Kawan2 yg saya Sayang

Thursday, September 8, 2011

Angel In The Devil Suit - adakala penantian itu suatu anugerah.

Dalam kepala otak saya yang masih serabut fikirkan Fiona si Mafia Hijau saya yang sedang sakit di bengkel kereta saya telah mendapat satu lagi berita. Berita baik ini sekurang2nya meredakan sedikit sedih saya mengenangkan nasib Fiona si Mafia Hijau...(sadis betul tengok keadaan Fiona yang  berwajah baru tapi telah sakit semula akibat bahana mencium bontot MyVi..huhuhu)

Berita gembira yang saya maksudkan ialah novel Angel In The Devil Suit akan terbit pada bulan November ini. sesungguhnya ia bagaikan menanti sebuah kelahiran. Happy macam nak sambut baby baru. 

Walaupun ini suatu berita baik untuk para pembaca yang sering bertanya tentang buku tersebut namun ada sedikit berita tak best yang Cik Kaseh terpaksa beritahu di sini. Harap anda semua boleh terima sebab saya terpaksa hentikan penerbitan Angel In The Devil Suit 2 di blog ini kerana novel untuk musim pertama bakal terbit dalam tempoh kurang dari 2bulan.

Cik Kaseh harap anda boleh terima berita yang tak berapa nak best ni ya. Saya akan buat yang terbaik untuk karya2 yang seterusnya. diharap akan terus mendapat sokongan para pembaca.

Untuk keterangan lanjut tentang novel saya tu anda semua kenalah rajin2 buka page Kaki Novel di FaceBook. mereka akan updated setiap novel2 baru keluaran mereka.


P/s : turut menanti kelahiran cucu saudara pertama saya hujung bulan ini. Wahh~~ seronoknya, dah lama tak ada kelahiran baru dalam keluarga besar saya =)

Sunday, September 4, 2011

Cerpen - Suasana Hari Raya...Widya Dan Jubah



Salam Aidilfitri kepada semua pembaca. Agak lama juga Cik Kaseh tak post apa2 e-novel di blog ini. minta maaf sangat2 kepada sesiapa yang menunggu. buat masa ini Cik kaseh tengah tumpukan perhatian untuk editing.
Sempena Syawal kali ini Cik Kaseh bersama 2 orang lagi penulis (Cik Ilya & Cik Nemo) telah bergabung untuk menghasilkan sebuah cerpen. Huhu~~ agak huru hara juga bila baca 1cerpen dengan 3penulis ni... harap2 dapat respon baik dari semua. Selamat membaca.


‘SUASANA HARI RAYA... WIDYA DAN JUBAH?’

WIDYA membelek-belek baju kurung yang tergantung di dalam butik eksklusif itu. Dia menelan air liur berkali-kali. Harga sepasang baju kurung itu hampir mencecah tiga ratus ringgit. Dia tengok kainnya biasa-biasa sahaja. Masakan Firdaus mahu membelikan dia baju kurung di sini. Biar betul? Dia tidak sukalah Firdaus membazirkan duit hanya kerana sepasang baju raya. Dia mahu Firdaus berjimat cermat dalam musim perayaan ini. Dia lebih suka Firdaus membeli baju di jalan TAR sahaja.
            Wajah cuak Widya diperhati dengan Firdaus dengan ekor mata. Agaknya Widya tidak yakin dia mampu membelikan baju di butik tersebut. Widya tidak tahu akan kerjanya kerana dia amat berahsia dengan Widya. Firdaus mengatakan dia hanya seorang kerani biasa di sebuah syarikat kontraktor. Dia mahu menguji hati budi Widya.
            “Wid nak yang mana?” soal Firdaus lembut.
            Widya gelengkan kepala.
            “Wid tak mahu. Kita beli  di jalan TAR saja. Sepasang baru lima puluh ringgit,” balas Widya.
            Firdaus tersenyum.
            “Apa salahnya Wid. Lagipun Fir ada bonus Raya tahun ini.”
            Widya menggelengkan kepalanya lagi.
            “Fir…kita kena berjimat cermat jangan terlalu boros berbelanja. Wid mahu Fir simpan duit itu. Tidak pun kita beli saja kain ela di Jalan TAR Wid boleh buat baju kurung sendiri. Wid juga boleh buatkan baju untuk ibu Fir sekali.” Widya merenung ke dalam anak mata Firdaus.
            Firdaus ketawa kecil. Dia tidak tahu pula yang Widya pandai menjahit.
            “Betul ni?” soalnya.
            Widya laju menganggukkan kepala.
            “Baiklah Fir ikut cakap Wid saja.” Firdaus beralah. Dalam hati dia berasa lega Widya bukan jenis gadis yang memandang kebendaan dan wang ringgit seperti teman wanitanya sebelum ini.
            Terukir senyuman indah di bibir comel Widya. Senyuman yang memukau mata Firdaus. Widya tidak secantik bidadari. Gadis itu berkulit hitam manis dan bertudung litup. Namun gadis itu manis sekali bila tersenyum kerana dan lesung pipit pada kedua belah pipinya.

