Kawan2 yg saya Sayang

Wednesday, March 15, 2017

Jejak Jodoh Jebat - Pengenalan 1

JEBAT BUKAN HERO

NAMAKU Jebat… Jebat Khusyairi. Bukan Hang Jebat. Jauh sekali Beto Kusyairy. Nenek kata arwah mak yang beri nama aku. Masa kanak-kanak dulu aku cukup benci dengan nama ‘Jebat’ tu. Kawan-kawan selalu persendakan nama aku yang dipadankan dengan 5 orang wira melayu yang terkenal dengan sifat kependekarannya itu. Budak-budak memang kuat mengejek. Tapi setelah aku meningkat dewasa, aku bangga dengan nama tu. Semacam ada satu aura ke-hero-an di situ.
Seorang pelukis di bawah pokok pernah memberitahuku, tiada hero dalam setiap lukisan yang dilukisnya kerana hero itu adalah dirinya sendiri. Setiap kerja yang kita lakukan mesti disusuli dengan niat yang betul. Aku ditakdirkan menjadi seorang pendidik walaupun itu bukan cita-cita utama aku pada asalnya. Barangkali ini disebabkan faktor genetik. Nenek pernah berkhidmat sebagai seorang guru ketika di usia mudanya. Begitu juga dengan arwah mak juga seorang guru. Jadi mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi… kecuali kalau kau tak makan nasi lah. Kalau kau makan laksa, mestilah kuah tu tumpah ke mee laksa kau kan.
Ramai orang anggap jadi cikgu ni mudah. Masuk kerja pukul 7.00 a.m, balik pukul 1.00 p.m.. Kalau mudah, semua orang pun boleh jadi cikgu. Yeke mudah? Cubalah test jadi cikgu seminggu. Tahulah nanti tinggi ke rendah langit tu. Banyak sebenarnya cabaran yang seorang guru terpaksa lalui.
Sebagai seorang guru cabaran utamaku adalah berhadapan dengan pelajar-pelajar bermasalah, yang suka mencari masalah, yang sengaja mencipta masalah, yang bijak menimbulkan masalah dan sengaja memberi masalah kepadaku. Selaku guru di bawah Biro Disiplin selalunya aku adalah seteru kepada pelajar-pelajar sebegini. Maka biasanya aku tidak pernah kekeringan idea untuk menghukum pelajar-pelajar seperti ini. Malah kadangkala aku rasa menghukum mereka adalah suatu kaedah untuk mengurangkan sedikit stress bekerja. Sifat nakal mereka kadang nampak comel namun adakalanya buat aku sakit kepala. Kerenah mereka yang pelik-pelik kadangkala cuba mencabar kewibawaanku sebagai seorang guru disiplin!
Salah seorang pelajar paling wanted dalam senarai hitamku ialah Nur Amina bt. Arman Shah atau nama glamour dia Mint. Melihat Mint yang sedang berlegar-legar di sekitar keretaku, buat aku rasa curiga. Nampaknya sasaranku muncul pada masa yang tepat. Memang seperti yang kujangkakan, dia pasti akan bertindak kerana baru semalam aku mendendanya atas kesalahan meniru ketika ujian sedang diadakan. Masak juga budak tu aku denda menyanyi lagu NegaraKu di tengah padang sekolah ketika waktu rehat. Nampaknya dia memang tidak puas hati dan berhasrat hendak membalas dendam terhadapku hari ini.

“Berhenti! Apa yang kamu lakukan tu?” Aku bertindak dengan pantas untuk menerpa gadis tersebut apabila mendapati keretaku sedang menjadi sasarannya.




Cik Kaseh : #JejakJodohJebat ialah karya yang sama dengan Mencari Dang Wangi. Bakal menemui anda di pasaran tak lama lagi. Jangan lupa dapatkan naskah terbaru karya saya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 



Countdown 44 hari lagi!


No comments: