Kawan2 yg saya Sayang

Sunday, January 24, 2010

Ai Without Love ::Bab4::


Tajuk : Dunia Ini Penuh kegilaan
Watak : Yna, Ryo
Genre : Friendship & Romance
Lokasi : Kediaman Yna, Kediaman Ryo
Ringkasan : Yna "aku bosan dengan kehidupan di kota yang menjadikan wang sebagai raja ini." ... Ryo"Aku hanya bahan untuk mereka mengaut keuntungan. Yna, mari kita bekerjasama menyelesaikan manusia-manusia gila ini."



Bab4

“Namaku Yna Baktiar. Sejak beberapa tahun ini hidup aku hambar. Setiap hari aku lalui rutin yang sama dan ia sangat membosankan. Kehidupan di Kota Lisberg yang aku lalui hanya bersifat metarial yang berlandaskan wang semata-mata. Aku hidup sebatang kara. Tanpa keluarga. Tanpa saudara. Tanpa teman. Tanpa kekasih... memang bosan…

“Tapi hari ini segala-galanya berubah. Ryo Nishikido… dia adalah subjek utama yang akan aku gunakan untuk mewarnai semula kehidupan aku yang begitu membosankan selama ini.”

Senyuman yang terbentuk di bibir gadis itu penuh makna tersirat. Ada sesuatu yang nakal sedang berlegar-legar dimindanya.

Dia meneruskan langkah kakinya di koridor tingkat kedua pangsapuri tempat kediamannya. Dari jauh dia terpandang seorang lelaki, tuan rumah yang disewanya sedang mengetuk bertalu-talu pintu rumahnya. Yna segera bersembunyi di sebalik dinding di sebelah koridor.

Melihat kemunculan lelaki bertubuh kurus melengking itu membuatkan hati Yna jengkel. Lawatan yang tidak diundang itu tidak lain dan tidak bukan adalah kerana mahu mengutip duit sewa rumahnya yang sudah tertunggak selama beberapa bulan.

Lelaki tuan rumah akhirnya putus asa apabila panggilannya tidak bersahut. Tangannya juga sudah kebas mengetuk pintu rumah tersebut. Orang yang dicarinya tetap tidak muncul. Akhirnya dia menulis satu nota dan menyelitkan di celah pintu sebelum beredar pergi.

Fuh~~ Yna melepaskan nafas lega. Setelah yakin yang lelaki tuan rumah itu tidak berpatah balik untuk mendapatkannya semula barulah dia kembali ke rumahnya.

Sebelum masuk ke rumah nota yang terselit di celah pintunya tadi diambil. Di baca sepintas lalu sebelum digumpal dan dicampak ke tingkat bawah melalui koridor.

“Saya akan datang lagi cari awak esok.” Yna mengulang ayat yang dibacanya dalam nota tadi dengan perasaan jengkel yang berleluasa. “Boleh blah!”

Pintu dikancing dari dalam dan dia segera menuju ke ruang tamu. Merebahkan tubuh di sofa panjangnya yang berwarna biru kundang dengan corak motif rama-rama. Sekilas matanya terpandang beberapa keping surat di atas meja kopi di penjuru sofa. Pemandangan yang dirasakannya begitu menyakitkan hati. Dia bangun duduk lantas mencapai surat-surat tersebut.

Surat penyata pinjaman, bil tunggakan elektrik, bil air, bil itu, bil ini… argh~ semuanya surat minta hutang! Betul-betul buat orang sakit kepala.

Yna mencampak semula semua surat-surat tersebut ke meja tadi. Dia bangkit dari situ dan beredar menuju ke biliknya. Memikirkan semua benda yang memerlukan wang memang menyerabutkan otak. Kehidupan di kota metropolitan tetap terasa bebannya biarpun dia tidak menanggung sesiapa. Segalanya memerlukan not berharga yang dipanggil duit! Tiada satu bendapun yang boleh dimiliki tanpa duit. Huhh~

*************

Ryo masih tekun menghadap laptopnya biarpun hari sudah jauh malam. Dilupakan dulu kepenatan yang menyengat tubuhnya sepanjang hari ini demi untuk melayari dunia maya. Kalau hendak diikutkan hatinya memang dia akan terus melayari mimpi indah di atas katil ketika ini. Masakan tidak penat menempuh satu hari yang penuh kontroversi dalam hidupnya hari ini. Bertemu dengan Yna, terperangkap di dalam lif, diburu paparazzi, dan kenyataan gila tentang hubungannya dengan Yna oleh Aya… dasyat!

Jam di dashboard komputer dikerling. Waktu sudah melewati jam 2.00 pagi. Masih awal, fikirnya. Ada lebih kurang tiga jam lagi sebelum dia perlu keluar bekerja. Hari yang lebih gila bakal dilaluinya nanti. Sebelum sebarang kemungkinan berlaku lebih baik payung disediakan dahulu untuk menepis segala berita negatif tentang dirinya kelak.

“Hoh!... Oh my… teruknya…” sesuatu yang mengejutkan telah ditemui dalam dunia maya yang berhantu itu. Ryo menolak tubuhnya menjauhi komputer riba. Kedua belah tangannya menguak rambut ke belakang. Wajah kerutnya menggambarkan perasaan geram yang bercampur marah saat ini. “Yna~~!!!” Tiba-tiba dia menjerit nama itu.

Ryo bangkit dari kerusi. Berjalan ke hulu ke hilir tidak tentu hala. Dia perlu lakukan sesuatu untuk menyelesaikan perkara ini. Sesekali berita tentang dirinya yang dibacanya dari laman web tadi dikerlingnya. Semakin dipandang semakin menyakitkan hati. Apatah lagi melihat gambarnya yang sedang memeluk dan mendukung Yna. “Wartawan gila ni memang nak kena ajar!” Ryo bertempik marah.


No comments: