GADIS bercelama biru kundang yang
dipadankan dengan blaus warna biru lembut itu sedang mengintip dari luar kedai.
Rambut lurus yang melepasi bahunya itu dibiarkan bebas. Hanya penyepit rambut
berbentuk rama-rama menghiasi kepalanya. Kaca mata gelap yang tersangkut di
wajah dijatuhkan sedikit untuk memudahkannya menjejaki jejaka yang dikenali
dengan jolokan The Devil suatu ketika dahulu.
Sasaran dikenal pasti. Camie
tersenyum sebaik kelibat Jay berjaya dijejaki. Pemuda itu kelihatan baru sahaja
keluar dari pintu stor sambil menolak troli yang mengandungi berbagai jenis
minuman ringan yang hendak disusun di dalam peti sejuk.
Camie bergerak lebih dekat dengan
pintu masuk kedai yang berdinding kaca itu. Dia mahu memerhatikan pemuda itu
dengan lebih dekat. Dia mahu memastikan yang dia tidak tersalah orang semalam.
Dia yang merupakan pelajar tahun kedua dari sebuah kolej, sanggup ponteng kelas
semata-mata mahu datang ke kedai serbaneka tersebut untuk mengintip pemuda itu.
Jay kelihatan sudah kembali ke
pintu belakang setelah selesai mengisi peti sejuk tadi dengan minuman ringan.
Seorang lelaki lembut yang sedang memegang clipboard
file kelihatan sedang mengarahkan sesuatu kepada Jay sebelum pemuda itu
berlalu ke belakang. Jay mengangguk dan senyum sahaja menerima arahan ketuanya.
Dia langsung tidak marah walaupun diarah-arah begitu. Senyuman yang sentiasa
mewarnai raut wajahnya juga menggambarkan yang dia ikhlas dan menghargai setiap
pelanggan yang berkunjung masuk ke kedai itu.
Timbul rasa pelik di hati Camie…
ini bukan macam Dew yang aku kenal. Lelaki itu sepatutnya bersikap dingin dan
amat sukar untuk melihatnya tersenyum. Sejak bila pula dia sangat akur dengan
arahan sesiapa? Sepatutnya dialah yang paling suka mengarah orang. Maklumlah…
tuan muda. “Tapi muka dia sangat seiras Dew. Betulkah dia bukan Dew?” Camie
tetap was-was.
Akhirnya entah bila dia tidak
sedar yang dirinya sudah masuk ke dalam kedai tersebut. Akibat perasaan tidak
puas hatinya, dia terus berusaha untuk mencari bukti yang lelaki itu ialah Dew
The Devil yang pernah dikenalinya dahulu.
Camie berdiri di hadapan rak
majalah sambil membelek secara rawak salah satu majalah yang dicapainya.
Kelibat Jay masih lagi dalam perhatiannya. Pemuda itu kini sedang berdiri di
dalam kawasan kaunter, menggantikan teman sekerjanya yang pergi berehat
barangkali. Camie tidak sedar bila masa teman sekerja lelaki klon Dew itu
keluar dari kawasan kaunter bayaran tersebut kerana matanya hanya tertumpu pada
The Devil seorang sahaja.
Pelanggan tidak begitu ramai dan
Camie dapat melihat dengan jelas gerak geri Jay di kaunter bayaran. Pemuda itu
mengenakan baju T berwarna putih yang berkolar hitam, sama dengan warna cap
yang melindungi rambutnya yang berwarna perang keemasan. Wajahnya yang selalu
tersenyum kepada pelanggan itu mengenakan kaca mata berbingkai hitam yang
nipis. Sekali pandang dia ala-ala budak baik yang selalu menjadi mangsa buli di
sekolah. Sepatutnya Dew bukan berperwatakan begitu. Apron yang dilipat dua itu
nampak kemas diikat di pinggangnya. Penampilan itu begitu sederhana buat seorang
tuan muda yang merupakan anak orang ternama yang punya kedudukan yang tinggi di
kalangan masyarakat. Namun gelaran tuan muda itu sudah pasti tidak lagi diguna
pakai oleh pemuda itu setelah dia kembali kepangkuan keluarga kandungnya. Kalau
benarlah memang dia bukan Dew, tuan muda yang kaya raya dan suka menjadikan
semua orang umpama hambanya… maka Camie patut percaya kerana pemuda di
hadapannya itu memang tidak seperti Dew, apatah lagi mendiang Jeremy,
kembarnya.
“Hai, cik adik. Nak beli majalah
ke?” Pemuda berkulit cerah dan berhidung mancung itu bernama Sam. Dia merupakan
teman sekerja merangkap rakan seangkatan Jay. Melihat sikap Camie yang
terhendap-hendap dari tadi telah mencurigakannya lantas sengaja pergi menegur
gadis tersebut. Dia perasan itu adalah gadis yang membuat kecoh di kedai
serbaneka ini semalam.
“Sibuk nampak. Sampai abang tegur
pun tak sedar.” Tegurnya sambil ekor matanya meluru ke arah pandangan yang
menjadi sasaran gadis itu sejak tadi.
Jantung Camie hampir tersentap
apabila menyedari Sam begitu hampir di sebelahnya.
“Sibuk? Sibuk lah juga.” Camie
pura-pura menyelak majalah di tangannya. Ekor matanya masih lagi
terjeling-jeling pada pemuda di kaunter itu. Kaca mata gelapnya sempat
dibetulkan supaya rapat pada wajahnya.
“Oh, sibuk…” bibir Sam meleretkan
senyuman sambil terangguk-angguk. Riak wajahnya begitu sarkastik sambil ekor
matanya melirik ke arah sesuatu yang sedang menjadi perhatian Camie sejak tadi.
tidak lain dan tidak bukan… Jay. “Sibuk stalking
abang handsome ke?”
“Haah…” …kalaulah betul dia Dew,
dia memang dah banyak berubah. Dia nampak lebih kacak dengan gaya yang
sederhana seperti itu. Malah nampak lebih budiman bila berkaca mata. Mata Camie
bagai sudah tergam dan tidak mampu mengalihkan perhatiannya daripada pemuda
yang serupa Dew itu.
“Kalau ikutkan taklah handsome sangat dia tu. Handsome lagi abang ni. Tapi senyuman
dia tu memang mampu buat orang cair kan. Awak ni dah lama ke buat kerja stalk-stalk orang ni?” leretan senyuman
Sam semakin nakal melihat reaksi spontan Camie yang sebenarnya tidak fokus
terhadap soalannya. Mana nak fokus kalau fikiran dan hatinya hanya tertumpu
pada si penjaga kaunter itu sahaja.
“Tak lah lama sangat…” …betullah.
Dia mesti bukan Dew The Devil. Jauh sekali Jeremy yang dah lama meninggal
dunia. Mungkin betullah lelaki ni cuma pelanduk dua serupa… atau mungkinkah dia
ada pertalian darah dengan Dew dan Jeremy?
“Ooo… best ke mengendap atau jadi stalker
ni?” Sam menekan perut menahan tawa yang sudah berkira-kira hendak terburai
waktu ini.
“Best lah juga…” …aku rasa aku patut bersemuka sekali lagi dengan
dia dan tanya semula siapa sebenarnya dia. Mana boleh aku stalking dia macam ni… eh, sekejap!
“Hah?” akhirnya Camie tersedar
dengan jawapan merapu yang dikatakannya tadi. “Maafkan saya. Awak tanya apa
tadi?” Camie kalut sebaik melihat Sam yang sedang mengetap bibir seolah-olah
sedang menahan sesuatu yang hendak tersembur keluar dari mulutnya. Air muka dan
lirikan matanya begitu nakal sekali memandang ke arahnya.
“Oh… saya tanya awak nak beli ke
majalah The Guy yang awak pegang tu?” Sam menuding ke arah majalah yang
dipegang Camie. Majalah tersebut mempamerkan gambar seorang model lelaki yang
hanya ber-boxer dan menunjukkan tubuhnya yang berotot mantap!
Lirikan nakal Sam membuatkan
Camie berasa sangat malu lantas cepat-cepat meletakkan semula majalah yang
dipegangnya. Oleh kerana tumpuannya hanya pada penjaga kaunter yang menyerupai
Dew itu, dia tidak sedar dengan majalah apa yang dicapainya tadi.
“Err… saya pergi dulu. Bye…” kelam kabut dia mengatur langkah
untuk keluar dari kedai tersebut.
Akibat langkahnya yang kelam
kabut dia hampir melanggar pelanggan di dalam kedai tersebut. Sam menahan tawa
melihat gelagat gadis tersebut yang tertunduk-tunduk memohon maaf pada orang
yang hampir dilanggarnya. Tidak cukup dengan itu, ketika dia hendak keluar
sekali lagi malang buat gadis tersebut apabila terlanggar pintu kaca yang
lutsinar di kedai tersebut. Kuat juga perlanggaran tersebut sehingga Sam yang
berdiri di bahagian rak majalah itu boleh terdengar bunyi hentakan kepala gadis
itu dengan pintu tersebut.
Camie cuba berlagak biasa
walaupun sangat jelas perlanggaran tersebut nampak menyakitkan. Sempat dia
menoleh ke arah Sam sambil meleretkan senyuman sebagai tanda menunjukkan yang
dia tidak apa-apa. Dia segera cabut lari apabila beberapa pelanggan dalam kedai
serbaneka itu melirik dan tersenyum melihat gelagat kalutnya itu.
“Huarghahaha!!!” terburai tawa
Sam sebaik gadis tersebut meninggalkan kedai mereka. Sejak tadi dia menahan
tawa kerana mahu menjaga air muka gadis tersebut. Akhirnya dia tidak sanggup
lagi menahan perutnya yang tergeletek dengan sikap lucu gadis stalker itu.
“Jay…” dia menepuk bahu Jay,
menegur sahabatnya yang masih sibuk di kaunter bayaran. Bukan sibuk sangat pun
sebenarnya. Lelaki itu memang suka berpura-pura menyibukkan diri apabila mahu
mengelak dari sesuatu. Bukannya dia tidak nampak yang Jay cuba menahan tawa
melihat gelagat gadis tadi ketika terlanggar pintu kedai.
“Hebat kau sekarang. Dah ada secret admire. Budak perempuan semalam
tu datang semata-mata nak mengintip kau. Kau perasan tak tadi?” Sam sengaja
memancing perhatian Jay.
“Entah. Tak perasan pun. Kau
nampak kan yang aku sangat sibuk bekerja sekarang.” Sebaliknya Jay pula yang
bersikap tidak mahu ambil peduli.
“Jangan tipulah. Kau perasan dia
tapi sengaja buat-buat tak nampak kan.” Sam terus menembak.
“Habis tu, kau nak aku buat apa?
Pergi pada dia dan hulurkan salam perkenalan? Atau beritahu dia yang sebenarnya
pintu kedai kita ni kaca lutsinar so jangan berhalusinasi atau berkhayal semasa
berjalan… begitu?”
“Hah?” Sam nak jatuh rahang
mendengarkan ayat sinis Jay. “Kau tak ada ayat yang lebih manis ke untuk
memikat perempuan?”
Jay tersenyum sinis. “Kau rasa
aku akan pergi pikat perempuan tu ke?”
“Sekurang-kurangnya berkawan
sahaja pun tak apa, kan.”
Jay malas hendak melayan kerenah
Sam. Matanya lebih tertumpu pada pelanggan yang keluar masuk dan membayar di
kaunternya. Setiap kali pelanggan kedai tersebut datang kepadanya pasti dia
akan meleretkan senyuman manis agar pelanggan tersebut berasa senang hati
membeli belah di kedai tersebut dan setiap kali itu juga kelihatan Sam
mencebik, meluat dengan aksi mesra Jay terhadap para pelanggan.
“Jay, kau tak rasa ke yang awek
stalker tu cute.” Sam cuba menarik
perhatian jay lagi.
“Sam, kau tak penat ke? Jangan
kacau aku boleh tak?” Jay cuba menghalau Sam yang dirasakan terlalu bising di
dalam kaunter tersebut.
Sam buat muka tak puas hati. Dia
cari idea hendak menarik perhatian Jay.
“Eh, kalau kau tak berminat…
boleh tak kalau aku pergi try dia.”
“Kau kalau nak test market pun agak-agaklah. Tengok
muka pun tahu yang budak perempuan tu sekolah lagi.” Jay pantas memintas untuk
menghalang niat Sam.
“Eh, budak sekolah ke bini orang
ke bukannya ada kaitan dengan sesiapa pun. Buat apa kau nak ambil peduli pula.
Haa… jangan-jangan kau ni sebenarnya ada hati pada budak tu tapi saja nak jual
mahal kan. Betul tak?” Sam menerjah setelah berjaya memerangkap Jay.
“Gila lah kau ni. Kau ingat budak
sekolah macam tu taste aku ke.” Jay
menafikan.
“Oh, yelah. Aku lupa. Taste kau kan perempuan macam Leah. Yang
bukan setakat cantik dan seksi malah garang macam singa betina. Ngeoww~~” Sam
sempat melawak dengan membunyikan suara singa betina yang ada krisis identiti.
“Woi, tu singa betina ke kucing
gatal!” Jay cuba menahan tawanya disebabkan lawak bodoh Sam. Kepala Sam sempat
dilukunya sebagai ganjaran untuk lawak bodoh yang dihidangkan oleh lelaki itu.
“Apa-apa sajalah… Eh, kau betul
ke tak berminat dengan Awek Stalker tu? Aku bukan apa… kalau boleh kan...” Sam kembali
pada topik asalnya berkenaan gadis stalker tadi. Dia menguis-nguis pangkal lengan
Jay. Masih dengan niat hendak mengusik pemuda itu, sambil mencari peluang nak
masuk line mengorat awek.
“Aku sibuk ni…” Jay menepis
sentuhan ‘mesra’ Sam. Geli diperlakukan sebegitu, apatah lagi oleh kaum sejenis
dengannya. “Aku tahu ini waktu rehat kau tapi kau pergi lepak tempat lain boleh
tak. Jangan kacau aku, please!” Jay
semakin rimas dengan sikap kecoh Sam sejak tadi.
“Elleh… berlagak.” Sam mencebik.
Dia kembali mengatur langkah untuk beredar.
Bersambung....
4 comments:
Lagi. .lagiiiii. ...nak lagiiiii...!!!!!
nak lagi...nak lagi...
haha...
ops...nanti la...
minggu depan saya ada trial pmr...
hehe
The Witch that I Love xnak publish ke? Sronok la cite die..
cite "The Witch that I love" best sgt.. xnk publish ke?
Post a Comment