BAB 1
Di suatu malam yang hening lagi sunyi, seorang gadis menuju ke sebuah rumah banglo di kaki bukit. Hanya rumah itu sahaja yang dilihatnya di sekitar kawasan situ. Dan nampaknya rumah tersebut berpenghuni memandangkan lampu di dalam rumah tersebut menyala. Oleh kerana jalan masuk ke banglo tersebut sempit maka dia meninggalkan keretanya di hujung jalan.
Bayu malam yang menghembus memukul tubuhnya yang kurus. Rambut panjangnya yang dibiar lepas itu berlari-lari dipukul angin malam yang menyeramkan. Dia memeluk tubuh yang kedinginan. Sempat dia mendongak memandang langit. Hatinya rusuh apabila melihat rembulan yang semakin hilang dilitupi awan hitam. Sekali-sekala kedengaran guruh di kaki langit yang bagai memberi amaran bahawa hujan akan turun tidak lama lagi.
Dia melangkah pantas menuju ke pintu besar rumah banglo itu. Dia berharap akan segera mendapat perlindungan di situ. Walaupun dikenali dengan sifat berani oleh teman-temannya tapi hari ini keberaniannya itu seolah-olah telah hilang. Malam ini sangat berbeza dari hari biasa. Jika bukan terpaksa dia sendiri tidak mahu bergerak secara solo. Teman-teman yang lain tentu sudah selamat sampai dahulu ke destinasi yang sepatutnya.
Tok! Tok! Tok!
Beberapa kali pintu rumah tersebut diketuk. Hatinya semakin gelisah apabila setiap ketukan tidak memberi reaksi penghuni rumah tersebut. Sambil terus mengetuk pintu dia melihat sekeliling halaman rumah yang agak terbiar. Rumput lalang tumbuh di merata-rata dan apabila melihat cat di dinding rumah yang telah ditumbuhi lumut hijau jelaslah yang rumah tersebut sudah usang. Pintu pagarnya sudah berkarat dan hampir hendak tercabut. Pagar dawai disekeliling kawasan rumah pula dijalari oleh tumbuhan menjalar dan ada juga bahagian-bahagian yang sudah berlubang dan rosak.
Terdetik di hatinya adakah rumah ini didiami manusia ataupun, err… dia tidak berani hendak meneka sembarangan. Segera dibuang perasaan sangsinya itu memandangkan dia mahu mendapatkan pertolongan daripada tuan rumah banglo itu.
Pintu yang terbuka tiba-tiba itu mengejutkan Mirna yang asyik mengetuk pintu dari tadi. Sepasang lelaki dan wanita muncul di hadapannya. Lelaki berkopiah lusuh itu hanya bersinglet pagoda dan berkain pelikat. Matanya merenung tajam ke arah Mirna. Usianya yang sudah lanjut menampakkan kedut-kedut di sekitar leher dan wajahnya. Mirna yang sedikit cuak melangkah setapak ke belakang. Pandangannya ditumpahkan pula kepada wanita muda di sebelah lelaki tersebut.
“Siapa awak ni?” Soal wanita yang dalam lingkungan 20-an itu. Wajahnya yang serius menutup kejelitaan yang patut ada pada gadis muda sepertinya.
Mirna meneliti wanita yang menyanggol kemas rambutnya itu. Dia berkebaya pendek dan berkain batik. Ada tanda lahir yang besar di bahagian kiri dahinya dan parut yang jelas di pipi kirinya. Tiada sebarang solekan yang dikenakan pada wajahnya. Mirna terasa seram melihat riak wajahnya yang serius. Namun dia terpaksa juga memberanikan diri untuk memberitahu hajat kedatangannya yang mungkin telah mengganggu mereka berdua itu.
“Er… err… sa-saya… saya tersesat.” Cakapnya dalam gagap yang tidak dapat dikawal.
Lelaki tua tadi menoleh memandang wanita di sebelahnya. Wanita itu pula sekadar melirik kepada lelaki tua itu sebelum kembali memandang Mirna.
“Erm… nama saya Mirna. Saya nak ke villa Teratak Bisu tapi saya dah tersesat. Ee… erm… hari dah jauh malam. Bo… boleh tak kalau saya tumpang bermalam di sini?” jelas Mirna takut-takut.
Wanita tadi tidak terus memberi jawapan sebaliknya dia menarik lelaki tua di sebelahnya itu masuk ke dalam rumah. Dia juga dengan segera menutup pintu rumahnya.
“Eh, cik! Pakcik! Tuan! Eh, puan…!” Mirna kelam kabut cuba membuka pintu tersebut. Dia mengetuk bertalu-talu pintu yang sudah tertutup rapat itu. Dia panic ditinggalkan sendirian di luar rumah yang menyeramkan itu.
“Cik, tolong buka pintu! Tolonglah benarkan saya bermalam di sini. Tolonglah!” rayunya sambil terus mengetuk pintu tersebut bertalu-talu. Dia hampir menangis apabila tidak diendahkan oleh kedua-dua mereka.
Tiba-tiba pintu besar itu terbuka semula. Wanita tadi muncul tanpa lelaki tua tadi. Dia meneroka diri Mirna dengan lebih terperinci. Dari hujung rambut sehingga hujung kaki. Wajahnya tetap dingin seperti tadi namun Mirna lega apabila wanita berkebaya biru dengan taburan bunga-bunga kecil itu sudi membuka semula pintunya.
Wanita tersebut menarik daun pintu luas-luas. Tangan kanannya didepangkan ke dalam. Mirna tersenyum kerana telah dijemput masuk ke dalam rumah tersebut. Setelah dia masuk, wanita itu menutup semula pintu rumah rapat-rapat sebelum mengancingnya.
Mirna berdiri kaku di tengah ruang tamu. Selagi tidak dipelawa untuk duduk selagi itu dia akan terus berdiri di situ.
“Sila duduk.” Kata wanita itu mendatar.
Mirna menoleh kepada wanita tadi yang sudah berdiri di belakangnya. Dia tidak berani bersuara lantas di sofa antik di situ. Wanita itu meninggalkannya sendirian. Mirna tidak pasti dia hendak kemana. Mungkin ke dapur yang telah dipisahkan oleh lawan tanpa pintu yang hanya dihiasi langsir jarang itu.
Mata Mirna meneroka ruang dalam rumah besar itu. Walaupun halaman rumah itu agak terbiar namun Mirna kagum melihat tata rias di dalam rumah itu. Nampak kemas dan teratur. Tentu wanita muda tadi yang menghias ruang dalam rumah tersebut. Semua perabotnya sudah lama dan antik. Tiada televisyen tapi Mirna terdengar suara radio yang sekejap kuat sekejap perlahan dari satu ruang. Mirna cuba mengintai sudut rumah yang telah terpisah dengan ruang tamu itu.
Dia nampak pakcik tua tadi sedang duduk di kerusi malas sambil tubuhnya dirapatkan pada corong radio lama berwarna kelabu itu. Tangan kanannya sedang memutar-mutar punat radio mencari siaran. Mirna asyik melihat gelagat lelaki tua itu yang khusyuk dengan aktivitinya dan tidak langsung sedar akan kehadirannya. Sekejap dia menyentuh punat sebelah kiri dan sekejap pula memulas punat yang sebelah kanan. Adakala juga dia menggoyang-goyangkan area dan adakala juga mengetuk-ngetuk radio buruk itu. Akhirnya pakcik tua itu puas hati dengan siaran yang diperolehinya. Dikuatkan radio tersebut pada kadar volume yang disukainya lalu dipeluk dan dilekapkan ke telinganya. Kuat sungguh sehingga Mirna terpaksa menahan telinganya sekejap. Kerusi malas itu bergoyang-goyang setelah lelaki itu bersandar pada tubuhnya. Mirna hanya memandangnya dengan pelik sebelum berpaling untuk kembali pada tempat yang didudukinya tadi.
“Ahh!!” Mirna terkejut apabila wanita berparut tadi sedang berdiri di belakangnya. Wanita tersebut memandangnya kaku sebelum berjalan ke ruang tamu untuk meletakkan cawan yang berisi kopi panas buat Mirna.
“Jemput minum.” Ujar wanita tersebut sambil sempat mengerling ke arah Mirna yang sedang mengurut-ngurut dada meredakan rasa terkejutnya tadi.
Melihat wajah kaku wanita tersebut, Mirna serba salah lantas segera mengukir senyuman sebelum melangkah ke tempat duduk.
“Terima kasih.” Ucap Mirna kepada wanita itu.
“Saya akan hantar awak ke bilik selepas ini.” Kata wanita itu.
Mirna mengangguk sebelum mengucapkan terima kasih. Dia mengangkat cawan seramik yang berisi kopi panas yang masih berasap itu. Dia mengambil baunya sahaja memandangkan ia masih terlalu panas.
Wanita yang masih belum memperkenalkan dirinya itu hendak melangkah meninggalkan Mirna.
“Tunggu!” Mirna segera menghalangnya.
Wanita tersebut menoleh kepadanya.
“Boleh saya tanya beberapa soalan?”
Wanita itu diam dan terus merenung Mirna. Mirna menganggap wanita itu sudi menjawab bertanyaannya lalu dia menyambung lagi.
“Err… apa yang patut saya panggil nama cik?”
“Panggil saya Melati.”
“Melati… erm, Melati tahu tak dimana letaknya villa Teratak Bisu?” Tanya Mirna.
Melati diam. Wajahnya tetap kaku dan dingin. Sebentar kemudian dia berpaling semula dari menatap Mirna.
“Saya nak kemas bilik untuk awak tidur malam ini.” Ujarnya tanpa menjawab pertanyaan Mirna tadi. Dia melangkah menuju ke anak tangga.
Setelah kelibat Melati hilang, Mirna melepaskan keluhan panjang. Air kopi yang masih belum dihirupnya itu diletak kembali di atas meja rotan di hadapannya. Dia bersandar pada belakang kerusi antik buatan kayu jati itu.
“Perempuan yang sangat dingin dan lelaki tua yang pelik. Aku harap dapat tinggalkan tempat ni secepat mungkin pagi esok… tapi dimana villa Teratak Bisu tu? Huh… aku tak boleh pulang selagi tak dapatkan maklumat tentang villa misteri tu. Teruk betul assignment kali ini.” Mulut Mirna terkumat-kamit sendirian di situ. Perlahan-lahan dia menghirup air kopi yang sudah kurang panasnya itu. Muzik keroncong dari corong radio lelaki tua tadi menjadi muzik latar di dalam rumah besar itu.
Beberapa minit kemudian Melati muncul lagi. Dia tidak mengendahkan Mirna sebaliknya pergi mendapatkan lelaki tua yang sedang berehat di kerusi malasnya sambil memeluk radio. Mirna hanya memerhatikan gelagat wanita tersebut.
“Tuan… tuan…” Panggil Melati tetapi lelaki tua itu tidak menghiraukannya. Nampaknya lelaki itu sangat khusyuk dengan radionya. Melati menyentuh pula bahunya.
Lelaki itu terkejut lantas menoleh kepada Melati.
“Tuan… mari… masuk… tidur!” Ujar Melati satu persatu sambil menunjukkan isyarat tidur kepada lelaki itu. Barulah Mirna faham yang sebenarnya lelaki tua itu tuli sebab itulah dia nampak pelik sejak dari tadi.
Si tua yang masih memeluk radionya itu menggeleng kepala.
“Hari… sudah… jauh malam… tuan… mesti… masuk tidur!” Kata Melati lagi dengan kuat dan jelas. Percakapannya disebut satu-persatu.
Mirna hanya menyaksikan situasi itu. Dalam mindanya sedang menafsir sesuatu. Selain daripada pekak, mungkin lelaki tua itu juga bisu.
Setelah dipujuk beberapa kali akhirnya lelaki itu menurut kata Melati. Dia meletakkan radio buruknya di meja di sebelah kerusi malas. Kemudian dia bangkit perlahan-lahan dari kerusinya. Melati memimpin lelaki itu menuju ke biliknya yang terletak di sebelah dapur. Mirna terus menyaksikannya sehingga kelibat Melati dan lelaki itu hilang. Tak lama selepas itu Melati keluar semula dari bilik tersebut dan menghampiri Mirna.
“Saya tunjuk bilik untuk awak.” Ujar Melati sebelum berjalan menuju ke tangga.
Mirna segera mengambil begnya yang ditinggalkan di kaki kerusi dan segera mengekori Melati.
Di tengah anak tangga tiba-tiba Melati berhenti dan menoleh kepada Mirna yang mengekorinya di belakang. Hati Mirna berdebar-debar. Apa pula kali ini agaknya…
“Tolong ikat rambut awak. Tuan muda benci perempuan berambut panjang.” Katanya dengan matanya bulat memandang Mirna.
Mirna telan liur. Renungan tajam Melati benar-benar berjaya menakutkannya. Dia segera mengikat rambutnya menggunakan getah rambut di pergelangan tangannya.
Sampai di tingkat ke tiga Melati membukakan sebuah pintu bilik untuk Mirna. Mirna tidak masuk. Dia menunggu Melati masuk dahulu tapi nampaknya Melati mahu Mirna masuk sendiri. Lalu perlahan-lahan Mirna melangkah ke dalam ruang bilik tersebut.
Bilik yang sederhana luas itu kelihatan kemas teratur. Mungkin Melati yang telah mengemaskannya tadi. Fikir Mirna.
“Awak boleh bermalam di sini tapi awak mesti tinggalkan tempat ini awal pagi esok. Tempat ni tak selamat untuk orang luar.” Ujar Melati yang berdiri di lawang pintu.
Hmm, memang pun aku nak cepat-cepat tinggalkan rumah ni esok… Mirna bersuara di dalam hati.
“Er… terima kasih, Melati.” Ucap Mirna.
Melati sekadar mengangguk.
“Erm… awak kenal tak dengan Orang Kaya Dharma?” Mirna mengambil kesempatan itu untuk bertanya lagi kepada Melati.
Air muka Melati berubah. Dia seperti tidak menyenangi sikap Mirna yang suka bertanya itu. Namun akhirnya dia tetap bersuara.
“Kenapa awak Tanya tentang Orang Kaya Dharma? Apa hubungan awak dengan dia?” Soal Melati pula kepada Mirna.
“Tak, sebenarnya saya sedang menyiapkan satu tugasan. Saya perlu dapatkan beberapa maklumat dari Orang Kaya Dharma untuk assignment ini. Melati tahu dimana boleh saya cari dia? Atau mungkin Melati tahu dimana letaknya villa Teratak Bisu yang saya tanya tadi?”
Melati diam seakan sedang memikirkan sesuatu.
“Erm… awak tinggal berdua sahaja ke dalam rumah yang besar ni?” Mirna terpaksa menukar tajuk perbualan apabila mendapati Melati seolah-olah tidak ingin hendak menjawab soalannya tadi.
“Tak… ada tiga orang dalam rumah ni.”
“Err… siapa lagi seorang?” Tanya Mirna lagi cuba terus memancing Melati untuk berbual dengannya.
Melati merenung anak mata Mirna tanpa ingin memberikan jawapannya.
“Oh, ya… tuan muda awak kan.” Akhirnya Mirna menjawab sendiri pertanyaannya itu. Nampaknya Melati bukan seorang yang mesra dan mudah bercerita. Mirna perlu mencari ikhtiar lain agar melati tidak terlalu dingin melayannya.
