Bab3
KETIKA Ameer kembali pulang ke
rumahnya dia terus menuju ke peti surat. Apabila melihat kunci rumahnya elok
terletak di dalam peti surat hatinya berasa lega. Ini bermakna Mariya sudah
keluar dari kediamannya dan dia bebas membawa Hakimi masuk tanpa sebarang masalah.
Dia tidak mahu kisah gadis misteri bernama Mariya itu diketahui sesiapa. Kalau
boleh biarlah Mariya terus lenyap dari hidupnya.
“Masuklah, Mi. Rumah aku macam dulu
juga. Tak ada apa yang berubah.” Sebaik membuka pintu rumah Ameer mempersilakan
tetamunya masuk.
Hakimi melangkah masuk sambil
menjinjit sebuah beg bersaiz sederhana yang berisi keperluan peribadinya.
Matanya sempat meneroka isi rumah Ameer. Dia perasan selain kedudukan perabot
yang sudah berubah sedikit tiada apa yang berbeza dalam rumah tersebut. Masih
kekal kemas dan teratur sebagaimana Hakimi mengaturkannya pada kali terakhir
beberapa bulan lalu.
“Kau duduklah dulu. Berehat. Aku
tahu kau mesti penat kan.”
Hakimi hanya tersenyum. Dia
melabuhkan punggung di sofa sambil matanya memerhatikan Ameer yang sibuk-sibuk
meluru ke dapur menyediakan minuman untuknya.
“Tak payah susah-susah layan aku
macam tetamu terhormat. Pandailah aku cari makan minum sendiri di rumah kau.”
Ameer yang mencari sesuatu dalam
peti sejuknya menoleh ke arah Hakimi. Dapurnya jenis terbuka dan bersambung
dengan ruang tamu jadi segala tindakannya di dapur itu dapat dilihat Hakimi
dari ruang tamu.
“Kau ni, Mi. Bukannya selalu pun
datang ke rumah aku. Sesekali dapat layanan istimewa dari aku tak best ke?”
“Yelah, Ameer…” ada cebikan dalam senyuman
Hakimi yang mengerling Ameer penuh makna.
“Err… Mi, aku teringin nak makan
Spaghetti yang kau masak.” Ameer yang sedang menuang jus ke dalam gelas itu
tersengih-sengih kepada Hakimi. “Ingat tak Ibu pernah masakkan kita spaghetti
ala-ala Kari Tomyam dulu. Kau pernah belajar resipinya dengan ibu kan. Apa kata
kau masak untuk aku malam ni.” Ameer melontarkan cadangannya sambil melangkah
kembali ke ruang tamu mendapatkan Hakimi.
“Dah agak dah.” Dalam diam Hakimi
mengulum senyuman. Setiap kali dia duduk melepak di rumah Ameer memang wajiblah
dia yang turun ke dapur untuk memasak.
Ameer seorang pemakan tetapi
adakalanya agak cerewet memilih makanan. Salah satu puncanya kerana perutnya
yang sensetif dan mudah sakit jika tersalah mengambil makanan. Hanya ibunya
sahaja yang memahami pemakanan Ameer. Jadi disebabkan Hakimi tinggal bersama
dengan Ameer sejak di asrama sehinggalah di universiti maka Hakimilah yang
menjaga pemakanan Ameer. Hakimi belajar memasak dengan Ibu setiap kali dia
melawat keluarga Ameer. Dia lakukan perkara tersebut semata-mata demi Ameer.
“Mir, ibu apa khabar?” tanya Hakimi
sebaik Ameer menyuakan minuman sejuk kepadanya. Dia mengambil gelas berisi
minuman itu tetapi tidak terus diminum sebaliknya diletakkan di atas meja kopi
di hadapannya.
Sebaik melabuhkan punggung di
sebelah Hakimi barulah Ameer menjawab pertanyaan itu. “Ibu sihat. Cuma sejak
kebelakangan ni dia selalu sebut nama kau setiap kali aku call dia. Dia rindukan kau kot.” Wajah Ameer mencorak suatu
perasaan cemburu. Hakimi cuba memahami.
“Dia rindukan anak kandung dia. Kau
mesti dah lama tak balik kampung jumpa orang tua kau, kan.” Hakimi terus
menembak Ameer. Dia tahu Ameer sudah lama tidak pulang ke kampung sejak sibuk
dengan kerjayanya.
“Apa pula… aku selalu telefon ibu
tau.” Riak wajah Ameer seperti cuba menjelaskan bahawa aku-tak-bersalah!
“Suka hati kaulah. Tapi kalau
boleh, cubalah cari masa pergi jenguk orang tua kau. Sementara masih ada
peluang, Mir.” Hakimi sekadar memberi nasihat selaku seorang sahabat. Dia tidak
mahu Ameer menyesal di kemudian hari.
“Okey… aku cuba.” Ameer sekadar
mengangguk. “Eh, minumlah air.” Gelas berisi jus oren di atas meja itu dicapai
lalu disuakan kepada Hakimi semula.
“Nanti aku minum.” Hakimi menolak
perlahan tangan Ameer yang menyuakan minuman itu. Dia nampak alat kawalan
televisyen lantas segera mencapainya dan menekan butang ‘ON’ untuk menonton
televisyen.
“Minumlah.” Ameer nampak tidak puas
hati lantas cuba memujuk lagi agar Hakimi minum dahulu.
“Nantilah…” Hakimi tetap tidak
menghiraukan Ameer.
“Aku suapkan ya. Meh, minum.” Ameer memegang pangkal
mulut Hakimi untuk memaksanya minum jus yang disediakannya itu.
“Woi, apa paksa-paksa ni. Aku minum
sendirilah nanti.” Tangan Hakimi menepis tangan Ameer yang mahu menyuakan
muncung gelas ke mulutnya.
“Aku peduli apa. Aku nak kau minum sekarang
juga.” Ameer menyeringai nakal. Mulutnya mengoyakkan senyuman dan ia
menyebabkan kulit pipinya berkedut dan menyerlahkan lesung pipitnya di sebelah
kiri pipi. Gigi siongnya yang terserlah seolah-olah menampakkannya seakan-akan
syaitan yang nakal. Ameer kembali memaut pangkal wajah Hakimi.
“Woi, main kasar ni. Ingat aku
budak-budak ke. Janganlah, Mir!” Hakimi sudah meronta-ronta dengan tindakan
Ameer yang cuba memaksanya itu. Bibir gelas semakin rapat ke mulutnya. Dia
sedaya upaya cuba menggagalkan rancangan jahat Ameer dengan menarik tangan Ameer
yang sedang mencengkam wajahnya. Namun Hakimi gagal.
Ameer berjaya mengunci pergerakan
Hakimi dan telah menguasai wajah Hakimi dengan tangannya. Wajahnya merapati
Hakimi setelah berjaya merapatkan gelas minuman ke bibir Hakimi. Senyuman jahatnya
semakin terserlah dan menggambarkan yang dia sedang bergembira menyakat
sahabatnya.
Tang!
Tiba-tiba satu bunyi asing telah
membunuh keseronokan Ameer bergurau dengan Hakimi. Serentak kepala kedua
sahabat itu berpaling ke arah bunyi benda jatuh berhampiran pintu masuk.
Sesusuk tubuh wanita bergaun warna putih separas lutut menerpa pandangan mata
mereka berdua. Gadis itu sedang merenung tepat ke arah dua sahabat itu.
Renungannya seakan cuba memahami apa yang sedang dua orang lelaki itu lakukan
di ruang tamu itu.
Ameer dan Hakimi saling bertukar
pandangan. Reaksi masing-masing nampak keliru namun diantara Ameer dan Hakimi,
masing-masing ada pandangan yang berbeza terhadap gadis yang baru muncul itu.
“Ameer…” suara Hakimi separuh
berbisik. Matanya merenung Ameer mohon suatu penjelasan.
Ameer kelu lidah. Dia benar-benar
terkejut dengan kemunculan semula gadis yang dikenali sebagai Mariya itu.
Apabila melihat kedudukannya dengan Hakimi yang terlalu rapat dengan pantas dia
menjauhi sahabatnya kerana bimbang dengan pandangan Mariya terhadap mereka.
Gelas minuman diletakkan kembali di
meja. Ameer berdiri. Kembali merenung Mariya yang masih dikedudukan yang sama
berhampiran pintu masuk. Kali ini Ameer nampak Hakimi sedang merenung tepat ke arah
Mariya juga. Ameer tahu Hakimi tentu akan fikir yang bukan-bukan tentang
Mariya. Sebelum salah faham timbul Ameer cuba menjelaskan kedudukan yang
sebenar.
“Hakimi, sebenarnya begini…”
“Ameer…” Ameer tidak jadi
meneruskan ayat apabila namanya diseru Mariya. Mahu atau tidak Ameer segera mendapatkan
Mariya dahulu. Kakinya pantas membawa Mariya keluar dari rumahnya menjauhi
Hakimi.
“Apa yang awak nak lagi?” Ameer
menyoal kasar sebaik mereka berada di halaman rumah. Baginya Mariya sudah
merosakkan suasana harmoninya bersama Hakimi tadi.
“Sebenarnya saya…”
“Kan saya dah cakap jangan muncul
lagi lepas tinggalkan rumah ni,” tanpa memberi peluang kepada Mariya untuk
bercakap Ameer meluahkan rasa marahnya.
“Saya minta maaf.” Mariya
menundukkan kepala.
“Apa yang awak nak dari saya
sebenarnya?” Ameer bercekak pinggang merenung tepat Mariya yang nampak kerdil
di matanya.
“Saya… saya…”
“Tinggalkan rumah saya sekarang.
Saya tak nak tengok muka awak lagi dan tolong jangan ganggu hidup saya.”
Sedikitpun tiada rasa belas terhadap gadis itu. Jika semalam dia berbaik-baik
dengan gadis itu kerana menyangka Mariya perlukan perlindungan tetapi kali ini
dia rasa marah kerana Mariya muncul sekali lagi dengan cara yang kurang
beradab. Fikirannya terus bersangka buruk terhadap gadis itu yang baginya cuba
mengambil kesempatan.
“Maafkan saya, Ameer.” Sekilas mata
sayu Mariya mengerling ke arah jendela rumah Ameer. Dia ternampak kelibat
Hakimi yang sedang mengintai perbualannya bersama Ameer. “Saya takkan ganggu
awak lagi. Saya pergi dahulu.” Mariya tahu Ameer tidak senang dengan cara
kemunculannya yang tiba-tiba. Dia patut beredar sekarang.
Perlahan-lahan langkah Mariya
meninggalkan perkarangan rumah Ameer. Ameer memerhati kelibat Mariya sehingga keluar
pagar rumah. Semasa di luar pagar mata Mariya kembali memandang ke arah Ameer.
Ameer melarikan wajahnya dari pandangan Mariya. Mariya akur. Dia segera beredar
pergi. Niat sebenarnya ketika mula menjejak kaki di rumah itu tadi dipadam
terus dari minda.
Bersambung...
1 comment:
nak lagiiiii
best sangattttt
Post a Comment