00 petang, jadi kami memilih untuk makan tengahari di O.H sahaja. Tekak aku teringin pula nak makan Oblong Burger hari ini. Elmira memilih Spaghetti Bolognes. Tapi disebabkan nafsu makan El tu besar, spaghetti yang isinya cuma separuh pinggan itu manalah cukup memenuhi perutnya. Dia order pula Burger Ayam Double Special. Dia tak beli air sebab katanya sekarang sedang pantang minum ais jadi dia siap sedia bawa air mineral sendiri. Tapi akhirnya dia bedal juga milo ais aku. Chis! Memang susah nak percaya cakap orang kuat makan macam Elmira ni.
“Aku dah agak dah. Mesti kau tak percaya cakap aku.”
“Kau sembang pasal vampire tu wujud, mestilah aku tak percaya. Mana buktinya. Siapa vampire yang kau kata sedang menyamar dalam kolej kita ni?”
Kalaulah aku dapat tunjukkan buktinya sekarang, mahu kau pengsan, El. Kau mesti tak percaya sebab lelaki tu…
“O.M.G!” …dia ada di sini! Matilah aku!
Aku segera capai beg galas. Kertas pembalut makanan dan gelas plastik yang tinggal ais itu aku kutip dan berlari ke tong sampah di belakang gerai burger Pak Man.
“Oi, Sofie...” aku menoleh kepada Elmira yang berkerut dan terpinga-pinga melihat gelagatku yang kelam kabut nak cabut lari. “Kenapa ni?” suara rendah El cuba mencari punca.
Aku menarik Elmira yang masih belum habis mengunyah burgernya ke belakang gerai Pak Man. Mataku meliar mengawasi pergerakan Adrian yang sedang duduk di atas pentas sambil memusing-musingkan drum stick di tangannya. Lelaki itu sedang memerhatikan Jahari, pelajar tahun satu dari Fakulti Teater menghafal skrip. Sesekali aku lihat Adrian ketawa kerana terhibur dengan gelagat Jahari yang terlebih menghayati dialog skripnya.
“Sofie, apa kena dengan kau ni? Macam nampak hantu pula.”
Aku kembali tertumpu pada Elmira.
“Bukan hantu… vamp…pire…” aku memperlahankan suara. Takut didengari oleh Pak Man yang sedang tekun memasak daging burgernya. Isterinya, Makcik Ana sedang membungkus burger.
“Vamp…” dengan pantas aku katup mulut Elmira dengan tapak tanganku.
“Jangan cakap kuat-kuat,” bisikku kepada Elmira sambil mencerlingkan biji mataku kepadanya. Air muka Elmira masih lagi keliru dan mahukan penjelasan. Aku peluk leher El, merendahkan kedudukan kami sambil memandang ke arah pentas.
“Lelaki V tu ada kat sini.” Aku gunakan kod ‘V’ untuk ganti nama ‘vampire’.
“Maksud kau ini betul-betul bukan cerita dongeng?”
Aku menggeleng. Bulat mata Elmira. Dia tertarik.
“Siapa?” Ekor mata Elmira mula menjejaki pelajar-pelajar yang berada di sekitar O.H itu dalam masa yang sama mahu tahu terus siapa lelaki yang dimaksudkan olehku.
“Dia kata nama dia Adrian.”
“Adrian? Aku tak pernah dengar nama tu. Budak fakulti mana?” tanya El lagi.
“Aku tak pasti. Mungkin Fakulti Muzik. Hmm… dia tertinggal barang dia kat bilik aku.”
“Apa?”
“Seruling.” Aku masih simpan seruling itu di rumah. Belum berkesempatan hendak memulangkan kembali kepada tuannya.
“Seruling?” ekor mata Elmira menjeling ke langit seolah-olah memikirkan sesuatu. “Dekat Fakulti Muzik ada majoring course untuk alat muzik seruling ke?”
“Entah. Aku tak tahu tapi yang paling penting sekarang dia ada kat sini. Mati kita lepas ni, El.” Aku dah cuak. Adrian memakai kemeja T warna putih dan jeans lusuh warna hitam yang luntur. Siang bertema putih dan setiap kali malam berpakaian hitam. Lelaki itu masih lagi bercakap-cakap dengan Jahari tapi kali ini Safwan dan Adi yang merupakan pelajar dari Fakulti Filem turut berada dalam kelompok tersebut. Mereka semua nampak gembira berbual sambil bergelak ketawa. Adrian juga nampak normal malah turut bergurau senda dengan mereka semua. Mereka kelihatan akrab walaupun dari fakulti yang berbeza.
“Cuba kau berterus terang, yang mana satu V yang kau cakap tu?” Elmira sengaja mengeraskan perkataan V kerana sudah tidak sabar untuk mengetahui siapa yang aku maksudkan sejak tadi.
“Lelaki yang pegang drum stick kat atas pentas tu. Yang pakai kemeja T putih tu,” jelasku.
“Yang tengah cekik leher Jahari tu ke?”
Aku menoleh kembali ke pentas. Ya… Adrian sedang mencekik Jahari menggunakan tangan kirinya. Air mukanya kelihatan bersahaja tetapi Jahari sedang meronta-ronta kelemasan. Teman-teman yang lain hanya ketawa melihat gurauan Adrian sedangkan aku tak pasti apa yang sedang berlegar di mindaku kini bila melihat gelagat Adrian begitu.
“Itu bukan Adrian. Nama dia Azril Afandi. Memang budak muzik pun tapi major yang dia ambil Piano.”
“Main piano tapi kenapa pegang drum stick?”
“Dia pegang je pun. Mungkin drum stick kawan dia. Tapi kalau dia main drum pun, bukan pelik. Musician kan.” Ya, tidak aku nafikan yang setiap pelajar muzik tidak semestinya tertumpu pada satu alat muzik yang mereka mainkan. Secara asasnya kau perlu tahu lebih dari satu alat muzik untuk melayakkan kau dianggap seorang pemuzik.
“Kau kenal dia?” tanyaku semula.
“Azril tu… gila tak kenal. Satu batch dengan kita kot. Takkan kau tak kenal?”
Aku pandang slack je dekat Si Elmira ni. Aku tahu… dia kenal mamat tu bukan sebab dia satu batch dengan kami tapi ada sebab lain. Aku faham sangat dengan perangai kawan aku yang seorang ni.
“Well… Azril tu satu group dengan aku masa kita orientasi dulu sebab tulah aku kenal dia.”
Aku cuma melemparkan senyuman mendengar alasan itu. Biasalah. El nak cover line memang macam tu.
“Dia handsome kan…” …aku dah agak dah El ni. “Aku dengar cerita sebelum ni dia tinggal kat luar negara. Tapi tak pastilah luar negara kat mana. Seberang Tambak Johor tu pun kira luar negara juga kan. Aku pernah tengok dia perform main piano dekat KLCC. Handsome sangat dia main tau, Sofie. Rugi kau tak tengok…”
Perempuan bernama Elmira ni dah start excited lagi. Ini tak boleh jadi… “Elmiraaaa…” aku sengaja alunkan nada panggilanku untuk memberi amaran kepada El.
El tersengih-sengih sahaja.
“Tapi Sofie… logik ke kalau dia tu… V?” perbualan kami kembali ke topik asal.
“Kau ingat aku tipu? Kau tak percayakan aku? Dia sendiri mengaku pada aku yang dia tu… V tau.”
“Kalau dia tipu kau?”
Haah, kan… kalau dia tipu aku macam mana pula?
“Kau rasa dia tipu aku ke?”
