Kawan2 yg saya Sayang

Tuesday, January 20, 2009

BAB 2

Dia mendaki tangga menuju ke tingkat kedua kedai buku itu. Keadaan di tingkat itu tenang tanpa sebarang bunyi. Hanya ada beberapa orang pelanggan yang sedang membelek-belek buku di beberapa rak di situ. Jebat Khusyairi melangkah ke bahagian buku latihan. Dia mula meneliti satu demi satu buku latihan berkenaan dengan subjek yang bakal diajarnya nanti.
“It first I was afraid… I was petrified…”
Dalam sibuk dia meneliti buku-buku latihan di situ tiba-tiba dia terdengar suara lirih itu menyanyi. Suara wanita. Dia menoleh ke belakang. Seorang gadis bertudung tiga segi berwarna merah jambu lembut sibuk menukar tanda harga pada buku di satu rak. Selain itu sesekali juga gadis tersebut mengelap habuk yang melekat pada rak dan buku-buku. Sekejap memegang kain lap dan sekejap pula menggunakan punch di tangannya. Jebat hanya tersenyum melihat telatah gadis itu yang nampak gembira dengan tugasnya. Siap bernyanyi-nyanyi lagi.
Dia kembali membelek buku latihan Matematik Moden tingkatan 5 di tangannya. Senyuman di bibirnya masih tidak lekang. Dia asyik mendengar gadis di belakangnya menyanyi lagi I Will Survive. Sekali-sekala mulutnya turut terkumat-kamit ikut menyanyi tanpa mengeluarkan suara.
“Kak, boleh minta tolong sikit tak?” Seorang remaja lelaki menghampiri gadis tersebut.
Tugasnya diberhentikan buat seketika demi melayan pelanggannya. Jebat tidak lagi mendengar suara nyanyiannya.
“Ya, adik ada masalah?” tanyanya lembut kepada remaja tersebut.
“Saya nak cari buku keluaran ini. Boleh kakak tolong saya?”
Dia mengambil buku yang di tunjukkan oleh remaja lelaki itu lalu membawa pelanggannya ke tempat buku tersebut.
Jebat meletak kembali buku-buku yang dipegangnya. Dia tidak bercadang untuk membelinya hari ini. Dia melangkah untuk beredar dari situ. Tatkala dia berjalan melintasi satu lorong, matanya terpandang kepada gadis bertudung yang menyanyi tadi. Kali ini dia nampak dengan lebih jelas wajah gadis tersebut. Manis senyumannya melayan pelanggan remaja tadi. Jebat berhenti sekejap di situ dan memerhatikan tingkah laku gadis itu. Dia tersenyum. Tertarik pada sekuntum bunga yang manis bertudung itu.
“Kita pasti akan berjumpa lagi suatu hari nanti.” Katanya sebelum beredar pergi dari situ.

**********

“Hei, korang semua dengar sini. Aku ada gossip terbaru nak beritahu korang. Mehlah dengar.” Lisa yang baru kembali dari bilik guru kerana menghantar buku latihan itu memberi tahu rakan-rakannya di dalam kelas tingkatan 5 Anggerik.
“Gosip apa yang kau dapat awal-awal pagi ni, cik Lisa oi?” Aleeya bersuara dari tempat duduknya di tengah kelas.
Lisa tersenyum panjang lantas menuju kea rah Aleeya. Dia segera mengambil tempat duduk di meja George yang kosong.
“Aku dah tahu siapa cikgu yang akan gantikan cikgu Junita.”
“Hah, betul ke?” Serentak dengan itu sesiapa saja yang mendengar berita itu segera menghampiri meja George dan Qaseh. Mereka mahu tahu dengan lebih lanjut berita yang baru disampaikan oleh Lisa itu.
“Mana kau dapat tahu ni? Siapa orangnya? Lelaki ke perempuan? Bujang ke dah kahwin? Eh, bila dia nak masuk mengajar?” bertalu-talu soalan dimuntahkan dari mulut masing-masing. Lisa hampir pening kepala hendak menjawab semuanya sekali gus. Keadaan di situ agak kecoh kerana semua orang hendak bercakap. Masing-masing sudah tidak sabar lagi ingin mengetahui berita tersebut. Maklumlah sudah lebih seminggu guru kelas mereka cuti bersalin.
Dalam ramai-ramai pelajar di situ ada seorang daripada mereka yang sedang merungut. Dia baru sahaja hendak melelapkan mata setelah guru subjek Bahasa Melayu keluar sebentar tadi. Tapi nampaknya sikap teman-temannya itu seakan sedang menghalang niat ‘murninya’ itu.
Qaseh menopang kepala sambil melihat gelagat Lisa yang sedang rancak bercerita di sebelahnya. Tidak kurang juga dengan teman-temannya yang lain. Daripada gossip tentang guru baru, cerita mereka mula meleret-leret ke tajuk lain. Hai… manalah perginya si George Of The Jungle ni? tak masuk-masuk kelas lagi sejak tadi. Dan kenapa pula cikgu Haslam ni tak masuk kelas juga? Dia takut dengan aku ke? Tak kan baru gertak sikit dah takut. Ceh, tak jantan betullah. Aku yang siap kena masuk bilik guru disiplin ni pun masih berani berhadapan dengan dia, takkan dia pula takut nak masuk kelas ni.
“Oi, Qaseh… nak pergi mana?”
Qaseh yang sudah bangun dari kerusinya menoleh kepada teman-temannya.
“Toilet lah.” Jawabnya ringkas.
“Toilet lagi. Kau ni suka sangat pergi toilet. Ada apa hah kat dalam toilet tu?” soal salah seorang daripada mereka.
Qaseh sekadar mencebik. Malas hendak menjawab soalan itu.
“Qaseh, aku ikut.” Nadiah bersuara.
“Hisy, orang pergi tandas pun nak ikut. Kau tak boleh ikut aku. Aku ada projek sikit ni.” Qaseh memberi alasannya.
“Elleh, projek apa yang kau tak kasi aku ikut ni.”
“Nad, kau ni apalah. Tak memahami sahabat langsung. Qaseh nak pergi cari port tidurlah tu.” George tiba-tiba muncul di sebelah Lisa.
“Woi, cakap baik-baik sikit, Jaafar. Kau nak kena dengan aku ye. Mana ada aku nak tidur.” Marah Qaseh kepada George.
George mengetap bibir apabila Qaseh memanggil nama sebenarnya.
“Woi, jangan panggil Jaafarlah. Kan aku dah pesan banyak kali.”
“Kau jangan nak mengada-ngada tukar nama jadi George lah. Sedar sikit kau tu orang melayu. Baru berkenalan dengan minah saleh terus tukar nama jadi George. Kalau kau nak aku panggil kau dengan nama mat saleh tu, boleh. Tapi tunggulah sampai kau pakai cawat macam George Of The Jungle tu.” Kutuk Qaseh.
“Qaseh… kau nak aku bocorkan rahsia kau ke? Lebih baik kau panggil aku George kalau kau nak rahsia kau selamat.” Ugut George.
“Jaafar… err, George. Okey, aku panggil kau George.” Qaseh nampak sangat geram apabila diugut oleh rakan semejanya itu. Sakit benar hatinya apabila rahsianya telah jatuh ke tangan George atau Jaafar itu.
Qaseh meninggalkan mejanya dan beredar keluar dari kelas tersebut. Yang lain kini sedang memerhatikan George yang sedang tersenyum penuh makna sambil melihat kelibat Qaseh yang telah hilang. Tentu menarik apabila mengetahui rahsia seorang pembuli seperti Qaseh. Semua memandang George dengan penuh minat. Namun begitu George tidak sama sekali akan membocorkan rahsia temannya. Nadiah dan Aleeya pula hanya menggeleng-geleng kepala melihat gelagat George. Sebenarnya mereka juga tahu rahsia tersebut tapi sengaja buat-buat tidak tahu di hadapan semua orang.
Qaseh berjalan di ruang koridor sebelum mendaki turun anak tangga di hujung blok bangunannya. Ada tandas di tingkat kelasnya tapi dia sengaja hendak menggunakan tandas di tingkat dua. Saja nak berjalan-jalan. Lepak di kelas pun bukan ada cikgu yang mengajar. Selagi tiada guru yang menggantikan Pn. Junita selagi itulah para pelajar akan bermaharajalela. Bebas melakukan apa saja. Hai, cikgu Junita… kau cutilah panjang-panjang. Kalau boleh tambahlah lagi sebulan dua. Qaseh tersengih sendirian memikirkan yang tiada guru perempuan yang kuat membebel itu selama dua bulan kerana cuti bersalin.
Langkah kakinya terhenti apabila ternampak seorang pelajar lelaki dari kelas tingkatan 2 Cempaka berdiri di luar kelasnya sambil memegang sebatang penyapu. Kaki kirinya diangkat separas peha. Wajahnya berkerut-kerut sambil memandang ke dalam kelasnya. Mungkin dia rasa tersiksa dengan denda tersebut. Qaseh yakin ada guru yang sedang mengajar di kelas itu memandangkan kelas tersebut tenang tanpa sebarang bunyi.
Senyuman Qaseh meleret. Tiba-tiba sahaja idea jahat muncul di kepalanya. Dia membetulkan lipatan tudungnya sebelum melangkah di koridor tersebut. Sebaik sampai di sebelah pelajar lelaki itu dia sempat mengerling ke dalam kelas. Setelah pasti guru yang mengajar sedang leka, Qaseh kembali kepada pelajar lelaki yang sedang didenda tadi.
Pelajar lelaki yang sedang mengeluh penat itu rasa pelik apabila Qaseh berhenti mendekatinya. Tambah curiga apabila melihat senyuman nakal di bibir gadis tersebut.
“Budak pendek, apasal kau kena denda hah?” Tanya Qaseh sambil tapak tangannya mengetuk-ngetuk kepala pelajar lelaki yang rendah separas ketiaknya itu.
Pelajar lelaki itu merengus marah. Dia menepis tangan Qaseh yang menyentuh kepalanya itu dengan kasar.
“Padan muka kena denda. Lain kali jadilah budak jahat. Mesti cikgu denda kau dengan lebih teruk lagi. Ha…ha...ha…!” Ejek Qaseh sambil ketawa jahat dengan perlahan. Dia meninggalkan pelajar tersebut. Dengan langkah mengundur dia memandang budak lelaki itu sambil menjelir lidah dan menunjukkan ibu jarinya tanda padan muka kepada pelajar malang itu.
“Tak guna punya senior. Jagalah kau suatu hari nanti. Buat baik dibalas baik. Kau patut tahu apa balasan untuk orang yang jahat macam kau.” Gumamnya sendirian seakan sedang menanam dendam terhadap Qaseh.
Qaseh yang sudah puas mengejek itu memusingkan tubuhnya untuk kembali berjalan secara normal. Namun sebaik sahaja dia berpusing, tidak semena-mena dia terlanggar seorang guru yang sedang berjalan bertentangan dengannya. Wajahnya mendarat tepat di dada guru lelaki itu. Qaseh menjerit kecil sebelum menjarakkan diri dengan lelaki berkenaan. Dia memegang batang hidung mancungnya yang kesakitan.
Pelajar lelaki yang sedang didenda tadi tersenyum gembira. Baru sahaja dia hendak berdendam, Qaseh sudah menerima hukumannya. Padan muka kau. Itulah balasan sebab kau ejek aku tadi. Bisiknya puas hati.
“Sorry…” ucap guru tersebut sambil kepalanya tunduk mencari wajah Qaseh yang terlindung dengan tangan yang masih memegang hidung.
“Maaf, ya…” Ucapnya sekali lagi. Dia rasa sedikit bersalah. Akibat asyik melihat gelagat pelajar perempuan itu mengusik pelajar lelaki yang didenda tadi dia tidak sempat hendak mengelakkan kemalangan itu.
Qaseh menarik tangannya yang memegang hidungnya. Dia mendongak memandang orang yang berlanggar dengannya. Dahinya berkerut sedikit kerana cuba mengenali wajah asing yang tidak pernah ditemuinya itu. Siapa dia ni? kerani baru ke? Ish, apa jadah kerani sekolah kat blok ni pula. Bukan kot. Entah siapa entah…
“Err… boleh tanya sikit?”
Qaseh menyilang kedua belah tangannya ke hadapan, separas dada sambil merenung lelaki berkemeja biru kundang dengan seluar slack itu. Dia sedang meneka siapakah lelaki tersebut. Melihat senyuman manis pemuda itu buat dia berasa meluat. Dahlah langgar aku sampai hidung aku hampir penyek. Lepas tu minta maaf macam nak tak nak je. Ingat aku sudi nak tolong kau ke? Blahlah… tanpa sebarang ucapan Qaseh berlalu dengan cebikan mulutnya sambil melepaskan sebuah jelingan sinis.
