Kawan2 yg saya Sayang

Sunday, September 22, 2013

AITDS the sequel - THE WITCH THAT I LOVE (bab22)

Bab22
“LIE after lie,
The truth disappears by the lies,
Blinded by pride,
Not losing a sight whenever questioned all the answers…”
The War Is On dari band Coldrain menemani Dew yang sedang duduk melepak di belakang stor. Waktu rehat yang cuma setengah jam itu digunakan hanya untuk mendengar muzik kerana Dew tiada nafsu mahu mengambil makan malam. Harinya sudah cukup stress kerana terpaksa bekerjasama dengan Shin dan dia sudah hilang selera untuk makan.
“Jay…” Shin muncul sambil menghulurkan sebungkus ban kacang kepada Dew.
Dew sekadar melontarkan jelingan kepada Shin. Namun Shin tetap dengan riak selambanya dan masih lagi suka tersenyum. Pemuda itu mengambil tempat di sebelah Dew. Salah satu bungkusan ban di tangannya dibuka lalu dihulurkan kepada Dew sekali lagi. Dia masih lagi mahu berbaik-baik dengan Dew dengan harapan dapat berkawan dengan lelaki itu.
Dew buat tidak peduli. Dia menguatkan volume lagunya sambil mulutnya berbunyi mengikut rentak lagu gubahan Coldrain yang sedang dilayannya. Muzik yang berbunyi keras itu bergabung dengan suara Masato yang hampir memekik. Suara Dew juga tidak kurang kuatnya kerana cuba meniru gaya nyanyian Masato.
Shin berasa pelik dengan sikap Dew yang langsung tidak mahu bercakap dengannya sejak tadi. Walaupun dia cuba bersikap ramah dan mahu berbaik-baik dengan lelaki itu namun Dew sentiasa melayannya dengan dingin. Bagaikan dia pernah membuat kesalahan dengan pemuda tersebut.
Ban kacang yang sudah sedia terbuka plastiknya itu dijamah oleh Shin sambil memerhatikan tingkah Dew yang sedang terangguk-angguk sambil menyanyikan bait-bait lagu The War Is On. Sesekali kedua belah tangan Dew seolah-olah sedang bermain dengan gitar. Shin tersenyum melihat gelagat seorang music maniac seperti Dew. Dia terhibur melihat tingkah Dew sedangkan dia tidak sedar sebenarnya tindakan Dew itu merupakan satu protes yang mahu menghalaunya pergi dari tempat tersebut.
Lagu dendangan Coldrain sudah tamat namun Dew pelik melihat Shin masih lagi berada di situ bersamanya.
“Perlukah aku berterus terang pada kau yang aku tak sukakan kau dan aku nak kau jangan ganggu waktu rehat aku di sini.” Dew bersuara dingin tanpa menoleh ke arah Shin yang masih duduk bersilang kaki di kerusi di sebelahnya.
“The War Is On… itu lagu terbaru Coldrain. Aku pun suka band tu juga.” Shin seolah-olah tidak peduli dengan kata-kata Dew dan lebih tertarik dengan muzik yang sedang dilayan oleh Dew tadi.
“Hah?” dahi Dew berkerut. Merenung wajah Shin yang sentiasa ceria sambil mengunyah ban kacangnya itu membuatkan Dew garu kepala sendiri. Lagak Shin yang bersahaja itu seolah-olah sangat mengenali band rock dari Negara Matahari Terbit itu. Dew mula tidak faham dengan siapa sebenarnya dia sedang berhadapan sekarang.
“Masato is cool. Hmm… maksud aku suara dia. Walaupun Taka dari One Ok Rock lebih bagus tapi Masato pun not bad juga kan. Sekurang-kurangnya lebih bagus dari My First Story band.” Shin masih bercakap berkisar tentang band-band rock.
Dew mengerutkan dahi… bagaimana dia boleh kenal dengan band-band muzik tersebut? Hmm, okey… maksud aku jika dipandang dari segi luaran siapa akan sangka dia kenal dengan band-band Jrock yang baru disebutnya tadi. Benarkah dia seorang putera? Ataupun aku berhalusinasi sebenarnya?
“Masato is half American and half Japannese right? So, he just like your girlfriend, Camie… Beautiful.” Shin senyum lebar sehingga menampakkan gusi atasnya. Mungkin dia sedang membayangkan wajah Camie yang selalu blur tetapi comel itu.
Ini satu lagi perkara pelik. Dia panggil Camie sebagai girlfriend aku? Sejak bila pula? Dew garu kepala. Keliru kerana menyangka Shin ada menaruh perasaan terhadap Camie sebelum ini.
Waktu rehat sudah tamat dan Dew kembali bekerja semula... Bersama-sama Shin... dan selepas ini dia akan semakin kerap menemui Shin. Walaupun ini nampak susah bagi Dew tapi dia tiada pilihan lain. Biarpun terpaksa berhadapan dengan Shin setiap hari, itu lebih baik daripada menerima duit poket daripada Leah, duit daripada Tuan Ramelo yang dia tidak pasti samada benar atau tidak itu ayahnya.
Dia mula menjalani rutin baru hidupnya sebagai pelajar merangkap pekerja di Plane Mart. Ini termasuklah menjadi rakan sekerja kepada Shin Viera yang kononnya Boy Over Flower bagi pelajar-pelajar perempuan di kolejnya. Namun selepas seminggu dia mengenali Shin, Dew perasan akan sesuatu tentang pemuda tersebut. Satu kesimpulan yang Dew dapat tafsirkan ialah Shin seorang genius yang kurang mempedulikan keadaan di sekelilingnya. Samada orang menyukainya ataupun tidak, Shin seolah-olah tidak dapat membaca. Shin sentiasa hidup dalam dunianya sendiri tetapi akan mendampingi sesiapa yang dirasakannya berguna. Itu agak merimaskan Dew kerana dia telah menjadi mangsa sejak kebelakangan ini. Ia bermula sejak pada hari pertama lagi. Ketika itu dia hendak pulang ke rumah dan Shin telah mengekorinya.
“Apa lagi yang kau mahu? Cukuplah kau ganggu hidup aku di Plane Mart. Takkan sampai ke rumah pun kau masih nak mengekoriku.” Dew memusingkan langkah kakinya dan menuju kepada Shin yang sedang berjalan beberapa meter di belakangnya tadi.
Shin membulatkan mata sebelum terkedip-kedip merenung Dew yang tiba-tiba memarahinya. Air mukanya kosong kerana tidak faham kenapa dia sering dimarahi oleh Dew. Dia tidak tahu apa sebenarnya kesalahan yang telah dia lakukan terhadap Dew sehingga mendatangkan kebencian lelaki itu terhadapnya sejak dari kali pertama mereka berkenalan.
“Jangan ganggu hidup aku. Aku tak sukakan kau. Aku juga tak suka kau rapat dengan Camie…” Air muka Dew jika dilihat di bawah lampu neon itu kelihatan seolah-olah mengeluarkan aura hitam yang menakutkan. “Lagi satu… jangan sentuh Leah. Jangan berani-berani sentuh dia di hadapan aku lagi. Kau akan mati kalau kau buat perkara yang sama di hadapan mata aku lagi selepas ini.” Dew takkan lupa peristiwa dia terlihat Shin dan Leah bercium di padang tempohari.
Sepanjang lima saat mata mereka bertembung. Pandangan dingin Dew diakhiri dengan satu kerlingan tajam sebelum kakinya dipusingkan ke hadapan semula untuk kembali melangkah menuju ke rumahnya. Shin menelan liur yang berkumpul dan memberat di tekaknya. Cuak juga mendengar amaran Dew. Namun dia masih tertanya-tanya apa sebenarnya yang telah dia lakukan terhadap Camie… dan Leah… siapa berani sentuh perempuan garang seperti Leah? Mengapa Dew memberi amaran begitu kepadanya? Puas juga Shin memikir-mikirkannya namun dia tetap tidak mengerti maksud amaran Dew.
Bukan niat Shin mahu mengekori Dew tetapi memang dia perlu melalui jalan yang sama dengan Dew untuk pulang ke rumahnya. Satu perkara yang Dew tidak tahu, rumah Shin berada di kawasan yang sama dengan Dew. Jadi mahu atau tidak mereka memang perlu pulang bersama-sama sementalah mereka bekerja bersama-sama di Plane Mart.
Dew hanya mengetahui perkara tersebut pada suatu hari, ketika dia bermain gitar di ruang balkoni di rumahnya. Dia ternampak Shin yang sedang makan Pop Corn di balkoni bangunan pangsapuri di hadapannya sambil menonton persembahannya. Sebaik menyedari kelibat Shin, serta merta Dew berhenti bermain gitar. Dia kehilangan kata-kata apabila melihat Shin melontarkan senyumannya sambil melambai-lambaikan tangan kepadanya. Shin nampak gembira sedangkan Dew pula merasakan yang hidupnya semakin dibelenggu oleh orang yang dibencinya. Dew akan terus bertemu Shin bukan setakat di kolej dan di Plane Mart malah di rumahnya juga kini.
Tanggungjawab sebagai pelajar dan pekerja dalam satu masa memang sesuatu yang mencabar. Hari demi hari rutin hidup Dew semakin sibuk sehingga tiada sedikit ruang masapun baginya untuk bersenang-senang seperti dahulu. Dia sentiasa sibuk dengan jadual kelasnya pada waktu pagi sehingga petang. Kemudian kerjanya di Plane Mart akan bermula selepas jam 5.30 petang sehingga jam 11.00 malam. Selepas pulang dari Plane Mart dia akan kembali membuka buku untuk belajar atau menyiapkan tugasan kuliah. Biasanya dia tidak akan masuk tidur sebelum jam 12.00. Kadang-kadang dia akan berjaga sehingga pagi. Bergantung pada keadaan.
Pada hujung minggu juga dia tidak berani untuk mensia-siakan masanya. Dia tetap bekerja di Plane Mart tetapi jadual kerjanya bermula dari pagi sehingga petang. Walaupun dia terpaksa menghadap Shin setiap masa namun dia tidak peduli. Dia tidak boleh mempedulikan Shin jika dia mahu mencapai impiannya. Dia perlu mengabaikan keadaan dirinya yang masih kehilangan memori kerana tidak mahu terjerat dengan berbagai masalah. Tindakannya seolah-olah cuba melarikan diri dari masalah tetapi baginya itu sahaja cara yang dia rasa selamat daripada menghadapi sesuatu ancaman yang dia tidak pasti.
Dia tahu Leah tahu segala-galanya. Dia juga tahu Camie ada jawapan tentang siapa dirinya yang sebenar. Namun Dew memilih untuk mencari dirinya sendiri dengan jalannya sendiri. Kehadiran Shin memang tidak disenanginya sejak dari mula namun sesuatu telah menyebabkan Dew mengubah pendiriannya terhadap pemuda itu.
Suatu malam selepas dia pulang dari bekerja, akibat terlalu keletihan dia membiarkan dirinya berendam di dalam tab mandi. Sambil berendam di dalam air hangat itu telinganya direhatkan dengan mendengar alunan piano konserto. Shin yang memberikan kepadanya. Dia tidak pernah mendengar muzik serupa itu tetapi Shin yang memaksanya untuk mendengar. Kadangkala sikap Shin yang memaksa memang merimaskannya namun oleh kerana dia sudah malas hendak bergaduh maka diturutinya sahaja kehendak Shin. Alunan piano yang mendamaikan itu akhirnya menyebabkan Dew terlelap.
Shin datang ke rumah Dew tanpa sebab malam tersebut. Barangkali dia bosan keseorangan di rumah. Memandangkan dia berasa semakin rapat dengan Dew maka dia pun mula membuat lawatan tidak rasminya ke rumah Dew. Ketika dia sampai di rumah Dew, dia memanggil-manggil nama Dew namun tiada sahutan dari dalam rumah. Oleh kerana pintu rumah tidak berkunci maka dia memberanikan diri untuk menjenguk ke dalam rumah tersebut. Dia tahu Dew ada di dalam rumah kerana lampu dan kipas di ruang tamu terpasang. Malah kedengaran alunan muzik piano konserto dari satu arah di salah sebuah pintu bilik.
“Jay…!” panggilnya. Shin memanggil Dew dengan nama Jay kerana dia hanya mengenali Dew dengan nama tersebut sejak dari mula.
“Jay…!” dia memanggil lagi. Namun panggilannya tetap tiada sahutan. Lama-kelamaan dia berasa curiga. Ada sesuatu yang tidak kena. Maka dia memberanikan diri masuk sahaja ke dalam rumah tersebut. Langkah kaki Shin terus sahaja meluru ke arah bunyi muzik yang didengarinya sayup-sayup sejak tadi.
Pintu bilik air tidak berkunci. Ia tertutup rapat namun tidak dikancing dari dalam. Perlahan-lahan Shin memusingkan tombol pintu. “Jay… kau ada di dalam ke?” Suara Shin rendah dan kedengaran takut-takut. Pastilah dia takut jika tiba-tiba Dew menerajangnya dari dalam bilik air tersebut. Namun panggilannya tetap tidak mendapat reaksi Dew. Hanya haba panas yang menyapa kulit mukanya sebaik pintu bilik air tersebut dibuka.
“Jay!” Shin terkejut melihat sekujur tubuh Dew yang terendam di dalam tab mandi yang penuh dengan air. Kepalanya yang longlai sedang tenggelam perlahan-lahan ke dalam air yang bertakung. Dagunya sudah tenggelam. Diikuti pula mulutnya. Perlahan-lahan seluruh kepalanya melurut jatuh. Shin dengan pantas menarik tubuh Dew naik ke atas.
“Jay… Jay! Hei, bangun. Jay!”
