Bab22
“LIE after lie,The truth disappears by the lies,Blinded by pride,Not losing a sight whenever questioned all the answers…”
The
War Is On dari band Coldrain menemani Dew yang sedang duduk melepak di belakang
stor. Waktu rehat yang cuma setengah jam itu digunakan hanya untuk mendengar
muzik kerana Dew tiada nafsu mahu mengambil makan malam. Harinya sudah cukup
stress kerana terpaksa bekerjasama dengan Shin dan dia sudah hilang selera
untuk makan.
“Jay…”
Shin muncul sambil menghulurkan sebungkus ban kacang kepada Dew.
Dew
sekadar melontarkan jelingan kepada Shin. Namun Shin tetap dengan riak
selambanya dan masih lagi suka tersenyum. Pemuda itu mengambil tempat di
sebelah Dew. Salah satu bungkusan ban di tangannya dibuka lalu dihulurkan
kepada Dew sekali lagi. Dia masih lagi mahu berbaik-baik dengan Dew dengan
harapan dapat berkawan dengan lelaki itu.
Dew
buat tidak peduli. Dia menguatkan volume lagunya sambil mulutnya berbunyi
mengikut rentak lagu gubahan Coldrain yang sedang dilayannya. Muzik yang
berbunyi keras itu bergabung dengan suara Masato yang hampir memekik. Suara Dew
juga tidak kurang kuatnya kerana cuba meniru gaya nyanyian Masato.
Shin
berasa pelik dengan sikap Dew yang langsung tidak mahu bercakap dengannya sejak
tadi. Walaupun dia cuba bersikap ramah dan mahu berbaik-baik dengan lelaki itu
namun Dew sentiasa melayannya dengan dingin. Bagaikan dia pernah membuat
kesalahan dengan pemuda tersebut.
Ban
kacang yang sudah sedia terbuka plastiknya itu dijamah oleh Shin sambil
memerhatikan tingkah Dew yang sedang terangguk-angguk sambil menyanyikan
bait-bait lagu The War Is On. Sesekali kedua belah tangan Dew seolah-olah
sedang bermain dengan gitar. Shin tersenyum melihat gelagat seorang music maniac seperti Dew. Dia terhibur
melihat tingkah Dew sedangkan dia tidak sedar sebenarnya tindakan Dew itu
merupakan satu protes yang mahu menghalaunya pergi dari tempat tersebut.
Lagu
dendangan Coldrain sudah tamat namun Dew pelik melihat Shin masih lagi berada
di situ bersamanya.
“Perlukah
aku berterus terang pada kau yang aku tak sukakan kau dan aku nak kau jangan
ganggu waktu rehat aku di sini.” Dew bersuara dingin tanpa menoleh ke arah Shin
yang masih duduk bersilang kaki di kerusi di sebelahnya.
“The
War Is On… itu lagu terbaru Coldrain. Aku pun suka band tu juga.” Shin
seolah-olah tidak peduli dengan kata-kata Dew dan lebih tertarik dengan muzik
yang sedang dilayan oleh Dew tadi.
“Hah?”
dahi Dew berkerut. Merenung wajah Shin yang sentiasa ceria sambil mengunyah ban
kacangnya itu membuatkan Dew garu kepala sendiri. Lagak Shin yang bersahaja itu
seolah-olah sangat mengenali band rock dari Negara Matahari Terbit itu. Dew
mula tidak faham dengan siapa sebenarnya dia sedang berhadapan sekarang.
“Masato
is cool. Hmm… maksud aku suara dia.
Walaupun Taka dari One Ok Rock lebih bagus tapi Masato pun not bad juga kan. Sekurang-kurangnya lebih bagus dari My First
Story band.” Shin masih bercakap berkisar tentang band-band rock.
Dew
mengerutkan dahi… bagaimana dia boleh kenal dengan band-band muzik tersebut?
Hmm, okey… maksud aku jika dipandang dari segi luaran siapa akan sangka dia
kenal dengan band-band Jrock yang baru disebutnya tadi. Benarkah dia seorang
putera? Ataupun aku berhalusinasi sebenarnya?
“Masato
is half American and half Japannese right?
So, he just like your girlfriend, Camie… Beautiful.” Shin senyum lebar sehingga menampakkan gusi atasnya.
Mungkin dia sedang membayangkan wajah Camie yang selalu blur tetapi comel itu.
Ini
satu lagi perkara pelik. Dia panggil Camie sebagai girlfriend aku? Sejak bila pula? Dew garu kepala. Keliru kerana
menyangka Shin ada menaruh perasaan terhadap Camie sebelum ini.
Waktu
rehat sudah tamat dan Dew kembali bekerja semula... Bersama-sama Shin... dan selepas
ini dia akan semakin kerap menemui Shin. Walaupun ini nampak susah bagi Dew
tapi dia tiada pilihan lain. Biarpun terpaksa berhadapan dengan Shin setiap
hari, itu lebih baik daripada menerima duit poket daripada Leah, duit daripada
Tuan Ramelo yang dia tidak pasti samada benar atau tidak itu ayahnya.
Dia
mula menjalani rutin baru hidupnya sebagai pelajar merangkap pekerja di Plane
Mart. Ini termasuklah menjadi rakan sekerja kepada Shin Viera yang kononnya Boy
Over Flower bagi pelajar-pelajar perempuan di kolejnya. Namun selepas seminggu
dia mengenali Shin, Dew perasan akan sesuatu tentang pemuda tersebut. Satu
kesimpulan yang Dew dapat tafsirkan ialah Shin seorang genius yang kurang
mempedulikan keadaan di sekelilingnya. Samada orang menyukainya ataupun tidak,
Shin seolah-olah tidak dapat membaca. Shin sentiasa hidup dalam dunianya
sendiri tetapi akan mendampingi sesiapa yang dirasakannya berguna. Itu agak
merimaskan Dew kerana dia telah menjadi mangsa sejak kebelakangan ini. Ia
bermula sejak pada hari pertama lagi. Ketika itu dia hendak pulang ke rumah dan
Shin telah mengekorinya.
“Apa
lagi yang kau mahu? Cukuplah kau ganggu hidup aku di Plane Mart. Takkan sampai
ke rumah pun kau masih nak mengekoriku.” Dew memusingkan langkah kakinya dan
menuju kepada Shin yang sedang berjalan beberapa meter di belakangnya tadi.
Shin
membulatkan mata sebelum terkedip-kedip merenung Dew yang tiba-tiba
memarahinya. Air mukanya kosong kerana tidak faham kenapa dia sering dimarahi
oleh Dew. Dia tidak tahu apa sebenarnya kesalahan yang telah dia lakukan
terhadap Dew sehingga mendatangkan kebencian lelaki itu terhadapnya sejak dari
kali pertama mereka berkenalan.
“Jangan
ganggu hidup aku. Aku tak sukakan kau. Aku juga tak suka kau rapat dengan
Camie…” Air muka Dew jika dilihat di bawah lampu neon itu kelihatan seolah-olah
mengeluarkan aura hitam yang menakutkan. “Lagi satu… jangan sentuh Leah. Jangan
berani-berani sentuh dia di hadapan aku lagi. Kau akan mati kalau kau buat
perkara yang sama di hadapan mata aku lagi selepas ini.” Dew takkan lupa
peristiwa dia terlihat Shin dan Leah bercium di padang tempohari.
Sepanjang
lima saat mata mereka bertembung. Pandangan dingin Dew diakhiri dengan satu
kerlingan tajam sebelum kakinya dipusingkan ke hadapan semula untuk kembali
melangkah menuju ke rumahnya. Shin menelan liur yang berkumpul dan memberat di
tekaknya. Cuak juga mendengar amaran Dew. Namun dia masih tertanya-tanya apa
sebenarnya yang telah dia lakukan terhadap Camie… dan Leah… siapa berani sentuh
perempuan garang seperti Leah? Mengapa Dew memberi amaran begitu kepadanya?
Puas juga Shin memikir-mikirkannya namun dia tetap tidak mengerti maksud amaran
Dew.
Bukan
niat Shin mahu mengekori Dew tetapi memang dia perlu melalui jalan yang sama
dengan Dew untuk pulang ke rumahnya. Satu perkara yang Dew tidak tahu, rumah
Shin berada di kawasan yang sama dengan Dew. Jadi mahu atau tidak mereka memang
perlu pulang bersama-sama sementalah mereka bekerja bersama-sama di Plane Mart.
Dew
hanya mengetahui perkara tersebut pada suatu hari, ketika dia bermain gitar di ruang
balkoni di rumahnya. Dia ternampak Shin yang sedang makan Pop Corn di balkoni
bangunan pangsapuri di hadapannya sambil menonton persembahannya. Sebaik
menyedari kelibat Shin, serta merta Dew berhenti bermain gitar. Dia kehilangan
kata-kata apabila melihat Shin melontarkan senyumannya sambil
melambai-lambaikan tangan kepadanya. Shin nampak gembira sedangkan Dew pula
merasakan yang hidupnya semakin dibelenggu oleh orang yang dibencinya. Dew akan
terus bertemu Shin bukan setakat di kolej dan di Plane Mart malah di rumahnya
juga kini.
Tanggungjawab
sebagai pelajar dan pekerja dalam satu masa memang sesuatu yang mencabar. Hari
demi hari rutin hidup Dew semakin sibuk sehingga tiada sedikit ruang masapun
baginya untuk bersenang-senang seperti dahulu. Dia sentiasa sibuk dengan jadual
kelasnya pada waktu pagi sehingga petang. Kemudian kerjanya di Plane Mart akan
bermula selepas jam 5.30 petang sehingga jam 11.00 malam. Selepas pulang dari
Plane Mart dia akan kembali membuka buku untuk belajar atau menyiapkan tugasan
kuliah. Biasanya dia tidak akan masuk tidur sebelum jam 12.00. Kadang-kadang
dia akan berjaga sehingga pagi. Bergantung pada keadaan.
Pada
hujung minggu juga dia tidak berani untuk mensia-siakan masanya. Dia tetap
bekerja di Plane Mart tetapi jadual kerjanya bermula dari pagi sehingga petang.
Walaupun dia terpaksa menghadap Shin setiap masa namun dia tidak peduli. Dia
tidak boleh mempedulikan Shin jika dia mahu mencapai impiannya. Dia perlu
mengabaikan keadaan dirinya yang masih kehilangan memori kerana tidak mahu
terjerat dengan berbagai masalah. Tindakannya seolah-olah cuba melarikan diri
dari masalah tetapi baginya itu sahaja cara yang dia rasa selamat daripada
menghadapi sesuatu ancaman yang dia tidak pasti.
Dia
tahu Leah tahu segala-galanya. Dia juga tahu Camie ada jawapan tentang siapa
dirinya yang sebenar. Namun Dew memilih untuk mencari dirinya sendiri dengan
jalannya sendiri. Kehadiran Shin memang tidak disenanginya sejak dari mula
namun sesuatu telah menyebabkan Dew mengubah pendiriannya terhadap pemuda itu.
Suatu
malam selepas dia pulang dari bekerja, akibat terlalu keletihan dia membiarkan
dirinya berendam di dalam tab mandi. Sambil berendam di dalam air hangat itu
telinganya direhatkan dengan mendengar alunan piano konserto. Shin yang memberikan
kepadanya. Dia tidak pernah mendengar muzik serupa itu tetapi Shin yang
memaksanya untuk mendengar. Kadangkala sikap Shin yang memaksa memang
merimaskannya namun oleh kerana dia sudah malas hendak bergaduh maka
diturutinya sahaja kehendak Shin. Alunan piano yang mendamaikan itu akhirnya
menyebabkan Dew terlelap.
Shin
datang ke rumah Dew tanpa sebab malam tersebut. Barangkali dia bosan
keseorangan di rumah. Memandangkan dia berasa semakin rapat dengan Dew maka dia
pun mula membuat lawatan tidak rasminya ke rumah Dew. Ketika dia sampai di
rumah Dew, dia memanggil-manggil nama Dew namun tiada sahutan dari dalam rumah.
Oleh kerana pintu rumah tidak berkunci maka dia memberanikan diri untuk
menjenguk ke dalam rumah tersebut. Dia tahu Dew ada di dalam rumah kerana lampu
dan kipas di ruang tamu terpasang. Malah kedengaran alunan muzik piano konserto
dari satu arah di salah sebuah pintu bilik.
“Jay…!”
panggilnya. Shin memanggil Dew dengan nama Jay kerana dia hanya mengenali Dew
dengan nama tersebut sejak dari mula.
“Jay…!”
dia memanggil lagi. Namun panggilannya tetap tiada sahutan. Lama-kelamaan dia
berasa curiga. Ada sesuatu yang tidak kena. Maka dia memberanikan diri masuk
sahaja ke dalam rumah tersebut. Langkah kaki Shin terus sahaja meluru ke arah
bunyi muzik yang didengarinya sayup-sayup sejak tadi.
Pintu
bilik air tidak berkunci. Ia tertutup rapat namun tidak dikancing dari dalam.
Perlahan-lahan Shin memusingkan tombol pintu. “Jay… kau ada di dalam ke?” Suara
Shin rendah dan kedengaran takut-takut. Pastilah dia takut jika tiba-tiba Dew
menerajangnya dari dalam bilik air tersebut. Namun panggilannya tetap tidak
mendapat reaksi Dew. Hanya haba panas yang menyapa kulit mukanya sebaik pintu
bilik air tersebut dibuka.
“Jay!”
Shin terkejut melihat sekujur tubuh Dew yang terendam di dalam tab mandi yang
penuh dengan air. Kepalanya yang longlai sedang tenggelam perlahan-lahan ke
dalam air yang bertakung. Dagunya sudah tenggelam. Diikuti pula mulutnya.
Perlahan-lahan seluruh kepalanya melurut jatuh. Shin dengan pantas menarik
tubuh Dew naik ke atas.
“Jay…
Jay! Hei, bangun. Jay!”
Kelopak
mata Dew terbuka sedikit. Dia melihat wajah Shin yang samar-samar. Roman
mukanya kelihatan kemerah-merahan. Entah sudah berapa lama dia berendam tadi. Shin
segera menariknya keluar dari tab mandi. Jubah mandi yang tergantung di tepi
sinki segera dicapai lantas dibalut ke tubuh Dew. Shin memapah Dew keluar dari
bilik air tersebut dan membaringkan Dew di katil di biliknya. Dew langsung
tidak sedar apa-apa lagi selepas itu.
Dew
terjaga pada dini pagi, lebih kurang jam 4.00 pagi. Ketika sedar, dia tidak
perasan apa yang telah berlaku pada dirinya sebelum ini. Ada tuala kecil yang
lembab di dahinya dan pakaiannya sudah berganti. Kepalanya terasa
berdenyut-denyut tetapi dibiarkan sahaja kesakitan yang tidak begitu teruk itu.
Dia diam sejenak sambil mengingat-ngingat sesuatu. Memori terakhirnya malam
tadi ialah dia sedang berendam di tab mandi sambil mendengar alunan piano yang
cukup gemersik. Kemudian… adakah aku telah tertidur selepas itu? Dew garu kepala
sebelum bangkit dari katil untuk keluar ke dapur. Dia haus dan mahu mencari
air.
Matanya
tertumpu ke ruang tamu sebaik keluar dari bilik. Kelihatan kelibat satu lembaga
sedang berbaring di atas sofa merahnya. Dew curiga. Perlahan-lahan dia cuba
menghampiri lembaga tersebut. Lembaga yang sedang nyenyak tidur itu tiba-tiba
membuat gerakan setempat seolah-olah sedang mencari keselesaan dalam tidurnya.
Dew masih berhati-hati mahu mendekatinya.
“Shin?”
Waktu itu dia tidak pasti samada dia mahu marah ataupun tidak sebaik mengetahui
lembaga yang sedang nyenyak tidur itu ialah Shin.
Dew
terduduk di lantai sambil cuba meraih semula memorinya. Malam tadi rupanya dia
bukan setakat tertidur malah hampir tidak sedarkan diri kerana terlalu lama
berendam. Dia juga hampir lemas namun sempat diselamatkan oleh Shin yang
kebetulan muncul tepat pada masanya.
“Terima
kasih,” ucapnya pagi itu ketika bersarapan pagi bersama Shin.
Shin
seperti biasa, hanya senyum sambil mengunyah roti bakar di mulutnya. Dia
merenung Dew dengan wajah yang gembira. Ini adalah permulaan hubungan baik
diantara mereka berdua.
“Tapi…
aku minta maaf sebab ceroboh masuk rumah kau malam tadi.”
“Aku
pasti dah mati lemas di bilik air jika kau tak ceroboh masuk ke rumah aku.” Dew
bercakap tanpa menoleh kepada Shin. Dia sedang menuang minuman coklat panas ke
cawannya.
Shin
senyum sambil mengangguk. Dia perhatikan sahaja wajah Dew yang masih nampak
letih dan pucat. Dew terlalu penat dan tidak cukup rehat. Itulah puncanya dia
pengsan malam tadi.
“Dengar
sini… aku tak suka terhutang budi dengan sesiapa. Jadi beritahu aku apa kau
mahu untuk aku balas budi kau.” Suara Dew serius seperti biasa. Dengan Shin,
dia memang tidak boleh nak bergurau senda biarpun sifat pemuda itu sentiasa
ceria ketika berhadapan dengannya.
“Aku
ikhlas dan cuma mahu berkawan dengan kau,” kata Shin.
“Aku
tak nak berkawan dengan musuh aku.”
Shin
menyedari yang Dew masih lagi membencinya. Lelaki itu tidak mudah menerima
sesiapa sebagai teman. Shin perasan selain Sam di Plane Mart, Dew tidak
berkawan dengan sesiapa ketika di dalam kolej. Melainkan Camie dan Leah. Tapi
dia mahu mengubah situasi ini. Dia mahu berkawan dengan Dew. Dia merasakan Dew
seorang yang istimewa. Dia juga merasakan seolah-olah mereka berdua ada satu
pertalian yang kuat dan dia sering memerhatikan Dew sejak dari dahulu lagi. Dew
sahaja yang tidak perasan yang dirinya sentiasa diperhatikan oleh Shin selama
ini.
“Apakata
kau ajar aku main gitar.” Ini adalah langkah pertama. Mungkin Dew hanya
menganggap perkara ini sebagai membalas jasanya tetapi Shin sebaliknya. Dia
mahu lebih dekat di samping Dew kerana dia mahu mencari sesuatu. Sesuatu itu
ada dalam hidup Dew dan Shin perlu menyiasatnya kerana ia melibatkan hal
keluarganya.
Bersambung...
4 comments:
best~ x sabar nak baca yg seterusnya
mkin menarik ...xsabr nk tau ape yg akn blaku slnjutnya ..
siapa shin??ape kaitan jay@dew dgn shin ??
Interesting !! Bila nak buat sambungan ? Dah tak sabar nak.baca hehehe >.<
First baca buku ni masa form1 (2013) dan sekarang sbb Covid19 ni terasa cam nk baca balik 😁 Akak Kaseh tak nk sambung cite ni ke? Suka baca terasa cam baca manga 😂
Post a Comment