Kawan2 yg saya Sayang

Wednesday, June 9, 2010

Angel In The Devil Suit 1 ::Bab 5::




Bab5
JEREMY melangkah ke pintu. Pintu stor itu ditutup semula dengan rapat. Suasana bertambah suram. Jeremy memetik suis dan sekejap kemudian cahaya kuning menerangi bilik tersebut. Pemuda itu melompat duduk di atas meja dekat dengan pintu.
Leah dan dua orang lagi konconya tadi menghampiri Jeremy seolah mahu menerima satu tugas daripada The Taiko.
“Leah, kau tolong aku uruskan budak perempuan ni.”
“Hahaha~!” Tiga gadis tadi ketawa serentak.
Jeremy menarik kerut di wajah. What the hell… mangkuk tiga ekor ni gelak pula? Ingat aku buat lawak apa…
“Are you serious, Dew?” tanya Dya sambil menekup mukanya dengan kolar sweater-nya kerana menahan tawa yang masih bersisa.
“Jeremy The Taiko minta tolong daripada Leah The Queen of Pirate… Kya~!” Mandy gelak sakan di belakang Leah dan Dya.
SMACK!
Adoi! Sekali aku kena Dead Chop dengan Leah daa~. Mandy terdiam serta-merta setelah tangan kanan Leah melancarkan Dead Chop ke leher Mandy.
“Kan aku dah cakap jangan gelar aku Queen of Pirate lagi. Nama tu tak comel!” Mata Leah menikam mata Mandy yang kebetulan menjeling kepadanya setelah terkena Dead Chopnya tadi.
Leah The Dead Chop Forever…” Gumam Dya perlahan sambil menggeleng kepala memerhatikan tindakan Leah terhadap Mandy.
“Aku tak boleh buat…” Semua kembali memberi perhatian kepada Jeremy semula. “Dia perempuan. So korang lebih sesuai. Kalau aku yang buat tak pasal-pasal budak ni tak hidup lagi lepas ni,” kata Jeremy dalam riak selamba.
Camie semakin berdebar-debar. Dalam hati sedang meneka-neka apa yang bakal mereka lakukan terhadap dirinya.
“Dew…” Leah mengambil tempat di sebelah Jeremy. Matanya melirik kepada lelaki tersebut.
Jeremy membalas renungan Leah dengan pandangan yang dingin. Tidak tertarik langsung dengan renungan seksi gadis itu.
“Aku ingat kau ni berani sangat… rupanya dalam hal macam ni pun kau nak minta tolong daripada kami,” kata-kata itu sengaja mahu menyindir Jeremy.
 “Tak seronok bermain dengan budak perempuan. Hari ini aku nak jadi penonton sahaja,” ujar Jeremy sebelum menolak Leah turun dari meja. Nampaknya Jeremy langsung tidak kisah dengan sindiran Leah.

Dya dan Mandy pergi menghampiri Camie yang menyorok di penjuru bilik. Tidak dapat keluar melarikan diri, jadi terpaksa mencari mana-mana tempat yang selamat sebagai tempat perlindungan sementara… tapi nampaknya tiada satu tempat yang logik dipanggil selamat pun di situ.
Dya menarik lengan Camie dengan kasar. Didudukkan gadis malang itu di tengah-tengah bilik. Mandy menarik wajah Camie dan dihadapkan ke arahnya. Di belek-belek wajah yang sedang ketakutan itu.
“Wei, kau ni budak baru ya?”
Pap!
Mandy memukul kepala Dya. “Soalan tu tak penting,” katanya sebelum dia yang bertanya kepada Camie. “Kau ni berani sangat atau bodoh sebenarnya? Dengan Jeremy, kau tak patut buat dia marah. Lain kali kena lah berbaik-baik dengan The Taiko kalau nak hidup lama dalam kolej ni…”
Pap!
Giliran Mandy pula di tampar kepalanya oleh Dya. “Kau nak sound dia atau nak beri nasihat? Nak kena Dead Chop dengan Leah lagi ke?” tegur Dya.
“Woi! Korang berdua buat apa, hah! Siapa beri arahan untuk sentuh budak tu?” Suara lantang Leah memecah suasana di dalam bilik tersebut. “Grr… gelojoh. Tak sabar-sabar. Belum dapat arahan dah mula bertindak.”
Dengan segera Dya dan Mandy melepaskan Camie. Leah berjalan ke tengah bilik. Dya dan Mandy memberi laluan kepada Leah yang mahu mendapatkan Camie. Camie menundukkan kepala. Tidak berani bertentang mata dengan mereka semua terutama Leah. Nampak saja cantik rupawan tapi perangai sama spesies dengan Jeremy… pembuli! Jere… err, boleh tak kalau aku panggil ‘Dew’ macam mereka semua? Ahh~ bukan ini masanya untuk fikirkan perkara tu. Dan kenapa perangai perempuan ni tak selaras dengan kecantikan dia… huh~… Camie mengeluh perlahan.
Leah menarik pangkal baju Camie untuk membangunkannya secara paksa. Tubuh Camie ditolak kasar ke dinding. Wajah gadis itu dicengkam kemas dan dihadapkan ke arahnya.
“Hei… aku dengar kau dah buat Dew bengang tempohari.”
“Err…”
“Disebabkan kau budak baru, aku akan maafkan kesalahan kau pada The Taiko… tapi kau tetap akan terima hukuman daripada kami.”
Erk… alamak! Aku macam dah masuk sarang ular sawa dalam kandang harimau pula. Jeremy, tolong selamatkan aku… Camie mendongak ke langit. Seolah-olah mencari roh sang kekasihnya. Kan bagus kalau Jeremy masih ada di sisi aku seperti dulu.
Kepala yang mendongak tadi jatuh dan terpanah kepada seorang lagi Jeremy yang sedang duduk bersenang-senang di atas meja di satu sudut. Shit… he is not my Jeremy! kenapa takdir aku dipertemukan dengan lelaki macam dia. Teruk betul!
Jeremy hanya memerhatikan Camie yang sedang dibuli tiga orang gadis tadi tanpa ada sedikit perasaan untuk menyelamatkan gadis itu. Heh, mana mungkin Jeremy akan selamatkan Camie kalau dia sendiri yang mengarahkan Leah melakukan tindakan tersebut. Lelaki itu menonton tanpa perasaan sambil menghisap lollipop yang di ‘rompak’ dari beg sandang Leah di atas meja tempat duduknya.
Camie memandang dengan sakit hati. Jeremy mengangkat sebelah kakinya ke atas meja. Tangan kanannya memegang rambut yang terjuntai di dahi. Kemudian mengocak-ngocak rambutnya yang sudah semakin panjang. Rambutnya jadi kusut. Jeremy sangat selekeh dengan keadaan rambutnya yang berserabut dan kemeja yang tidak dikemaskan ke dalam seluar dan dibiarkan tidak berbutang.
Dia terus menyaksikan Leah dan Mandy yang sedang mengerjakan Camie. Sementara Dya pula sedang menyelongkar beg Camie. Semua buku-buku dan segala isi beg berselerak di atas lantai. Dya menyelak salah satu buku-buku Camie. Dia ketawa. Jeremy tak tahu apa yang menggelikan hati Dya dan dia memang tidak mahu ambil tahu.
Mandy yang tertarik mendengar tawa temannya segera menghampiri Dya untuk ambil tahu apa yang sedang dibelek oleh temannya itu. Leah tak ambil port. Dia membiarkan saja teman-temannya menyelongkar barang-barang Camie.
“Whoa~~!!”
Tiba-tiba jeritan Mandy dan Dya menarik perhatian yang lain. Jeremy turun dari meja dan menjenguk mereka dari tempat statiknya. Leah yang sedang memeluk tengkuk Camie turut melontar pandangan kepada Mandy dan Dya.
“J-jere…Jeremy… Dew!” kata Mandy tergagap-gagap sambil matanya tepat memandang Jeremy. Tangannya menuding pada dompet Camie. Sama juga dengan Dya yang sedang tergamam pada waktu ini.
Jeremy garu kepala. Tidak faham dengan maksud yang cuba disampaikan oleh Mandy. Namun dia masih belum tertarik untuk pergi mendapatkan kepastian daripada mereka berdua.
Camie yang sedar dompetnya turut diselongkar segera menolak rangkulan Leah untuk pergi menyelamatkan harta bendanya. Bukan duit yang dia risaukan tetapi gambar yang lebih bernilai daripada segala-galanya yang terselit di dalam dompet tersebut.
“Bagi barang aku!” Camie cuba merampas dompetnya.
Namun Dya lebih pantas menyelamatkan dompet tersebut daripada tangan Camie. Dia tidak akan menyerahkan barang Camie selagi dia tidak mendapatkan penjelasan tentang gambar yang baru dilihatnya bersama Mandy. Dia mahu penjelasan daripada Jeremy dan Camie sendiri.
“Tak semudah itu.”
Leah menarik belakang baju Camie. Camie jatuh melanggar dinding di belakang Leah. Leah segera mendapatkan teman-temannya untuk melihat apa yang menarik perhatian mereka tadi.
“Hah!” Leah turut terperanjat setelah melihat foto tersebut. Dia membawa foto tersebut pergi mendapatkan Jeremy.
Jeremy yang menyilang tangan ke hadapan tubuh sambil menghisap lollipop itu memandang Leah yang sedang menghampirinya. Apa kes ni?
“Dew, apa makna gambar ni? Sejak bila kau berkenalan rapat dengan perempuan hodoh ni?” Leah nampak marah. Matanya menjegil mencerling Jeremy.
Namun begitu Jeremy cukup tenang tanpa sebarang reaksi. Baginya selagi belum tahu hujung pangkal cerita lebih baik jangan cepat melatah. Tapi yang peliknya kenapa Leah nampak marah semacam ni?
Foto di tangan Leah diambil dan dilihatnya. Jeremy kaku lama merenung foto tersebut. Dahinya berkerut hebat. Kening bagai hendak bercantum di tengah dahi akibat menahan perasaan marah... eh, bukan… sebenarnya pelik… dan cuak juga. Apa tak cuaknya bila tengok diri sendiri bersama perempuan yang tidak pernah dikenali sebelum ini (walaupun cuma di dalam gambar).
Apa yang sedang aku lihat sekarang? Kenapa ada gambar macam ni dalam simpanan perempuan pelik ni? Bila pula aku ambil gambar dengan dia? Siap berpeluk manja pula tu. Gila betul… aku sedang bermimpi atau apa ni. Err, ataupun ini sebenarnya foto yang di-edit. Perempuan hodoh ni yang cantum gambar aku dengan dia… tapi sejak bila pula dia ada gambar aku. Kenal aku pun tidak sebelum ni… hah! Entah-entah dia peminat rahsia aku. Oh… tidak~ tak mau, tak mau~! Lebih baik aku ambil Leah jadi awek aku daripada couple dengan perempuan hodoh ni.
Jeremy segera menyampak foto tersebut ke lantai. Dia melangkah mendapatkan Mandy dan Dya. Dua orang gadis itu ditarik bangun. Kemudian bersama-sama Leah ditolak mereka semua keluar dari bilik stor sukan. Tiga orang gadis itu terpinga-pinga.
“Woi, tunggu sekejap!” Leah menepis tangan Jeremy yang sedang menolaknya. Dia memusing badan dan menghadap Jeremy. “Kau belum jelaskan hubungan sebenar kau dengan perempuan tu. Cepat bagi tau siapa dia?” jelas riak wajah Leah menggambarkan ketidak puasan hatinya terhadap Jeremy.
“Jangan banyak cakaplah. Jom blah!” kata Jeremy seraya menolak semula Leah dan yang lain-lain keluar dari situ meninggalkan Camie.
“Eh, tapi kita kan tengah…”
“Diamlah, Mandy!” tengking Jeremy.
Mandy memuncung… apasal marah aku pula. Dew ni peliklah. Tiba-tiba saja nak kami berambus pula. Bukan ke tadi dia yang suruh ajar Si Hodoh Camie tu…
Camie diam melihat mereka semua yang diarah keluar secara paksa oleh Jeremy. Sebaik mereka semua hilang dari pandangannya Camie segera mengutip barang-barangnya yang bertaburan di atas lantai. Buku-buku dan peralatan belajarnya dikumpulkan dan dimasukkan semula ke dalam beg dan kemudian matanya terpandang fotonya yang dicampak Jeremy berdekatan dengan kaki meja. Camie merangkak pantas pergi mendapatkannya.
Camie menangis merenung insan yang dicintai di dalam foto tersebut. “Terima kasih, Jeremy… awak selamatkan saya hari ni. Walaupun awak tiada di sisi saya lagi tapi saya percaya yang awak tetap akan melindungi saya sepanjang masa. Awak tak mungkir janji awak kan.
“Oh ya… kenapa air muka Jeremy berubah lepas tengok gambar ni? Hurm… agaknya dia terkejut tengok cinta hati aku yang seiras dengan dia kot. Padan muka kau. Lepas ni dia mesti tak berani nak buli aku lagi.” Dalam tangisan yang masih berlagu itu Camie tersenyum puas. Terima kasih kepada Jeremy yang telah menakutkan Jeremy The Taiko.

Angel In The Devil Suit 1 ::Bab 4::




Bab4
JEREMY menolak tubuh Camie masuk ke dalam stor sukan. Camie jatuh tersungkur di longgokan bola yang sudah pancit. Suasana dalam stor sukan itu suram. Hanya berbekalkan cahaya dari jejaring di bahagian atas dinding stor sahaja. Camie bangkit bangun perlahan-lahan.
Wajah dingin di hadapannya direnung takut-takut. Jeremy menarik baju kemejanya keluar dari seluar. Satu persatu butang baju di tanggalkan. Camie memandang dengan biji mata terbuntang. Cuak. Apa Jeremy nak lakukan terhadap aku? Mati aku hari ini…
Jeremy berjalan mendekati Camie. Dan Camie terundur-undur ke belakang. Matanya melilau mencari ruang untuk melarikan diri. Dadanya berdebar-debar. Memikirkan sesuatu yang dasyat bakal dilakukan oleh Jeremy The Taiko.
Jeremy tersenyum sinis memandang wajah yang sedang ketakutan di hadapannya itu. Dia bercekak pinggang sambil terus merenung Camie.
“Jeremy, jangan buat aku macam ni…” Camie tidak berani memandang tubuh Jeremy biarpun pemuda itu memakai singlet di dalam kemejanya. Baginya Jeremy sangat menyeramkan pada ketika ini.
“Hahaha~!” Kedengaran gelak semangat kejahatan Jeremy memenuhi ruang stor yang ala-ala samar dan menakutkan itu.
Klak…
Pintu dibuka dari luar. Harapan Camie untuk melepaskan diri muncul semula. Yes, superhero dah datang untuk selamatkan aku. Wajahnya membentuk senyuman kelegaan kerana akan ada orang yang datang untuk menyalamatkan dirinya daripada syaitan bertanduk sembilan di hadapannya ini.
“Dew…” Seorang gadis berambut panjang berombak berdiri di muka pintu bersama dua orang lagi temannya. Seorang berambut pendek berpotongan bob dan seorang lagi memakai sweater nipis berwarna hitam dengan logo tengkorak dan hati di bahagian dada.
Whoa~! Macam Charlie’s Angel lah gaya mereka. Senyuman segunung harapan terpamer di wajah Camie. Berharap yang tiga orang gadis yang baru muncul itu ialah Charlie’s Angel yang bakal menyelamatkannya.
Jeremy menoleh kepada tiga orang gadis yang baru muncul itu. Tiga orang gadis tadi melangkah mendekati Jeremy dengan gaya angkuh mahu menentang seorang taiko. Camie tidak pasti samada mereka bertiga berani menentang kejahatan manusia bernama Jeremy ini atau tidak. Harap aku dapat bergantung kepada mereka bertiga.
“Apa kau buat ni, Dew?” Si gadis manis dengan rambut berombak tadi bercekak pinggang bertanya kepada Jeremy dengan wajah yang serius.
Jeremy senyum dan masih lagi dengan wajah sarkastiknya memandang ke arah Camie. Camie benci melihat Jeremy waktu ini.
“Leah, aku nak kau uruskan budak ni,” katanya.
“Ahah… jadi dia inilah yang kau beritahu aku semalam.”
Jeremy cuma meleretkan segaris senyuman nipis kepada gadis bernama Leah itu.
Taste kau sangat teruklah, Dew.” Si gadis berambut potongan bob tadi menjuih bibir. Tangannya bersilang ke hadapan dan wajahnya ditarik memandang ke siling mengelak dari pandangan Camie. Tingkahnya itu telah menjelaskan yang dia tidak sukakan Camie.
“Mandy, berhenti beri komen tentang sesiapa pun. Kau fikir kau tu bagus sangat ke?” Gadis ber-sweater tadi menegur sikap temannya yang suka mengkritik orang.
“Hei, kau tak rasa ke yang perempuan ni berpakaian pelik. Dengan baju bertali-tali… skirt jalur-jalur macam kuda belang… stoking panjang sampai atas lutut… sanggul pula tinggi macam nenek aku punya gaya…”
“Mandy, kau pernah rasa Dead Chop kan. Sekali lagi kau kritik tentang penampilan orang, aku jamin kau akan dapat rasa Dead Chop aku sekali lagi.” Leah menjeling marah kepada Mandy.
Mandy diam terus dan tidak lagi bersuara. Tidak berani menentang ketua mereka. Dya menyimpan senyum mengejeknya apabila Mandy memulangkan jelingan Leah tadi kepadanya.
Camie rasa tidak sedap hati. Mereka bertiga tidak seperti orang yang akan menyelamatkannya daripada The Devil. Orang yang nak selamatkan aku mana mungkin pro Jeremy. Siapa mereka sebenarnya? Oh, tidak… tak kanlah mereka ni rakan sekutu Jeremy. Teruknya~! Hati Camie menjerit. Rasa macam nak menangis dah ni…

Angel In The Devil Suit 1 ::Bab 3::




BAB3
GILA! Mana boleh aku siapkan homework last minute macam tu. Melampau betul. Sekarang mana aku nak lari? Kejap lagi dia mesti muncul semula. Apa aku nak buat kalau dia bawa geng dia untuk belasah aku? Ish… tak kan dia sanggup nak buat macam tu pada seorang perempuan macam aku. Tak mungkin kot… tapi Phim kata Jeremy pernah lempang seorang budak perempuan yang cuba nak bermesra dengannya. Budak tu syok pada Jeremy dan cuba nak tarik perhatian Jeremy tapi padahnya tamparan maut Jeremy pula yang dia dapat. Sadis betul.
“Woi, budak!”
Suara itu sangat dicam Camie. Bala sudah mari…
Klekuk!
“Woi, kau tak dengar ke aku panggil.”
“Ouch…!” Camie memegang kepala yang sakit akibat diluku oleh Jeremy. Perlahan-lahan dia menoleh kepada lelaki itu. Rasa macam nak luku dia balik saja. Dia ingat tak sakit ke luku orang macam tu.
“Kau nak apa? Aku nak baliklah,” kata Camie walaupun dia was-was akan terlepas dari cengkaman Jeremy hari ini.
“Owh, nak balik ya. Boleh… tapi sebelum tu kena ikut aku dulu.” Jeremy melompat duduk di atas meja sambil memijak kerusi Camie, menghalang laluan gadis itu.
“Err… nak pergi mana? A-aku tak boleh ikut kau. Ke-kena balik cepat ni. Na-nanti mak cik aku marahlah,” dengan suara yang tergagap-gagap Camie cuba memberi alasan.
“Urusan kau dengan mak cik kau aku tak nak campur. Sekarang kau kena uruskan masalah kau dengan aku dulu kalau kau nak balik.”
Jeremy menarik kasar tangan Camie. Dia menapak kaki di lantai dan segera melangkah keluar dari kelas. Tergopoh-gapah Camie berjalan menuruti langkah panjang pemuda tersebut.
“Woi, nak pergi mana ni? Lepaskanlah tangan aku. Sakit ni,” pinta Camie sambil cuba menarik pautan tangan Jeremy yang kejap dan kuat itu.
Jeremy tidak mengendahkan rungutan Camie. Dia terus menarik gadis tersebut ke suatu tempat. Wajahnya tersenyum sinis melihat kerut wajah Camie yang ketakutan.
“Je-jeremy… tolonglah lepaskan aku. Kau nak buat apa pada aku?”
Hahaha… takut ya. Lagi kau takut lagi seronok permainan aku hari ini. Tunggu sekejap lagi kalau nak aku lepaskan kau.
Jeremy terus melangkah dengan pantas. Namun tiba-tiba langkahnya mati mengejut sehingga menyebabkan Camie hampir tersungkur melanggar belakang Jeremy.
Adeh… sakitnya batang hidung. Gila betul lelaki ni. Berhenti mengejut macam nampak hantu pula. Aduh~… Erm… hantu ke apa depan aku ni? Laa… patutlah si Jeremy ni berhenti mengejut. Betul-betul nampak hantu rupanya. Cikgu Stein sedang terpacak di hadapan sambil merenung dengan curiga. Cikgu, selamatkan saya… tolonglah~
“Apa yang kamu berdua buat di sini? Tak balik lagi?” soalnya.
Dengan wajah dusta yang berjaya disembunyikan Jeremy berkata-kata. “Kami ada study group petang ni, cikgu.”
Penipu! Camie kerling Jeremy dengan geram. Senyuman manis yang palsu di wajah Jeremy tambah menyakitkan hatinya. Segera Camie mengalih pandangan kembali kepada Cikgu Stein semula. Dia perlu bertindak cepat sebelum Cikgu Stein pergi.
“Err, Cikgu Stein…”
“Tak apalah, cikgu. Kami nak cepat ni. Pergi dulu ya.” Dengan pantas Jeremy memintas Camie. Cuba nak dapatkan bantuan… heh, jangan mimpilah.
“Err…” Camie yang sudah di tarik oleh Jeremy semula itu tidak lepas merenung Cikgu Stein. Mohon simpati. Kepalanya menggeleng-geleng perlahan, berharap Cikgu Stein faham maksud tersirat yang cuba hendak disampaikannya.
“Tunggu dulu!”
Serentak dengan itu langkah Jeremy mati semula. Gulp… telan liur. Tak kan aku nak terkantoi kot. Ish, susah ni. Cikgu Stein yang blur ni memang agak menyusahkanlah.
Bagus! Nampaknya kemunculan Cikgu Stein memang tuah buat aku. Cikgu Stein, Camie bergantung pada cikgu. Tolong selamatkan saya daripada lelaki ni… tolonglah~
“Kalau kamu berdua ada masalah dalam pelajaran, cikgu sedia membantu. Cikgu di perpustakaan petang ni.”
Fuh~ Cikgu Stein ni buat aku cuak saja. Nasib baik dia tak suspect apa-apa. Hahaha, matilah kau perempuan sekejap lagi.
“Terima kasih, cikgu,” ucap Jeremy dengan senyuman mesranya yang palsu seperti tadi.
Ahh~ teruknya… kenapa boleh jadi begini pula. Cikgu Stein ni buta ke. Budak gangster macam Jeremy ni mana mungkin nak buat study group dengan aku. Cikgu Stein memang tak boleh pakai. Superman, tolong selamatkan aku dari bala~!

Angel In The Devil Suit 1 ::Bab 2::




BAB2
SEMINGGU telah berlalu. Dan aku melalui hari-hari yang paling menyiksakan di tempat yang teruk ni. Bukan saja kerana terpaksa mengikut rentak mak cik Paula yang cerewet malah terpaksa melalui satu azab yang besar di sekolah baru ini. Hai~ aku dah cukup tersiksa dengan perangai mak cik Paula. Sekarang aku terpaksa berhadapan dengan lelaki tak guna yang jahat tahap karma tu. Kenapalah nasib aku ni selalu kena buli dengan semua orang. Malang betul!
Aku sangat bahagia pada mulanya kerana menyangka jelmaan Jeremy telah muncul. Namun tak sampai sehari pun aku mengenalinya aku mula sedar yang langit tu betul-betul tak rendah. Wajah dan nama mereka sama tapi hakikatnya perangai mereka macam devil vs angel.
Nama dia Dew Jeremy Orbido. Jeremy… kenapa nama itu? Dia tidak patut gunakan nama tersebut! Dia tak sama seperti Jeremy aku. Perangai dia teruk. Sangat teruk. Jeremy aku lemah lembut dan bersopan bila bercakap dengan perempuan tapi makhluk asing ni kasar dan suka mencarut. Jeremy aku top student di kolej… tapi dia ni aku tak tahu lah pula. Nampak gaya tak ada rupa macam pelajar cemerlang pun. Suka tidur dalam kelas pula tu. Jeremy aku seorang pembela wanita dan memerangi keganasan. Berbeza dengan dia… lelaki ni bukan peduli aku ni perempuan ke lelaki. Suka-suka dia saja nak pukul aku. Selain itu dia suka buli aku buat itu dan ini. Anggap aku ni macam hamba dia. Aku pula tak pandai nak melawan. Dulu pun aku tak pernah melawan bila kena buli. Jeremy yang selalu jaga aku. Aku rasa selamat bila berada di samping Jeremy. Tapi sekarang aku tak boleh bergantung pada Jeremy lagi. Semuanya aku kena buat sendiri.
Lepas kenal dengan budak yang sama muka dengan Jeremy ni setiap hari aku menangis. Aku sedih sangat. Bukan sebab dia selalu buli aku tapi sebab dia mengingatkan aku pada Jeremy. Aku rasa tersiksa bila pandang diri dia. Walaupun perangai dia teruk tapi sedikit sebanyak rindu aku pada Jeremy terubat setiap kali memandang wajahnya. Aku rasa macam nak peluk dia. Kalau masa boleh dibekukan sekejap, aku harap dapat peluk dia. Jeremy, aku rindukan kau…
“Woi, tepilah!”
Gertakan lelaki di belakangnya menyebabkan Camie terkejut dan terpeluk pintu di sebelahnya.
“Kau ni berkawan baik dengan pintu ni ke? Kalau ya, balik karang kopak bawa baliklah pintu ni… tepilah! Aku nak lalu!” Jeremy menolak kasar Camie yang terkulat-kulat di lawang pintu kelas.
Camie mengerling Jeremy yang sedang menuju ke tempat duduknya dengan ekor mata. Dalam hati sudah menyumpah-nyumpah lelaki itu. Tapi dia tidak berani hendak bersuara. Takut lebih teruk Jeremy mengenakannya nanti. Haila nasib~ perlahan-lahan Camie melangkah ke tempat duduknya di sebelah Jeremy.
Jeremy sudah lesap ikut pintu belakang sebaik dipanggil oleh Jiro. Terima kasih, Jiro. Kau selamatkan aku daripada terus berdepan dengan makhluk yang menakutkan itu. Secebis senyuman muncul di bibir Camie. Lega.
“Hah~!” Senyuman lega bertukar kelat apabila melihat sekeping nota di atas mejanya.

‘Siapkan home work math aku. Mesti siap sebelum aku masuk semula ke kelas ni! Aku akan pastikan kau tak dapat pulang rumah hari ni kalau kau gagal siapkan tugas yang aku beri.’

Di bawah nota kecil itu sudah tersedia buku latihan matematik milik Jeremy. Camie mengetap bibir menahan geram. Segera kepalanya dikilas ke belakang menjejak kelibat Jeremy. Lelaki itu sudah tiada.
Tak guna! Kenapa aku yang kena buat. Matilah aku. Sepuluh minit lagi loceng akan berbunyi. Lepas tu kelas akan bermula. Dah tak ada masa lagi. Lelaki tu memang kejam. Dia siksa aku dengan cara yang teruk… agaknya apa yang dia nak buat pada aku kalau aku tak siapkan homework dia? Err… erm… argh~ aku tak nak fikirkannya! Ia menakutkan dan aku tak mahu menghadapinya~!
Buku latihan segera diselak. Kotak pensil dikeluarkan dan sebentar kemudian tangan Camie menari di dada buku, menulis latihan untuk Jeremy.

************

DARI satu sudut yang agak jauh ada mata yang sedang memerhatikan Camie. Dia tersenyum nakal. Kepalanya dibayangi tanduk syaitan.
“Dew, tak pe ke buli dia teruk-teruk macam ni?” seorang teman bersuara di sebelahnya. Jiro nampak bersalah biarpun bukan dia yang membuli budak baru di kelas mereka itu.
“Yang kau susah hati ni kenapa? Bukannya kau yang kena buli pun. Ke kau nak try back up dia.” Jeremy yang juga dikenali sebegai Dew itu mengerling Jiro dengan sinis, “… atau kau dah syok pada budak baru yang kononnya cuma faham bahasa inggeris tu?”
Mata itu tidak merenung Jiro tapi dari lenggok suaranya seakan cuba hendak menyerang Jiro secara halus... Lebih baik aku tak cari pasal dengan dia. Susah hidup aku kalau bermusuh dengan The Taiko. Getus Jiro di dalam hati.
“Sebelum kau nak try dia, biar aku settle-kan perhitungan aku dengan dia dulu… berani budak baru tu nak main-main dengan aku.” … Berani betul perempuan hodoh tu permainkan aku. Anggap pekan kecil ni low class, tak setaraf dengan tempat asal dia yang standard metropolitan tu. Kau memang nak kena ajar dengan aku. Mulai sekarang kau tengok siapa yang low class, siapa yang high class. Hidup dan mati kau dalam genggaman aku mulai sekarang, Si Hodoh. “Hahaha~!!”
Gelak yang kedengaran bak syaitan itu menarik perhatian Jiro. Jiro mengerling Dew. Muka dah cuak. Aku dah mula confuse… Dew ni manusia ke syaitan? Cukuplah ketawa jahat saja… ni dengan memek muka dia pun dah macam syaitan bertanduk tiga. Camie, memang malang nasib kau buat Dew marah. Aku doakan kau selamat sejahtera hendaknya.

Angel In The Devil Suit 1 ::Bab 1::

BAB1
“SIAPA nama awak?” lelaki pertengahan usia itu menyoal.
“He?” si gadis bersanggul dua kiri dan kanan yang sedang berkhayal itu terpinga-pinga dengan soalan tersebut.
“I said your name… nama awak?” soalan tersebut diajukan semula.
“Owh… err, na-nama s-saya…” akibat rasa gugup yang sukar dikawal dia seakan telah terlupa dengan namanya sendiri apabila disoal oleh lelaki itu.
“Bertenang. Awak tak perlu rasa tertekan. Saya cuma tanya siapa nama awak.” Guru lelaki itu cuba menenangkan pelajar barunya yang nampak begitu gemuruh.
“Ca-Camily… Miyazaki… M-Martinez…” Suara perlahan gadis itu masih ada unsur-unsur ketakutan. Matanya mencuri pandang pada guru lelaki itu takut-takut. Dia nampak nama ‘Stein’ terpampang pada tanda nama pada poket baju kemeja lelaki itu.
“Er… Camily? … Camily apa?” guru tersebut menyoalnya semula. Kali ini dengan wajah senyum yang berniat mahu melunturkan gugup pelajarnya itu.
“Camily Miyazaki Martinez, sir,” ulang Camily semula dengan lebih jelas.
“Okey, Camily…” Guru lelaki berkaca mata itu membetulkan letak cermin matanya sebelum menegakkan tubuhnya semula. “Saya bawa awak ke kelas sekarang.” Dia mula mengatur langkah.
Camily menuruti langkah guru lelaki tersebut untuk menuju ke kelasnya. Hari ini adalah hari pertamanya di kolej ini. Kawasan luar kota. Jauh dari keluarga. Dan tinggal bersama makcik yang membencikan. Huh… itu hukuman kerana melanggar peraturan keluarga. Kau bernasib malang, Camie… bisiknya kepada diri sendiri.
Sebaik Camily masuk, kelas yang haru biru dengan ragam pelajarnya tadi bertukar suasana. Semua senyap dan menumpukan perhatian kepada seorang pelajar baru yang masuk bersama Cikgu Stein. Seperti tadi sekali lagi Camily memperkenalkan dirinya di hadapan kelas.
“He-He-Hello, my name is… Camily Miyazaki Martinez. Call me Camie…” Sejenak dia mengerling pada Cikgu Stein. Cikgu Stein membalas pandangannya sebelum mengarahkan Camie meneruskan ucapannya melalui isyarat mata.
 “Sila tunjuk beri ajar,” sambungnya pantas sehingga tidak sedar yang ayatnya sudah terbalik. Dia menundukkan tubuh 90° selama lebih kurang tiga saat sebagai tanda hormat kepada rakan-rakan barunya.
Semua pelajar di dalam kelas tersebut terpinga-pinga melihat gelagat pelajar baru tersebut. Begitu juga dengan Cikgu Stein. Guru lelaki itu hanya menggeleng-gelengkan kepala. Masing-masing ada tanggapan tersendiri terhadap pelajar baru itu.
“Gadis ini bukan saja nampak asing malah juga pelik. Entah dari planet mana dia berasal.”
“Bahasa yang dia cakap tunggang langgang. Macam ayam bercakap bahasa itik.”
“Tak payahlah nak tunduk hormat macam tu pada kita semua. Dia ni terlebih-lebihlah pulak.”
“Kamu boleh duduk di tempat kosong di sebelah Dew Jeremy,” kata Cikgu Stein menghentikan soksek-soksek para pelajarnya ketika itu.
Mata Camie terarah pada tangan Cikgu Stein yang menuding ke arah hujung kelas. Camie nampak tempat duduk kosong di sebelah seorang pelajar lelaki yang membenam muka di meja dengan gaya tangannya yang seperti superman sedang terbang. Dah terbang sampai ke mana agaknya tu. Huhh… selamba saja tidur dalam kelas. Langsung tak hormat cikgu di hadapan. Gumam Camie sendirian sambil melangkah pergi ke tempat duduknya.
Kelas berjalan dengan lancar. Selepas suku masa pertama Camie mengerling sekali lagi ke sebelah. Pemuda tadi masih lena. Budak ni tidur ke mati? Kenapa guru-guru yang masuk ke kelas ni macam tak kisah dengan perangai dia? Camily benar-benar tidak faham.
Kring~!!
Loceng rehat berbunyi. Si dia tiba-tiba tersedar. Dia menggeliat sepuasnya sebelum mengangkat muka. Camie menjelingnya sepintas lalu. Bangun juga kau akhirnya. Ingatkan kau nak tidur sampai hari kiamat.
“Kau siapa?” soal lelaki itu tiba-tiba.
Camie memusing kepala memandang si penanya… dan dia tergamam memandang wajah yang sedang berkerut itu. Biji mata Camie terbuntang memandang pemuda yang baru bangkit dari beradu itu.
Tak mungkin… betulkah apa yang sedang aku lihat sekarang? Dia hidup kembali? Mustahil! Orang yang dah mati mana boleh hidup semula. Tapi… tapi dia betul-betul sama… sangat sama!
“Taiko Jeremy, jom makan!” pekik seorang pelajar lelaki dari lawang pintu.
Camie menoleh kepada pelajar tersebut sekejap sebelum merenung Jeremy kembali. Jeremy… nama dia Jeremy juga? Aku bermimpi ke? Camie pejam mata rapat-rapat. Kemudian dia celikkan mata besar-besar. Berharap dia sedang bermimpi sekarang. Namun orang di hadapannya masih wujud. Camie menggeleng kepala. Tidak! Ini mustahil!
Pemuda bernama Jeremy itu pula sedang memandang Camie dengan pelik. Langsung tidak dihiraukan teman-teman yang memanggilnya tadi. Dia lebih tertarik untuk menyoal siasat gadis yang tiba-tiba duduk di sebelahnya itu.
“Woi, kau ni siapa?” tanya Jeremy kasar.
“Hah?” Camily kalut. Terpinga-pinga kerana asyik memikirkan wajah dan nama pemuda itu yang sama dengan seseorang yang dikenalinya sebelum ini.
“Dew, dia pelajar baru kelas kita,” sampuk seorang pelajar di hadapan Jeremy.
“Siapa benarkan dia duduk di sebelah aku?” soal Jeremy kepada Phim yang sedang membuka bekalan makanannya di atas meja.
Speak english if you want her to understand you.” Phim tidak menjawab pertanyaan Jeremy sebaliknya menjelaskan perkara yang sepatutnya kepada Jeremy.
Jeremy menjeling dingin pada Phim sebelum kembali ke arah Camie “Hei, girl… why are you looking me like that?”
“Er… err… so-sorry.” Camie masih gugup dan terkejut. Hanya itu yang mampu dilafazkannya oleh mulutnya.
“Silly girl with the weird dress up,” kata Jeremy perlahan sebelum bangkit meninggalkan tempat duduknya.
Camily mengetap bibir. Celaka! Sopan sungguh sapaan dia. Sekarang aku mula percaya yang dia bukan Jeremy ku yang mati dua tahun lalu. Mereka berdua sangat berbeza. Macam langit dengan bumi. Camie angkat punggung dan beredar meninggalkan kelas untuk ke kantin. Dalam hati masih meluap-luap marahnya terhadap si pelanduk dua serupa Jeremy Oghio Khitto, kekasihnya yang sudah berada di alam lain itu.

Friday, June 4, 2010

Peperangan menentang Israel... Peranan kita sebagai Islam?


Dalam beberapa hari ini mata dan minda Cik Kaseh sentiasa disajikan dengan berita2 tentang keganasan Israel terhadap umat Islam di Gaza.

Hati saya sebak sehingga tak mampu menahan lagi air mata dari mengalir setiap kali membaca artikal dan melihat gambar yang berkaitan tentang keganasan Israel terhadap umat Islam Palestin.

Ketika menulis entry ini, perasaan saya berbelah bahagi... hati saya kembali sebak
Saya rasa diri ini sangat lemah dan bodoh sebab tak mampu lakukan apa-apa untuk membela nasib rakyat seagama dengan saya. Apa lagi yang mampu kita lakukan selain bersedih dan terus berdoa untuk mereka?

Hari ini Cik kaseh bersama beberapa orang teman berbincang tentang isu ini. Kami cuba mencari cara untuk menghentikan kekejaman kaum Israel yang laknat itu...(bunyinya seperti terlalu gila...mana ku ada kuasa dan kabel besar untuk melakukan apa2 tindakan tersebut... huhuhu~)...

Namun akhirnya kami mendapat 1 kesimpulan...
bahawa untuk menghentikan Israel laknatullah itu kita memerlukan seorang ketua. Seorang pemimpin yang betul.

Maaf sekiranya kata2 yang berikutnya bakal mengundang kontroversi



Bagi Cik Kaseh pemimpin kita sekarang seorang yang tidak layak digelar pemimpin! Saya tidak tinggal di negara Islam biarpun pemimpin saya seorang Islam dan agama rasmi Malaysia adalah agama Islam!

Saya tahu... kenyataan di atas agak keterlaluan bagi sesetengah pihak. Tapi jika anda rasional... sila siasat siapakah diri pemimpin kita di sebalik topeng wajahnya. Saya takkan bercakap lebih kerana blog saya bukan blog untuk berpolitik... dan saya berani menulis ini setelah menilai melalui pemerhatian dan pembacaan.


Kawan2... soalan saya yang masih belum berjawab...
APAKAH PERANAN KITA SEBAGAI ISLAM DALAM MEMBELA NASIB RAKAN SEAGAMA KITA?


Di bawah saya sajikan sekelumit kisah duka di sebuah sekolah kerana kekejaman bangsa laknat yang tidak pernah berjaya untuk menghapuskan Islam di Palestin. 









P/S : Cik Kaseh masih tak faham tentang Qunut Nazilah... ada sesiapa boleh share ilmu dengan saya?

Coming soon... present 4 all of u,my readers~


Agak2 apa suprise Cik Kaseh nak bagi...
sape boleh teka...

hahaha~~
tak payah suruh teka pun orang bleh agak dah Cik kaseh oi~~

Okey...berita baik untuk korang semua...
Angel In The Devil suit 2nd season akan muncul tak lama lagi...

Tak mo cakap banyak
sekadar pemberitahuan je

maka... nantikanlah entry terbaru AITDS2 selepas ni

Bila?
haa~~ maybe esok
maybe lusa

juz wait n see~~


Chiow

(✿◠‿◠)