Kawan2 yg saya Sayang

Sunday, April 20, 2014

Vampire Oh Vampire (Bab5)

Bab5
Aku rasa kalau diukur bentuk air muka aku sekarang sesiapapun akan menjauhkan diri kerana takut jika kena sembur dengan makian percuma daripada aku. Yang peliknya sekarang Elmira yang duduk semeja denganku di gerai di hadapan Dewan Orkestra ini sedang gelak terbahak-bahak sambil menahan air mata yang sudah bergenang di matanya. Melampau juga perempuan ni mentertawakan aku. Kalau hilang kesabaranku, mahu terbang ketulan-ketulan ais dari gelas plastik aku ini ke mukanya.
“Aku tak sangka kau lebih dasyat berbanding aku, Sofie. Kau betul-betul percaya yang vampire tu wujud? Kau memang gila! Kahkahkah!” Elmira siap membenamkan mukanya ke beg laptopnya kerana cuba mengawal tawanya di ruang terbuka itu. Masih berhasrat mahu menjaga keayuan imejnya sebagai seorang gadis.
Aku memusingkan tubuh. Sakit hati pula lama-lama menyaksikan telatah kawan baik sendiri begitu. Di sekitar kami ramai pelajar lain yang duduk bersantai di sekitar Dewan Orkestra ini. Ada yang sedang makan burger yang dibeli di gerai berhampiran kami. Ada juga yang saja duduk-duduk santai sambil bertegur sapa dengan teman-teman sekolej yang lalu lalang. Di satu sudut kiri berhadapan dengan pintu masuk dewan dibina sebuah pentas terbuka yang biasanya digunakan oleh pihak kolej untuk acara terbuka. Di situ juga merupakan ruang tumpuan pelajar. Ada yang sibuk berlatih meniup saksofon dan klarinet. Ada juga yang membetulkan tali gitar. Ada juga yang sedang membelek nota muzik. Memang mudah mengesan pelajar dari Fakulti Muzik berbanding pelajar dari fakulti lain kerana masing-masing membawa alat muzik sendiri. Mereka semua berbual dan ketawa dengan gembira. Bermacam-macam bunyi bergabung sehingga menyebabkan ruang lapang di luar Dewan Orkestra ini menjadi sumbang dengan campur aduk pelbagai bunyi-bunyian.
Sebenarnya ruang lapang yang kami panggil sebagai Dewan Orkestra atau  O.H.(Orchestra Hall) ini bukanlah tempat kegemaranku. Aku rimas dengan bunyi bising dan ramai orang. Tapi disebabkan cafeteria yang sibuk setiap kali jam 1.00 petang, jadi kami memilih untuk makan tengahari di O.H sahaja. Tekak aku teringin pula nak makan Oblong Burger hari ini. Elmira memilih Spaghetti Bolognes. Tapi disebabkan nafsu makan El tu besar, spaghetti yang isinya cuma separuh pinggan itu manalah cukup memenuhi perutnya. Dia order pula Burger Ayam Double Special. Dia tak beli air sebab katanya sekarang sedang pantang minum ais jadi dia siap sedia bawa air mineral sendiri. Tapi akhirnya dia bedal juga milo ais aku. Chis! Memang susah nak percaya cakap orang kuat makan macam Elmira ni.
“Aku dah agak dah. Mesti kau tak percaya cakap aku.”
“Kau sembang pasal vampire tu wujud, mestilah aku tak percaya. Mana buktinya. Siapa vampire yang kau kata sedang menyamar dalam kolej kita ni?”
Kalaulah aku dapat tunjukkan buktinya sekarang, mahu kau pengsan, El. Kau mesti tak percaya sebab lelaki tu…
“O.M.G!” …dia ada di sini! Matilah aku!
Aku segera capai beg galas. Kertas pembalut makanan dan gelas plastik yang tinggal ais itu aku kutip dan berlari ke tong sampah di belakang gerai burger Pak Man.
“Oi, Sofie...” aku menoleh kepada Elmira yang berkerut dan terpinga-pinga melihat gelagatku yang kelam kabut nak cabut lari. “Kenapa ni?” suara rendah El cuba mencari punca.
Aku menarik Elmira yang masih belum habis mengunyah burgernya ke belakang gerai Pak Man. Mataku meliar mengawasi pergerakan Adrian yang sedang duduk di atas pentas sambil memusing-musingkan drum stick di tangannya. Lelaki itu sedang memerhatikan Jahari, pelajar tahun satu dari Fakulti Teater menghafal skrip. Sesekali aku lihat Adrian ketawa kerana terhibur dengan gelagat Jahari yang terlebih menghayati dialog skripnya.
“Sofie, apa kena dengan kau ni? Macam nampak hantu pula.”
Aku kembali tertumpu pada Elmira.
“Bukan hantu… vamp…pire…” aku memperlahankan suara. Takut didengari oleh Pak Man yang sedang tekun memasak daging burgernya. Isterinya, Makcik Ana sedang membungkus burger.
“Vamp…” dengan pantas aku katup mulut Elmira dengan tapak tanganku.
“Jangan cakap kuat-kuat,” bisikku kepada Elmira sambil mencerlingkan biji mataku kepadanya. Air muka Elmira masih lagi keliru dan mahukan penjelasan. Aku peluk leher El, merendahkan kedudukan kami sambil memandang ke arah pentas.
“Lelaki V tu ada kat sini.” Aku gunakan kod ‘V’ untuk ganti nama ‘vampire’.
“Maksud kau ini betul-betul bukan cerita dongeng?”
Aku menggeleng. Bulat mata Elmira. Dia tertarik.
“Siapa?” Ekor mata Elmira mula menjejaki pelajar-pelajar yang berada di sekitar O.H itu dalam masa yang sama mahu tahu terus siapa lelaki yang dimaksudkan olehku.
“Dia kata nama dia Adrian.”
“Adrian? Aku tak pernah dengar nama tu. Budak fakulti mana?” tanya El lagi.
“Aku tak pasti. Mungkin Fakulti Muzik. Hmm… dia tertinggal barang dia kat bilik aku.”
“Apa?”
“Seruling.” Aku masih simpan seruling itu di rumah. Belum berkesempatan hendak memulangkan kembali kepada tuannya.
“Seruling?” ekor mata Elmira menjeling ke langit seolah-olah memikirkan sesuatu. “Dekat Fakulti Muzik ada majoring course untuk alat muzik seruling ke?”
“Entah. Aku tak tahu tapi yang paling penting sekarang dia ada kat sini. Mati kita lepas ni, El.” Aku dah cuak. Adrian memakai kemeja T warna putih dan jeans lusuh warna hitam yang luntur. Siang bertema putih dan setiap kali malam berpakaian hitam. Lelaki itu masih lagi bercakap-cakap dengan Jahari tapi kali ini Safwan dan Adi yang merupakan pelajar dari Fakulti Filem turut berada dalam kelompok tersebut. Mereka semua nampak gembira berbual sambil bergelak ketawa. Adrian juga nampak normal malah turut bergurau senda dengan mereka semua. Mereka kelihatan akrab walaupun dari fakulti yang berbeza.
“Cuba kau berterus terang, yang mana satu V yang kau cakap tu?” Elmira sengaja mengeraskan perkataan V kerana sudah tidak sabar untuk mengetahui siapa yang aku maksudkan sejak tadi.
“Lelaki yang pegang drum stick kat atas pentas tu. Yang pakai kemeja T putih tu,” jelasku.
“Yang tengah cekik leher Jahari tu ke?”
Aku menoleh kembali ke pentas. Ya… Adrian sedang mencekik Jahari menggunakan tangan kirinya. Air mukanya kelihatan bersahaja tetapi Jahari sedang meronta-ronta kelemasan. Teman-teman yang lain hanya ketawa melihat gurauan Adrian sedangkan aku tak pasti apa yang sedang berlegar di mindaku kini bila melihat gelagat Adrian begitu.