Jebat terpinga-pinga sambil memusingkan kepalanya melihat belakang Qaseh yang sedang berjalan itu. Dia garu kepala yang tidak gatal. Macam ini punya pelajar pun ada ke? Dengan cikgu pun berani nak tunjuk lagak. Memang nak kenalah tu kalau aku mengajar kelas dia nanti. Gumamnya geram sebelum berjalan di koridor tersebut untuk mencari kelas tingkatan 4 Anggerik.
Di salah satu deretan tingkap tingkat ketiga di blok bangunan bertentangan pula berdiri tiga orang pelajar dari kelas tingkatan 2 Bakawali. Seorang berbaju kurung lengkap dan bertudung putih, seorang lagi berkemeja dan berskirt paras lutut dan yang terakhir adalah seorang pelajar lelaki duduk di bahagian kanan sekali iaitu disebelah gadis yang bertudung itu.
“Sutra, itu kakak kau kan?” Lemon yang mengesan kelibat gadis yang berlanggar dengan seorang guru itu bersuara.
Hai, buat apalah tu… asyik merayau je. Mesti tengah tak ada cikgu kat kelas dia tu.
“Mana? Mana?” Orange pula yang terlebih sibuk mencari kelibat kakak Sutra itu.
“Tu, yang baru accident dengan seorang… cikgu. Cikgu ke tu? Macam tak pernah nampak je lelaki tu.” Mata Lemon terus tertumpu kepada pemuda yang sedang berjalan di koridor tingkat dua blok B itu. Begitu juga dengan Orange dan Sutra yang tidak tertarik lagi hendak menjejaki kelibat Qaseh.
“Entah-entah itu cikgu baru yang cikgu Bibah cakap hari tu kot.”
Mata Sutra terus tertancap pada pemuda berkemeja biru kundang yang sedang mendaki anak tangga itu. Tatkala pemuda itu menoleh ke kiri Sutra dapat melihat seluruh wajahnya. Matanya membulat. Handsomenya~! Hatinya menjerit kuat. Kedudukan jauh dan hanya dapat melihat wajah penuh guru baru itu sekali-sekala menyebabkan Sutra tidak puas hati. Sekali lagi kelibat guru baru itu belum hilang selagi itu dia akan terus memerhatikannya.
“Kacaknya…” Terdengar kata-kata itu dari mulut Lemon.
Orange di sebelah Sutra hanya menjuihkan mulut.
“Orang pompuan memang begitu. Pantang nampak lelaki handsome.” Cemuhnya.
“Orange, that’s normal what. Kau pun kan suka pandang perempuan cantik. Bukan ke kau selalu pandang… orang tu.” Balas Lemon menyindir Orange pula. Dia tidak bercakap dengan terang akan maksud percakapannya itu. Dia harap Orange faham sendiri dengan apa yang cuba dimaksudkannya.
“Lemon!” Orange mengeraskan suaranya tanda memberi amaran kepada gadis itu agar jangan sampai orang yang dimaksudkannya tahu.
Lemon cuma tersengih sebelum kembali merenung ke luar jendela.
“Confirm dia tu cikgu baru kita.” Ujar Sutra tiba-tiba apabila nampak pemuda tersebut masuk ke dalam salah satu kelas di tingkat tiga.
“Maybe dia tu guru yang gantikan Pn. Junita kot.” Orange membuat andaiannya.
“Agaknyalah tu.”
“Kalau dia ganti Pn. Junita maksudnya dia akan masuk ke kelas kita selepas rehat nanti.” Lemon membuat kesimpulan.
Sutra menoleh kepada sahabatnya. Begitu juga dengan Lemon yang sedang mengerling Sutra. Tiba-tiba mereka tersenyum penuh makna sebelum ketawa kegembiraan. Mereka bertepuk dan melagakan tapak tangan masing-masing kerana terlalu seronok. Orange sebaliknya sedang meluat melihat telatah Sutra dan pasangan kembarnya, Lemon kegirangan hendak menyambut guru baru yang… handsome tu… ahh! Menyampah betul! Geram hatinya memikirkan kedua-dua sahabatnya mula tertarik kepada guru tersebut. Mesti dia akan dipinggirkan nanti. Huh…
“E’ehem… apa yang seronok sangat ni?” tiba-tiba muncul satu suara nyaring di belakang mereka.
“O-ouw…” Ketiga-tiga pelajar tersebut memusingkan tubuh. Masing-masing tersengih apabila cikgu Habibah sedang berdiri dan bercekak pinggang memandang mereka. Sebelum sempat guru wanita itu bersuara lebih mereka lintang pukang menuju ke tempat duduk masing-masing untuk memulakan kelas. Cikgu bibah cuma menggeleng-geleng kepala sambil sempat mengerling ke luar tingkap melihat apa yang sangat menarik dilihat oleh mereka bertiga tadi. Ada beruk handsome terlepas dari zoo ke? Hmm, tak ada apa-apa pun.

1 comment:

Nemo^0^eriMo said...

aiyo...
tertiber nemo rase cm bcer komik ben. le~ pe ntah namernyer...
huhuhu....
not bad....
cumer tulisnyer kecik siots...
pastuh xder perenggan...
ahahahah...
hakoo dh la rabun..
menambah ke'kritikal'an mater hakoo aje ko nieh kaseh...
tp kan...
agak2 menarik lah...
jebat erk...
hm......
next n3 lah....