“Erm, kenapa tingkat kedua rumah ni gelap gelita? Saya rasa awak patut pasang satu lampu di situ. Saya rasa seramlah bila lalu di kawasan tu.” Mirna ingat lagi semasa mereka berdua melalui tingkat kedua rumah ini tadi. Tiada satu cahaya pun yang menerangi lorong tersebut. Dia juga berasa seram sejuk tatkala terpandang sebuah potret wanita di dinding laluan ke tangga tingkat teratas tadi. Ditambah pula dengan suara pelik yang muncul dari tempat gelap tersebut. Meremang bulu tengkuknya.
“Melati, awak tinggal di bilik mana?”
“Kenapa? Awak takut?”
Takut? Sorry sikit. Tak ada apa yang aku takutkan dalam dunia ni tau. Hatinya bercakap sendiri membidas tuduhan Melati.
“Tiada apa yang patut awak takutkan melainkan tuhan yang maha Esa.” Ujar Melati tenang. “Melainkan kalau awak cuba lakukan sesuatu yang tuan muda tak suka, awak tak perlu takut apa-apa.” Tambahnya sebelum berlalu meninggalkan Mirna.
“Melati, tunggu!” Mirna bergegas ke muka pintu untuk menghalang Melati.
“Kalau awak lapar atau haus, awak boleh turun sendiri ke dapur. Awak makanlah apa-apa saja yang ada di dalam peti makanan. Kalau awak nak ke tandas, awak terpaksa turun ke bawah juga sebab tandas di tingkat ni dah tersumbat. Tandas berada di sebelah dapur.” Melati seakan tahu apa yang sedang difikirkan oleh Mirna. Setelah memberitahu perkara tersebut Melati segera menuju ke tangga dan mendaki turun ke bawah.
Setelah Melati pergi Mirna menutup kembali pintu bilik. Dia menuju ke ruang tingkap. Langsir yang menghalang pemandangan luar tingkap sengaja diselak luas ke tepi. Tiba-tiba sesuatu yang tidak diduganya muncul dari luar tingkap.
“Arghh!!” Tanpa sempat mentafsir apakah lembaga tersebut Mirna terus menjerit semahu-mahunya. Dia yang terlalu ketakutan itu menutup wajahnya dan berlari ke bawah katil sambil terus menjerit.
“Ngeow~” Bunyi tersebut seakan menyedarkan Mirna yang seakan kerasukan tadi. Dia berhenti menjerit. Tangan yang menutup seluruh wajah dibuka perlahan-lahan. Dia memberanikan diri untuk memandang ke jendela tadi.
“Kucing?!” Mirna kelegaan apabila melihat kucing hitam di luar jendela tersebut sedang cuba hendak membuka jendela yang terkunci dari dalam itu.
Mirna tertawa sendiri. Bodoh betul… mana perginya Mirna yang sangat berani selama ini? Dengan kucing pun takut. Teruk betul…
Perlahan-lahan dia merangkak keluar dari bawah katil tersebut. Tanpa Mirna sedari ada sesuatu di bawah katil tersebut yang sedang memerhatikannya. Matanya merah dan terjegil hampir hendak terkeluar. Pandangan itu seolah-olah sangat marah dengan perbuatan Mirna tadi. Tangan yang kurus bagaikan hanya tinggal tulang dan kulit itu bergerak. Jarinya runcing dan panjang. Kukunya yang kotor itu panjang dan tajam. Ia bergerak hendak menggapai kaki Mirna. Perlahan-lahan ia bergerak agar kewujudannya tidak disedari oleh Mirna. Mirna sedang mengesot perlahan-lahan untuk keluar dari bawah katil itu dan tangan tadi juga sedang berusaha untuk menangkap kaki Mirna sehingga akhirnya…
“Dang Wangi~!”
“Ya, boss!” Dang Wangi yang terkejut dengan panggilan tersebut segera menutup buku yang dibacanya dan disorok di belakang tubuh. Dia segera bangkit dari duduknya apabila Mr. Allen sudah tercegat di hadapannya.
“Apa yang you sedang buat?” soal lelaki cina berkumis nipis itu.
“Tak ada apa-apa, boss… err, bukan. Sebenarnya tengah susun buku, boss.” Dang Wangi cepat-cepat membetulkan jawapannya. Buku yang bertajuk Misteri Teratak Bisu tadi masih berada di belakangnya. Dia cuba menyembunyikannya daripada Mr. Allen yang tidak suka pekerjanya mencuri baca buku-buku keluaran terbaru di kedainya.
“You susun buku atau curi-curi membaca?” Soal Mr. Allen sinis.
“Err…” Dang Wangi mula menggelabah. “Sorry, boss. Saya janji ini kali terakhir. Saya tak kan buat lagi lepas ni.” Dang Wangi menutup rasa kesalnya dengan senyuman yang tidak berapa menjadi. Buku novel yang disorok di belakangnya tadi sudah dikeluarkan kerana Mr. Allen sudah tahu perbuatannya itu.
“Buat kerja… atau lepas ni saya akan potong gaji awak kalau saya dapati awak membaca dalam waktu kerja.” Lelaki awal 40-an itu memberi amaran kepada pekerjanya.
“Hah? Janganlah buat macam tu, boss. Kesianlah kat saya.” Dang Wangi cuak dengan ugutan majikannya.
Mr. Allen senyum sinis sambil mengerling Dang Wangi dengan penuh makna. Dang Wangi menundukkan kepala perlahan-lahan menyesali perbuatan salahnya tadi. Majikannya itu tidak berkata apa-apa lagi. Dia melangkah meninggalkan Dang Wangi dengan harapan Dang Wangi tidak lagi mengulangi kesilapan biasanya itu.
Dang Wangi yang asyik menunduk takut sejak tadi kembali mengangkat wajah setelah Mr. Allen pergi. Lelaki berbangsa Tiong Hwa itu masih diperhatikan dari jauh. Senyuman nakal bergayut di bibir merahnya tanda dia bakal mengulangi tabiatnya yang suka mencuri baca di kedai buku tempat kerjanya itu nanti.
Setelah Mr. Allen hilang dari pandangan Dang Wangi memandang kembali buku di tangannya. Buku Misteri Teratak bisu itu diletak kembali ke tempat asalnya. Dia kembali melakukan tugasnya menyusun buku-buku baru di rak tersebut.
Namaku Dang wangi… (pembaca: tipulah. Tak percaya!) Betul! Tak percaya check IC aku. Atuk yang beri nama tu. Waktu itu atuk dan nenek tengok pementasan teater Puteri Hang Lipo. Mereka tertarik pada wanita yang membawa watak Dang Wangi, dayang istana yang dihadiahi sultan kepada Puteri Hang Lipo. Lalu dengan kuasa seorang datuk, atuklah yang menamakan cucu sulungnya. Jadi cucu yang bertuah tu adalah aku.
Mak dan abah aku dah tak ada. Mereka telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dan telah meninggal dunia lima tahun lalu. Sebagai anak sulung, aku memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga yang memimpin dan membela adik-adikku.
Bijak, sensetif dan skema… tiga gambaran pertama untuk Suci Liasari, anak kedua keluarga ini. Dia agak pendiam tapi mudah mempamer perasaannya apabila sedih atau gembira. Sebagai adik, dia paling memahami aku. Dia seorang yang berdikari tapi adakala sifatnya kurang matang. Hatinya mudah tersentuh dan akan menangis hanya kerana perkara-perkara kecil yang tak masuk akal.
“Suci, kau akan lewat ke kuliah kalau terus termenung di depan almari tu.”
Suci menoleh kepada Dang Wangi yang sedang berdiri di pintu bilik. Air matanya penuh membasahi pipi.
“Cepatlah bersiap!” Marah Dang Wangi.
Suci yang masih bertuala itu bangkit dari duduknya lantas menghampiri kakaknya.
“Kak, Suci tak ada baju nak pakai.” Katanya dalam esak tangis yang masih bersisa.
“Ha?!” Dang Wangi menggaru kepala kepelikan. Dia menghampiri almari pakaian untuk memastikan kata-kata Suci.
“Suci, ini semua bukan baju ke?” Dang Wangi membuka pintu almari seluasnya mempamer semua baju Suci yang memenuhi almari sempit itu.
“Maksud Suci, tak ada satupun pakaian yang sesuai nak pakai dengan selendang yang Laila hadiahkan ni.” Jawab Suci sambil menunjukkan selendang warna hijau lumut yang tergantung di henger di tingkap.
Dang Wangi mengetuk kepala sendiri. Geram!
“Kalau macam tu, kau pakai sajalah baju lain. Tak payahlah nak match-match dengan selendang baru tu.” Usul Dang Wangi.
“Mana boleh! Kalau Laila kecil hati, Suci juga yang susah. Kakak nak ke tolong pujuk Laila kalau dia merajuk Suci tak pakai selendang yang dia bagi ni.”
Dahi Dang Wangi berkerut. Takkanlah sampai nak merajuk pula. Takkanlah sensetif sangat kawan dia tu. Lainlah kalau dia… hmm, tak pelah… biar aku tolong pilihkan baju yang sesuai.
Dang Wangi menyelak satu persatu baju-baju yang tergantung di dalam almari kayu itu. Dia mengambil sepasang baju kurung dan di pamerkan kepada Suci.
“Apa kata kalau pakai baju ni?”
Suci mengelus-ngelus dagu. Sedang membuat pertimbangan.
“Okeylah baju ni. Masuk apa kalau pakai dengan selendang ni.”
“Tak… langsung tak sepadan.” Rungutnya.
Dang Wangi mengeluh geram.
“Kakak malas nak layan kaulah Suci. Lebih baik kau pakai apa saja yang ada atau kau tak payah pergi kuliah. Kakak pun nak pergi kerja ni.” Dang wangi melempar pakaian tadi ke atas katil sebelum meninggalkan Suci.
“Kakak, tunggu!” Suci lekas-lekas menghalang Dang Wangi. “Janganlah pergi dulu. Matilah Suci kalau kakak tak tolong Suci.” Ujarnya sambil merangkul erat tubuh kakaknya.
“Habis tu nak pakai juga selendang yang tak boleh match dengan mana-mana baju tu?”
“Suci dah janji dengan Laila.”
Huh~ Dang Wangi mengeluh memikirkan sikap Suci yang terlalu memikirkan perasaan sahabatnya. Entah-entah si Laila tu tak kisah pun kalau Suci tak pakai selendang tu hari ni. Masalah jiwa betullah adik aku yang seorang ni…
“Suci sayang… percayalah pada kakak. Laila tak kan marah kalau kau tak pakai selendang ni hari ni. Sekarang kau pakai saja selendang lain atau kalau kau nak pakai juga selendang Laila ni, kau pakailah dengan baju yang kakak pilih tu.” Pujuk Dang Wangi.
“Boleh ke?”
Dang Wangi mengangguk sungguh-sungguh demi meyakinkan Suci.
“Tapi kalau Laila tanya?”
“Beri tahulah yang kau tak ada baju yang sesuai dengan selendang tu.”
“Kalau dia tak percaya?”
“Suci, seorang sahabat mesti mempercayai temannya. Kalau Laila teman sejati, dia mesti percayakan kau.” Dang Wangi meyakinkan adiknya.
Suci termenung lagi. Dia masih dalam pertimbangan. Dang Wangi hampir hilang sabar. “Ala, kalau susah sangat kau rekalah apa-apa alasan. Asalkan dia tak fikir yang bukan-bukan!”
“Tapi Suci tak pandai berbohong.”
“Aku tak suruh kau berbohonglah!” Dang Wangi hampir hendak mengetuk kepala Suci kerana kedunguan adiknya itu. “Macam ni, apa kata kau beritahu dia yang kau nak pakai selendang tu pada hari-hari yang istimewa saja sebab ia hadiah yang istimewa daripada teman yang istimewa macam Laila.” Akhirnya Dang Wangi memberikan cadangan.
“Macam mana? Okey tak cadangan aku tu?” Tambah Dang Wangi lagi apabila tiada reaksi daripada Suci.
“Erm…” Suci merenung Dang Wangi dan akhirnya dia tersenyum kemudian mengangguk.
Akhirnya Dang Wangi berjaya memujuk adiknya itu. Settle satu problem…
Degil, keras hati, mudah tercabar… itu pula sifat Qaseh Ratnasari. Dia bakal menduduki peperiksaan SPM tahun hadapan. Aku paling risaukan dia sebab dia selalu menimbulkan macam-macam masalah. Tak kiralah di rumah ataupun di sekolah. Dia seorang yang berfikiran ringkas dan paling benci dengan orang yang cuba bersimpati terhadap dirinya; biasanya guru-gurunya. Dia jarang berfikir sebelum melakukan suatu tindakan. Disebabkan itu dia sering dipanggil masuk ke bilik kaunseling. Dan aku paling geram bila sampai tahap kena panggil pihak sekolah disebabkan Qaseh.
“Kau faham apa yang cikgu Haslam terangkan tu?” Soal George kepada Qaseh yang menjadi teman semejanya.
Qaseh yang sedang menumpukan perhatian pada penerangan yang telah melencong dari tajuk sebenar itu tidak menghiraukan temannya. Dahinya berkerut-kerut mendengar setiap patah perkataan daripada cikgu Haslam. Giginya mengetap bibir dan adakala mulutnya berdecit-decit menandakan dia tidak berpuas hati. Masa satu jam subjek Sejarah itu terbuang dengan sia-sia kerana cikgu Haslam bukannya mengajar sebaliknya berleter tentang sikap pelajarnya.
“Qaseh, kau tak tension ke? Bila masa kita nak mulakan kelas kalau dia asyik berleter saja.” George merungut lagi.
Kali ini Qaseh menoleh kepada sahabatnya.
“Aku sepuluh kali lagi tension daripada kau tau. Kau nak tengok apa yang aku buat bila aku tension?” Ujar Qaseh seraya mencapai bekas alat tulis George di atas meja.
“Woi, kau nak buat apa?” George curiga apabila melihat anak mata Qaseh yang nampak tidak puas hati itu. Dan tanpa sempat George menghalang, Qaseh telah membaling bekas alat tulisnya ke papan hitam dengan sekuat hati.
Semua orang tergamam apatah lagi cikgu Haslam yang hampir terkena bekas alat tulis tersebut. Mata cikgu Haslam sedang memandang tepat ke arah Qaseh yang sedang berdiri di tempat duduknya sambil membalas renungan guru lelaki itu. Semua pelajar masih terkejut dengan tindakan drastik Qaseh. Mereka semua turut memberi perhatian kepada teman mereka itu.
“Awak dibayar setiap bulan untuk mengajar pelajar di sekolah ini. Jadi sila jalankan tanggungjawab awak tu. Kami semua tak faham apa-apa yang cikgu cuba sampaikan. Cikgu mengajar atau membebel?” Kata Qaseh dengan berani meluahkan perasaannya yang sudah lama terpendam itu.
Dia melangkah keluar dari tempat duduknya dan menuju ke pintu belakang sebelum keluar meninggalkan kelas. Semua mata tertumpu kepadanya sehingga kelibatnya hilang dari pandangan semua orang.
George senyum meleret biarpun bekas alat tulisnya telah menjadi mangsa kekejaman Qaseh. Tiba-tiba sahaja kelas gamat setelah Qaseh keluar. Cikgu Haslam pula seakan tidak senang berdiri. Dia mencapai buku-bukunya dan keluar dari kelas tersebut dengan segera. Mungkin dia sangat malu diperlakukan sebegitu oleh anak muridnya.
“Berani gila Qaseh tu. Dia lupa ke siapa cikgu Haslam tu? Orang kuat unit Bimbingan dan Kaunseling tau.” Nadiah memusing tubuh ke belakang dan mula mengulas tentang tindakan temannya itu dengan George.
George hanya tersenyum penuh makna sambil menyimpan buku-bukunya ke dalam laci meja.
“Apasal kau tak halang tindakan dia tadi, George. Memang cari nahas betullah Qaseh ni.” Aleeya di sebelah Nadiah nampak risau.
“Mana sempat. Tiba-tiba je dia bangun dan baling pencil case aku. Itupun nasib baik tak kena tepat ke muka cikgu Haslam tau.” Ujar George sebelum bangun untuk mengambil semula bekas alat tulisnya yang masih berada di hadapan kelas.
“Masaklah dia nanti tu.” Ujar Kamal yang kebetulan mendengar perbualan itu.
“Ala, apa nak hairan. Dia kan dah selalu bertandang ke bilik disiplin.” Ujar George selamba sambil kembali ke tempat duduknya.
“Ha’ah, betul juga. Pandailah dia nak lepaskan diri nanti tu. Tak payahlah kita semua risaukan dia. Betul tak kawan-kawan?!” Lisa juga masuk campur dalam perbincangan yang akhirnya melibatkan satu kelas itu. Berbagai-bagai ulasan yang mereka buat tentang kejadian yang mengejutkan daripada Qaseh tadi.
“Heh, dia pernah ke terlepas daripada tindakan disiplin. Kalau terlepas tu kira nasib baiklah. Bukankah kita yang selalu back up dia, betul tak, Leeya?” Nadiah berbisik perlahan kepada teman baiknya di sebelah.
“Ha’ah… betul juga kan.” Aleeya mengangguk-angguk bersetuju dengan pendapat Nadiah.
“Habis tu apa kita nak buat untuk tolong dia?” Soal George.
Masing-masing diam dan mula memikirkan ikhtiar untuk membantu Qaseh. Lama… sehinggalah akhirnya nadiah kembali bersuara.
“Confirm kakak dia akan kena panggil lagi dengan pihak sekolah.”
“Huh~” Ketiga-tiga mereka mengeluh panjang sehinggalah Qaseh muncul semula dengan senyuman yang berbunga-bunga. Macam tak ada apa-apa yang besar telah berlaku ke atasnya. Orang lain pula yang terlebih risau memikirkan masalah dia.
Hai, Qaseh…Qaseh… akhirnya aku dipanggil pihak sekolah gara-gara kes dia membaling cikgu dengan pencil case. Huh~~
Meterialistik, kaki bodek dan pengecut… ini pula sifat Sutra Lestari. Dia mudah dipengaruhi. Lebih-lebih lagi jika dijanjikan dengan faedah yang lumayan. Walaupun bersikap kebendaan namun hatinya baik. Dia rajin membantu dalam menguruskan rumah walaupun selalu merungut dengan sikap pemalas Qaseh yang banyak menyusahkannya.
“Kak Wangi~”
Suara Sutra yang lunak itu membangkitkan rasa curiga di hati Dang Wangi.
“Rasalah mee goreng ni. Su buat khas untuk kakak.”
Sepinggan mee goreng yang masih panas berasap diletakkan di hadapan Dang Wangi. Aromanya sahaja sudah membuatkan perut sesiapa saja terasa lapar. Termasuklah Suci dan Qaseh yang duduk di meja tersebut.
“Ini untuk kakak seorang?” Tanya Dang Wangi.
Sutra mengangguk sambil tersenyum panjang. Meluat Qaseh melihat senyuman yang penuh makna itu. Suci pula hanya mengerutkan dahi, tidak puas hati kerana Sutra pilih kasih.
“Kita makan sama-samalah. Takkan kakak sorang nak melantak mee goreng ni.” Dang wangi menolak pinggan mee goreng itu ke tengah meja.
“Eh, tak boleh. Sutra masak khas untuk kakak seorang sajalah. Diorang berdua ni makanlah benda lain. Tu… roti tu kan banyak lagi. Kalau diorang tak makan, siapa lagi yang nak habiskan.” Ujar Sutra sambil menarik semula pinggan mee gorengnya ke hadapan Dang Wangi.
“Tu mesti ada benda yang dia nak minta tu. Kalau tak, tak adanya dia gila nak masak mee goreng untuk kak Wangi hari-hari minggu macam ni.” Qaseh bersuara perlahan di sebelah Suci.
Suci yang merenung Sutra dengan curiga mengangguk-angguk. Setuju dengan pendapat Qaseh.
“Adik nak apa sebenarnya ni? Kakak tahu adik ada nak minta sesuatu kan.” Dang Wangi memandang Sutra yang tersengih-sengih di sebelahnya.
“Hmm… kalau Su cakap, kakak mesti tunaikan ya.”
Mulut dang Wangi herot ke kiri dan ke kanan. Dia tidak pasti sama ada mampu menunaikan permintaan adiknya itu atau tidak.
“Boleh tak?” Tanya Sutra minta kepastian.
“Cakaplah dulu apa yang kau nak.”
“Tunggu kejap.” Sutra berlari ke dalam bilik mengambil sesuatu.
Dang Wangi menggeleng-geleng kepala. Dia sudah mengagak. Sutra memang mahukan sesuatu. Kalau tidak masakan dia akan memasak awal-awal pagi untuknya.
Sementara menunggu Sutra, Dang Wangi menuang teh panas ke dalam empat biji cawan untuk mereka berempat. Qaseh sedang menyapu majerin pada rotinya dan Suci pula sudah meninggalkan meja untuk ke ruang tamu. Malas dia hendak bersarapan. Matanya masih mengantuk disebabkan berjaga hingga ke dini hari malam tadi.
Sutra muncul membawa sebuah catalog. Dia menunjukkan sesuatu kepada Dang Wangi.
“Apa ni?”
“Su nak beg ni. Boleh tak kakak belikan?”
Dang Wangi tidak menjawab. Dibelek-belek catalog tersebut.
“Kak Wangi, tengoklah. Cantik tak? Belikanlah untuk Su.” Pinta Sutra sambil merengek-rengek. Meluat Qaseh yang sedang mengunyah roti itu melihatnya.
“Mana kau dapat catalog ni?” Soal Dang Wangi tanpa menghiraukan pertanyaan Sutra.
“Kawan punya. Kak~ please.”
“Hmm… tengoklah nanti.” Jawab Dang Wangi sambil lewa. Sebenarnya apabila terlihat harga beg tersebut hatinya terus mengatakan ‘tidak’ untuk membelikannya untuk Sutra.
“Mana boleh tengok nanti. Promosi ni dah nak habis. Nanti kita tak sempat nak dapatkannya tau.”
Kita? Banyak cantik muka kau. Macam kak Wangi tu cop duit pula nak minta yang bukan-bukan. Ni yang aku tak puas hati ni… api cemburu sedang memekar di hati Qaseh.
“Nantilah… hujung bulan, bila gaji masuk, okey.” Dang Wangi sekadar menyedapkan hati adiknya.
“Yey…!” Sutra menjerit girang kerana hajatnya bakal tercapai.
“Tak aci! Sutra sorang je yang dapat. Qaseh dan Suci macam mana pula. Kak Wangi tak boleh berat sebelah.” Qaseh menyuarakan ketidak puasan hatinya.
“Qaseh!” Panggil Suci dari ruang hadapan.
Qaseh menoleh kepada Suci yang sedang melangkah mendekati mereka.
“Nanti temankan aku ke Alam Sentral ya. Aku nak cari sesuatulah.”
Qaseh mengerling Suci. Dia tahu itu taktik Suci untuk memancingnya agar tidak memulakan pertengkaran dengan Sutra.
“Su nak ikut juga.”
“Tak boleh!” Pantas Qaseh menolak.
“Adik nak beg yang mahal ni atau ikut Suci? Kalau nak beg, adik kena buat sesuatu untuk kakak dulu tau.”
“Ala, kak Wangi… bolehlah bagi su ikut Suci.”
“Adik ni tak malu ke. Aku ajak Qaseh sajalah.”
Serta-merta Sutra menarik muka masam apabila Suci berkata begitu. Dia rasa terpinggir. Dan jawapan tadi sebaliknya membuatkan Qaseh ketawa besar. Seronok apabila melihat muncung di wajah Sutra.
“Tak pelah… Su duduk kat rumah je. Biar Su buat semua kerja rumah. Hari ni biar Su yang basuh baju. Qaseh tak payahlah buat kerja tu. Masak pun biar Su yang buat. Su tahu Suci penat belajar sampai pagi. Mesti masih mengantuk lagi kan. Kalau kak Wangi nak suruh Su buat apa-apa, cakap je. Hari ni su akan buat apa saja yang korang semua suruh.”
Hai, sedih pula aku dengar ayat dia. Kesian pula tengok muka seposen dia ni. Mesti dia sedih sebab aku tak back up dia. Tapi permintaan dia tu besar sangat. Harga beg tu bukannya murah. Seratus ringgit tau! Kenalah dera dia sikit. Barulah berbaloi aku keluarkan duit sebanyak tu nanti.
Hmm… sampai ke hati aku nak bawa Qaseh seorang saja dan tinggalkan sutra sorang-sorang kat rumah? Tadi tu aku cuma nak redakan Qaseh saja. Dia tu mudah tak puas hati. Lebih-lebih lagi kalau kak Wangi tunaikan permintaan Sutra… hai, kesian pula dengan adik aku yang sorang ni. Takpelah, biar tak payah bawa dua-dua. Lagipun aku nak keluar dengan Laila.
Hii… pandainya dia berlakon. Kak Wangi dan Suci ni mesti dah termakan dengan ayat-ayat sedih dia. Geramnya aku. budak gemuk ni memang nak kena dengan aku ni. Baik betul hati dia nak buat tugas aku; membasuh baju. Bukannya boleh percaya. Nanti mesti aku juga yang kena buat akhirnya tu. Macam aku tak tahu taktik dia. Huh!
1 comment:
mula2 nemo penin sket la kaseh...
tp not bad...
nemo bacer nieh cm nemo bacer valvet esprada tuh...
mula2 penin...
tp akhirnya...
best jugak...
p/s~ kaseh sgt kreatif dlm melilih nama... jelesnyer....
lg satu...
jgn luper komen nemo jgk erk?
nemo khan budak br blajar....
Post a Comment