Kawan2 yg saya Sayang

Tuesday, September 17, 2013

Aku Bukan Malaikat (bab19)

Bab19
DI atas meja sudah sedia terhidang nasi lemak yang lengkap dengan sambal sotong, kacang tanah dan ikan bilis yang digoreng, telur rebus dan timun yang dihiris nipis. Semuanya disediakan dalam bekas yang berasingan. Seteko teh O baru sahaja diletakkan oleh Mariya di atas meja. Sementara menunggu Nuha turun dia menuangkan teh O panas ke dalam cawan.

Sebentar kemudian Nuha muncul dan duduk di meja makan bersama Mariya. Nasi sudah disendukkan ke dalam pinggan oleh Mariya. Tinggal lauknya Nuha perlu letakkan sendiri. Nuha memandang satu persatu hidangan yang tersedia di atas meja. Dahinya berkerut apabila melihat sambal sotong kegemarannya yang turut disediakan Mariya. Matanya menjeling Mariya sambil hatinya tertanya-tanya adakah hanya satu kebetulan sahaja Mariya menyediakan sarapan pagi kegemarannya.

Mariya sekadar menghadiahkan sebuah senyuman apabila melihat jelingan curiga Nuha.

“Makanlah sementara masih panas. Kakak masak untuk Nuha. Abang Ameer yang suruh.”

Nuha tersenyum kecil. Rupanya Mariya melakukannya atas arahan abangnya dan dia gembira kerana Ameer masih ingat makanan kegemarannya. Nuha mula menyudu sambal sotong tersebut ke dalam pinggan. Perkara pertama yang dilakukannya ialah menjamah dahulu sambal sotong tersebut. Setelah sambal sotong mencecah lidahnya dia mula menikmati rasanya. ‘Sedap tapi tak setanding masakan ibu. Apatah lagi nasi lemak di gerai Wak Sobri.’ Kritikan tersebut hanya tersemat di hati Nuha. Dia tidak mahu komplen apa-apa pada Mariya yang sudah bersusah payah menyediakan sarapan pagi untuknya.

“Terima kasih… pasal pagi tadi.”

Nuha yang sedang enak menikmati nasi lemak mengangkat kepala dan memandang Mariya. Tiga saat pandangannya bertaut dengan Mariya. Dia tidak bercakap apa-apa memandangkan Mariya sudah bangkit meninggalkan meja makan. Ada sedikit ego yang masih tersemat di jiwa Mariya memandangkan pada awalnya Nuha melayannya dengan begitu dingin. Namun peristiwa pagi tadi telah menyebabkan hatinya sedikit lembut terhadap Nuha biarpun gadis tersebut masih lagi dengan sikapnya yang tidak suka bercakap.

******************

MARIYA sedang membersihkan permaidani di ruang tamu menggunakan alat penyedut hempagas ketika panggilan telefon menjerit-jerit minta dijawab. Akibat bunyi bising alat penyedut habuk itu Mariya gagal mengesan bunyi telefon tersebut dengan segera. Sebaik dia mengesan panggilan tersebut dengan segera dia mematikan alat penyedut hempagas tersebut lalu menjawab panggilan telefon.

“Ya, En. Ameer.” Mariya terus menjawab tanpa menunggu lama kerana dia tahu telefon tersebut hanya menerima panggilan khas daripada Ameer sahaja kerana ia memang disediakan oleh Ameer untuknya.

“Awak sedang buat apa?” suara lelaki itu dingin melontarkan pertanyaannya. Barangkali marah kerana panggilannya lambat dijawab oleh Mariya.

“Tengah vakum ruang tamu,” jawab Mariya jujur.

“Nuha mana?” soalan seterusnya diajukan.

“Ada di atas,” Mariya menjawab ringkas.

“Mariya…” nadanya mahu memulakan pertanyaan yang sebenar.

“Ya, En. Ameer.”

“Awak tahu masak Nasi Ayam?” itulah tujuan sebenar dia menelefon Mariya.

“Tahu.” Bibir Mariya menyungging senyuman penuh makna.

“Saya nak awak masak Nasi Ayam untuk makan malam. Masak lebih sebab ada tetamu nak datang ke rumah saya malam ini,” arah Ameer.

“Tetamu? Siapa?” soal Mariya bersikap curiga.

“Kawan saya.”

Hati Mariya berasa tidak senang bila Ameer menyebut tentang kawan. Sebaik menamatkan panggilan Ameer, Mariya tidak meneruskan kerjanya mengemas ruang tamu. Mariya duduk di sofa dan memikirkan suatu kemungkinan.

“Kawan dia nak datang dan kenapa mesti Nasi Ayam?” Nasi Ayam pada Mariya adalah sinonim dengan seorang lelaki yang dikenalinya dengan rapat. Dia berasa sedikit khuatir jika Ameer mahu menjemput Hakimi ke rumahnya malam ini.

Dia tidak boleh berdiam diri. Jika benar Hakimi akan muncul malam ini, dia perlu bersedia. Dia tidak akan membenarkan Hakimi merosakkan rancangannya terhadap Ameer. Dia mesti melakukan sesuatu untuk menghalang Hakimi.