“Hmm…” jari jemari El memukul-mukul perlahan dagunya sambil memerhatikan kelibat Adrian… err, Azril… ah, apa-apa sajalah. “Kalau betullah Azril tu V… aku nak pergi serah diri kat dia sekarang juga.” Elmira terus bangun. Aku terkejut dengan reaksinya yang tiba-tiba mengatur langkah untuk pergi mendapatkan Azril. Pantas aku menarik Elmira bertinggung semula.
“Kau gila ke, El!” marahku.
Elmira sekadar gelak-gelak senang hati. Pelik sungguh aku. Langsung tak takut ke dia dengan perkataan V.A.M.P.I.R.E tu. Hish… susah betul ada kawan yang fanatik dengan vampire ni.
“Macam ni sahaja, Sofie. Apa kata hari ini kita ekori dia. Kita siasat segala aktiviti Azril dan buktikan samada betul atau tidak dia tu V seperti yang kau dakwa.”
“Kita berdua?”
“Yelah… takkan kau nak buat seorang.”
Cepat-cepat aku menggeleng dan setuju dengan rancangan Elmira.
“Tau takut… Sekarang ni boleh tak kau lepaskan aku. Burger aku tu dah sejuk. Dah nak kembang. Nanti tak sedap makan. Rugilah aku.” Elmira menolak tanganku yang bergayut pada lehernya sejak tadi kemudian dia kembali mengatur langkah ke meja tempat kami makan tadi untuk menyudahkan santapannya.

Aku kembali memandang kepada Azril. Benarkah dia vampire? Azril atau Adrian… kenapa dia tipu aku? Tapi kenapa yang aku ni teruk sangat sampai tak kenal kawan-kawan satu batch. Ala… dia budak muzik, aku budak penulisan. Masing-masing bukan budak tari atau teater yang lebih mudah menonjol. Logiklah tu aku tak perasan kewujudan dia selama ni… kan…

Vampire Oh Vampire (Bab4)

Bab 4
Sulalatus Salatin yang aku baca sejak petang tadi masih di takuk lama. Sejak dari kelmarin membawa ke hari ini pembacaanku masih lagi pada bab pertama. Betapa tersiksanya membaca naskah buku sebegini. Buku ini adalah tentang sejarah melayu yang dikarang oleh Tun Sri Lanang atas arahan Sultan Abdullah Ma’ayah dan merupakan antara naskah terawal kesusasteraan melayu dalam bentuk bertulis menggunakan bahasa melayu klasik. Kisah-kisahnya menarik tetapi bahasanya terlalu indah sehingga sukar untuk difahami oleh generasi moden sepertiku. Bab satu sahaja aku perlu mengulang baca sebanyak lima kali untuk memahaminya. Aku harap aku mampu menamatkan buku setebal novel RM21.90 ini walaupun dalam keadaan tersiksa. Aku percaya ada sesuatu kemanisan yang tersembunyi dalam buku ini. Tapi bukan sekarang masanya untuk aku tamatkannya kerana Vampire Knight sedang menggamitku dari hujung katil.
Aku sempat mengerling jam digital berbentuk kiub di atas mejaku. Tepat jam 12.00 tengah malam. Aku capai baju sejuk di kepala kerusi sebelum bangun dari meja belajar. Jendela aku tutup rapat tanpa menguncinya sebelum menuju ke atas katil. Aku menekan butang power pada laptop yang sudah sedia terbuka di atas katil. Sementara menunggu sistem terpapar di skrin aku menyarung sarung kaki. Kesejukan sangat mencengkam pada malam ini disebabkan hujan lebat yang turun petang tadi.
Dua biji bantal aku letakkan di kepala katil sebagai tempat bersandar dengan laptop kuletak di atas peha. Baru sahaja hendak mula menonton tiba-tiba aku dikejutkan dengan cermin jendelaku yang ditendang dari luar bilik. Aku terkejut dan hampir sahaja hendak mencampak laptopku.
