Kawan2 yg saya Sayang

Thursday, June 10, 2010

Angel In The Devil Suit 1 ::Bab19::

Bab 19

“PHIM…” Panggil Dew sebaik melangkah masuk ke dalam kelas. Matanya melilau menjejaki Phim.

Para pelajar sibuk dengan aktiviti sendiri ketika ini. Tiada guru yang masuk lagi untuk subjek selepas masa rehat. Kemunculan Dew yang disedari oleh beberapa orang pelajar tidak diendahkan. Bagi mereka memang sudah biasa melihat Dew begitu. Muncul di waktu pagi, hilang di waktu tengah hari. Hilang di waktu pagi, muncul pula di waktu tengah hari. Kadang waktu guru mengajar pun Dew akan keluar dari kelas dengan selamba. Semua peraturan dia langgar. Macam kolej ini dia yang punya.

Kelibat Phim dijejakinya. Phim berada di belakang kelas bersama dengan beberapa orang pelajar lain. Macam sedang bergosip. Dew melangkah mendapatkan Phim.

“Phim!” panggilnya untuk kali kedua. Akibat terlalu rancak berborak Phim masih tidak sedar dipanggil oleh Dew.

“Woi, Si Gemuk!” jerit Dew geram.

Semua yang berada di meja belakang menoleh kepada Dew.

“Kau pekak ke? Apasal tak menyahut aku panggil?” marah Dew. Cerlingan matanya menakutkan semua orang.

“Hmph…” Phim tarik muka sebelum beredar kembali ke tempat duduknya.

Selamba saja panggil aku Si Gemuk. Mulut cabul tak ada insurans sungguh dia ni. Gumam Phim dalam hatinya.

“Woi, Gemuk… mana kau nak pergi? Aku tengah cakap dengan kau ni.” Dew mengekori Phim. Menyirap juga apabila gadis tersebut melayannya dengan sombong.

“Woi… tst~” mulutnya berdecit geram. Dew bercekak pinggang sambil menghadap Phim yang membelakanginya kini. “Okeylah… Phim. Aku panggil kau ‘Phim’. Puas hati.” Dia sedar yang Phim tidak suka dengan panggilan kasarnya tadi. Phim bukannya gemuk sangat tapi Dew suka memanggil gadis tersebut ‘Si Gemuk’ kerana dia tahu Phim paling takut gemuk. Sebab itu juga Phim selalu membawa bekal makanan dari rumah bagi mengelakkan diri daripada termakan makanan-makanan yang tinggi kandungan gula dan lemak di luar.

“Terima kasih… nak apa cari aku tiba-tiba ni?” balas Phim dengan sopan selepas itu.

“Pinjam kau punya nota-nota.” Dew menghulur tangan mahu Phim memberikan kepadanya dengan segera.

“Nota apa?”

“Semualah. Bagi sekarang,” katanya dalam nada mengarah.

“Ha?”

“Cepatlah. Tercengang apa. Kau tak faham ke, kan aku kata minta sekarang. Sekarang!” ujar Dew sambil mengeraskan perkataan ‘sekarang’.

Jegilan matanya membuatkan Phim segera mengeluarkan semua nota-notanya lantas diserahkan kepada Dew. Dew mengambilnya.

“Terima kasih… nanti aku pulangkan semula,” ucap Dew seraya melangkah pergi meninggalkan kelasnya.

Langkah pemergiannya diperhatikan oleh beberapa orang pelajar di dalam kelas tersebut. Masing-masing segera mendapatkan Phim sebaik kelibat Dew hilang.

“Eh, apasal dia pinjam nota kau?” soal si gadis berklip rambut warna putih yang duduk di barisan paling hadapan. Namanya Nikki.

“Aku pun tak faham kenapa,” jawab Phim yang turut tertanya-tanya dengan tindakan Dew tadi.

“Aku rasa dia frust lagi pasal result dia pagi tadilah,” Nikki membuat andaian.

“Ha’ah… tu yang nak pergi buat revision semula tu kot,” disokong pula oleh Via si gadis yang kuat bergosip.

“Ah~ takkanlah… apa kejadah nak buat ulang kaji lepas exam.” Phim tidak setuju dengan pendapat mereka berdua.

“Bukan ulang kaji namanya tu. Post-mortem lah,” Nikki membalas.

“Woi, budak pompuan… tak habis-habis nak bergosip. Jangan asyik sibuk hal orang lain. Pergi jaga tepi kain sendirilah.” Seorang pelajar lelaki menyampuk perbualan mereka bertiga.

“Ha’ah, tu skirt koyak tu, pergilah jahit dulu… sibukkan masalah orang saja pandai,” balas seorang lagi pelajar lelaki yang berkacamata.

Nikki dan Via menjuihkan mulut ke hadapan. Mereka kembali ke tempat asal masing-masing semula selepas itu.

Camie yang baru kembali dari tandas ternampak kelibat Dew yang sedang berjalan meninggalkan kelas. Dia hanya memandangnya sambil maneka-neka apa yang Dew buat. “Berjalan dengan pantas sambil mengelek buku-buku nota. Kemana lelaki itu hendak pergi?” Camie mengelus-ngelus dagu sambil kakinya melangkah masuk ke kelas semula.

Angel In The Devil Suit 1 ::Bab18::

Bab 18
SEBAIK tiba di banglo mewah tiga tingkat itu Dew terus masuk ke dalam melalui pintu tengah. Tujuannya tidak mahu terserempak dengan ibunya. Wanita itu sepertinya masih berada di dalam rumah memandangkan dia ternampak Peter, pembantu merangkap pengawal peribadi ibunya di ruang tamu tadi.
“Jeremy…” Panggilan wanita itu mematikan langkah Dew yang sudah di anak tangga pertama. Dew sekadar memusing kepala menghadap ibunya yang sedang berdiri di meja makan.
“Awal Jeremy balik. Macam mana dengan kelas?” soal si ibu yang disulami kecurigaan.
“Biasa saja,” jawab Dew acuh tidak acuh. Kakinya kembali dilangkah mendaki tangga. Tidak tergerak langsung hatinya mahu menyapa wanita tersebut dengan lebih mesra.
“Jeremy, tunggu!”
Malang bagi si ibu apabila anaknya tidak ingin menghiraukan panggilannya itu. Madam Juwiette mengeluh hampa. Setiap hari hubungan dengan anak tunggalnya itu semakin jauh. Tiada langsung tanda-tanda yang mereka akan berdamai.
Dew mengurung diri di dalam biliknya. Selagi wanita itu tidak keluar selagi itu dia akan terus berkurung di dalam bilik. Dia tidak mahu bertentang mata apatah lagi bercakap dengan ibunya. Baginya hubungan mereka berdua sudah lama terputus. Dan selagi ibunya masih dengan sikap mementingkan dirinya, Dew berjanji tidak akan menegurnya.
Namun setelah lebih dua tahun, nampaknya wanita itu masih tidak sedar maksud sikapnya sedemikian selama ini. Dew sangat hampa. Dia bukan setakat kehilangan ayah yang ada dalam tiada. Wujud tapi seperti tiada. Dia juga sudah kehilangan ibu tercinta selama bertahun-tahun. Dia tidak tahu kenapa dia perlu hidup dalam keluarga seperti ini. Adakala persoalan tersebut singgah di jiwanya. Rasa sedih mencengkam jiwa. Apakah penamat dalam drama kehidupannya ini? Adakah kematian seperti mendiang Leo dulu boleh menamatkan segala-galanya? Adakah itu baru bisa membuatkan ibubapanya sedar akan kepentingan seorang anak sepertinya?
Buku-buku yang bertingkat di atas meja diperhatikannya. Teringat semula keputusan yang dilihatnya di papan kenyataan pagi tadi. Ia sesuatu yang sangat mengecewakannya. Mungkin ada sesuatu yang silap dan perlu dia betulkan.
Sekilas Dew terpandang pada buku-buku nota yang disediakan oleh Camie untuknya di atas meja belajar. Dia bangkit dari katil dan pergi mendapatkan buku-buku nota tersebut. Diselak satu-persatu… tapi Dew tidak pasti dengan apa yang diselaknya lantas dia mengambil satu keputusan. Dalam pakaian seragam yang masih melekat di tubuh, Dew bergegas keluar sambil mengelek semua nota-notanya.
“Jeremy, mummy nak ke kota hari ini. Mungkin beberapa hari juga mummy di sana nanti. Jeremy tinggal dengan Miss Lyn, ya. Kalau ada apa-apa masalah, Jeremy boleh call mummy,” kata Madam Juwiette dari ruang hadapan.
Apa-apa sajalah, mummy… Jeremy buat-buat tak dengar. Dia peduli apa kalau ibunya itu tiada. Baginya samada ibunya ada ataupun tiada, hidupnya tetap sama. Tiada perbezaan. Rumah besar ini tetap terasa kosong biarpun penghuninya ada.
“Lagi satu… ambil ni.”
Dew mengerling kepada Madam Juwiette. Not-not kertas dihulurkan kepadanya. Dew memandangnya tanpa perasaan.
“Ambil. Ini untuk Jeremy.” Madam Juwiette menarik tapak tangan Dew untuk menerima pemberiannya itu.
Dew merenung dingin wajah sang ibu yang belum dimamah usia biarpun sudah melepasi angka 40 itu. Not-not kertas bernilai itu berada dalam genggamannya kini. Dengan tanpa perasaan dia mengoyak wang-wang kertas tersebut di hadapan ibunya sebelum mencampakkannya ke lantai. Baginya wang tersebut sudah tiada makna pada dirinya. Dia sudah muak menggunakannya.
Tindakan anak muda itu benar-benar telah mengguris hati ibunya. Madam Juwiette memendam perasaan kecewanya terhadap anak nan seorang itu. Dia sedar bukan mudah untuk Dew menerimanya kembali seperti dulu.
“Jeremy masih boleh hidup tanpa duit mummy tu.” Dew melangkah meninggalkan rumah tanpa menunggu bicara ibunya lagi.
Madam Juwiette hanya menahan sabar dengan sikap anak tunggalnya waktu ini kerana dia percaya suatu hari nanti dia bisa menundukkan semula sikap degil Dew itu…

Angel In The Devil Suit 1 ::Bab17::

BAB17
WAKTU rehat tengahari itu Camie pergi menemui Phim yang sedang menjamu bekalan makanannya di kelas seperti biasa. Phim duduk di meja hadapan Dew jadi jika hendak menyiasat tentang Dew maka gadis itulah sasaran utamanya. Tentu Phim tahu banyak tentang Dew.
“Hai, Phim,” tegur Camie mesra.
Mendengarkan namanya yang dipanggil Phim mendongak. Seulas senyuman di bibir Camie tidak dibalasnya. Phim menutup bekal makanan dan gesa-gesa beredar pergi. Ditegur oleh Camie seolah-olah menghampiri lubang celaka. Dia tidak mahu bergaul dengan hamba The Taiko. Tentu dia akan mendapat bala kalau melayan gadis tersebut.
“Eh, Phim. Tunggu dulu.” Dengan pantas Camie mendapatkan semula Phim yang cuba untuk beredar. “Kau nak pergi mana?”
“Woo~” Phim menepis sentuhan Camie yang cuba hendak berbaik-baik dengannya. “Jangan mendekati aku. Aku tak nak ada apa-apa hubungan dengan hamba Dew.”
“He?” Camie terpinga-pinga tidak mengerti maksud Phim. “Apa maksud kau?”
“Tak payahlah tanya. Selagi kau kenal Dew sebagai The Taiko, itulah syaratnya. Hamba Dew tidak boleh dibuat kawan… kalau nak selamat daripada terkena tempias badi menjadi hambanya,” jelas Phim ringkas sambil mencuit sedikit makanan dalam bekas makanannya.
“Tapi aku dan Dew tidak pernah bermusuh.” Sememangnya selama ini Camie tidak menganggap Dew sebagai musuhnya. Cuma kadangkala saja dia berasa geram dan tidak berpuas hati dengan sikap Dew yang agak keterlaluan.
Phim mencebikkan bibir… memanglah kau bukan musuh Dew tapi kau tu hamba The Taiko! Hergh~ tak faham-faham lagi ke… kau tu hamba The Taiko, pelajar paling berpengaruh di kolej Riveria Hook ni.
“Eh, Phim… sebenarnya aku nak tanya sesuatu ni,” kata Camie terus kepada tujuan asalnya tadi. “Marilah dekat sikit. Yang kau takut sangat ni kenapa?” panggil Camie apabila mendapati Phim seakan takut hendak mendekati dirinya.
“Kau nak tanya apa? Tanya sajalah. Aku masih boleh mendengar dari jarak ini,” jawab Phim yang sudah duduk di meja belakang kelas sambil mencubit sedikit demi sedikit  makanannya masuk ke dalam mulut.
“Aku nak tanya pasal Dew.”
Dia nak tahu tentang Dew? Apa yang dia nak siasat agaknya… Phim melirik kepada Camie yang masih berdiri di sebelah mejanya dengan curiga.
“Dia sangat berbeza dengan apa yang aku bayangkan selama ini. Aku sangka dia tu budak yang gagal dan memilih untuk menjadi jahat demi kepuasan diri. Tapi sebaliknya dia tidaklah terlalu jahat. Malah seorang yang bijak. Err… aku yakin kau tentu lebih mengenali dia. Boleh kau beritahu serba sedikit tentang Dew?”
“Apa yang kau nak tahu?”
“Kau ceritalah tentang latar belakang dia… kawan-kawan ataupun keluarga ke…”
Nampaknya budak yang dipanggil Si Hodoh oleh Dew ni betul-betul berminat dengan The Taiko. Tapi aku tak boleh cerita tentang Dew begitu saja kepada dia. Mati aku kalau Dew tahu aku dedahkan hal berkenaan dirinya kepada budak perempuan ni. Nanti tak pasal-pasal aku kena jadi hamba dia semula. Susah hidup aku nanti.
Tapi Camie nampak ikhlas. Mungkin kalau aku cerita tentang Dew, dia boleh ubah Dew kembali menjadi budak yang ceria seperti waktu dulu. Tapi mungkinkah perkara tersebut boleh berlaku? Melainkan diri Dew sendiri, tiada sesiapa boleh mengubah sikap dia.
“Aku akan cerita pada kau tapi dengan syarat…” kata Phim perlahan sambil tertoleh-toleh melihat sekitarnya memastikan line clear. Camie menyuakan kepalanya ke hadapan mendekat sedikit kepada Phim. “Kau mesti simpan rahsia ni daripada sesiapa. Jangan ungkit di hadapan sesiapa, lebih-lebih lagi di hadapan Dew. Faham.”
Camie menoleh ke kiri dan kanan sebelum kembali kepada Phim. Dengan sungguh-sungguh dia mengangguk menyetujui syarat Phim.
“Jom ikut aku.” Phim menutup bekal makanannya sebelum beredar keluar dari kelas.
Camie mengekorinya dari belakang. Tidak tahu kemana Phim hendak pergi. Asalkan dia boleh tahu sesuatu tentang Dew, dia ikut saja kemana Phim membawanya pergi.
Phim duduk di bawah sepohon pokok besar yang rendang di tepi padang bola sepak. Camie ikut duduk di akar besar yang timbul di tanah di sebelah Phim. Sambil melihat beberapa orang pelajar yang berjalan-jalan di sekitar kawasan kafeteria yang bertentangan dengan padang Phim menarik nafas panjang sebelum memulakan cerita.
“Dulu dia tak macam tu. Dulu dia seorang yang friendly, baik hati, ceria… walaupun kadangkala suka berlagak macam tuan besar.” Phim tarik muka ketat. Terbayang di matanya sikap Dew yang dikenalinya dulu. Pemuda itu seorang yang disenangi oleh kebanyakan orang. Cuma satu sifatnya yang buat Phim bengang iaitu Dew suka mengarah orang dengan sesuka hati dan dek kerana sikap mesranya dengan semua orang maka tiada siapa yang membantah arahan tuan muda keluarga Orbido yang berpengaruh di pekan Riveria Hook itu. “…tapi sikapnya berubah mendadak sejak kematian sahabat karibnya. Dia jadi dingin bagaikan ais. Dia tak pedulikan sesiapa dan mula hilang kepercayaan terhadap orang dewasa terutama guru-guru dan ibu bapanya sendiri,” kata Phim memulakan kisahnya.
“Kawan baik dia mati? Kenapa?” tidak sabar nampaknya Camie ingin mengetahui cerita Phim.
“Nahas jalan raya… dan Dew percaya yang kemalangan tersebut dirancang oleh seseorang tetapi tiada sesiapa yang percaya dengan kata-katanya. Kes tersebut ditutup begitu saja oleh pihak berkuasa. Dew tidak puas hati tapi dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Dia tiada kuasa dan tiada siapa yang hendak percaya kata-kata seorang budak pada waktu tu. Dia rasa telah kehilangan hak untuk bersuara disebabkan usianya pada waktu tersebut.”
“Tapi kenapa ibu bapanya dan guru ikut telibat?”
“Sebenarnya puncanya daripada ibubapa Dew. Ayah Dew seorang usahawan yang mempunyai empayar perniagaan yang besar. Seorang yang sibuk dan tidak pernah mempedulikannya. Manakala ibunya pula seorang ahli politik yang sangat berpengaruh. Maka kehidupan Dew sentiasa dalam kawalan ibunya.
“Nak dijadikan cerita, ibu Dew tak suka Dew berkawan dengan Leo. Dia rasa Leo tu bukan contah yang baik untuk anaknya. Leo memang agak liar. Belajar pun bukannya bijak sangat. Sedangkan waktu itu Dew adalah salah seorang pelajar cemerlang dalam sekolah. Bukan setakat ibu bapanya malah guru-guru waktu tu pun takut kalau Jeremy terpengaruh dengan kegiatan luar Leo yang mencurigakan...
“Tapi satu sikap Leo yang semua orang suka, iaitu dia seorang yang mementingkan persahabatan. Walau dalam apa situasi pun dia mesti akan dahulukan Dew. Siapapun yang datang minta bantuan daripada Leo, pasti tidak akan kecewa,” cerita Phim dengan panjang lebar.
“Tentu Dew rasa kehilangan yang besar selepas Leo mati kan.” Camie seolah dapat merasai perasaan Dew kerana dia juga pernah kehilangan orang yang disayanginya.
“Ya, tapi tiada siapa yang peduli dengan situasi Dew waktu tu. Ada yang berpendapat kemalangan Leo dirancang sendiri oleh Madam Juwiette, ibu Dew. Sebab itulah tiada sesiapa yang berani hendak menegakkan keadilan untuk Leo. Cikgu sendiri pun tidak berani sebab jatuh bangunnya kolej ini adalah atas kuasa Madam Juwiette.”
“Oh~ sebab itu ke semua cikgu tak berani nak menegur sikap Dew, Phim?” Camie meneka berdasarkan pemerhatiannya terhadap lelaki itu selama ini.
Phim mengangguk perlahan. Baguslah kalau Camie sudah faham sekarang. Bukan setakat guru-guru, malah pengetua sendiri pun tidak berani hendak membuang Dew dari kolej walaupun telah banyak kesalahan yang Dew lakukan sepanjang dua tahun ini. Semuanya sebab kuasa Madam Juwiette ditambah keputusan akedemik Dew yang cemerlang setiap tahun.
“Sejak hari tersebut Dew memberontak. Sikap dia berubah kasar dan mengejami sesiapa saja. Dia bersikap dingin dan akan membelasah orang hanya disebabkan masalah kecil. Kalau kau nak tahu, semua budak dalam kelas kita dah pernah jadi hamba Dew. Dew seolah-olah melepaskan dendamnya pada semua orang sebab dia gagal mencari pesalah sebenar dalam kes kematian Leo.”
“Uhh… teruknya. Dia tak patut buat macam tu. Selain mengejami orang lain sebenarnya dia telah mengejami diri sendiri. Dia macam nak merosakkan diri sendiri.”
“Entahlah… dia juga menjauhi semua orang. Tak nak berkawan dengan sesiapa lagi sejak Leo tiada.”
“Habis tu Jiro…”
“Jiro tu tak ubah macam balaci dia saja. Budak tu ‘Kipas Anggun’ lah, Camie. Pengampu. Dia rapat dengan Dew supaya dapat rasa tempias kuasa taiko. Dew sengaja bagi muka pada dia sebab kadang kala Jiro tu berguna kepadanya.”
“Huh~” Camie mengeluh pendek. “Macam mana pula dengan Leah?” soal Camie semula tatkala teringatkan keakraban Dew dengan gadis tersebut.
“Yang itu aku no coment… bila The Taiko bergaul dengan Queen of Pirate, mereka adalah satu gabungan yang sempurna. Lebih-lebih lagi dalam aktiviti membuli dan mendajali orang.”
Camie tersenyum pendek tatkala melihat memek muka Phim yang agak meluat menyebut nama gelaran Leah.
“Macam mana Dew boleh skor dalam exam walaupun dia tak belajar waktu di kelas?” Ada saja soalan yang terlintas di benak Camie tentang Dew dan kesempatan itu menyebabkan dia terus bertanya lagi kepada Phim.
“Dia tak belajar di dalam kelas tapi kau tahu ke kalau dia tekun belajar di luar kelas?”
“Apa maksud kau?”
“Disebabkan kes Leo, Dew membenci guru-guru di kolej. Dia tidak mahu menerima pengajaran di kolej. Dia nak buktikan tanpa guru-guru pun dia tetap boleh jadi pelajar cemerlang. Jadi setiap hari dia menghadiri kelas malam di luar kolej. Selain itu kalau kau tengok dia selalu ponteng kelas, sebenarnya dia ke suatu tempat untuk study,” bongkar Phim. Perkara itu bukan diketahui oleh semua orang. Phim tahu kerana pernah terserempak dengan Jeremy beberapa kali di luar kolej.
“Tapi hari tu… betul ke dia pergi study?” Camie was-was kerana setahunya waktu dia mengekori Dew tempohari lelaki itu bukan ke suatu tempat untuk belajar. Namun dia tidak memanjangkan prasangkanya itu kepada Phim. Takut dia dituduh membawa cerita pula.
“Camie, walaupun aku tidak rapat dengan Dew tapi kami berjiran jadi aku tahu serba sedikit tentangnya. Lagipun dia belajar di pusat tuisyen yang sama dengan aku.”
“Jadi setiap malam kau pergi ke kelas bersamanya?”
“Gila! Tak nak aku jalan bersamanya. Dah cukuplah aku pernah jadi hamba dia suatu masa dulu... Sebenarnya kelas aku cuma dua kali seminggu. Jadi bukanlah sepanjang masa aku bersama dengannya,” jelasnya kepada Camie.
“Phim, satu lagi persoalan… kalau Dew dah tak suka dengan kolej ni tapi kenapa dia masih terus belajar di sini? Kenapa tak pindah saja?”
“Hurm… sebab dia perlu dapatkan sijil pengikhtirafan untuk melanjutkan pengajian ke universiti kelak. Lagipun aku rasa Dew tak sanggup nak tinggalkan kolej yang dah banyak mewarnai kehidupannya dulu. Walaupun Leo dah tak ada tapi memori mereka sentiasa hidup di dalam hatinya,” jawab Phim sekaligus menamatkan ceritanya sampai di situ. Gadis itu bangkit dari duduknya lalu meninggalkan Camie.
“Eh, Phim… nak pergi mana?” tanya Camie.
“Balik kelaslah. Cukup sampai di sini sahaja cerita tentang Dew. Ingat… jangan buka cerita ni pada sesiapa. Habis sampai di sini saja tau,” kata Phim sebelum meneruskan langkahnya meninggalkan kawasan padang.
Camie sekadar menghantar pemergian Phim dengan pandangan mata.

Angel In The Devil Suit 1 ::Bab16::

BAB16
SURIA pagi tersenyum ceria. Minggu baru datang dan membuka satu lagi lembaran baru dalam diari kehidupan. Camie melangkah ke kolej dengan hati yang berdebar kali ini. Ada sesuatu yang menakutkan bakal dia hadapi hari ini. Bukan Dew tapi sesuatu yang bakal menentukan nasibnya samada akan terus menetap di sini ataupun kembali ke tempat asalnya di Roseland.
Dengan perasaan yang berdebar-debar Camie melangkah ke papan kenyataan dimana keputusan ujian penilaian di pamerkan. Ramai yang sedang mengerumuni papan kenyataan di lorong utama menuju ke dewan itu. Camie terpaksa berasak-asak untuk menyelinap masuk ke ruang hadapan.
Selepas Berjaya sampai di hadapan papan kenyataan, Camie segera mencari namanya dalam senarai keputusan. Begitu banyak nama yang terpampang di dada papan kenyataan tersebut sehingga menyukarkannya mengesan namanya. Senarai keputusan di susun mengikut markah tertinggi, bukan mengikut urutan abjad jadi ini menyukarkan Camie mengesan dimana kedudukannya.
“Ha~!!” Camie terjerit tatkala berjaya mengesan kedudukannya. Dia menekup mulutnya yang melopong akibat kejutan tersebut… 545 markah sahaja. Sipi-sipi saja nak gagal. Jangan kata nak kembali ke Roseland, nak pandang peta Bandar Roseland pun Camie rasa macam tak berani dah. Keputusan macam hampas! Comfirm mama dan papa akan mengamuk sekali lagi lepas ni.
Kepala menekur ke lantai. Kehampaan yang sudah terjangka sebelum ini mula terpamer di wajah si gadis malang itu. Dengan keputusan yang hampir gagal itu bermakna Camie perlu terus berada pekan kecil ini. Camie akan terus berhadapan dengan lelaki kejam berwajah seiras dengan Jeremy, bekas kekasihnya yang sudah lama mati itu.
“Tepi, tepi… beri laluan!” kata-kata seorang pelajar lelaki itu menyebabkan semua yang berada di papan kenyataan tersebut menoleh ke belakang. Tatkala melihat The Taiko yang berdiri malas di belakang Jiro yang sedang menolak-nolak beberapa orang pelajar untuk menuju ke hadapan, mereka segera memberi ruang untuk lelaki itu.
Pada jarak satu kaki mata Dew tepat merenung ruang atas papan kenyataan. Seolah-olah dia sudah tahu dimana kedudukannya dalam keputusan tersebut. Camie yang berdiri di tepi hanya menjeling diam-diam. Sempat juga matanya melilau cuba mencari kedudukan Dew dalam senarai tersebut.
Kyaa~~!! Kali kedua Camie terkejut. Mulutnya segera dikatup, menahan suaranya yang hampir meledak selepas melihat kedudukan The Taiko. “Tempat ke-5 dengan 890 jumlah markah keseluruhan…” kata Camie perlahan menyebut kedudukan Dew.
Camie membuang wajah ke sebelah. Memandang Dew yang masih merenung papan kenyataan. Betul ke apa yang aku lihat ni? Betulkah ini keputusan si kaki tidur dalam kelas ni? Biar betul… macam mustahil saja. Takkan pula dia guna cara kotor waktu ujian hari tu. Ish, musykilnya aku…
Lelaki berambut tidak terurus dengan jambulnya yang di-highlight dengan warna perang muda itu terus direnung oleh Camie. Camie menggaru-garu dagunya kerana masih gagal mendapatkan jawapan ke atas kemusykilannya itu. Nampaknya ada sesuatu tentang Dew yang masih tidak diketahuinya dan dia perlu menyiasatnya lagi.
Wajah Dew tidak beriak. Matanya terus merenung papan dan tampalan kertas berwarna putih itu. Tangan yang menyeluk poket seluar sudah dikeluarkan. Sempat Camie terpandang tangannya yang sedang mengepal buku lima. Namun Camie tidak dapat membaca dengan jelas pemikiran lelaki itu kini. Hendak kata gembira, sedikit pun riak gembira itu tidak terpamer di wajah Dew. Hendak kata tidak puas hati, mustahil dengan markah yang superb macam itupun Dew masih tidak berpuas hati.
“Tahniah, Jeremy. Awak dapat tempat ke-5 peringkat kolej,” tegur seorang pelajar lelaki berkaca mata yang tiba-tiba muncul sambil menepuk bahu Dew dengan mesra. “Hai~ malangnya saya gagal untuk rampas tempat pertama seperti yang sepatutnya. Adakah saya tak cukup berusaha ya Jeremy?”
Camie agak terkejut dengan kata-kata lelaki itu. Sarkastik. Berlagak. Riak. Seolah-olah dia sedang menyindir Dew yang sekadar di kedudukan ke-5 itu.
Buk!!
Tanpa sempat mengelak, lelaki itu terpelanting menyembah bumi sebaik Dew melepaskan tumbukan kencangnya. Suasana agak kecoh tiba-tiba apabila Dew mendapatkan lelaki itu semula dan membelasahnya lagi.
“Dew, sabar!” Jiro memainkan peranan sebagai penenang Dew. “Cool down, okey…” Jiro mengelus-ngelus belakang Dew.
Dew menepis kasar sentuhan Jiro. Pelajar berkaca mata yang kononnya pandai itu dijeling dengan tajam sebelum kembali mengerling papan kenyataan. Melihat semula keputusan yang tidak memuaskan hatinya, Dew segera mengoyak kertas senarai keputusan tersebut. Selepas itu dia beredar dari situ.
Camie secara tidak sengaja telah menghalang laluan Dew. Langkah Dew mati di hadapan gadis itu. Wajah Camie dicerling penuh marah. Camie cuak dan menunduk kepala. Terasa seram tatkala melihat amukan lelaki itu. Tiada siapa yang berani menentang The Taiko. Hatta guru sekalipun takut apatah lagi para pelajar.
“Tepilah, Si Hodoh! Kau nak mati ke?” jerkah Dew sebelum menolak kasar batang tubuh Camie yang menghalang laluannya.
Camie yang ditolak kasar itu terjatuh melanggar dinding. Yang lain segera menjauh. Tidak berani menegur The Taiko yang sedang naik angin. Kelibat Dew yang menuju ke pintu gerbang kolej diperhatikan mereka semua termasuklah Camie.
“Phill tu memang bodoh. Dah tau diri tu lemah, sengaja nak cari pasal dengan Jeremy. Mentang-mentang dia dah berjaya pintas kedudukan Jeremy. Berlagak pula.” Camie terdengar suara halus di sebelahnya yang mengulas tentang kejadian tersebut.
“Elleh, baru sekali sajalah. Si skema tu memang macam tu. Tak padan dengan skema, ada hati nak tewaskan The Taiko. Menyampah.” Seorang lagi bersuara. Sempat matanya menjeling ke arah lelaki berkaca mata tadi yang sudah bangun untuk beredar dari situ. Camie mendekat untuk terus mendengar bicara mereka sekali gus mendapatkan sedikit maklumat yang berguna.
“Tapi kan Jeremy nampak sangat marah tadi kan. Aku rasa kalau Phill tak bersuara sekalipun Jeremy akan cari mangsa belasahan… keputusan dia jatuh teruk kali ini.”
“Betul. Aku setuju. Daripada tempat ke-2, sekarang dah jatuh ke tempat ke-5. Kau bayangkan sendirilah. Siapa yang tak bengang… aku rasa cikgu salah kira markah dia kot.”
“Hish, kau ni. Kalau cikgu salah kira lebih baik tak payah jadi cikgu,” marah salah seorang daripada mereka. “Sudahlah, jom masuk kelas,” ajaknya selajur ketiga-tiga mereka melangkah meninggalkan kawasan tersebut.
Camie yang mencuri dengar tadi terus berdiri di situ sambil memerhati kelibat Dew yang mula menghilang disebalik tembok pagar. Siapa Dew? Persoalan itu muncul di benaknya setelah mendengar perbualan beberapa orang pelajar tadi. Dia semakin tertarik dengan lelaki yang digelar sebagai The Taiko oleh para pelajar kolej itu. Semacam ada satu rahsia yang belum disedarinya tentang Dew.
Camie tidak pernah menyangka yang Dew sama bijak seperti Jeremy juga memandangkan lelaki itu selalu ponteng dan tidur di dalam kelas. Bersikap mengambil berat biarpun suka mengejami orang. Ada sifat-sifat terpuji biarpun mulutnya sangat jarang berbicara sopan. Ingin sekali Camie membuka hijab disebalik sikap Dew yang bertentangan itu. Semakin dia mengenali Dew semakin dia nampak yang pertentangan sikap lelaki itu dengan Jeremy semakin tipis. Secara zahirnya memang mereka umpama langit dengan bumi namun adakalanya Dew benar-benar sama seperti Jeremy.

Angel In The Devil Suit 1 ::Bab15::

Bab 15
DEW melangkah dan terus melangkah menyusuri kaki lima sekitar bangunan kedai. Sesekali kepala yang hendak menoleh ke belakang untuk melihat Si Hodoh cuba ditahannya. Semakin dia menjauhi gadis tersebut semakin perasaannya tidak tenteram. Runsing apabila memikirkan sesuatu yang mungkin Camie hadapi ketika bersendirian dalam waktu yang sudah malam.
Si pengecut tu berani ke balik seorang diri? Macam mana kalau dia diganggu oleh samseng jalanan atau tiba-tiba dia terserempak dengan orang jahat. Lepas tu kena ragut… kena rompak… atau lebih teruk lagi dia akan kena rogol… si lembik tu mana tahu nak mempertahankan diri. Silap hari bulan aku pula yang akan dipaksa untuk bertanggungjawab ke atas dirinya kelak.
Eh, chop… rasanya aku terlalu risau ni. Tak kan ada apa-apa yang berlaku ke atas si Hodohlah. Bukankah hari masih awal. Lagipun pekan ni bukannya sunyi sangat. Kalau dia diganggu oleh orang jahat sekalipun, dia boleh menjerit kuat-kuat. Penjahat mana yang bodoh sangat nak cari pasal di tempat yang ramai orang macam ni.
Dew cuba menenangkan perasaan sendiri dengan andaian-andaian yang melintas di fikirannya. Dia tidak mahu masalah Camie mengganggu ruang fikirannya tapi entah kenapa dia sentiasa diusik rasa risau terhadap gadis yang selalu dijadikan hambanya itu. Padahal setiap kali dia bersama Camie, gadis itu sentiasa dikejaminya dengan pelbagai cara.
Sesampainya di hadapan pintu utama menuju ke kelas malamnya, Dew berhenti melangkah. Pintu mati itu direnungnya lama. Tombol yang hendak dipulas kembali dilepaskan. Hatinya diburu rasa risau terus-terusan. Sejak mengenali Si Hodoh, dia tahu betapa lemahnya gadis itu menghadapi musuh. Rasa bersalah menjerut jiwa apabila dengan sengaja dia meninggalkan gadis itu sendirian dalam malam yang penuh dengan bahaya yang tidak terduga itu. Tanpa berfikir panjang Dew memusing tubuh dan kambali berlari pergi mendapatkan Camie.
“Argh~~!! Tak guna kau Si Hodoh! Betul-betul buat orang risau!” Walaupun hatinya menjerit marah kepada Camie namun sebenarnya dia tidak mahu apa-apa yang buruk berlaku ke atas Camie. Walaupun Camie bukan siapa-siapa dalam hatinya namun gadis itu tetap sudah di anggap menjadi sebahagian daripada kehidupan hariannya. Dimana tempat Camie di hatinya… itu masih belum pasti. Cuma yang paling jelas dia rasa bertanggungjawab di atas keselamatan Camie.

*****************

CAMIE tersenyum ceria apabila kelibat makcik Paula dikesannya di dalam Fiona Cruzz, mini Cooper kesayangan makciknya itu. Tanpa berlengah lagi Camie masuk ke dalam perut kereta.
Di dalam kereta, Paula menyambutnya dengan renungan tajam menikam. Jelas yang perawan lanjut usia itu sedang marah. Camie tidak berani membalas pandangan mata Paula. Terasa sangat bersalah terhadap makciknya nan seorang itu.
Kalau aku tak pergi intip Dew tentu makcik Paula tak risau dan mencari aku sampai ke sini malam ini. Tapi mujur juga makcik Paula mencari aku, untung-untung aku tak perlu menunggu teksi atau menaiki bas. Mujur juga waktu aku menghubungi dia tadi dia berada di sekitar pekan ini. Oh, Camie… kali ini memang kau yang bersalah. Kau perlu menerima apa saja leteran, bebelan… malah hukuman yang bakal makcik Paula kenakan ke atas kau selepas ini akibat tindakan bodoh kau hari ini.
“Kau ni betul-betul menyusahkan aku. Mujur papa dan mama kau tak hubungi makcik hari ni. Kalau tak, apa makcik nak jawab pada mereka. Kau kemana dengan pakaian sekolah macam ni? Berjalan sampai tak ingat nak balik. Kau bersama siapa tadi?”
“Err… sebenarnya…” Camie tak berani hendak berterus terang. Entah jawapannya itu akan diterima oleh makciknya atau tidak. Silap percaturan Paula tambah mengamuk pula apabila mengetahui yang dia bersama dengan temannya yang merupakan seorang lelaki. Lagi kes parah kalau Makcik Paula tahu aku lari keluar kolej hari ini kerana hendak pergi mengintip Dew. Lebih baik diam dan tadah telinga saja mendengar leteran mak nenek ni…
“Kau dengan budak lelaki mana hah? Bla…bla…bla… kau ponteng kelas ya…bla… bla… jangan sampai aku report hal kau pada mama dan papa, Camie… bla…bla dan bla lagi…”
Sambil memandu, mulut Paula turut sama bergerak mengikut rentak deruman enjin kereta. Bosan sungguh Camie mendengarkannya. Lantas sesekali dia menoleh keluar tingkap. Melihat apa saja yang ada di luar.
Tiba-tiba dia ternampak kelibat seorang pemuda yang sedang berlari menuju ke hentian bas, tempat dia menunggu makciknya tadi. Mata Camie terbeliak. Mulut ternganga. Wajahnya dilekapkan ke cermin tingkap. Samada percaya atau tidak dengan apa yang sedang dilihatnya sekarang. Lelaki itu melilau-lilau melihat sekeliling kawasan berhampiran. Mencari kelibat seseorang yang ditinggalkannya tadi.
Setelah kelibat Dew hilang dari pandangan Camie kembali duduk bersandar di kepala kerusi. Melihat situasi yang baru dilihatnya itu tanpa sedar senyumannya bergayut di bibir. Tidak sangka Dew berpatah balik untuk mendapatkannya semula.
Akhirnya dia dapat melihat, disebalik sifat Dew yang umpama The Devil masih tersembunyi sifat kemanusiaannya. Dew umpama si baik yang menyarungkan diri sebagai si jahat di mata semua orang. Camie masih mahu percaya yang Dew adalah jelmaan semula Jeremy yang sudah mati.
“Kalau aku masih di hentian bas agaknya apa situasi yang bakal berlaku, ya…?” bibir terus mengukir senyuman biarpun bebelan Paula masih terus menerjah gegendang telinganya.

