BAB16
SURIA pagi tersenyum ceria. Minggu baru datang dan membuka satu lagi lembaran baru dalam diari kehidupan. Camie melangkah ke kolej dengan hati yang berdebar kali ini. Ada sesuatu yang menakutkan bakal dia hadapi hari ini. Bukan Dew tapi sesuatu yang bakal menentukan nasibnya samada akan terus menetap di sini ataupun kembali ke tempat asalnya di Roseland.
Dengan perasaan yang berdebar-debar Camie melangkah ke papan kenyataan dimana keputusan ujian penilaian di pamerkan. Ramai yang sedang mengerumuni papan kenyataan di lorong utama menuju ke dewan itu. Camie terpaksa berasak-asak untuk menyelinap masuk ke ruang hadapan.
Selepas Berjaya sampai di hadapan papan kenyataan, Camie segera mencari namanya dalam senarai keputusan. Begitu banyak nama yang terpampang di dada papan kenyataan tersebut sehingga menyukarkannya mengesan namanya. Senarai keputusan di susun mengikut markah tertinggi, bukan mengikut urutan abjad jadi ini menyukarkan Camie mengesan dimana kedudukannya.
“Ha~!!” Camie terjerit tatkala berjaya mengesan kedudukannya. Dia menekup mulutnya yang melopong akibat kejutan tersebut… 545 markah sahaja. Sipi-sipi saja nak gagal. Jangan kata nak kembali ke Roseland, nak pandang peta Bandar Roseland pun Camie rasa macam tak berani dah. Keputusan macam hampas! Comfirm mama dan papa akan mengamuk sekali lagi lepas ni.
Kepala menekur ke lantai. Kehampaan yang sudah terjangka sebelum ini mula terpamer di wajah si gadis malang itu. Dengan keputusan yang hampir gagal itu bermakna Camie perlu terus berada pekan kecil ini. Camie akan terus berhadapan dengan lelaki kejam berwajah seiras dengan Jeremy, bekas kekasihnya yang sudah lama mati itu.
“Tepi, tepi… beri laluan!” kata-kata seorang pelajar lelaki itu menyebabkan semua yang berada di papan kenyataan tersebut menoleh ke belakang. Tatkala melihat The Taiko yang berdiri malas di belakang Jiro yang sedang menolak-nolak beberapa orang pelajar untuk menuju ke hadapan, mereka segera memberi ruang untuk lelaki itu.
Pada jarak satu kaki mata Dew tepat merenung ruang atas papan kenyataan. Seolah-olah dia sudah tahu dimana kedudukannya dalam keputusan tersebut. Camie yang berdiri di tepi hanya menjeling diam-diam. Sempat juga matanya melilau cuba mencari kedudukan Dew dalam senarai tersebut.
Kyaa~~!! Kali kedua Camie terkejut. Mulutnya segera dikatup, menahan suaranya yang hampir meledak selepas melihat kedudukan The Taiko. “Tempat ke-5 dengan 890 jumlah markah keseluruhan…” kata Camie perlahan menyebut kedudukan Dew.
Camie membuang wajah ke sebelah. Memandang Dew yang masih merenung papan kenyataan. Betul ke apa yang aku lihat ni? Betulkah ini keputusan si kaki tidur dalam kelas ni? Biar betul… macam mustahil saja. Takkan pula dia guna cara kotor waktu ujian hari tu. Ish, musykilnya aku…
Lelaki berambut tidak terurus dengan jambulnya yang di-highlight dengan warna perang muda itu terus direnung oleh Camie. Camie menggaru-garu dagunya kerana masih gagal mendapatkan jawapan ke atas kemusykilannya itu. Nampaknya ada sesuatu tentang Dew yang masih tidak diketahuinya dan dia perlu menyiasatnya lagi.
Wajah Dew tidak beriak. Matanya terus merenung papan dan tampalan kertas berwarna putih itu. Tangan yang menyeluk poket seluar sudah dikeluarkan. Sempat Camie terpandang tangannya yang sedang mengepal buku lima. Namun Camie tidak dapat membaca dengan jelas pemikiran lelaki itu kini. Hendak kata gembira, sedikit pun riak gembira itu tidak terpamer di wajah Dew. Hendak kata tidak puas hati, mustahil dengan markah yang superb macam itupun Dew masih tidak berpuas hati.
“Tahniah, Jeremy. Awak dapat tempat ke-5 peringkat kolej,” tegur seorang pelajar lelaki berkaca mata yang tiba-tiba muncul sambil menepuk bahu Dew dengan mesra. “Hai~ malangnya saya gagal untuk rampas tempat pertama seperti yang sepatutnya. Adakah saya tak cukup berusaha ya Jeremy?”
Camie agak terkejut dengan kata-kata lelaki itu. Sarkastik. Berlagak. Riak. Seolah-olah dia sedang menyindir Dew yang sekadar di kedudukan ke-5 itu.
Buk!!
Tanpa sempat mengelak, lelaki itu terpelanting menyembah bumi sebaik Dew melepaskan tumbukan kencangnya. Suasana agak kecoh tiba-tiba apabila Dew mendapatkan lelaki itu semula dan membelasahnya lagi.
“Dew, sabar!” Jiro memainkan peranan sebagai penenang Dew. “Cool down, okey…” Jiro mengelus-ngelus belakang Dew.
Dew menepis kasar sentuhan Jiro. Pelajar berkaca mata yang kononnya pandai itu dijeling dengan tajam sebelum kembali mengerling papan kenyataan. Melihat semula keputusan yang tidak memuaskan hatinya, Dew segera mengoyak kertas senarai keputusan tersebut. Selepas itu dia beredar dari situ.
Camie secara tidak sengaja telah menghalang laluan Dew. Langkah Dew mati di hadapan gadis itu. Wajah Camie dicerling penuh marah. Camie cuak dan menunduk kepala. Terasa seram tatkala melihat amukan lelaki itu. Tiada siapa yang berani menentang The Taiko. Hatta guru sekalipun takut apatah lagi para pelajar.
“Tepilah, Si Hodoh! Kau nak mati ke?” jerkah Dew sebelum menolak kasar batang tubuh Camie yang menghalang laluannya.
Camie yang ditolak kasar itu terjatuh melanggar dinding. Yang lain segera menjauh. Tidak berani menegur The Taiko yang sedang naik angin. Kelibat Dew yang menuju ke pintu gerbang kolej diperhatikan mereka semua termasuklah Camie.
“Phill tu memang bodoh. Dah tau diri tu lemah, sengaja nak cari pasal dengan Jeremy. Mentang-mentang dia dah berjaya pintas kedudukan Jeremy. Berlagak pula.” Camie terdengar suara halus di sebelahnya yang mengulas tentang kejadian tersebut.
“Elleh, baru sekali sajalah. Si skema tu memang macam tu. Tak padan dengan skema, ada hati nak tewaskan The Taiko. Menyampah.” Seorang lagi bersuara. Sempat matanya menjeling ke arah lelaki berkaca mata tadi yang sudah bangun untuk beredar dari situ. Camie mendekat untuk terus mendengar bicara mereka sekali gus mendapatkan sedikit maklumat yang berguna.
“Tapi kan Jeremy nampak sangat marah tadi kan. Aku rasa kalau Phill tak bersuara sekalipun Jeremy akan cari mangsa belasahan… keputusan dia jatuh teruk kali ini.”
“Betul. Aku setuju. Daripada tempat ke-2, sekarang dah jatuh ke tempat ke-5. Kau bayangkan sendirilah. Siapa yang tak bengang… aku rasa cikgu salah kira markah dia kot.”
“Hish, kau ni. Kalau cikgu salah kira lebih baik tak payah jadi cikgu,” marah salah seorang daripada mereka. “Sudahlah, jom masuk kelas,” ajaknya selajur ketiga-tiga mereka melangkah meninggalkan kawasan tersebut.
Camie yang mencuri dengar tadi terus berdiri di situ sambil memerhati kelibat Dew yang mula menghilang disebalik tembok pagar. Siapa Dew? Persoalan itu muncul di benaknya setelah mendengar perbualan beberapa orang pelajar tadi. Dia semakin tertarik dengan lelaki yang digelar sebagai The Taiko oleh para pelajar kolej itu. Semacam ada satu rahsia yang belum disedarinya tentang Dew.
Camie tidak pernah menyangka yang Dew sama bijak seperti Jeremy juga memandangkan lelaki itu selalu ponteng dan tidur di dalam kelas. Bersikap mengambil berat biarpun suka mengejami orang. Ada sifat-sifat terpuji biarpun mulutnya sangat jarang berbicara sopan. Ingin sekali Camie membuka hijab disebalik sikap Dew yang bertentangan itu. Semakin dia mengenali Dew semakin dia nampak yang pertentangan sikap lelaki itu dengan Jeremy semakin tipis. Secara zahirnya memang mereka umpama langit dengan bumi namun adakalanya Dew benar-benar sama seperti Jeremy.
No comments:
Post a Comment