Kawan2 yg saya Sayang

Thursday, January 31, 2013

Aku Bukan Malaikat (Bab 5)


Bab5

LANGKAH kaki Mariya diatur keras melalui lorong pejalan kaki berhampiran bahu jalan raya. Dia sedang menuju ke perhentian bas. Hatinya masih terguris dengan sikap kasar Ameer melayannya tadi. Namun yang lebih perit untuk diterimanya apabila terlihat dengan tidak sengaja adegan mesra diantara Hakimi dan Ameer di rumah itu tadi. Dia langsung tidak menyangka akan terlihat perkara tersebut di hadapan matanya sendiri hari ini.

“Ini tentu satu gurauan.” Dia cuba menyedapkan hatinya walaupun ternyata perkara tersebut amat memberi kesan pada dirinya.

Sebuah kereta hitam tiba-tiba muncul dan berhenti di sebelah Mariya secara mengejut. Langkah kaki Mariya serta merta terhenti sebaik pemandu kereta tersebut keluar dari perut kereta lalu menghampirinya.

“Ikut saya sekejap.” Hakimi memaut pergelangan tangan Mariya lantas menariknya untuk masuk ke dalam kereta Ameer yang dipinjamnya tadi.

“Lepaskan saya!” Mariya merantap kasar tangannya yang dipaut Hakimi. Air mukanya tegang merenung Hakimi dengan tajam. Ada satu kebencian yang sedang terlakar pada wajahnya sebaik bersemuka dengan pemuda itu.

“Jangan degil. Masuk cepat!” Hakimi tidak peduli. Dia tetap memaksa Mariya untuk masuk ke dalam kereta biarpun beberapa kali Mariya meronta tidak mahu menuruti kemahuannya.

Setelah berjaya membawa Mariya masuk ke dalam kereta, Hakimi memecut keretanya di jalan raya.

“Awak nak bawa saya pergi kemana?” Soal Mariya sambil tangannya rakus mahu menghentikan Hakimi dari memecut keretanya. “Hentikan kereta ni sekarang!”

“Kenapa awak cari Ameer?” Hakimi yang sedang memandu langsung tidak menoleh kepada Mariya ketika mengajukan soalannya. Malah tangannya sempat mencengkam pergelangan tangan Mariya untuk menghentikan tindakan gadis itu dari mengganggunya yang sedang memandu. Wajahnya nampak tegang seolah-olah mencurigai niat sebenar gadis tersebut yang tiba-tiba muncul di rumah Ameer tadi.

“Itu urusan saya. Awak tak berhak untuk masuk campur.” Mariya merentap kasar pergelangan tangannya dari pautan Hakimi. Wajah Hakimi tidak dipandangnya lagi. Malah membuang terus wajahnya ke luar tingkap.

“Saya berhak untuk masuk campur jika ia berkaitan dengan Ameer,” tegas Hakimi.

Mariya terpana mendengar kata-kata Hakimi, seolah-olah Ameer lebih penting berbanding dirinya sebagai perempuan yang bernama kekasih. Hal ini mengukuhkan lagi sangkaan awalnya tentang sikap Hakimi yang telah curang di belakangnya.

“Awak dengar sini... saya tak mahu awak cuba libatkan Ameer dengan masalah kita. Jauhkan diri awak dari dia.” Hakimi memberikan amaran keras.

“Saya berhak untuk kenal siapa musuh cinta saya.” Suara Mariya yang mengendur itu kedengaran dingin dan penuh dendam. Sebagai wanita, dia tidak dapat menerima kenyataan apabila kalah pada lelaki lain dalam memenangi cinta. Ia sangat tidak munasabah dan memalukan.

“Awak sanggup datang jauh-jauh dari Ipoh semata-mata nak cari Ameer. Apa tujuan awak, Dhia?” Hakimi tidak menyangka dengan sikap Mariya yang begitu nekad sehingga sanggup turun ke Kuala Lumpur untuk menjejaki Ameer.

“Cinta mampu buat seseorang jadi tidak rasional. Tapi itu normal bagi saya. Awak tu yang tak normal kerana jatuh cinta dengan kaum sejenis awak.” Ekor mata Mariya menjeling tajam ke arah Hakimi yang sedang memandu. Jiwanya penuh dendam terhadap Hakimi yang telah memusnahkan sekali lagi kepercayaannya terhadap lelaki.

Hakimi mengerling Mariya dengan ekor matanya. Dia hanya mampu menggeleng sambil terus memandu. Dia sangat jelas dengan sikap Mariya yang tercabar setelah mendapati musuh cintanya ialah seorang lelaki.

Black Cerry Cowboy yang merupakan nama jolokan untuk kereta kesayangan milik Ameer itu dihentikan di sebuah restoran makanan segera KFC. Mariya keluar dengan rasa terpaksa lantas mengekori Hakimi masuk ke dalam restoran tersebut untuk meneruskan perbincangan mereka.

“Saya dah agak. Awak pasti akan menjejaki Ameer juga. Apa yang awak nak buat, Dhia?” Hakimi merenung tepat wajah gadis itu sebaik duduk di sebuah meja dalam restoran tersebut.

Mariya menarik wajah memandang ke arah lain. Dia benci memandang lelaki dihadapannya itu. Kalau boleh dia mahu meletak satu dinding di meja tersebut agar dia tidak perlu memandang wajah Hakimi.

“Dhia, tolong jangan libatkan Ameer dengan masalah kita. Ameer tak bersalah. Dia tak tahu apa-apa.” Untuk kali yang entah keberapa Hakimi cuba memujuk Dhia Mariya.

“Nama saya Mariya. Dhia dah mati. Awak dah bunuh Dhia!” Keras suara Mariya menegaskan hal tersebut. Dia sengaja mahu membuatkan Hakimi rasa semakin bersalah kerana memutuskan hubungan mereka tanpa sebab yang kukuh.

“Dhia, boleh tak awak rasional. Hubungan kita dah putus dan kita putus dengan cara baik. Kenapa awak tak boleh terima kenyataan ini?” Hakimi berasa kesal kerana Mariya berniat mahu mempergunakan Ameer untuk membalas dendam terhadapnya.

“Terima kasih, Hakimi. Terima kasih sangat-sangat kerana beri harapan palsu kepada saya.” Mariya memang tidak dapat menerima perbuatan Hakimi terhadapnya. Hakimi yang menyatakan janji-janji manisnya mahu menjaga dan menyintainya dengan sepenuh jiwa. Semua itu palsu. Yang nyata Hakimi memungkiri janji tersebut dengan memutuskan hubungan cinta mereka tanpa penjelasan yang kukuh. Mariya tahu, Ameer lah punca Hakimi bertindak begitu. Tentulah Hakimi tidak mahu mengakui hubungan intimnya dengan orang lain kerana orang itu ialah seorang lelaki juga, iaitu Ameer.

“Dhia, saya minta maaf…”

“Mariya… mulai sekarang panggil saya Mariya!” bentak Mariya. Suaranya hampir menarik perhatian pelanggan di restoran tersebut. Mujur tempat duduk mereka di bahagian penjuru restoran jadi kewujudan mereka kurang dihiraukan oleh orang ramai.

“Baiklah… Mariya, saya minta maaf. Percayalah, saya lakukan semua ni demi kebaikan awak. Saya tak boleh teruskan hubungan kita lagi.” Hakimi sudah kekeringan idea hendak memujuk gadis tersebut agar menerima kenyataan tersebut. Putus cinta memanglah sesuatu yang sukar untuk diterima apatah lagi jika tanpa sebab yang kukuh.

“Selama ini saya tak pernah percayakan lelaki. Awak adalah lelaki pertama yang saya percaya tapi awak dah musnahkan kepercayaan saya tu. Terima kasih sekali lagi Hakimi sebab akhirnya saya kembali sedar dari mimpi. Tiada lelaki dalam dunia ini yang boleh dipercayai.” Hati gadis itu benar-benar remuk. Suatu masa dahulu dia membenci lelaki namun sejak kemunculan Hakimi dalam hidupnya perlahan-lahan persepsi buruknya terhadap lelaki berubah. Sayangnya, semua itu hanya sementara apabila Hakimi telah menjadi lelaki yang membunuh perasaannya. Hakimi telah menghidupkan semula api dendamnya terhadap lelaki.

“Mariya, saya putuskan hubungan kita sebab saya tak mahu awak menyesal suatu hari nanti. Percayalah, bukan ini yang saya harapkan selepas tamatkan hubungan kita.”

Whatever… saya tak peduli dengan semua tu.”

Hakimi gagal memujuk Mariya. Mariya telah kembali ke dalam dunia gelapnya. Suatu ketika dahulu Mariya membenci lelaki. Bukan sekadar membenci malah mendendami seorang lelaki. Akibat menjadi mangsa seorang lelaki yang bernama ayah, hidup Mariya diselubungi kegelapan. Hakimi telah berjaya memberi sinar dalam hidup gadis itu namun akhirnya dia juga yang telah mengecewakan impian bahagia Mariya. Bukan niatnya mahu menolak Mariya tetapi dia tidak mahu impian bahagia yang dicari Mariya musnah disebabkan dirinya. Maka sebelum terlambat dia mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan cinta mereka.

Wajah Mariya yang semakin dingin berhadapan dengannya itu terus ditatap. Rambut Mariya yang hitam berkilat itu terbiar lepas bebas. Sebahagian rambutnya melindungi wajah mulus itu. Sepasang mata sepet Mariya masih lagi galak apabila memerhati sesuatu. Namun mata itu tidak lagi mahu memandang ke arah Hakimi kerana kini Mariya sangat membencinya. Hakimi pasrah. Jika kebencian itu mampu menghapuskan dirinya dari kotak memori Mariya. Cuma dia harap Mariya tidak kembali membenci lelaki. Dia sangat berharap Mariya tidak menjadikan Ameer sebagai mangsa dendamnya terhadap lelaki.

Mata Hakimi jatuh memandang batang leher Mariya. Dia perasan sesuatu di leher Mariya lantas menegur.

“Mana rantai leher awak?”

Secara tidak langsung Mariya meraba lehernya. Rantai leher berloket anak kunci itu tidak pernah ditanggalkan dari lehernya selama ini. Tentulah Hakimi sedar kerana loket anak kunci itu adalah pemberian Hakimi kepadanya.

“Jangan buang anak kunci tu.”

“Itu barang saya. Suka hati saya nak pakai atau nak buang. Tak ada kena mengena dengan awak.” Secara tidak langsung ingatan Mariya kembali ke rumah Ameer. Dia gagal mendapatkan semula rantai lehernya disebabkan Hakimi tadi.

“Baiklah… terpulang pada awak nak buat apapun. Cuma jangan libatkan Ameer. Ini amaran keras dari saya.” Kilauan mata Hakimi yang merenung tepat ke arah Mariya membuatkan Mariya berasa tercabar.

“Oh, takutnya…” suara Mariya kedengaran mengejek. Dia semakin jengkel dengan sikap Hakimi yang sentiasa cuba mempertahankan Ameer sejak dari awal.

“Awak sayang sungguh dengan sahabat karib awak tu, ya.” Mariya menjeling sinis kepada Hakimi. “Jangan-jangan betullah awak putuskan hubungan kita disebabkan Ameer. Lagipun saya nampak awak sangat intim dengan dia ketika di rumah tadi. Jangan-jangan awak ni…”

“Tuduhlah dengan apa kenyataan sekalipun. Saya tak peduli.”

Mariya semakin tercabar dengan sikap Hakimi yang tidak menafikan syakwasangkanya.

No wonder… Ameer tu kan kacak. SexyHotGorgeous… Popular pula tu. Siapa yang tak bernafsu pandang dia kan. Jangankan perempuan, lelaki pun boleh goyang.” Mariya menambah lagi dengan niat mahu menyakiti hati Hakimi. Dia mahu lihat sejauh mana Hakimi mahu mempertahankan Ameer lagi.

“Dah puas? Atau nak tambah lagi?” Hakimi nampaknya sangat tenang dan langsung tidak terkesan dengan provokasi yang dilakukan oleh Mariya. “Saya nak beritahu satu kenyataan tentang Ameer. Sekali awak membenci dia, sepuluh kali dia akan buat awak jatuh suka kepadanya. Sekali awak berdendam dengannya, sepuluh kali awak akan gila kerana menyintainya,” ujar Hakimi beserta senyuman sinis di wajahnya.

“Apa maksud awak?” Wajah Mariya terasa panas. Dia benci pada dirinya kini kerana perasaan cemburunya membuak-buak disebabkan Ameer. Kenyataan Hakimi begitu mengguris perasaan wanitanya.

“Terima kenyataan. Hubungan kita dah putus.”

“Hakimi, awak betul-betul sayangkan Ameer?”

“Ya, saya sayangkan Ameer. Puas hati?” Hakimi bangkit lantas berlalu meninggalkan Mariya.

Mariya terkesima. Saat itu terasa dunianya bagaikan telah gelap. Cinta itu telah dikuburkan tanpa rela. Kelibat Hakimi yang sudah keluar dari restoran KFC hanya dipandang sayu. Sebak di dada terasa mencengkam jiwa. Kerinduannya menjadi sia-sia. Jawapan Hakimi yang sangat berterus terang membunuh terus harapannya.

“Hakimi, saya benar-benar menyintai awak. Kenapa awak lakukan semua ini terhadap saya?” ada sendu yang cuba ditahannya. Kelibat Hakimi yang baru memasuki kereta dipandang sayu dari dalam restoran yang berdinding kaca itu. 

Bersambung...

2 comments:

hahsana said...

Kak Kaseh ?? DIa org nie Gay ker?? Ameer cute.. Tak sanggup...

Kaseh Esmiralda said...

nak tau gay atau tak kenalah tunggu setiap bab.... ^__^