Kawan2 yg saya Sayang

Friday, April 12, 2013

Aku Bukan Malaikat (Bab18)


Bab18
Hiruk Pikuk alunan muzik begitu membingitkan telinga sebaik Hakimi masuk ke dalam kelab malam tersebut. Kelab tersebut dikunjungi ramai muda mudi yang dahagakan hiburan. Di ruang tengah yang hanya diterangi lampu disco yang berkelip-kelip menjadi pusat tumpuan pengunjung yang asyik menari di situ. Hakimi bergerak ke meja bar, mengambil tempat duduk di bangku tinggi sambil memusingkan tubuhnya menghadap ke lantai tarian yang dipenuhi berbagai ragam pengunjung yang asyik berdansa tidak mengira lelaki dan wanita.

Dalam cahaya yang terbatas mata Hakimi tajam menjejaki seseorang di situ. Dia menggeleng beberapa kali selepas itu. Pertama kerana kegagalannya menjejaki orang yang dicari. Kedua kerana melihat gelagat pengunjung kelab malam tersebut yang bagai khayal dan lupa diri di pentas tarian. Peluk cium diantara lelaki dan wanita adalah perkara biasa bagi mereka. Melayu, Cina, India dan apa bangsa sekalipun telah menjadi satu di situ. Ini membuktikan perpaduan di negara ini. Tiada lagi haramnya sesuatu hukum. Yang ada hanyalah halal belaka termasuklah arak dan seks rambang.

Hakimi menoleh apabila tiba-tiba dia dicuit seseorang. Seorang pelayan wanita berpakaian seksi menarik Hakimi rapat kepadanya. Dia membisikkan sesuatu kepada Hakimi. Kelihatan Hakimi mengangguk dan mengucapkan terima kasih kepada wanita tersebut. Hakimi segera mengatur langkah untuk beredar selepas itu namun ditahan oleh wanita tersebut.

“Tak kan nak pergi begitu sahaja, bang.” Tangan wanita yang merupakan pelayan pelanggan di kelab tersebut tiba-tiba memaut leher Hakimi. Matanya yang kelihatan galak akibat solekannya itu melirik Hakimi penuh minat. Bibirnya yang dicalit gincu berwarna merah menyala itu begitu menggoda pandangan lelaki. Ditambah dengan pakaiannya yang menjolok mata begitu menghairahkan mata-mata liar yang memerhatikannya.

Hakimi tersenyum sinis. Kedua belah tangan wanita itu yang melingkar di tengkuknya segera dileraikan. Hakimi kemudiannya menyeluk poket seluar jeansnya lalu mengeluarkan beberapa keping not berwarna merah kepada wanita yang lebih mudah dikenali sebagai G.R.O. itu.

“Banyak ini sahaja?” wanita itu kelihatan tidak berpuas hati dengan perolehan yang diterimanya.

“Kau tak layak untuk dapat lebih.” Hakimi menolak wanita itu kerana menghalang laluannya.

Wanita tersebut menghentak-hentakkan kakinya kerana geram dengan layanan yang diterimanya daripada Hakimi. Selama usianya menjadi G.R.O. tidak pernah dia ditolak oleh mana-mana lelaki yang berkunjung ke tempat hiburan itu.

Tanpa mempedulikan wanita tersebut Hakimi pantas meninggalkan kelab malam tersebut. Bukan niatnya mahu berseronok di situ. Dia ada agenda lain sebenarnya. Sebaik meninggalkan kelab tersebut Hakimi membawa haluannya ke sebuah hotel bertaraf tiga bintang yang berhampiran. Seseorang sedang menantinya di sebuah bilik di hotel tersebut.

“Kau tak beritahu aku yang kau cuti hari ini.” Hakimi melabuhkan punggung di katil sebaik tiba di bilik tersebut.

“Untuk pelanggan istimewa seperti kau, aku tak suka hidup aku diganggu oleh pelanggan lain. Oleh sebab itu aku ambil cuti hari ini.” Wanita dalam lingkungan pertengahan 20-an itu hanya mengenakan jubah mandi berwarna merah jambu lembut. Rambutnya masih basah sengaja dilepaskan agar kelihatan lebih seksi di mata Hakimi. Dia menuang segelas minuman untuk Hakimi sebelum menghampiri lelaki tersebut. “Demi kau, Hakimi.” Gelas yang berisi jus markisa itu disuakan ke bibir Hakimi. Senyumanya meleret di wajah sambil merenung jejaka tersebut dengan pandangan yang menggoda.

“Aku boleh minum sendiri. Terima kasih.” Hakimi mengambil gelas minuman tersebut dari tangan wanita itu. Punggungnya dijarakkan dari terlalu intim dengan wanita tersebut.

“Hakimi, bukankah kau bayar aku untuk melayan kau. Jadi janganlah terlalu dingin dengan aku.”

“Kau tahu bukan… aku tak berminat dengan perempuan seperti kau.” Padahal hatinya tetap berdebar setiap kali wanita itu semakin rapat menghampirinya. Jiwa lelaki mana yang tidak tergugat dengan godaan perempuan cantik dan seksi yang terhidang di hadapan mata. Cuma disebabkan latar belakang wanita itu yang merupakan seorang G.R.O. membuatkan Hakimi sentiasa mengelak tawaran yang terbuka di hadapan mata.

Kedengaran wanita tersebut ketawa berdekah-dekah sebaik mendengarkan kenyataan Hakimi itu. Hakimi hanya melihatnya dengan jelek. Dia bangkit dari duduk selepas itu.

“Katakan sahaja yang kau cuma mahukan tubuh Dhia Mariya. Jangan nak putar belitlah, lelaki!”

“Zeeta, jaga mulut kau.” Suara Hakimi kedengaran keras.

“Wah, marah nampak. Aku bergurau sahajalah.” Sisa tawa Zeeta masih kedengaran di cuping telinga Hakimi. “Manalah tahu kau dah jemu dengan perempuan tu. Aku boleh jadi pengganti dia.” Tangan Zeeta melingkar di tengkuk Hakimi. Wajah lelaki itu cuba ditawan namun Hakimi terus bersikap dingin dan mengelak dari membalas renungan menggoda Zeeta.

“Zeeta, aku tak datang secara percuma untuk habiskan masa bersama kau.” Hakimi menolak tangan Zeeta yang memaut tengkuknya lantas bergerak menuju ke jendela. “Lagipun aku takkan bayar lebih untuk masa yang kau sengaja lengahkan. Cepat beritahu perkara penting yang kau kata nak sampaikan pada aku tu.” Pandangannya kembali ditala ke arah Zeeta.

Zeeta tidak peduli dengan desakan Hakimi. Dia mencapai kotak rokok dan pemetik api di atas katil. Sebatang rokok dikeluarkan dan dihulurkan kepada Hakimi. Hakimi menolak tidak berminat. Bukan kerana dia tidak merokok tetapi bukan itu yang mahu dia lakukan sekarang.

“Zeeta, jangan buang masa aku.”

Zeeta tetap berlagak selamba. Rokok diselitkan ke celah mulutnya. Sebentar kemudian asap rokok berkepul-kepul memenuhi ruang bilik. Dia membuka jendela agar asap tersebut tidak berkumpul dan menyesakkan pernafasan mereka di dalam bilik tersebut. Ekor matanya sempat melirik Hakimi yang berlagak tenang di sebelahnya.

“Burung gagak akan dibebaskan tidak lama lagi.” Satu ayat meluncur dari mulut Zeeta.

Hakimi tertarik. Dahinya berkerut sehingga keningnya hampir bercantum di tengah. Dia memandang Zeeta antara percaya dan tidak dengan kenyataan tersebut.

“Aku nak kau pastikan bila dia dibebaskan. Selebihnya aku akan uruskan sendiri.”

Hakimi menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan sejumlah wang lalu diserahkan ke tangan Zeeta. Zeeta mengambilnya dengan senyuman puas. Dikucupnya not-not bernilai itu sebelum disimpan ke dalam tas tangannya. Hakimi tidak lama di situ setelah mengetahui perkara tersebut. Dia segera beredar.

