Kawan2 yg saya Sayang

Sunday, April 20, 2014

Vampire Oh Vampire (Bab2)

Bab 2
Suara azan subuh yang berkumandang dari masjid yang berhampiran menyebabkan aku terjaga dari tidur. Tubuhku masih berat. Katil yang lembut ditambah kehangatan tubuh yang dikelubungi selimut ini sungguh membahagiakan. Terasa malas hendak meninggalkan tempat peraduanku yang indah ini. Fikiranku masih terawang-awangan. Masih tercari-cari kotak realitiku. Dimanakah bumi hendak kupijak.
Tunggu dulu…! Bukankah malam tadi aku tidak tidur di atas katil ku?
Disebabkan terkejut aku terus melompat turun ke bawah katil. Mataku melilau mencari sesuatu. Lelaki misteri itu! Dimanakah dia? Aku masih ingat yang dia duduk bersandar di dinding berhampiran katil dan jendela bilikku. Sekarang dia sudah hilang! Atau adakah…
“Aku bermimpi???”
Kepala yang tidak gatal aku garu. Adakah aku berhalusinasi? Aku benar-benar gila. Pengaruh Kuran Kaname, hero El telah berjaya meracun fikiranku sampai terbawa-bawa ke dalam mimpi. Haila… kalaulah lelaki klon Kuran Kaname itu wujud dalam dunia nyata, haruslah menjadi topik hangat untuk berbual dengan El hari ini.
Tanpa membuang masa kucapai tuala yang disangkut pada hanger di belakang pintu bilik sebelum menuju ke bilik air untuk membersihkan diri. Seperti hari-hari lain yang perlu aku lalui, melainkan hari sabtu dan ahad aku perlu ke kelas. Itulah rutin yang perlu aku lakukan selagi belum menggenggam sijil yang aku mahukan. Diploma Penulisan Kreatif.
Di bilik air, seperti biasa sebelum mandi aku akan menghadap cermin sambil menggosok gigi. Kemudian mencuci muka sambil membelek wajahku yang cantik lagi ayu ini. Eh, macam perasan kan. Bukan. Ini bukan soal perasan. Secara lahiriahnya aku bukan kategori gadis yang cantik gila vaveng. Namun ada satu yang aku percaya. Apabila kita percaya yang kita cantik, maka cantiklah kita. Itu juga sebenarnya satu motivasi untuk meningkatkan keyakinan dalam diri sendiri. Jangan rasa rendah diri kerana rupa paras kita tapi yakinlah Tuhan cipta kita sebagai sesempurna kejadian. Setiap manusia juga dikurniakan dengan kelebihan yang berbeza-beza. Jadi yakinlah yang kecantikan itu lahir dari dalam hati. Bukan hanya bersifat luaran semata-mata.
Mengenangkan kembali mimpi aku yang macam real sangat malam tadi memang buat aku tersengih sendirian di dalam ‘bilik termenung’ ini. Walaupun gaya rambut lelaki misteri itu membuatkan roman wajahnya persis Kuran Kaname tapi aku tak percaya yang dia itu vampire. Dengusan nafasnya yang menghembus ke tengkukku semalam seolah-olah cuba memberitahu sesuatu perkhabaran. Renungan sepasang mata berwarna coklat itu bagaikan menyimpan sebuah rahsia. Wajahnya yang putih pucat serta hidungnya yang mancung itu seperti anak kacukan melayu arab.
Botol pencuci muka yang telah habis aku guna kucampakkan ke dalam bakul sampah di bawah sinki. Mataku tertancap pada sesuatu yang menarik di dalam bakul sampah berwarna biru itu. Aku bertinggung dan mencapai bakul sampah tersebut. Kulihat sejumlah kapas dan tisu yang penuh darah dalam bakul sampah tersebut. Fikiranku mendadak kembali pada kejadian yang aku alami malam tadi. Aku merawat seorang lelaki misteri yang berpakaian serba hitam. Kapas dan tisu yang berlumuran darah itu adalah milik lelaki yang aku rawat malam tadi. Ini bermakna yang aku tidak bermimpi.
“Aku bukan mimpi!”
Aku bergegas keluar dan kembali ke tempat lelaki itu kurawat semalam. Aku perhatikan jendela yang sudah aku tutup malam tadi telah terbuka semula. Langsir nipis berwarna putih di jendela tersebut berayun-ayun akibat ditiup angin dari luar. Lelaki misteri itu telah pergi sebelum aku sedar. Katil yang belum kukemas tadi kuperhatikan semula. Aku percaya lelaki itu yang mengalihkan tidurku ke atas katil itu pagi tadi.

Tiba-tiba mataku tertarik pada sebatang seruling yang tersorok di hujung kaki katil. Barangkali lelaki misteri itu tidak menyedari yang serulingnya tercicir.


Bab 3
Bab 4
Bab 5
Bab 6

No comments: