Bab5
LANGKAH kaki Mariya diatur keras
melalui lorong pejalan kaki berhampiran bahu jalan raya. Dia sedang menuju ke
perhentian bas. Hatinya masih terguris dengan sikap kasar Ameer melayannya
tadi. Namun yang lebih perit untuk diterimanya apabila terlihat dengan tidak
sengaja adegan mesra diantara Hakimi dan Ameer di rumah itu tadi. Dia langsung
tidak menyangka akan terlihat perkara tersebut di hadapan matanya sendiri hari
ini.
“Ini tentu satu gurauan.” Dia cuba
menyedapkan hatinya walaupun ternyata perkara tersebut amat memberi kesan pada
dirinya.
Sebuah kereta hitam tiba-tiba
muncul dan berhenti di sebelah Mariya secara mengejut. Langkah kaki Mariya
serta merta terhenti sebaik pemandu kereta tersebut keluar dari perut kereta
lalu menghampirinya.
“Ikut saya sekejap.” Hakimi memaut
pergelangan tangan Mariya lantas menariknya untuk masuk ke dalam kereta Ameer yang
dipinjamnya tadi.
“Lepaskan saya!” Mariya merantap
kasar tangannya yang dipaut Hakimi. Air mukanya tegang merenung Hakimi dengan
tajam. Ada satu kebencian yang sedang terlakar pada wajahnya sebaik bersemuka
dengan pemuda itu.
“Jangan degil. Masuk cepat!” Hakimi
tidak peduli. Dia tetap memaksa Mariya untuk masuk ke dalam kereta biarpun
beberapa kali Mariya meronta tidak mahu menuruti kemahuannya.
Setelah berjaya membawa Mariya
masuk ke dalam kereta, Hakimi memecut keretanya di jalan raya.
“Awak nak bawa saya pergi kemana?”
Soal Mariya sambil tangannya rakus mahu menghentikan Hakimi dari memecut
keretanya. “Hentikan kereta ni sekarang!”
“Kenapa awak cari Ameer?” Hakimi
yang sedang memandu langsung tidak menoleh kepada Mariya ketika mengajukan
soalannya. Malah tangannya sempat mencengkam pergelangan tangan Mariya untuk
menghentikan tindakan gadis itu dari mengganggunya yang sedang memandu. Wajahnya
nampak tegang seolah-olah mencurigai niat sebenar gadis tersebut yang tiba-tiba
muncul di rumah Ameer tadi.
“Itu urusan saya. Awak tak berhak
untuk masuk campur.” Mariya merentap kasar pergelangan tangannya dari pautan
Hakimi. Wajah Hakimi tidak dipandangnya lagi. Malah membuang terus wajahnya ke
luar tingkap.
“Saya berhak untuk masuk campur jika
ia berkaitan dengan Ameer,” tegas Hakimi.
Mariya terpana mendengar kata-kata
Hakimi, seolah-olah Ameer lebih penting berbanding dirinya sebagai perempuan
yang bernama kekasih. Hal ini mengukuhkan lagi sangkaan awalnya tentang sikap
Hakimi yang telah curang di belakangnya.
“Awak dengar sini... saya tak mahu
awak cuba libatkan Ameer dengan masalah kita. Jauhkan diri awak dari dia.”
Hakimi memberikan amaran keras.
“Saya berhak untuk kenal siapa
musuh cinta saya.” Suara Mariya yang mengendur itu kedengaran dingin dan penuh
dendam. Sebagai wanita, dia tidak dapat menerima kenyataan apabila kalah pada
lelaki lain dalam memenangi cinta. Ia sangat tidak munasabah dan memalukan.
“Awak sanggup datang jauh-jauh dari
Ipoh semata-mata nak cari Ameer. Apa tujuan awak, Dhia?” Hakimi tidak menyangka
dengan sikap Mariya yang begitu nekad sehingga sanggup turun ke Kuala Lumpur
untuk menjejaki Ameer.
“Cinta mampu buat seseorang jadi
tidak rasional. Tapi itu normal bagi saya. Awak tu yang tak normal kerana jatuh
cinta dengan kaum sejenis awak.” Ekor mata Mariya menjeling tajam ke arah
Hakimi yang sedang memandu. Jiwanya penuh dendam terhadap Hakimi yang telah
memusnahkan sekali lagi kepercayaannya terhadap lelaki.
Hakimi mengerling Mariya dengan
ekor matanya. Dia hanya mampu menggeleng sambil terus memandu. Dia sangat jelas
dengan sikap Mariya yang tercabar setelah mendapati musuh cintanya ialah
seorang lelaki.
Black Cerry Cowboy yang merupakan
nama jolokan untuk kereta kesayangan milik Ameer itu dihentikan di sebuah
restoran makanan segera KFC. Mariya keluar dengan rasa terpaksa lantas
mengekori Hakimi masuk ke dalam restoran tersebut untuk meneruskan perbincangan
mereka.
“Saya dah agak. Awak pasti akan
menjejaki Ameer juga. Apa yang awak nak buat, Dhia?” Hakimi merenung tepat
wajah gadis itu sebaik duduk di sebuah meja dalam restoran tersebut.
Mariya menarik wajah memandang ke
arah lain. Dia benci memandang lelaki dihadapannya itu. Kalau boleh dia mahu
meletak satu dinding di meja tersebut agar dia tidak perlu memandang wajah
Hakimi.
“Dhia, tolong jangan libatkan Ameer
dengan masalah kita. Ameer tak bersalah. Dia tak tahu apa-apa.” Untuk kali yang
entah keberapa Hakimi cuba memujuk Dhia Mariya.
“Nama saya Mariya. Dhia dah mati.
Awak dah bunuh Dhia!” Keras suara Mariya menegaskan hal tersebut. Dia sengaja
mahu membuatkan Hakimi rasa semakin bersalah kerana memutuskan hubungan mereka
tanpa sebab yang kukuh.
“Dhia, boleh tak awak rasional.
Hubungan kita dah putus dan kita putus dengan cara baik. Kenapa awak tak boleh
terima kenyataan ini?” Hakimi berasa kesal kerana Mariya berniat mahu
mempergunakan Ameer untuk membalas dendam terhadapnya.
“Terima kasih, Hakimi. Terima kasih
sangat-sangat kerana beri harapan palsu kepada saya.” Mariya memang tidak dapat
menerima perbuatan Hakimi terhadapnya. Hakimi yang menyatakan janji-janji
manisnya mahu menjaga dan menyintainya dengan sepenuh jiwa. Semua itu palsu.
Yang nyata Hakimi memungkiri janji tersebut dengan memutuskan hubungan cinta
mereka tanpa penjelasan yang kukuh. Mariya tahu, Ameer lah punca Hakimi bertindak
begitu. Tentulah Hakimi tidak mahu mengakui hubungan intimnya dengan orang lain
kerana orang itu ialah seorang lelaki juga, iaitu Ameer.
“Dhia, saya minta maaf…”
“Mariya… mulai sekarang panggil
saya Mariya!” bentak Mariya. Suaranya hampir menarik perhatian pelanggan di
restoran tersebut. Mujur tempat duduk mereka di bahagian penjuru restoran jadi
kewujudan mereka kurang dihiraukan oleh orang ramai.
“Baiklah… Mariya, saya minta maaf.
Percayalah, saya lakukan semua ni demi kebaikan awak. Saya tak boleh teruskan
hubungan kita lagi.” Hakimi sudah kekeringan idea hendak memujuk gadis tersebut
agar menerima kenyataan tersebut. Putus cinta memanglah sesuatu yang sukar
untuk diterima apatah lagi jika tanpa sebab yang kukuh.
“Selama ini saya tak pernah
percayakan lelaki. Awak adalah lelaki pertama yang saya percaya tapi awak dah
musnahkan kepercayaan saya tu. Terima kasih sekali lagi Hakimi sebab akhirnya
saya kembali sedar dari mimpi. Tiada lelaki dalam dunia ini yang boleh
dipercayai.” Hati gadis itu benar-benar remuk. Suatu masa dahulu dia membenci
lelaki namun sejak kemunculan Hakimi dalam hidupnya perlahan-lahan persepsi
buruknya terhadap lelaki berubah. Sayangnya, semua itu hanya sementara apabila
Hakimi telah menjadi lelaki yang membunuh perasaannya. Hakimi telah
menghidupkan semula api dendamnya terhadap lelaki.
“Mariya, saya putuskan hubungan
kita sebab saya tak mahu awak menyesal suatu hari nanti. Percayalah, bukan ini
yang saya harapkan selepas tamatkan hubungan kita.”
“Whatever… saya tak peduli dengan semua tu.”
Hakimi gagal memujuk Mariya. Mariya
telah kembali ke dalam dunia gelapnya. Suatu ketika dahulu Mariya membenci
lelaki. Bukan sekadar membenci malah mendendami seorang lelaki. Akibat menjadi
mangsa seorang lelaki yang bernama ayah, hidup Mariya diselubungi kegelapan.
Hakimi telah berjaya memberi sinar dalam hidup gadis itu namun akhirnya dia
juga yang telah mengecewakan impian bahagia Mariya. Bukan niatnya mahu menolak
Mariya tetapi dia tidak mahu impian bahagia yang dicari Mariya musnah disebabkan
dirinya. Maka sebelum terlambat dia mengambil keputusan untuk memutuskan
hubungan cinta mereka.
Wajah Mariya yang semakin dingin
berhadapan dengannya itu terus ditatap. Rambut Mariya yang hitam berkilat itu
terbiar lepas bebas. Sebahagian rambutnya melindungi wajah mulus itu. Sepasang
mata sepet Mariya masih lagi galak apabila memerhati sesuatu. Namun mata itu
tidak lagi mahu memandang ke arah Hakimi kerana kini Mariya sangat membencinya.
Hakimi pasrah. Jika kebencian itu mampu menghapuskan dirinya dari kotak memori
Mariya. Cuma dia harap Mariya tidak kembali membenci lelaki. Dia sangat
berharap Mariya tidak menjadikan Ameer sebagai mangsa dendamnya terhadap
lelaki.
Mata Hakimi jatuh memandang batang
leher Mariya. Dia perasan sesuatu di leher Mariya lantas menegur.
“Mana rantai leher awak?”
Secara tidak langsung Mariya meraba
lehernya. Rantai leher berloket anak kunci itu tidak pernah ditanggalkan dari
lehernya selama ini. Tentulah Hakimi sedar kerana loket anak kunci itu adalah pemberian
Hakimi kepadanya.
“Jangan buang anak kunci tu.”
“Itu barang saya. Suka hati saya
nak pakai atau nak buang. Tak ada kena mengena dengan awak.” Secara tidak
langsung ingatan Mariya kembali ke rumah Ameer. Dia gagal mendapatkan semula
rantai lehernya disebabkan Hakimi tadi.
“Baiklah… terpulang pada awak nak
buat apapun. Cuma jangan libatkan Ameer. Ini amaran keras dari saya.” Kilauan
mata Hakimi yang merenung tepat ke arah Mariya membuatkan Mariya berasa
tercabar.
“Oh, takutnya…” suara Mariya
kedengaran mengejek. Dia semakin jengkel dengan sikap Hakimi yang sentiasa cuba
mempertahankan Ameer sejak dari awal.
“Awak sayang sungguh dengan sahabat
karib awak tu, ya.” Mariya menjeling sinis kepada Hakimi. “Jangan-jangan
betullah awak putuskan hubungan kita disebabkan Ameer. Lagipun saya nampak awak
sangat intim dengan dia ketika di rumah tadi. Jangan-jangan awak ni…”
“Tuduhlah dengan apa kenyataan
sekalipun. Saya tak peduli.”
Mariya semakin tercabar dengan
sikap Hakimi yang tidak menafikan syakwasangkanya.
“No wonder… Ameer tu kan kacak. Sexy…
Hot… Gorgeous… Popular pula tu. Siapa yang tak bernafsu pandang dia kan.
Jangankan perempuan, lelaki pun boleh goyang.” Mariya menambah lagi dengan niat
mahu menyakiti hati Hakimi. Dia mahu lihat sejauh mana Hakimi mahu
mempertahankan Ameer lagi.
“Dah puas? Atau nak tambah lagi?”
Hakimi nampaknya sangat tenang dan langsung tidak terkesan dengan provokasi
yang dilakukan oleh Mariya. “Saya nak beritahu satu kenyataan tentang Ameer. Sekali
awak membenci dia, sepuluh kali dia akan buat awak jatuh suka kepadanya. Sekali
awak berdendam dengannya, sepuluh kali awak akan gila kerana menyintainya,”
ujar Hakimi beserta senyuman sinis di wajahnya.
“Apa maksud awak?” Wajah Mariya terasa
panas. Dia benci pada dirinya kini kerana perasaan cemburunya membuak-buak
disebabkan Ameer. Kenyataan Hakimi begitu mengguris perasaan wanitanya.
“Terima kenyataan. Hubungan kita
dah putus.”
“Hakimi, awak betul-betul sayangkan
Ameer?”
“Ya, saya sayangkan Ameer. Puas
hati?” Hakimi bangkit lantas berlalu meninggalkan Mariya.
Mariya terkesima. Saat itu terasa
dunianya bagaikan telah gelap. Cinta itu telah dikuburkan tanpa rela. Kelibat
Hakimi yang sudah keluar dari restoran KFC hanya dipandang sayu. Sebak di dada
terasa mencengkam jiwa. Kerinduannya menjadi sia-sia. Jawapan Hakimi yang
sangat berterus terang membunuh terus harapannya.
“Hakimi, saya benar-benar menyintai
awak. Kenapa awak lakukan semua ini terhadap saya?” ada sendu yang cuba
ditahannya. Kelibat Hakimi yang baru memasuki kereta dipandang sayu dari dalam
restoran yang berdinding kaca itu.
Bersambung...
2 comments:
Kak Kaseh ?? DIa org nie Gay ker?? Ameer cute.. Tak sanggup...
nak tau gay atau tak kenalah tunggu setiap bab.... ^__^
Post a Comment