ASSALAMUALAIKUM...
Terlalu lama Cik Kaseh menyepikan diri dari menulis sebarang karya di blog ini.
Sebenarnya di blog sahaja saya tak aktif, di tempat lain alhamdulillah masih aktif.
InsyaAllah, saya akan mula aktif semula update karya-karya terbaru.
Untuk kick start, terimalah SAYAP BERLIAN.
Sebuah karya bergenre fantasi/romance ( Isekai )
Boleh juga dibaca melalui laman wattpad :
BAB 1
HARI yang dinanti-nantikan telah tiba. Matahari masih tidak kelihatan
biarpun pagi telah menjelang, seakan berkelubung di sebalik awan-gemawan di
langit yang cerah. Laut luas itu kelihatan tenang, seakan mengiyakan kaji cuaca
yang diramalkan semalam. Sebuah yacht mewah bertatah nama Diamond Tsubasa
belayar megah di tengah lautan. Rekaan logo berbentuk dua sayap di bahagian
kepala yacht terukir halus berseni dengan tatahan permata, melambangkan prestij
pemiliknya.
Di dalam wheelhouse,
Tengku Jalil sedang mengemudi kapal. Sepasang matanya yang dilindungi kaca mata
gelap sesekali mengawasi abangnya, Tengku Annas yang berdiri di atas dek
menghirup bau masin air laut dengan wajahnya yang sengaja ditadah ke langit, menunggu
matahari pagi menyentuh kulitnya yang cerah.
Berbanding dirinya, abangnya jauh lebih tampan. Anak
matanya berwarna hazel. Rambutnya tidak terlalu hitam, kelihatan agak perang
semula jadi setiap kali disimbah cahaya siang. Tulang hidungnya agak tinggi
menjadikan bentuk hidungnya sedikit tajam dan terletak. Setiap kali berjalan,
dia sentiasa menjadi perhatian kerana aura visualnya yang kuat. Jika bukan
kerana status keluarganya yang berdarjat dan berpengaruh dalam dunia korporat,
pasti berderet-deret syarikat agensi bakat dan model mahu mengambil abangnya
menjadi idola terkenal.
Tubuh lampai melebihi 6 kaki tinggi itu
terhuyung-hayang melawan gelora sambil sebelah tangan menekup mulut menahan
loya. Tengku Jalil tersenyum kecil melihat gelagat Tengku Annas yang mabuk laut
tergopoh-gapah menuju ke arahnya.
“You okay, bro?” tegur Tengku Jalil sambil
menghulurkan botol air mineral sebaik abangnya masuk ke dalam wheelhouse.
Wajahnya yang cerah, sangat jelas pucat kebiruan
bagaikan mayat. Tengku Annas mencapai botol air mineral yang dihulurkan Tengku
Jalil sebelum duduk meneguknya dengan tertib. Dia bersandar tidak bermaya.
“Lama lagi ke nak sampai Pulau Rumbia tu?” Dia
menghitung waktu dalam keadaan resah. Berharap akan segera sampai ke destinasi
yang dijanjikan.
Pertanyaannya tidak dihiraukan Tengku Jalil yang
sedang berkhayal memikirkan rancangan dalam kepalanya. Pelayaran mereka belum
pun sampai separuh perjalanan. Dari Jeti Lang Paradise, pelayaran tersebut
sebenarnya bukan menuju ke Pulau Rumbia, seperti yang dijanjikan. Sebaliknya
sejak dari awal lagi Tengku Jalil telah menetapkan sistem navigasinya menghala
ke Pulau Jarak.
Pulau Jarak terletak lebih jauh ke tengah laut dan
mengambil masa lebih dari 5 jam masa pelayaran. Pulau kecil itu tidak dihuni
manusia dan terpencil jauh di tengah laut. Tengku Jalil yakin kawasan tersebut
tempat yang strategik untuk melunaskan dendamnya. Tiada siapa akan menjumpai
mayat abangnya di pulau terpencil itu. Orang akan menganggap Tengku Annas
hilang sepertimana ayah mereka suatu waktu dahulu; mati tak bertanda!
Tangan menyeluk poket jaket kulitnya dan
menggenggam sebuah kotak kayu. Kancing kotak tersebut ditekan dan terbuka
secara automatik. Di dalamnya ada hujung mata anak panah yang patah. Rekaan yang
unik itu ditempah khas. Terdapat ukiran nama ‘Annas’ dalam tulisan jawi pada
hujung batangnya.
******
10 tahun lalu…
Kelopak matanya bergerak-gerak. Dia cuba membuka
mata tapi terasa berat. Kepala berdenyut-denyut. Terasa ada cecair mengalir di
dahinya. Tengku Jalil berusaha keras menolak tubuhnya bangun. Namun tubuhnya
terasa berat bagai Si Tanggang yang disumpah menjadi batu.
“Ayah, Annas minta maaf.”
Tengku Jalil terdengar suara garau yang dingin
tidak jauh darinya. Beberapa kali matanya dipicing untuk memastikan figura di
hadapannya. Pandangannya kabur dan terbatas disebabkan cuaca yang kian gelap di
hutan tersebut. Namun dia yakin dari susuk lampai yang bertinggung di hadapan sekujur
tubuh yang terbaring kaku itu ialah Tengku Annas. Dia nampak sebelah tangan
Tengku Annas memegang sesuatu yang tertusuk di dada lelaki yang terbaring tadi.
“Ayah.” Tengku Jalil tidak mampu bergerak untuk
menyelamatkan lelaki yang terbujur kaku itu. Suaranya hanya bergema dalam
kepala. Seluruh anggota badannya seakan lumpuh. Satu jarinya pun tak mampu
digerakkannya.
“Annas janji tak kan buat ayah sakit.” Suaranya
dingin merenung mata ayahnya.
Tiba-tiba Tengku Annas merentap senjata tajam itu dari
dada Tengku Badri. Rentapan tersebut menyebabkan tubuh ayahnya terangkat bagai
direnjat elektrik. Mulut ayahnya ternganga menahan azab kesakitan. Rentapan itu
seperti menarik keluar roh dari tubuhnya. Sebelah tangan yang mencengkam kuat lengan
Tengku Annas perlahan-lahan terkulai jatuh ke tanah.
“Ayah!” Dia menjerit sekuat hati memanggil insan
yang dikasihinya. Namun jeritan itu hanya bergema dalam hati sahaja. Kudratnya
hilang. Dia hanya mampu melihat perbuatan kejam abangnya.
Di tangan Tengku Annas masih menggenggam kemas anak
panah patah yang menjadi senjata membunuh ayahnya. Dan sebaik Tengku Annas
menoleh kepadanya, memorinya terbejat. Semuanya menjadi hitam.
Bersambung...
P/s : Terima kasih membaca karya saya. Sudi-sudikanlah menulis sepatah dua kata di ruang komen. I will appreciate every comment from you guys. =)
No comments:
Post a Comment