Kelopak mata Dew terbuka sedikit. Dia melihat wajah Shin yang samar-samar. Roman mukanya kelihatan kemerah-merahan. Entah sudah berapa lama dia berendam tadi. Shin segera menariknya keluar dari tab mandi. Jubah mandi yang tergantung di tepi sinki segera dicapai lantas dibalut ke tubuh Dew. Shin memapah Dew keluar dari bilik air tersebut dan membaringkan Dew di katil di biliknya. Dew langsung tidak sedar apa-apa lagi selepas itu.
Dew terjaga pada dini pagi, lebih kurang jam 4.00 pagi. Ketika sedar, dia tidak perasan apa yang telah berlaku pada dirinya sebelum ini. Ada tuala kecil yang lembab di dahinya dan pakaiannya sudah berganti. Kepalanya terasa berdenyut-denyut tetapi dibiarkan sahaja kesakitan yang tidak begitu teruk itu. Dia diam sejenak sambil mengingat-ngingat sesuatu. Memori terakhirnya malam tadi ialah dia sedang berendam di tab mandi sambil mendengar alunan piano yang cukup gemersik. Kemudian… adakah aku telah tertidur selepas itu? Dew garu kepala sebelum bangkit dari katil untuk keluar ke dapur. Dia haus dan mahu mencari air.
Matanya tertumpu ke ruang tamu sebaik keluar dari bilik. Kelihatan kelibat satu lembaga sedang berbaring di atas sofa merahnya. Dew curiga. Perlahan-lahan dia cuba menghampiri lembaga tersebut. Lembaga yang sedang nyenyak tidur itu tiba-tiba membuat gerakan setempat seolah-olah sedang mencari keselesaan dalam tidurnya. Dew masih berhati-hati mahu mendekatinya.
“Shin?” Waktu itu dia tidak pasti samada dia mahu marah ataupun tidak sebaik mengetahui lembaga yang sedang nyenyak tidur itu ialah Shin.
Dew terduduk di lantai sambil cuba meraih semula memorinya. Malam tadi rupanya dia bukan setakat tertidur malah hampir tidak sedarkan diri kerana terlalu lama berendam. Dia juga hampir lemas namun sempat diselamatkan oleh Shin yang kebetulan muncul tepat pada masanya.
“Terima kasih,” ucapnya pagi itu ketika bersarapan pagi bersama Shin.
Shin seperti biasa, hanya senyum sambil mengunyah roti bakar di mulutnya. Dia merenung Dew dengan wajah yang gembira. Ini adalah permulaan hubungan baik diantara mereka berdua.
“Tapi… aku minta maaf sebab ceroboh masuk rumah kau malam tadi.”
“Aku pasti dah mati lemas di bilik air jika kau tak ceroboh masuk ke rumah aku.” Dew bercakap tanpa menoleh kepada Shin. Dia sedang menuang minuman coklat panas ke cawannya.
Shin senyum sambil mengangguk. Dia perhatikan sahaja wajah Dew yang masih nampak letih dan pucat. Dew terlalu penat dan tidak cukup rehat. Itulah puncanya dia pengsan malam tadi.
“Dengar sini… aku tak suka terhutang budi dengan sesiapa. Jadi beritahu aku apa kau mahu untuk aku balas budi kau.” Suara Dew serius seperti biasa. Dengan Shin, dia memang tidak boleh nak bergurau senda biarpun sifat pemuda itu sentiasa ceria ketika berhadapan dengannya.
“Aku ikhlas dan cuma mahu berkawan dengan kau,” kata Shin.
“Aku tak nak berkawan dengan musuh aku.”
Shin menyedari yang Dew masih lagi membencinya. Lelaki itu tidak mudah menerima sesiapa sebagai teman. Shin perasan selain Sam di Plane Mart, Dew tidak berkawan dengan sesiapa ketika di dalam kolej. Melainkan Camie dan Leah. Tapi dia mahu mengubah situasi ini. Dia mahu berkawan dengan Dew. Dia merasakan Dew seorang yang istimewa. Dia juga merasakan seolah-olah mereka berdua ada satu pertalian yang kuat dan dia sering memerhatikan Dew sejak dari dahulu lagi. Dew sahaja yang tidak perasan yang dirinya sentiasa diperhatikan oleh Shin selama ini.
“Apakata kau ajar aku main gitar.” Ini adalah langkah pertama. Mungkin Dew hanya menganggap perkara ini sebagai membalas jasanya tetapi Shin sebaliknya. Dia mahu lebih dekat di samping Dew kerana dia mahu mencari sesuatu. Sesuatu itu ada dalam hidup Dew dan Shin perlu menyiasatnya kerana ia melibatkan hal keluarganya.

Bersambung...

3 comments:

Shaz said...

best~ x sabar nak baca yg seterusnya

Anonymous said...

mkin menarik ...xsabr nk tau ape yg akn blaku slnjutnya ..
siapa shin??ape kaitan jay@dew dgn shin ??

Waniezz Liv said...

Interesting !! Bila nak buat sambungan ? Dah tak sabar nak.baca hehehe >.<