            “Mari kita ke jalan TAR.” Ajak Firdaus. Mereka beriringan keluar dari butik eksklusif itu.

RAYA tahun ini tidak meriah jika tiada ketupat dan lemang. Tapi dibandar ini mahu dapatkan ketupat dan lemang yang dihasil secara tradisional memang susah. Ketupat pun sudah ada versi segera. Ketupat Adabi! Puan Julia menongkat dagu sambil memerhati jarum jam dinding. Ke mana pula anak bujangnya yang seorang ini. Dia ada hal mahu berbincang dengan Firdaus. Tahun ini dia mahu beraya di kampung. Tidak kisahlah jika di kampung Widya buah hati Firdaus itu. Dia teringin sangat! Ada macam orang mengindam pula. Itulah dulu berlagak sangat masuk jejakkan kaki ke kampung. Jijik! Apabila dia beraya di kampung Bidin, pemandunya itu tahun lepas barulah dia merasa nikmat berhari raya.  Dia memikirkan raya di bandar ni lebih meriah tetapi yang nyata sunyi dan sepi.
Puan Julia malu untuk menyatakan hasratnya pada Firdaus. Dia takut anak lelaki itu ketawakan ibunya ini. Puan Julia pernah mengutuk cara hidup orang kampung ini. Katanya kolot dan kotor. Sampai dia menolak Widya gadis yang berasal dari kampung itu. Widya bukan jadi hipokrit. Gadis itu menghormatinya sebagai orang tua. Malah Widya memberikan dia sebalang kuih siput yang dibuat oleh gadis itu sendiri. Sedap!       
Bunyi deruan enjin kereta Firdaus membuatkan Puan Julia jadi kelam-kabut sedikit. Dia segera menyorokkan balang kuih siput pemberian dari Widya itu. Semalam selepas berbuka dia meratah kuih siput Widya.
“Assalamualaikum Ibu.” Suara Firdaus sebaik melihat wajah ibunya yang duduk berehat diruang tamu itu.
“Waalaikumusalam...kamu sudah solat?”
Firdaus anggukkan kepalanya.
“Sudah ibu.”
Bukan Firdaus tidak nampak apa yang ibunya sedang belek tadi. Kuih siput pemberian dari Widya.
“Fir kata mahu belikan baju untuk ibu. Mana bajunya?”
“Fir sudah belikan tapi Fir bagi pada Wid.”
“Buat apa bagi pada Widya pula?” Raut wajah Puan Julia berubah.
“Widya akan jahitkan baju jubah untuk ibu. Ibu tahu dia ada buka kedai jahit.” Firdaus sudah melabuhkan punggungnya di sisi Puan Julia.
“Dia tahu ke saiz ibu?”
“Ala ibu kan lebih kurang macam mak Widya. Sama besar sama tinggi. Fir gerentilah
ibu mesti berkenan nanti bila sudah siap.” Firdaus tersengih.
            Dia yang beria-ia mahu Widya jahitkan jubah untuknya. Widya tidak pula membantah. Malah kain yang dibeli untuk ibunya juga mencecah ratusan ringgit.  Widya senyap dan hanya membisu. Tidak kuasa mahu membebel dengan dia.
            “Kalau tidak sedap ibu minta ganti rugi pada Widya.”
            “Ditanggung beres!”

WIDYA merenung kain ela jenis Catton yang dibeli oleh Firdaus untuk ibunya. Dia menggarukan kepala yang tidak gatal. Dia takut jubah yang dibuat tidak selesa dipakai oleh ibu Firdaus nanti. Firdaus ada cakap yang ibunya agak cerewet sedikit.
            “Apa yang Wid menungkan tu?” Emak menegur dari belakang.
            “Kus semangat! Emak ni mengejutkan Wid lah.”
            “Dekat nak raya ada tempahan lagi ke? Kan Wid kata tak terima tempahan lagi.” Suara emak.
            “Ini untuk baju ibu Firdauslah mak.”
            “Patutlah...ibu bakal menantu mak.” Emak memuncungkan bibirnya. Widya sekadar melirik senyuman.
            “Macam perli Wid saja mak ni...” Widya mengangkatkan keningnya.
            “Mak tak perli pun tau. Mak cakap saja. Eloklah tu ambil hati bakal mak mertua.” Emak tersengih macam kerang busuk. Emak ni mulut saja pedas tapi hati baik. Teruk juga Firdaus kena soal dengan emak masa mula-mula berkenalan dulu. Emak bukan apa dia risau anak gadisnya berkawan dengan lelaki tidak tentu hala.
            “Emak jangan risau jubah emak dan jubah ibu Firdaus akan sama cantik dan sama padan masa raya nanti.” Widya memberikan jaminan.

DI satu sudut rumah Wafi begitu tekun dengan kerja-kerja seninya. Dia sedang melakar sesuatu pada dinding di belakang rumahnya. Tanpa pengetahuan ibunya, dia yang pantang nampak berus dan cat cuba mencantikkan dinding tersebut dengan lukisan indah hasil kreativitinya. Adik lelaki Widya itu memang sukakan segala benda yang berkaitan dengan seni. Sejak dari kecil lagi Wafi suka ‘menconteng’ dan selalunya dinding rumahlah yang menjadi mangsa.
“Wafi, apa yang kau buat tu?” bunga-bunga kemarahan terpancar di wajah si ibu apabila mendapati ruang dinding di bahagian dapurnya sudah penuh dengan lakaran lukisan anak bujangnya.
“Mak, cantik tak?” Dengan rasa bangga Wafi mendepangkan tangannya mempamerkan lukisan di dinding tersebut pada ibunya. “Mural ni Wafi buat sempena hari raya untuk mak. Sebenarnya Wafi nak buat dekat bilik mak tadi tapi...”
“Anak bertuah! Pantang nampak dinding bersih mesti gatal nak dicontengnya. Mak nak kamu bersihkan semula dinding ni sekarang sebelum senduk mak ni terbang ke dahi kamu, Wafi.” Lengan baju kurungnya sudah disinsing sampai ke siku. Senduk pula diangkat tinggi.
“Ala, mak ni tak sportinglah. Saja je nak menghalang niat murni orang nak mencantikkan rumah sempena syawal.” Mulut Wafi tajam ke hadapan. “Orang nak tolong baiki reban ayam, Mak marah. Orang nak pasang pelita Mak tak kasi. Orang nak tolong masak Mak bising. Orang nak main meriam... lagilah Mak nak mengamuk. Bosanlah macam ni hidup Wafi. Baik Wafi balik kolej, study sampai lebam daripada duduk terperap macam anak dara dekat dalam rumah ni.” Wafi membebel tidak puas hati terhadap ibunya sambil tangannya menggosok permukaan dinding yang dipenuhi dengan lukisannya itu dengan berus sabut.
Masakan Makcik Timah tidak marah, Wafi bukan setakat membaiki reban ayam malah reban ayam sudah hampir menyerupai galeri seni. Sampaikan ayam-ayam pun naik segan hendak bertelur di dalam reban yang sangat cantik itu. Bukan ibunya tidak membenarkan Wafi memasang pelita sempena malam tujuh likur tapi anak muda itu terlalu kreatif hingga tahap mahu memusnahkan pokok mempelamnya. Kata Wafi nak buat ala-ala I-City tapi sudahnya pokok tersebut yang menjadi mangsa.
Bukan ibunya tidak suka dia membantunya memasak tapi Wafi suka menghabiskan sayur-sayurannya untuk dibuat gubahan yang sia-sia. Hidangan biasa untuk keluarga tapi digubah oleh Wafi umpama makanan beradab pengantin pula.
Memandangkan anak bujangnya itu terlebih kreatiflah menyebabkan Mak Cik Timah melarang Wafi bermain meriam dan mercun. Dia takut anaknya itu membahayakan diri sendiri dengan cuba membuat mercun buatan sendiri. Maklumlah budak terlebih kreatif.
“Kalau Wafi bosan, pergilah tolong Kak Widya. Banyak kerja yang boleh Wafi tolong dekat kedai jahit kakak Wafi tu.”
Sedang mulutnya merungut-rungut disebabkan tindakannya yang sering ditegah ibunya tiba-tiba bibir Wafi mengukir senyum. Dia berhenti menggosok dinding. Wajah ibunya ditoleh.
“Mantap juga idea Mak ni.” Wafi terus mengatur langkah meninggalkan tugas mencuci dindingnya yang baru separuh jalan.
“Wafi, bersihkan dulu dinding ni.”
Wafi tidak menghiraukan arahan ibunya. “Nanti Wafi bersihkan. Wafi nak cari Kak Widya dulu.” Sempat dia mengenyitkan mata pada ibu tersayang sebelum bergegas mencari Widya di kedai jahit kakaknya itu.

WIDYA merenung jubah Puan Julia yang sudah hampir disiapkannya. Dia tersenyum gembira. Dia berharap bakal ibu mentuanya itu akan gembira apabila menerima pemberiannya itu. Walaupun jauh di sudut hati dia agak risau sekiranya wanita itu tidak suka akan hasil jahitannya.
“Kakak ni sihat ke tak?” Suara Wafi tiba-tiba berdesing betul-betul di sebelah telinganya menyebabkan senyuman Widya mati mendadak.
“Wafi.” Meninggi sedikit suaranya apabila ditegur sebegitu oleh adiknya.
“Yang kakak sengih sorang-sorang pandang jubah yang kakak jahit ni apasal? Ada muka Abang Firdaus ke dekat jubah kakak ni?” Wafi yang nakal itu memang suka mengusik kakaknya. Widya tersipu-sipu malu.
“Sah Kak Widya dah kronik. Wafi nak call Abang Fir, nak bagitahu dia yang kakak Wafi ni dah sakit. Sakit angau. Hahaha~” Wafi galak mentertawakan kakaknya.
“Wafi...” Wajah Widya merona merah. Malu diusik oleh adiknya. Namun begitu dia tidak mengambil hati dengan usikan Wafi. Wafi adalah satu-satunya adik beradik yang dimilikinya. Maka hubungan mereka sangat akrab.
“Jubah ni untuk ibu Abang Firdaus lah. Cantik tak?”
“Cantik. Kakak Wafi kan pandai menjahit. Beruntunglah Abang Firdaus dapat pikat kakak Wafi yang serba boleh ni.” Wafi dengan gaya hendak menyakat kakaknya lagi.
“Main-mainlah Wafi ni.” Widya mengetap bibir. Geram dengan adiknya yang asyik mahu menyakatnya.
Okey... okey... ini serius.” Wafi berhenti ketawa apabila kakaknya mula menarik muka hendak merajuk. “Jubah ni cantik tapi tak cukup perfect. Kakak kena tambah sesuatu supaya ia nampak menarik,” Wafi memberikan pandangannya.
Hurm... Wafi ada cadangan?” Widya mengelus-ngelus dagu sambil berfikir cara untuk menyempurnakan lagi jubah tersebut.
“Kakak tanya pendapat Wafi?” roman wajahnya nampak begitu ceria. Bagaikan menerima penghargaan yang besar apabila Widya menanyakan pendapatnya.
“Untuk kakak yang paling Wafi sayang, Wafi akan buat yang terbaik demi kebahagiaan Kak Widya.”
Widya melirik ke arah Wafi dengan pandangan yang membawa maksud. “Kakak kurang yakin terhadap Wafi.” Harap-harap daya kreativiti Wafi tidak terlalu melampau kali ini. Widya hanya berdoa di dalam hati.

KEESOKAN paginya...
Seperti biasa Widya akan membuka kedai jahitnya. Namun pagi ini sebaik dia membuka pintu bilik jahitnya dia telah dikejutkan sesuatu yang tidak terduga.
“WAFIII!!!” Widya menjerit nama adik kesayangannya itu sebaik melihat jubah ibu Firdaus yang tergantung di penyangkut baju di bilik tersebut.
Hari ini Firdaus akan datang untuk mengambil jubah tersebut. Dia tidak tahu apa reaksi Firdaus jika melihat jubah tersebut nanti. Paling ditakutinya ialah reaksi Puan Julia. Wafi memang hebat kerana berjaya membuat sesuatu yang tersangat kreatif terhadap jubah tersebut. Widya terjelapuk di atas lantai. Hampir pengsan mengenangkan nasibnya selepas ini.
“Widya, kenapa nampak lain macam saja ni? Ada apa-apa yang tidak kena ke? Wid tak sihat ya?” Sebaik Firdaus tiba dia melihat keadaan Widya yang tidak bermaya.
“Fir... Wid minta maaf. Wid dah cuba sedaya upaya tapi...” Widya tertunduk. Rasa sangat bersalah kerana mengecewakan harapan kekasihnya itu.
“Fir tak fahamlah. Widya cakap apa ni?” Firdaus masih tersenyum tenang kerana tidak dapat menangkap akar bicara yang hendak disampaikan oleh Widya pagi itu.
“Mana jubah tu? Bagilah Fir tengok. Mesti cantik Wid buat untuk ibu Fir kan.” Firdaus bangkit dari duduknya lantas menuju ke ruang yang menempatkan baju-baju yang telah siap dijahit. “Widya, marilah tunjukkan pada Fir. Fir tak tahu yang mana satu ni.”
Widya mengatur langkah perlahan-lahan mendekati Firdaus. Wajahnya masih sugul namun diturutkan jua permintaan lelaki itu.
“Lepas Wid tunjuk, boleh tak Fir janji dengan Wid... beri pandangan yang paling jujur samada patut atau tidak jubah ini dihadiahkan kepada ibu Fir.”
Dahi Firdaus sedikit berkerut tanda curiga tapi akhirnya dia mengangguk setuju. Widya yang masih berasa berat hati akhirnya menunjukkan jubah tersebut kepada Firdaus.
“Err...” Fir hilang kata-kata sebaik melihat jubah tersebut. Dia diam lama sambil merenung dari atas ke bawah jubah tersebut.
“Fir... macam mana?” Roman wajah Widya nampak sangat risau.
Hurm... betul ke jubah ni Wid yang buat?”
Widya garu kepala. Dikerlingnya jubah berwarna coklat lembut itu sebelum mengangguk perlahan. Cara dia menjatuhkan kepala nampak berat hati hendak mengakui hasil kerja sendiri.
“Err...” Sungguh... Firdaus kehilangan kata-kata.
“Assalamualaikum...” kedengaran suara memberi salam dari luar diikuti derap kaki yang menuju ke arah mereka berdua.
“Waalaikumsalam.” Firdaus membalas salam tersebut. Widya menjawab dalam hati sahaja.
“Eh, Abang Firdaus datang nak ambil jubah ya.” Wafi tersenyum ceria.
“Elok sangatlah tu. Memang tepat pada waktunya. Jubah ibu abang tu kakak saya dah siapkan... dan saya pun ada tolong touch-up sikit supaya jubah ibu abang tu nampak lebih vogue.” Wafi yang masih tidak sedar akan perubahan wajah kakak serta abangnya terus teruja bercerita tentang jubah yang baginya.
“Abang Fir jangan risau. Wafi touch-up sikit saja. Biar jubah ibu abang ni nampak glamour gitu... tapi tetap sesuai dengan usia. Lagipun jahitan Kak Widya memang terbaeekk punya. Untuk bakal ibu mentualah katakan. Kehkehkeh~”
Widya dan Firdaus saling berpandangan. Dalam benak hati masing-masing sedang risaukan sesuatu. Puan Julia yang cerewet. Adakah wanita itu dapat menerima jubah tersebut nanti.