“Itu bukan Adrian. Nama dia Azril Afandi. Memang budak muzik pun tapi major yang dia ambil Piano.”
“Main piano tapi kenapa pegang drum stick?”
“Dia pegang je pun. Mungkin drum stick kawan dia. Tapi kalau dia main drum pun, bukan pelik. Musician kan.” Ya, tidak aku nafikan yang setiap pelajar muzik tidak semestinya tertumpu pada satu alat muzik yang mereka mainkan. Secara asasnya kau perlu tahu lebih dari satu alat muzik untuk melayakkan kau dianggap seorang pemuzik.
“Kau kenal dia?” tanyaku semula.
“Azril tu… gila tak kenal. Satu batch dengan kita kot. Takkan kau tak kenal?”
Aku pandang slack je dekat Si Elmira ni. Aku tahu… dia kenal mamat tu bukan sebab dia satu batch dengan kami tapi ada sebab lain. Aku faham sangat dengan perangai kawan aku yang seorang ni.
“Well… Azril tu satu group dengan aku masa kita orientasi dulu sebab tulah aku kenal dia.”
Aku cuma melemparkan senyuman mendengar alasan itu. Biasalah. El nak cover line memang macam tu.
“Dia handsome kan…” …aku dah agak dah El ni. “Aku dengar cerita sebelum ni dia tinggal kat luar negara. Tapi tak pastilah luar negara kat mana. Seberang Tambak Johor tu pun kira luar negara juga kan. Aku pernah tengok dia perform main piano dekat KLCC. Handsome sangat dia main tau, Sofie. Rugi kau tak tengok…”
Perempuan bernama Elmira ni dah start excited lagi. Ini tak boleh jadi… “Elmiraaaa…” aku sengaja alunkan nada panggilanku untuk memberi amaran kepada El.
El tersengih-sengih sahaja.
“Tapi Sofie… logik ke kalau dia tu… V?” perbualan kami kembali ke topik asal.
“Kau ingat aku tipu? Kau tak percayakan aku? Dia sendiri mengaku pada aku yang dia tu… V tau.”
“Kalau dia tipu kau?”
Haah, kan… kalau dia tipu aku macam mana pula?
“Kau rasa dia tipu aku ke?”
“Hmm…” jari jemari El memukul-mukul perlahan dagunya sambil memerhatikan kelibat Adrian… err, Azril… ah, apa-apa sajalah. “Kalau betullah Azril tu V… aku nak pergi serah diri kat dia sekarang juga.” Elmira terus bangun. Aku terkejut dengan reaksinya yang tiba-tiba mengatur langkah untuk pergi mendapatkan Azril. Pantas aku menarik Elmira bertinggung semula.
“Kau gila ke, El!” marahku.
Elmira sekadar gelak-gelak senang hati. Pelik sungguh aku. Langsung tak takut ke dia dengan perkataan V.A.M.P.I.R.E tu. Hish… susah betul ada kawan yang fanatik dengan vampire ni.
“Macam ni sahaja, Sofie. Apa kata hari ini kita ekori dia. Kita siasat segala aktiviti Azril dan buktikan samada betul atau tidak dia tu V seperti yang kau dakwa.”
“Kita berdua?”
“Yelah… takkan kau nak buat seorang.”
Cepat-cepat aku menggeleng dan setuju dengan rancangan Elmira.
“Tau takut… Sekarang ni boleh tak kau lepaskan aku. Burger aku tu dah sejuk. Dah nak kembang. Nanti tak sedap makan. Rugilah aku.” Elmira menolak tanganku yang bergayut pada lehernya sejak tadi kemudian dia kembali mengatur langkah ke meja tempat kami makan tadi untuk menyudahkan santapannya.

Aku kembali memandang kepada Azril. Benarkah dia vampire? Azril atau Adrian… kenapa dia tipu aku? Tapi kenapa yang aku ni teruk sangat sampai tak kenal kawan-kawan satu batch. Ala… dia budak muzik, aku budak penulisan. Masing-masing bukan budak tari atau teater yang lebih mudah menonjol. Logiklah tu aku tak perasan kewujudan dia selama ni… kan…

No comments: