Kawan2 yg saya Sayang

Saturday, July 27, 2013

AITDS the sequel :- THE WITCH THAT I LOVE (bab11)



BAB11
SELEPAS berpisah dengan Leah, Jay tidak terus menghalakan kakinya untuk pulang. Sebaliknya dia bercadang untuk bersiar-siar di sekitar Kolej University Prince Gelius II. Tempat baru itu harus dijelajahi terlebih dahulu sebelum dia memulakan kehidupan barunya di institusi itu selepas ini.
Matanya tertarik pada seorang gadis yang sedang duduk termenung sambil memegang sebuah buku di taman bersebelahan dengan kafeteria. Gadis itu nampak ringkas dengan mengenakan gaun kuning dari fabric cotton dan kardigan pendek berwarna kelabu di bahagian luar. Sepasang skaf putih bercorak polka dot berwarna hijau di atas kepalanya tidak begitu menjanggalkan penampilannya. Kelihatan sesekali dia menggigit straw dari botol minuman 100Plus. Matanya tidak begitu tertumpu pada buku yang terbuka dalam pegangannya kerana fikirannya lebih memikirkan masalah hidupnya.
Jay tertarik untuk mendekati gadis tersebut. Bibirnya meleretkan senyuman sambil kakinya melangkah menghala ke arah Camie.
Hello, Miss Stalker,” sapa Jay sambil mengambil tempat di sebelah Camie biarpun belum mendapat kebenaran.
Camie hampir tersedak dengan sapaan Jay yang muncul secara tiba-tiba. Tubuhnya ditegakkan sambil kepalanya dikilas merenung kepada Jay. Air mukanya menjelaskan yang dia tidak mengalu-alukan kedatangan Jay menyapanya di situ. Jay hanya tertawa melihat reaksi Camie.
“Tak ada apa yang kelakar untuk kau gelak,” Camie serius. “Apa yang kau mahu?” Hati Camie masih lagi terguris disebabkan sikap Jay dan Leah tadi.
Jay menjungkit bahu sambil menatap Camie. “Aku dah minta maaf tapi kau belum maafkan aku. Jadi aku datang sekali lagi untuk dapatkan kemaafan dari kau.”
Camie terkejut dengan kenyataan Jay. Ia berbunyi seolah-olah memang benarlah yang lelaki itu bukan Dew Jeremy Orbido. Ada dua perkataan yang tidak pernah ada dalam kamus hidup lelaki yang pernah bergelar Tuan Muda itu iaitu ‘minta maaf’ dan ‘terima kasih’. Dia tidak pernah meminta maaf kerana keegoannya sangat tinggi dan dia tidak pernah berterima kasih kerana dia telah dididik sejak kecil sebagai Tuan Muda yang berhak untuk memberi arahan kepada sesiapa. Maka ‘terima kasih’ tidak penting baginya kerana apa yang dia tahu semua orang mesti melakukan setiap perkara yang diarahkannya.
“Tapi kenapa?”
Well… the fact is, maybe I’m not good with stragers.” Jay memberikan alasan yang menyebabkan Camie perlu memaafkannya.
“Okey… aku maafkan kau.” Dia tiada motif yang kuat untuk tidak memaafkan Jay jika pemuda itu memang bukan Dew.
Thank’s… Err… terima kasih, Camie.”
Camie sekadar mengangguk. Namun matanya tidak dipalingkan ke arah Jay. Jika mahu diikutkan hati dia mahu memandang wajah itu sepuas-puasnya. Dia rindukan Dew… Sangat merindui lelaki itu. Itulah fakta yang tidak pernah dia sembunyikan dari sesiapa.
So, Jay… kau memang berasal dari Lisberg?” Camie memulakan perbualan sebagai langkah untuk mengenali Jay dengan lebih dekat. Dia patut tahu serba sedikit latar belakang Jay untuk menafikan dakwaan asalnya terhadap pemuda tersebut.
“Ya, buat masa sekarang. Tapi boleh jadi jawapan sebenarnya ialah… tidak.” Dia sendiri tidak pasti kerana memorinya telah lesap.
“Aku tak faham.” Air muka Camie penuh tanda tanya mendengar jawapan Jay.
“Entahlah. Aku pun tak faham dengan apa yang aku tak faham,” balas Jay sambil tertawa kecil. Seolah-olah mentertawakan dirinya sendiri.
Camie merenung Jay penuh makna… jangan-jangan dia sengaja sembunyikan sesuatu dari aku. Hatinya berbisik curiga.
“Kadang-kadang aku terfikir… adakah aku sebenarnya makhluk asing dari planet lain yang barangkali ada agenda untuk menakluk bumi?” soalnya dengan wajah yang serius.
“Hah??” Camie ternganga mendengar persoalan Jay lantas tertawa gelihati. “Kau ni kelakarlah…” dia terus tertawa.
Jay sebaliknya tidak membalas tawa Camie dengan sebarang reaksi. Sekadar lontaran pandangan yang dingin memerhatikan telatah Camie yang tertawa gembira.
“Kau fikir aku sedang buat lawak?” soalnya dalam nada mendatar.
Tawa Camie yang masih bersisa segera mati mengejut. Camie terkesima melihat sikap Jay yang tiba-tiba dingin. Jangan kata ketawa, senyum pun tidak. “Kau bukan buat lawak ke?” tanyanya semula. Berani dalam takut. Air mukanya berubah riak kerana berasa risau jika telah menyinggung perasaan Jay.
Jay masih lagi serius merenung Camie dengan pandangan yang dingin. Raut wajah Camie yang bulat comel itu diterokanya. Anak mata gadis itu bulat memenuhi kelopak mata dan berwarna hitam. Tidak begitu sepet memandangkan dia bukan anak gadis Jepun yang tulin. Kulitnya tidak begitu cerah jika hendak dibandingkan dengan Leah namun nampak halus dan polos. Dia tidak secantik Leah tetapi kecomelannya seratus peratus mengatasi Leah.
Untuk lima saat sikap dinginnya mendapat perhatian Camie. Namun akhirnya Jay tidak dapat bertahan lagi untuk berlagak serius. Giginya mengetap bibir yang bergetar kerana menahan tawa yang dikulum di dalam mulut. Kecomelan Camie yang ditambah dengan gaya innocent gadis tersebut menyebabkan Jay tidak sampai hati hendak berpura-pura lagi. Akhirnya tewanya meletus dengan kuat.
Camie terkejut dan tertanya-tanya. Sedetik kemudian baru dia menyedari yang dia sedang dipermainkan oleh Jay. Ini membuatkannya berasa marah.
“Kau permainkan aku.”
Jay menggeleng sambil menekup mulutnya menahan tawanya yang bersisa.
“Ya, kau sengaja permainkan aku.” suaranya meninggi kerana marah.
“Kau takkan ambil kisah kalau kau mahu berkawan dengan aku, kan.”
Camie menyengetkan leretan mulutnya sebelum kembali tersenyum. Sekurang-kuranganya dia merindui gurauan sebegitu dari Dew.
Jay gembira setelah Camie tersenyum semula.
So, sekarang giliran aku pula untuk bertanya. Kau berasal dari mana?”
“Roseland. Sebelum ini aku pernah menetap di Riveria Hook dan aku berkenalan dengan Leah ketika kami sama-sama menuntut di Riveria High School Collage.”
Untuk tiga saat pertama Jay terdiam. Camie cuba meneka apakah maksud diam Jay yang disulami satu kerutan di wajahnya itu.
“Roseland…?” Camie mengangguk mengiakan. “Kau dan Leah berkenalan sejak di sekolah menengah?” Camie mengangguk sekali lagi. Dia mula merasakan ada sesuatu tentang diri Jay yang perlu dia korek lagi.
“Kenapa Jay? Ada apa-apa yang tak kena?” duga Camie.
“Tak ada apa-apa.” …aku berkenalan dengan Leah sepatutnya sejak dari sekolah menengah. Aku dan Camie sepatutnya telah berkenalan sebelum ini. Jadi kenapa Leah tak pernah temukan kami berdua sebelum ini?
Are you sure?”
“Camie, kau kenal siapa Jeremy Oghio Khitto?”
Soalan Jay serta merta menyebabkan darah Camie tersirap naik ke atas kepala. Bagaimana soalan tersebut boleh terkeluar dari mulut Jay sedangkan dalam kepala otak Camie sedang memikirkan kemungkinan yang Jay ialah Dew Jeremy Orbido?
“Apa yang kau tahu tentang Jeremy?”
“Kau memang tahu tentang dia. Kau tahu siapa aku, kan?”
“Jay, aku rasa ada perkara penting yang patut aku lakukan sekarang. Aku nak pergi jumpa seseorang. Kita berbual lagi lain kali.” Camie bangkit dari kerusi sambil menyendeng begnya. Dia mula mengatur langkah untuk beredar.
“Hei, kau belum jawab soalan aku. Kenapa tergesa-gesa sangat ni? kau nak jumpa siapa?”

“Soalan kau tu bukan aku tak nak jawab. Aku janji akan jawab suatu hari nanti. Cuma bukan sekarang.” Camie menyedapkan hati Jay dengan sebuah senyuman manis sebelum mula mengatur langkahnya. “See you next time, Jay.” Kakinya segera melangkah pantas untuk menjejaki orang yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap persoalan Jay tadi iaitu Leah.


Bersambung...

Friday, July 26, 2013

AITDS the sequel :- THE WITCH THAT I LOVE (bab10)

Bab10
CINTA adalah satu perkara yang boleh merumitkan jiwa seseorang. Cinta akan menyebabkan seseorang bertindak mengikut kata hati tanpa memikirkan sajauh manakah rasionalnya tindakan kita. Cinta itu satu rasa yang halus dan halusinasi. Bila ia datang, kita tidak mampu melepaskannya pergi. Maka kita cuba bertahan demi perasaan yang sebenarnya kita tidak pasti lagi. Benar atau palsu?
Jay melangkah masuk ke kedai serbaneka Plane Mart. Kali ini bukan dengan pakaian rasmi sebagai pekerja di situ. Dia datang dengan satu tujuan penting untuk menemui penyelianya. Dia mahu menyerahkan surat perletakan jawatan.
Sebaik masuk ke dalam kedai Sam menyapanya dengan air muka yang tertanya-tanya dengan penampilan baru Jay hari ini.
Dude… apa dah jadi dengan kau ni?” dia meneliti Jay dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Ada satu perubahan yang ketara pada diri Jay hari ini. Jay sudah mewarnakan semula rambutnya dengan warna hitam. Jay tidak ber-T putih dan memakai cap hitam seperti selalu sebaliknya mengenakan kemeja dan seluar slack. Dia rasa janggal melihat Jay yang nampak lebih formal dari biasa.
“Aku dah fikir masak-masak. Aku nak jumpa dengan En. Tom. Aku nak letak jawatan.”
What?!” Sam tergamam.
Ini adalah keputusan yang dia buat setelah kata-kata Leah berjaya meracuni fikirannya. Sebenarnya dia tidak pasti kenapa dia memilih keputusan sebegini dalam hidupnya. Bukan kerana dia mahu menyambung pelajaran ke kolej tetapi keputusan yang dia buat adalah lebih disebabkan oleh Leah. Dia tidak mahu kehilangan Leah dan lelaki yang digelar Tom Cruise oleh Leah itu telah berjaya membuatkannya rasa tergugat. Dia tidak pasti jika dia sedang cemburu. Apa yang dia pasti dia tidak mahu kehilangan Leah disebabkan lelaki lain.
Kadangkala dia merasakan Leah itu bukan manusia tetapi ahli sihir yang ada kuasa magik yang hebat. Leah bukan gadis biasa yang hanya menggunakan asset wanitanya untuk memikat lelaki. Leah seorang yang bijak dan tahu bagaimana cara untuk nampak hebat di mata lelaki. Jay tahu Leah seorang yang licik tapi dia tetap sukakannya. Gadis itu boleh menjadi sahabat yang paling akrab dan dalam masa yang sama dia boleh meleburkan perasaan lelaki jika dia mahukannya. Dia mungkin yang terbaik dalam hidup Jay namun tidak mustahil jika sebenarnya dia adalah yang terburuk untuk Jay.

************

KELAS terakhir mereka pada petang itu telah tamat. Sebaik pensyarah beredar keluar dari kelas Camie pergi mendapatkan Leah yang duduk baris belakang kelas. Gadis itu kelihatan masih menulis sesuatu dengan buku notanya. Orang lain sudah beransur-ansur bersurai tetapi Leah masih selamba dengan halnya sendiri tanpa mempedulikan beberapa orang temannya yang mengajaknya keluar meninggalkan kelas tersebut.
“Leah, boleh kita bercakap sekejap?” Camie duduk di meja di hadapan Leah.
Leah tetap tekun menulis nota tanpa menghiraukan kewujudan Camie di hadapannya.
“Leah, aku serius ni. Aku perlukan kau sekarang.” Camie sangat berharap pada Leah. Leah satu-satunya orang yang paling lama mengenali Dew. Dia perlukan Leah untuk membuktikan Jay bukan Dew yang hilang setahun yang lalu.
“Kau tahu kan yang selama ini aku cuma ada kau seorang sahaja sebagai kawan… dan musuh.”
“Kau nampak tak yang aku sedang sibuk sekarang?” Leah tidak mengangkat kepala dan masih tertumpu pada nota yang sedang ditulisnya.
“Leah, aku jumpa Dew bekerja di Plane Mart. Cuma kau seorang sahaja yang kenal rapat dengan Dew jadi aku perlukan kau untuk kenal pasti samada dia Dew atau bukan.”
Leah menoktahkan notanya. Dia mengangkat wajah dan merenung tepat ke arah Camie. Untuk seketika otaknya ligat berfikir, bagaimana setelah hampir setahun baru Camie terserempak dengan Dew di Kota Lisberg ini. Adakah takdir yang menyebelahinya untuk bersama dengan Dew sepanjang tempoh ini.
“Aku nak balik sekarang.” Dia melemparkan senyuman tidak ikhlasnya kepada Camie selama tiga saat. Kemudian dia mengemas buku-bukunya sebelum bersedia untuk pulang.
Camie melepaskan keluhan berat. Dia memusingkan tubuhnya menghadap ke hadapan kelas setelah kecewa dengan sikap tidak ambil kisah yang ditunjukkan oleh Leah terhadapnya. Tiba-tiba dia terkejut dengan seseorang yang sedang berdiri tidak jauh di hadapan kelas waktu itu. Seorang pemuda yang baru disebut-sebut namanya sebelum ini. Dia berasa bagaikan sedang bermimpi tatkala Dew sedang berdiri di hadapannya. Lelaki itu memandang ke arahnya dengan sekuntum senyuman yang sangat dirinduinya selama ini. Keajaiban apakah ini? Camie terasa bagai sedang bermimpi lantas cuba mencubit pipinya. Sakit. Maknanya dia dalam keadaan realiti sekarang. Lelaki berambut hitam dan berkaca mata itu ialah Dew dengan penampilan barunya. Dan lelaki itu sedang berjalan ke arahnya kini. Hati Camie berdebar-debar. Jantungnya semakin berdegup kencang tatkala Dew semakin menghampirinya.
Namun sesuatu yang tidak diduganya telah berlaku setelah Dew sampai kepadanya. Pemuda itu tidak berhenti di hadapannya sebaliknya menuju ke arah Leah di belakangnya. Mata Camie terbelalak sebaik melihat tindakan spontan lelaki itu yang terus memeluk Leah.  Biji matanya hampir hendak tersembul keluar apabila lelaki itu mengucup dahi Leah pula selepas itu.
Leah terdiam kaku diperlakukan sebegitu oleh Jay. Dia serba salah apabila Camie sedang merenungnya dengan tajam disebabkan perbuatan Jay. Dalam hatinya sedang menyumpah kemunculan Jay yang tidak dijangkanya. Namun selepas itu dia mengubah fikiran. Sebenarnya inilah saat-saat yang ditunggunya selama ini. Kemenangan telah berpihak kepadanya setelah berjaya merampas cinta Dew dari tangan Camie. Lantas dia membalas dakapan Jay di hadapan Camie.
“Leah, apa semua ni?” suara Camie bergetar menahan sendu.
“Oh, sorry. Terlupa pula. Perkenalkan ini Jay, boyfriend aku. Jay, ini Camie. Kadang-kadang dia kawan. kadang-kadang dia… hmm, whatever.” Leah tersenyum sinis sambil mengetatkan lagi pautan tangan Jay di pinggangnya. Sengaja mahu menunjukkan kemesraannya bersama Jay di hadapan Camie.
“Hah, aku kenal kau. Gadis Stalker… what a small world.”
Mata Camie berkaca-kaca merenung Jay dan Leah. “Leah, kenapa kau tipu aku.”
Jay pelik. Dia nampak tertanya-tanya melihat situasi Camie yang emosional melihat kemesraannya di samping Leah. Leah pula kelihatan selamba sahaja bagaikan tiada apa-apa isu besar yang sedang ditimbulkannya. Mereka berdua tidak sedar yang hati Camie benar-benar terguris melihat kemesraan diantara mereka berdua. Biarpun dia tahu itu ialah Jay tapi sikap Leah dianggap menikamnya dari belakang kerana telah menyembunyikan hubungannya dengan lelaki tersebut selama ini.
“Camie, please, wake up. Ini bukan dejavu. Kekasih kau yang dah mati takkan hidup semula untuk kali kedua. Baik Jeremy atau Dew, kedua-duanya dah tiada lagi dalam hidup kau. Yang kau nampak sekarang ialah Jay.”
“Saya minta maaf…” tiba-tiba Jay menghulurkan tangannya kepada Camie. Walaupun dia masih belum mengerti situasi sebenar diantara Leah dan Camie tetapi dia berasa mungkin dialah punca gadis tersebut salah faham. “Mungkin saya layan awak dengan kasar sebelum ini. Saya tak tahu awak kawan Leah.”
Dada Camie terasa sesak mendengar kata-kata Jay. Dia seolah-olah telah menjadi asing di mata orang yang pernah menjadi kekasihnya. Air mata yang bertakung tidak mampu dibendung lagi. Dia kehilangan seorang kekasih dan kini dia berasa telah dikhianati oleh seorang sahabat. Mungkin Leah tidak pernah menganggapnya sebagai seorang sahabat selama ini namun dia tidak mampu menafikan yang dia selalu mengharapkan Leah menjadi seorang kawan sekurang-kurangnya.
Salam Jay tidak disambut sebaliknya Camie mengatur langkah meninggalkan mereka berdua. Dia tidak mampu mengawal perasaan sedihnya. Dia tahu niat Leah selama ini memang mahu menyeksanya setiap masa. Dia juga tahu sebenarnya selama ini Leah memendam perasaan bila melihatnya bersama Dew. Dia tahu Leah menganggapnya sebagai perampas. Leah tidak pernah mengaku tetapi dia tahu yang selama ini Leah menyintai Dew. Kalau dengan bersama Jay boleh membuatkan Leah berasa puas melihatnya kecewa, Camie pasrah. Dia perlu akur yang Jay bukan dejavu dalam hidupnya. Walaupun kenyataan Leah sangat tajam tapi dia perlu menerima hakikat tersebut. Dia perlu lepaskan Dew pergi dengan tenang.

LEAH meleraikan rangkulannya terhadap Jay setelah Camie hilang dari pandangan. Raut wajah pemuda itu direnungnya dalam senyuman yang puas. Kedua-dua belah tangan Jay masih memaut pinggangnya. Dahi pemuda itu kelihatan berkerut bagaikan ada satu persoalan di benaknya yang mahu diajukan kepada Leah yang sedang meleretkan senyuman penuh makna itu.
Hei, what’s that face?” soal Jay sambil merenung Leah penuh musykil.
What face?” Tangan Leah bergerak ke pangkal bahu Jay lalu merangkul tengkuk lelaki itu. senyumannya masih seperti tadi. Senyuman puas seorang juara.
The smiley in your face?” Hujung jarinya menyentuh dagu Leah.
Nothing. Just… I’m happy.” …memenangi hati kau adalah kemenangan yang paling besar dalam hidup aku dan aku sangat gembira disebabkan hal ini, Jay. Hatinya berbisik tanpa pengetahuan Jay.
Really?
Leah mengangguk.
So, macam mana dengan hari pertama? Semuanya berjalan dengan lancar?” tanya Leah segera mengalih tajuk sambil mengatur langkah meninggalkan kelas yang sudah kosong itu.
“Hmm… okey lah. Hari ini cuma register. Belum masuk apa-apa kelas lagi.”
Leah tersenyum panjang. Selain rasa puasnya kerana melukakan hati Camie tadi dia juga gembira kerana Jay berada di situ semata-mata kerana dirinya. Namun tiba-tiba dia perasan satu perubahan yang berlaku dalam penampilan Jay.
“Jay, kau nampak lain hari ini.”
“Hmm… A- weird, B- gorgeous, and C- prince.”
“C- prince.”
“Tipu?”
Nope. Aku suka Jay dengan rambut hitam. You’re Jeremy look alike.” Dia cuba senyum dengan seikhlas mungkin walaupun sebenarnya bukan itu yang dikehendakinya.
Well, I am Jeremy.” Dia percaya yang dia memang Jeremy.
Yes… you are.” …urghh, aku tak suka Jeremy. Kau ialah Dew dan aku nak kau kembali jadi diri kau yang sebenar. Aku pasti akan cari peluang untuk hapuskan diari tak guna milik Jeremy itu.
“Okey, sekarang kita nak makan dimana untuk celebrate hari pertama aku sebagai mahasiswa?”
“Hmm… bukan sekarang. Aku ada urusan lain yang lebih penting untuk diselesaikan.”
“Oh, come on, Leah. Kau tak boleh kecewakan aku.”
“Jay, jangan kebudak-budakan sangat. Kau tahu kan yang aku akan datang kepada kau juga nanti. But right now, aku betul-betul tak boleh temankan kau.”
Fine…” Jay melepaskan Leah dengan berat hati. “Kita celebrate hari lain.”

Thank’s, sayang.” Leah mengusap lembut pipi Jay sebelum meninggalkannya pergi. “Kita jumpa lagi nanti.” Dan mereka berpisah di situ.

Bersambung...

Thursday, July 25, 2013

AITDS the sequel : THE WITCH THAT I LOVE (bab9)

Bab9
HELLO, my dear slave.” Leah meletakkan beg tangannya di atas meja lantas mengambil tempat duduk di hadapan Camie yang baru mengambil tempat di meja cafeteria itu.
Camie tarik kerut seribu sebaik kemunculan sahabat a.k.a. musuh kesayangannya itu. Dia menolak bungkusan sandwich dan gelas susunya ke sebelah sebelum mengangkat punggung dan menukar tempat duduk di kerusi sebelah agar tidak bertentangan dengan Leah. Dia tahu kehadiran gadis itu di hadapannya di awal pagi hanya akan merosakkan moodnya yang indah untuk memulakan harinya. Lebih baik dia mengelak perkara tersebut daripada berlaku.
“Hei, tak rasa happy ke aku datang tegur kau di awal pagi?” Leah turut mengangkat punggung berpindah tempat ke sebelah supaya dia tetap dapat bertentang mata dengan Camie.
“Aku akan rasa happy sekiranya kau tak ada apa-apa motif terhadap aku, Leah.”
Leah tersengih nakal apabila Camie dapat membaca setiap perlakuannya. “Terima kasih kerana memahami aku, kawan.”
“Jadi apa yang kau nak dari aku sekarang?” Camie meneguk susu dari gelas jernih di hadapannya. Ekor matanya tidak lepas dari menjeling Leah. Perasaannya meluat melihat lagak gadis itu yang tersenyum penuh makna terhadapnya.
“Hmm…” ekor matanya menjeling bungkusan sandwich di atas meja. “Pertama sekali, sandwich ni satu untuk aku, kan.” Tanpa rasa bersalah dia mengambil makanan Camie. Sandwich berinti tuna itu masuk ke dalam mulut.
Camie mengetap bibir menahan geram melihat Leah yang sedang tersengih terhadapnya sambil mengunyah sarapan paginya.
“Yang kedua… aku nak ucapkan tahniah kepada kau sebab assignment yang kita buat bersama tempohari dapat full mark.” Leah tersenyum ceria sebaik sandwich di dalam mulutnya habis ditelan.
“Kita?” kening Camie terangkat sebelah sambil buat muka tak puas hati. Sejak bila pula mereka buat bersama sedangkan Leah tahu yang semua tugasan tersebut diserahkannya bulat-bulat kepada Camie untuk diselesaikan.
“Ya, kita.” Anak mata Leah yang bulat itu merenung Camie penuh makna. “Aku pergi dahulu. Anyway, thanks for your treat.” Dia bangkit dari kerusi dan mula mengatur langkah untuk beredar.
“Tunggu sebentar.” Camie menahan. Ada sesuatu yang terlintas di fikirannya dan dia berasa perlu berkongsi perkara tersebut bersama dengan Leah.
“Ada apa-apa lagi?” Leah memusingkan semula tubuhnya kepada Camie.
“Ada sesuatu yang aku nak tanya pada kau.”
“Okey, tapi aku tak ada banyak masa sekarang…”
“Lima minit sahaja. Aku janji.”
Akhirnya Leah menarik semula kerusi dan duduk bertentangan dengan Camie. Ekor matanya mengerling ke jam dinding di dalam cafeteria tersebut. “Kau ada lima minit bermula dari sekarang.”
“Leah, aku terserempak dengan Dew tempohari.”
Leah diam. Merenung Camie tanpa sebarang riak. “Nonsence…”
“Aku serius!”
Leah tetap dengan reaksi yang sama. Camie hampa kerana Leah langsung tidak teruja apabila dia menyebut tentang lelaki itu.
“Okey, fine. Mungkin dia bukan Dew sebab dia kata nama dia Jay tapi…”
“Maknanya itu cuma pelanduk dua serupa. Boring…” Leah menolak kerusi dan berdiri. Mahu angkat kaki kerana tidak berminat terhadap kisah Camie.
“Leah, nanti dahulu. Aku belum lagi tanya soalan aku pada kau.”
“Ya, aku tahu soalan apa yang kau nak tanya dan jawapannya ialah ‘tidak’.”
“Hah? Tapi aku belum tanya lagi.”
“Kau nak tanya adakah aku pernah terserempak dengan Dew sepanjang berada di sini. Jawapannya TIDAK. Kau nak tanya adakah aku pernah cari Dew selama ini. jawapannya TIDAK. Kau nak tanya adakah selama ini aku percaya yang Dew dah mati. Jawapannya ialah TIDAK. Kau nak tanya adakah aku peduli tentang Dew dan jawapannya tetap sama. TIDAK!”
“Leah, aku…”
Don’t ask me anything about Dew Jeremy Orbido again.”
“Tapi aku…”
“Opss… time’s out. Your five minute it’s over. Bye bye…”

Camie mengeluh. Anak matanya hanya memerhatikan langkah Leah yang sudah pergi meninggalkannya.

Wednesday, July 24, 2013

AITDS the sequel :- THE WITCH THAT I LOVE (bab8)

Bab8
JAY baru sahaja keluar dari bilik air selepas selesai mandi. Kedengaran bunyi orang sedang menyediakan masakan di dapur. Jay tersenyum. Leah masih setia menemaninya di rumah itu. Dia berjalan menuju ke ruang tamu sebaik mengenakan pakaiannya.
Aroma masakan Leah terbang dan berjaya menangkap hidungnya. Aroma yang digemari oleh Jay setiap kali Leah berkunjung ke rumahnya. Jay tersenyum lebar sambil menjeling ke arah dapur. Dia nampak kelibat Leah sedang khusyuk memotong sesuatu di meja dapur. Gadis itu mengangkat kepala lantas melemparkan jelingan manja sebaik mengesan renungan Jay terhadapnya dari arah ruang tamu. Untuk seketika mereka berinteraksi melalui bahasa tubuh. Leah memberi amaran agar Jay jangan cuba masuk ke dapur ketika dia sedang bekerja dan Jay akur dengan arahan tersebut lalu menuju ke ruang tamu. Melemparkan tubuhnya di atas sofa.
Dia mencapai Salamander, telefon pintarnya di atas meja kopi. Playlist dibuka. Matanya bergerak meneliti setiap lagu yang terdapat dalam gadjet serbaboleh itu. Dan akhirnya dia memilih VAMPS, sebuah band muzik yang terkenal dari Asia Timur. Volume dikuatkan dan sebentar kemudian rumah itu bergema dengan himpunan lagu-lagu dari VAMPS. Lagu pertama yang berkumandang ialah Devil Side.
Leah dari ruang dapur tersenyum penuh makna sambil menjeling ke arah Jay yang sedang berbaring di sofa di ruang tamu. “This is your theme song, darling…” dia tersenyum sinis ke arah lelaki itu. Kebenaran kadangkala sukar disembunyikan biarpun dia tidak tahu siapa dirinya yang sebenar. Leah masih merenung ke arah pemuda itu yang pernah terkenal dengan jolokan The Devil suatu masa dahulu.
“Berapa lama kau kenal aku sebelum kau jumpa aku dalam keadaan sekarang?” Jay menyoal Leah sebaik menyedari gadis itu sedang berjalan menuju ke meja makan untuk meletakkan hidangannya yang baru siap.
Leah tidak terus menjawab soalan tersebut. Dia nampak Jay sedang memegang diary Jeremy di ruang tamu.
“Lebih kurang lima tahun.”
Jay mengangguk. Matanya masih tertumpu pada diary tersebut. “Jadi aku dah kenal kau sewaktu aku tulis diari ini. Kenapa aku tak pernah tulis tentang kau dalam buku ni?”
“Mungkin aku adalah orang yang kau benci sebelum ini,” jawab Leah.
“Hmm…” Jay mencebirkan bibirnya kepada Leah. Tidak percaya.
Leah mengeluh perlahan ketika membelakangi Jay. Kalaulah dia mampu berterus terang, dia adalah perempuan yang suka mengambil kesempatan terhadap kelemahan orang lain dan dia selalu mencari pasal dengan Jay sebelum ini. Mereka berdua hanya akan berbaik apabila mahu membuli orang sahaja.
“Kau kenal keluarga aku? Bagaimana hubungan aku dengan mereka?”
Sekali lagi Leah terdiam. Jawapan bagaimana sepatutnya sesuai untuk diberikan kepada Jay saat ini? dan akhirnya…
“Boleh kita skip soalan ini?”
“Tak. Aku nak tahu.”
Leah mengetap bibir sambil memandang Jay yang sedang merenung penuh harapan terhadapnya. Kepala otaknya serta merta merakam beberapa nama penting dalam hidup Jay atau Dew sebelum ini. Madam Juwiette, Tuan Ramelo dan Tok Pinatto atau lebih dikenali sebagai Lelaki Tuan Kedai. Namun jika hendak diikutkan sepatutnya mereka bukan keluarga kandung Jay. Leah tahu sebahagian daripada diri Jay memang ada dalam diari Jeremy.
“Leah, kau tahu sesuatu kan?”
Honestly… aku tak nak kau rasa sedih tapi sebenarnya hubungan kau dengan keluarga kau tidak begitu baik.”
Dahi Jay kelihatan berkerut. “Tapi kenapa dalam diari ni hubungan kami sangat erat dan keluarga aku sangat mengambil berat terhadap aku. Mereka terlalu menjaga aku. Terutama sekali Rosally. Dia protect aku dari banyak segi… atau adakah dia seorang kakak yang suka control hidup aku?”
Leah meninggalkan Jay dengan satu lirikan penuh makna… bila kau akan sedar yang sebenarnya diary itu bukan diri kau, Jay…? maksud aku Dew, itu bukan kau. Itu Jeremy. Jeremy, kembar kau yang dah lama mati. Jeremy tulis diary tersebut sebelum dia mengetahui kau ialah kembarnya. Bermakna kau belum wujud dalam sejarah hidupnya waktu tu… dan nama aku tiada dalam diari tersebut kerana Jeremy tak pernah kenal siapa aku. Kau takkan tahu kebenaran ini jika kau hanya mahu percaya pada apa yang kau mahu percaya. Aku takkan begitu bodoh untuk mendedahkan perkara sebenar kerana aku memang tak mahu kau ingat siapa diri kau sebenarnya. Tentang Camie dan keluarga kandung kau termasuk Rosally… aku tak mahu ambil peduli. Aku cuma peduli tentang diri kau seorang sahaja.
“Leah…” Jay mengekori Leah ke dapur.
“Kalau kau nak jumpa dengan family kau, katakan sahaja Jay.” Leah mencapai dua gelas kosong dan satu jag air sebelum kembali ke ruang makan. Jay tetap mengekorinya. “Kau tahu kan selama ini aku buat semuanya atas kehendak dan permintaan kau. Kalau kau dah sedia untuk berjumpa semula dengan keluarga kau, aku akan bantu. Aku akan bawa kau berjumpa dengan mereka.” …mari berpura-pura menjadi baik. Itulah Leah Dianza Mikeilson.
“Sejujurnya aku nak jumpa mereka tapi bolehkah aku percaya pada mereka?” wajahnya beriak gusar. Ada sesuatu yang membelenggu perasaannya. “Kau sendiri tahu bagaimana keadaan aku sewaktu kau jumpa aku dahulu. Aku dapat rasa ada musuh di luar sana sedang mengejar aku. Aku tak nak tanggung risiko untuk bertemu dengan orang yang aku tak ingat siapa mereka. Bagaimana kalau musuh aku ada dalam kalangan mereka?”
“Jadi bagaimana pula dengan aku? Kau percaya yang aku tak pernah tipu kau selama ini? Kau tak ada apa-apa memori tentang aku dan bagaimana kau percaya yang kita dah lama berkawan.” Leah sengaja menduga Jay. Dia mahu lihat sejauh mana lelaki itu menerima dirinya dalam hidupnya.
Jay terkesima. Anak matanya tepat merenung wajah Leah yang sedang tersenyum sinis kepadanya. Perlahan-lahan dia menarik kerusi lantas duduk di sebelah meja. Leah mengikut perbuatannya dengan duduk di sebelah Jay. Dia masih menunggu jawapan balas dari mulut Jay.
“Entah… aku tak tahu, Leah.” Dia tidak memandang Leah. Hanya tertunduk merenung meja. “Kali pertama kau muncul, kau berjaya buat aku bertenang. Kau layan aku macam seorang teman rapat. Kau peluk aku sewaktu aku ketakutan. Kau usap air mata aku dan pujuk aku sewaktu aku kesedihan. Kau buat aku rasa selesa setiap waktu jadi mungkin sebab itu aku percayakan kau.”
Leah tergamam mendengar jawapan Jay. Jika benar apa yang Jay katakan mengapa dia tidak sedar akan tindakannya terhadap Jay selama ini? Adakah ianya berlaku secara spontan setiap waktu? Dia selalu cuba menguji perasaan Jay terhadapnya dan kini perasaannya sendiri yang hampir teruji. Mampukah dia menepis perasaannya terhadap Jay walaupun bukan itu kehendaknya? Oh, dia benci kerana pernah menyukai Dew, dan kini Jay pula!
“Aku nak ambil sos sekejap. Lepas ni kita boleh makan, ya.” Leah bangun dan bergegas ke dapur. Nampaknya dia cuba mengelak untuk memanjangkan perbincangan tersebut.
Ketika Leah meninggalkan meja makan, telefon pintar Leah berbunyi di atas meja makan. Jay mengambilnya untuk melihat panggilan tersebut daripada siapa. Biasanya jika ia dari kalangan keluarga Leah, Jay berani menjawabnya.
“Tom Cruise?” dahi Jay berkerut melihat nama tersebut. Telefon masih bergetar di tangannya. Dia menjeling ke arah dapur. Kelibat Leah tiada. Barangkali ke bilik air. Jay mengambil keputusan untuk menjawab sahaja panggilan tersebut.
“Hello… Leah’s phone…”
Senyap…
“Hello…”
Tetap senyap biarpun sudah beberapa kali Jay menyapanya.
“Hei, siapa kau ni? Aku beri amaran, jangan cuba ganggu girlfriend aku!”
Tuuttt… talian diputuskan oleh si pemanggil.
“Jay, apa kau buat?” Leah muncul lantas merampas semula telefonnya dari tangan Jay. Wajahnya merona merah menahan marah apabila mendapati Jay menjawab panggilan peribadinya. “Siapa benarkan kau jawab panggilan aku?”
“Leah, aku…”
“Kau ingat kau siapa? Kenapa kau cakap macam tu? Sejak bila aku ni kekasih kau.” Leah meradang. Tiba-tiba naik angin disebabkan panggilan tersebut yang telah dijawab oleh Jay dengan cara yang salah.
“Siapa Tom Cruise?”
None of your business.”
“Baik kau mengaku sebelum tapak tangan aku sampai ke muka kau.” suaranya mula dingin. Api kemarahannya cuba dikawal walaupun sebenarnya saat ini jiwanya dirasuk oleh api cemburu yang sangat kuat.
What? Sekarang kau dah pandai nak main sepak terajang dengan aku pula?”
“Leah, siapa Tom Cruise? Please… jangan buat aku salah faham.”
“Bukan sesiapa dalam hidup aku.”
“Aku tak percaya. Kalau bukan sesiapa kenapa kau save nombor dia dalam handphone kau? dan kenapa ‘Tom Cruise’?”
Wait… wait… wait… sekarang ni apa masalah kau dengan ‘Tom Cruise’? please don’t tell me that you’re jealous.
Yes, I do.”
Leah tertawa serta merta mendengarkan kata-kata Jay yang serius. “Biar aku beritahu kau satu perkara. Di luar sana, terutama sekali di kolej aku… berderet lelaki tengah cari peluang untuk memikat aku. Kalau kau tersalah langkah walau sedikitpun, aku takkan teragak-agak untuk pergi kepada mereka.”
Jay tersenyum sinis. Setiap perkataan Leah ada maknanya yang tersendiri. Dia tahu kalau itu jalan untuk gadis itu mendesaknya bersetuju untuk masuk ke kolejnya. “You make me sick!
Leah sekadar meleretkan senyuman nakal. Melihat kemarahan Jay kali membuatkannya berasa gembira kerana ada api cemburu dalam amarah Jay terhadapnya. Dia bangga melihat perkembangan tersebut. Setelah sekian lama dia menyukai lelaki tersebut baru sekarang dia tahu apa itu cinta disebalik cemburu yang terpendam.


Bersambung lagi.... =)

Tuesday, July 23, 2013

AITDS the sequel :- THE WITCH THAT I LOVE (bab7)

BAB7

Jay meneruskan langkah kakinya menuju ke tempat kediamannya. Crow mengekorinya di belakang. Sesekali kucing tersebut bersaing-saing dengannya. Sebaik tiba di kediamannya dia mendapati pintu rumahnya tidak berkunci. Dia pelik. Dia yakin telah mengunci pintu sebelum keluar rumah pagi tadi. Dia mengesyaki sesuatu. Dengan perlahan-lahan dia memulas tombol pintu dan masuk ke dalam dengan berhati-hati.
Sejurus dia masuk matanya terpana sebaik melihat keadaan ruang tamu rumahnya yang telah berubah. Daripada semak macam tongkang pecah, kini telah kemas dan bersih. Seorang gadis berskirt pendek sedang khusyuk mengemop lantai di ruang tamu. Namun sempat melirik ke arahnya dengan senyuman menawan.
Hello, Jeremy.” Leah berhenti mengemop. Menegakkan tubuhnya sambil merenung tepat ke arah tuan rumah yang baru pulang. Melihat air muka lelaki itu yang dingin sedikitpun tidak menggugat perasaannya untuk bersikap selamba. “Fine, Jay...”
Dia menggeleng. Bukan isu namanya yang dia maksudkan. “Are you trying to suprice me?”
What??? Sekurang-kurangnya kau patut berterima kasih pada aku kan.” Leah berjalan ke arah Jay sambil bercekak pinggang. “But it’s okey… you’re welcome, Jay.” Perli sambil melemparkan senyuman sarkastik untuk tiga saat.
Jay membalas dengan senyuman yang gembira. Dia berjalan menuju ke sofa di ruang tamu. Tersenyum sekali lagi setelah melihat keadaan rumahnya. Terasa bahagia melihat panorama yang indah dalam rumah tersebut setelah dikemaskan oleh Leah.
Leah masih berdiri dan Jay sekadar menjelingnya dengan ekor mata. Sejenak kemudian gadis itu melangkah menghampiri Jay. Tertarik dengan Fanderina, gitar elektrik milik Jay di satu sudut di ruang tamu tersebut lantas sebelum duduk dia sempat mencapai gitar tersebut.
“Apa yang menyebabkan kau obsess terhadap gitar ni, Jay?”
Hei, don’t touch my stuff.” Jay merampas kembali Fanderina dari tangan Leah. “Dan tolong tukar perkataan ‘obsess’ tu kepada ‘minat’.”
“Hmm… macam kau minat pada buku atau macam kau suka pada Crow?” kelihatan Crow sedang bertenggek di sofa tunggal berwarna merah di hadapannya sambil asyik membersihkan bulunya. Itu adalah tabiatnya setiap kali pulang ke rumah selepas puas bermain di luar.
“Macam aku suka pada perempuan. Macam aku sayang pada kau, Leah” dia mencuit hidung mancung Leah sebelum bangun dari sofa.
“Whoa!” tiba-tiba Leah berasa takjub. “Nice shoot, but sorry… aku tak mudah cair.”
Jay tergelak melihat gelagat Leah yang berpura-pura tiada perasaan terhadapnya. Dia meletakkan semula gitarnya ke tempat asalnya sebelum kembali duduk di sisi Leah. Dia merenung roman wajah Leah yang masih tersenyum terhadapnya. Pandangannya tepat merenung sepasang anak mata berwarna hazel milik gadis itu. Perlahan-lahan dia mengusap hujung rambut Leah yang menyentuh sebahagian wajahnya yang mulus itu. Anak rambutnya diselak ke belakang telinga. Sentuhannya mengusap pula pipi Leah. Dalam kesempatan itu dia cuba menikmati wajah ayu gadis tersebut.
Senyuman Leah pudar perlahan-lahan apabila melihat sikap yang ditunjukkan oleh Jay. Dia merenung raut wajah Jay yang seolah-olah menyimpan sesuatu dalam hatinya. “Jay…” Dia memaut lembut pergelangan tangan Jay sebelum merebahkan tubuhnya ke dada Jay. Jay merelakannya. Tubuh Leah didakap dari belakang.
“Aku minta maaf.”
“Untuk apa?” dia mengemaskan dakapannya terhadap Leah.
“Sebab aku tak pernah yakin dengan perasaan kau terhadap aku.” Dia membiarkan sentuhan Jay menjalar di tubuhnya.
“Sebab kau takut kalau aku berubah hati jika aku dapat semula benda yang aku hilang.” Tangan kanannya menyentuh belakang tapak tangan Leah.
Leah mengangguk.
“Kau sayangkan aku tapi kau cuba mengelak dari menyintai aku, Leah.” Dia meramas lembut tapak tangan Leah dan Leah tetap membiarkan perlakuannya.
“Jadi kau boleh decide yang aku sebagai selfish sebab cuba memiliki kau dengan cara kotor.”
“Kenapa pula?”
“Sebab aku tak pernah cuba untuk pulihkan ingatan kau. Aku lebih rela biarkan kau pilih jalan yang salah daripada cuba untuk atasi krisis yang kau sedang alami sekarang.”
Setahun yang lalu takdir telah mencampakkan dirinya ke wilayah ini. Jay tidak tahu apa yang telah berlaku ke atas dirinya sebelum dia pengsan dan dirawat di hospital ketika itu. Doktor mengesahkannya mengidap amnesia dan tanpa sebarang pengenalan diri dia keseorangan mengharungi hari-hari gelapnya. Dia cuma ada sebuah diari dengan nama Jeremy yang ditemui bersamanya ketika dia pengsan. Hanya diari itu sahaja sebagai bahan untuk mengesahkan identitinya walaupun dia langsung tidak dapat mengingati sebarang memori yang tercatat dalam diari tersebut. Dia percaya diari itu kepunyaannya disebabkan sekeping foto Jeremy di dalam diari tersebut.
Nasib Jay sangat baik apabila Leah menemuinya di hospital tersebut sewaktu gadis itu hendak melawat ahli keluarganya yang sakit. Ketika itu emosinya sangat terganggu dan dia hampir cuba membunuh diri. Dia tertekan kerana berada di tempat asing dan tidak mengingati siapa dirinya dan apa yang berlaku ke atasnya sebelum dia terlantar di hospital tersebut. Doktor dan jururawat cuba memujuknya namun gagal.
Leah muncul tepat pada masanya. Leah menghampirinya dan menenangkan dirinya dengan satu pelukan. Kemudian gadis itu senyum kepadanya dan menghulurkan salam persahabatan. Jay cuba memahami siapakah gadis tersebut yang tiba-tiba muncul mengaku sebagai sahabatnya. Dia tidak kenal siapa Leah tetapi dia rasa selesa dan tenteram setiap kali berbual dengan Leah. Sejak dari hari itu Leah datang menemuinya hampir setiap hari. Malah setelah dibenarkan keluar dari hospital, Leahlah yang paling banyak membantunya untuk memulakan kehidupan baru. Bermula dengan tinggal bersama keluarga Leah dan akhirnya setelah mendapat pekerjaan tetap dia mengambil keputusan untuk hidup berdikari di Kota Lisberg ini.
Jay memaut tubuh Leah perlahan-lahan untuk kembali membetulkan kedudukannya. Dia mencapai sesuatu dari bawah meja kopi. Sebuah diari milik seorang pemuda bernama Jeremy diletakkan di hadapannya, di atas meja kopi.
“Aku suka dengan kehidupan aku sekarang. Aku rasa bebas. Aku takut untuk cuba ingat memori aku yang hilang. Aku takut kalau ianya tak seindah seperti yang aku harapkan,” luahnya.
“Jadi ini jawapan untuk persoalan yang kau timbulkan tentang diri kau dan karektor  Jeremy dalam diari ini.” Jay menoleh ke arahnya. “Separuh hati kau mula merasakan yang kau bukan Jeremy, kan Jay.”
“Bukan begitu…” dia memaut tapak tangan Leah dan menggenggamnya dengan erat. “Aku cuma belum sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Aku takut andai suatu hari nanti aku akan kehilangan kau seandainya ingatan aku pulih.”
Yes, you will.” Leah meleraikan genggaman tangan Jay terhadapnya. Dia mencapai sebuah fail di dalam begnya lantas menyuakannya kepada Jay. “Jadi aku dah prepare yang terbaik demi masa hadapan kau. Ini dia.”
“Apa ni?” Jay mencapai fail tersebut lalu dibeleknya.
Leah merapatkan punggungnya kembali di sisi Jay yang sedang membaca satu persatu isi kandungan fail tersebut. Matanya yang turut tertumpu pada fail tersebut sesekali menjeling raut wajah Jay. “Aku tak pasti apa impian kau, Jay. Tapi aku tahu apa yang kau suka jadi aku harap kau takkan lepaskan peluang ini. Aku tak nak kau sia-siakan bakat yang kau ada.” Kepalanya mula dilentokkan ke bahu Jay. “Aku nak kau masuk kolej dan kita belajar bersama-sama.” Tapak tangannya disatukan dengan tapak tangan Jay. “Tentang perbelanjaan ke kolej kau tak perlu risau. Aku akan cari jalan untuk uruskannya.”
“Leah, aku…” dia tidak sempat menghabiskan bicara. Leah sudah angkat kepala dan memintas kata-katanya.
“Boleh tak cuba beri peluang pada aku untuk atasi sifat buruk aku. Aku cuba untuk tidak menjadi selfish dengan menjadikan kau umpama hak milik peribadi aku, jadi tolong terima cadangan aku demi kebaikan masa hadapan kau,” kata Leah dengan tegas.
Jay tahu selama ini Leah sentiasa ada di sisinya. Ketika dia hilang arah Leah muncul menunjukkan jalan. Ketika dilanda krisis besar dalam hidupnya, Leahlah orang yang paling banyak membantu. Dia kehilangan identiti dan tercampak ke sebuah wilayah yang asing dan Leahlah yang paling banyak memberikan semangat kepadanya. Dia sentiasa rasa hidup setiap kali Leah berada disisinya.
“Kau beritahu aku… apa yang boleh mengubah situasi aku jika aku masuk ke kolej?”
A life. Banyak perkara menarik yang akan kau tempuhi kelak. Aku yakin kau akan sukakannya.” Leah senyum dengan penuh yakin. Dia mahu Jay percaya pada dirinya.
“Selain dari itu?”
“Aku nak kau buktikan yang kau masih cintakan aku walaupun ingatan kau akan pulih suatu hari nanti.” Dia tetap ada agendanya tersendiri.
“Kau fikir ingatan aku boleh pulih dengan hanya masuk belajar di kolej?” leretan senyuman di bibir Jay seakan mengejek idea Leah yang tidak masuk akal baginya.
Well… kalau dunia pun boleh terbalik angkara manusia inikan pula ingatan seorang The Devil macam kau. Who knows...” Senyumannya yang penuh makna menggambarkan agenda tersembunyi yang sedang direncanakannya.
Jay cuba menangkap maksud kata-kata Leah namun gagal. Ekor matanya memerhatikan sahaja Leah yang sedang berjalan menuju ke penjuru ruang tamu lalu mengangkat mop dan baldi yang digunakannya tadi menuju ke bilik air. Jay ditinggalkan sendirian memikirkan suatu persoalan tentang masa hadapannya.

**********

“TERIMA KASIH, Shin.”
Setelah hampir sejam menanti sebuah harapan akhirnya Camie berjaya turun ke bawah pokok hasil bantuan Shin. Puas juga dia menghubungi Shin tadi dan tidak berhasil. Rupanya pemuda itu sedang dalam latihan olahraga jadi tidak dapat menjawab panggilan Camie. Mujur akhirnya latihan Shin tamat dan setelah melihat lebih sepuluh miss call yang diperolehinya daripada Camie, Shin segera bergegas mendapatkan Camie.
“Kau okey? Ada cedera kat mana-mana tak?” Shin mengambil berat.
“Cedera?” ekor mata Camie mengerling Shin sambil membersihkan pakaiannya yang kotor. “Cedera di hati,” gumamnya perlahan. Roman wajahnya berkerut. Terbayang-bayang lagi bagaimana teruknya layanan Jay terhadapnya tadi.
“Hei, katakan yang semua ini bukan berkaitan dengan Dew? Or Jay?”
Camie sekadar mengangguk sebelum mengambil tempat di tempat duduk awam berhampiran taman tersebut. Shin mengekorinya.
“Jadi, dari mana kita nak mulakannya?” Shin mengambil tempat duduk di sebelah Camie yang sedang membetulkan ikatan rambutnya. Shin merenungnya dengan penuh minat. Tidak pasti samada berminat terhadap kisah Camie atau terhadap gadis itu sebenarnya.
“Macam mana aku nak percaya yang dia bukan Dew kalau perangai dia saling tak tumpah seperti Dew, Shin?”
“Contohnya?”
“Dew suka kucing. Jay pun bela seekor kucing. Dew suka beri nama binatang lain pada kucingnya. Jay pun sama. Dew panggil kucing dia Bunny. Jay pula panggil kucing dia Crow. Perangai Dew sarkastik dan tak peduli dengan masalah orang lain. Jay pun macam tu juga.”
“Biar aku teka… tadi kau terserempak dengan Jay dan Jay tak pedulikan kau.”
Camie mengangguk sambil mengeluh.
“Dia tak rasa simpati atau nak tolong kau turun dari pokok tu?”
Camie menggeleng. Mengeluh dengan lebih berat. Shin cuba memahami betapa sedihnya perasaan Camie ketika ini.
“Sebenarnya aku cuba selamatkan seekor kucing yang tersangkut di atas pokok tadi. Kemudian Jay muncul dan memanggil kucing itu. Rupanya itu kucing dia. Siapa sangka rupanya kucing tu pun pandai main trick kotor dengan aku. Lepas tu baru aku sedar yang tersangkut di atas pokok waktu itu sebenarnya ialah aku. Aku cuba dapatkan pertolongan dia tapi…” tiba-tiba matanya berkaca-kaca. Sebak.
It’s okey. Aku faham.” Shin menyentuh dan mengusap perlahan-lahan bahu Camie untuk menenteramkan perasaannya. “Aku dah selamatkan kau, kan. Jadi jangan sedih sangat.”
Camie mengangguk sambil menyeka air mata yang hampir menitis di kelopak matanya.


Bersambung...