WAFI melutut berteleku di tengah-tengah ruang tamu. Kepala ditundukan, namun langsung tidak menggambarkan perasaan bersalah. Sesekali dia menjeling kepada Widya yang memicit-micit pelipisnya. Makcik Timah pula seperti sudah menandatangani MoU dengan angkatan Wataniah dari tadi tidak henti-henti mundar mandir dihadapannya. Alah... Akak dengan Mak ni, propa betul la, mengalahkan Pak Najib merancang Rancangan Malaysia ke 12 pula.
            “Cuba Wafi beritahu akak, kenapa Wafi buat akak macam tu?” Wafi tersengih.
            “Apa yang Wafi buat, kak? Wafi rasa...” Terhenti tutur Wafi apabila Mak berhenti betul-betul dihadapannya sambil mencekak pinggang. Yang paling tak boleh blah bila melihat senduk kayu di tangan kiri Ibu. Ibu dan senduk kayu memang tak boleh dipisahkan.
            “ Kamu jangan nak main-main Wafi. Nanti apa pula kata mak Si Firdaus tu nanti.”
            “ Mesti mak Abang Firdaus suka punyalah Mak. Glam apa?”
            Glam kemendernya? Mengalahkan kedai batu bergerak. Kalau Mak yang kampung ni pun tak sanggup nak pakai, apatah lagi orang Bandar macam dia. Kamu ni, suka berfikir empat dimensi. Pening Mak dibuatnya. Cuba sesekali kamu berfikir macam orang biasa je, tak boleh ke Wafi?” Wafi menggaru kepala. Berfikir empat dimensi? Sejak bila pula Ibu ambil Animation ni? Rasa-rasa animation pun 3D je kan? Mana datang lagi satu D? Wafi memandang Ibu dan Widya silih berganti. Mahu mengharapkan Widya menerangkan tetapi Widya mengambil langkah mengabaikannya, langsung meninggalkan dia menikus mengadap pandangan mata Ibu yang mampu membunuh itu.

WIDYA memandang jubah ditangannya. Perlahan nafas ditarik panjang dan dihela berat. Segala manik-manik yang menghiasi dada jubah itu dipandang kosong, sambil kepalanya bekerja keras memikirkan cara untuk memulihkan kembali jubah itu kepada azalinya, dan bukan kereta beragam bak kata Ibu. Bunyi telefon bimbit mengejutkan lamunan Widya, dan dia mengeluh perlahan melihat nama pemanggil pada skrin.
            “ Assalamualaikum Fir...”
            “ Wa’alaikumsalam. Wid, are you okey?” Widya mengeluh lagi.
            “ Wid, I’m so sorry...”
            “ Tak, bukan salah Fir. Nanti Wid betulkan balik. Ibu Fir tak kisah kan, kalau Wid bagi lambat sikit. Janji sebelum raya.”
            “ Er... Itulah masalahnya Wid...”
            “ Kenapa?” Widya meneguk air liur.
            “ Ibu kata dia nak beraya dengan Wid tahun ini.” Widya terasa mahu pitam.
            “ Er... bila agak-agaknya Ibu Fir nak ke sini?”
            “ Esok...” Widya dah rasa mahu menelefon Pak Amat, mahu menempah tempat di tanah jagaan Pak Amat. Biar Pak Amat siapkan awal-awal supaya tidak kelam-kabut menerima kehadirannya menghuni rumah baru tujuh kaki bawah tanah!!

PUCAT sudah wajah Widya melihat kereta Waja milik Firdaus memasuki perkarangan rumahnya. Dia memandang Makcik Timah yang turut sama terpaku dihalaman rumah menerima kunjungan yang tidak disangka. Berpeluh-peluh Widya menyalami Puan Julia yang kelihatan sangat sofistikated pada pandangannya.
            Terkebil-kebil dia memandang Puan Julia yang sangat mesra bersama Ibunya. Sama-sama jalan beriringan menuju ke dapur, seperti sudah mengenali lama. Cuitan pada bahu membuatkan Widya meloncat, terkejut. Firdaus mengangkat tangan sambil tersengih.
            Sorry...” Widya menjulingkan mata, tak mahu ambil pusing rasa malunya yang tiba-tiba hilang ayu dan sopan dihadapan Firdaus.
            “ Betul ke Ibu Fir nak beraya dengan kami?” Firdaus mengangguk kepala.
            “ Fir tak bagitahu apa-apa ke pada Ibu Fir?”
            “ Bagitahu apa?” Widya mengetab bibir. Fir ni la, tima-time cenggini la buat lawak antarabangsa. Orang tengah darurat ni.
            “ Pasal baju ke?” Cepat-cepat Widya mengangguk kepala.
            “ Fir tak bagitahu apa-apa. Biarlah Ibu tengok sendiri.” Mendengar kata-kata Firdaus membuatkan Widya rasa seakan melangkah menuju ke tali gantung.

TERPISAT-PISAT Widya menggosok mata mendengar ketukan pada pintu biliknya. Ntah bila dia terlelap diapun tak pasti. Perlahan-lahan dia bangun menuju ke pintu, kedengaran suara Makcik Timah sayup-sayup mengejutkannya.
            “ Hish... apa nak jadi dengan anak dara seorang ni, orang lain sibuk di dapur, dia sedap je membuta.” Widya tersengih menutup rasa bersalah.
            “ Fir dengan Ibunya mana Mak?”  Makcik Timah mengunjuk bibir menghala ke ruang tamu.
            Ni, kamu dah siapkan ke baju si Julia tu? Dia dah berkias-kias tanya tema tahun ni warna apa, patern apa.” Widya meneguk air liur. Rasa mamainya terus terbang.
            “ Mana siap lagi ibu.”
            Ish... baik kamu terus-terang ke pada dia. Nanti apa pula kata dia kalau kamu mungkir janji.” Widya mengangguk kepala. Dalam kepalanya sedang merangka jawapan-jawapan yang munasabah, munaserawak untuk diberi kepada Puan Julia. Sekali pakej mengumpat mengutuk menyalahkan Wafi yang punya angkara.

PUAN Julia memandang jubah yang lip-lap lip-lap ditangannya silih berganti dengan Widya yang duduk melutut dihadapannya itu. Firdaus turut menyumbang tenaga dan tempias keterbersalahnya melutut disebelah Widya. Manakalah ibu Widya turut berdiri dibelakang Widya dan Firdaus menukur memerhatikan corak-corak pada permaidani.
            “ Fir, boleh terangkan pada Ibu apa dah jadi?” Firdaus memandang Ibunya terkebil-kebil, tidak tahu mahu memberi alasan apa.
            “ Widya, boleh beritahu Aunty kenapa jadi macam ni?”
            “ Er....”
            “ Fir, Fir kata pada Ibu Widya pandai menjahit.”
            “ Betullah apa Fir kata Ibu. Kan Widya dah jahit jubah untuk Ibu, Cuma terover topping sikit.” Firdaus tersengih-sengih menerima jelingan maut dari Puan Julia dan Widya serentak.
            “ Kalau sikit takpe jugak. Ni dah serupa Pancawarna Malaysia ni kenapa, Fir? Widya? Kau orang nak arakkan Ibu satu kampung ke? Ke nak suruh Ibu masuk pakaian beragam?” Widya meneguk air liur memandang wajah Puan Julia yang memerah.
            “ Ibu, Widya tak bermaksud macam tu pun. Cuma...”
            “ Cuma apa? Owh.... belum apa-apa lagi Fir dah pandai bela dia dari Ibu. Ni belum lagi Fir bernikah dengan dia. Nanti kalau Fir dah kahwin dengan dia, Ibu pun Fir tak pandang.” Pantas Puan Julia memotong kata-kata Firdaus membuatkan anak muda itu tergamam.
            “ Bukan macam tu Ibu...”
            “ Sudah... Fir... Kemas balik semua barang-barang kita. Kita beraya di KL tahun ini.”
            “ Tapi Ibu...”
            “ Tapi apa lagi? Fir nak jadi anak derhaka? Pergi kemas cepat. Kita balik KL sekarang jugak.” Suara Puan Julia yang naik beroktaf-oktaf itu membuatkan Widya tersedar. Cepat-cepat dia melutut dihadapan Puan Julia.
            “ Aunty, jangan macam ni Aunty. Widya takde niat pun nak malukan Aunty. Ini semua salah Widya. Bukan salah Fir. Jangan kata dia derhaka dengan Aunty. Aunty, Widya janji, Widya buat balik baju untuk Aunty. Esok Aunty beraya dengan baju baru. Widya tak tidur pun takpe, Widya janji buat untuk Aunty.” Puan Julia tersenyum sinis. Tangan Widya yang memaut kakinya ditepis kasar.
            “ Tunggu apa lagi Fir? Cepat Ibu kata.” Firdaus serba-salah. Perlahan-lahan menghampiri Puan Julia yang sudah berdiri disebelah kereta.
            “ Aunty, Widya janji  aunty...” Panggilan Widya langsung tidak diperdulikan Puan Julia. Hanya kerana sehelai jubah, ditegar membiarkan wanita yang disayangi anaknya memaut merayu kepadanya.
            “ Aunty...” Puan Julia langsung tidak memandang wajah Widya. Sebaliknya dia bingkas menarik Firdaus memasuki kereta.
            “ Aunty...” Enjin kereta dihidupkan.
            “ Aunty, beri Widya satu lagi peluang Aunty..” Dan Waja itu tegar meninggalkan Widya yang mula mengalirkan air matanya.
            “ Aunty....!!!” Jeritan Widya bergema, tanpa dapat ditahan perasaannya sebak, terjelepuk ke tanah, menukur menahan rasa.
            “ Ya Allah... Widya... Oit Widya...” Widya mengangkat kepala. Kelihatan Makcik Timah memandangnya dengan dahi yang berkerut.
            “Mak...” Widya pantas memeluk Makcik Timah sambil menangis teresak-esak.
            “ Ya Allah... Kenapa ni Widya?”
            “Mak, Fir dah tinggalkan Widya...” Widya mengongoi.
            “ Hah?”
            “ Aunty Julia tak suka Widya. Dia kata Widya malukan dia.”
            “ Hah?”
            “ Apa bising-bising ni Mak? Tengok cerita Hindustan ke?” Wafi menjenguk dimuka pintu. Pelik memandang kakaknya yang menangis mengalahkan budak kecil tak dapat gula-gula.
            “ Ni semua Wafi punya pasal.” Widya membentak geram.
            “ Kenapa pula dengan Wafi?”
            “ Sebab Wafi la Fir kena paksa dengan Aunty tinggalkan akak.” Wafi mengerut dahi. Dia memandang keliling, sebelum kembali membuang pandangannya kepada Widya yang memandangnya geram.
            “ Kejap, kejap... Cop dulu. Bila Aunty suruh Abang Firdaus tinggalkan akak?”
            “ Tadi. Wafi ke mana? Tulah, merayau sentiasa. Tetamu datang ke rumah pun tak tahu.” Wafi memandang Ibu dan Widya silih berganti.
            “Mak, rasanya dari tengah hari tadi Wafi dengan Mak tolong buat keronsong ketupat kan?” Makcik Timah mengangguk kepala.
            “ Bila masa tetamu datang Mak?” Makcik Timah menjongket bahu. Widya memandang Makcik Timah dan Wafi silih berganti. Kedua-duanya memandangnya pelik.
            “ Tadi lah Mak, Mak  lupa ke?”
            “ Kak, Wafi rasa kan, akak mengigau la. Tu la, orang suruh tolong Mak kat dapur. Sibuk dengan jubah bakal mak mertua dia.” Widya memandang Makcik Timah yang dah mula tersenyum simpul. Pandangan Widya berkalih pula kepada jubah ditangannya yang hampir siap. Tiada labuci-labuci seperti pakaian beragam seperti yang dia nampak sebentar tadi. Keadaan keliling diteroka, dan barulah Widya sedar yang dia berada dibiliknya. Serta-merta wajah Widya terasa panas.
            “Mak, apa kata kita abaikan saja orang yang angau macam tu Mak. Kemaruk sangat nak berlaki, belum apa-apa dah mimpi bukan-bukan.” Makcik Timah ketawa kecil. Perlahan bangun meninggalkan Widya yang malu-malu kucing dismash dengan Wafi.
            Bunyi telefon bimbit membuatkan Widya cepat-cepat membelakangan Wafi yang masih seronok bergelak ketawa di muka pintu biliknya.
            “ Assalamualaikum...” Widya diam sementara mendengar tutur disebelah sana.
            “ Ha... takde apa-apa pun. Wafi ni skru dia tertanggal.” Makin kuat ketawa Wafi mendengar ujaran Widya.
            “ Kak, agak-agak akak la kan, kalau Abang Fir tahu hal ni kan, berapa kurun akak nak menyorok bawah tempurung?” Widya membaling bantal tepat mengenai wajah Wafi.
            “ Takde apalah Fir. Hm.. dah nak siap dah. Nanti Wid kasi kat Fir bila dah siap.” Cepat-cepat Widya mematikan talian, memandang geram kepada Wafi yang sudah merah mukanya akibat terlalu banyak ketawa.
            “ Diamlah Wafi..!!”
            “ Kak...”
            “ Apa?’
            “ Jubah dah siap?”
            “ Kenapa?”
            “ Kalau dah siap, Wafi boleh tolong touch-up...”
            “ Tak boleh!!!” Pantas Widya memotong dan meninggalkan Wafi terpinga-pinga.
“... bagi glam sikit.” Sambung Wafi perlahan melihat kelibat Widya yang hilang disebalik dapur bersama jubah ditangan!!