**********

SESUATU yang dicurigainya benar-benar terjadi. Hakimilah kawan yang dimaksudkan oleh Ameer siang tadi. Malam ini, mahu atau tidak dia terpaksa bersemuka dengan Hakimi dengan keadaan masing-masing berlakon di hadapan Ameer kononnya tidak mengenali antara satu sama lain. Baik Mariya mahupun Hakimi, masing-masing bijak menyembunyikan identiti dan niat sebenar mereka di hadapan Ameer.

Makan malam belum sedia. Mariya masih di dapur untuk menyudahkan sedikit lagi tugasnya. Dia sedang memegang sebilah pisau besar yang selalunya digunakan orang untuk memotong daging. Seperdua ekor ayam yang sudah siap digoreng diletakkan di atas papan landas. Dia bersiap sedia hendak memotong ayam goreng tersebut menjadi ketulan-ketulan yang lebih kecil sebelum dihidangkan untuk makan malam.

Pegangan pada bilah pisau dikemaskan. Dia belum mula membelah ayam tersebut kerana ekor matanya masih lagi tertumpu pada Ameer dan Hakimi yang berada di ruang tamu. Matanya rimas melihat perbualan mesra diantara dua lelaki tersebut sejak tadi. Hatinya panas setiap kali melihat Ameer dan Hakimi bergurau senda tanpa batasan di hadapan matanya. Jiwanya meronta-ronta mahu menghalang Ameer dari duduk rapat di samping Hakimi. Rasanya mahu sahaja dia menarik Hakimi keluar dari rumah ini dan menjauhi Ameer.

KTAK!

Tanpa mempedulikan lagi perbuatan Ameer dan Hakimi, Mariya melepaskan perasaannya pada Ayam Goreng di hadapannya. Ayam tersebut dibelah menjadi beberapa bahagian kecil sebelum disusun di atas pinggan yang sudah dihias dengan tomato, salad dan timun. Tangannya bekerja pantas menyusun ayam goreng tersebut dengan sembrono. Potongannya nampak kurang sempurna dan cincai. Nampaknya dia tidak begitu ikhlas mahu melakukan pekerjaannya.

“Kasihan ayam ini kerana menjadi mangsa tangan Mariya yang kejam.” Hakimi muncul secara tiba-tiba di sebelah Mariya sambil mengambil salah satu ketulan ayam goreng yang paling kecil untuk diratah.

Mariya melemparkan jelingan tajam kepada Hakimi sambil tangan kanannya memegang erat pisau di tangannya, berkira-kira mahu menetak lelaki tersebut.

“Hmm… sedap. Awak tak pernah lupakan kegemaran saya kan, Mariya.” Ayam Goreng tersebut berwarna gelap dan kelihatan berkilat kerana diperap dengan madu, kicap dan sos tiram sebelum digoreng. Ia kelihatan begitu menyelerakan biarpun belum dituang sosnya. Ia sememangnya kegemaran Hakimi.

“Kenapa awak datang?” Mariya menghalakan mata pisau di tangannya ke arah Hakimi yang sedang mengunyah ayam gorengnya. Matanya melirik penuh benci terhadap Hakimi yang bersikap selamba sejak mereka bertemu tadi. Lelaki itu bijak berlakon seolah-olah tidak mengenali Mariya di hadapan Ameer. Mariya berasa tercabar lantas terpaksa mengikut rentak Hakimi untuk berpura-pura di hadapan Ameer juga.

“Kenapa saya di sini adalah perkara normal. Saya memang selalu ke sini untuk bertemu Ameer. Yang menjadi persoalannya sekarang, kenapa awak di sini? Itu diluar kebiasaan, Mariya.” Hakimi masih dengan lagak selambanya tanpa rasa gentar dengan mata pisau di tangan Mariya yang sudah hampir mencium lehernya. Dia lebih berani bersuara secara terbuka dengan Mariya setelah Ameer tiada di situ kerana naik ke tingkat atas untuk memanggil Nuha turun makan malam.

“Saya mahukan penjelasan tetapi awak gagal untuk berterus terang. Jadi saya memilih untuk menjejaki musuh cinta saya. Saya beri amaran kepada awak… jangan ganggu urusan saya dengan Ameer. Saya akan membunuh jika keadaan mendesak.” Mariya mengugut untuk menakutkan Hakimi. Dia nekad untuk bertindak sejauh itu demi maruahnya yang telah diperkotak-katikkan oleh Hakimi.

“Siapa yang awak nak bunuh? Saya atau Ameer?” Pandangan mata Hakimi tenang merenung gadis tersebut sambil ekor matanya sesekali mengawasi mata pisau yang masih statik beberapa sentimeter dari lehernya.

“Saya tak boleh bunuh orang yang saya cinta tapi saya akan buat pengkhianat macam awak menderita dengan membunuh Ameer.” Mariya berterus terang akan niatnya untuk memberi peluang pada Hakimi membetulkan situasi diantara mereka yang sudah terlerai ikatan kasih selama ini.

“Cubalah kalau berani. Awak takkan mampu cederakan Ameer. Selagi saya masih ada, tiada siapa boleh sentuh Ameer.” Tangan Hakimi bergerak senyap lantas mencengkam pergelangan tangan Mariya yang sedang menyuakan pisau ke arahnya. Tangan gadis itu dikilas untuk melemahkan titik kekuatannya. Secara tidak langsung pegangannya pada pisau tersebut terlerai. Pergerakan Mariya dalam penguasaan Hakimi kini.

“Ingat, Mariya… saya tak kan biarkan awak teruskan niat jahat awak terhadap Ameer. saya akan pastikan awak sendiri yang akan menyerah kalah nanti.” Hakimi berbisik perlahan di cuping telinga Mariya. Sejurus kemudian barulah dia meleraikan cengkaman tangannya terhadap Mariya.

“Saya bencikan awak, Hakimi.” Ada sendu yang tersembunyi dalam suara gadis itu. Dia sedang menahan perasaannya yang terlalu kecewa.

“Itu lebih bagus. Mulai sekarang, kita tidak ada apa-apa kepentingan di antara satu sama lain lagi,” balas Hakimi selajur mengatur langkah ke hadapan sebaik melihat kelibat Ameer yang sedang menuruni anak tangga.

Mariya merenung belakang Hakimi dengan sejuta kekecewaan. Jiwanya hampir memberontak dengan sikap kejam Hakimi yang menyeksa perasaannya kini. Rasanya mahu sahaja dia menerkam dan menikam lelaki itu dari belakang saat ini. Namun adakah dia mampu melakukan perkara tersebut sedangkan dia masih lagi berharap perkara sebaliknya yang berlaku; dia mahu Hakimi menarik semula kata-katanya dan mengembalikan semula cintanya kepada Mariya.

“Aku dah panggil Nuha. Sekejap lagi dia turun. Kita makan dahululah.” Ameer memaut bahu Hakimi lantas beriringan ke meja makan.

Di meja makan Mariya sedang menyusun hidangan yang sudah sedia. Ekor matanya menjeling Ameer dan Hakimi yang sama-sama beriringan ke meja makan. Dia mengetap bibir dan berusaha menyingkirkan rasa cemburunya apabila melihat Hakimi yang bertindak gentleman menarikkan kerusi untuk Ameer duduk. Kemudian dia duduk bertentangan dengan Ameer sebelum menyendukkan nasi untuk Ameer. Mengambilkan seketul ayam bahagian peha, bahagian yang paling digemari oleh Ameer.

Mariya tidak mahu kalah lantas mengambil mangkuk dan menyendukkan sup untuk Ameer. Seterusnya dia mencapai mangkuk yang berisi sos khas sebagai pelengkap hidangan Nasi Ayam tersebut. Mariya mahu menyudukan sos tersebut ke pinggan Ameer namun segera ditegah oleh Hakimi.

“Ameer tak boleh makan pedas.” Hakimi memandang Mariya penuh makna. Dia cuba menyatakan yang dia akan melindungi Ameer dari sebarang ancaman Mariya.

“Tapi Ameer sukakan makanan pedas.” Mariya tidak mahu mengalah.

“Ameer, percaya pada aku. Sos yang Mariya masak sangat pedas dan tak sesuai untuk kau.” Hakimi bertindak meraih kepercayaan Ameer.

“Awak ni memang sengaja…”

Enough!” Ameer segera menghentikan perbalahan kecil yang hampir menjadi serius di meja makan tersebut. Pening pula melihat mereka bergaduh disebabkan olehnya. “Perlukah korang bergaduh demi aku?” ekor matanya melirik Hakimi dan Mariya silih berganti. Masih dilihat wajah tegang kedua-dua mereka yang saling menjeling. Ameer garu kepala. Dalam hatinya rasa serba salah kerana menjadi punca pertengkaran tersebut.

“Ameer, kau lebih percayakan aku kan.”

“Okey, Hakimi… aku tak makan.” Akhirnya Ameer lebih menerima kata-kata Hakimi.


Mariya berasa bengang. Pertama… kerana sikap Hakimi yang sengaja mengambil alih tugasnya sebagai pembantu rumah untuk melayan Ameer. Lelaki itu seolah-olah sengaja mahu menyakiti hatinya dengan sengaja menunjuk-nunjuk akan hubungan mereka berdua yang sangat akrab dan saling memahami. Kedua… disebabkan sikap Ameer yang lebih menghiraukan Hakimi berbanding dirinya di situ. Malah tidak seperti malam semalam, Ameer langsung tidak mempelawanya untuk duduk makan bersama. Kewujudan Mariya sudah tidak penting lagi setelah Hakimi berada di situ. Sebelum hatinya bertambah bengkak melihat sikap kedua-dua pemuda itu Mariya segera angkat kaki meninggalkan meja makan.


Bersambung...


No comments: