Yang tersurat belum tentu sahih selagi yang tersirat belum disingkap... hati sangat baik malam ini mahu upload dua bab. selamat membaca dan mencari kebenaran di sebalik hubungan Ameer / Hakimi & Mariya ^__^
Bab7
“AMEER… Abang Ameer… Abang
Ameer!!!” kedengaran jerit pekik sekumpulan peminat memanggil-manggil nama
Ameer sebaik tamat rakaman pengambaran sebuah rancangan.
Beberapa orang pengawal siap sedia
mengawal keadaan di perkarangan studio rakaman tersebut. Namun peminat-peminat
Ameer tidak peduli dan cuba merempuh para pengawal tersebut. Ameer yang baru
hendak beredar dari situ memandang dari jauh sambil melambai dan melontarkan
senyuman kepada mereka.
“Abang Ameer, we love you! You’re the best!” peminat-peminat yang terdiri dari
kalangan gadis remaja itu kelihatan begitu teruja apabila Ameer memberikan
reaksi. Walaupun hanya sekadar senyuman dan lambaian sahaja.
Mereka bertambah teruja apabila
langkah kaki Ameer diatur menuju ke arah mereka yang berada di kawasan tempat
duduk penonton. Pengawal yang mengawal keadaan cuba melarang tindakan Ameer
namun Ameer dengan tenang memberikan jaminan yang peminatnya tidak akan
bertindak diluar kawalan. Akhirnya mereka dilepaskan menerpa mendapatkan Ameer.
“Abang Ameer ni best lah. Sporting betul. Tak macam artis lain, kan,” kata salah seorang
daripada mereka memuji sikap Ameer yang sentiasa melayan peminat dengan baik.
“Betul tu. Abang Ameer tak sombong
sebab itulah kami sayang kat Abang Ameer.” Semua mengangguk bersetuju dengan
pendapat sahabat mereka.
Ameer hanya tersenyum mendengar
pandangan tersebut. Peminatnya itu terdiri dari gadis remaja yang masih belasan
tahun. Jadi dia tidak perlu terlalu serius memikirkan setiap ucapan mereka.
Jiwa remaja selalunya memang akan obsess pada sesuatu yang diminatinya namun
selagi bijak dikawal mereka tidak akan fanatik keterlaluan.
“Abang Ameer bukan artis lah. Cuma suka jadi pak pacak kat sebelah
artis-artis popular sahaja.” Ameer merendah diri dalam waktu yang sama sempat
berjenaka.
Semua tertawa dengan jenaka Ameer.
“Terima kasih semua kerana sudi
memenuhkan studio untuk rakaman kali ini.”
“Biasalah, Abang Ameer. Kitorang
selalu datang. Abang Ameer tak perasan ke yang kitorang ni selalu terpacak
dalam studio ni setiap kali rakaman Abang Ameer.”
“Korang memang peminat yang paling sporting. Thank’s guys.”
“Sebab Abang Ameer kesayangan kami
ni pun sporting habis dengan peminat.
Eh, jom kita ambil gambar.”
Ameer menurut sahaja kemahuan
mereka memandangkan tugas rakamannya sudah tamat petang itu. Jadi biarlah masa
yang terluang ini dihabiskan dengan melayan peminatnya. Ameer bersyukur,
walaupun namanya tidak segah dan sehebat nama Aznil Hj Nawawi namun dia masih
terus berdiri di persada kerjayanya sebagai pengacara. Untuk mencapai kejayaan
seperti pengacara idolanya itu dia perlu bersabar dan giat berusaha. Impian
untuk berdiri kukuh dalam bidang kerjayanya itu bukanlah mengambil masa yang
singkat. Untuk mencapai impian tersebut dia perlu membayarnya dengan perit
jerih dan segala macam kesusahan dahulu. Dia yakin dengan semangat yang kental dan
keyakinan yang tinggi beserta doa kehadrat Ilahi kejayaan itu pasti akan berada
dalam genggamannya suatu hari nanti.
“Ameer, ada orang cari kau.”
Seorang staff di stesyen tv tersebut
memanggil Ameer.
Ameer meminta diri untuk beredar dari
kelompok peminatnya. Sejurus selepas itu dia bergegas keluar dari studio
tersebut untuk menemui seseorang yang dikatakan mahu berjumpa dengannya.
“Siapa, Bob?” tanyanya kepada staff yang memanggilnya tadi.
Bob hanya menjungkitkan bahu tanda
tidak mengenali orang tersebut.
“Lelaki ke perempuan?”
Sekali lagi Bob tidak menjawab.
Lelaki gemuk itu hanya melemparkan senyuman nakal kepada Ameer.
“Cakaplah siapa? Aku tak nak jumpa
kalau kau tak berterus terang.”
“Awek cun. Pakaian dia serba putih
macam bidadari. Cantik sangat. Untunglah jadi popular macam kau. Ada ramai
peminat,” kata Bob sebelum meninggalkan Ameer untuk kembali meneruskan
kerjanya.
Ameer terpinga-pinga sambil
meneruskan langkahnya menuju ke lif. Hatinya tertanya-tanya siapakah gadis yang
ingin menemuinya kali ini. Tak kan peminat lagi. Kalau sampai menunggunya di
pejabat bermakna dia bukan peminat biasa. “Pakaian serba putih? Takkanlah dia…”
***************
HAKIMI muncul di perkarangan
Bangunan Galaxie TV untuk menemui Ameer petang itu. Dia berasa tidak sedap hati
apabila Mariya sengaja tidak menjawab panggilannya sejak pagi tadi. Dia
mengesyaki Mariya sedang merancang sesuatu dan cuba untuk mendapatkan Ameer
semula setelah percubaannya semalam menemui kegagalan disebabkannya ada bersama
Ameer waktu itu. Maka sejurus urusan kerjanya selesai dia segera menjejaki
Ameer di situ.
Ketika berada di ruang lobi
bangunan matanya berjaya menjejaki kelibat Mariya. Hakimi menukar rancangan
awalnya untuk memastikan situasi Ameer apabila terlihat Mariya di situ. Dia
tidak boleh terus membiarkan Mariya bertindak lebih jauh lantas segera menarik
gadis itu keluar dari bangunan Galaxie TV.
“Hakimi, lepaslah!”
Hakimi tidak mempedulikan teriakan
Mariya. Dia menarik Mariya menjauhi perkarangan lobi. Sehingga di parkir kereta
barulah dia melepaskan Mariya.
“Awak buat apa di sini, Dhia?”
Hakimi masih lagi memanggilnya ‘Dhia’ kerana telah terbiasa selama ini.
“Mariya… panggil saya Mariya! Tak
faham-faham lagi ke?!” Mariya membentak. Dia sangat benci mendengar Hakimi
memanggilnya dengan nama tersebut. Terasa pedih menusuk ke kalbu setiap kali
mendengar nama itu dipanggil dengan lunak oleh lelaki itu.
“Baiklah, Mariya. Apa yang awak nak
dari Ameer sebenarnya?”
“Itu urusan saya. Awak jangan masuk
campur.”
“Saya takkan masuk campur urusan
awak lagi kecuali ia melibatkan Ameer.” tegas Hakimi.
Pedih hati Mariya apabila mendengar
kata-kata tersebut. Sungguh jelas yang hati Hakimi bukan lagi miliknya. Tapi kenapa
mesti Ameer? Kenapa lelaki seperti Ameer begitu penting di hati Hakimi? Mariya
sungguh terkilan apabila dirinya disingkirkan Hakimi.
“Siapa Ameer di hati awak
sebenarnya, Hakimi? Kenapa dia lebih penting berbanding saya?” Anak mata Mariya
sudah berkaca-kaca. Dia terus bertahan daripada menangis. Wahai hati, tolonglah
bertahan agar tidak mengalirkan air mata demi lelaki tidak berguna ini.
“Awak tak faham Mariya tapi suatu
hari nanti awak akan faham jua.”
“Kenapa awak buat saya begini?
Setelah sekian lama saya hidup dalam kegelapan, awak muncul memberikan sinar.
Awak beri saya harapan. Setelah saya benar-benar menyayangi awak tapi ini
balasan yang saya dapat. Kenapa awak nak campak saya kembali ke dalam dunia tu?
Daripada awak buat saya begini, lebih baik awak bunuh saya, Hakimi.” Sungguh
dia terseksa dengan sikap Hakimi. Jika dahulu dia didera dari segi fizikal oleh
ayahnya tapi kali ini dia didera secara mental. Sakitnya lebih parah berbanding
penderaan fizikal.
“Jangan begini Mariya. Semua ini
takdir. Saya tiada pilihan. Maafkan saya.” Tiada lagi perkataan lain yang mampu
hakimi luahkan kecuali perkataan ‘maaf’ yang berulang-ulang.
“Tapi kenapa mesti Ameer? Kenapa
penghinaan begini yang awak lemparkan kepada saya, Hakimi? jawablah!”
“Jawapan bagaimana yang boleh
memuaskan hati awak sebenarnya, Mariya?”
Mariya tidak puas hati apabila
Hakimi memulangkan soalan kepadanya tanpa menjawab soalannya.
“Awak masih nak berpura-pura,
Hakimi. Baiklah… saya akan anggap Ameer sebagai musuh saya dan saya akan
hancurkan hidup musuh saya sebagaimana awak hancurkan harapan saya. Awak akan
menyesal suatu hari nanti, Hakimi.” Mariya mengatur langkah. Tanpa sebarang
ucapan selamat tinggal dia bergegas meninggalkan Hakimi.
Hakimi tidak mampu menahan Mariya
lagi. Dia membiarkan Mariya berlalu pergi. Batang tubuh gadis itu hanya dihantar
dengan sorotan matanya. “Mariya, kau memang degil. Kau pasti akan menyesal
kalau teruskan niat jahat kau.”
***********
SEBAIK masuk ke dalam bilik yang
dikhaskan untuk pelawat di pejabat tersebut wajah Ameer tersenyum ceria. Seorang
wanita anggun sedang menantinya dan sebaik dia muncul di bilik tersebut
kedatangannya segera disambut wanita tersebut. Ameer sedikit teruja namun masih
tertanya-tanya siapakah wanita tersebut.
Pada awalnya dia menyangka Mariya,
gadis misteri yang ditemuinya kelmarin yang mahu menemuinya. Apa tidaknya, bila
melihat senyuman nakal Bob tadi bagai mengundang curiga. Serta merta dia terus
teringat pada rantai leher Mariya yang masih berada dalam simpanannya. Hanya
Mariya yang boleh mencarinya untuk mendapatkan rantai tersebut sedangkan dia
tidak tahu dimana Mariya berada.
“Ameer Asytar, awak kenal siapa
saya?”
Ameer hanya tersenyum. Sejenak
kemudian dia menggeleng perlahan. Mahu menggeleng terus takut akan mengecilkan
hati si empunya diri. Sebenarnya memang dia tidak mengenali wanita rupawan di
hadapannya itu. Dia menanti dengan sabar setiap bicara wanita tersebut. Dia
yakin tentu wanita anggun itu muncul membawa hajat. Mustahil wanita tersebut
hanya peminat semata-mata.
“Nama saya Datin Wan Zarina. Saya
seorang penerbit filem.” Wanita anggun itu meperkenalkan dirinya.
“Maafkan saya, Datin. Saya pernah
dengar nama Datin tapi tidak pernah mengenali Datin,” tutur Ameer dengan sopan.
Dia tahu wanita muda bergelar Datin itu orang yang agak berpengaruh dalam
industri filem.
“Tak mengapa. Saya faham.”
“Jadi apa hajat Datin datang
mencari saya?” tanya Ameer sebaik melabuhkan punggung di sofa.
“Saya peminat awak,” Datin Wan
Zarina menjawab selamba.
“Ha?” Ameer melongo. Biar betul mak
datin secantik peragawati ini peminat aku…
Datin Wan Zarina tersenyum melihat
gelagat Ameer yang melongo terkejut dengan pengakuannya.
“Saya meminati bakat yang awak ada.
Jadi hari ini saya ada satu tawaran hebat untuk awak.”
“Ohhhh… begitu rupanya.” Ameer
tersengih sendiri kerana menyangka yang bukan-bukan pada awalnya tadi. “Tawaran
apa yang Datin maksudkan? Tawaran berlakon ke? Hmm… kalau tawaran berlakon,
terus terang saya minta maaf sebab memang saya akan tolak tanpa fikir panjang.
Saya tidak berniat untuk terjun ke dunia lakonan.”
Datin Wan Zarina tersenyum melihat
Ameer yang berfikir setapak ke hadapan. Namun bukan tawaran itu yang mahu
diberikannya kepada Ameer.
“Saya dah agak. Awak sangat komited
dengan tugas awak. Awak hanya fokus pada impian awak. Maka itulah sebabnya saya
pilih awak untuk mengendalikan satu program realiti terbaru yang akan saya
terbitkan kelak.”
“Err… telinga saya masih berfungsi
dengan baik kan. Betul ke Datin tawarkan saya jadi host untuk satu program
realiti?”
Datin Wan Zarina mengangguk.
Senyumannya terukir gembira melihat reaksi Ameer.
“Wow! Macam tak percaya.” Keterujaan
Ameer hampir tak terkawal. Dia cuba berlagak biasa namun dalam diam Datin Wan
Zarina dapat menangkap kegirangan Ameer kerana berita tersebut.
“Beginilah, Ameer. Semuanya masih
lagi dalam proses perbincangan. Datang ke pejabat saya bila senang dan kita
akan berbincang dengan lebih serius lagi. Saya yakin awak pasti akan lebih
teruja bila mendengar program apa yang bakal awak kendalikan kali ini.”
“Terima kasih, Datin.”
“Saya kejar masa sebenarnya ni.
Saya terpaksa minta diri sekarang. Lain kali kita jumpa lagi. Okey, Ameer. Good luck.”
Ameer sekali lagi mengucapkan
terima kasih kepada wanita tersebut. Dia menghantar Datin Wan Zarina sehingga
ke ruang lobi. Petang itu segalanya berakhir dengan kegembiraan. Hal ini
membuatkannya tambah bersemangat untuk melalui hari-hari mendatang.
Bersambung.....
1 comment:
rasanya mariya ni dah salah faham hubungan dorang berdua...hahaha...
hubungan hakimi dengan ameer mcm kembar ,adik dan abang
Post a Comment