Assalamualaikum... salam sejahtera buat semua pembaca. tentu ramai yang dah hampir melupakan blog Cik Kaseh ni. maklumlah... lama sangat tak updated entri baru. untuk pengetahuan semua... Aku Bukan Malaikat adalah e-novel yang sama dengan Ai Bukan Cinta. cuma disebabkan Cik Kaseh dah buat banyak pengubahsuaian, maka kali ini saya updated e-novel ini di blog ini, bukan lagi di blog Ai Bukan Cinta. Dengan kisah yang baru selesai di edit ini hope dapat feed back yang bagus dari pembaca semua...saya sedang menguasahakan agar e-novel ini dapat diterbitkan dalam versi cetak. Insya-Allah...jika mendapat sokongan dari kalian semua saya akan usahakannya. Selamat Membaca bab pertama ^_^
Bab1
DENTUMAN guruh yang kuat membuatkan
Ameer mengucap panjang. Hujan yang sangat lebat menyebabkannya memberi tumpuan
sepenuhnya terhadap pemanduan. Lampu kereta sengaja dibiarkan tinggi
memandangkan tidak banyak kenderaan ketika itu. Maklumlah jam sudah melewati
angka 1.00 pagi. Kebanyakan penghuni alam sudah lena diulit mimpi pada waktu
begini.
Ameer membelokkan keretanya ke
taman perumahan yang didiaminya. Seorang pengawal keselamatan yang bertugas
melepaskan palang penghadang yang memisahkan kawasan taman perumahan itu sebaik
melihat kemunculannya. Lelaki benggali berjambang itu senyum dan mengangkat
tangannya apabila Ameer menyapanya secara bisu dari dalam kereta. Mereka saling
mengenali kerana Ameer sudah menghuni Taman Indahpuri itu sejak beberapa tahun
lalu.
Sebaik tiba di hadapan rumah teres
dua tingkat yang didiaminya Ameer memberhentikan kereta. Dia diam tergamam
sebaik melihat seorang yang tidak dikenali di luar pintu pagar rumahnya. Barang
sejenak fikirannya cuba mencerna apa yang sedang dilihatnya kini. Seorang gadis
yang kebasahan dalam waktu hujan lebat pada awal pagi.
“Siapa dia? Manusia atau hantu?” Melihat
keadaan gadis tersebut membuatkan kepala Ameer memikirkan perkara yang
bukan-bukan. Apatah lagi gadis berambut panjang itu berpakaian serba putih dan
sedang tepat merenung ke arahnya dengan wajah yang sayu. Kulit wajahnya yang
putih gebu itu nampak pucat dan jelas ketara kerana lampu kereta Ameer sedang
menyorot ke arahnya. Melihat keadaan gadis itu Ameer jadi serba salah. Dia
tidak tega membiarkan gadis itu terus berdiri di situ.
Akhirnya Ameer nekad untuk keluar
menemui gadis tersebut. Payung di tempat duduk belakang keretanya dicapai dan
dia bergegas keluar mendapatkan gadis yang sudah terhoyong-hayang hampir
tumbang itu.
“Cik, awak tak apa-apa? Apa awak
buat di sini?” payung didekatkan ke tubuh gadis tersebut agar dia tidak terus
dikasari air hujan yang deras memukul.
Tanpa sebarang jawapan gadis itu
merenung Ameer. Secara tidak langsung panahan mata itu menarik perhatiannya.
Gadis itu mempunyai sepasang mata yang agak sepet tetapi anak matanya bulat
penuh dan berkaca. Namun ada sesuatu yang telah menarik perhatian jejaka itu
apabila melihat riak wajah gadis itu. Renungannya sayu bagai sedang menanggung
kesedihan. Dalam teduhan payung itu Ameer dapat melihat air yang mengalir di
pipi gadis itu bukanlah air hujan tetapi sebenarnya air mata. Kelukaan
seolah-olah tercetak pada keningnya.
“Cik, awak mencari seseorangkah? Tak
patut gadis seperti awak merayau-rayau dalam waktu begini. Siapa awak ni?”
Melainkan tangisan yang senyap
tiada sebarang jawapan yang diberikan gadis itu. Dia hampir tumbang namun
sempat tangannya memaut lengan baju Ameer. Secara spontan juga Ameer memaut
tubuh gadis tersebut.
“Saya hantar awak pulang, ya?”
Melihat keadaan cuaca yang masih hujan lebat dia tidak tega membiarkan gadis itu
terus berada di situ. Sekurang-kurangnya biarlah dia menghantarnya pulang.
Namun gadis itu segera menggeleng.
Dia tidak mahu dihantar pulang. Ameer jadi musykil. Apa yang dimahukan oleh
gadis itu sebenarnya. Bila ditanya langsung tidak mahu membuka mulut untuk
menjawab. Bisukah gadis ini? Ameer keliru.
“Jadi awak nak saya buat apa?”
pautannya terhadap gadis itu longgar sedikit apabila gadis itu sekadar memaut
sebelah lengannya.
Mata mereka berdua kembali bertaut.
Ameer cuba memahami maksud pandangan mata itu. Sebaik melihat dengan betul
wajah gadis itu dia dapat meneka yang gadis itu mungkin berbangsa cina. Gadis
itu cuba membuka mulutnya untuk bersuara namun tutur katanya tidak dapat
ditangkap oleh Ameer apabila kebetulan guruh berdentum di langit.
“Apa awak cakap tadi? Boleh ulang
sekali lagi?” pinta Ameer.
Gadis itu meraup wajahnya yang
basah dengan tapak tangan. Matanya tidak lepas dari merenung Ameer sejak tadi.
Dia nampak dalam kesukaran. Bagai ada sesuatu yang menghalangnya dari terus
bersuara terhadap Ameer. Tanpa diduga tiba-tiba dia merangkul tubuh pemuda itu.
Ameer terkedu. Payung di tangan
terlepas dari genggaman. Hampir sepuluh saat dia membiarkan dirinya dipeluk
oleh gadis misteri yang tidak dikenalinya itu. Otaknya ketika itu kosong.
Selain bunyi hujan yang belum menunjukkan tanda-tanda mahu reda dia hanya
mendengar esak tangis gadis itu di dadanya. Tanpa sedar tangannya
perlahan-lahan menyentuh belakang tubuh gadis itu. Menepuk perlahan-lahan untuk
meredakan perasaan gadis tersebut.
***************
AMEER sedang membancuh susu. Dari meja
makan matanya sempat mencuri pandang ke arah gadis misteri yang ditemuinya tadi.
Gadis itu sedang mengeringkan rambutnya menggunakan tuala yang diberinya sambil
duduk di ruang tamu. Sedang asyik dia mengeringkan rambut tiba-tiba ekor
matanya menjeling ke arah Ameer. Ameer tergamam lantas segera melarikan
pandangannya dari gadis itu. Susu yang dikacau tanpa henti sejak tadi segera
diangkat sudunya. Ameer mengatur langkah mendapatkan gadis tersebut dengan
segelas susu panas yang ditatang di dalam piring kecil.
Susu diletak di atas meja kopi di
hadapan gadis tersebut. Gadis itu sudah berhenti mengeringkan rambutnya yang
panjang. Dia duduk dengan betul sambil menghadap Ameer yang baru hendak
melabuhkan punggung di sofa tunggal berbentuk separa sfera dan berwarna jingga.
“Siapa awak sebenarnya?” soalnya.
Gadis itu tunduk memandang gelas
susu di hadapannya.
“Apa yang awak buat di luar rumah
saya tadi?” Ameer terus menyoal. Dia terlalu ingin tahu apabila melihat
kemunculan gadis itu yang nampak misteri.
Gadis itu nampak tidak senang
apabila diajukan soalan oleh Ameer. Tangannya segera mencapai gelas susu yang
panas tadi. Gelas susu yang masih panas itu digenggam. Kehangatannya bersatu
dengan tangannya yang kesejukan. Dia nampak selesa menikmati kehangatan gelas
susu tersebut.
“Awak ni bisu ke? Dari tadi saya
tanya awak tak nak jawab.” Kesabaran Ameer sudah mula goyah. Dia bangkit dari sofa
dan mula mengatur langkah untuk beredar.
“Ameer Asytar…” perkataan yang
termuntah dari mulut gadis itu membuatkan Ameer tergamam seketika. Akhirnya dia
mendengar suara emas gadis itu.
Ameer berpaling semula kepada gadis
tersebut. “Awak kenal saya?” Wajah Ameer nampak terpinga-pinga. Dia belum
memperkenalkan diri tetapi gadis itu terlebih dahulu mengetahui siapa dirinya.
Ini sangat pelik!
“Macam mana awak boleh tahu nama
saya?” Ameer kembali mendekati gadis tersebut. Kali ini dia mengambil tempat di
sebelah gadis itu.
Gadis itu merenung wajah teruja
Ameer sebelum tangannya menuding ke arah sebuah majalah hiburan di penjuru meja
tersebut. Mata Ameer meluru ke arah unjukan jemari runcing gadis itu. Dia
melihat gambar dirinya bersama seorang artis wanita menjadi penghias muka hadapan
sebuah majalah hiburan. Namanya juga terpampang dengan jelas pada tajuk majalah
tersebut. ‘Ameer Asytar Fokus Pada Kerjaya
Sebelum Cinta’.
“Err… maaf. Saya terlupa sebentar
siapa diri saya.” Ameer garu kepala. Malu sendiri. Dalam hati sedang
membodohkan diri sendiri kerana telah menyangka gadis tersebut ada kuasa psikik
kerana tahu identiti dirinya.
Gadis tersebut tersenyum kecil.
Matanya yang sepet itu tidak lepas-lepas merenung Ameer. Ameer jadi tidak
keruan. Pabila teringat tindakan gadis itu pernah memeluknya secara tiba-tiba
tadi menyebabkannya jadi seram sejuk lantas mengangkat punggung menjauhi gadis
misteri itu.
“Jadi awak kenal saya sebab saya
seorang selebriti?” soal Ameer sebaik melabuhkan punggung di sofa tunggal yang
diduduki pada asalnya tadi.
Gadis itu mengangguk.
Perlahan-lahan gelas susu yang digenggamnya singgah ke mulut.
“Awak ni… peminat saya?” soal Ameer
ragu-ragu. Dalam kepalanya sedang meneka barangkali gadis ini salah seorang
peminat fanatiknya. Kebarangkalian itu tidak mustahil kerana dia dikenali
ramai.
Sangkaan Ameer meleset apabila
gadis itu menggelengkan kepala. Ameer garu kepala. Persoalannya masih belum
terlerai dan dia perlu menyoal lebih lanjut lagi.
“Jadi awak ni siapa? Boleh saya
tahu nama awak?”
“Mariya.”
Ameer mengangguk sambil mulutnya
menyebut kembali nama itu. Dia tersenyum sambil melirik kepada gadis itu. Sedap
namanya seindah rupa parasnya.
“Okey, Mariya. Boleh awak ceritakan
pada saya apa yang telah berlaku pada awak? Kenapa awak berada di luar rumah
saya tadi?” Ameer kembali memulakan sesi soal siasat.
“Saya cari awak, Ameer Asytar,”
jawabnya.
“Cari saya?” Wajah Ameer berkerut
kembali. Sungguh dia masih tidak dapat menangkap niat sebenar gadis bernama
Mariya itu. “Kenapa awak nak cari saya?”
“Uhhuk… uhuk…”
“Awak tak sihat ni. Mungkin lama
sangat berhujan tadi. Habiskan susu tu. Hujan pun dah hampir reda. Sekejap lagi
saya hantar awak pulang.” Ameer bangkit. Soalannya tadi terus mati begitu
sahaja. Walaupun kekeliruannya masih belum terjawab namun dia tidak boleh
terlalu memaksa. Mungkin gadis itu perlukan masa untuk bercerita kepadanya.
“Boleh saya bermalam di sini?”
Pertanyaan itu membuatkan kaki
Ameer rasa seperti terikat di lantai. Belum sempat dia mahu menidakkan
permintaan itu Mariya bersuara kembali.
“Saya tak ada rumah. Saya tak ada
tempat nak dituju lagi selain awak.” Mata Mariya merenung Ameer mohon belas
kasihan.
Ameer tidak sampai hati. Namun
hatinya masih berat untuk menerima permintaan tersebut. Dia lelaki dan Mariya
perempuan. Hanya dia sendiri yang menghuni rumah tersebut. Ada risiko jika
mereka ditangkap khalwat nanti. Hangat berita begini jika dihidu oleh media
massa. Apatah lagi dia tidak mengenali siapakah sebenarnya gadis misteri yang
bernama Mariya itu.
Namun jika difikirkan semula waktu
sudah menginjak ke dini pagi. Mariya betul-betul nampak dalam kesulitan. Kejam
rasanya jika dia mahu menghalau Mariya keluar dari rumahnya dalam waktu begini.
Lagipun gadis itu tidak sihat. Sekurang-kurangnya biarkan sahaja dia bermalam
di sini sehingga esok pagi.
“Baiklah… saya benarkan awak
bermalam di sini.” Akhirnya Ameer membuat keputusan tersebut dan Mariya
tersenyum lega.
Bersambung....
4 comments:
seronoknya baca. keep the story posted tau!!
terima kasih ^__^
novel ni sapa epilog ke
novel ni sapa epilog ke
Post a Comment