Satu makhluk hitam melompat sebelum bergolek di atas lantai bilikku. Disebabkan pendaratannya yang kurang sempurna kepalanya terhantuk pada kaki katil. Aku hampir menjerit kerana menyangkakan yang tenggiling sesat tadi.
“Ouch! Damn!” lelaki berpakaian serba hitam itu memegang kepalanya. Kesakitan.
Aku tergamam melihat lelaki tersebut. Sekali lagi pada waktu yang sama, tepat jam 12.00 tengah malam dia muncul lagi masuk ke bilikku.
“Kau lagi…” Aku segera turun dari katil lantas mendekati lelaki misteri tersebut. “Apa kau nak sebenarnya? Kenapa kau masuk ke bilik aku?”
“Hah?” Dia sedang mengelus-ngelus kepalanya yang sakit akibat terhantuk tadi. Renungannya ditala ke arahku. Kemudian dia menoleh ke kiri dan kanan. Seolah-olah keliru dengan persekitaran dalam bilikku. Dia segera bangkit berdiri. “S-O-R-R-Y… salah masuk bilik.” Dia segera angkat kaki dan menuju ke jendela.
“Tunggu!” Aku menahannya dari pergi. Dia tidak jadi hendak memanjat jendela. “Hoi, vampire! Baik kau mengaku apa sebenarnya niat kau?” Disebabkan rasa tidak puas hati aku terus menembaknya.
Lelaki itu tertoleh-toleh ke belakangnya. Ingin memastikan dengan siapa aku bercakap. Memang dialah yang aku panggil vampire.
“Hei, semalam kau ceroboh masuk bilik aku dan aku rawat luka kau. Kau menghilangkan diri sebelum aku terjaga. Kemudian pagi tadi kau muncul di kolej aku. Baik kau mengaku… siapa sebenarnya kau?” Aku tak beri peluang untuknya melepaskan diri. Dia nampak terkulat-kulat nak memberi jawapan selepas kena serang bertubi-tubi dengan aku.
Kadang aku rasa aku selalu bertindak tanpa menggunakan akal. Aku terlupa yang dia tu M-O-N-S-T-E-R. Macam mana yang aku boleh berani tak kena tempat pergi terjah dia pula.
“Hmm… okey. Nama aku…”
“Kau bukan manusia. Kau vampire!”
What?!” suaranya meninggi dan terkejut. Dia memandangku dengan pelik. “Seriously?” Dia menggeleng-geleng seakan tidak percaya dengan kenyataan tersebut.
“Kau keluar malam-malam buta sebab kau nak cari mangsa. Kau laparkan darah manusia. Kau masuk ke bilik aku dan cari peluang untuk hisap darah aku. Betul kan?”
Lelaki berpakaian serba hitam itu yang pada mulanya terpinga-pinga akhirnya tertawa mendengar kata-kataku. Menyirap juga aku mendengarkan tawanya yang seperti kambing mengembek itu. Sempat aku kerling dahinya yang bertampal plaster. Aku menjuihkan bibir. Pandai mamat vampire ni berlakon di hadapanku. Sengaja menampal plaster pada bekas lukanya. Walhal pagi tadi aku lihat lukanya telah sembuh sepenuhnya.
Seriously… aku dah tersalah masuk bilik. Aku pergi dahulu.” Jendela dikuak. Kaki sudah diangkat untuk memanjat jendela tersebut.
Aku tidak berpuas hati dan kerana terlupa akan perasaan takutku dengan selambanya aku cengkam pangkal lengan kirinya dan menahannya dari pergi. Dah kantoi ada hati nak buat-buat tak bersalah. Chis!
“Arghhh!!!” lelaki itu menepis kasar tanganku yang mencengkam lengannya. Dia mengerang kesakitan. Matanya merah, mencerlingku dengan tajam. “Kau tahu tangan aku cedera kan.”
“Ops! Aku sengaja.” Okey… aku gila sebab buat vampire naik angin. Tapi pandai dia berlakon kononnya cedera yang dia alami belum sembuh lagi. Amboi, muka dah merah macam udang bakar. Cantik sangatlah mata coklat tu tenung macam nak telan aku. Aku korek nanti baru kau tahu.
“Terima kasih sebab rawat aku semalam, cik adik,” ucapnya dalam nada yang dapat aku kesan betapa sarkastiknya dia terhadapku. “Mana kau tahu aku vampire?”
Soalannya membuatkan aku terkesima. “Jadi betullah kau ni vampire?”
“Kau rasa?” bibirnya meleretkan senyuman senget. Sangat mencurigakan. Terasa aura merbahaya di situ.
“Jadi betullah kau masuk ke bilik aku sebab nak makan darah aku.” Aku dah mula berasa cuak. Mamat vampire ni sedang menyeringai menampakkan gigi siongnya. Tiba-tiba aku terbayang yang gigi siong itu memanjang dan meruncing. Apa akan jadi sekiranya dia benar-benar mahu menghisap darahku malam ini?
Aku mula melangkah setapak ke belakang. Aku mesti cari jalan untuk menyelamatkan diri sebelum diapa-apakan oleh lelaki ini. Tapi kemana aku boleh melarikan diri? Sekuat mana pun aku melarikan diri, vampire mempunyai kelajuan seperti kilat untuk mengejarku. Lambat laun pun aku akan menjadi mangsanya. Cuma aku tidak pasti apa yang akan berlaku sekiranya darahku dihisap oleh vampire…
“Boleh aku tanya sesuatu… apa akan berlaku sekiranya kau hisap darahku? Kau takkan bunuh aku kan? Kau takkan ubah aku menjadi vampire seperti kau kan?” Serius aku takut dan buntu dengan situasi tegang dalam bilik ini. Hanya ada aku dan dia sahaja di sini. Kalau aku menjerit untuk mendapatkan bantuan pun belum tentu aku sempat diselamatkan.
“Bertenang… aku akan bunuh kau...” Gulp! Perlukah aku mengucap Syahadah siap-siap sekarang. Terasa nafasku tersangkut di rengkung. Aku sedang menghadapi saat-saat dimana bak kata pepatah ‘nyawa di hujung tanduk’. “…tapi bukan sekarang,” sambung lelaki itu disusuli tawa yang keras.
What?! Dia sedang mainkan aku ke? Sedap pula dia gelakkan aku. Melampau ni…
“Aku pergi dahulu.”
“Kau nak pergi mana?” hoi! Berani aku tanya lagi… adoi, tak boleh control mulut!
“Aku kan vampire. Mestilah nak pergi memburu,” jawabnya dengan selamba. Kedua belah kakinya sudah memanjat jendela.
“Hei…” dia kembali menoleh apabila aku memanggilnya lagi. “Sebelum kau ambil nyawa aku nanti, boleh aku tahu siapa nama kau?”
Dia merenungku. Senyumannya dileret sempurna. Serta merta jantungku berdegup laju. Senyuman itu membunuh persepsiku terhadap betapa vampire itu makhluk ganas yang menakutkan. Aku hilang akal ke apa buat rumusan sebegini. Sumpah… aku harap dapat lihat senyuman itu sekali lagi sebelum dia mencabut nyawaku kelak. Kebahagiaan terakhir sebelum kembali ke alam lain.
“Nama aku Adrian... Selamat malam. Jumpa lagi lain kali, Sofie.”
Aku terpaku di hadapan jendela tanpa menyedari yang lelaki misteri itu telah hilang. Tidak, dia bukan lagi lelaki misteri kerana malam ini aku telah mengetahui siapakah dia. Dia vampire yang bernama Adrian dan dia memanggilku… Sofie. Dia tahu nama aku.

“Ehhh!!!??? Dari mana dia tahu nama aku?”