Angel In The Devil Suit 1 ::Bab14::

BAB 14
DUDUK tidak kena. Berdiri tidak kena. Berjalan lagilah tidak kena. Tak sangka di pekan kecil ni pun ada tempat-tempat hiburan macam ini. Apa aku nak buat sekarang? Aku dah masuk ke kawasan larangan untuk budak bawah umur.
Ini bukan setakat berani tapi dah super berani apabila seorang Camie masuk ke pusat video game dengan pakaian seragam kolej. Memang nak cari nahas kalau tiba-tiba polis datang tangkap aku dengan Dew… eh, chop! Mungkin si gangster ni selamat sebab dia dah tanggalkan pakaian seragamnya. Aku seorang saja yang masih lengkap dalam pakaian seragam. Hwa~ aku nak balik~!
“Dew…” Camie mencuit bahu Jeremy@Dew yang sedang menumpukan perhatian menyerang musuhnya. “Dew!” Jerit Camie di telinga Dew.
Dew menjeling marah kepada Si Hodoh.
“Nak apa?” balasnya kasar.
“Nak balik!” jawab Camie yang turut meninggikan suara kerana suasana bising dalam pusat game berkenaan.
Heh, baru lepak kat pusat game dah surrender. Belum lagi aku bawa dia pergi clubbing ke… banyak cantik dia nak ajak aku balik macam tu saja. Tidak semudah itulah, Si Hodoh.
“Kau pegang ni.” Dew menyerahkan pistol di tangannya kepada Camie. “Kalau kau dapat tembak ketua penjahat dalam game ni, kita balik,” kata Dew memberikan cabaran kepada Camie.
Camie berdiri menghadap skrin. Wajah Dew sekali-sekala di jelingnya. Menyesal aku ekorinya senyap-senyap tadi. Akhirnya aku terpaksa ikut dia betul-betul dan dia telah bawa aku ke tempat yang tidak sepatutnya seorang pelajar berada pada waktu ini.
Nak aku tewaskan ketua penjahat dulu baru boleh keluar dari sini… tak mungkin. Jangan kata bapak penjahat, anak buah penjahat pun belum tentu aku dapat shoot… oh, ya, kalau nak tewaskan ketua penjahat sepatutnya aku tembak saja lelaki di sebelah aku ni. Dia kan penjahat juga. Ketua Nam Jahanam!
“Hoi, apa tunggu lagi! Cepatlah shoot!” sergah The Devil.
Terhenti khayalan Camie yang sedang bercadang mahu menembak Dew tadi. Dia mengacu pistol ke arah skrin. Baiklah… tembak, tembak, tembak… ala~ satu pun tak kena. Tak apa, kita tembak lagi. Tembak, tem…
Pap!
“Woi, Si Hodoh!” Dew memukul kepala Camie. “Tembaklah betul-betul, bodoh!”
Nah kau sebijik! Kasar tak ingat mamat ni sound aku. Mujur saja dia tak mencarut yang bukan-bukan. Dasar ketua penjahat…
“Kau ni lembab. Otak tak boleh pakai. Bagi aku sambung baliklah!”
Akhirnya Dew mengambil semula pistol dari tangan Camie. Camie menunduk kepala sambil mencemikkan muka. Bengkek
“Mari aku ajar macam mana nak shoot.”
Camie angkat muka semula dan memandang Dew.
“Waktu kau acukan senjata pada musuh, kau tak boleh ada perasaan simpati. Kau mesti bersifat kejam dan berniat nak hapuskan musuh kau.” Dew mengerling Camie. Memastikan yang Camie sedang mendengar penerangannya.
Camie yang sedang mendengar itu terus memproses setiap penerangan Dew… Patutlah dia terror. Rupanya sebab sifat kejam dan niat membunuh memang semula jadi ada dalam dirinya. Grr~ menakutkan…
“Ataupun kau bayangkan saja sesiapa yang kau benci. Kalau kau benci seseorang mesti kau nak hapuskan dia kan.” Camie mengangguk. “Dengan cara ini juga kau boleh lepaskan geram… kalau tak dapat belasah orang yang kau benci tulah.”
Hmm… maknanya kalau aku benci kau, aku boleh tembak kau dengan cara macam ni lah. Tapi aku tak sampai hati nak tembak kaulah, Dew. Sebab kalau aku tembak dan bunuh kau, tak bolehlah aku tatap wajah Jeremy(The Angel) lagi.
“Pegang ni…” Dew mengambil tangan Camie lantas digenggamnya pada pistol tadi. Dew berdiri di belakang Camie menunjukkan cara yang betul mengacukan senjata. “Pandang tepat pada musuh yang kau nak tembak.”
Camie nampak gugup. Matanya menghala ke skrin tapi tak tahu apa yang sedang dipandangnya kini. Dew sangat dekat dengannya. Tangan lelaki itu sedang memegang kemas pergelangan tangannya. Kepala Dew juga sangat rapat dengan muka Camie.
Dup! dap! dup! dap!... jantung Camie rancak bergendang. Pandangan Camie semakin hilang fokus dan akhirnya dia pejamkan mata sebab tak mahu terpandang wajah Dew dalam jarak yang sedekat itu.
Pap!
“Woi, kalau kau pejam mata macam mana nak tembak musuh.” Dengan selamba dan tiada perasaan Dew menepuk dahi Camie.
Camie celik semula. Memandang Dew dengan ekor mata.
“Kau dengar tak penerangan aku tadi?” soal Dew.
Camie angguk bertalu-talu biarpun sebenarnya dia bukan fokus sangat dengan apa yang Dew bebelkan.
“Cepatlah shoot,” kata lelaki itu. Dia masih berada dalam kedudukan tadi tanpa sedar akan perasaan yang sepatutnya dia patut rasa sekarang.
“Terlalu rapat,” kata Camie dengan riak wajah yang masih lagi takut.
“He?” Dew tidak jelas.
“Kita terlalu rapatlah!” ulang Camie dengan kuat.
Rapat? Sejenak Dew memerhati dimana dia berdiri sekarang. Ahh~ memang sangat rapat. Tangan yang sedang menggenggam tangan Si Hodoh segera dilepaskan. Dan serentak dengan itu juga dia menolak Camie bagi menjarakkan kedudukan mereka berdua.
Adoi… Camie hampir terjatuh akibat ditolak oleh The Devil. Teruknya. Kalau ya pun terkejut janganlah tolak aku macam ni.
Terasa segumpal darah hangat naik ke wajahnya kini. Mungkin tiada yang perasan wajah Dew sedang merona merah ketika ini. Malu kuasa dua! Macam mana aku boleh terbuat macam tu pada Si Hodoh ni pun tak tahulah. Erk… perasaan apa ni? Kenapa aku rasa lain macam saja setiap kali bersama dengan budak perempuan ni? Ish… tak boleh jadi ni. Baik aku blah cepat.
“Dew!” panggil Camie apabila Dew beredar secara tiba-tiba.
Dew buat tak faham. Pantas dia melangkah keluar dari pusat game tersebut. Terkial-kial Camie mengejarnya.
“Dew, tunggu aku!” jerit Camie.
Dew sudah berada di luar kawasan tersebut. Dia masih lagi terus berjalan. Namun langkahnya diperlahankan sedikit bagi membolehkan Camie mengejarnya. Kedua belah tangan diseluk ke dalam poket seluar. Camie yang berjaya mengejarnya tadi berjalan beriringan di sebelahnya. Dew sekadar mengerling Camie dengan ekor matanya.
Ada sesuatu yang aku tak faham tentang budak pelik di sebelah aku ni. Kenapa dia masih nak ikut aku? Aku kan jahat. Suka buli dia tapi kenapa dia masih nak ikut aku? Dia kan tak suka aku panggil dia Si Hodoh tapi kenapa masih ikut semua yang aku suruh? Semua orang takut dengan aku. Dia ni macam pengecut tapi kalau dia takut kenapa masih sangatberani jalan rapat-rapat dengan aku? Tak takut ke dengan taiko macam aku ni. Betul-betul pelik…
Err… dan kenapa aku rasa lain macam setiap kali bersama dengan dia? Kadang-kadang hati ni berdebar-debar. Kadang rasa seram sejuk (Si Hodoh ni manusia ke hantu?). Kadang kala tak pasal-pasal saja rasa muka aku ni macam kena simbah darah hangat. Malu sangat-sangat.
Dew jeling lagi pada Camie di sebelah. Gadis itu sedang menjilat bibirnya yang kering. Perasan dirinya sedang diperhatikan oleh jejaka di sebelahnya, Camie segera menoleh. Membalas kerlingan lelaki itu dengan senyuman.
Dew cepat-cepat membuang muka ke hadapan semula. Gila! Apasal senyum pada aku tiba-tiba. Sengal betul Si Hodoh ni… erm, Si Hodoh? Tak baik aku panggil dia macam tu. Dia kan ada nama yang cantik dan sedap. Err… tapi apa nama dia? Panjang sangat dan aku lupa pula sebab dah biasa panggil dia ‘Si Hodoh’. Ah~ lantaklah. Panggil jelah ‘Si Hodoh’… walaupun sebenarnya dia bukannya hodoh sangat pun… rasanyalah. Selalunya budak mix blood ni cantik tapi kenapa Si Hodoh ni nampak biasa sangat? Hurm… barangkali kecantikan aslinya tersembunyi dek penampilan peliknya itu.
“Hari dah lewat senja. Apa kata kita balik sekarang,” usul Camie.
“Kau pergilah balik sendiri. Apasal nak ajak aku pula,” balas Dew.
Camie ketap bibir sambil melirik kepada lelaki di sebelahnya. Kalau aku ni berani sangat, taklah aku ajak kau teman aku balik sekali. Teruk betul The Devil ni. Dia tak sedar ke yang hari dah nak masuk malam sekarang ni dan ini bahaya bagi seorang gadis pulang sendirian tau.
“Aku ada hal sekarang dan kau balik saja sendiri. Aku tak dapat temankan kau,” kata Dew tanpa memaling wajah kepada Camie.
“Kau nak pergi mana lagi? Aku ikut kau.”
“Aku tak nak bawa kau. Kau ni menyusahkan.”
“Ala~ bolehlah, Dew.” Camie separuh memujuk.
Hish… apahal dengan dia ni. Orang tak nak bawa tu tak nak bawalah. Yang dia sibuk nak juga ikut tu pasal apa? Ergh… tekanan sungguh berjalan dengan Si Hodoh ni.
“Aku nak balik tapi aku takut balik sendiri. Hari dah gelap.”
Huhh~ jadi inilah sebabnya… pengecut betullah dia ni. Tapi masalahnya aku memang tak boleh nak pergi temankan dia. Nanti tak pasal-pasal aku terlewat pergi kelas. Tapi masalahnya kalau apa-apa terjadi pada Si Hodoh, aku juga yang akan dapat masalah. Yelah sebab aku suspect terakhir yang dilihat bersama-sama mangsa. Betul tak? Jadi apa patut aku buat sekarang?
“Bolehlah Dew. Aku ikut kau ya,” pujuk Camie.
“Tak boleh, tak boleh, tak boleh!” tegas Dew. Dia menyeluk poket seluar dan mengeluarkan dompetnya. Beberapa keping not kertas dikeluarkan dan dihulurkan kepada Camie. “Kau ambil ni, lepas tu pergi ke bus stop depan tu. Pergi tahan teksi dan balik sendiri.”
Teruknya… ini serupa saja aku balik sendiri. Tak payah bagi duit pun aku boleh bayar tambang teksi tau. Jahatlah Dew ni. Kalau Jeremy dulu mesti dia akan hantar aku pulang. Siap sampai depan pintu rumah lagi.
“Kau faham tak apa aku cakap ni?”
Camie mengangguk perlahan.
“Jadi apa lagi… ambil sajalah duit ni dan pergi berambus cepat,” kata Dew sambil menarik tapak tangan Camie untuk menerima duitnya.
Kemudian dia beredar pergi meninggalkan Camie sendirian. Camie merenung belakang Dew yang melangkah meninggalkannya dengan perasaan bengang yang semakin bersarang.
Kalaulah aku ada satu kuasa, pasti aku akan ajar si jahat ni. Tapi apakan daya. Dew is Dew… tak mungkin The Devil akan berubah jadi The Angel macam mendiang Jeremy.
Camie memusing tubuh dan mula berjalan menuju ke perhentian bas yang tidak jauh dari situ. Biarpun perasaan takut menyelubungi hati, digagahkan jua langkahnya. Moga-moga cepatlah dapat teksi.