*****************

“MARIYA…” satu suara lembut menyapa Mariya.

“Mariya…” kali kedua suara itu memanggilnya. Kali ini Mariya yakin dengan apa yang didengarinya.

“Mama… mama ke tu?” Mata Mariya melilau-lilau menjejaki kelibat ibunya.

“Mariya… mama ni, sayang.” Mariya semakin kalut mencari dari mana arah suara itu muncul.

Dia tidak tahu dimana dia berada. Apa yang dilihatnya kini hanyalah kegelapan. Puas dia mencari sinar namun kehampaan yang ditemuinya. Sehinggalah suara wanita itu menghidupkan semula semangatnya untuk bangkit.

“Mama, tolong Mariya. Mariya takut. Mariya sesat. Mama dimana? Tolong Mariya, Ma.” Air mata Mariya sudah penuh bertakung di kelopak mata. Tangisannya kedengaran teresak-esak. Kegelapan itu membuatkannya semakin ketakutan.

“Mariya… Mariya mesti cari cahaya itu sendiri untuk keluar dari kesesatan. Mama tak boleh bersama Mariya lagi. Mama terpaksa pergi.” Suara itu sungguh sayu menangkap pendengaran sehingga membuatkan tangisan Mariya semakin menjadi-jadi. Dia sangat merindui suara itu.

“Mama… jangan tinggalkan Mariya. Mama… mama!!!” Mariya menjerit memanggil ibunya namun selepas itu tiada lagi suara lembut itu muncul bercakap dengannya. Mariya kecewa. Dalam kegelapan yang mewarnai dunianya kini, dia berlari sekuat hati untuk menjejaki ibunya. “Mama, jangan pergi!”

Segala penat lelah yang dirasai sudah tidak dipedulikan lagi. Dia terus berlari. Mariya sangat berharap dapat menemui ibunya kembali. Sehinggalah sampai suatu saat langkah kakinya terhenti kerana terasa pergelangan tangannya dipaut seseorang.

“Lepaskan aku.” Mariya cuba melepaskan diri. “Mama… tolonglah… jangan tinggalkan Mariya. Mama!” Dalam tangisan dia merayu ibunya sambil cuba melepaskan diri dari pautan ghaib yang memegangnya dengan kejap.

“Kak Mariya…” suara itu adalah dunia realiti yang sedang mengejutkan Mariya dari mimpi. Mariya terjaga. Namun jiwanya masih dipengaruhi oleh mimpi yang dialaminya. Mariya terus meracau memanggil ibunya.

“Kak Mariya, mengucap!” Nuha memaut kedua belah tangan Mariya yang menepisnya. Dia cuba menenangkan Mariya yang sedang mengigau. Perlahan-lahan dia mengusap ubun-ubun Mariya sambil membisikkan kalimah syahadah dan istighfar di telinga Mariya.

Akhirnya Mariya bertenang dan mula sedar dari ugauannya. Sebaik dia celik wajah tenang Nuha sedang menyapanya. Gadis itu tidak bercakap apa-apa melainkan merenungnya. Tangannya masih memaut Mariya.
Sebelah tangan Nuha tiba-tiba menyentuh pipi Mariya. Air mata yang tumpah membasahi pipinya diusap dengan lembut. Peluh dingin yang mengalir di celahan anak rambut turut diusap menggunakan belakang tapak tangan. Mariya diam sahaja diperlakukan begitu oleh Nuha.

Perlahan-lahan Mariya bangun untuk duduk. Dia tidak tahu mahu mengadu pada siapa. Hanya Nuha yang berada di sisinya kini. Lantas tubuh gadis itu didakapnya dengan erat. Dia tahu kerinduannya terhadap ibunya tidak dapat diluahkan lagi. Sentuhan tanpa bicara Nuha sekurang-kurangnya dapat meredakan sedikit perasaannya. Kadang sentuhan itu lebih bermakna berbanding kata-kata. Biarlah gadis itu tidak mahu bercakap asalkan dia tahu fungsi kewujudannya dalam waktu-waktu Mariya memerlukan seseorang.

“Terima kasih.”

Tiada jawapan balas yang diterima Mariya namun dia dapat merasa tangan Nuha yang lembut mengelus-ngelus belakangnya.

“Aku mimpikan mama. Aku rindukan dia tapi cuma dapat dengar suaranya. Mama dah pergi.” Mariya menangis kembali. Kesedihannya masih tidak terubat sepenuhnya.

Perlahan-lahan Nuha meleraikan pelukan Mariya. Dia menatap wajah Mariya yang digenangi air mata. “Jom solat subuh.”

Mata Mariya dilontarkan ke dinding melihat jam. Pukul 6.00 pagi. Dia terpinga-pinga melihat Nuha yang sudah bergerak menuju ke pintu bilik kemudian menghilang dari pandangan Mariya. Mariya kelihatan masih terkulat-kulat di atas katil. Sehinggalah Nuha kembali semula sepuluh minit kemudian.

Gadis itu yang sudah basah dengan air wuduk menghampiri Mariya yang masih duduk di katil.

“Ibu kata mimpi tu mainan tidur. Kalau kita solat, insyaallah kita akan tenang.” Inilah pertama kali Mariya mendengar ayat Nuha yang paling panjang. Dia terkedu sambil merenung tepat ke arah Nuha yang sedang bersiap mengenakan kain telekung. Sebaik selepas itu sejadah dibentang menghadap kiblat dan Nuha mula menunaikan kewajibannya.

Mariya keluar dari bilik. Pintu bilik ditutup dengan berhati-hati tanpa mengeluarkan bunyi. Kemudian langkah kakinya dihalakan ke bilik air yang terletak bertentangan dengan bilik Ameer beberapa langkah dari situ. Ketika dia hendak membuka pintu bilik air tiba-tiba pintu bilik Ameer dibuka dari dalam. Mariya tersentak apabila susuk tubuh Ameer tiba-tiba muncul di tengah lawang pintu.

“En. Ameer…” Mariya mengerling Ameer yang sudah segak berkemeja dan seluar slack. Lelaki itu tersenyum memandang Mariya yang masih serabai baru bangun tidur. Sempat dia menelek jam dipergelangan tangannya. Jarum minit berada di angka 3. Baru pukul 6.15 pagi. Mariya kelihatan cuba melindungi wajahnya dengan sebahagian rambut panjangnya kerana malu dilihat Ameer yang sudah segak bergaya sedangkan dirinya belum sempurna terurus.

“Saya nak keluar dah ni. Nanti tolong sediakan breakfast untuk adik saya. Nuha suka makan nasi lemak dengan sambal sotong. Kemudian kalau dia nak apa-apa awak tolong layan dia.” Ameer memberikan arahan kepada Mariya. Sejurus kemudian dia mengatur langkah untuk berlalu.

“En. Ameer, nak saya sediakan sarapan pagi untuk En. Ameer tak?”

Langkah Ameer terhenti dan kembali memandang Mariya semula. “Hmm… saya jarang makan pagi terlalu awal.” Ameer tersenyum melihat Mariya mengangguk. Sesuatu tentang dirinya yang baru dicatat di minda gadis itu.

“Mariya…” Mata Mariya mengerling Ameer semula. “Terima kasih. Ubat yang awak beri memang mujarab. Perut saya dah sihat.” Mariya tersenyum gembira. Dia tidak membalas kata-kata Ameer. Sekadar mengangguk tanda menerima ucapan terima kasih Ameer. “Saya pergi dahulu.” Mata Mariya menghantar pemergian Ameer yang berjalan menuju ke anak tangga. Sebaik kelibat Ameer lenyap dari pandangan barulah Mariya masuk ke dalam bilik air.


Bersambung...


4 comments:

Unknown said...

Tak sambung ke?

Kaseh Esmiralda said...

bukan tanak sambung...tapi insyaAllah kalau ada rezeki akan diterbitkan sebagai buku kelak.

Unknown said...

Oh.

Unknown said...

mana epilog nye.... saya suka lh baca e novel ni sbb cite dye laen dri yg laen sikit.. jarang jumpe cite perempuan yg berniat nk bunuh lelaki ni...